Sunday, June 15, 2008

~~Renung mataku, simpan kataku, bingkai senyumanku~~

Jam berdetik tak pernah henti, lewat malam ini aku lihat seluruh penghuni alam asyik dilamun pari pari, menganyam mimpi mimpi yang sungguh indah. Aku masih buntu dan tak mampu lelapkan mata degil. Bertubi tubi pertanyaan itu menghambat waktu yang ku lalui beberapa waktu ini.

Untuk siapa sebenarnya warkah ini? Aku masih cuba menari di pentas maya, mencari lagu gembira yang bakal didendangkan oleh seluruh tetamu laman. Berat mengatur langkah, aku masih terus menggelek manja mengharap mereka tersenyum gembira.

Teman, kau harus tahu bahawa senyuman ini adalah untuk kalian. Simpan setiap manis kuntumnya, seandai terluka ambil satu dibuat penawar. Aku tahu kalian di luar sana tak bisa menepis rona duka, dikecam dugaan melanda sedangkan aku hanya mahu memberikan sebutir sinar ceria di sebalik kekalutan jiwa.

Mari aku kongsi sedikit watak jiwa yang bisa kau ambil jika kau mahu menerima. Bukan untuk menjadi bidadari, bukan bererti menjadi pari pari cuma aku mahu menjadi teman sejati yang bisa membawa bunga mawar segar di hati kalian.

Jika kau tanya apa kekuatanku, lantas ku lafaskan kekuatanku kalimah syahadat yang menjadi benteng teguh buat kita. Jika kau tanya apa kecekalanku, pastinya keredhaan dan doa yang tak putus menganjakku dari lubuk derita. Jika kau tegar bertanya apa rahsia semangatku, dengan tenang aku hanya bisa meminta dan terus meminta pada yang Esa agar diselaputi keimananku dengan cahaya.

Kehidupan ini sangat berharga, sesaat yang dilalui pasti tidak lepas dengan tujahan emosi yang berbuah dalam diri. Aku di sini berdiri dan jatuh, lantas bangun dan jatuh lagi dan terus tersungkur pada setiap detik yang disuratkan namun tidak lagi amarah putus harapan menghantui diriku. Kita harus jernihkan lubuk jiwa, membuka ruang bahagia untuk merasa setiap kenikmatan yang Allah swt campakkan setitis demi setitis di dalam hati ini.

Sahabat perjuangan duniawi, kita sering terlupa bahawa kekecewaan itu sebenarnya mengajar kita menjadi lebih kuat dari hari semalam. Kita teralpa bahawa doa yang kita pohon itu sering dimakbulkan yang Esa, namun langkah apa yang harus kita susuri mengangkat tangan pada Illahi?

Seringnya sahabat, kita ini mencari kelemahan diri dan tunduk, lari dari berselingkuh dalam gusar yang dihantar untuk babak dugaan dalam perjalanan ini. Mengapa itu yang sering kita tempuhi? Jatuh dan jatuh dan terus jatuh hingga patah kaki untuk berlari? Kata kata bukan lagi membakar obor semangat sebaliknya menjadi benteng untuk kita takut meredah lopak kecewa.

Aku menulis bukan untuk sesiapa, aku memberikan sedikit waktu buat kalian kongsi denganku. Mengapa harus dilumpuri nikmat menjadi insani dengan ketandusan semangat yang pudar? Di mana hilangnya angan angan yang membawa kamu terbang? Di mana segalanya?

Sahabat, sambutlah gusar jemariku untuk kita bina harapan baru. Jangan lagi melihat diri kamu dalam diriku dan diriku dalam diri kamu. Semakin hampir kita mendekati Illahi, seharusnya semakin kuat kekuatan diri yang harus kita tanamkan dalam jiwa kecil.

Mari dekati dan renung ke dalam mataku, kau pasti tembus lorong lorong liku. Sedarkah bahawa lorong itu bisa membawa kita mengenali siapa kita di bumi ini?

~~Bila hati Memberontak...apa hadir tamu?~~

Semalam aku lihat ia hadir
Dalam gusar hati ia lahir
Penuh rasa yang menggigit
Menjadi tompokan ngeri

Sudah lama aku biarkan tangis
Membawa lara bingkisan pedih
Melihat dalam mata hati
Melihat duri tertusuk gering

Sampai kapan ia harus nyeri
Di kecam kemelut nyaring
Membingit dalam terik
Menghambat berbalam genting

Aku mahu lari
Ke mana harus ku pergi
Arah tiada membenteng
Terus dan terus berjeriji

Aku mahu menjerit
Dalam koma lemah membisu
Melepas amukan hati
Meriuh dikesempitan buntu

Pena terus menari
Mencoret gurisan hati
Membongkah runtuhan sepi
Hadir hanya mimpi

Aku bicara pada aku
Aku tak mahu menggarap angan itu
Biarkan membuah rasa cemburu
Melihat mereka terduduk kelu


Thursday, June 05, 2008

~~Aku tak mahu BERHENTI mengasihimu~~

Kalau bisa ku pecahkan kepompong ketakutan itu, lama sudah aku hempaskannya. Aku tak ingin lagi dalam segala kebimbangan yang melampaui batas fikiran waras. Ingin kuberlari ke lautan luas dan menikmati ketenangan pantai yang setia menghempas sisirannya. Aku mahu bebas dan tidak diselimuti kegersangan murung itu.

Walau semalam berlumpur wajah gelap, ditiup angin harapan, dibelai keraguan, hari ini aku mahu bangkit dan terus menentang rasa terkilan. Apa aku tak bisa mengecapi ruang bahagia? Aku mahu dan teringin benar mahu menyelinap ke rona kecil kegembiraan itu.

Malam sering bawa aku terbang, melihat pancaindera luar biasa dan menarilah bidadari menghiburkan. Aku asyik dan terus dibuai girang sedang hakikatnya aku tahu ia tak selama mana. Aku mahu realiti indah, aku mahu bidadari menemani, aku mahu sinar gembira dan aku mahu dibelai bahagia.

Salahkah aku mahu menumpang senyum di wajahmu, biar tak abadi tapi cukup menguntum bunga di hati. Salahkah aku menagih dan menghulurkan harapan padamu? Salahkah aku untuk mencuri sedikit kebahagiaanmu? Salahkah untuk semua itu?

Lama benar dikurung derita, hingga pungguk benci melihat wajahku. Bulan yang menjadi bintang hati pungguk, beralih arah menemani sepi sepiku. Maaf pungguk, aku tak bisa lari dari mengharap kasih bulan itu. Salahkah kita pungguk? Mengharap pada yang tak pasti, yang yakin hanya doa dan redha pada Illahi.

Aku tidak mahu lagi berselindung, aku tidak mahu lagi diburu, aku tak mahu lagi terperuk dalam noda noda lesu yang melemahkan jiwa. Aku mahu bangun dan kuat bersama semangatmu, jika kau mahu pinjamkan ia padaku. Aku mahu bernafas dalam setiap doa yang kau utus, aku mahu berbantalkan kasihmu, jika kau mahu berkongsi ketenanganmu.

Kasih ini hanya satu, aku tak minta dua atau tiga. Meniti hari untuk melihat dan membahagiakanmu, mercu impian hariku. Maaf jika kau resah, aku tak rela melihat kepahitan itu. Mari genggami tanganku, bawa aku tersenyum dan nyahkan penderitaan kisah lalu. Aku hanya mahu mendampingimu.

Jika bisa kau lihat ke sudut sulit kamar hatiku, kau tak bisa percaya kejujuran dan keikhlasan hatiku. Moga Allah swt merawati luka luka kita dan mencampakkan cahaya gemilang dalam perjalanan menuju hari kematian.


Friday, May 30, 2008

~~Chapter Baru?~~

Buku itu terlalu tebal untuk aku khatam dan telan chapter demi chapter. Adakalanya lelah mencari makna dalam kamus hidup tentang segala tersuratnya isi kandung. Bagaimana untuk ditelan dan menelan sesuatu yang bisa mencuri hati hati pedih kisah masa lalu? Buntu juga jiwa ini bila menggali rona sempit kisah lalu.

Teropong senja malam mencari dalam samar, teraba - raba kayaknya si rabun dekat. Mengupas perjalanan satu demi satu umpama mengupas kelopak bunga yang layu. Keras dan kusam bau nya bila kuntum bunga merebah malu, ibarat bicara hati yang sering persoalkan nada buntu.

Apa yang membelit dan terbelit ini? Apa yang mencarik dan tercarik ini? Apa yang mengikat dan terikat ini? Segalanya hampir terlerai.

Aku mahu bicara, mahu kongsi cerita. Tunggu babak baru yang tebarkan warna ceria. Sabar menjamah ketukan jemari di papan kekunci, muntahkan rahsia hati. Sabar ya...

~~Nota Sejarah "Hatiku Girang"~~

Mendung mega semakin berarak laju
Melihat garis lintang cahaya mentari
Berkepulan putih biru awan gemawan
Membedah bumbung langit

Sesekali terlihat sekawan burung berterbangan
Riang di selubungi kabus petang
Redup dalam semboyan kicauan
Bebas merangkul dada langit bercumbu di awan

Terkilas luas bendang
Tenang dalam santapan mata menghijau
Meliuk malu ditiup bayu
Di temani si burung berkaki runcing itu

Bila malam menyinggah tabir
Sejuk bayu masih kurasakan dingin
Rembulan berseri merenung ku lagi
Dibisikkan pada pungguk "kau tak bersendiri lagi"

Ku tembusi rona pekat awan malam
Bintang sibuk memancar suria
Menjadi babak dalam puisi tinta
Menulis nota sejarah "hatiku girang"

Jangan berlalu lagi
Rindu kuntum kuntum hati
Kasih berbunga wangi
Temani mimpi dan realiti

Jangan berlalu lagi
Usah pinggir hati ini
Yang setia mendakap sesuci kasih

Wednesday, May 28, 2008

~~Kau Mahu Tahu?~~

Aku rindu musim bunga
Di tengah padang Hyde Park
Melihat kuntum kuntum memutik megah

Diwarnai biru langit angin damai

Aku rindu musim bunga
Ingin ditemani putera hati
Melihat redup matanya
Mendakap susuk tubuhnya

Di petang musim bunga itu
Aku mahu berjalan menitip gigian pantai
Disaluti susuk baju tebal
Dalam rangkulan kemas cintanya

Di petang musim bunga itu
Ingin kubisikkan halus ke corong telinganya
"Aku yang mati hidup kembali"
"Kau yang merindu kembali bersatu"

Disaksikan guguran daun merimbun
Dalam berputik bunga hati
Kau mahu aku katakan
Apa yang mencuri isi hatiku...

Dari redup matamu
Dalam tenang bicaramu
Lirik manis senyummanmu
Sejuk salju perhatianmu
Buatku tak ingin pulang dari menatap keindahan itu

Di redup petang musim bunga itu
Aku mahu terus memimpin jemarimu
Mewarnai hari kusut yang lalu
Agar tak lagi diselubungi buntu

Usah berlabuh kasihmu
Biar di akhir musim bunga
Berlalu gugus salji
Aku mahu terus mendakap kasihmu

Tuesday, May 27, 2008

~~Pesanan Ini Untuk Semua~~

Salam penuh tanda kasih buat pembaca yang tak henti henti mengasak Nini mengutus cerita di papan maya. Penghubung kasih antara kita sentiasa akan terpatri di sebalik bait kata yang dikait.

Apa khabar kalian di balik sana? Apa mungkin sedang dalam keasyikkan dan kebahagiaan? Atau mungkin sedikit gusar dan terguris hatinya? Usah kalian bimbang, jika luka ia pasti akan sembuh, jika bahagia kita yakinkan agar ke akhir jodoh.

Apa cerita di dunia Nini? Wah, begitu banyak persoalan dan tanda tanya. Entah habis dibicarakan atau tidak, entah enak didengar atau tidak, entah asyik dilayar atau berbalam. Segala yang pasti, Nini pasti setia menemani kalian biar apapun cerita di balik nurani.

Owh ya, marilah berselingkuh bersama Nini dalam bual bicara POLITIK anak muda di www.anwaribrahimclub.com/forum. Asyik benar cerita celetoh anak muda hari ini, umpama mereka telah di asah parang dan belantan. Mungkinkah perbezaan alunan zaman buatkan mereka lebih gemar memberontak dari menurut kata? Aduh, sesekali bikin pusing juga minda ini, anak muda semakin pintar dan yang tua semakin gusar. Oleh itu mari ke sana melihat perdebatan anak muda yang cintakan negaranya.

Terus dalam aroma cerita kita di sini, tertanya tanya rakan di luar sana apakah ceritanya NOVEL sulung Nini? Ya, sabar sabar... Nini masih mengupas waktu melayari sendu mencari bait bait indah untuk dikongsi bersama. Apa kalian tidak yakin dengan kata kata Nini? Usah begitu, kerna Nini tak mungkin tumpas kotakan janjinya selagi ada usaha.

Akhir akhir ini, percaturan duniawi buatkan tak lepas lelah di hati. Ada sahaja ceritanya, banyak pula ragamnya malah entah mengapa asyik tersadung sahaja kaki ini. Namun biar apapun melaung, Nini bahagia bila melihat anak kecil bernama FARYSH itu senyum dan tertawa. Musnah segala derita, terubat segala luka.

Berita ini biarpun sekadar sampaikan pesanan, tapi biarlah Nini dekati lagi hati kalian dengan salam penuh tanda kasih. Apa mungkin nafas ini bisa turun naik lagi esok hari? Jika ya, maka nantikan chapter ringkas Novel Nini yang tidak lama lagi mahu bersiaran terus di pasaran.

Di sini tanda akhir, bukan akhir jalan cerita, bukan akhir kata kata, tapi hanya akhir sebuah tinta. Esok pasti menari lagi jemari ini di pentas kekunci, hanya menghantar berita buat kalian yang tak lekang dari hati Nini.

Wassalam

Sunday, May 25, 2008

~~Mana kamu si Pari Pari~~

Perjalanan bukan lagi warkah sepi, aku mahu terus bangkit dan merempuh sesak jalan ini dengan hati penuh girang. Kata orang, 'u deserve to be happy' biarpun adakalanya aku termangu dengan retorika ayat itu. Bukan tidak mengharapkan senyum, adakalanya yang sering menghantui adalah kegelapan bibit gelita perjalanan lalu.

Don't feel bad, wake up and wipes all your tears! Aku sering mendengar kata itu dihambur dan terus dihambur walau hakiki yang nyata aku sedar bukan mudah mencarik bingkai luka yang menyelinap di salur hati.

Di jalanan akulah gagah, meredah pintu pintu kebebasan hingga tak gentar diasak polisi yang bersenjatakan cota atau belantan. Di mata mereka, aku ini tak ubah gayanya seperti si Tun Teja yang membela, namun apa bisa mereka renung ke dasar corong hati yang mahukan senyuman sentiasa diukir?

Kalau bisa kulewati semalam yang berlalu, kuhapuskan segala cela noda. Aku tak mahu terusan dihambat buntu, mencari sesuatu yang hilang merempuh perjalanan yang kosong tak bernada. Aku mahu bangun menuntut hak hati ini, walau adakalanya tak bisa untuk mengangkat telapak kaki.

Maaf ya teman, lama sudah tidak hadir bicara puisi, yang ada cuma ceritera hati yang semakin sendat di asak jemari. Aku seolah hilang bisa menari di pentas puisi. Nah, hari ini aku ada sedikit coretan buat laman puisi. Harapnya, kalian tidak lagi terus berharap dan hampa.

Di lantai itu bukan hanya air mata
Bercorak warna dalam penuh cerita
Apa bisakah terasing corak derita
Dalam alunan citra ceria

Kalau kontang dikali bisa dipenuhi rembesan hujan
Jika sepi gelita malam pasti teruja sinaran bintang
Andai terik sinar mentari akan hadir cahaya ketenangan
Apa mungkin tenat dihati akan ada penawar terpatri?

Lirikan itu penuh sinis
Mencarik hati yang merintih
Kapan ada sebutir kasih
Buat segala debu gering

Aku hilang sengat
Tatkala jemari lemah longlai
Mana si pari pari yang sering hadir
Aku rindukan kamu yang sering meminggir

Bawalah aku terbang
Seperti hari hari semalam
Melihat kocak kancah kehidupan
Yang penuh kemelut kepedihan

Teman yang rindukan kata jemari, aku minggir mengalun hati. Kau usah bimbang tentang gelora ini, kerna aku masih terus dalam alunan suara puisi. Nanti aku nyanyikan lagu rindu yang akan bawa kalian terbang bersamaku dalam tiupan si pari pari.


~~Sesepi burung rindukan bulan~~

Gemersik lunak burung berkicau menghentikan sayup pekat malamku. Hujan lebat dalam sendu sendu diiringi serak kilat melagukan syahdu. Aku berdiri di balik tirai jendela merenung ke arah bulan yang sering kurindui. Pekat malam ini sambil ditemani hujan renyai pastinya menenggelamkan wajah bulan dari bingkai mataku. Aku rindu bulan itu.

Eh! Dari mana datangnya lunak burung berkicau? Dalam sejuk salju begini apakah masih berteduh di ranting pokok sambil meninjau kepekatan malam? Aku resah mencari suara lunak itu, ku intai de sebalik rimbunan pokok gelita, tak ku temui. Apa tersangkut dan tersadung di balik lalang atau terkulai di dahan tinggi? Ku amati lagu kicau itu sambil dicelah garau kilat.

Apa mungkin burung jua rindukan bulan? Menanti hingga berhenti pekat awan? Melagukan sendu bertemu bintang bertaburan? Atau mungin menemani aku yang terpinggir di balik jendela kehidupan? Sejuk dingin angin menghempas tak dihiraukan. Terus menangguk di sebalik kegusaran malam, sang burung terus mengicau hingga sayup sayup kedengaran.

Aku merenung ke langit hitam, ku lihat awan itu terus berkepul gelap. Hati berkata, malam ini aku tidur dalam pelukan hujan, tiada bertemankan bulan hanya guruh melewati hujung lena. Ku bisikkan pada sang burung, kau usah lagi melagukan rindumu. Bulan di awan tak kunjung jelang, mari lenakan aku yang dihambat kesepian.

Bulan, esok hadirlah kamu menemani sepiku dan burung yang merinduimu. Aku mahu terus menatap gemilang warnamu kerna dingin renyai ini buat kami tak lena diulit mimpi indah.

Friday, May 02, 2008

~~Warkah Buat Farysh Lagi. Apa Dia Bisa Membaca?~~

Perjalanan ini sungguh benar banyak likunya, hingga aku sering tersesat mencari arah tanpa panduan. Kiri dan kanan, fatamorgananya sama panjang dan suram namun aku redah dalam penuh berhati.

Jatuh bangun, jatuh lagi dan bangun lagi malah tersungkur hingga luka lutut di kaki semuanya aku telan penuh redha. Keringat tumpah seiring lajunya dengan airmata jatuh sembah ke bumi tetap ku rentasi. Aku akan terus bangun biarpun ketika itu mereka tertawa melihat aku terjelepok di tanah rata.

Andainya tiada siapa harus menyambut tanganku, aku tetap bahagia dan tersenyum meredahi ranjau liku ini dan di depan sana aku yakin tersedia lembah gembira. Masih ingat akan anak kecil yang ku panggil farysh? Si comel yang sentiasa menemani hari hari sepiku itu membawa sebutir sinar tiada galang gantinya. Dari matanya kulihat segala cinta, aku mahu terus mendakap dan mengucupi lembut gebu pipi itu hingga satu hari nanti ia bertukar gerutu di telan perubahan hormon, tetap ingin ku landaikan bibirku mengucupi pipinya.

Mungkinkah dia bisa mengerti aku ini amat mencintainya? Dia bukan siapa siapa, tak bisa bicara, tak bisa mengerti tuturku namun melihat bibir rekah senyumannya buat aku dilamun cinta. Farysh, ku anggap seperti anak sendiri bukan lagi atas nama anak saudara yang berbinkan Kamal Amirul Mukminin.

Pergilah segala sengketa, aku kini menemui cinta bahagia. Entah benar entah tidak aku akan hidup seribu tahun lagi, tapi kata itu sering kulafaskan tatkala kuhayun tangan mendodoinya. Mengapa cemburu benar derita? Setiap kali aku bercanda dalam bahagia, pasti hadir cemburu derita itu menganggu kebesaran girang.

Farysh, entah bila aku harus pergi, kau usah tangisinya kerna aku pasti nantikanmu di syurga. Kau harus tahu betapa indahnya hidup ini jika hatimu diisi penuh cinta yang ikhlas. Senyumlah sayang, senyum yang sentiasa menguntum bunga cinta di hati mama, papa dan kami semua.

Bicaraku biarpun tak bisa kau baca, aku sering bisikannya bila masa dodoiku sentiasa menemanimu. Kuoles - oleh gebu pipimu dan dengan penuh rasa kasih ku dakap segala lelahmu. Kasihnya aku padamu tak bisa ada tandingannya.

Derita, berlalulah segera. Aku mahu terus gembira, di dampingi insan yang kucinta. Aku yang kini mati rasa cukup bahagia di sisi insan insan yang memberikan ruang untukku menumpang kasih dan melayari sayang.


~~Bulan Dodoikan Malamku~~

Kalau bulan itu sering menjadi peneman erti rindu, aku mahu tidur dalam cahayanya dan bangun bersama gemilangnya. Kalau bulan itu penawar hati lara yang sengketa, aku mahu merangkul bentengnya agar bisa kusandarkan resah hati penuh duka. Kalau bulan itu bisa menemani pungguk gerhana, dodoikanlah aku lagu gembira agar pergi segala sengsara.

Aku sering merenungmu bulan, bicara bersamamu bawa erti segala bahagia. Tiap kali kau terlitup oleh awan kelabu, aku resah hingga murung lenaku. Aku mahu sentiasa melihat wajah penuh yang menguit jiwa. Kau sentiasa di temani unggas, lagu cengkerik bawa sinonim perjalanan malammu. Aku cemburu dan menjeling ke arahmu kerna tiada siapa yang temani malam sunyiku.

Oh bulan penuh cerita, kalau aku bisa mengucupi sinaranmu, mahukah kau menjadi pendamping surut dinihariku? Aku rindu segala bisikan yang membawa ke arah bahagia. Ku dongak ke arahmu, setiap malam mencari di mana kamu hingga tersidai di jendela tak mahu berpaling dari merenungmu. Bulan yang penuh, kau milik sang pemuitis malam, sinaranmu bisa memandu arahku, hembusan awan kelabu bawa ceritera meniti gerutu jalanan cintaku.

Kau mahu berjanji denganku bulan? Agar sentiasa temaniku tanpa bintang bertaburan di dadamu? Agar sentiasa dodoikan aku dengan kekasihmu cengkerik unggas malam? Kurenung wajahmu jauh nun di sana hingga robek firasat. Aku mahu terus ditemanimu bulan biarpun bila mentari menyinar, kau ada di balik sana.

Monday, April 21, 2008

~~Aku Mahu Pulang~~

Bila langit mula mendung, sering ku bisikkan janganlah limpahkan hujan pilu buatku. Sinarkan semula terik mentari yang menceriakan hari hariku. Perjalanan penuh dengan langkah berhati hati, sekejap sekejap memandang ke langit kelam. Apa runtuhkah langit itu dengan air yang bisa menyapu sepi hati ini? 

Berteriakkan burung lari pulang ke sarang, aku di padang sahara masih mencari ruang berteduh tanpa bumbung, tiang dan konkrit batu. Apa pun, langkah tak bisa kuhentikan. Dentuman guruh menggeletarkan jiwaku, takut takut dipanah dan hangus. Aku lantas tawakal jika berakhir nyawaku, berilah peluang untukku mencium bau syurga.

Sarat dengan gelodak hati, angin petang masih mendung tak memberi erti. Aku kusut, sepi dan dibebani gusar. Air di langit tak tumpah lagi, sering menemani hanyalah airmata membasahi pipi. Keringat perjalanan di padang sahara ini juga tak kuhiraukan.

Sekuat mana aku bertahan, tiba tiba aku rebah. Tersungkur tersadung batu kecil yang berjeriji tajam. Ku dakap lantai merah penuh debu, kusembamkan wajah dalam tebaran pasir itu dan kujerit sekuat hati. Arghhhhhhhh..... aku mahu pulang! Aku mahu pulang...

Terlena dalam penat yang menyelubungi. Aku sedar dan masih di padang sahara bertemankan mendung awam menjadi langit rumahku. Lelehan airmata yang kering mula mengeras di pipi gebuku. Ku kesat segalanya, airmata yang kering, debu pasir yang bertepek. 

Siapa sudi pimpin aku pulang? Di tengah kesunyian ini? Teman yang sering bawa tawa tidak sudi lagi menyambut tanganku. Tuhan nan esa, bawa aku pulang. Izinkan aku merasa ertinya bahagia.

Di padang sahara ini, cendawan melata juga tak sudi menjengah keperitan hati. 

Aku mahu pulang...


Tuesday, April 08, 2008

~~Ku Bisik Padamu Jika Kau Masih Mahu Mendengar Bicaraku~~

Pemanis bibir pelembut kata, aku susuli dalam salam pertemuan buat kalian yang ketagihan menatap laman maya ini saban waktu. Assalammualaikum diserta pautan salam mesra.

Bosan dengan titian jalanan dilitupi tebal kesibukkan waktu. Bukan lagi berbaur cemburu, cuma pesanan ringkas dari waktu itu menghembus azimat agar bijak mengaturnya. Langit cerah bersilih ganti gelap pekat dinihari adakalanya membuatkan aku tersepuk di pinggir putaran masa memikirkan apa yang telah aku tempuhi lewat kitaran 24 jam ini. Serbanya tidak mengena dengan aturan sibuk diari kelabu.

Ku selit rona warna menceriakan laman maya yang kian sepi dengan ketukan jemari di atas papan kekunci. Terselit habuk kecil di celahnya mungkin kerna kurang berasmara dalam keempukan maya. Banyak yang ingin ku dedahkan dari liang kecil hati pada kalian, tapi kesuntukkan itu mencacatkan taman mayaku untuk menyentuhmu hati ke hati.

Sepertinya malamku kini kurang disemai baja subur kerinduan, aku ternanti akan hadirnya kedamaian sekeping hati yang gejolak di medan tempur sendiri. Entah di mana aku merentasi, sesat dan terkurung di rimbun lalang penuh duri. Torehan luka pedih itu membuatkan semangatku pudar dan api semaraknya tidak gah seperti lewat waktu itu.

Perjalanan ini semakin sempit ruangnya, gelombang sakti hilang bisanya, yang tinggal hanya saki baki semangat yang tak mungkin pupus. Ku lontar setiap isi amarah untuk siapa? Ku gegar kubu cinta? Untuk meredakan hati yang luntur cahaya? Cermin bukan lagi pantulan hidupku, kelopak air yang berbayang bayang itu sering melukis riak sebenar gusar hati insan kerdil ini. Kebingungan semakin menghimpun di benak hingga tidak bisa lagi ku jerit lepaskan amarah.

Jalanan kian parah, tempang kakiku mengheret perit derita, luka jiwa tiada lagi jalan penawar, buntu minda bergejolak dalam seribu bahasa. Apa aku tidak tahu erti jalan pulang? Siapa itu untuk bertanyakan apa yang aku rasa? Mengapa aku harus rungkai sejuta kata? Tak bisa kau mengerti tentang aku dalam dilema kotak serabut, bersimpul hingga terjerut, tersepit hingga menghimpit.

Kalian si peneman setia blog mariniberbicara, kau pasti tertanya apa sebenarnya kemelut yang kulontarkan ini, kau pasti jua terdetik untuk melapangkan dadamu agar bisa mendampingi keluhan hatiku, mungkin terbit jua di benakmu tentang aku yang semakin berbelit liku hidupnya. Nah biar aku rakus menebar isi hati, aku sendiri tidak tahu apa yang menyulitkan hati untuk terus mengacu langkah sedang landasan sudah terbentang indah.

Mencari sekeping kepercayaan dalam harungi cinta tiba tiba mati tidak bernyawa. Aku kejam menghukum insan tidak berdosa namun aku kini mati segala rasa cinta. Bagaimana? Apa ada sisa itu untuk terus menerkam dan mengoyakkan kembali benteng ketakutan itu? Buntu dan bingung dalam ombak besar penuh rakus di lebarnya lautan.

Di hujung puncak gunung derita, aku kaget melihat suram landai bahagia. Terlalu tinggi aku terbang dan gayat untuk pulang berpijak di bumi nyata. Tali itu terputus di saat bahagia sedang melayang layang menerajui segala rasa. Maaf tidak cukup, ampun tidak ampuh, tangisan tidak layak menceritakan kekusutan itu.

Di akhir perjalanan ini, aku hanya mahu bertapa di gunung derita dan mencari penawar bahagia. Izinkan setiap saat di puncak ini mendapat sayu berita dari sang burung yang setia menghantarkan khabaranmu di curam gelisah. Moga moga, tali yang tersimpul bisa terurai, kekalutan kian terlerai dan kemarakkan api cinta bisa meletus bak merapi di seberang sana.

Antara bingungmu dan lukaku, racunmu dan malapku, patah hatimu dan kekalutan jiwaku biar kita serahkan pada Esa yang menentukan apa arah dan ke mana tuju episod esok yang bakal kau dan aku tempuh.

Bakal ku susuli dalam lembaran baru cerita hebat gerakkan anak muda pemangkin perjuangan rakyat dalam mencatur strategi membela suara marhaen. Anwar Ibrahim Club kian pantas langkahnya dengan pucuk pimpinan baru. Lama tidak bererti reput, ia harus di simpan dalam kotak mumia agar yang pahit di kuburkan dan yang manis di kenang.

Salam Takbir di akhir bicara!!!!
ALLAHU AKHBAR...ALLAH MAHA BESAR


Monday, March 24, 2008

~Sesekali AKU Berbidasan~~

Assalammualaikum diiringi salam bicara penuh sejahtera,

Sekali lagi ku pohon maaf agar tiada luka tercalit di dada sekiranya dalam perhitunganmu ada parut calar dek ketelanjuranku. Sejak mendakap kemenangan tercungap hingga mengalir airmata darah tanggal 8 Mac lalu, malam malamku kian lena dan tiada lagi gemuruh mimpi kecundangan perjuangan Pakcik Anwar! Terungkai rasa gelisah, terpadam api gementar, terbayar penat lelah dalam langkah semangat juang tatkala penglibatan langsung jasad dan rohani di atas lantai perjuangan rakyat.

Tiba detiknya untuk kau dan aku nikmati ombak perubahan yang membaham bersih debu hina sisiran pantai. Kalau benar perjuangan marhaen ini sudah mula rentak gelombangnya, nah apa tunggu lagi kerna kita harus terus bersinsing lengan membantu menerajui mercu jaya pimpinan Pak Anwar. Kalau dulu beduk gendang di palu palu, hebah mencanangkan pembaharuan demi martabat, hak dan suara. Kini tiba masanya langkah diatur menunaikan janji ditaburi.

Ku biarkan lantai perjuangan ini dipacu dalam landasannya, jika harus ada lagi suaraku terjerit di sana sini memanggil untuk mengangkat nasib marhaen pastinya mereka akan lihat wajah ini, lagi dan terus lagi hingga jelek memandang tajam anak mataku.

Usah rasa gentar dengan seraut wajah ciptaan Illahi ini, aku hanya mahu kau terus menggigil lutut bila nyaringan suara ini memecah hening petang dalam terik mentari mahupun hujan gerimis.

Pedihan rongga tekak, mata bundar dan kulit merengas perih atas kekejaman trak keji FRU langsung tak memberikan gusar dalam dadaku. Pakcik polis berseragam biru itu sering juga terkandas dalam merenung mata nakalku. Nah, nafsu mereka sepantas dengan kebaculannya! (maaf terkasar pula)


>>>>>>>>>>>>>................................................<<<<<<<<<<<<<<<<<

Dalam kes yang lain pula....

Dalam kotak rencah kehidupan, benar kata mereka bahawa manusia itu seringnya kejam dan adanya tuli. Mengguris menghiris dan melemparkan racun bukan lagi menjadi sempadan dalam perjuangan mereka mencari paksi kehidupan. Ruang sempitan sering memacu roda hidupnya dalam gelora dan gusar hingga merasakan terancam disini sana.

Kerana manusia aku mula benci pada manusia, ciptaan tuhan maha agung yang seharusnya aku sayangi dan kagumi tiba tiba buatkan aku jelek akan keletah keji mereka. Bongkak, angkuh dan pengaiban sesama insan tanpa usul periksa mungkin sekali bisa menerbangkan mereka ke gerbang bahagia lagi sempurna.

Jemari patah menari di pentas maya, hati merengek mencari silap, teman bertukar menjadi lawan, senyum terus terusan di asak tangisan. Mengapa sedemikian kejamnya rencah jalanan kehidupan? Kasihan pada derita hari mereka, sayup benar ketebalan jati diri, goyah di tiup angin sepoi lantas diamuknya seisi pulau. Apakah ini resamnya manusia?

Biar terus menjadi sepi, berlagu dan meneroka dalam mimpi, bermain di alam fantasi, kerna mungkin hanya itu yang tegar membawa kebahagiaan pada sekeping hati yang teraniaya. Pantang berundur sebelum ajal, genggam bara api biar sampai jadi arang malah pelbagai lagi perumpamaan dalam mewarnai ketebalan semangat perjuangan. Namun untukku hanya satu; biar terus hanyut di lautan samudera dan hilang tanpa berita, nama di pahat dalam jiwa sedang jasad tak perlu tahu ke mana.

Kau dari tanah, aku juga dari tanah dan ke tanah jua kita akhirnya. Seandai bisa ada kemaafan lahir untuk terus berjabat tangan dan mengaku sesama saudara Islam, pintu terbentang luas untuk kau terus hadir dan berikan senyuman. Sampai kiranya tak sempat mata bertentangan, tangan bertautan, maaf ini tetap sudah lama untukmu ku hadiahkan untukmu.

@@bukan lagi dilindungi kemelut, sendiri buatku terus kenali diri@@

Saturday, March 08, 2008

~~Lama Benar Jemari Tidak Menari~~

Di sebalik pantasnya waktu berlalu sejak akhir akhir ini, banyak ceritera yang ingin kukongsikan bersama kalian, sahabat dan teman jasad dan ghaib. Kupasan demi kupasan kelopak mawar mula gugur menceritakan kisah alam yang penuh warna pelangi. Maaf, kerna perutusanku pudar dari maya sejak malam malam lalu. Kecemburuan masa sangat melampaui batasan waktu, hingga gagal untukku melampiaskan rindu pada ruang bicara 'web' ini.

Setapak melangkah, pasti ada perhitungan baru yang harus kuteruskan perjuangan hidup. Mana pergi aku yang termenung dan murung? Hilang seketika di telan demam panas suhu luar biasa sejak bau-bau pilihanraya semakin hampir. Aku seolah orang penting negara walhanya hanya lantang bicara di jalanan sahaja, malah aku tak ubah seperti wakil rakyat, cehhhhh..... sahihnya aku hanya pejuang kecil celah gigi.

Mahukah kalian semua terus bersama mendengar keluhan hati ku? Kelopak mawar yang gugur itu ku kutip untuk diselitkan dalam diari ceritera hidupku, walau belum ada ruang lagi untuk aku buka dada ini agar menjadi tatapan kalian tentang isi hatiku.

***sambil melihat jam di tangan dan menepuk dahi, "aku dah lewat....rakan perjuanganku sedang menanti untuk melihat jatuh bangunnya kerajaan BARISAN NASIONAL malam ini"***

Sudah pun ku lafazkan tadi, masa itu sangat kejam lewat waktu ini. Aku tidak sempat ingin kongsikan bicara kuntuman kelopak hati. Apa masihkah sudi kalian menanti dengan penuh sabar? Selagi hembusan nafas terus berlagu naik dan turun, aku pasti kembali mencatur bicara untuk dikongsikan dengan kalian. Andai nafas ini sudah berada di akhir waktunya, kalian pula harus berjanji membacakan kuntum indah Al-Quran untuk kesejahteraanku di sana.

Kaki ini mula tidak sabar untuk melangkah, melihat malam tanggal 8 March 2008 yang penuh tanda tanya. Mungkinkah impian ku melihat de facto Parti Keadilan Rakyat menjadi Pemimpin Malaysia tercinta terlaksana? Aku terus dan terus berdoa.........

**jumpa lagi di lain lembaran** TAKBIR!!!!!!

Saturday, February 09, 2008

~~GHAIB???~~

Jika ditanya mengapa aku masih buntu mencari sesuatu yang tiada berpenghujung, pasti semua bingung dengan aksi merimaskanku ini. Apa mereka tahu betapa sukarnya mencari diri yang hilang? Di kais kais sempadan waktu, namun apa itu ertinya kesabaran? Lapar kan cerita lama, dahagakan senda tawa. Aku masih terus menyepi untuk siapa dan siapa?

Maafkan aku saudara Imran Ajmain, kerana terpaksa meminjam lagumu yang telah menampar kesungguhan hati ini untuk aku jadikan landasan bersandar. Aku mahu terus bertanya dan bersabar biar waktu pun terus berjalan, aku mungkin tak berkesempatan membuka langkah jauh. Katanya, biar....






******************************

Biar ghaibmu suatu misteri
Tiada ku mencari
Sebarang pembayang lagi

Biar ia bertanda tanya saja
Hatiku dah lama bertitik noktah

Biar...
Biarlah berlalu
Biar...
Biarlah begitu

Biar waktu mengubat rindu
Tiada ku mencari sebarang penawar pilu

Biarlah mereka tertanya tanya
Hatiku dah lama berganti arah

Biar...
Biarlah berlalu
Biar...
Biarlah begitu

Mana pergi janji
Setia di sisi
Hanya aku yang tertunggu tunggu

Waktu pun berjalan
Tak berkesempatan
Kau.....
Hilang tanpa pesanan

Biar...
Biarlah berlalu
Biar...
Biarlah begitu

Biar ghaibmu satu misteri
Tiada ku mencari
Sebarang pembayang lagi

Thursday, February 07, 2008

~~Usah Di Soal Siapa Aku~~

Malam ini...
Bulan tak seceria malam lalu
Warna pudar seolah bawa duka
Kabus pekat merantai hatinya
Burung enggan menjengah
Apa cerita kerdipan bintang?

Malam ini...
Bulan gering bersama sendu
Lagu cengkerik garau murung
Alam sunyi tiada embun
Apa cerita sinaran bintang kaku?

Malam ini...
Langit cerah merah marah
Gugup alam dalam pekik petir
Bintang sayup kelihatan
Warnanya kelam tak berkelipan
Apa kisahnya citra maya?

Malam ini...
Laut terhenti pasang surut
Gelombang ombak kian susut
Putri rupawan sembah sujud
Mencemar duli perhentian kalut

Malam ini tanpa esok
Malam esok tanpa sugul
Bisakah langit senyum simpul
Mendengar berita bertaut keluh?

Malam...
Kau hadir tanpa aku
Usah terus gugup
Jiwa ini sering mendengar rintihmu
Kau menangis pedih
Aku terus berlagu sedih

~~aku yang menumpang keluh~~

Monday, February 04, 2008

~~Sebentar Lagi Kita Pasti Tidur Lena~~

~~Aku tak mahu berhenti BERLARI~~

Berlari bila aku harus berlari
Usah di suruh merangkak mengejar mimpi
Hanya lamunan tidur dinihari
Sukar di ramal apalagi di bisik ke lubuk hati

Ertinya menguis bintang
Ibarat menyelam di lubuk belukar
Terlihatkah ikan di dasarnya
Secantik Redang atau Tioman citra cinta

Kerna perjuangan aku di sini
Tanpa endah duri tebenam
Di dada panahnya ke lubuk jantung
Tapi denyut nadi masih degil berdetik

Diregam jiwa yang kental
Terpisah antara kelopak dan nikmat
Jemari masih mahu menari
Di pentas pengharapan dalam gerimis tangisan kecewa

Bulan di langit tak pernah malu senyum
Biar tompokan nyeri silih berganti
Kehadiran tidak pernah terhenti
Tanpa sinarmu pasti durjana malam gelita

Selagi laungan gagasan tanah sakti menjerit
Rintihannya tak bisa melenakan tidurku
Aku bangun dan berlari
Usah kau minta aku berjalan lagi
Kerna otot ini dipacu suara marhain

~~Sudah lama 23 mencari jalannya~~

Petang mula songsang dengan angin yang melintang arahnya, entah mengapa cuaca tidak lagi diramalkan dengan fungsi era sains. Di kala terik mentari menyengit kulit, gebu molek pipi merah di ratah sang rakus matahari lantas petangnya di simbah asid hujan yang penuh dengan debu kota penuh racun.

Ketikanya, hati ini jua dalam ketandusan belaian syahdu cuaca kota London yang sering mengulit mimpi beku. Aku berlari mencari teduh di sini tatkala panas dan hujan menyerang hari harianku. Di semak hati yang meruntun kata rindu, entah pada siapa dan ke mana arahnya aku tidak bisa meramalkan apa erti bicara sayu.

Berdenyut nadi mencengkam akar rambut hingga malam dinginku di alas 'migrain' tak berpenghulu. Bosan dengan cengkaman ragam kelibut hujan panas tak menentu. Jauh di sudut hati, penuh dengan tujahan hati yang memekik memanggil rindu. Sekali lagi, entah untuk siapa dan mengapa laungan rindu ini menjerit jerit minta di bebaskan.

Aku jatuh cinta? Mungkinkah cinta berkekelan dan diiringi pelangi senja yang sayup sayup merona jiwa? Atau mungkin sekadar menjadi titian rentetan hidup yang sementara seperti hujan di tengah terik mentari hilang kala awan beralih paksinya.

Jika ini khabar 23 (kepada siapa yang tahu sahaja), aku mahu terus menjadikan nombor 24 dan seterusnya milik aku dan dia. Usah lagi diolak alik untuk membakar haruman cempaka di penjuru laman jika benar ia mampu membawa degup jantung setenang air di kali.

Biar aku tonton dengan mata hati, apa erti sebenar kasih yang kucari. Sudahlah dengan segala keperita jiwa, aku meronta membaca curahan hati jemari aku yang dulu. Kini masanya menyemai benih baru demi mengutip secebis erti kasih pada sekeping hati yang naif.

Alam ini pasti bertanya, mengapa aku semakin menggila mencari ruang membina kota istana bahagia sedangkan kehadiran roh ini baru seketika. Biar ku khabarkan pada alam, aku ini mencari seteguh kota cina membenteng syurgawi dunia. Selebihnya, biar bicara ku hanya bersama yang ESA.

Dalam mencipta warna pelangiku sendiri, aku mahu hanya warna ceria dan hentikan kelabu yang kabur mengekori perjalanan lebuhraya lesu.

Sunday, February 03, 2008

~~Ucapan Tahniah Buat Teman-teman Yang Melangkah Ke Alam Baru~~

Salam penuh bicara manis bibir restui hati,

Petang indah hari Sabtu 2 Februari ini merangkul mesra bingkai hatiku untuk meluahkan rasa tahniah buat beberapa sahabat yang mengikat pertalian cinta dengan erti kata perkahwinan. Di kala hujan sujud ke tanah, mentari tidak seterik sesediakala, terlihatlah beberapa pasangan bahagia menyusun langkah ayu merentakkan alunan rindu dalam pakaian indah bergelar si raja dan permaisuri sehari.

Tahniah, tidak sekadar itu yang bisa kubibitkan dengan genggaman salam tertaut erat ketika menghadiri 3 rumah yang dikerumuni sahabat handai, sanak saudara meraikan pasangan mempelai.

Akhirnya kata janji tertaut jua, dengan restu dan izin Illahi aku hadir dengan rasa gentar mengetuk pintu rumah menghadiri jamuan walimatulurus yang sangat meriah. Apa lagi yang bisa kudoakan, hanya mengharap agar kekal selamanya dan menempuhi segala dugaan bersama dengan keredhaan dan ketentuan Allah swt.

Selamat Pengantin Baru buat pasangan Norlaili dan suami, Nora Yunus dan suami serta Raja Nooranieda dan suami. Kalian kini menempuh alam nikmat ciptaan illahi dan bakal mewariskan generasi yang pastinya mencorak alam duniawi ini dengan lebih bererti.

Maafkan jika ada ketelanjuranku yang tidak terniat ketika menghadiri majlis kalian, aku ini terlalu daif masih merangkak mencari erti kehidupan yang hilang kesan sejarahnya. Usah kalian gusar dengan firasatku, aku tetap seperti yang dulu dalam merencana harianku.

Dengan penuh rasa kasih, aku memohon pada Illahi agar jodoh ini kekal ke akhirnya dan sentiasa disulami erti kasih mesra. Amin....

Saturday, February 02, 2008

~~Rengekan halus bisikkan rindu~~

Jika pokok bisa bicara
Mampukah dikau berbual denganku
Cerita tentang alam tanpa mereka dan aku
Bercanda irama muzik mendayu

Rendang pohonmu meneduhkan
Berselindung di balik tegar rintis hujan
Di selubung nafas segar tanpa cemar
Mahukah kau menjadi temanku

Jika renek pokok itu menjadi teman
Mahukah kau berbisik padaku
Apa khabar mereka di alam itu
Aku rindu akan riang tawanya

Relakah kau beradu dalam senduku
Membawa irama riuh
Mengiringi rentak kalut
Kerna aku ketandusan bicara rindu

Di tengah kekalutan jiwa
Dada berombak menguis debu
Menggali sedalam erti bahagia
Hanya alunmu kutemu

Tatkala pelangi menjadi warna kelabu
Hanya hitam putih membelah langit
Awan bergumpal murung
Aku pasti resah menunggu
Teman tak bisa kunjung
Kembalilah....

Sunday, January 27, 2008

~~Anak ini Mahukan aku Senyum Untuk Masa Depan~~

Melihat raut wajah penuh pengharapan, gerak geri sejuta impian, kerdip mata mengaut cita cita. Mereka butuhkan kasih sayang, hatinya berbalam rindu akan sentuhan, jemari pingin di genggam, wajah ketagihkan ciuman ibu dan ayah.

Di mana sekelumit kasih buat mereka? Kesempitan hidup memaksa naluri anak kecil yang ingin disentuh oleh jemari ibu dan ayah hanya sekadar impian. Erti bahagia sekadar coretan manis dalam diari mereka.

"Kakak, saya suka kakak senyum", raut mata anak kecil itu tak putus meratah wajahku.

"Kakak nak adik senyum macam kakak. Setiap kali adik senyum, kakak sentiasa senyum bersama adik walaupun adik tak nampak", airmata mula bertakung di kelopak buntang mata ini.

"Kakak tipulah, mana kakak nak nampak saya kalau kakak tak tinggal sini. Kakak kat luar sana mesti seronokkan? Mesti kakak tak selalu nangis, mesti kakak senyum dan gelak selalu", katanya berbaur luahan pedih.

Aku memeluk adik ini sambil diperhatikan rakan rakannya yang lain. Mereka juga butuhkan pelukan seerat ini. Aku panggil mereka semua dan berpautan kami menikmati erti kasih sayang. Dalam hati ini, doa kupanjatkan terus ke Maha Kaya Allah swt.

"Owh tuhan, jika seminit pelukan ini bisa merawat pedih hati anak anak ini, kau rahmatilah ia. Jika dengan pelukan ini mampu membuat mereka merasa apa erti kasih sayang, bantulah aku untuk selalu ke sini dan berikan pelukan ini", sambil mengenggam erat tubuh anak anak kecil rumah Asrama Jumbor Sakti aku memohon doa padamu Illahi.

.........................................................................................................................................................................

Sibuk menghitung wajah wajah manis ini, aku tersentap dengan wajah murung adik Imani yang dari awal kehadiran dia sering mendampingi gerak geriku. Hati gering ini tersentuh dan tertanya mengapa dan di manakah salahnya ketika ini hingga membuatkan senyuman terkunci dari bibir manis ini.

"Adik, kakak tengok adik sedih je, kenapa sayang? Apa yang boleh akak tolong? InsyaALLAH, akak akan cuba sedaya upaya akak", aku menghimpit Imani dengan kata kata berbaur janji.

"Tadi saya tanya tapi kakak tak jawab pun", muncung mula di tarik sedalamnya.

"Ha???", aduh maafkan aku dik sambil kepala menerawang apakah persoalan yang tidak terjawab olehku itu.

"Seronokkan kak kalau boleh sentiasa senyum, takde masalah nak fikir. Tak payah nangis dan kakak mesti tak stress", sekarang aku mengerti apakah soalannya. Kerna terlalu leka dengan sentimen aku terlupa menjawab pertanyaannya tadi.

Sambil ku pimpin tangannya, beralas lantai 'tiles' bersih di bilik ulangkaji Rumah Asrama Jumbor Sakti, kulabuhkan punggung dan begitu juga buat Imani. Kami masih memegang erat jemari seolah tak terlepas lagi kasih ini, di layangkan kepala ke bahuku dan aku memeluknya.

"Adik, semua orang di uji tuhan dengan berbeza beza cara. Kakak selalu tersenyum sebab hati kakak dah lama menangis. Masalah tak akan habis selagi nyawa tak berhenti dik. Adik nak tahu kenapa akak suka senyum?", di angguk laju sambil perhatiannya dalam mataku.

"Setiap kali kakak senyum, kakak rasa dunia senyum balik pada kakak. Nikmatnya senyuman ini tak boleh kakak ceritakan. Kakak boleh membunuh setiap rasa sakit dalam diri kakak dan juga pada orang lain hanya dalam senyum. Sampaikan ada yang kata, senyuman kakak ini penuh seribu kata", aku terus bicara.

Tiada kerdipan di mata Adik Imani, mungkin terlalu tekun mendengarkan tegas tuturku. Di sana, ramai yang masih lagi berlarian gembira dan sibuk mencorak baju yang di berikan oleh pihak penganjur lawatan.

Aku di sini dengan agenda ku mengisi rasa kasih selagi termampu. Bersama kudrat milik tuhan ini, aku mahu sering menyumbatkan rasa sepenuhnya cinta yang ku miliki untuk dikongsi bersama mereka. Biarpun hanya seketika aku mahu segalanya dikongsi tanpa ada hadnya.

"Kakak, macam mana nak atasi stress?, saya selalu rindukan ibu di rumah. Saya nak jadi doktor nanti, boleh tolong orang sakit. Cikgu kata saya kena pandai matematik dan sains. Tapi bila saya terkenangkan ibu, sya stress la kak", muncungnya disambut dengan takungan airmata.

"Dik, semua orang mengalami stress. Setiap hari kita bangun, ada sahaja yang tak kena. Mungkin dugaan adik di sini sementara sahaja, adik kena belajar betul betul dan nanti bolehlah jaga ibu dan waktu tu takde ape yang boleh pisahkan adik. Kalau adik stress, cepat cepat ambil air sembahyang dan solat. Minta ada ALLAH agar dilapangkan dada adik, sambil tu doakan kesejahteraan ayah di sana dan ibu di rumah. Kakak mungkin tak rasai apa isi hati adik, tapi kakak mengerti keinginan adik. Doa adik pasti didengari oleh Tuhan setiap detik", tekun benar adik Imani ini mendengar bicaraku seolah tidak mahu terlepas biar sesaat dari matanya.

Petang mula berlabuh, nikmat bual kata bersama adik Imani ini terhenti. Aku dan rakan rakan Click A Child harus berangkat pulang dan ketika ini, saat paling gentar aku lihat di raut wajahnya. Seoalah ada sesuatu yang mengganggu degup jantungnya.

Aku mahu terus bicara di sini, menemani malam sunyi bersama. Aku mahu terus lihat wajah wajah pewaris bangsa kenal erti senyuman, bukan mudah untuk aku lupakan apa itu erti kasih.
Airmata tak tertanggung beratnya, membawa arus pilu melihat anak tanpa ibu atau ayah terlena di sini.

"Kakak, nanti jangan lupakan saya ye. Surat untuk kakak akan saya kirimkan, kakak balas tau", itulah bisikan adik Imani sebelum kenderaan yang ku naiki bergerak meninggalkan perkarangan Asrama bersama rakan rakan Click A Child.

"InsyaALLAH dik, akak tak mampu berjanji ke sini tapi akak mampu berjanji untuk membantu adik jika mahukan pertolongan dari kakak. Nombor telefon dan alamat kakak simpan baik - baik ya. Akak mahu sangat ketemu adik lagi.Janji dengan kakak, adik kena selalu senyum dan berdoa agar kita bertemu lagi dan cita cita adik tercapai", kususuli dengan kucupan ke dahinya lantas di peluk eratnya aku sehingga sesak dada ini.

Terasa ada titisan air mula membasahi baju di dada ku, kepalanya ku usap, eratan pelukan ku perketatkan lagi. Tak pernah aku rasakan kasih sebegini mendalam. Seolah rasai getaran pada setiap esakannya.

"Kak, saya tak de kakak. Ibu lah satunya teman saya di dunia ini, kakak nak tak ambil saya jadi adik? Saya pasti rindukan senyuman kakak. Kakak cantik, kakak baik dan kakak sangat penyayang", apakah kata kata ini sekadar ingin menutup rasa sedihnya yang tak terbendung atau kata kata ini lahir jujur untuk dilayangkan buatku.

"Adik pun cantik juga, kakak tak mahu adik sedih ya. Kakak sentiasa ada dalam mimpi adik, kakak mahu adik terus usaha dan kalau ada rezeki kakak mahu kita terus berhubung. Jika adik mahu menerima kakak sebagai kakak dalam hidup adik, hati kakak sentiasa terbuka untuk menerima kasih sayang dari adik", aku mengesat airmatanya dan sekali lagi mengucup dahinya.

Lambaian tangan yang sayu masih membuatkan malam aku terganggu, lapar tidak lagi di kerongkongku, dahaga tidak lagi menjadi isu sejak petang tadi. Jeritan 'bye-bye' dari mereka ketika roda pacuan kereta ini mula bergerak seolah melaungkan kata semangat untuk aku kembali lagi. Sepanjang perjalanan ke rumah, aku hanya sering berdoa agar kembali bertemu dengan adik Imani ini dan mereka yang lain.

Ini bukan cerita simpati, ini luahan hati ketika aku di beri peluang bersama anak anak yatim yang sering dahagakan kasih sayang.

Oh tuhan, berikan aku kekuatan untuk berkongsi kasih ini bersama mereka yang memerlukan. Harta tidak lagi menjadi agenda dalam hidupku, hanya gelak tawa dan suara bahagia mereka yang memerlukan ingin kukejari hingga akhir waktu. Apakah aku mampu terus berdaya mengasihi mereka tuhanku? Berikan segala kekuatan ini...

Monday, January 21, 2008

~~Pari Pari layangkan Tinta Ini Buat Adik SHARLINIE~~




Owh adikku Sharlinie...

Di manakah kau menghilang? Adakah kau sihat ketika ini? Bagaimana dengan penyakit asthma yang menjadi sakit sejak lahirmu itu? Apakah kau masih mampu tersenyum dan berlari gembira di luar sana bersama teman teman? Aku dihujani seribu satu pertanyaan buatmu. Aku ditujah perasaan pilu atas kezaliman terhadapmu ini adikku.

Owh adikku Sharlinie...

Kau jangan bimbang lagi, tenangkan hatimu, berdoalah kepada ALLAH swt agar kau dilindungi olehNYA. Kau harus terus tabah menghadapi ujian ini, kau dizalimi adikku. Setiap saat keluhanmu akan dibalas dengan keluhan juga bila tiba masanya. Jangan berhenti dari terus mengharap, sapu airmatamu lekas dan tenanglah sementara kami di sini berusaha mencarimu. Kau tidak keseorangan! Mari aku peluk tubuhmu dan menghangatkan semangatmu yang kian beku.

Owh adikku Sharlinie...

Aku akan terus di sini bersama seluruh penduduk bumi mendoakan kesejahteraanmu. Malam malamku sering diiringi dengan doa yang tak putus untuk bekalan semangatmu. Aku tahu kau tersiksa di sana, kau tidak lagi bisa impikan saat berlarian di padang bersama teman dan saudara. Kau juga pastinya rindukan belaian kasih ibu dan ayah. Sabar adikku, kau harus terus kuat menempuh ujian ini. Kau tidak bersendirian, kerna aku sering dalam mimpimu bila kau terlena. Jemariku sentiasa menggengam erat kudrat lesumu.

Sharlinie sayang,

Janganlah kau murung dan muram, aku mengerti sengat bisa yang kau tanggungi ketika ini. Kau pasti rindukan masakan ibumu, hilai tawa saudara saudaramu, celoteh guru di sekolah, petang yang menghiburkan, kartoon di kaca tv yang melucukan dan lena yang tenang. Tika ini, aku merasai kepiluanmu adikku. Benar, bukan omong kosong, aku benar mengerti nuranimu.

Ketakutan sering menjadikan airmatamu tak henti mengalir, kezaliman sentiasa membuatkan dirimu semakin pedih. Sapu airmatamu adikku, telah ku katakan...kami di sini sentiasa mendoakan kesejahteraanmu. Tidak seminit pun doa dan usaha ini luntur sayangku.


KAU YANG TERPESONG MORAL,

Pulangkan adikku ini, pulangkan ceria di hatinya. Kau pasti lalui zaman kanak kanakmu dengan penuh gembira atau mungkin tersiksa, namun ini bukan caranya kau merampas kebahagiaan hati anak kecil itu. Dia hanya 5 tahun, tidak mengerti erti hidup dan masih mentah dalam melalui kekejaman yang kau cipta untuknya.

Kembalikan dia ke pangkuan keluarga, kau juga pasti punya saudara kandung bukan? Kau harus tahu betapa pedihnya jika mereka dianiaya. Usahlah kau turut nafsumu wahai hamba ALLAH. Masih belum tertutup pintu taubat untukmu, masih terbuka luas kemaafan di sisi ALLAH jika kau telah melakukan dosa besar.

Tetapi, janganlah kau ragut senyuman adik Sharlinie ini, dia hanya anak kecil yang tidak bisa mengikut kehendak nafsumu. Berikan dia ruang meniti bahagia! Kau tidak harus rampas kebahagiaan itu. Pulangkan atau kau disumpah sekalian alam.

Adikku Sharlinie,

Bersabarlah sementara kami masih terus mencarimu tanpa jemu. Jika pari pari bisa menerbangkan kata kataku ini, bisikkanlah padanya bahawa aku sentiasa ada dalam kegelapan yang dirasakan. Aku tak akan biarkan adikku ini keseorangan.

Tolonglah pari pari, bawakanlah rencanaku padanya yang mungkin hilang arah ketika ini. Anak kecil ini punya cita cita dan harapan, impian dan angan angan. Mungkin dengan semangat yang aku berikan ini dapat ku kongsi gelap pekat malam hitam itu.

Ya Allah, Tuhan yang maha Pengasih, Pencipta Sekalian Alam,

Jauhkanlah perkara hitam yang bisa menggelapkan nurani adik ini. Sematkanlah kekuatan di jiwanya. Hambamu yang kerdil ini saban malam menangisi kezaliman terhadap anak yang tidak berdosa. Hanya padamu aku memohonb Tuhanku! Tuhan yang satu...

Amiin....



Saturday, January 19, 2008

~~Aku Berbisik Ke Dalam Hatimu Farysh~~

Aku renung wajah penuh pengharapan itu, sungguh penuh seribu satu impian. Dari raut wajah mirip pacuan papa mama-nya, terlakar sebuah amanah yang ALLAH swt tiupkan ke dalam nadi itu.

KAMAL AMIRUL AL-FARYSH b. KAMAL AMIRUL MUKMININ, satu lagi nyawa baru yang diterbangkan ke muka bumi ini untuk menjadi penyambung warisan pasangan Kamal Amirul Mukminin b. Kamal Amir dan Siti Fareha bt. Zaman Khan. Beberapa hari ini, aku di amanahkan untuk melihat anak kecil itu membesar sambil diselingkan dengan penjagaan penuh kasih sayang nendanya iaitu mamaku sendiri. (Papa dan mamanya terpaksa pulang ke Perak menyambung tugasan harian dan akan pulang beberapa hari lagi).

Setiap kali teriak tangisnya dan senyum liriknya membuatkan kami puas menikmati saat menunggu anak kecil ini pandai bicara dan bakal menjadi teman buat kami semua. Aku lakarkan coretan ini ketika anak kecil ini berada di sampingku sambil mengalun mimpinya bersama puteri - puteri kayangan yang menemani.

Setiap kali aku menidurkan anak kecil ini, pasti aku meratah wajahnya dengan mataku. Tak habis habis aku cuba mencari persamaan terhadap ibu bapanya. Dengan rencanaku sendiri, aku membuat kesimpulan bahawa anak ini iras benar wajah ibunya, cuma sifat peribadinya mewarisi kekerasan papanya. Lucu benar keletahku lewat ini, bergurau dan bicara bersama anak kecil yang tidak bisa membalas dengan tutur kata.

Sejak dari usianya 7 bulan dalam kandungan, aku sudah mereka nama anak ini dengan pilihanku sendiri. Walaupun bantahan di paculkan oleh ahli keluargaku yang lain, aku tetap gemar memanggilnya dengan nama yang pernah terlintas di benakku. Adrie, itulah nama yang hadir dari lapisan langit yang ke berapa untuk diutuskan padanya.

"Farysh@Adrie....kau harus tahu bahawa kehadiranmu hari ini bukan sekadar menyambung cinta papa dan mama, malah ia turut memberikan sinar bagi keluarga Kamal Amir Kamal Hijaz & Zaman Khan. Setiap nafasmu diiringi dengan doa yang tidak putus dengan pengharapan. Bagi mereka, kelahiran maha suci ini mewarnai hari hari mereka penuh unggul".

"Begitu juga buat mummy, hadirmu ke duniawi ini penuh dengan satu cahaya baru dalam hidup. Mummy tidak mahu sekali pun terlepas dari melihat kamu membesar malah jika kudrat ini terdaya, ingin sekali ku kongsi betapa hebatnya menjadi kamu yang punyai sejarah bisa di kongsi satu hari nanti, sedang mummy hanya mampu mengutip sejarah lalu dengang mendengar cerita lama dari mereka".


"Masih mummy ingat betapa sukarnya nyawa ibumu bernafas ketika mempertaruhkan nyawamu hadir ke alam ini. Cekal sungguh semangat mama-mu yang tidak pernah putus asa dan sering berdoa agar kamu lahir sempurna sifat."

"Maka dengan kekuatan semangat yang maksima, mama-mu mengharungi detik genting itu. Nah tanggal 28 November 2007 jam 7.10 minit malam kau lahir dengan gahnya. Saat itu mungkin indah bagiku tetapi terselit keperitan buat mamamu. Kau harus kenangi saat itu sayangku. Saat yang membuat mama dan papamu resah saban waktu. Kesakitan itu terbayar ketika melihat dirimu"

Itulah antara bait kata yang selalu aku katakan pada anak kecil itu ketika dia sibuk mahu berbual denganku. Mulutnya seolah ingin memanculkan seribu kata tapi hanya uuuuuu & aaahhh sahaja yang keluar.

Cepatlah kau membesar dan bisa berkata kata bersama kami. Sungguh aku nantikan saat itu sayangku. Seandainya tidak bisa aku lalui semua ini bersamamu, harus sekali kau tahu sayangku; betapa kasih dan sayang ini sungguh bererti buatmu. Banyak cerita yang ingin aku kongsikan bersama....

Permata hati Amirul & Siti Fareha.....doa mummy ini sering menjadi bantalmu. Semoga kau membesar dengan hati yang mulia dan penuh cinta untuk makhluk bumi ini. Antara kita biarpun hanya ibu saudara, tapi tidak sedikit pun membezakan kasih seperti anak sendiri. Kau juga bakal menjadi abang buat anak-anakku dan saudaramu yang lain satu hari nanti.





Tuesday, January 15, 2008

~~Aku susuli langkah 20~~

Warna kabus petang penuh sayu
Berlalu angin menghembus layu
Burung menguis tanah gambut
Cacing malas meliuk liuk

Hati diruntun irama keroncong
Melayang terbang ke awan kabus
Rindu merawang ke jiwa kudus
Madahmu menemani sepiku

Kau kata aku perosak konsentrasimu
Biar dalam mimpi kau merangkul
Lewat hujung sepi berselingkuh lembut
Kau rela di bawa dalam penuh kusut

Berani kita melangkah jauh
Mengikat janji menabur manis bibir
Dalam hati terhidu gerun
Terpisah di tautan impian

Kau hebat mengatur kata
Menjadi penawar tika aku lara
Menghulur nyawa berganding setia
Untuk mengecapi impian dicita

Mari kita orak langkah itu
Terbabas lembah berapi
Terhunus senjata sakti
Aku pasti menemani realiti fantasi milik kamu

Thursday, January 10, 2008

~~Jika Kau Suka Dialog Ini, Dapatkan Novel ku Nanti [3]~~

Aku bingung ketika itu, sejak mataku mula celik, aku buntu melihat kamarku sendiri. Siapa aku, di mana aku dan mengapa aku di sini? Sekelilingku aneh benar, berselirat wayar menyelubungi lenganku dan kelibat manusia yang berlalu di sekelilingku aneh benar. Tiba tiba hadir seorang jejaka yang hampiri aku.

"Nini, kau dah sedar. Alhamdulillah", lantas dia merangkul aku dengan erat benar. Kaget aku melihat reaksinya namun mulut ini terus terkunci untuk bicara. Aku membiarkan dia mendakap erat tubuhku seperti tidak mahu dilepaskannya.

Seraya itu aku merenungnya dan seribu satu soalan ingin ku lemparkan pada dia. Dia mengesat airmata yang mula membasahi ruang kelopak matanya.

"Sorry, I just cant help it myself. Im so glad that you still alive. How are you?, how do you feel?, do you remember me?", dia tak putus bertanya sehingga membuatkan aku semakin diterjah kebingungan. Aku masih terus terkunci untuk membalas bicaranya.

"Im hungry", itulah ayat pertama yang terpacul di bibirku. Benar, aku lapar untuk mengisi ruang perut yang berlagu keroncong.

"Owh, I'll get you some food. What would you like to eat?", dengan segera dia mencapai beg yang terperesok di bawah katilku.

"I' dont know. Anything but I feel like eat bread", macam mana aku boleh minta sesuatu yang aku tak ketahui. Aku semakin pelik dengan diriku.

"Stay here, don't go anywhere and please don't think too much. I will be back very soon. Promise me that you will stay awake while I get you some bread", katanya lantas dengan segera meninggalkan aku sendirian lagi.

Ruang bilik ini sejuk benar. Aku mula membetulkan kedudukanku, kepala ini berat sekali dan aku merenung titisan air yang mengalir dari botol lantas melalui tiub aneh ini dan masuk terus ke dalam urat di lenganku. Apa sebenarnya ini?, di mana aku dan mengapa lelaki aneh itu baik sekali terhadapku?. Tiba tiba aku di datangi seorang lagi lelaki bersama dua wanita di sebaliknya. Pakaian serba putih dan di dadanya ada tanda pengenalan diri berserta tiub pelik berwarna metal tersidai di lehernya.

"How do you feel?", tanya lelaki itu dengan loghat yang sedikit berbeza dari pemuda tadi.

"It's ok, take your time to feel comfortable. Im Dr Derrider and you are here because you don't feel well. I will take care of you, please let me know if you need something.", bicara lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai doktor itu mengukir senyum dibibirnya.

Dua wanita tadi mula mengambil suhu badanku menggunakan alat elektronik yang berbunyi bingit. Senyumannya juga manis sekali, aku semakin bingung tapi masih tidak mampu berkata apa apa.

Siapa mereka? Siapa aku? Mengapa aku di sini? Mengapa aku di beri perhatian ini? Apa yang tida kena sebenarnya? Mengapa kepalaku dibalut kain putih, tanganku disumbat tiub plastik. Ah...aku mula tertekan dengan semua ini. Suntikan yang diberikan melalui tiub plastik itu mula membuatkan aku longlai. Nanti, aku tak mahu tidur lagi. Tolong khabarkan padaku siapa aku dan siapa kamu. Semua terhenti di situ kerna yang aku ingat, pandanganku mula kabur dan gelap.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

"Nini...Nini....bangun, I bring you food", suara itu membuatkan mataku yang tadi terkatup mula menggeliat untuk melihat semula pemuda itu. Ya benar, pemuda itu membawakan aku roti yang pernah aku lihat sebelum ini tapi di mana?

Dengan lesu, aku gagahi untuk bangun semula tetapi seleraku pula terpotong. Tadi rasa macam lapar benar, tidak lagi kini. Aku cuba mengambil sepotong roti yang diberikan namun tanganku juga lemah. Aku samar samar mendengar perbualannya dengan doktor berkulit putih itu tadi.

"Its ok Nini, tidurlah kalau you masih penat. I'll be here, I wont go anywhere", lelaki itu mengusap pipiku dan menggengam erat jemariku.

Tiba tiba aku mula menujahnya dengan pertanyaan. Bukan aku yang mahu bertanya tapi hati ini di asak dengan kuat sekali untuk bertanyakan seribu satu soalan.

"Who are you? Why are you here? Where I am? Why people being so nice to me?"

"Owh my God, this is really happened.", katanya sedikit tersentak.

"Ok, lets start here. My name is Fazil, and you Nini. Its a very long story to tell you why are you here but trust me, you will be fine. Lots of thing that you need to know but not now. I promise to tell you every single thing but it will only happened after you discharge from here. By the way, we call this place as a hospital and Im your nurse, private nurse", bicara pemuda ini di iringi dengan sedikit nada gurauan.

"Im serious, tell me why I should be here? Why I don't remember myself? Tell me nurse, why?", aku mula mendesak.

"Calm down dear. You will be fine, trust me. I want you to get well soon. Don't push yourself", jejaka bernama Fazil ini mula menenangkan emosiku. Aku tidak pasti lagi apa yang telah berlaku.

Roti kosong yang tidak sedap itu kutelan juga sedikit demi sedikit. Raut wajah Fazil mula bertukar gembira walau diselaputi warna kecewa. Tolonglah, aku masih buntu...Kau harus ceritakan apa sebenarnya terjadi Fazil, aku bisa jadi gila tanpa penjelasanmu.

**Terhenti di sini lagi...***

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

~~Dapatkan Novel Pertamaku Tidak Lama lagi~~

Wednesday, January 09, 2008

~~Jika Kau Suka Dialog Ini, Dapatkan Novel ku Nanti [2]~~

Lewat petang tadi aku berjalan sendirian merentasi sempit kota yang sarat dengan manusia pulang ke teratak menemui insan tersayang. Perkarangan LRT stesen yang menghimpunkan ribuan manusia tidak putus putus menerima pelanggannya. Inilah rencah kota metropolitan yang sengit dalam percaturan dunia.

Aku melihat kiri dan kanan, segalanya aneh di sini. Warga kota dengan wajah penuh misteri sering mengganggu konsentrasiku mengerti isi hati mereka. Persoalan demi persoalan aku tanyakan, mengapa tidak tenang kota ini? Atau aku yang kusut mencatur harianku tanpa semalam yang indah?

Setelah mendapatkan tiket untuk ke destinasi, aku mula menyusuri anak tangga elektrik yang membawa aku ke hadapan rel keretapi. Berbisik di hati kecil, "Apakah kemajuan ini pernah aku banggakan satu ketika dulu?"

Beberapa mata liar mula menyelinap ke serata tubuhku, merenung atas bawah, kiri kanan sehingga puas barulah beredar mata nakal itu. Aku terlihat sepasang sejoli sedang bergurau mesra, indahnya alam. Si lelaki mencuit pipi gadisnya lantas tertawa kecil si anak manis itu. Lucu benar telatah mereka, namun bunga cinta itu ku lihat mekar di dada.

Beberapa minit menanti, aku lihat keretapi laju itu mara hingga ke hadapanku. Nah, lantas ku ditelan oleh pintunya. Aroma berbagai rasa ada di dalam perut keretapi itu, mual dan muak aku bau bauan masam yang menerjah rongga hidung.

Beberapa pasang mata terus terusan menerkamku, tertanya di hati apakah pelik benar kelibatku ini sehingga mengganggu pandangan mereka. Ah, biarkanlah mereka melihat ciptaan tuhan yang ajaib ini. Punggung ini kulabuhkan di sebelah apek cina yang membawa dua plastik bertulis Giant. Lesu wajahnya membuat hatiku tersentuh hingga tidak lokek aku melontarkan senyuman. Kata orang, senyum itu penawar duka. Apek itu membalas senyumanku dan sambung melelapkan matanya hingga tiba ke destinasi yang diterjah.

Saat ini, fikiranku terbang ke Kota London. Teringat tika mula mula aku meneroboskan diri ke dalam 'underground tube'. Aku lihat wajah asing yang tak pernah lintasi mata buntangku. Masih terbayang lagi, di saat itu aku baru beberapa hari sedar dari koma yang panjang. Aku buntu mencari diriku, hilang segala yang teristimewa di kotak kepalaku. Resahku hanya aku yang bisa tahu.

Bersama teman yang sering menjadi benteng kuat semangatku, Fazil tidak pernah mencarik kekuatan yang goyah dalam hati ini. Dia sering mengajarku erti keredhaan dan pasrah. Tangannya ku genggam erat tika berada bersama di dalam keretapi bawah tanah itu, ku bisikkan padanya, "saya rasa asing sekali di sini. apa akan terjadi jika ada yang menegurku? saya tak ingat mereka".

Airmata mula menerjah pipiku lantas di usap oleh Fazil, "dont worry, one thing at one time k. Im sure u'll be fine. Remember, dont let the panic attack controls you". Itulah kata katanya yang sering menjadi pembakar semangat harianku sejak aku menjadi insan lain.

"You tahu tak? Nini suka betul makan kat Nando's. Jom kita try makan kat sana, mungkin ia akan sedikit sebanyak membantu you".

"Fazil, i feel lonely. My life seems nothing since the day I woke up. I lost everything, kadang kadang I rasakan u ni stranger tapi ialah...kalau you takde makin tak tentu arah la I"

"Then, let me be the stranger forever. What's make you feel happy, just do it. Im here because of you family. Mereka dah amanahkan I untuk tengok tengokkan you. I tak peduli sesiapa pun nak kata apa. Malah ramai yang ingat I ni mengambil kesempatan terhadap diri you. I believe in what I've done and hanya Tuhan yang tahu keikhlasan I".

Aku terharu dan mendakap erat tubuh Fazil, seribu perasaan gugup jatuh berderai derai tika aku berada dalam pelukan eratnya. Kata kata yang membawa seribu satu maksud itu sering membuatkan aku tenang dan terima segala dugaan yang tuhan berikan.

*************************************************************************************

Lamunan terhenti ketika aku terdengar suara enak dari corong pembesar suara di dalam keretapi atas tanah ini.

"Next station KLCC, stesen berikutnya KLCC", aku mula mengatur langkah untuk membebakan diri dari dalam gerobok keretapi ini.

Ingatanku di Kota London penuh cerita itu masih terngiang ngiang di telinga dan mata ini,

~~IKUTI KISAH LANJUT DALAM NOVEL YANG BAKAL MUNCUL TAK LAMA LAGI~~

~~Jika Kau Suka Dialog Ini, Dapatkan Novel ku Nanti~~

Petang itu sungguh redup bayunya, angin sepoi yang mencium pipiku meredakan setiap gelora di dada. Semalam, ku renung jauh ke dalam mata jejaka itu dan lahirlah seribu satu perasaan yang menyelinap ke liang liang sempit hati. Ah, inikah ertinya rasa ingin berkasih?

"Mengapa kau sering merenung mataku? Kau lihat konsert Marc Anthony di dalamnya ke?", sering aku diterjah soalan itu setiap kali aku terpaku dalam redup matanya.

"Errrr, kau sering ganggu konsentrasiku tiap kali aku di selubungi rasa nyaman. Aku cuma meminjam matamu untuk melihat keindahan milik tuhan. Kau tak mahu benarkan aku merenung ke dalam sepasang mata redupmu?", ajuku dalam sedikit nada kecewa.

"Kau lucu benar, tak puas aku melihat kau tersenyum sendirian merenung kaca mataku. Kalau benar mata ini bisa menyamankan hari hari mu, aku tak mahu kau melepasi dari pandanganku. Apakah kau mahu terus merenung mata ini biarpun satu hari nanti ada garis kedut meliputi sekitarnya? Atau tatkala itu kau jemu dengan sepasang mata kuyu ini", sambil tersenyum dan tertawa kecil dia mengasak keegoanku.

"Look, God gave me your eyes to feel alive. I need your eyes to guide me thru this life, please allow me to stay calm in your arms. Seandainya kau tak mahu aku merenung lagi matamu itu, aku bisa buta untuk mencari erti ikhlas yang terpancar jelas dari hatimu ke sayu matamu", aku cuba menarik perhatiannya lebih serius.

Lantas, dia merangkul kemas leherku dan merapatkan terus matanya ke dalam mataku sambil aku mendengar nafasnya berdegup kencang. Aku lihat jelas di dalam matanya, ada air yang mula bertakung ingin menjilat pipi bersihnya. Ku rangkul pinggangnya, hatiku mula bicara dan seraya itu hatinya semakin kencang bergelora.

"Kau buat aku hidup semula setelah lama kehilangan sebutir cahaya. Aku tahu kita bakal menongkah arus yang ganas, aku juga sedar api cinta ini bisa padam bila bila masa. Namun, ingin kunyatakan, jika mencintaimu itu adalah salah...aku tidak mahu menjadi benar. Tuhan benar mengabulkan doaku dan aku tidak akan pernah sekali pun kesal jika kau bakal meninggalkanku satu hari nanti", air mata mula membasahi ruang pipinya.

"Mari kita terus rasa ingin dihargai agar ruang kecewa tidak bisa menular", aku menyapu lembut titisan air yang mengalir semakin deras di pipi gebu itu. Kami berangkulan kemas sambil ditatap jauh bulan terang malam itu.

Ah, apakah benar cinta itu menyakitkan? Kalau benar aku sudah bersedia bersama penawar kekecewaan itu. Di telan malam hari yang dingin, aku masih merenung mata sakti itu, sukar benar ingin melepaskan pandangan dari kesayuannya. Tersenyum malu aku bila dia mengenyitkan matanya. Indah juga rasa di panah cinta.


**Antara dialog dalam novel yang bakal terbit tidak lama lagi...Nantikannya**

.........................................................................................................................................................................




Tuesday, January 08, 2008

~~Aku Tewas Dalam Asakan Prejudis~~

Aku lelah dengan percaturan minda
Mahu berhenti di semak gelora
Tersadung di celah rumpun akar belenggu
Menular peritnya di sesak jiwa

Aku hanya mahu beri dan menerima
Segala akal dan semangat yang lantang
Berhimpun di tengah kekuatan mara api
Tapi seringnya layu sebelum berkembang

Maafkan aku jika tidak bisa berlagu semerdu kalian, jiwaku tersepit antara semangat dan marak api meledak. Hanya aku bisa mengerti kerna akalku tidak terlayang olehmu. Kakiku melangkah selama ini bersama angin nafas baru, tidak seperti kamu yang kental saat di asak gebu awan. Aku mahukan yang terbaik untuk kita sama sama terjah menongkah arus, tapi niat ini adakalanya dipesongkan olehmu. Kerna apa aku masih terus utuh dan teguh?, bukan kerna nama atau pangkat yang melalaikan tapi untuk semesta lahir dengan nafas baru.

Aku tidak tegar berlari jika kakiku di hambat, kau mungkin layak merentas bara api biarpun dicincang seribu, sedang aku hanya mengebar layar senja yang mahu berlabuh. Teruskan langkahmu kalian, aku biar jadi pengomel kekusutan bangsa. Semangatku akan terus teguh dalam kata kata janji kita.

Maafkan aku jika tidak ada erti kejujuran dalam bait kataku, hanya jemari menari yang bisa mengaut rentetan hati pedih. Salam penuh lantang bicara dalam kata berbaur cinta pada bangsanya!

Friday, January 04, 2008

~~Aku Rindu Kota London~~

Malam tadi aku benar benar rasa kesunyian dari hembusan bayu Kota London. Entah mengapa, hati ini di asak keras untuk balik menjengah segala kedamaian yang pernah aku alami. Teringat saat manis & pahit yang aku lalui sehinggalah ingatanku juga ditelan di negara bekas penjajah itu. Aku tahu, Fazil pastinya kurang senang dengan jolokan tersebut, katanya kita harus mengkaji tentang penjajahan itu sebelum melontarkan kata sewenangnya. Obses sungguh pemuda itu dengan kesan sejarah yang hanya retorik semata baginya.

Aku benar rindukan kota London. Segala kebebasan minda dan jiwa yang aku lalui membuatkan hati ini meruntun mahu bergegas memijak bumi Britain itu. Apa aku terkena jampi oleh mat saleh? Jika benar, aku relakan sahaja jampi itu menyelinap dalam tubuhku. Hari hari aku suram tanpa hiruk pikuk warga kota yang menyendat di Oxford Street, Trafalgar Square & Piccadilly Circus. Bas dua tingkat yang bersepah di atas jalan raya turut membuatkan aku cemburu dengan negara itu, lebih banyak pengangkutan awam dari transpotasi peribadi. Hebat benar jika dibandingkan dengan negaraku ini.

Di sini segalanya mencekik urat sendi hingga tak bisa bernafas, ke mana sahaja aku tempuhi pasti disekat oleh tol berselirat malah tatkala kereta minta di isi takung minyaknya maka ketika itu jualah nafasku sendat semula. Bila teringatkan 'Speaker's Corner' di Hyde Park, dadaku bergelora menahan sendu, aku rindu bangat dengan kebebasan bersuara di sana sambil di panah terik mentari (jika musim panas) dan dicium angin sejuk musim dingin. Sambil menjilat aiskrim, mendengar penuh sinis (adakalanya khusyuk) dan sesekali baring di padang nyaman membuatkan aku terngiang ngiang akan keharmonian menjadi sebahagian warga kota di sana.

Aku mahu pulang ke sana dengan segera, persetankan apa mereka di sini bakal menujah dengan kata - kata. Kalau kau mahu bicara tentang semangat bangsa dan perjuangan nasionalis, kau tak kenal apa tersirat dalam hati kecilku. Aku sanggup gadaikan nyawa untuk Malaysia malah bertegang urat menegakkan suara rakyat biasa yang tidak berharta. Mereka yang pandai menunding jari mencebik bibir hanya tahu menelan harta bukan milik mereka. Bicara mereka biasanya lebih kepada semangat membuak tapi gentar di ajak ke gelanggang.

Aku cuma terasa rindu akan segala keharmonian dan ketenangan tika aku menjadi warga bumi Britain. Asyik di buai dingin beku empat musim, lena dalam sopan bicara Inggeris, tewas dalam dakapan lena taman - taman indah sekitar kota London, lapar hidangan makanan pelbagai jenis bangsa dan budaya dan rindu suara riang kanak - kanak yang keletah dalam bicaranya. Aku rindu!

Aku dalam dilema antara London atau Malaysia. Mungkin aku akan kembali ke sana dan jika itu yang aku pilih, ia mungkin buat selamanya. Lantas, tika itu jua aku teringatkan wajah anak anak kecil yang mahukan suaraku menjadi suara mereka menentang kerakusan pemerintahan gila kuasa. Aku bingung antara kedamaianku atau ketenangan mereka? Aku punya pilihan namun tidak bagi mereka, aku punya warna hidup yang berbeza namun satu warna buat mereka. Apa aku harus biarkan airmata marhain itu menjadi beku tanpa ada yang membela nasib mereka?, atau aku harus turutkan kegirangan hatiku yang membuak buak?

Oh tuhan maha pengasih lagi penyayang, aku tidak tahu apa lagi dayaku untuk meneruskan keputusan ini. Cintaku pada tanah bumi Britain yang kau curah dengan penuh sentosa itu membuatkan aku terlena dalam dunia semasa, sedangkan darahku yang mengalir sebagai anak bangsa Malaysia meluap - luap marah dengan kerakusan korupsi pemerintah yang gilakan duit rakyat miskin lagi papa kedana.

Kota London sering memanggil manggil naluriku, pastinya aku akan kembali dan merangkul segala ketenangan jiwa yang pernah aku rasai. Kini aku mengerti mengapa temanku di sana tidak ketemu jalan pulang, kerna kota London adalah kota candu. Ketagihan memeluk rasa kedamaian membuatkan lupa tentang generasi bangsa yang harus kita bela.

Aku pasti kembali....Nantikan aku Kota London!!!

Thursday, January 03, 2008

~~Aku mula berkongsi dengan kamu~~

Mencari diri yang hilang, menerjah pekat dugaan hidup. Aku merangka kisah perjalanan hidupku untuk kubongkarkan pada dunia. Ramai bertanya, apa yang ingin aku geledah sehingga tekadku untuk menerbitakan sebuah novel semakin tebal.

"Usah kau tanya apa itu kecewa dan pilu, aku lebih merasainya", ujarku pada seorang teman

"Nah, kau mahu ceritakan keaiban orang lain? Kau mahu cerita supaya mereka simpati terus melihat kepiluanmu?", dia lantang bersuara menikam dengan kata katanya.

"Kau mahu tahukan apa erti sepi buat manusia hilang ingatannya seperti aku? Kau selalu ajukan seoalan apa bingung aku setiap detik. Kenapa aku ini sensitif tak bertempat, malah kau juga yang ajar aku bagaimana hidup ini penuh dengan warna suka duka. Kau mahu aku rasainya tapi kau lupa aku ini buntu dan terus buntu dengan diri aku", aku meninggikan suaraku bukan untuk menang tapi menagih pengertian.

"Ah, suka hati kamulah. Seluruh alam ini sudahpun mendoakan kamu, jika kamu mahu tekad menceritakan segala sulit yang berlaku...nah lantas aja kau teruskan", wajah dia sedikit hambar tika aku cuba memperjelaskan padanya.

.........................................................................................................................................................................

Aku duduk termangu mangu melontarkan pandangan luas di lautan itu. Airnya tenang namun hangat di dasarnya sering bergelora. Sudah letih untuk aku bertekak dengan diri aku sendiri. Malah, Fazil sering memberikan aku kekuatan untuk menerbitkan novel kisah hidupku namun mengapa sang ratu dari kayangan itu menyekang impianku. Bukan untuk mengaibkan sesiapa, aku hanya mahu khabarkan pada dunia tentang kejadian istimewaku ini.

Bayangkan seorang gadis yang gembira dengan hidupnya, dilahirkan sempurna sifat dan memiliki sebuah keluarga harmoni dan bahagia. Menjangkau remaja, segala bertukar corak warna. Jika putih itu suci, tidak lagi padaku kerna warna putih itu sepi. Jika hitam itu kotor, tidak lagi padaku kerna pekat hitam itu warna yang membuat aku terhimpit dalam duniaku.

.................................................................................................................

Sudah ku khabarkan, novel ini bukan sekadar perjalanan kisah hidupku namun perjuanganku dalam membela hak rakyat bersama teman istimewa yang ku temui lama dahulu tapi sekadar di alam maya. Aku dibuai rasa indah sambil menjalani hari yang suram. Apa ini ceritanya cinta? Segalanya akan aku khabarkan dalam novel istimewa itu nanti.

Aku bukan sendirian menerbitkan novel itu, sambil didampingi pemuda istimewa yang sudi berkongsi kisah hidupnya maka aku semakin tercabar dan berani mendedahkan perjalanan singkat hidupku. Setiap kali aku membaca tintanya, aku semakin tercabar dan bahang cabaran itu menjilatku hingga hangus. Aku hanya mahu melihat kehebatannya dalam pembikinan novel ini.

Nantikan novel garapan kami berdua dalam masa singkat ini, biarpun ceritanya penuh tragis dan realiti namun kami juga mengharapkan 'happy ending'. Siapa yang mahu terus dihujani pilu?

Kesibukan aku dan dia dalam menghasilkan novel ini lebih memberikan cabaran buat kami. Nah, ini bukan promosi murahan untuk menarik kalian membelinya. Mengapa harus dibaca novel ini? Ia cerita dua insan yang mahukan sebuah kasih yang abadi dalam pertempuran di medan hidup.

Aku mahu berterima kasih buat keluarga dan rakan rakan terutamanya Marina, Ila, Ennie, Fida, Ekin dan Huda serta pasangan pasangan mereka kerna tidak jemu membantuku membentuk erti hidup yang aku jalani sebelum ini. Terima kasih juga buat Fazil yang menjadi pencetus semangat dan kekuatanku dalam menjalani kebuntuan saban hari. Aku tahu kau lakukan segalanya untuk melihat aku sembuh.

Apa ertinya jika terima kasih ini tidak ku layangkan buat teman teman AIC, kamu semua tahukan bahawa aku melihat diriku menjadi seyakin ini dengan asakan kamu semua? Naluri keprihatinan dan keinsafan aku sering terusik tatkala kita memenuhi undangan melihat kesengsaraan suara - suara rakyat.

Dengan asakan ceramah hebat Datuk Sri Anwar Ibrahim, aku mula rasakan kamu yang sekadar memandang kami ini melakukan kerja bodoh dan membuang masa sesungguhnya tidak berasas semata. Nilai harga kami hanya boleh terjawab dengan tidak mengaut wang ringgit dan material malahan kami mampu pelajari erti keikhlasan dan perjuangan yang tidak kamu fahami. Mungkin kamu yang sinis terhadap kami tidak dilahirkan dengan semangat perjuangan, bukan salah kamu.


Aku kalau sudah mula bicara tentang politik, pasti tidak berakhir segala kerja. Sudah, hentikan seketika. Aku mahu bersama naluriku dan si istimewa itu untuk menyudahkan novel ini. Pastikan teman - teman dan separa teman di luar sana dapatkan novel tidak bernama di suatu hari dalam tahun ini.

"Jangan di asak aku dengan sentimen tidak bermoral, kamu itu lebih mentah bicarakan tentang kejujuran kerna himpunan longgokan wang di mata kamu mengaburi keperitan mereka yang terpinggir di bumi sendiri"


Wednesday, January 02, 2008

~~Tirai 2008 terbuka kini...Ini catatan pertamaku buat FARYSH@ADRIE~~

2008 mula membuka tirainya, dengan azam dan semangat baru pastinya aku di kejar mimpi semalam untuk sedar walau waktunya tidak tiba lagi. Keindahan alam maya milik tuhan ini tidak ada tolok bandingnya, aku bersyukur kerna diberi nafas baru mengharungi segalanya penuh indah belaka.

Hari ini, kami sekeluarga menyambut ulang tahun hari kelahiran papa yang mencecah usia 52 tahun. Papa masih segak walaupun dihambat usia 50an, lantas aku terus memanjatkan doa agar Allah swt memanjangkan usianya serta memberi ruang agar kami masih terus utuh di bawah rimbun keluarga. Berikan aku kesempatan untuk bersama papa dan keluarga biarpun aku masih tidak mampu menjadi Marini yang mereka kenali selama 24 tahun. Aku mula rasai kehadiranku di dalam sebuah keluarga yang indah ini. Terima kasih tuhan atas kurniaanmu yang penuh dugaan ini, aku menadah syukur tanpa batasan.

Entah apa lagi yang bakal kulalui esok dan lusa, aku tak bisa menghitung dan mencongak segalanya. Biarlah aku lalui dengan nafas baru tanpa kenangan hitam semalam. Jika tuhan mahu aku terus menghirup udara alam ini dengan hanya berbekalkan kenangan beberapa bulan yang lalu, aku tempuhi segalanya bersandarkan keredhaanmu Tuhan. Hanya padamu ku berlindung, hanya padamu ku memohon.

Aku tak mahu lagi menoleh 2007 penuh hitam, pekat benar dugaan yang aku tempuhi. Cukup sekadar ia membantuku menguatkan semangat ini, aku tak mahu lagi meratap penuh sendu. Hari ini aku bina sebuah cerita baru yang tiada kesan hitam semalam hari.

Alhamdulillah, kehadiran anak kecil Al-Farysh mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga. Setiap gerak gerinya kami lalui penuh gembira. Banyak yang mahu aku bisikkan padanya, betapa kelahirannya memberikan ganti menutup kehilangan aku yang dulu. Pewaris Kamal Amir ini sungguh istimewa, apakah jika ingatanku pulih nanti aku bisa mengingati saat indah bersamanya? Oh tuhan kau restulah anak kecil itu dapat menerima aku sekiranya aku kembali.

Penghujung 2007 banyak memberikan cahaya baru buatku. Aku mengenali apa itu sahabat, teman dan duri dalam daging. Biarkanlah mereka yang meragui dan sering menyalah ertikan aku hidup dalam dunia ciptaannya. Aku berterima kasih buat dia kerana membuka mataku yang kelam selama ini atas tuntutan hati yang pilu.

Teman - teman AIC, kamu buat aku sering tersenyum. Biarpun tujahan mereka terhadap kalian tidak berasas semata, ia tidak sedikit pun menggoyahkan semangat aku untuk menghargai kalian. Bersama kalian, aku kenal erti semangat diri, aku kenal erti perjuangan yang tidak memandang ke arah material, aku kenal erti keikhlasan dan tanggungjawab. Seandainya kalian tidak aku kenali satu hari nanti, bisikkan ke dalam hatiku bahawa kamulah pembakar semangat hidupku yang pudar.

Pada teman - teman yang belum aku tunaikan janji untuk bertemu, maafkan aku kerna aku masih bingung untuk berhadapan dengan kalian. Kenangan yang pernah kita cipta, gelak tawa serta sendu tangis dahulu tidak lagi aku ingati. Atas kerna itu, aku tidak yakin dengan diriku sendiri untuk memeluk erat kalian, insyaALLAH akan aku tunaikan janjiku untuk bertemu kalian. Maaf atas kebingunganku ini, aku benar berharap agar teman-teman mengerti situasiku ini.

Ramai bertanya apa azamku? Perlukah aku nyatakan kerna ia langsung tidak terjah dek akal. Cukup sekadar aku katakan bahawa aku mahu mencipta hidup ini lebih bersinar dari aku yang dulu. Semoga 2008 dapat menyinarkan pelangi pelangi indah dalam perjalanan hidupku.

Banyak yang ingin aku sampaikan pada kalian, tak terluah rasanya jika semua yang ada terbuku di hati ini ku lakar di laman maya. Owh ya, aku dalam pembikinan menerbitkan novel perjalanan hidupku. Pembaca, teman-teman dan keluarga...doakan aku sempat menghabiskan 'chapter' hidupku dalam buku itu nanti. Beberapa bulan dari sekarang, jangan lupa dapatkan novelku di pasaran. InsyaALLAH.

Coretan pertama musim 2008 berkahir disini. Buat keluarga yang sentiasa teguh di sampingku, terima kasih atas kesudian kalian menerima kehadiranku ini. Semoga kita mampu mencipta jutaan kenangan dalam kehidupan ini bersama. Anak buah pertamaku, jika kau mampu membaca catatan peribadiku ini...aku hanya mahu kau tahu bahawa kehadiranmu membawa sinar ceria dalam hidupku. Semoga kau bisa menempuh alam dengan penuh keredhaan dan tawakal pada Illahi.

Aku tak bisa mencipta lagu lagu indah seperti 'ART FAZIL', maka terpaksalah aku meminjam lagu dari kumpulan UNGU berjudul TERCIPTA UNTUKKU untuk dihadiahkan buatmu. Lagu ini membuktikan betapa kau tercipta untuk menerbitkan sinar di hati kami.

Salam sayang dan SELAMAT TAHUN BARU...