Friday, April 30, 2010

Cerita Ulang Tahun Perkahwinan

Salam teman,

Kali ini, Nini nak kongsi pengalaman bercuti ke Langkawi yang merangkap keraian ulangtahun pertama pelayaran rumah tangga kami. Sesungguhnya, membina benteng rumah tangga, menyeberangi lautan luas penuh gelora memerlukan banyak pengorbanan dan pengertiaan yang tiada terhingga.

Setahun yang pertamalah menguji siapa kita dan siapa dia. Jika selama ini hanya manis bercinta dan baiknya sahaja tergambar, kini kekurangannya turut kita lihat dan rasai bersama. Namun, sebuah ikatan yang telah direstu Illahi, di tetapkan oleh qada' qadar, mana mungkin ada silapnya. Seringnya tersilap adalah kita yang mencatur perjalanan yang diredhai Allah swt itu.

Alhamdulillah, kupanjatkan segala syukur pada ALLAH maha besar kerana menganugerahkan seorang lelaki yang lengkap sahsiah dirinya padaku. Sudah beberapa ragam manusia aku kenali dan menjadi teman mesra sebelum ini tapi tidak seindah yang direstui ini. Seorang lelaki yang terlalu banyak membimbingku tentang apa itu erti hidup. Benarlah kata ayahnda, jika buah yang masak itu datangnya dari pohon yang segar dan ranum makan manislah ia.

Hidup ini tidak ada apa yang lebih indah dari mendapat petujuk ke jalan ALLAH swt. Rumah tangga yang dibina biarpun atas dasar cinta dan sayang namun tidak disemai dengan bunga bunga keislaman pastinya akan layu kuntuman bunga yang mekar dan wangi. Lebih banyak kita melakukan aktiviti ketuhanan bersama, jiwa dan rumah tangga pasti akan tenang dan damai.

Kajian menyifatkan bahawa 3 tahun pertama usia perkahwinan adalah gerbang yang sangat hampir ke arah perceraian jika ianya tidak dibendung dan diambil iktibar. Maka untuk tidak menempah ke arah kecundangan, sedarlah dari hari ini bahawa tidak ada apa yang mampu untuk menyelamatkan kasih yang terbentuk, sayang yang terbina jika bukan dengan pohonan doa yang tiada putusnya ke hadrat Illahi. Hanya itu sahaja kunci untuk mencara damai dan bahagia dalam rumah tangga.

Eh, cerita dah jauh pula menyimpangnya. Jom saksikan sedikit sebanyak rakaman gambar yang sempat kami rakam ketika meraikan usia pertama perkahwinan kami di bumi Langkawi.













Semoga Allah swt memanjangkan usia perkahwinan kami dan memberikan kami rezeki yang belipat kali ganda serta merahmati segala urusan yang kami lakukan. Aku turut berharap agar Allah swt kurniakan kami insan insan soleh & solehah yang dapat memperjuangkan AGAMAnya kelak.

"Sayang, permata itu ada dalam dirimu dan kerna ia terlalu indah, sinaran itu turut menyelubungi diriku. Pohon ampun dan maaf biar sebutir kata yang mengguris jiwamu. Cinta ini tidak pernah puas untukmu"

Tuesday, April 27, 2010

~~aku karang puisi ini untukmu~~

Ramai sibuk tanya
Nak lelaki ke perempuan?
Kalau perempuan ikut wajah siapa
Lelaki pula mesti macam daddy kan?

Aku jawab aku tak kisah
Aku tak mahu meminta terlalu lebih
Aku bersyukur tuhan anugerahkan amanah ini
Hingga airmata mengiringi bersama
Dengan hidayah yang dibekalkan

Aku hanya bermohon agar ia lahir dengan sesempurna sifat
Aku bermohon agar kesihatannya baik
Agar dia menjadi anak yang soleh/solehah
Agar dia menjadi pejuang agama
Agar dia diselubungi dengan ilmu akhirat
Hanya itu pintaku

Ayah dan ibu sudah tidak sabar lagi
Menantikan kehadiranmu sayang
Ayah dan ibu tak tahan menanggung rindu
Mahu membelai dan mencium ubun ubunmu
Mahu azankan ditelingamu
Mahu ajarkan kamu tentang kesempitan dunia dan keluasan akhirat

Ayah dan ibu sudah ada nama buatmu
Indah dan penuh cinta
Pengertiaan menjangkau segala yang terbaik
Agar kamu sering didoakan setiap kali mereka-mereka memanggilmu
Ibu dan ayah tak putus panjangkan doa
Sejak hari pertama kami mengetahu kehadiranmu

Padamu Allah ku panjat segala pinta
Doa nan kudus hingga tak tercapai
Waris ini penyambung kasih
Biar nyawaku ditukar ganti
Aku hanya mahu dia mengenali dunia
Membawa seribu satu harapan melangit
Membela nasib agama dan bangsa
Lahirnya mengutus rentetan bahagia
Lahirnya mengerat cinta dan sayang
Lahirnya terus membawa ke syurga
InsyaALLAH...





3 bulan dan cabarannya~~

Salam sahabat,

Sebenarnya terlalu banyak yang Nini nak kongsikan sejak kebelakangan ni. Saban hari ada seribu satu cerita yang menarik untuk dijadikan bahan pengajaran dan teladan untuk kita semua. Dari kisah sesak sengkak di pejabat, persekitaran, politik :) dan juga pasal diri ini.

Apa terdaya, sejak berbadan dua memang tidak punya nafsu menulis. Harapnya anak ini tidaklah kekok untuk bermain kata kata satu hari nanti, malah kalau boleh jadilah penulis terkenal yang dapat mengubati jiwa jiwa yang lara, hati yang mati dan akal yang tersasar. Namun kenyataannya benar, bermula dua bulan yang lalu isu penulisan banyak tergendala dek kerana badan lemah dan tidak punya semangat untuk meneruskan bait bait bicara.

Hari ini, Nini gagahkan juga untuk menghantar satu cerita. Ada ramai yang bertanyakan tentang puisi Nini yang gering ketika ini. Bukan tidak mahu lagi berpuisi wahai sang teman, namun masa sering tidak mengizinkan dan ditambah emosi yang seringnya terganggu. Itulah antara alasan mengapa saban waktu tidak kelihatan puisi puitis dari laman ini.

Izinkan Nini berbicara tentang isu diri yang membawa seribu satu perubahan dalam perjalanan hidup. Sahabat, Nini kini telahpun menjengah angka 3 bulan. Alhamdulillah, khabar doktor anak ini sihat dan fizikalnya dia kelihatan panjang. Tersenyum bila mendengar butiran kata tersebut. Rasa mahu menangis bila alat pengimbas melayari perut yang semakin membulat, kelihatan janin yang sudah terbentuk terbaring di dalam rahim kecil ini. Hanya kata kata memuji dan mengucap Syukur pada ALLAH swt sahaja yang dapat diucapkan.

Tatkala itu, airmata seperti mahu menitis apatah lagi bila doktor memperdengarkan denyut jantungnya. Laju dan normal, itulah yang dibilang lagi oleh doktor. Namun senyum airmata gembira itu tersekat tiba tiba apabila doktor memberitahu bahawa uri Nini jatuh ke bawah dan kedudukannya tidak sepatutnya di situ. Risau, takut dan panik mula menghambat diri.

Nini tanyakan pada doktor, apakah ia membahayakan bayi? Adakah sebarang komplikasi akan berlaku? Menurut doktor, bayi selamat dan sihat jika Nini terus menjaga kesihatan dengan baik, namun akan berlakunya komplikasi jika Nini banyak bergerak dan mengangkat barang barang berat. Ini bermakna mungkin uri akan terus jatuh dan keguguran boleh berlaku. Kering darah wajah Nini ketika itu, namun doktor menasihati agar tidak terlalu risau sebaliknya jangan banyak bergerak, InsyaALLAH uri akan naik kembali.

Ada teman teman yang menasihati agar berbicara dengan anak, minta dia bantu untuk menaikkan semula memandangkan uri itu diibaratkan seperti temannya ketika di dalam rahim. Maka setiap malam, akanku berdialog bersama anak sambil tangan kuusap lembut ke perut meminta agar jika dia mendengar suaraku, bantulah ibumu ini untuk membawamu dengan sihat 6 bulan lagi. Ibumu ini tidak sabar menantikan kehadiranmu di sisi dan ingin sekali membelaimu setiap hari.

Kerisauan tetap bersarang namun Nini sentiasa bermohon pada Allah swt, dialah segalanya bagi Nini ketika ini. Anak yang sedang Nini bawa ini juga di atas restunya, maka Nini bermohon bantuan agar segalanya selamat. Malah jika harus ditukar gantikan, Nini mahu nyawa Nini ditukar ganti untuk melihat kelahiran anak ini.

Sahabat, perubahan mental dan fizikal untuk menjadi ibu sangat mengujakan dan wanita ini sebenarnya bukan sekadar menjadi penyeri rumah tangga, malah tanggungjawabnya lebih besar dari lelaki. Kerana itulah ibu harus didahulukan, biarpun dalam keadaan terpaksa.

Berhenti seketika dan harap kita bertemu lagi, mungkin dengan sajak dan juga puisi untuk mengubat rindu teman teman yang mengasak dan bertanya.

Salam sayang~~

Thursday, April 22, 2010

Cebisan hati ibu pada sekelilingnya~~

Assalammualaikum teman,

Terlalu lama bercuti dari pentas maya, aku bukan terlalu sibuk apatah lagi menyusuri liku liku bebanan tugas yang berat. Semuanya dalam keadaan tenang dan sepoi sepoi sahaja di pejabat. Namun aku kekusutan idea, tersimpul kreativiti, terbelit butiran kata hanya kerana keadaan kesihatan yang seperti di langgar ribut taufan dan disambut oleh ombak gersang.

Setiap hari aku berdoa pada Illahi agar tidak di duga terlalu kuat hinggakan entah ke mana arah tuju. Aku bermohon agar tiada airmata menjadi peneman di kala aku membawa sebutir nyawa kecil yang bergerak di dalam rahimku. Tapi aku tewas, saban malam airmata juga yang menjadi teman. Merintih kesakitan yang entah dari mana hujung pangkalnya, mengurut tubuh yang tidak keruan.

Tatkala ini suamilah tempat menumpang segala kasih yang ada, melihat akan sedikit demi sedikit ujian Tuhan, kami berdua turut insaf. Bukan mudah membenih lantas melahirkan seoang insan apatah lagi yang mahu disemai jiwanya dengan segala ilmu Islam. Kadang aku kuat, kadang aku tertewas. Istighfar semakin deras di bibir.

Teman,
Inilah dugaanku yang baru 3 bulan membawa sebutir nyawa. Dia mahu bergerak membesar di dalam rahim kerdilku, dia mahu terus mencari keselesaan sedang aku merengkok kepedihan. Makan tidak lagi terasa di lidah, hanya untuk si dia. Tidur tidak lagi lena, mimpikan yang tidak indah belaka, pergerakan semakin lemah gara gara sakit pinggang dan tumit. Apakah ini permulaan segalanya?

Aku tidak sekali kali KESAL atas dugaan maha hebat ini. Malah aku bersyukur kerana bakal melahirkan seorang lagi khalifah di muka bumi. Ketelusan dan pengorbanan suami amat aku hargai dan ada ketikanya tertitis airmata bila melihatkan kesungguhannya membantuku yang dalam kesakitan.

Saban malam sang suami mengusap perutku yang tidak pernah henti henti kepedihan seperti manjamah cili mentah 50 biji. Sambil berlapikkan minyak dan sedikit doa penawar, suami berbual tentang kisah siang harinya. Aku hanya renung matanya, melihat akan cerita yang direka untuk mengalihkan perhatianku yang dirundung pedih.

Ada malam malamnya pula, pinggang mula menyusuk nyucuk rasa seperti kebas dan lenguh walau tidak mengangkat sebarang bebanan berat. Suami sekali lagi korbankan malamnya untuk mengusap usap pinggangku yang entah di mana punca kesakitan itu datang.

Aku lelah melihat suami menyiapkan juadah makan, mencuci pakaian, mengemas rumah dan tiap kali itu aku rasakan aku tidak menjalankan kewajipanku. Namun suami terus senyum dan berkata, 'inilah pengorbananku pula'. Gugur sebutir lagi airmata bahagia, melihat keikhlasannya menyapu segala bebanan di bahu.

Teman, entah berapa kali ku dengari ramai suami di luar sana mula rimas pabila isteri asyik terlantar, rumah tidak di kemas, makan minum terabai, nafkah batin terlerai dek kerana alahan dan kepenatan membawa nyawa kecil di dalam rahim. Ada kisah yang lebih buruk bilamana suami mencari kebahagian di luar sana dan mengaku bujang sementara kembali. Aku dirundung takut jika jika ianya menimpa dan menyinggah di bahuku.

Namun alhamdulillah, suami lebih memahami apa itu kesakitan dan penderitaan jauh dari semua insan insan yang aku kenali. Aku lebih gemar menatap wajahnya ketika tidur yang dalam, dengkur manja mula kedengaran dan ketika itu aku bangun untuk menatap dan menyentuh wajahnya sepuas hati. Aku tidak mahu dia bicara denganku, aku tidak mahu di memanahku dengan ancaman matanya yang membuatkan aku tergoda.

Tenang wajahnya dalam jasad yang ditinggalkan roh membuatkan aku mampu untuk berkata pada hatinya. Setiap hari aku tenung wajah itu, aku bermohon pada Illahi agar panjangkan jodoh ini dan rahmatilah kehidupan kami. Hanya doa itu sahaja yang mampu melahirkan sebuah keluarga yang kami impikan bersama.

Teman,
Ingin sekali lagi aku kongsikan, tatkala ini biar dalam apa pun keadaan kalian. Balik dan renunglah wajah ibu yang masih terus berhembus nafasnya. Genggamilah jemari mereka, sesungguhnya untuk melahirkan kita semua, ibu bertarung dengan nyawanya bukan hanya pada hari pertarungan itu sahaja, sebaliknya dari awal kandungan bernyawa. Kita tidak bisa mengerti apa yang mereka lalui ketika mengendong kita selama 9 bulan. Mungkin ada yang terlantar kelesuan, mungkin ada yang terdampar di katil hospital, mungkin juga ada yang tidak bisa melihat warna warni dunia kerana dirundung malap dan kelam ketika membawa kalian bersama.

Percayalah, selagi belum tiba saatnya kita menjadi ibu, kita tidak akan mengerti apa itu naluri sang ibu. Sesungguhnya tuhan itu maha kaya hingga mencipta segala rasa bagi sang ibu menahan dugaan ketika saat hamilnya. Bermulanya dari dalam kandungan sang ibu sudahpun diberi tanggungjawab maha hebat. Maka marilah kita bantu ibu kita untuk rasa gembira sepanjang hayatnya dunia dan akhirat.

Ketika cebisan ini aku titipkan, aku masih lagi merasakan keajaiban dugaan tuhan ini pastinya ada hadiah istimewa yang dijanjikan kelak, di alam yang kekal dan abadi. Moga aku lebih tabah, lebih kuat, lebih gagah untuk mempertaruhkan anakku yang akan melihat dunia 6 bulan lagi. INSYAALLAH.

Friday, April 09, 2010

UCAPAN BUAT KEKANDA

Setiap kali ku renung
Wajah itu semakin lama semakin kuat getarannya
Jantung terus berdetak
Hati terus menguntum
Seperti manik halus membasahi pipi

Alis mata itu berikan aku sinar
Senyum itu pembuluh semangatku
Genggam erat jemarinya salur pernafasanku
Semakin digenggam semakin aku rasakan
Hidup ini seperti disirami bunga bunga mekar

Kadangkala dia buat aku tertawa
Besar berdekah dekah
Hingga dikatakan lupa diri

Ada ketikanya dia buatkan aku tersenyum kecil
Malu dan tunduk menahan jenakanya
Namun dakapan erat tidak pernah lekang

Seketika pula dia mencarik amarahku
Walau tidak mara seperti api menjulang
Namun terkesima hingga ada basah pipi ini

Inilah resam kita bercinta
Mengharungi bahtera rumah tangga
Menjunjung segala amanah dari ALLAH
Menunaikan segala tuntutan yang memberikan keharmonian

Sayang,
Sempena Ulang Tahun Perkahwinan pertama
Cinta ini tak pernah kusam walau hujan panas melanda
Kasih yang dikau semai semakin membuahkan hasil

Sesaat tidak melihat wajahmu
Seribu aku dihambat kegelapan
Seminit tidak dengar suaramu
Sejuta tahun aku di kecam ketakukan
Aku tak mahu sendiri
Kerna kau ibarat nadi yang berdetik

Semoga ALLAH swt memanjangkan usia kita
Melanjutkan lagi usia perkahiwnan
Hingga ke akhir nafas kita bersama

SALAM SAYANG PENUH RASA CINTA
DI HARI ULANG TAHUN KITA YANG PERTAMA

Thursday, April 08, 2010

Amalan tenangkan jiwa

Tuhan itu ada di setiap kealpaanmu

Sejarah itu cerita semalam
Berlalu dalam arus yang pantas
Hingga tak ter lintas lagi di depan mata
Namun berkulat juga di benak minda
Menguit nguit kenangan
Atas landasan sejarah
Biar hitam biar putih
Kita tak pasti terleka dan dapat melupakannya

Perjalanan itu satu sejarah
Kata kau ia sukar untuk dimengertikan
Kata kau ia sukar difahami
Sebenarnya kau tidak bersedia
Menerjah pada alam yang kau harus tahu
Apa arah tujumu

Tuhan itu tidak zalim
Biar tika kau susah atau senang
Tapi kau sebenarnya terlupa ucap terima kasih ALLAH
Atau kau terkandas dari mengucap ALHAMDULILLAH

Namun kau tuduh dunia kejam
Alam membenci kau
Lantas tindakan masa lalu adalah sulit
Perit untuk direnangi biarpun kenangan
Airmata katamu peneman
Tapi di mana jiwa kudusmu?

Aku lihat kau seperti tiada arah
Zahirnya kau bahagia
Batinnya kau rintih kecewa
Atas pentas dunia sudah kau keluh
Apa kelengkapan untuk esok hari kau dah sedia?

Nyawamu dan aku bisa terhenti saat ini
Jika itu suratan azali Illahi
Berhentilah dari kau terus keluh
Tuhan itu tegar ada di sisimu
Walau kau terlupa akan ucap ALHAMDULILLAHmu
Walau kau terlupa tanggungjawabmu
Walau kau terleka akan masyhur dunia
Tuhan itu mahu lihat keasyikkanmu
Sambil menonton para syaitan berdansa di sisimu

Aku bersyukur kerana kau sedarkan aku
Dari lena yang panjang
Dari mimpi yang tak sudah
Biar kita kosong di dunia
Namun bersedia penuh ke alam kekal di sana
Jauh sudah kau pergi
Pulanglah...

Wednesday, March 24, 2010

Cerita bulan ke2

Malam itu aku mimpikan kota Inggeris, perjalanan harianku di sana bersama suami seperti bukan balam alam maya. Aku tertanya pada diri, apakah bayu itu memanggil ke pergi?. Terlalu rindu buatkan aku tidak berganjak dari ingatan di kota 4 musim itu.

Pagi ini aku ke hospital lagi, rutin biasa bagi para bakal bonda untuk bertemu pakar yang bisa menceritakan perjalanan bayi yang dikandung. Penantian bersama suami kuharungi biarpun 3 jam lamanya menantikan giliran. Aku memandang kiri dan kanan, wajah penuh harapan dengan perut yang berisi makhluk amanah dari tuhan.

Setiap wajah kurenung, ada yang kusam ada yang ceria ada yang seperti gelisah seribu tanya. Aku ke tandas, tajam ku lihat wajahku sendiri. Aku tidak mahu mencampur adukkan wajah murung yang ku alami di hadapan mereka.

Benar aku murung, apa tidaknya jika makan tidak lagi bernafsu, fikiran kusut menanti kehadiran si mungil. Aku kalut, seperti bukan aku. Aku lemas seperti tidak pandai mengapungkan diri ketika dalam keadaan gundah. Sebenarnya aku kaget, antara percaya atau tidak, antara yakin atau gugup bahawa aku juga mengendong sebutir nyawa yang bergerak di dalam tubuhku.

Apabila giliranku tiba, aku semakin gentar, apakah berita anak kecil ini? Doktor mulakan bicara dengan bertanya kesihatanku. Aku jawab tenang, "Saya tidak punya selera makan bukan kerna nak diet tapi segala jenis juadah bila jejaki lidah ini terasa pahit hempedu. Apakah semua ini doktor?"

"Usah fikirkan sangat, makan sikit tapi kerap dan jangan lewat. Perkara ini lazim bagi para bakal ibu terutama di peringkat pertama kandungannya", ujar doktor seperti dialog menghafal skrip. Mungkin sudah dilontarkan berjuta kali buat berjuta para ibu yang hadir mendapatkan khidmatnya.

"Mari kita lihat progres si dia", doktor memintaku berbaring sambil mengajukan mesin ajaib yang bisa melihat intipati perutku.

"Ermmmm, bagus. Besar kantungnya tapi bayi masih kecil lagi. Tak nampak sangat. Jantungnya berdegup dengan baik", doktor kuatkan suara dari peti ajaib itu.

"Kuat ya doktor", ujar ayahnda si anak kecil ini sambil di wajah penuh tanda cinta.

"Biasanya kalau bawah 80, dia mungkin alami sedikit komplikasi tapi alhamdulillah si kenit ini denyut jantungnya 145", ujar doktor persis wajah pelakon hindi itu.

"So, mummy dia kena makan lebih sikit dan jangan angkat berat berat ya. InsyaALLAH dia akan sihat sentiasa", aku lirik senyuman manis yang terkandung segala rasa.

Alhamdulillah, kata doktor dia mahu ketemu aku lewat sebulan lagi. Tatkala itu, aku sudahpun menginjak ke angka 3 bulan membawa anak kecil ini ke mana-mana. Tidak tergambar bagaimana keadaan fizikalku dari sehari ke sehari, bulan berganti bulan. Hanya naluriku kini mahu terus hampir kepadaNYA.

Senyum aku panjang, senyum suamiku juga puas. Setiap hari kami lalui perkara baru, pengalaman baru yang manis dan pahit. Aku yang terus terusan alahan seperti tidak tertanggung lagi akan ujian ini. Hanya istighfar panjang bisa aku ucapkan agar keluhan tidak terus menjadi mainan di bibir.

InsyaALLAH, aku akan terus kuat dengan segala semangat yang ada demi melihat generasiku bisa melihat dunia.

Ameen

Monday, March 22, 2010

Akalmu tinggi, Jiwamu Kosong. Kau itu HAMPAS sebenarnya!

Bila kita sering rasa kita pintar, kita terlupa bahawa ada beratus ribu manusia yang jauh kepintarannya tidak terjangkau dek kita. Usah kita mendabik dada mengangkat kata bahawa kita ini sesungguhnya terpintar antara mereka.

Tuhan berikan kelebihan pada setiap hambanya, tidak satupun hambanya dilahirkan tanpa keistimewaan yang tersendiri. Ada kalanya ia bisa terserlah kerna berjaya digilap sebaliknya ada juga yang terlupa menggilap hingga kabur akan keistimewaan itu.

Apa jua pun keistimewaan yang dikurniakan oleh Yang Esa, kita harus syukuri nikmatnya. Tidak perlu untuk tundingkan jemari ke arah siapa yang bodoh dan dungu. Bukan pangkat dan darjat yang bisa menjamin kakimu melangkah ke syurga abadi. Bukan ijazah kedoktoran tertinggi yang dikau miliki menjamin bahawa generasimu tidak akan tercela kerana kebodohan. Belum ada yang hakiki di muka bumi ini.

Aku layangkan rasa terkilan ini bila melihat segelintir manusia pintar akalnya namun dangkal percaturannya. Mereka terlalu angkuh hingga tak terdaya untuk berpijak atas bumi yang nyata. Terbang seperti burung di langit biru adalah keistimewaan yang mereka miliki walau ia hanya dalam mimpi. Belum ada anak menantu mereka yang mati kebuluran, wang ringgit bukan bicaranya kerna mereka bisa membeli segala apa yang terlintas di benak.

Aku mual, melihat lagak tanpa batasan yang mereka tampilkan. Sayang seribu kali sayang, bijak akal belum tentu membawa mereka fasih dan mahir bersahabat dengan sesiapa sahaja. Mereka lebih gemar mencipta musuh kerana di mata mereka yang bodoh tidak berpelajaran itu adalah yang rugi sebaliknya setaraf dengan mereka adalah teman yang boleh di bawa seiringan.

Aduh manusia, baru diberi sedikit nikmat sudah lupa perjanjian dengan Tuhannya. Kalau bukan atas nama Melayu, lakukanlah atas nama Islam. Usah terus kau dibuai keasyikkan yang sentiasanya kau akan berada di puncak tertinggi. Bila usiamu mula memamah waktu, kulit ditubuhmu mula kendur, matamu tidak lagi secekap dulu, kudratmu seakan terpasung, ketika itu kau bukan kumpul siapa anak didikmu sebaliknya kau telah berjaya mengumpul mereka mereka yang tidak akan membenarkan kau ke syurga.

Aku mahu terus berdoa agar kau tidak lihat lantai untuk dipijak, bila tiba ketikanya kau pasti akan rugi dan menyesal bahawa bumi milik Allah swt ini tidak membezakan hambanya dengan pangkat dan darjat. Aku malu kerana kau itu cendiakawan Melayu yang Tuhanmu adalah Tuhanku, Nabi mu adalah Nabi ku.

Bermohon aku pada Illahi, agar hati ini terus dilindungi, agar tidak ada tamak dan iri hati, dengki dan meninggi diri. Penyakit syaitan ini seharusnya terus mati dalam minda cendiakawan sebaliknya mereka ini lebih rapat dengan syaitan. Nauzubillah...

Sunday, March 21, 2010

Akhirnya hujan di hujung minggu~ Terima kasih TUHAN

Alhamdulillah, hujan juga akhirnya. Sudah berhari aku menantikan kehadiran hujan, terlalu terik bumi milik Tuhan kebelakangan ini. Walaupun adakalanya titis titis air hujan membasahi bumi dengan lantangnya, namun masih ada kegersangan jika sehari tidak merasai nikmat hujan.

Hari ini, seperti biasa aku lalui dugaan bergelar bakal 'mommy' dengan rasa penuh dugaan. Badan sekejap panas sekejap sejuk, suhu naik menggila dan turun mendadak. Kata mereka, ini biasa-biasa sahaja. Tapi aku pula kata, 'kadang tu tak tertahan dari mengeluh'.

Sudah 3 minggu nafsu makan aku pudar, melihat nasi umpama melihat makanan asing yang membuka rongga tekak untuk dikeluarkan isi perut. Melihat makanan kegemaran pula ibarat melihat ubat ubatan yang seperti dikunyah kunyah. Serius, aku benar serius dalam hal ini, hingga ada kalanya seperti mahu menangis mengenangkan kenapa tekakku seolah disumbat ubat terpahit yang pernah aku makan. Tidak lagi rasai manis, masin atau masam. Semuanya pahit belaka.

Sekali lagi mereka berkata, 'sabarlah, ini memang ujian ibu mengandung'. Oh, kalau benarlah ini dugaannya, maka aku harus rasa simpati tatkala ibuku mengandungkan kami 5 bersaudara. Ini jualah yang dialami satu musim dahulu. Tidka tergambar bagaimana rasanya ketika itu, namun kini aku dapat rasakannya.

Aku tidak sabar untuk rasai kembali nikmat menjamu juadah kegemaran, di samping merasai sihat dan kuat seperti satu ketika dahulu. Kini, badan yang gagah mulai lemah,emosi berceramuk, nafsu makan hilang dan berganti pahit semesta alam. Moga ianya akan berakhir segera, demi mengharungi kehidupan sihat dan tidak menghamparkan diri di atas katil semata.

Kata doktor, kandungan ku sudah melewati angka 7 minggu. Masih terlalu awal untuk aku rasai ada makhluk yang bertapak di dalam rahim dan lantas perutku. Masih tidak dapat kurasai gerak tubuhnya meronta-ronta mencari ruang. Degup jantungku sentiasa kencang, tidak sabar merasai pengalaman menjadi ibu. Seperti semalam aku ini bergurau senda menghabisi zaman remaja. Masih terlihat samar-samar segala bukit bukai, ranjau yang aku lalui bergelar anak muda.

Sedikit demi sedikit, aku sudahpun berubah. Perubahan yang bakal mematangkan aku setapak lagi. Impian aku untuk terus mencari dan menggodam duniawi semakin pudar sebaliknya kini aku mahu hidup yang hakiki. Aku mahu lahirkan anak anak bangsa yang terus berjaya dan tahu tentang perjuangan di muka bumi ini.

Petang Ahad ini, aku lebih rela memalaskan diri di lembar katil sambil menari di kancah penulisan sambil memerhatikan Mr Kekasih lena setelah menikmati juadah tengaharinya. Kasihan dia, dua tiga waktu ini penuh dengan dugaan. Tugas memasak di dapur, beliaulah yang mengambil alih. Bahkan tugas membersihkan rumah, membasuh pakaian dan menyidainya juga di lakukan oleh beliau. Nasib beliau memahami, kalau tak rumah kami macam dilanggar todak la jawabnya.

Kita jumpa di lain lembaran, mahu berehat dan mencari idea idea lebih kritis untuk dijadikan bahan tarian di pentas penulisan.

Salam sayang

Wednesday, March 17, 2010

SALAM HARI LAHIR ADINDA-SITI FAREHA

Terlewat untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Lahir buat satu-satunya adik iparku, Siti Fareha. Namun celebration dan hadiah sudahpun tiba ke telapak tangan beliau. Dengan rasa penuh kasih, ingin kuungkapkan sebaris ayat yang mungkin membawa sedikit rahmat ke dalam dirimu,
"SELAMAT HARI LAHIR YANG KE 24 ADIKKU".

Perjalanan ini seperti merentasi bukit bukau yang penuh liku. Kadang ia mudah, terkadang ia sangat sukar untuk kita lalui. Apa jua halangan pasti ditempuhi biar tidak terduga sukar dan gelisahnya. Namun di setiap belukar dan bukau yang menyesatkan itu, akan lahir denai denai indah, alur sungai malah air terjun yang berliku galurnya. Kau pasti akan tersenyum jua.

Hidup tidak selalunya indah dan mudah untuk kita kecapi seperti apa yang kita impikan sayang. Berkat doa dan usahalah yang pastinya menjamin sedikit demi sedikit janji untuk mengecapi bahagia. Alangkah bertuahnya jika kita sering mendapat perhatian Illahi, doa sering dikabulkan, impian direalisasikan. Segalanya seperti perancangan, namun ia bukanlah seperti sekerlip kerdipan mata untuk menjadi yang terpilih.

Sempena hari lahirmu adik, ku titipkan doa buat Illahi agar sentiasa merahmatimu, melindungi dari segala perkara mungkar dan jauhi dari anasir jahat yang bisa membuatkan kita tersesat dalam perjalanan menuju puncak keredhaanNYA. Semoga Allah swt memanjangkan usiamu, melimpahkan rezeki ke atas keluargamu dan memberikan kemudahan membesarkan anak-anakmu.

Tidak ada hadiah yang lebih berharga dari kasih sayangku ini buatmu adik. Hanya rasa ikhlas dan jujur sering melewati hari hari yang ada.

InsyaALLAH,kita akan terus mengecapi bahagia jika setiap perkara berada dalam landasanNYA. Salam hari lahir, salam sayang dari kakandamu.




Tuesday, March 16, 2010

Perjalanan Baru~

Aduhai....
Nampaknya planning untuk bercuti setiap bulan terpaksa di-postponed kan, memandangkan ada beberapa utusan penting dari Illahi. Aku diberi amanah baru untuk menjaga kesihatan seorang lagi makhluk tuhan yang kini sedang bergerak gerak dalam kantung perutku.

Bukan tak boleh untuk berjalan-jalan tapi nasihat yang sering aku terima lewat waktu ini terutama para doktor, aku disarankan untuk rehat sahaja agar tidak mengalami sebarang komplikasi peringkat awal. Mr Kekasih juga dah keluarkan mandatnya memohon agar aku tidak lagi seaktif dahulu untuk setahun ini sehinggalah keadaan fizikalku kembali menjadi seorang.

Namun demikian, tiket penerbangan dan penginapan melalui pakej Air Asia ke Langkawi pada 10 April - 13 April tidak di-cancel kan memandangkan tiada sesiapa mahu membeli tiket kami. Mr Kekasih seringnya bermohon pada Illahi agar aku dan insan teristimewa ini tidak apa apa sepanjang menaiki pesawat dan ketika di sana. At least, adalah percutian sebelum kena berpantang lama.

Al-kisahnya tiket tersebut dibeli dua bulan yang lalu ketika kehadiran insan ini tidak wujud lagi. Ia untuk memberikan ruang kepada kami mengimbau kenangan setahun yang berlalu menjadi pasangan ratu dan raja sehari. Kenangan itu mahu kami abadikan berdua di tanah keramat Langkawi. Nasib baik tak menempah tiket yang lebih jauh, jawabnya memang terpaksa dilelongkan percumalah kepada sesiapa sahaja.

Ramai yang tertanya tanya, meneka neka apakah yang melanda aku dua tiga menjak ini. Selera makan tak ada, sering dilanda gastrik, tekak rasa pahit, mood kurang enak dan perubahan badan yang sangat ketara.

Ketika itu, aku takut untuk war warkan pada seantero dunia. Masih terlalu awal dan tidak yakin bahawa apakah benar semua ini? Aku mencari kekuatan untun berhadapan dengan semua yang bertanya dan mengucapkan tahniah. Aku tidak pasti apa yang harus aku mulakan.

Nah, sekarang dengan sedikit kekuatan aku nyatakan bahawa aku kini bakal bergelar ibu. Aku mohon agar Allah swt memberikan kekuatan dan kesabaran padaku, melindungi insan istimewa ini hingga dia bisa melihat dunia. Ketika ini aku tak bisa melihat mahupun menyentuhnya, walau degup jantungnya dalam kantung perutku.

Masih terlalu jauh untuk ku hitung saat menggenggam jemarinya namun aku sering bayangkan saban waktu. InsyaALLAH, akan aku kongsikan sedikit demi sedikit pengalaman yang ada untuk dikongsi bersama.

Salam sayang


Aku berpesan pada diriku dan kalian juga~~

Salam sayang teman,

Moga hari yang berlalu membawa bahagia nan indah dalam hidup kalian, dan aku di sini tak akan putus mendoakan atas segala urusan harian teman. Beberapa waktu ini sangat mengujakan aku, memberikan satu ruang dan sinar yang paling 'tough' untuk aku lalui. Hingga ada ketikanya aku tak bermaya, aku tertewas dan sukar untuk bangkit. Namun tidak sekali kali ianya patah dan terus layu dipinggirkan.

Alhamdulillah, aku kini melalui saat saat baru dalam hidup. Hampir setahun telah berlalu, dan aku telah menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baiknya, InsyaALLAH. Banyak bukit berbukau, ombak tinggi kuharungi dan rentasi. Detik awal perkahwinan sangat mengujakan dan mendugakan. Jika baik kapal itu dilayari, baiklah ia tetapi jika tidak dengan berhati hati maka karam jualah ia suatu hari nanti.

Bukan mudah membawa diri sebagai isteri. Terlalu banyak yang harus dipelihara, di jaga dan di perhatikan sebelum melakukan sebarang tindakan. Suami ibarat sutera yang halus namun tidak mudah dijaga, isteri ibarat mahkota yang seringnya dimartabatkan agar tidak jatuh dipandang mata. Itulah pengertiaan yang aku dan suami sering terapkan dalam membina hubungan ijab kabul ini.

Aku mahu terus bersyukur dan menadah tangan pada Illahi, atas setiap anugerah dan kurniaanya yang tidak ternilai selama ini. Hamba yang hina ini sering mencari pimpinan dan bimbingan agar tidak tersimpang dan tersesat dari melihat sinaran yang DIKAU janjikan.

Sepanjang perjalanan hidup ini, tuhan itu mengadili dan menghadiahkan aku dengan seorang lelaki yang berjaya memimpin dan mendidik zahir batinku. Biarlah kami tidakpun melayari alam percintaan yang begitu lama namun aku yakin dia penuh dengan segala apa yang aku impikan. Perjalanan lalu sebelum aku kenali apa itu kebenaran cinta, aku sering tertewas dengan kepalsuan. Benar, kepalsuan itu sering wujud dalam setiap hati manusia yang tidak pernah mahu ingat akan siapa tuhannya. Leka dengan segala perwatakan pentas dunia.

Sekadar untuk peringatan pada diriku sendiri, aku tidak akan lemah dengan apapun dugaan yang Allah swt akan berikan. Itu janji aku pada diri, tidak sekadar mainan di bibir. Usahlah kita kenang apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku kerana itu semua adalah ketentuan yang telah ditetapkan.

Entah kenapa aku terpanggil untuk meluahkan tentang keikhlasan dan kejujuran ini, kerana hari ini terlalu ramai yang tidak setia dan tewas dengan nafsu yang tak keruan. Apakah tidak kalian terbayangkan bahawa pernikahan yang telah direstu illahi dan keluarga ini adalah satu dalam jutaan hikmah Allah swt untuk kita? Kata sayang di bibir bukan hanya boleh dimainkan seperti alunan muzik muzik radio di setiap corong pelosok dunia, ia harus di bawa bersama realiti dan sejujurnya.

Ramai kenalan yang aku lihat dan aku kenal hari ini seperti mempersendakan nikmat yang Allah swt telah kurniakan. Sedang sudah bersuami mahupun beristeri, hati masih lagi boleh membibitkan rasa rindu, sayang,cinta pada insan lain. Apakah kalian mahu diperlakukan sedemikan oleh pasangan kalian juga?

Istana rumah tangga tidak akan bergoyang jika kita tidak menggoncang akarnya. Berhentilah dari mengikut nafsu syaitan yang tidak membawa ke arah kebahagiaan selamanya. Sayangilah dia yang telah Allah swt ciptakan untukmu dan berhentilah dari mengharap pada satu jiwa yang tidak pasti halanya.

Tanggungjawab isteri bukan sahaja menjaga makan minum suami, malah maruah suami dan seluruh keluarganya. Begitu juga dengan SUAMI, tanggungjawabmu bukan sahaja memberikan nafkah zahir dan batin sebaliknya harus memelihara martabat isteri dan menjaga hatinya agar tidak timbul segala api api syaitan di dalam rumah tangga.

Kita renungkan bersama......

Thursday, March 04, 2010

MUNGKIN~~

"Mungkin cuaca panas sangat kot, atau mungkin terlalu banyak isu singgah di kotak minda", itulah kata hatiku sejak pertengahan bulan Februari.

Badan makin lemah, dah lama tak kena gastik boleh kena balik, kepala sekejap ok sekejap sakit, mata mengantuk semacam walau tidur sudah mencukupi.

Aku pun buntu kenapa lewat waktu ini aku seperti tidak ada 'energy' untuk melunaskan tugasan yang semakin mendaki puncak tinggi. Kalau dibandingkan dari tahun yang lalu, pembukaan 2010 banyak memberikan aku ruang untuk bersantai dan bernafas.

Mungkin aku perlukan cuti yang benar-benar rehat, mungkin aku perlukan nafas baru, mungkin aku perlu tinggalkan sejenak dunia politik yang semakin tenat dan usang, mungkin...mungkin...mungkin...

Aku mula bosan untuk berfikir seperti orang bijak, ruang untuk berkarya semakin sempit, saban hari hanya fikirkan tentang tidur dan rehat.

Namun begitu, aku sudah rencanakan cuti-cuti Malaysia bagi tahun ini. MUNGKIN ia boleh bawa aku lari dari segala kesesakkan yang aku rasai.


MAC - BUKIT TINGGI, PAHANG




APRIL- LANGKAWI, KEDAH



MEI - PULAU PINANG



JUN - MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH



JULAI - GENTING HIGHLANDS


OGOS - PERAK (BALIK KAMPUNG)


Wah macam banyak je kan aktivitinya? Perancangan kena ada, orang kata sebelum ada anak lah kena honeymoon berdua macam waktu bercinta dulu (tapi bercinta tak boleh lebih-lebih).

Teringin nak makan nasi kandaq, teringin nak naik cable car, tak sabar nak mandi laut biru dan bersih. Aktiviti ini semua bakal mengundang beberapa kilos naik bagi tahun ini. Aduhai, nasib badanlah.

Segala aktiviti harus dihentikan menjelang tiba musim Ramadhan dan Syawal :) almaklumlah nak persiapkan diri, keluarga dan sanak saudara mesti mengeringkan poket tebal.

Kalau berkesempatan, aku tak akan tertinggal walau satu pun untuk dikongsi bersama. Mari kembali ke dunia nyata, jangan asyik menerawang sahaja.

p/s: tulis entri ketika waktu pejabat, maka sedikit terkejar kejar.

Thursday, February 18, 2010

Semalam Aku Menyimpan Dendam

Merenung masa masa silam
Yang tinggal hanya saki baki
Menyelak lembaran gelap
Hitam dan kusam
Meleket leket hingga ada yang terkoyak
Ada helaian yang berdebu
Hingga mati anak anak lipas tersepit di celahnya

Itulah dia semalam yang tidak terpadam
Esok mungkin tiada mungkin ada
Segalanya belum pasti

Itulah semalam yang kelat jika di rasa
Pahit jika di telan
Rentetan itu semakin menjadi usang
Hingga terhina melihatnya

Semalam bukan permainan
Yang baik itu seringnya mengukir senyum
Yang geringnya sering menjadi dendam
Terkumpul hingga ada saat saatnya terpatri sengketa
Intipati terbungkam rapi
Hanya airmata bisa iringi

Darah mengalir bukan lagi merah
Putih hingga ke tulang
Melihat amarah semalam
Membibitkan seribu penyesalan
Semalam itu buta dan pekak telinganya
Semalam peritnya mendalam

Apa bisa semalam dimatikan?
Hanya dengan hembusan lilin harijadi
Meraikan segala kesan hitam
Ambil yang ceria bawa ke hari esok
Mungkin tidak....

Dendam itu sahabat syaitan
Dendam itu pendorong amarah bahaya
Tapi bisakah si kiyai ingati
Jika dendam sedang merasuk dalam diri

Itulah coretan semalam
Yang bawa segala egois
Hingga mati tak akan kusesali
Tumahnya darah atas semalam

Friday, February 12, 2010

AKU DEDIKASIKAN WARKAH INI BUATMU "WAN AZIZAH"


Cuba kau renung
Tepat dalam matanya
Tusuk hingga jantungnya
Degup itu tak sama
Kencang lebih dari biasa
Irama kalimah ALLAH sentiasa bergelora

Cuba...
Kali ini teluskan jauh
Biar kau rasa gugup jiwanya
Meronta menangis
Tiada kias di wajah
Tiada airmata menyapa
Tiada resah tergambar

Dia bukan kaum adam
Yang tuhan jadikan sekuat tunjang
Bukan..
Dia bukan jadi jadian yang penuh kuasa ghaib
Dia hanya dijadikan dari tulang rusuk kanan ADAM

Batinnya masih sutera
Tuturnya tidak selantang siapa siapa
Dia hanya membela nasib teraniaya
DIA
DIALAH yang membuatkan aku BANGKIT
Tidak mahu diselimuti keayuan yang palsu
Bersopan tidak beralas
Bersantun tidak bertempat

Wanita itu
Tunjang perjuangan MARHAEN
Tangannya tidak pernah mengangkat senjata
Tidak sehebat pejuang terulung TUN TEJA, HANG LI PO, PUTERI GUNUNG LEDANG
Tidak selantang IBU ZAIN, TUN FATIMAH, SAMSIAH FAKER dan seangkatan dengannya

Suaranya halus adakalanya tidak bisa kedengaran
Umpama bayu yang berhembus
Sayup sayup di cuping telinga

Wanita itu
Penuh debar di dalam dadanya
Minit minit yang berlalu umpama penjara
Kebahagiaan dirobek
Keceriaan diragut
Keperibadiaan diaib

Aku bangkit atas suara sepoinya
Aku lantang atas semangat tegarnya
Aku celik atas panahan matanya
Aku tercabar atas kekuatan batinnya

Setiap kali nama itu ku sebut
Jiwaku menangis
Aku melihat airmataku berdarah
Titisan yang gugur dihambat dendam
Aku mampir padanya
Dalam dakapan aku bisikkan
KAU ITU PENCETUS SEMANGATKU
KAU ITU PEMBANGKIT KEBERANIANKU

Selagi nafas masih ke hela
Tidak sekalipun aku berundur
Dari memastikan penderitaan jiwamu berakhir
Meskipun kau tidak bersendiri
Tuhan itu mencintaimu sepenuhnya
Dan
Aku mahu akhiri episod hitammu
Dengan warna pelangi memancar
Tidak lagi dirundung mendung tiada noktah

puisi buat WAN AZIZAH

Monday, February 08, 2010

~DUA DIMENSI~



AKU RASA TERPANGGIL UNTUK MELIHATNYA BERKALI KALI
MEMBERI SATU SEMANGAT UNTUK AKU LIHAT
PERKARA DALAM DUA VERSI, DUA DIMENSI
USAH AMBIL YANG TERSURAT
TERSIRAT ADA PENGERTIANNYA

~Satu Kiblat~

Kita ini ada kiblatnya
Di mana harus sujud
Di mana harus teguhkan saf
Usah biar ruang kecil membolos
Angin dingin bisa menampar
Bahu yang tidak bercantum

Kita ini ada kiblatnya
Satu arah satu suara
Bicara pada satu tuhannya
Menyembah pada kekuasaan yang sama

Kita ini ada kiblat
Dahi harus cium lantai itu
Bibir kumat kamit memuja muja
Jiwa terus sampaikan hasratnya

Kita tercipta kerna cinta
Atas kasih penuh rasa
Perjalanan ini bukan direka
Sudah ada litar dan lorongnya
Teruskan sujud
Biar beza warna kulitmu
Kita satu paksi
Satu kiblat
Satu tuhan

Takbir!

Tuesday, February 02, 2010

HAPPY BIRTHDAY ALONG!

Salam keriangan teman!

Alhamdulillah kita terus bisa bicara biar waktu itu tak pantas membutuhkan ruang buat aku menyemak menyelit saki baki saat yang ada untuk dicoretkan. I always feel terrible to manage my daily life. Being as wifey, slave opps worker, and pretty sister in the family hahahaha!, its is a failure to dividing my time. Not as easy as I thought.

This entry is a special dedication to my beloved sister, ALONG for her 30th birthday celebration on 26th January 2010. Woooops I guess it's not wrong to be published her age in here! 30 is just a numbers and I personally think that she looks 10 years younger than her age. Owh my GOD! she's blushing now!!!!

I believe the matured doesn't come in package, it's purely from your knowledge, behavior and vision. I could say that's she a perfect elder sister and number one in family. She shows a good example in education and attitude. She is soft, fragile and caring. And ME?? Totally different!!! The only similar thing we shared is writing skills, which I was agreed that she even far away better than me!

Dear SISTER,

I wish all the good thing always cuddle you for every single seconds
I wish ALLAH swt always there with you, whenever you needed
I wish you will be rewarded for a long life, good health and stay wealthy
I wish you to have a great and successful life
I wish to see you smile at all the time
I wish to celebrate more celebration of your birthday thru all years,
I WISH ALL THE BEST IN YOUR LIFE

I wouldn't have much cents or ringgit to be shared but
Im wealthy with loves and smiles.
Whenever you need a shoulder
You still have me at every seconds

HAPPY BIRTHDAY!
HAPPY BIRTHDAY!
HAPPY BIRTHDAY!

LOVE YOU ALWAYS ALONG!

p/s: until today, we haven't got a chance to celebrate her birthday yet due to some important errand from papa and a day after her birth date, farysh admitted to hospital. So wait for the grand celebration ya! will share some photos with all of you....