Bila kita sering rasa kita pintar, kita terlupa bahawa ada beratus ribu manusia yang jauh kepintarannya tidak terjangkau dek kita. Usah kita mendabik dada mengangkat kata bahawa kita ini sesungguhnya terpintar antara mereka.
Tuhan berikan kelebihan pada setiap hambanya, tidak satupun hambanya dilahirkan tanpa keistimewaan yang tersendiri. Ada kalanya ia bisa terserlah kerna berjaya digilap sebaliknya ada juga yang terlupa menggilap hingga kabur akan keistimewaan itu.
Apa jua pun keistimewaan yang dikurniakan oleh Yang Esa, kita harus syukuri nikmatnya. Tidak perlu untuk tundingkan jemari ke arah siapa yang bodoh dan dungu. Bukan pangkat dan darjat yang bisa menjamin kakimu melangkah ke syurga abadi. Bukan ijazah kedoktoran tertinggi yang dikau miliki menjamin bahawa generasimu tidak akan tercela kerana kebodohan. Belum ada yang hakiki di muka bumi ini.
Aku layangkan rasa terkilan ini bila melihat segelintir manusia pintar akalnya namun dangkal percaturannya. Mereka terlalu angkuh hingga tak terdaya untuk berpijak atas bumi yang nyata. Terbang seperti burung di langit biru adalah keistimewaan yang mereka miliki walau ia hanya dalam mimpi. Belum ada anak menantu mereka yang mati kebuluran, wang ringgit bukan bicaranya kerna mereka bisa membeli segala apa yang terlintas di benak.
Aku mual, melihat lagak tanpa batasan yang mereka tampilkan. Sayang seribu kali sayang, bijak akal belum tentu membawa mereka fasih dan mahir bersahabat dengan sesiapa sahaja. Mereka lebih gemar mencipta musuh kerana di mata mereka yang bodoh tidak berpelajaran itu adalah yang rugi sebaliknya setaraf dengan mereka adalah teman yang boleh di bawa seiringan.
Aduh manusia, baru diberi sedikit nikmat sudah lupa perjanjian dengan Tuhannya. Kalau bukan atas nama Melayu, lakukanlah atas nama Islam. Usah terus kau dibuai keasyikkan yang sentiasanya kau akan berada di puncak tertinggi. Bila usiamu mula memamah waktu, kulit ditubuhmu mula kendur, matamu tidak lagi secekap dulu, kudratmu seakan terpasung, ketika itu kau bukan kumpul siapa anak didikmu sebaliknya kau telah berjaya mengumpul mereka mereka yang tidak akan membenarkan kau ke syurga.
Aku mahu terus berdoa agar kau tidak lihat lantai untuk dipijak, bila tiba ketikanya kau pasti akan rugi dan menyesal bahawa bumi milik Allah swt ini tidak membezakan hambanya dengan pangkat dan darjat. Aku malu kerana kau itu cendiakawan Melayu yang Tuhanmu adalah Tuhanku, Nabi mu adalah Nabi ku.
Bermohon aku pada Illahi, agar hati ini terus dilindungi, agar tidak ada tamak dan iri hati, dengki dan meninggi diri. Penyakit syaitan ini seharusnya terus mati dalam minda cendiakawan sebaliknya mereka ini lebih rapat dengan syaitan. Nauzubillah...
No comments:
Post a Comment