Salam sayang teman,
Moga hari yang berlalu membawa bahagia nan indah dalam hidup kalian, dan aku di sini tak akan putus mendoakan atas segala urusan harian teman. Beberapa waktu ini sangat mengujakan aku, memberikan satu ruang dan sinar yang paling 'tough' untuk aku lalui. Hingga ada ketikanya aku tak bermaya, aku tertewas dan sukar untuk bangkit. Namun tidak sekali kali ianya patah dan terus layu dipinggirkan.
Alhamdulillah, aku kini melalui saat saat baru dalam hidup. Hampir setahun telah berlalu, dan aku telah menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baiknya, InsyaALLAH. Banyak bukit berbukau, ombak tinggi kuharungi dan rentasi. Detik awal perkahwinan sangat mengujakan dan mendugakan. Jika baik kapal itu dilayari, baiklah ia tetapi jika tidak dengan berhati hati maka karam jualah ia suatu hari nanti.
Bukan mudah membawa diri sebagai isteri. Terlalu banyak yang harus dipelihara, di jaga dan di perhatikan sebelum melakukan sebarang tindakan. Suami ibarat sutera yang halus namun tidak mudah dijaga, isteri ibarat mahkota yang seringnya dimartabatkan agar tidak jatuh dipandang mata. Itulah pengertiaan yang aku dan suami sering terapkan dalam membina hubungan ijab kabul ini.
Aku mahu terus bersyukur dan menadah tangan pada Illahi, atas setiap anugerah dan kurniaanya yang tidak ternilai selama ini. Hamba yang hina ini sering mencari pimpinan dan bimbingan agar tidak tersimpang dan tersesat dari melihat sinaran yang DIKAU janjikan.
Sepanjang perjalanan hidup ini, tuhan itu mengadili dan menghadiahkan aku dengan seorang lelaki yang berjaya memimpin dan mendidik zahir batinku. Biarlah kami tidakpun melayari alam percintaan yang begitu lama namun aku yakin dia penuh dengan segala apa yang aku impikan. Perjalanan lalu sebelum aku kenali apa itu kebenaran cinta, aku sering tertewas dengan kepalsuan. Benar, kepalsuan itu sering wujud dalam setiap hati manusia yang tidak pernah mahu ingat akan siapa tuhannya. Leka dengan segala perwatakan pentas dunia.
Sekadar untuk peringatan pada diriku sendiri, aku tidak akan lemah dengan apapun dugaan yang Allah swt akan berikan. Itu janji aku pada diri, tidak sekadar mainan di bibir. Usahlah kita kenang apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku kerana itu semua adalah ketentuan yang telah ditetapkan.
Entah kenapa aku terpanggil untuk meluahkan tentang keikhlasan dan kejujuran ini, kerana hari ini terlalu ramai yang tidak setia dan tewas dengan nafsu yang tak keruan. Apakah tidak kalian terbayangkan bahawa pernikahan yang telah direstu illahi dan keluarga ini adalah satu dalam jutaan hikmah Allah swt untuk kita? Kata sayang di bibir bukan hanya boleh dimainkan seperti alunan muzik muzik radio di setiap corong pelosok dunia, ia harus di bawa bersama realiti dan sejujurnya.
Ramai kenalan yang aku lihat dan aku kenal hari ini seperti mempersendakan nikmat yang Allah swt telah kurniakan. Sedang sudah bersuami mahupun beristeri, hati masih lagi boleh membibitkan rasa rindu, sayang,cinta pada insan lain. Apakah kalian mahu diperlakukan sedemikan oleh pasangan kalian juga?
Istana rumah tangga tidak akan bergoyang jika kita tidak menggoncang akarnya. Berhentilah dari mengikut nafsu syaitan yang tidak membawa ke arah kebahagiaan selamanya. Sayangilah dia yang telah Allah swt ciptakan untukmu dan berhentilah dari mengharap pada satu jiwa yang tidak pasti halanya.
Tanggungjawab isteri bukan sahaja menjaga makan minum suami, malah maruah suami dan seluruh keluarganya. Begitu juga dengan SUAMI, tanggungjawabmu bukan sahaja memberikan nafkah zahir dan batin sebaliknya harus memelihara martabat isteri dan menjaga hatinya agar tidak timbul segala api api syaitan di dalam rumah tangga.
Kita renungkan bersama......
No comments:
Post a Comment