Salam sahabat,
Sebenarnya terlalu banyak yang Nini nak kongsikan sejak kebelakangan ni. Saban hari ada seribu satu cerita yang menarik untuk dijadikan bahan pengajaran dan teladan untuk kita semua. Dari kisah sesak sengkak di pejabat, persekitaran, politik :) dan juga pasal diri ini.
Apa terdaya, sejak berbadan dua memang tidak punya nafsu menulis. Harapnya anak ini tidaklah kekok untuk bermain kata kata satu hari nanti, malah kalau boleh jadilah penulis terkenal yang dapat mengubati jiwa jiwa yang lara, hati yang mati dan akal yang tersasar. Namun kenyataannya benar, bermula dua bulan yang lalu isu penulisan banyak tergendala dek kerana badan lemah dan tidak punya semangat untuk meneruskan bait bait bicara.
Hari ini, Nini gagahkan juga untuk menghantar satu cerita. Ada ramai yang bertanyakan tentang puisi Nini yang gering ketika ini. Bukan tidak mahu lagi berpuisi wahai sang teman, namun masa sering tidak mengizinkan dan ditambah emosi yang seringnya terganggu. Itulah antara alasan mengapa saban waktu tidak kelihatan puisi puitis dari laman ini.
Izinkan Nini berbicara tentang isu diri yang membawa seribu satu perubahan dalam perjalanan hidup. Sahabat, Nini kini telahpun menjengah angka 3 bulan. Alhamdulillah, khabar doktor anak ini sihat dan fizikalnya dia kelihatan panjang. Tersenyum bila mendengar butiran kata tersebut. Rasa mahu menangis bila alat pengimbas melayari perut yang semakin membulat, kelihatan janin yang sudah terbentuk terbaring di dalam rahim kecil ini. Hanya kata kata memuji dan mengucap Syukur pada ALLAH swt sahaja yang dapat diucapkan.
Tatkala itu, airmata seperti mahu menitis apatah lagi bila doktor memperdengarkan denyut jantungnya. Laju dan normal, itulah yang dibilang lagi oleh doktor. Namun senyum airmata gembira itu tersekat tiba tiba apabila doktor memberitahu bahawa uri Nini jatuh ke bawah dan kedudukannya tidak sepatutnya di situ. Risau, takut dan panik mula menghambat diri.
Nini tanyakan pada doktor, apakah ia membahayakan bayi? Adakah sebarang komplikasi akan berlaku? Menurut doktor, bayi selamat dan sihat jika Nini terus menjaga kesihatan dengan baik, namun akan berlakunya komplikasi jika Nini banyak bergerak dan mengangkat barang barang berat. Ini bermakna mungkin uri akan terus jatuh dan keguguran boleh berlaku. Kering darah wajah Nini ketika itu, namun doktor menasihati agar tidak terlalu risau sebaliknya jangan banyak bergerak, InsyaALLAH uri akan naik kembali.
Ada teman teman yang menasihati agar berbicara dengan anak, minta dia bantu untuk menaikkan semula memandangkan uri itu diibaratkan seperti temannya ketika di dalam rahim. Maka setiap malam, akanku berdialog bersama anak sambil tangan kuusap lembut ke perut meminta agar jika dia mendengar suaraku, bantulah ibumu ini untuk membawamu dengan sihat 6 bulan lagi. Ibumu ini tidak sabar menantikan kehadiranmu di sisi dan ingin sekali membelaimu setiap hari.
Kerisauan tetap bersarang namun Nini sentiasa bermohon pada Allah swt, dialah segalanya bagi Nini ketika ini. Anak yang sedang Nini bawa ini juga di atas restunya, maka Nini bermohon bantuan agar segalanya selamat. Malah jika harus ditukar gantikan, Nini mahu nyawa Nini ditukar ganti untuk melihat kelahiran anak ini.
Sahabat, perubahan mental dan fizikal untuk menjadi ibu sangat mengujakan dan wanita ini sebenarnya bukan sekadar menjadi penyeri rumah tangga, malah tanggungjawabnya lebih besar dari lelaki. Kerana itulah ibu harus didahulukan, biarpun dalam keadaan terpaksa.
Berhenti seketika dan harap kita bertemu lagi, mungkin dengan sajak dan juga puisi untuk mengubat rindu teman teman yang mengasak dan bertanya.
Salam sayang~~
No comments:
Post a Comment