Sunday, May 13, 2007

~~wArKah DaRi PaPa~~


PUTERI HATI KU

Belum pernah tersurat sedari azali

Menjadikan Fatamorgana fitrah famili


Dalam simpulan akrab kasih sayang

Bersama doa yang terhimpun

Kau dibimbing untuk tidak menjejaki sejarah

Kerna kitalah seharusnya mencipta sejarah


Sudah terlupakah duhai puteri hati

Saat simpuh mu ku perbetulkan

Bersama simfoni tekad melampiaskan tentang resah...

Atau pernah merasa takut untuk kecundang?

Kenapa harus diiizinkan


Sungai cabaran menghanyutkan pengharapan

Sedang lautan masih terlalu luas

Terhimpun misteri yang perlu kau terokai


Bukankah pernah ku bisikan

Kepedihan hari ini adalah memori indah

Duka semalam bukan momen alasan

Menjadi pelaut yang kecundang

Sukar menganyam kekarang

Memintal buih di gigi samudera

Tewas dalam pelayaran

Bukan begitu Puteri hati ... bukan!!


Yakinlah

Kau srikandi masa depan

Warisan pejuang bangsa

Legasi yang sedang ku canai

Agar Melayu tidak hilang dunianya


Terlalu jauh lagi titian perjalanan mu

Onak duri berbisa masih belum kau terjah

Sekadar sembilu dedalu yang malu

Disebalik bunga ilalang


Ranting rapuh di Tralfagar Square

Adalah mainan anak kecil berdayung sampan

Di hening pinggiran sungai dinding


Bukankah telah ku simpulkan

Tekad terpahat cita sebuah impian

Melakar sejarah hidup

Legasi peradaban melayu

Untuk tidak menangis seribu tahun lagi


Aduhai puteri hati

Jangan kau biarkan

Puing ragu gelodak minda

menyerah dan terus mengalah...


Warisan kita pelaut terbilang

Menawan ombak dilautan gelora

Memukau taufan menepis badai

Layar terkembang tidak mungkin robek tercalar

Belum pernah terongkai sumpah warisan

Sekali melangkah berpaling tidak mungkin


Puteri hati ratna jiwa raga

Bacalah kilau dalam silau

Bahtera kian menghampiri pulau impian

Sekadar menghitung hari

Memori mama di saat kau tujuh bulan dalam kandungan.


Pasrah mu adalah resah kami

Himpunkan tekad genggam hasrat

Kerana kau puteri hati yang cekal

Dan tidak mungkin menyerah kalah


"Marble Arch" yang kau jejak

Dingin "Fleet Street" padang permainan papamu

Terhimpun sebuah impian

"The Strand" bakal dimiliki

Bukan sekadar menghirup kopi manis di "Buckingham"

Atau labun gebang-gebang "Westminister"


Lewat musim bunga nanti

Kita akan bersama dan bersatu

Memetik tulip di "Amsterdam"

Menghitung bilang anak tangga menara"Eiffel"

Sambil bersandar seketika di menara condong Pisa

Amat ku faham dan cukup mengerti

Hasrat mu mencari soneta di "Millan"


Puteri hati untaian jiwa

Ingat pesan dan amanah ini

Kita harus melakari sejarah kita sendiri

Sapulah air mata sepi mu

Dakap mimpi indah

“I am proud of you”


Kamal Amir

11 Mei 2007

(hari ulang tahun kelahiran Umno ke 61)

Saturday, May 12, 2007

~~hAnYa SemInIt BuaKu~~

Apakah hidup satu keterpaksaan
Menjalani sesuatu tidak dalam keindahan
Biar semuanya dikatakan dugaan
Kekuatan itu tidakkah bakal pudar jua?

Apakah semalam sering menjadi momok mengerikan
Menelan kepahitan yang keindahannya hanya secebis
Tidak bosankah waktu berputar
Melihat kejelekkan sumpahan semalam

Di hadapan sana ada bahagia
Kata itu kata papa
Di hadapan sana ada sinar cahaya
Kata itu kata mama
Di hadapan itu cuma fatamorgana
Kataku membelit bicara mereka

Kelopak air hanya biasan cahaya
Semakin di kejar tidak akan bisa merasainya
Apakah itu juga satu kekaburan
Kabur minda hanya untuk nikmat mata

Penat membawa diri
Melihat esok tidak ada seri
Beri sedikit waktu berbicara
Sedikit lagi tidak lama
Untuk ku luah kata jiwa
Untuk ku sambar semangat yang hampir lemah

Hanya seminit buatku
Bawakan cerita gembira
Hanya seminit buatku
Lapahkan angan agar ku ketawa
Esok tidak lagi ku harap
Kerna bau yang ku hidu keperitan belaka


~~pUisI kaSiH bUaT kELuArGa~~

Entah apa yang menjilat rasa
Rindu atau ketagih kemesraan

Entah apa yang memendam dijiwa
Keletah bersama atau bibit sengketa

Entah apa jua yang bergumpal
Kenangan bersimpul atau keriangan tercipta

Satu yang pasti
Kisah kasih tak bisa terlerai
Terpisah alam sementara
Berjumpa di alam abadi
Kasih tetap terbelit menjadi sakti

Hari ini kuramal perjalanan esok
Entah menjadi belum pasti
Namun hari ini tetap kulalui
Kesan hari semalam yang indah

Hari ini aku disini bersendiri
Biar semalam aku bersama bertautan kasih
Hari ini aku di sini menggulung lembaran rindu
Antara cerita semalam yang menjadi jambatanku

Mungkin terus aku di sini
Mencari hidup sendiri
Dalam untaian kasih mereka di sana

Mungkin terus aku di sini
Membentuk kehidupan yang ku cari
Dalam bait doa doa mereka

Mungkin terus aku di sini
Mencari erti hidup berdikari
Andai seru hembus untuk pulang
Dendangan gembira menutuh kalbu

Biar aku disini terus mencari
Sezarah kecil erti hidup
Pastikan doamu terus dikait
Agar tidak mati ketandusan
Kasih dan rindu rindu kalian

Rindu bukan lagi katanya
Kasih bukan lagi subjeknya
Namun yang pasti
Cinta ini tak akan hilang zatnya
Walau terpisah benua lautan


mEgA sEnjA mEnyELeBunGi MaLaM DeRiTa

Senja itu
Seringkali menjenguk dengan wajah wajah aneh
Tak pernah berhenti menganggu
Biar dalam terang panas memetir

Senja itu
Sering ada cerita cerita pedih
Mencari dan terus mencari
Untuk kepuasan diri
Berselingkuh para para syaitan
Mengulit enak ketenteraman nurani

Mega senja hampir pudar
Hati dalam keresahan
Bergelora setiap turun naik nafas
Menganyam kesongsangan pedih hati
Melawan bersama sisa kekuatan

Burung hantu kian celik
Kelawar mula mencari malamnya
Pekat alam membuai mimpi sang penghuni
Namun aku terus berperang
Bergelumang dengan gelodak jiwa
Tak tenang
Tak senang
Entah bila akan hilang

Semangat itu makanan harianku
Dilapah tanpa kenal erti kenyang
Sekadar bekalan untuk seketika waktu
Andai tidak bisa mencari setitip kekuatan

Semangat itu menyelimuti detik jam berdenyut
Tak mungkin hilang selagi jiwaku kental
Tergesel luka biar hanya jadi parut
Pastikan tidak terus bernanah

Dengan kalimat Lailahailallah Muhamadurasulullh
Aku akan pasti terus berjuang
Merentas lautan luka luka semalam

Sunday, April 08, 2007

~~Filem BUKAK API garapan berani~~

Mungkin aku agak terlewat menonton filem panas terbitan Pink Triangle Production dengan sokongan MAJLIS AIDS MALAYSIA yang tidak pun ditayangkan di pawagam. Filem BUKAK API sesungguhnya benar benar mencetuskan kontroversi lapisan masyarakat awam hari ini mengisakan perjalanan gersang seorang lelaki bertubuh wanita atau lebih dikenal mesra sebagai 'mak nyah' yang merintih menagih kebebasan hak dari masyarakat sekeliling, malah turut diselitkan kisah penderitaan pelacur kelas bawahan yang mengemis sesuap nasi.

Keberanian menyelitkan aksi sensasi seperti merangkul tubuh, menjilat tubuh, bercumbu rakus, meraba daerah ransangan seks dan berpakaian separuh bogel membuatkan perjalanan filem ini meremangkan bulu tengkok. Kisah hidup 'maknyah' dan pelacur yang bertarung dengan hidup serta dihina mata keliling adalah objektif utama filem ini. Ia menyelitkan unsur pengajaran terhadap penggunaan kondom ketika melakukan hubungan seksual terutamanya secara rambang. Turut menyelitkan isu bahaya terhadap suntikan hormon serta perlunya mendapatkan khidmat pakar kesihatan jika berniat menukur struktur tubuh.

Selain menceritakan kisah salah laku pengamal mak nyah ini, filem ini berjaya memberikan impak kasih sayang dan nilai murni seseorang biarpun mereka itu dipandang kotor oleh masyarakat. Namun demikan, filem ini tidak berpaksikan pada perjalanan hidup kotor maknyah dan pelacur sebaliknya memberikan kesan positif pada orang ramai agar tidak menghukum seseorang dengan kejahilannya.

Mesej filem ini sampai pada tahap memuaskan, ia juga berjaya mencungkil bakat pelakon baru yang tidak nampak kekok lenggok gaya seorang pelakon. Rata rata mereka yang terlibat sebagai pelakon berjaya membawa watak seperti seorang pelakon popular. Keberanian beraksi di hadapan lensa kamera membawa aku terbang ke alam kalut mereka.

Benar setiap insan punya hak untuk merasa biarpun songsangnya peradaban agama, apatah lagi kehidupan ini sebenarnya punya corak warna yang rakus. Kasihan melihat ketandusan nilai murni seseorang itu tapi apakan daya mereka tidak bisa mengerti hukum hakam agama lantas layu dibuai alam sementara ini.

Filem ini sebuah filem yang baik biar cara penyampaiannya buatkan aku mual tapi sebagai insan biasa aku sedih melihat keterlanjuran kehendak hati mereka. Baliklah ke jalan yang benar, kita masih punya waktu untuk menghitung dosa pahala. Allah s.w.t maha pengampun, maha penyayang, usah dilalaikan dengan nafsu yang sumbang. Cinta dan seks hanya nafsu semata biar dirungkai dalam konteks yang berbeza ia tetap punya batas.

Siapa pun di dunia ini pasti dahagakan rangkul kemas penuh belai namun ia tidak kekal lama, berilah ruang untuk menggilap rasa cinta yang landasannya pada kebenaran dan kebersihan diri. Aku tidak mencemuh mereka ini tetapi aku punya hak untuk memberikan kesedaran hidup sebagai manusia. Hukuman bukan aku yang melangsaikannya, namun aku punya tugas memberikan kata penyudah buat mereka.

Kembali ke jalan benar, cinta pada yang asli, bergumpal bersama si dia yang sah, itulah pesanku buat golongan lupa asal usul diri ini. Sampai ke sudah cerita ini tak ada penghujungnya jika tidak dipusingkan pencabulan minda.

Hari ini kita makin hampir dengan hari akhirat, mahukah kita dihumban selamanya ke dalam api yang membakar tubuh? Jangan disalahkan pada takdir, ia tidak adil terhadap kekuasaan YANG MAHA ESA. Binalah kasih sayang dan cinta dunia ini pada mereka yang telah ditetapkan. Jangan diikutkan pujuk rayu syaitan lakhanat, ia hanya memimpin ke arah kemurkaan ALLAH s.w.t

Bagi mereka yang terlibat dalam projek filem BUKAK API ini, syabas kerana berjaya membikin sebuah dokumentari drama berani dan membawa mereka yang tidak kenal erti songsang kepada realiti kehidupan jelek. Lakonan dan pengarahan yang hebat setanding filem antarabangsa ini menzahirkan rasa berbalam dalam hati bila menontonnya.

Layarilah laman web www.youtube.com dan carilah filem BUKAK API untuk mengetahui apakah isi ceritanya. Pengajaran dalam bentuk menggunakan kondom serta kesan buruk mengambil suntikan hormon tanpa cadangan pakar melahirkan filem ini berobjektif positif terhadap penonton. Sifat buruk yang ditontonkan jadikan sempadan buat kita dan yang pastinya janganlah kita menghukum mereka kerna kita tak punya kuasa untuk bertindak sedemikan. Tarik rambut dalam tepung, jangan putus rambutnya dan tepung usahlah berselerak.

Pada mereka yang masih lalai dan alpa, pintu taubat tidak tertutup lagi, kembalilah ke jalan yang tidak dimurkai ALLAH s.w.t dan pohonlah hidayah dariNYA, InsyaALLAH kita pasti diberi peluang menjadi insan yang didalam lindunganNYA. Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi mengasihani, bersamalah kita membantu golongan alpa ini.

http://www.youtube.com/watch?search=&mode=related&v=zltc6gWxhfA

~~Omongan Seni~~

Bicara seni iramanya halus, tidak ada jalan pintas apatah lagi sepakat mencari huraian. Istilah seni bukan satu haluan, cabangnya melebihi dahan pokok balak hutan. Merungkai istilah adakalanya membuatkan keegoan bak meter 'rpm' kereta. Berpetah dengan insan insan seni kalau tak faham peribadinya bisa mengundang lebam di hati.

Ah susah
benar nak mengerti biar kadangnya susunan ayat diatur rapi tapi pendapat bisa memecah kesinambungan bual kata. Seni itu sensitif, seni itu ego, seni itu peribadi diri, seni itu maruah. Kadangkala kita rasa kita ini seni sedang kita tak sedar seni kita hanya kerna menutup siapa kita sebenarnya. Pelukis itu seni kata mereka, penyanyi, pelakon, pemuisi, penulis, pengarang itu juga katanya seni.

Bukankah guru, arkitek, peguam, doktor dan akauntan itu juga seni? Mereka menggarap kerjaya dengan halus seni tersendiri.
Pemikiranku tergantung pada bual bicara bersama seni'man' muzik yang punya minda intelek tak terjangkau.

Perjalanan melihat karya seni lukis Galeri 'Tate Modern' di Kota London membuatkan aku dan seni'man' mengulas cerita seni yang berkait-kait. Sekejap kami menyelam alam muzika, tiba tiba kami dah berada di karang alam pentas lakon, entah bagaimana tersangkut pada cerita keperibadian manusia yang katanya mereka itu seni.


Menjelajah Galeri 'Tate Modern' hampir 4 jam membuatkan kotak minda tak henti berputar. Dari garis halus hingga ke pintal bulatan, dari putih suci ke hitam gelita, dari abstrak arca kepada potret gambar penuh misteri. Lukisan punya cerita yang tidak jelas, kita betah gambarkan apa sahaja yang dibentuk kerna lenggok lukisan tidak ada salah dan benar, tidak ada satu atau dua, tidak ada sempadan dan garisan, yang ada cuma fikiran membentuk wajah cerita.


Bukanlah doktor itu tidak seni, jurukira tidak ada sensitiviti, guru hilang saraf egois, peguam tenggelam pada kehalusan, cuma mereka ini berfikir dalam konteks yang berarah. Tidak perlu mencari pengertian tanpa formula dan mengecam dengan satu tujuan tidak berjuta. Kesenian mereka pada kehebatan dan kecekapan, minda hanya bergerak pada satu paksi tidak sekusut ahli seni abstrak yang menggulung sesebuah cerita dengan ayat kabur.

Pelukis, penulis, pelakon, pemuzik dan pereka (fesyen, lagu, skrip dll) punya jalan seni yang berbeza. Lain yang ditanam, lain pula yang berbuah malah rasanya juga punya beza. Mereka melakar hati yang hidup dalam lapisan demi lapisan.

Keluar dari Galeri 'Tate Modern', aku mencari siapa aku. Di mana contoh abstrak lukisan yang mencerminkan siapa aku sedang temanku si seni'man' pula, semangatnya membuak buak untuk melahirkan wajah lukisan baru. Ah, dia bolehlah kerana dia punya sentuhan senilukis sedang aku sentuh hanya pada kalam yang menari atas lembaran putih, keluarnya tidak berbentuk tapi hanya huruf yang punya seribu maksud.Kami sempat berbicara tentang isi hati 'tukang' lukis, dah tentunya dia lebih memahami apatah lagi keterlanjuran mindanya sering berada seribu kali di hadapan berbanding jika diukur jangkau minda sempitku.

Katanya, pelukis itu melakar sejarah diri, menghayun berus menconteng papan lukis tanpa ada arah. Pemilihan warna bergantung pada kejujuran hati, simbol yang digunakan tak perlu untuk buat semua mengerti. Aku bidas, bukankah dari buku 'Representation : Cultural Representations and Signifying Practices' yang aku telaah mengatakan setiap simbol sudah ada maksud tersiratnya dan penggunaan warna sudah ada penetapannya?

Malah kata guru 'mat saleh' ku di sini, tanpa ada haluan simbol objek, sukar untuk melakar jiwa yang kalut. Seni'man' melerai simpulanku dengan pemikiran lancangnya, katanya 'benar simbol dan warna pengaruhi istilah tetapi pengertian yang ditelan oleh setiap manusia itu berbeza. Contohnya, simbol 'peace' yang sering digunakan anak muda hari ini sudah dimengerti dengan makna yang disematkan dari mula ia dicipta walhal jika ditenung sedalamnya, makna tersurat pula melambangkan 'cross' terbalik yang dikaitkan dengan agama kristian'.


Aku diam membisu tak berani nak membidas, kerna seni'man' pasti lebih mengerti apa itu erti simbol sedang aku membacanya dari irama semasa. Seni'man' menulis lagu dalam album "NUR' tentang warna asmara. Simbol warna bisa diterjemahkan dalam erti cinta?, wah benar sungguh akalnya merentas garis asas. Pada awalnya aku hanya mengupas erti warna mengikut lentok etika semata, tapi semakin aku menerjah semakin aku lihat kebenarannya. Hati aku berbisik kecil, 'seni'man' ini punya alunan rentak jiwa yang berbelit dan mungkin bisa tersepit'.

Bukan kesimpulan tapi huraian peribadi, aku menggarap satu cetusan baru dalam mengungkap pengertian seni itu sebenarnya ghaib. Kadang ia datang, tiba tiba hilang disedut angin. Ia bisa melalaikan waktu berputar dan lenyap
ditinggalkan arus yang menggerunkan. Si seni'man' ku lihat semakin disimbah api semarak untuk mencetus arca baru lukisannya. Entah apa yang berselirat dalam kotak fikirnya aku tak pasti, susun atur strateginya menakutkan. Mana tidaknya, aku terbayang benarkah seni itu menelan sensitiviti gelora jiwa dan meninggalkan realiti gambar nyata untuk seketika? Ruang kosong dalam perjalanan hidup lebih senang dilalui dengan seninya dari bertaut pada sekujur jasad bernyawa.

Siapa pun insan seni, di manapun berdirinya, larinya mungkin herot, atur bicara berselirat kabut namun mereka tetap istimewa. Menilai dalam mata halus, merenung arus ghaib, hati menyirat hanya pada lembaran kain atau kertas putih.



"Seni itu iramanya lembut, dipegang tak bisa didakap hanya mimpi, namun seni itu penuh misteri dalam keghaiban peribadi insan insan seni", MARINI KAMAL

~~PerTanyaAn PerGolakKan PeMikiran~~

Mengapa ada neon
Menyinar tidak secerah mentari
Benarkah ada rimbun
Berteduh dari limpahan hujan

Ke mana lenyapnya bintang
Tika malam menyapa hari
Sejukkah air di dasar lautan
Sedang di tepian kita menggigil kesejukan

Hidup adakah kepastiannya?
Bahagia, gembira,seloka,duka
Hidup zahirkah ketenangannya?
Air mata, jerit perih sentiasa melingkar

Putaran alam makin laju
Seketika di atas sebentar nanti di bawah
Apakah harus tunduk pada kepantasan?
Leka menghitung esok yang kabur?

Wujudkah cinta abadi?
Selain cinta pada YANG ESA?
Wujudkah cinta bahagia?
Selain cinta pada keluarga?

Adakah sahutan pada cinta?
Atau tali yang esok lusa bakal rekah?
Apakah rasa keikhlasan?
Sedang warna hidup berbeza adunannya

Satu hari nanti kita pasti ketemu
Tapi bila dan di mana?
Satu hari nanti akan hadir bahagia
Tapi sekejap atau selamanya?

Perjalanan terlalu menyakitkan
Tubuh terlentang tidak kelihatan
Hanya hati menjadi saksi
Biar jasad sekental kereta kebal
Tersungkur jua pada wabak sakit cinta

Mungkin di sini tidak ada jawapan
Di sana yang kekal abadi
Mungkin di sini hanya kisah pedih
Episod bahagia di sana nanti

Jangan janjikan bahagia
Jika semangat secedok gayung
Jangan tawarkan belaian
Jika tangan tidak bisa merangkul pokok hutan
Jujur tidak pada kata
Jujur wujud dalam bayu

Aku masih termangu membela nasib
Berjuang untuk hari depan
Membentuk empayar keselesaan
Menadah tangan menagih kejujuran
Biarpun seketika


Thursday, April 05, 2007

~~Lagi - lagi POLITIK~~

Bicara tentang perjuangan
Irama tidak selunak mereka
Hati ditoreh kenangan
Sejarah dirakam video mata

Bicara tentang perjuangan
Generasi alaf baru tidak mengerti
Hanya penuh dengan semangat
Tidak diacu pedang samurai

Bicara tentang perjuangan
Kita alpa pada kebenaran
Kekuatan kian tumpas
Melaung panji semarak
Konon memahami erti pembebasan

Amarah ini tak sama
Sepi itu sengat berbeza
Airmata tumpah lain harganya
Yang benar sama
Hanya nama dan tanah

Kita bangkit dengan perjuangan baru
Melakar kebebasan buat anak cucu
Mencorak erti juang sebenar
Bukan diacu kesan sejarah
Yang ceritanya lain padang lain lalang

Pada mereka yang tidak pasti
Perjuangan bukan pengorbanan
Kita tagih kebenaran dan keadilan
Bukan parti yang kita tuntut
Hanya keamanan dan ketenangan

Isu politik isu peribadi
Isu parti isu mandat
Isu menteri isu kroni
Isu hak asasi isu pencabulan
Ah segalanya dalam perjuangan karut

Pejuang tidak perlu bawa senapang
Apa lagi samurai, keris dan bom tangan
Pejuang harus asah minda
Membunuh dalam bicara
Menikam sepintar kancil menipu buaya

Aku bukan pejuang
Aku pencinta setia
Aku bukan pak turut pembangkang
Aku peminat anti keganasan

Siapa pun tak punya hak
Merogol kebebasan minda
Merampas kekuatan bicara
Aku sayang bumiku
Bermandi darah benar aku tak sanggup
Namun bahu ini kulandaikan
Pada mereka yang memerlukan
Yang masih tidak mengerti
Perjuangan bukan pengorbanan


Wednesday, April 04, 2007

~~Cerita Bagai Buku Cerita~~

Jika kita dibawa angin
Terbang ke alam indah yang lain
Hati bisa menyahut gembira
Lupa sejenak kesempitan duniawi

Jika kita dibawa angin
Menyelami dimensinya
Sesejuk salju menggigil
Setenang bayu berbisik
Lupa seketika cerita duka

Jika aku dibawa angin
Pasti lidahku kelu merintih
Tiada sepoi bahasa indah
Biar roma romaku mencacak berdiri
Lupa sebentar pada hati yang pedih

Jika aku ditemani angin
Sepanjang malam ini aku bisa berlari
Disaksikan bulan indah
Bintang seolah memandu arahku
Aku lupa pada murung yang memintal

Tiba tiba jika berganti relaiti
Tanganku disentuh angin
Ah! Sejuk sekali jemarinya
Mataku direnung sedalamnya
Hati mula riak gembira

Angin oh angin
Kau bertukar menjadi seistimewa teman
Benar....
Aku lupa pada cerita korupsi dunia
Pada manusia yang berwajah dua
Takut pada hati sendiri

Malamku kini kau hampiri
Aku rindu sapaanmu
Aku rindu rangkulan kemasmu
Kau buatku lupa pada cerita alamku

Aku tidak dalam lamunan
Kau bawa rentasi malam gelita
Ceritanya bagai buku mitos buat anak anak
Hakikinya aku tidak dalam duka

Paksiku satu tidak dua
Usah gusar pada terpesong minda
Cuma alam ini indah buat semua
Seisinya penuh rencana
Aku hanya mencari secebis erti bahagia

Aku kaget pada kelembutanmu
Kau dandan rambutku
Kau bawa gurau sendamu
Kau pulang dengan harapan
Kau janji temaniku sepanjang kehidupan

Angin temanku
Aku nantimu saban malam
Dalam gelita bawaku terbang
Sejenak aku lupa
PADA OMONG PALSU MANUSIA DUNIA


Tuesday, April 03, 2007

~~Alam baru alam bahagia - buat iLa 'temanku'~~

Bukan semalamkah kita bertemu?
Menjalin ukwah teman yang sejati?
Eh seperti bermimpi hari ini kurasakan
Cepatnya masa memburu kita

Bukan semalamkah kita bersama melarikan diri?
Dari kelas Sains yang menjadi topik bosan
Semalam juga kurasakan kita berperang....
Dengan peperiksaan akhir menjadi remaja

Eh! semalamkan kita ini memakai baju putih kainnya biru laut?
Menggalas bag sambil mengendong buku di tangan?
Denda kerna sering hadir lambat
Mencuci tandas kotor yang baunya menyengat...

Teman
Adakah ku bermimpi atau ini realiti?
Aku masih menelaah buku berperang dengan tugasan kuliah
Kau dah menempuh alam baru?


Ya Tuhanku
Pantas benar putaran ini menggasing
Semalam aku masih berlari di padang Assunta
Kini aku melihat perkahwinan teman akrabku
Ada pula yang bakal melahirkan anak kedua
Sedang aku masih dalam belenggu
Tak tahu di mana akhirnya

Teman
SELAMAT PENGANTIN BARU
Kelucuanmu tika dulu sering membibit seloka hatiku
Entah mengapa airmata tegar membasahi pipi
Kerna tak bisa melihat kau berada di depan mataku
Mengucup tangan jejaka pilihanmu
Mengakad sebuah janji restu Illahi
Bersanding bak permaisuri

Kata mereka kau cantik sekali
Aku tahu mereka tidak menipu
Kerna kau memang ayu
Manis dan seri setiap kali senyuman kau ukiri

Teman
SELAMAT PENGANTIN BARU
Biar aku hanya penglipur lara
Menulis menyampai rencana

Aku mahu kau tahu teman...
Bukan sengaja aku tidak di sana
Melihat pakaian istimewamu
Menjamah jamuan enak khusus di hari persandinganmu
Menciumi pipi gebumu

Aku mahu melihatmu depan mataku
Memeluk dengan penuh sayang dan kasih
Mengucapi sepenuh rasa
Melakar kegembiraan bersama

Namun apakan termampu
Aku tidak daya mengubah perjuanganku
Tanggungajawab dan cita citaku masih jauh
Entah tercapai atau tergantung
Aku sendiri tidak bisa meramalkannya

Kau tak perlu tahu semua itu teman
Hanya satu yang penting
Tidak dua tidak tiga

Kebahagianmu ketenangan bagiku
Persahabatan ini bukan atas dasar teman
Malah bertukar menjadi keluarga
Sejak kita mula bicara

Doaku sentiasa dalam perjuangan hidupmu
Galas tanggungjawab dengan penuh redha
Akur pada bimbingan baik suamimu
Tenang menghadapi dugaan
Aku di sini sentiasa ada dalam hatimu
Biar nadi berhenti mati
Kau tetap dalam doaku

SELAMAT MENEMPUHI ALAM BARU
SEHINGGA BERPANJANGAN SELAMANYA
DUNIA AKHIRAT.....

~~Aku tetap di sini bulan~~

Semalam ku lihat bulan
Serinya tak sesinar mentari
Kerlipan tak sepancar bintang
Terselindung cahaya misteri

Bulan senyum padaku
Sopaknya kelihatan jelas
Seakan aku dalam lingkarannya

Bulan itu bulat menuju mataku
Bisikan di hembus dalam angin kota sejuk
Tembus ke dasar hati yang murung

Cerita bulan bukan omong kosong
Ceritanya banyak pada luka hati
Ceritanya tidak sepancar si mentari
Yang kehadirannya sering dinanti

Tangisan bulan tangisan gerun
Alam mula menyepi bila bulan kelihatan sempurna
Bising cengkerik membingit hati

Oh bulan yang meyinar di samping bintang
Terangmu ada hikmahnya
Pancaranmu membibit salju di hati

Aku temanimu bulan
Biar sopakmu kelihatan murung
Biar cahayamu tak sekilau mentari
Biar kerlipanmu tak seindah bintang

Aku bahagia dibawa malammu
Penuh cerita perit
Kerongkong pedih menelan liur sedih

Aku tetap di sini bulan
Menanti penuhmu yang melapangi dadaku
Setiap kali kau berubah wajah
Aku pasti nantikan seri penuh rautmu

Bulan oh bulan
Di sini aku berjanji
Setiaku sesetia karma alam
Selagi siang berganti malam
Janjiku menemanimu tak akan pudar

Kau bawa erti bahagia
Menyapu airmata yang mengalir lesu
Kau teman setia
Biar hanya dalam bayu kau merangkulku
Aku bahagia dalam dakapan cahayamu

~~Selagi punya nyawa~~

Menerima tidak bererti menyerah
Dalam ketertewasan membawa kebenaran
Biar terlandas jangan karam
Hidup masih tidak berkahir

Dicurah hujan batu
Menimpa ketebalan hati
Sarat penuh keegoan yang degil
Dada bergoncang perit
Hidup masih punya nafas

Apakah tidak punya ketenangan
Saban waktu hati digegar
Mencari dalam terang
Nampak sejelas sejernih sungai
Firasat masih sarat kusam
Namun hidup terus punya nyawa

Selagi malaikat maut tidak menjemput
Kita masih punya peluang
Menyinar kegelapan duka
Punca hati bukan sering berlagu sumbang

Hati tidak bohong
Jika itu yang dilayangkan
Tak daya mengilai dusta
Perit hidup tak siapa yang merasa
Kita masih terus menghembus oksida melempar dioksidanya

Alam ini punya banyak cerita
Noda dan derita
Goda dan tertawa
Kupasan ditoreh masih tebal selaput dusta

Takut dan tewas bukan bicara
Tentang dalam tenang itulah semarak
Hati bisa menawan peribadi
Jua bisa merosak diri
Peluklah semangat seeratnya
Andai nafas masih bisa dihembus
Pasti jalan ada hujungnya

Monday, March 26, 2007

~~Andai tiada esok bagiku~~

Jika tiada esok bagiku
Khabarkan rindu ini padanya
Membungkam rasa ingin ketemu

Jika tiada esok bagiku
Bisikkan angin sepoi ke telinganya
Mengganti diriku yang salju di bumi Inggeris

Jika tiada esok bagiku
Pancarkan sinar ke hatinya
Seindah cahaya bintang
Bertabur di dada langit

Jika tiada esok bagiku
Campakkan cinta abadi ke dadanya
Kerna aku tak sempat membajai tika ini

Dia tempat ku berbicara
Menarik muncung tatkala tewas dalam perdebatan
Dia tempat ku landai kepala
Bahunya berat memikul kekerasan mindaku
Dia tempat ku muntahkan hilai tawa
Aksinya lucu walau tiada sebait kata

Dia segalanya
Selain papa dan mama
Aku antara teman sejak kecil
Yang sering berkongsi agenda
Jika ku guris hatinya
Tak lama pasti bergurau kembali

Dia penuh dengan kasih
Tak jemu menelan kerenah
Menjadi benteng pertahanan
Berkorban demi yang dicintainya

Juadah kami berbeza
Biar di meja yang sama
Tidak pernah dijelek keinginanku
Biar aku sering mempersendakannya

Dialah pembakar semangatku
Kebijaksanaanya menebalkan keeoganku
Aku di sini dia masih di sana
Namun kepintarannya tak bisa kurobohkan
Aku tidak tewas
Kerna dia aku di sini
Walau seribu cemburuku pada akal kancilnya
Dia tetap mendoakan kejayaanku

Dialah kakak yang tiada galang gantinya
Seorang kakak bersaluti permata
Andai aku tidak bisa sampaikan padanya
Bahawa sayangku tiada bertepian
Aku cinta padanya

Andai esok tiada bagiku
Khabarkanlah angin
Khabarkan aku ini amat mengagumi semangatnya!



Sunday, March 25, 2007

~~Aku Replikamu PAPA~~

Papa
Lihat cermin itu
Apakah serupa jasad kita?

Lihat
Lihat terus ke dalam cermin itu
Di manakah persamaan kita?
Di manakah keserasian kita?

Renung lagi papa
Sedalam renungan makrifatmu
Kita ini ibaratnya kembar
Tapi tak serupa
Tak mungkin serupa

Nah
Pandang wajahku
Dakap daku sedalamnya
Rasakah apa yang ku rasa?

Aku replikamu!!
Replika hasil corak hulisinasimu
Replika darahmu
Replika citamu
Replika semangatmu

Papa
Kita betah bicara soal semesta
Kau cuba melakar dan mencorak
Agar aku menjadi lukisanmu

Aku tegar
Aku mahu menjadi serupa dengan hatimu
Menyambung cita cita senimanmu
Biar tak rela
Biar dicincang cita citaku
Aku tetap memburu kemahuanku

Kau cuba mengukir ikut nalurimu
Aku menentang dengan kedegilanku
Kau cuba menyemai hasratmu
Aku merobek dengan kekerasan hatiku

Aku mahu menjadi sepertimu
Biar kau kata perjalanan hidupmu perjalanan sukar
Aku tetap menjadikan kau idolaku
Aku tetap tegas dengan pendirianku

Kini aku hampir mencapai impian
Kau tersenyum dan akhirnya pasrah atas kecekalanku
Tidakkah kau sedari papa
Aku ini replikamu

Lihat wajahmu di kaca cermin
Senyumlah semanis yang bisa kau ukir
Kau pasti lihat kebenaran omong omongku

Papa
Katamu tetap menjadi panduan hidupku
"Pokok durian itu tak bisa menghasil buah manggis"
Terngiang di cuping
Ucapan yang kau berikan
Tatkala aku belum mengenal erti hidup

Senyumlah papa
Kerna setiap kali kau tersenyum
Aku pantas membalas senyumanmu

~~Mama...Ku tulis nota buatmu~~

"Ku tulis nota hidup"

Mama
Apa itu ertinya hidup?
Adakah harus diburu cubaan?

Mama
Benarkah perjalanan hidup sukar?
Digari seribu dugaan?

Mama
Wujudkah erti bahagia?
Merentasi alam dewasa?

"Mama pantas membidas bicara"

Hai puteriku
Hidup bukan keadaan yang memaksa
Hidup banyak kenikmatannya

Saat dikau dilahirkan
Saat indah dalam hidupku
Saat dikau dibesarkan
Alam istimewa hari hariku

Hai puteriku
Perjalanan ini tidaklah penuh durinya
Direntasi dengan kecekalan
Disusuli dengan dinding kesabaran
Kau pasti lihat cahayanya

Jangan jadikan kesukaran sebagai hukuman
Cubaan cuma peperiksaan dunia
Hadapi dengan penuh ketenangan
Jangan dirojakkan oleh ketegangan

Hai puteriku
Tugas kita belum selesai
Menjadi umat yang redha pada perintahnya
Teruskan perjuangan
Jangan dikusuti dengan emosimu
Doaku sentiasa mengiringi langkahmu

"Kutelan butiran bicara Mama"

Mama
Kasihmu selautan maya
Sayangmu setinggi langit berlapisan
Tuturmu azimat
Belaianmu sentuhan nikmat

Mama
Terus berdoa agar kita selamat
Dalam lindunganNYA
Dalam dakapanNYA
Kukucup wajahmu dalam bayu
Agar kau rasa salju melingkari perjalanan harianmu

Terima Kasih Mama

~~Semalam Mencari Cinta~~

Semalam mencari cinta

Denyut nadi irama sumbang

Di turut kata hati

Bukankah kering benak memikir


Semalam mencari cinta

Benar adakah atau dongengan semata

Mengaburi mata selaputi jiwa

Mungkin sekadar sandiwara dunia


Semalam mencari cinta

Mencari terus mencari

Bukankah ada dihadapan mata

Kenapa harus terus mencari


Semalam mencari cinta

Dalam sejuk bicara bersama alam

Bertanya pada angin berhembus

Apakah hati dalam cintanya


Semalam mencari cinta

Akhir hanya mimpi semata

Kepastian tiada daya

Menanti tak kunjung jua


Semalam mencari cinta

Di sini berakhirnya

Di bawa ombak menelan gelisah

Pergi bersama kenangan

Biar sesaat kurasakan jua

Jangan dipaksa jika hati tidak dilamunan

~~Pembohongan Hati~~

Antara bicara dan airmata, bisakah menilai mana yang lebih berharga? Disulamikah dengan sebuah kejujuran atau lakonan dari sekeping hati yang tak mampu berbicara? Diam bukan bererti kalah, debat bukan petah menjadi juara, yang pasti hati didukung lara.

Jika bicara bukan kesahihannya, apa harus diukur? Pembohongan demi pembohongan, selindungan demi selindungan, si hati azabnya lebih terasa pada erti sebuah penipuan berbicara. Takut pada hati umpama takut pada langit dan bumi. Hari yang dilalui warnanya bertukar ganti, kewarasan menutuh kehendak hati yang bukan alunan irama artistik. Pembohongan hati pembohongan diri, azabnya lebih dari merompak seisi maya. Tawa dan duka menghiris lubuk hati namun degil hati ini terus menggenggam keegoan diri.

Apa bezanya airmata yang tertumpah? Disekang tak bisa melimpah, umpama kalah pada diri sendiri. Nilainya tak terhitung jika benar butir airmata saksi kejujuran diri, setitis umpama pengorbanan golakkan hidup. Di mana letaknya kebenaran? Pada bicara yang sering berbohong atau airmata yang menjadi saksi? Mungkin lain padang lain lalangnya, yang harus dicari bukan kebenaran atau pembohongan namun kejujuran dan keikhlasan. Umpama mengail ikan di laut lepas, tidak terduga sentapannya, keluhan dan penantian sekadar satu semangat mengukur keperibadian diri.

Lupakan, biar terus berlalu kerna perjalanan masih panjang. Biarlah hati terus berbohong, airmata menjadi teman setia kerna keluhan tak siapa bisa mendengarnya. Pasti hadir saat itu, saat yang tak bisa kita paksa untuk menzahirkan kebenaran. Antara sedar atau tidak kita tidak bisa berkata walau hati meruntun namun pengakuan antara hati bukan mudah ceritanya. Andai sampai sini akhirnya, berlalulah cerita dan biarlah hati terus berbohong.

Saturday, March 24, 2007

Misi Kotor Badan Pencegah Maksiat

Hati menarik narik jemari ini untuk menyampaikan rasa ketidak puasan terhadap sebuah video di web yang baru sahaja ditontoni. Sambil sibuk mencari bahan untuk menyiapkan tugasan kuliah yang 'dateline' tak berapa lama lagi ni, terjumpa pula sebuah video yang dikenali sebagai 'bahana pencegah maksiat'. Malu melihat kegiatan mereka yang kononnya ingin menegur sikap kurang sopan remaja sedangkan tindak tanduk biadap pihak berkuasa terus memualkan isi perut ini.

Tidak disanggah jika benar badan berkuasa yang 'kononnya' ingin mencegah kegiatan maksiat di sekitar bandar dan desa Malaysia, namun biarlah dengan cara yang melambangkan ketulusan untuk memperbaiki akhlak mereka bukannya dengan mengaibkan seseorang itu. Ilmu manakah yang pihak berkuasa tersebut pelajari? Adakah ilmu agama Islam menyuruh dan mengajar kita untuk mengaibkan orang biarpun seseorang itu buruk akhlak dan fikirnya? Siapa kita untuk menghukum kesalahan mereka? Fikir gunakan benak di minda bukan gunakan mata hati yang buta tuli.

Apakah duduk berdua-duaan di bawah terik mentari, di tempat awam yang terbentang oleh khalayak ramai dan berbual kosong sambil berpegangan tangan mahupun menyisir rambut itu sudah dikira cukup untuk memalukan seseorang itu? Bukankah lebih mulia jika pihak terbabit menggunakan pendekatan psikologi berbanding kekerasan? Apakah sudah hilang nilai murni pihak Jabatan Agama Islam untuk menangani masalah sedemikian?

Dari video yang disaksikan, mangsa tidaklah melakukan aksi aksi yang melampau ketika gambar mereka dirakam. Biarpun ada yang berpegangan tangan, berpelukan, baring di riba pasangan, menyisir rambut, bersandaran antara rusuk dan pelbagai lagi aksi selesa mangsa, namun tidak pula dilihat aksi cium, meraba dan melakukan seks. Itu tidak mengapa lagi, masih lagi boleh dikira melampaui batas peradaban agama, sebaiknya ditegur dan dinasihati tidak berkelakuan sedemikian di khalayak mahupun di mana-mana kerna status bukan muhrim.

Ada juga pasangan yang bukan beragama Islam diberkas namun di tanya seolah mereka ini melakukan jenayah. Malu sungguh melihat aksi pihak berkuasa yang salah menggunakan kuasa. Ilmu mana yang mereka gunakan sehingga tidak ada langsung pertuturan yang sopan dikeluarkan ketika menyoal mangsa.

Ada pula yang memaksa dengan soalan soalan yang menjijikkan dan setiap sesi pertanyaan itu dirakam dengan kamera milik pihak berkuasa. Apakah ertinya semua permainan budak budak ini? Apakah matlamat pihak Jabatan Agama? Apakah misi sebenar pihak Majlis Agama? Mengaibkan dan menunjukkan keseriusan pihak JABATAN AGAMA dalam membasmi isu anti maksiat? Jauh menyimpang jika itu yang mereka sasarkan. Objektif yang jelas di mata adalah, pihak Jabatan Agama ingin mengaibkan mangsa tersebut dan menggunakan kuasa mencabuli hak asasi manusia.

Jika diberkas dan ditanya dengan baik, adakah menjadi masalah besar buat pihak penguasa? Bahasa itu melambangkan bangsa dan budaya. Bagaimana mahu meraih respek dari orang awam jika ahli Jabatan Agama sendiri tidak pandai menggunakan bahasa sopan, yang sedihnya mereka seolah mencari populariti dengan misi terbaru mereka ini.

Coretan ini bukan menentang pembasmian anti maksiat negara sendiri, malah jika objektifnya benar benar menjurus ke arah kebaikan sudah tentu ramai di luar sana yang turut menyokong gerakan tersebut. Tetapi apakan daya, misi sudah tersasar dan pengaiban terus berleluasa ketika mencekup mangsanya. Kasihan pula melihat mereka yang ditanya seperti "Ha, awak ni masih dara ke?", sungguh mengecewakan. Jika tidak di jawab dengan memandang ke arah kamera, mangsa akan di jerit dan ditengking, "pandang sini, angkat muka. Malu tapi perangai macam setan", kata si penguasa. Apa semua ini? Siapa mereka menghukum mangsa yang ditangkap? Sudah jelaskan mereka melakukan kesilapan.

Hey mereka mereka yang terlibat dalam PENCEGAHAN MAKSIAT pihak Jabatan Agama, renungkanlah sikap tidak sopan kalian sebelum menangkap sikap tidak sopan orang lain. Rakaman yang anda rakamkan tidak sah atas motif mengaibkan si mangsa. Melihat kesilapan diri sendiri lebih mulia dari menghukum kesalahan orang lain tanpa ada penerangan dan saksi yang sah.

Cerminlah diri, bersihkan hati buka seluasnya minda.

Disediakan sekali link yang anda semua boleh nilai misi kotor Badan Pencegah Maksiat.
http://video.google.co.uk/videoplay?docid=-1913418595050737848&q=pelajar+melayu

Sekadar menegur bukan menghukum

reformasi_girl


Friday, February 16, 2007

~~Negaraku Negara Gemilang~~

Jika dihitung dengan angka, kurang dari 60 hari aku akan mengakhiri pengajian di England ini. Walaupun belum boleh menarik nafas lega, aku dapat merasakan beban yang dipikul selama ini semakin ringan.

Alhamdulillah, atas usaha dan berkat doa keluarga aku melunaskan tanggungjawab seorang pelajar tanpa berhadapan dengan masalah rumit. Lumrah menjadi manusia, tidak ada yang sempurna jika kita masih bergelar umatNya. Bertelagah dan menarik muncung panjang terhadap rakan kuliah sudah menjadi perkara lazim buatku, memang mudah untuk kita mengikut resam burung kakak tua tapi sukar untuk merealisasikan keinginan dari buah fikiran sendiri jika dituntut melakukan aktiviti berkumpulan. Almaklumlah, kerja kuliahku memerlukan semangat berkumpulan yang rata-ratanya empat ke enam orang dalam sebuah pasukan.

Dalam tak sedar, aku sudah mula serasi dan sedikit selesa dengan negara orang putih ini. Kalau dulunya, rungutan tak putus menyembur terhadap segala sistem dan peraturan yang disediakan tapi kini segalanya ibarat alah bisa tegal biasa.

Aku melihat mengapa kemajuan itu dimiliki oleh mereka, ketegasan dan kesungguhan melakukan tugasan harian menjadi satu perkara wajib bagi memperolehi pulangan lumayan. Dunia di sini dunia metarial, apa yang mereka ingini pasti dikecapi dengan bermatlamat harus bekerja kuat. Hidup yang berlainan cara agama dan budayanya mula membukakan mataku, apa yang boleh dijadikan teladan aku ambil dan sempadannya aku tinggalkan kembali bersama mereka.

Ramai yang bertanya, apa bezanya berkuliah di negara sendiri daripada berkuliah di negara serba mahal ini? Bukankah kita miliki segala kemajuan dan pusat pengajian kita juga setaraf dengan pencapaian peringkat antarabngsa? Malah ada yang terlintas mengaitkan keburukan budaya barat ini bakal menggoyahkan iman dan adat kita. Inilah pemikiran negatif masyarakat yang berbaur sedikit dengki dan sempit, sesungguhnya aku kian lemas dengan persepsi masyarakat yang kononnya maju tapi mundur akalnya.

Bukan mengajar tetapi memperingatkan bahawa di mana pun kita berpijak, bukan penampilan yang mencermikan peribadi kita. Apatah lagi pukulan arus kemodenan hari ini tidak layak untuk mengukur setinggi mana hati menjunjung agama dan adat budaya.

Sepanjang jalan kehidupanku di kota London, berbagai asam garam manusia aku temui. Anak bangsa kita yang berpakaian sopan dan kononnya memperlambangkan budaya dari penampilan kebanyakannya hanya berselindung di sebalik topeng yang disarung. Bagi mereka yang bergaya barat celup dengan pakaiannya menatang adat budaya kita dengan penuh keikhlasan. Pelik tapi itulah kebenarannya. Rata rata yang ada di sini menjadi berbudaya kerana terpaksa membawa lencana negara, pada hakikatnya yang sempitnya minda bukan kian longgar malah semakin sempit menilai peribadi seseorang.


Aku tidak menghukum mereka dengan cara dan gaya, itu pilihan mutlak individu dan tidak ada hak untuk dipertikaikan, akan tetapi janganlah lupa bahawa kita di sini memerlukan antara satu dengan yang lain untuk berkongsi rasa rindu pada negara sendiri. Bukankah resam kita menuntut yang berat itu sama kita bebani dan yang ringan sama kita jinjing.

Seperti kukatakan, aku di sini bukan sekadar menjadi pelajar di pusat pengajian malah aku menjadi pelajar di universiti kehidupan. Nikmatnya menjadi pelajar universiti kehidupan ini, aku tidak perlu menduduki peperiksaan namun tugasan harian terlalu banyak untuk aku mengulangkajinya. Antara subjek kehidupan yang menjadi subjek kegemaranku, aku belajar erti persahabatan yang sebenar, erti sebuah keluarga, erti berdikari, erti mengurusi kewangan dan banyak lagi. Guru - gurunya berada di mana mana, cuma tinggal rajin dengan malas bertanya.

Jika dulu mama dan along tempat aku berpaut, tanpa mereka perjalanan hidupku tidak sempurna. Dari celik mata bundar ini sehingga pejam di malam hari, merekalah yang menjadi segala tulang empat keratku. Aku ibarat berpaut pada dahan yang kuat dan tak mungking patah. Kini segalanya dalam agendaku sendiri, tiada lagi dahan untuk berpaut, hanya angin semangat yang sering mengentalkan semangat aku untuk terus menggagahi erti sebenar kehidupan.

InsyaAllah, jika ada rezekiku untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan aku genggaminya selagi terdaya. Biarpun terpaksa menjadi penghuni sementara di tanah bermusim empat ini, aku redha. Bukan bererti rasa cintaku pada tanahair kian terhakis, tidak sama sekali dan mungkin sekali tidak akan terjadi. Aku anak bangsa yang sentiasa menjulang nama tanah airku malah adat budayaku seiring dengan agama suciku. Mana mungkin anak jati Wilayah Persekutuan ini akan curang pada tanahnya.

Niat murniku hanya satu, mengecapi segala apa yang termampu dari zahir dan batinnya. Selagi aku bisa menjadi penghuni kota Inggeris ini, kenapa tidak aku terus belajar dan belajar bagaimana untuk menjadi seberjaya mereka dan dalam masa yang sama memikirkan sesuatu yang baru untuk kejayaan tanahairku. Perjuangan itu menjadi lama jika kita hanya memikirkan bila mahu menang, tetapi ia akan menjadi singkat jika kita menyusun strategi untuk memiliki kemenangan.

Segala impian mama dan papa akan segera aku tunaikan, bumi tercinta Malaysia pastinya akan tetap menjadi bumi yang teragung dalam diri ini. Biar nyawa terpisah dari jasad, namamu Malaysia nama terindah.

Sampai bertemu di coretan baru, salam sayang dari kota Inggeris untuk semua warganegara Malaysia. Assalammualaikum..






Tuesday, February 13, 2007

Rencana Ringkas ALAM

Bumi semakin tenat, antara kita sedar ataupun tidak senarionya mencapai ke tahap membimbangkan. Semalam, saya sempat berbual dengan mama, katanya bahang panas di Malaysia menggigit kulit biarpun hujan melimpah ruah namun masih tak dapat menampung takungan air di tangki-tangki dan empangan.

Adakah ini hadirnya satu bencana ataupun dugaan yang harus kita terima sebagai penduduk bumi? Di mana silap dan salahnya sehingga panas sehingga melecur, hujan menenggelamkan kampun tapi masih lagi masalah tumbuh bagai cendawan.

Teringat pula akan lagu 'Ebiet G.Ade' yang berjudul BERITA KEPADA KITA.

Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
Sayangnya kau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan

Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
Hati tergetar menambah kering redup hutan
Perjalanan ini seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih

Kawan cuba dengar apa jawabnya
Ketika ia ku tanya mengapa
Bapa ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut
Ku khabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak kepada matahari

Tetapi semua diam
Tetapi semua bisu
Tinggalah ku sendiri
Terpaku menatap langit

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
Dengan dosa dosa

Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang


Mungkin juga tanpa kita sedar, alam ini dah mulai bosan dengan tingkah kita. Mendabik dada membangunkan negara dalam kita leka bahawa tanah ini kian sakit atas perbuatan kita. Bila kita mahu sedar?

Bersama kita doakan agar alam kita ini kembali sihat, seluruh isinya dapat dinikmati hingga ke akhir zaman.


Saturday, February 03, 2007

POLITIK untuk kita

Assalammualaikum

Semoga sejahtera semua dalam lindunganNya. Lama rasanya tak berkongsi kisah pergolakan bumi Malaysia yang rata ratanya berkait dengan erti kata 'politik'. Apa sebenarnya istilah politik di benak masyarakat, Nini tak pasti.

"Politics is the process by which groups make decisions. Although the term is generally applied to behavior within government, politics is observed in all human (and many non-human) group interactions, including corporate academic and religious institutions"

"Politik adalah satu proses di mana keputusannya dibuat oleh sebuah kumpulan. Terma ini bukan setakat digunakan untuk orang ramai, institusi keagamaan, akademik dan pertubuhan perniagaan malah kerajaan turut mengaplikasikannya
dalam pentadbiran sesebuah negara"

Erti kata ini dipetik daripada lama web 'Wikipedia' yang menerangkan maksud sebenar apa itu politik. Namun masyarakat hari ini menggunakan kekuasaan politik ini untuk mengecam kebebasan hak ahli kumpulan dari menyuarakan dan bertukar pandangan. Seharusnya, keputusan yang dilakukan bukan untuk mencari keselesaan pada individu tetapi fenomena ini yang terjadi dalam menghuraikan erti 'politik' hari ini.

Cukuplah, tak berminat lagi untuk saya menyuarakan keluhan mengenai keganasan kuasa politik terhadap negara tercinta. Tak ada jalan penyelasaiannya biarpun parti pembangkan terus mengibarkan sayap menentang benteng kerajaan. Setiap yang wujud ada objektif dan tujuannya. Kalau ia tidak memihak pada individu, ia pasti bertumpu pada kepentingan hieraki tertinggi kumpulan tersebut. Keadilan itu tak mungkin tercapai dalam mengharungi dunia material hari ini.

Walau perjalanan hidup ini masih jauh apatah lagi individu remaja seperti saya yang mungkin boleh mencuba untuk mengubah percaturan minda anak bangsa, semuanya kian pudar apabila mengenangkan rakusnya minda material masyarakat hari ini yang tak boleh dipimpin lagi. Kita bukan lagi tinggal di zaman Tun Hussien Onn, di mana hanya berapa peratus sahaja masyarakat yang berpendidikan tinggi dan faham benar apa erti perjuangan dan keadilan malah kita bukan lagi tinggal di kurun yang menagih kebebasan dari jajahan tapak tangan asing. Hari ini, masyarakat begitu selesa di mana mereka berpijak, malas untuk memikirkan keadilan generasi akan datang dan lembik daya fikiran untuk mempertahankan hak asasi sendiri. Majoritinya selesa dengan apa yang mereka ada hari ini, mungkin juga serik dengan kebuasan peperangan yang pernah mereka tempuh satu ketika dulu.

Ramai anak muda diluar sana yang menggengam segulung mahupun lebih kertas yang menobatkan mereka adalah graduan lulusan institusi pendidikan. Apa yang ada dalam minda mereka mengenai masa depan hanyalah bagaimana mahu mencari sebanyak wang ringgit dan harta dunia sebanyak mungkin. Mungkin mereka lupa bagaimana nak mengekalkan kesejahteraan negara atau mungkin mereka leka dengan keseronakkan pelbagai budaya yang datang dan pergi dari pelbagai negara. Yang jahat itu tidak hanya datang dari negara barat seperti yang sering dituturkan oleh golongan dewasa sebelum ini, malah negara timur juga mencerminkan banyak unsur negatif yang seharusnya kita jadikan iktibar. Hentikanlah dari terus menggunakan ayat, 'Jangan Contohi Budaya Barat' walhal tanpa disedari ramai graduan pintar yang mengisi kekosongan jawatan di institusi pekerjaan lahirnya dari universiti barat. Lebih molek kalau kita cuma peringatkan mereka agar jangan contohi budaya yang tidak baik dan jadikan sempadan untuk mencubanya.

Politik itu bukanlah kotor, majoriti masyarakat hari ini bila diajak bersembang mengenai politik, rata ratanya memandang jelek seolah tercalit najis pada nahu kata tersebut. Terbayang di minda hanyalah pergolakan, penindasan, rampasan kuasa, pengaupan material masyarakat dan macam macam lagi. Tanpa kita sedar, kita telah memuatkan satu pengertian baru mengenai POLITIK. Implikasinya pada anak bangsa depan tidak lagi positif terhadap POLITIK, mereka akan terus menconteng perkataan tersebut dengan lebih rakus lagi.

Perubahan bukanlah perkara yang mudah untuk kita menukar kembali kebersihan nama POLITIK biarpun jika disental dengan peluntur jenama hebat, ia tetap meninggalkan kesan jua. Siapa yang harus mengubah dan apakah perubahannya bukan persoalan yang saya minta teman fikirkan. Usah bebani minda dengan masalah ini, apa yang kita seharusnya lakukan adalah dengan menghentikan dari terus berfikiran negatif dan tampil bersuara dengan diplomasi terhadap hak yang kita miliki. Bukan keganasan yang kita cari, rata rata masyarakat hari ini semuanya punya mentaliti yang tinggi pendidikannya, jadi usahlah jadi pejuang yang melumpuhkan perjuangan sendiri. Bersorak hingga kampung tergadai, bertempur hingga tanah menjadi padang jarak padang terkukur.

Hari ini politik bukan sekadar digunakan untuk menggambarkan sesbuah kerajaan, namun perkataan itu lebih kerap digunakan untuk melambangkan sesuatu yang negatif. Jika tidak pada industri perniagaan, ia akan digunakan untuk industri seni hiburan tanah air.

Pada saya, penyakit POLITIK songsang ini setaraf dengan wabak AIDS. Ia tidak berpenawar dan boleh membawa kepada kematian dan lumpuh perkembangan generasi. Saya tidak memandang jijik pada pesakit AIDS, malah hati ini meronta untuk membantu mereka agar dapat dipulihkan seperti keadaan normal, malah jika mampu, material dan mental sanggup saya pertaruhkan untuk membersihkan penyakit tersebut terhadap penghidapnya. Namun apakan daya, hingga hari ini AIDS belum ada penawarnya, si penderita hanya mampu berdoa agar segala dosa diampunkan dan mengharapkan agar anak cucunya tidak terjebak dengan wabak hina ini.

Begitulah runcingnya POLITIK songsang pada dunia hari ini. Kita mampu mengubah jika kita tahu keupayaan kita. Siapa tidak sayangkan negara, tempat jatuh lagi dikenang apatah pula tempat bermain. Tak kiralah kumpulan mana yang membimbing kita, waimahnya haruslah lurus dan tidak memesong kepada kepentingan peribadi. Pemimpin mana yang diberikan kepercayaan, menangilah hati mengundinya dengan adil bukan dengan sogokan dan penipuan.

Kita mampu menjadi lebih aman dan tenteram dengan bumi misteri yang kita miliki. Negara yang kaya hasil buminya, berbilang warna kulit masyarakatnya, indah panoramanya dan tenang dari ledakan ganas bencana alam ini seharusnya dipelihara dengan tangan yang bersih dari percaturan minda yang kotor. Sayangi bumi kita!

Politik itu matlamatnya bersih, jangan dilempar tompok hitam menjadi hingga pudar sinar cahayanya.

May ALLAH s.w.t bless us!

Salam sayang penuh ingatan dari Kota London




Thursday, February 01, 2007

Kata 'Mama', Kata 'Papa'


Kata mama
Hidup penuh duri
Kita mengatur langkah
Onar masih pantas mengejar

Kata mama lagi
Kita ini manusia biasa
Biar terungkai keburukan
Jangan biar ia memakan jiwa

Mama terus berkata
Ingat tuhan di mana kita berpijak
Sering tawaduk padaNya
InsyaAllah kita dalam lindunganNya

Papa pantas bicara
Hidup rakus rintangan
Tanpa akal kita ditindas
Dikecam arus kemodenan

Papa lantang berkata
Maruah jangan dicemari
Mahkota diri jangan dinodai
Lelaki ibarat kumbang
Menghisap madu dan terbang

Papa memujuk dengan katanya
Tanpa pelajaran kita pasti tewas
Merentas alam duniawi yang kian pantas
Kutiplah selagi nyawa terdaya
Agar diri berada dipuncak jaya

Papa berbisik padaku
Semalam itu sudah menjadi kenangan
Bangun dan jangan leka
Rentasi hari ini dengan seribu keazaman
Agar esok yang hadir penuh sirna kehidupan

Sambil mengusap kepalaku
Papa merenung tajam ke dasar mata bundarku
Mulutnya terus berkata
Anak-anakku adalah cita citaku
Akan kuredah lautan bara kudaki gunung berapi
Dengan satu tujuan membara
Melihat anak anakku berjaya dalam pelajaran
Lantas mengharungi kehidupan

Mata mama ku renung
Pipi papa ku kucup
Tangan mereka kugenggam
Dengan ucapan yang terhambur
Mereka mengucup keningku
Takkan ku siakan kasihmu papa’
‘Takkan ku hancur hatimu mama’
‘Tanpamu aku pasti lemas mengharungi duniawi’
‘Tanpamu aku pasti hanyut di buai mimpi’
‘Hanya doamu pembakar jiwaku’
‘Kejayaanku hadiah istimewa buatmu’
‘Kehidupan dunia akhiratku selamanya buatmu’

Kata mereka bukan lagi azimat
Malah ibarat vitamin yang ku telan saban hari
Mencegah dari dijangkiti kuman
Melindungi sistem badan yang adakalanya lemah

Kusimpul rapi biar tak terlerai
Biar seinci kasih ini buatmu
Doaku hanya satu
Moga kalian dilindungi dunia akhirat
Dan digolong dalam insan insan beriman

Mencari Erti Hidup

Kadangkala
Luasnya alam
Kita rasa sempit menghimpit

Kadangkala
Terangnya siang
Kita rasa seperti malam

Kadangkala
Pekatnya gelap dinihari
Kita rasa bintang cukup untuk menyinari

Kadangkala
Lautan itu bahaya
Punya seribu satu cerita pada isinya
Kita rasa ia indah di mata kasar

Kadangkala
Puncak gunung itu tenang
Membaluti ketenangan jiwa
Kita rasa bahaya tinggal dalam perutnya

Bukan sempit yang kita cari
Bukan gelap yang kita nanti
Bukan gelora yang kita mahu
Bukan bahaya yang kita ingini

Hidup
Kitaran pancaroba yang menjadi golakan
Di atas kita gayat
Di bawah kita lemas
Namun kita dayungi jua

Ibarat pokok yang tumbuh
Adanya cinta
Adanya rindu
Adanya pengorbanan
Berdiri dicengkam bumi
Meliuk ditiup angin
Rebah layu ke tanah akhirnya

Ceritanya sama seperti kita
Digari segala rasa yang wujud dalam hati
Berbalam rasa gusar
Berbuku rasa girang
Tak menentu kadangkalanya
Namun
Jalanan hidup seperti itu jua