Sunday, April 08, 2007

~~Omongan Seni~~

Bicara seni iramanya halus, tidak ada jalan pintas apatah lagi sepakat mencari huraian. Istilah seni bukan satu haluan, cabangnya melebihi dahan pokok balak hutan. Merungkai istilah adakalanya membuatkan keegoan bak meter 'rpm' kereta. Berpetah dengan insan insan seni kalau tak faham peribadinya bisa mengundang lebam di hati.

Ah susah
benar nak mengerti biar kadangnya susunan ayat diatur rapi tapi pendapat bisa memecah kesinambungan bual kata. Seni itu sensitif, seni itu ego, seni itu peribadi diri, seni itu maruah. Kadangkala kita rasa kita ini seni sedang kita tak sedar seni kita hanya kerna menutup siapa kita sebenarnya. Pelukis itu seni kata mereka, penyanyi, pelakon, pemuisi, penulis, pengarang itu juga katanya seni.

Bukankah guru, arkitek, peguam, doktor dan akauntan itu juga seni? Mereka menggarap kerjaya dengan halus seni tersendiri.
Pemikiranku tergantung pada bual bicara bersama seni'man' muzik yang punya minda intelek tak terjangkau.

Perjalanan melihat karya seni lukis Galeri 'Tate Modern' di Kota London membuatkan aku dan seni'man' mengulas cerita seni yang berkait-kait. Sekejap kami menyelam alam muzika, tiba tiba kami dah berada di karang alam pentas lakon, entah bagaimana tersangkut pada cerita keperibadian manusia yang katanya mereka itu seni.


Menjelajah Galeri 'Tate Modern' hampir 4 jam membuatkan kotak minda tak henti berputar. Dari garis halus hingga ke pintal bulatan, dari putih suci ke hitam gelita, dari abstrak arca kepada potret gambar penuh misteri. Lukisan punya cerita yang tidak jelas, kita betah gambarkan apa sahaja yang dibentuk kerna lenggok lukisan tidak ada salah dan benar, tidak ada satu atau dua, tidak ada sempadan dan garisan, yang ada cuma fikiran membentuk wajah cerita.


Bukanlah doktor itu tidak seni, jurukira tidak ada sensitiviti, guru hilang saraf egois, peguam tenggelam pada kehalusan, cuma mereka ini berfikir dalam konteks yang berarah. Tidak perlu mencari pengertian tanpa formula dan mengecam dengan satu tujuan tidak berjuta. Kesenian mereka pada kehebatan dan kecekapan, minda hanya bergerak pada satu paksi tidak sekusut ahli seni abstrak yang menggulung sesebuah cerita dengan ayat kabur.

Pelukis, penulis, pelakon, pemuzik dan pereka (fesyen, lagu, skrip dll) punya jalan seni yang berbeza. Lain yang ditanam, lain pula yang berbuah malah rasanya juga punya beza. Mereka melakar hati yang hidup dalam lapisan demi lapisan.

Keluar dari Galeri 'Tate Modern', aku mencari siapa aku. Di mana contoh abstrak lukisan yang mencerminkan siapa aku sedang temanku si seni'man' pula, semangatnya membuak buak untuk melahirkan wajah lukisan baru. Ah, dia bolehlah kerana dia punya sentuhan senilukis sedang aku sentuh hanya pada kalam yang menari atas lembaran putih, keluarnya tidak berbentuk tapi hanya huruf yang punya seribu maksud.Kami sempat berbicara tentang isi hati 'tukang' lukis, dah tentunya dia lebih memahami apatah lagi keterlanjuran mindanya sering berada seribu kali di hadapan berbanding jika diukur jangkau minda sempitku.

Katanya, pelukis itu melakar sejarah diri, menghayun berus menconteng papan lukis tanpa ada arah. Pemilihan warna bergantung pada kejujuran hati, simbol yang digunakan tak perlu untuk buat semua mengerti. Aku bidas, bukankah dari buku 'Representation : Cultural Representations and Signifying Practices' yang aku telaah mengatakan setiap simbol sudah ada maksud tersiratnya dan penggunaan warna sudah ada penetapannya?

Malah kata guru 'mat saleh' ku di sini, tanpa ada haluan simbol objek, sukar untuk melakar jiwa yang kalut. Seni'man' melerai simpulanku dengan pemikiran lancangnya, katanya 'benar simbol dan warna pengaruhi istilah tetapi pengertian yang ditelan oleh setiap manusia itu berbeza. Contohnya, simbol 'peace' yang sering digunakan anak muda hari ini sudah dimengerti dengan makna yang disematkan dari mula ia dicipta walhal jika ditenung sedalamnya, makna tersurat pula melambangkan 'cross' terbalik yang dikaitkan dengan agama kristian'.


Aku diam membisu tak berani nak membidas, kerna seni'man' pasti lebih mengerti apa itu erti simbol sedang aku membacanya dari irama semasa. Seni'man' menulis lagu dalam album "NUR' tentang warna asmara. Simbol warna bisa diterjemahkan dalam erti cinta?, wah benar sungguh akalnya merentas garis asas. Pada awalnya aku hanya mengupas erti warna mengikut lentok etika semata, tapi semakin aku menerjah semakin aku lihat kebenarannya. Hati aku berbisik kecil, 'seni'man' ini punya alunan rentak jiwa yang berbelit dan mungkin bisa tersepit'.

Bukan kesimpulan tapi huraian peribadi, aku menggarap satu cetusan baru dalam mengungkap pengertian seni itu sebenarnya ghaib. Kadang ia datang, tiba tiba hilang disedut angin. Ia bisa melalaikan waktu berputar dan lenyap
ditinggalkan arus yang menggerunkan. Si seni'man' ku lihat semakin disimbah api semarak untuk mencetus arca baru lukisannya. Entah apa yang berselirat dalam kotak fikirnya aku tak pasti, susun atur strateginya menakutkan. Mana tidaknya, aku terbayang benarkah seni itu menelan sensitiviti gelora jiwa dan meninggalkan realiti gambar nyata untuk seketika? Ruang kosong dalam perjalanan hidup lebih senang dilalui dengan seninya dari bertaut pada sekujur jasad bernyawa.

Siapa pun insan seni, di manapun berdirinya, larinya mungkin herot, atur bicara berselirat kabut namun mereka tetap istimewa. Menilai dalam mata halus, merenung arus ghaib, hati menyirat hanya pada lembaran kain atau kertas putih.



"Seni itu iramanya lembut, dipegang tak bisa didakap hanya mimpi, namun seni itu penuh misteri dalam keghaiban peribadi insan insan seni", MARINI KAMAL

No comments: