Sunday, April 08, 2007

~~Filem BUKAK API garapan berani~~

Mungkin aku agak terlewat menonton filem panas terbitan Pink Triangle Production dengan sokongan MAJLIS AIDS MALAYSIA yang tidak pun ditayangkan di pawagam. Filem BUKAK API sesungguhnya benar benar mencetuskan kontroversi lapisan masyarakat awam hari ini mengisakan perjalanan gersang seorang lelaki bertubuh wanita atau lebih dikenal mesra sebagai 'mak nyah' yang merintih menagih kebebasan hak dari masyarakat sekeliling, malah turut diselitkan kisah penderitaan pelacur kelas bawahan yang mengemis sesuap nasi.

Keberanian menyelitkan aksi sensasi seperti merangkul tubuh, menjilat tubuh, bercumbu rakus, meraba daerah ransangan seks dan berpakaian separuh bogel membuatkan perjalanan filem ini meremangkan bulu tengkok. Kisah hidup 'maknyah' dan pelacur yang bertarung dengan hidup serta dihina mata keliling adalah objektif utama filem ini. Ia menyelitkan unsur pengajaran terhadap penggunaan kondom ketika melakukan hubungan seksual terutamanya secara rambang. Turut menyelitkan isu bahaya terhadap suntikan hormon serta perlunya mendapatkan khidmat pakar kesihatan jika berniat menukur struktur tubuh.

Selain menceritakan kisah salah laku pengamal mak nyah ini, filem ini berjaya memberikan impak kasih sayang dan nilai murni seseorang biarpun mereka itu dipandang kotor oleh masyarakat. Namun demikan, filem ini tidak berpaksikan pada perjalanan hidup kotor maknyah dan pelacur sebaliknya memberikan kesan positif pada orang ramai agar tidak menghukum seseorang dengan kejahilannya.

Mesej filem ini sampai pada tahap memuaskan, ia juga berjaya mencungkil bakat pelakon baru yang tidak nampak kekok lenggok gaya seorang pelakon. Rata rata mereka yang terlibat sebagai pelakon berjaya membawa watak seperti seorang pelakon popular. Keberanian beraksi di hadapan lensa kamera membawa aku terbang ke alam kalut mereka.

Benar setiap insan punya hak untuk merasa biarpun songsangnya peradaban agama, apatah lagi kehidupan ini sebenarnya punya corak warna yang rakus. Kasihan melihat ketandusan nilai murni seseorang itu tapi apakan daya mereka tidak bisa mengerti hukum hakam agama lantas layu dibuai alam sementara ini.

Filem ini sebuah filem yang baik biar cara penyampaiannya buatkan aku mual tapi sebagai insan biasa aku sedih melihat keterlanjuran kehendak hati mereka. Baliklah ke jalan yang benar, kita masih punya waktu untuk menghitung dosa pahala. Allah s.w.t maha pengampun, maha penyayang, usah dilalaikan dengan nafsu yang sumbang. Cinta dan seks hanya nafsu semata biar dirungkai dalam konteks yang berbeza ia tetap punya batas.

Siapa pun di dunia ini pasti dahagakan rangkul kemas penuh belai namun ia tidak kekal lama, berilah ruang untuk menggilap rasa cinta yang landasannya pada kebenaran dan kebersihan diri. Aku tidak mencemuh mereka ini tetapi aku punya hak untuk memberikan kesedaran hidup sebagai manusia. Hukuman bukan aku yang melangsaikannya, namun aku punya tugas memberikan kata penyudah buat mereka.

Kembali ke jalan benar, cinta pada yang asli, bergumpal bersama si dia yang sah, itulah pesanku buat golongan lupa asal usul diri ini. Sampai ke sudah cerita ini tak ada penghujungnya jika tidak dipusingkan pencabulan minda.

Hari ini kita makin hampir dengan hari akhirat, mahukah kita dihumban selamanya ke dalam api yang membakar tubuh? Jangan disalahkan pada takdir, ia tidak adil terhadap kekuasaan YANG MAHA ESA. Binalah kasih sayang dan cinta dunia ini pada mereka yang telah ditetapkan. Jangan diikutkan pujuk rayu syaitan lakhanat, ia hanya memimpin ke arah kemurkaan ALLAH s.w.t

Bagi mereka yang terlibat dalam projek filem BUKAK API ini, syabas kerana berjaya membikin sebuah dokumentari drama berani dan membawa mereka yang tidak kenal erti songsang kepada realiti kehidupan jelek. Lakonan dan pengarahan yang hebat setanding filem antarabangsa ini menzahirkan rasa berbalam dalam hati bila menontonnya.

Layarilah laman web www.youtube.com dan carilah filem BUKAK API untuk mengetahui apakah isi ceritanya. Pengajaran dalam bentuk menggunakan kondom serta kesan buruk mengambil suntikan hormon tanpa cadangan pakar melahirkan filem ini berobjektif positif terhadap penonton. Sifat buruk yang ditontonkan jadikan sempadan buat kita dan yang pastinya janganlah kita menghukum mereka kerna kita tak punya kuasa untuk bertindak sedemikan. Tarik rambut dalam tepung, jangan putus rambutnya dan tepung usahlah berselerak.

Pada mereka yang masih lalai dan alpa, pintu taubat tidak tertutup lagi, kembalilah ke jalan yang tidak dimurkai ALLAH s.w.t dan pohonlah hidayah dariNYA, InsyaALLAH kita pasti diberi peluang menjadi insan yang didalam lindunganNYA. Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi mengasihani, bersamalah kita membantu golongan alpa ini.

http://www.youtube.com/watch?search=&mode=related&v=zltc6gWxhfA

1 comment:

Anonymous said...

Wak Lan tgk mcm best jee...
produce tahun bile??