Sedar dalam tidak, kita sudah melewati dua minggu bulan mulia, bulan Ramadhan. Hanya sekali dalam setahun, dan kemeriahannya sangat dinantikan oleh semua. Setibanya Ramadhan, berlumba-lumba insan yang mencari keredhaan Allah swt, mengumpul sebanyak pahala dan mengabdikan diri siang dan malam pada penciptaNYA.
Alhamdulillah, kita masih lagi bersama menempuh Ramadhan, seterusnya meraikan Syawal. Kadang-kadang terasa juga apakah ini Ramadhan terakhir? Tahun hadapan adakah lagi Ramadhan buatku? atau buat insan-insan yang kukasihi? Semuanya atas ketentuan yang ESA.
Tahun ini Ramadhan amat berbeza, jika tahun lalu aku menyambut Ramadhan dengan status 'Isteri' dan tahun ini aku meraikan Ramadhan dengan kehadiran anak kecil di dalam perutku dan seterusnya membawa gelaran isteri kepada 'Ibu'. Kemeriahan tidak begitu dititik beratkan kerana aku lebih berdebar menanti saat kelahiran si kecil ini.
Ibadat puasa juga adakalanya terkandas, tersungkur tidak terdaya. Nafsu membeli belah juga tidak timbul dalam diriku tahun ini. Memandangkan apa jua pakaian yang bakal ku sarung, ia tetap menampakkan aku seperti buah nangka, maka aku dan suami memilih untuk bersederhana dan perhatian kami alihkan untuk membeli belah barangan anak kecil ini.
Namun, kemeriahannya tidak pernah berbeza. Seronok melihat anak buahku 'Al-Farysh' sibuk dengan bunga apinya saban malam. Berlarian dan menikmati saat-saat indah menjadi kanak-kanak. Kasihan juga bila melihat dia tidak berteman, hanya kami sahaja yang menjadi rakan-rakannya. Tak mengapa sayang, tahun depan ada dua teman untukmu.
Kakakku juga tak kurang hebatnya, sibuk dengan perniagaan kecil-kecil. Penjualan kerepek nampak begitu asyik, dan usaha beliau mendapat tapak berniaga di Bazaar Ramadhan membuatkan aku rasa bahawa ada juga keistimewaannya untuk tahun ini biarpun aku yang tidak beria-ia untuk menempuh Syawal kali ini.
Adik iparku pula, mengalami nasib sepertiku. Dirundung sepi mengharungi saat-saat bergelar ibu. Segalanya tidak terdaya, segalanya menjadi buntu dan penat. Tak mengapa adikku, inilah dugaan yang membuahkan hasil kelak.
Hari ini merupakan malam ke 15 kita akan bertarawikh, separuh bulan telahpun berlalu dan tinggal hanya kenikmatan malam-malam terakhir yang bakaal kita tempuhi. Rasa sayu bila mengenangkan ia akan berlalu. Seperti tidak cukup-cukup untuk menikmati fadhilatnya.
Tahun ini aku hanya menyambut kedatangan Syawal di rumah keluargaku, malah mertua juga tidak beraya di kampung halamannya. Memandangkan semua anak-anak mertuaku tidak dapat pulang ke Kelantan, apatah lagi kakak iparku sedang sarat ketika ini, menunggu detik kelahiran anak keduanya maka abi dan umi juga mengambil keputusan untuk meraikan Syawal di kediaman mereka di Subang Jaya.
Pasti berbeza bagi mereka yang sudah biasa berhari raya di Kelantan, terpaksa menukar suasana pada kali ini. Aku gembira dan sangat tidak terkata apabila dapat berhari raya bersama kedua orang tuaku bersama mertua. Saat ini pastinya sukar untuk diulangi. Tahun hadapan giliran aku pulang ke Kelantan kembali. Cinta aku pada kampung pasti tidak terperi namun apabila mengenangkan perjalanan yang memakan masa hampir 10 jam membuatkan aku longlai. Apakan terdaya, itulah realiti yang harus aku tempuhi.
InsyaALLAH, akan aku kongsikan bagaimana rasanya menyambut Syawal tahun ini dengan kehadiran anak kecil di balik perutku, mertua yang berhari raya di Subang Jaya dan kehadiran seorang lagi hero dalam keluarga kakak iparku. Semoga beliau melalui detik itu dengan selamat dan indah. Akan aku iringkan doa tanpa henti.