Pengalaman tak akan dapat memadamkan sedikit pun detik keperitan dan kebahagian. Dari pengalaman kita belajar segala jatuh dan bangun, susah dan senang. Menjadi bakal ibu bukanlah satu pengalaman yang mudah walaupun ia sudah temaktub antara satu tanggungjawab menjadi isteri. Mana pasangan yang tidak mahukan zuriatnya sendiri, membesar di dalam kantung perut yang anjal dan lahir dari rahim yang kecil.
Nini bersyukur di atas pengalaman pertama yang sangat mendewasakan, 6 bulan dan masih terus gigih mendayung mencari titik penamat. 3 bulan 10 hari adalah saat yang sangat dinantikan oleh Nini, suami dan seisi keluarga. Seperti apa yang dikhabarkan, Nini terima setiap pemberiaan tuhan dengan tangan menadah kesyukuran.
Lelaki atau perempuan bukanlah matlamat utama kami sebaliknya hanya memohon anak ini dilahirkan sesempurna sifatnya, indah akhlaknya dan taat pada ibu bapa dan agamanya. Sekadar itu yang kami panjatkan pada illahi.
Seperti biasa, rutin ke hospital tak pernah kami lewatkan atau lengahkan. Tak sabar setiap kali melihat mesin 'ultrasound' menjilat jilat perut Nini. Terlihat anak kecil di balik perut membunting bergerak-gerak kaki dan tangannya seolah meronta-ronta. Hanya bayang yang dapat disaksikan, tidak lagi fizikalnya yang sempurna.
Saat itu Nini dan suami terasa bahagia, dan hanya satu soalan sahaja yang diajukan buat doktor 'how's the heart beat? degupnya normal?', balas sambil tersenyum 'don't worry, your baby is normal and healthy'. Nini dan suami lega sambil berbalas senyuman.
Tidak banyak yang dapat doktor rakamkan ketika ini, katanya anak kami sangat agresif dan sukar untuk mendapatkan bentuk tubuhnya, panjangnya dan mengira jemarinya. Seolah dia tidak mahu diintai dari luar, dia mahu terus menyepi dan bermain di alamnya. Kata doktor, setengah bayi tidak suka akan gelombang 'ultrasound'.
Banyak yang ingin dikongsi bersama, melihatkan dia semakin membesar dan sering melanggar dinding-dinding perutku, aku mula rasa Tuhan itu sesungguhnya tiada yang lebih hebat dariNYA kerana keajaiban ini satu peristiwa menentang lumrah dan hukum alam.
Aku sering tertanya pada suamiku, bagaimana anak kecil ini bisa menginap di dalam kantung berisi penuh air dan tidak lemas? Suamiku cuba menjawab berpandukan ilmu sains dan teknologi semasa. Walau jawapan itu sekadar memenuhi tuntutan minda, namun hatiku masih tidak putus menyebut SUBHANALLAH!!!
Aku sebenarnya kaget! Tidak terlintas dari benak bagaimana anak kecil ini bisa mendiami kantung perut yang berisi air serta membentuk segala organ badannya satu demi satu hanya dengan memakan sedikit zat dari juadah harianku.
Adakalanya aku berfikir luar dari benak minda, bercakap menyimpang dari landasan keimanan. Namun aku tahu paksinya satu, TUHAN ITU ESA dan segala yang tidak tercapai oleh akalku, itulah keajaiban dan keistimewaanNYA. Tidak putus Allahu Akhbar meniti bibirku setiap kali gerakan hebat anak kecil ini menyiat nyiat dinding perutku.
Ruang yang semakin sempit ini mungkin tidak selesa lagi baginya apatah lagi usia anak ini bakal menjangkau 7 bulan angkanya. Dapat aku rasakan dia tidak sabar untuk menggengam jemariku, dan aku jua begitu, tidak sabar merangkul tubuhnya yang mulus dan harum.
Setiap hari aku mengusap-usap perut buntingku, takut melihat keterikkan yang semakin melampau. Kadang kala terlihat ada gerakkan dari dalam, ia mencuit hati namun jiwaku sering tersentuh. Kala ini teringat akan situasi yang sama seperti mana mama membawaku 9 bulan 10 hari. Mungkin pengalaman itu berbeza, mungkin tidak mencabar sepertiku atau mungkin lebih perit dari apa yang aku lalui.
Pengorbanan ibu bukan dikira hanya selepas melahirkan, 9 bulan itulah detik paling menyiksakan walaupun terselit gembira yang tidak terperi. Malah 9 bulan itu juga bukan saat yang mudah untuk dilalui, hanya dengan ketebalan iman di jiwa ia mampu memimpin semangat kita.
Anakku, seperti mana ibumu ini pernah tinggal di dalam kantung nendamu, perasaan ini ingin sekali ingin ibu kongsikan bersamamu. Biarpun tidak pasti sama ada kelahiranmu itu apa jantinanya namun ibu mahu kau tahu bahawa wanita itu hatinya lembut dan sangat halus untuk dimengertikan.
Namun kelembutan itu penuh dengan kekuatan jiwa yang tidak akan ada tolok bandingnya kerana hanya wanitalah yang mampu memikul beban dari Illahi untuk membawa waris dan umat Nabi Muhammad saw.
Usahlah kau mengasari wanita, memperlekehkan jiwa wanita dan memalingkan muka tanda marah pada wanita terutama dia yang bergelar IBU. Lihatlah dari setiap sudut bahawa wanita itu bakal menjadi penyambung warisan bagi agama kita. Kasihlah wanita itu seperti mana kau mengasihi ibumu ini.
Anakku, perjalanan kau sesungguhnya terlalu jauh untuk ibu hitung, namun ibu tak akan pernah jemu mencanting lukisan indah dalam lembaran hidupmu. Entahkan sempat entahkan tidak, ibu hanya berserah pada yang ESA.
Lahirlah kau dengan satu keagungan, kegembiraan dan menghapus segala bibit-bibit duka. Membesarlah kau dengan segala impian yang menerawang di dalam benakmu, bendunglah imanmu dengan kasih cinta pada sunnah junjungan Nabi saw kita dan kembalilah kau pada penciptaMU dengan segala kebanggaan ibu dan bapa.
Sesungguhnya ibu dan bapamu ini tidak sabar melihat kehadiranmu. Hanya beberapa waktu lagi, kita pasti akan terus bersama, hanya maut memisahkan kita.
No comments:
Post a Comment