Monday, August 16, 2010

Sedikit luahan dari hati kecil yang sering tersentuh~~

Semakin hari aku semakin gusar, ada sahaja yang tak kena. Emosi mula berubah-ubah, tak stabil dan mudah sangat tersentuh. Inilah agaknya perubahan hormon yang dikhabarkan oleh ramai para wanita yang berpengalaman mengandung dan melahirkan.

Entah apa yang berserabut sangat dalam kotak minda, aku tak pasti. Jujurnya aku hanya tahu detik untuk melihat anak kecil di balik perutku ini keluar dengan sihat dan sempurna sifatnya. Malam dan siang ku di panah angin yang tak menentu. Aku jadi buntu. Badan kian letih bila berjalan dan kaki kian membengkak seperti di cucuk-cucuk nyerinya.

Aku menghitung setiap detik yang hadir, harapnya tidak ada yang lebih sukar dari hari ini. Aku bersyukur mendapat sokongan dan bimbingan dari suami. Alhamdulillah setiap kali sakit ini kurasai, aku kongsikan bersama dan dia tidak pernah mengeluh dengar rintihan hatiku.

Semangat suami aku pinjam, agar terus kuat dan kekal menjadi utuh, walau adakalanya aku rasa perasaan melebih-lebih membuak. Terus terang aku khabarkan, sejak membawa si kecil ini, aku seperti tidak boleh berenggang dengan suamiku walau sesaat. Bila berjauhan, rasa sayu dan sedih mula menghimpit.

Lebih memualkan, aku tidak suka makan dengan tangan sendiri sebaliknya mahu sentiasa disuap seperti anak kecil. Tidak pernah aku berperasaan seperti ini sebelum mengandung tapi sebaliknya kini berubah.

Aku kasihan melihat suamiku sibuk menguruskan rumah tangga, setiap hari dia akan memasak untukku. Tekak aku tidak pernah selera untuk menikmati mana-mana juadah di luar walaupun hotel bertaraf 5 bintang. Terbayang makanan luar, aku jadi mual. Inilah antara alahan teruk yang aku alami. Aku hanya mahu makan makanan yang dimasak suami dan di suap olehnya.

Aduhai, tidak terbalas pengorbanan suami bila aku kenangkan. Aku tidak terbayang bagaimana ada wanita-wanita diluar sana yang tidak terbela nasibnya bila berkahwin. Ada yang berhadapan dengan suami yang tidak pedulikan langsung tentang isteri dan ada juga yang mengabaikan terus sehingga menyebabkan rumah tangga berkocak hingga runtuh ketika isteri sedang sarat membawa anak kecil.

Benar, kita harus mencari pasangan yang bukan sekadar dari paras rupa, harta benda dan pangkatnya sahaja. Ilmu agama yang tinggi disusuli dengan perasaan kasih sayang yang penuh dalam dirinya haruslah ada untuk kita jadikan seseorang itu sebagai bakal suami. Alam rumah tangga lebih hebat perjalanannya dari alam bercinta dan jika tidak berlandaskan keimanan dan keutuhan Islam pasti ia bergoyah dan menunggu masa untuk roboh.

Ragam menjadi bakal ibu ini aku dapat rasakan bukanlah sesuatu yang mudah. Kerana itu, hatiku mudah tersentuh dan fikiranku sering dibawa terbang. Terbayang waktu mama mengandungkan aku 9 bulan dalam rahimnya, adakah papa melayani mama seperti mana suamiku melayaniku? Adakah papa juga menjaga makan minum mama seperti mana suamiku menitik beratkan setiap sudut?

Aku di duga lagi dalam Ramadhan ini, sudah beberapa hari suami tidak ke masjid mahupun surau menunaikan solat sunat tarawikh. Katanya tak sanggup melihat aku sendirian di rumah dan merana kesakitan. Benar, sejak Ramadhan tiba kakiku semakin membengkak dan adakalanya untuk menunaikan solat pun tidak terdaya. Aku tak bisa duduk antara dua sujud, saebaliknya perlu menggunakan kerusi. Aku tak bisa berdiri terlalu lama kerana bisa bengkak itu seperti menular hingga ke pergelangan kaki.

Puasa ke 4 aku di serang sakit perut yang maha hebat, aku fikirkan waktu untuk si kecil kian tiba namun tidak lagi. Ia adalah angin yang bergumpal dan salah makan kata doktor padaku, kerana itu jugalah membuatkan aku hanya terbaring dan merengkok sakit siang dan malam. Oh tuhan, dugaanmu adakalanya maha hebat buat insan kerdil sepertiku. Namun aku redha dan sentiasa berharap agar segalanya bisa ku tempuh dengan tenang.

Dek kerana itu, suamiku hanya melakukan solat sunat tarawikh di rumah. Setiap hari kami akan bersolat jemaah Maghrib dan Isyak lantas terus menyiapkan sunat terawikh serta witir. Aku tahu di hati kecil suami, tersimpan sedikit perasaan untuk ke menghadiri tarawikh di surau dan masjid namun melihat keadaan fizikalku, suami membatalkan niatnya. Ya Allah, moga engkau bisa merahmatinya dan melimpahkan pahala buat kami yang sedang dalam ujian.

Hanya tinggal 10 minggu buatku, satu tempoh yang tidak begitu lama untuk dihitung dan begitu hampir dengan segala penantian. Aku akan terus berdoa agar segalanya dipermudahkan illahi. Ameen




No comments: