Malam itu aku mimpikan kota Inggeris, perjalanan harianku di sana bersama suami seperti bukan balam alam maya. Aku tertanya pada diri, apakah bayu itu memanggil ke pergi?. Terlalu rindu buatkan aku tidak berganjak dari ingatan di kota 4 musim itu.
Pagi ini aku ke hospital lagi, rutin biasa bagi para bakal bonda untuk bertemu pakar yang bisa menceritakan perjalanan bayi yang dikandung. Penantian bersama suami kuharungi biarpun 3 jam lamanya menantikan giliran. Aku memandang kiri dan kanan, wajah penuh harapan dengan perut yang berisi makhluk amanah dari tuhan.
Setiap wajah kurenung, ada yang kusam ada yang ceria ada yang seperti gelisah seribu tanya. Aku ke tandas, tajam ku lihat wajahku sendiri. Aku tidak mahu mencampur adukkan wajah murung yang ku alami di hadapan mereka.
Benar aku murung, apa tidaknya jika makan tidak lagi bernafsu, fikiran kusut menanti kehadiran si mungil. Aku kalut, seperti bukan aku. Aku lemas seperti tidak pandai mengapungkan diri ketika dalam keadaan gundah. Sebenarnya aku kaget, antara percaya atau tidak, antara yakin atau gugup bahawa aku juga mengendong sebutir nyawa yang bergerak di dalam tubuhku.
Apabila giliranku tiba, aku semakin gentar, apakah berita anak kecil ini? Doktor mulakan bicara dengan bertanya kesihatanku. Aku jawab tenang, "Saya tidak punya selera makan bukan kerna nak diet tapi segala jenis juadah bila jejaki lidah ini terasa pahit hempedu. Apakah semua ini doktor?"
"Usah fikirkan sangat, makan sikit tapi kerap dan jangan lewat. Perkara ini lazim bagi para bakal ibu terutama di peringkat pertama kandungannya", ujar doktor seperti dialog menghafal skrip. Mungkin sudah dilontarkan berjuta kali buat berjuta para ibu yang hadir mendapatkan khidmatnya.
"Mari kita lihat progres si dia", doktor memintaku berbaring sambil mengajukan mesin ajaib yang bisa melihat intipati perutku.
"Ermmmm, bagus. Besar kantungnya tapi bayi masih kecil lagi. Tak nampak sangat. Jantungnya berdegup dengan baik", doktor kuatkan suara dari peti ajaib itu.
"Kuat ya doktor", ujar ayahnda si anak kecil ini sambil di wajah penuh tanda cinta.
"Biasanya kalau bawah 80, dia mungkin alami sedikit komplikasi tapi alhamdulillah si kenit ini denyut jantungnya 145", ujar doktor persis wajah pelakon hindi itu.
"So, mummy dia kena makan lebih sikit dan jangan angkat berat berat ya. InsyaALLAH dia akan sihat sentiasa", aku lirik senyuman manis yang terkandung segala rasa.
Alhamdulillah, kata doktor dia mahu ketemu aku lewat sebulan lagi. Tatkala itu, aku sudahpun menginjak ke angka 3 bulan membawa anak kecil ini ke mana-mana. Tidak tergambar bagaimana keadaan fizikalku dari sehari ke sehari, bulan berganti bulan. Hanya naluriku kini mahu terus hampir kepadaNYA.
Senyum aku panjang, senyum suamiku juga puas. Setiap hari kami lalui perkara baru, pengalaman baru yang manis dan pahit. Aku yang terus terusan alahan seperti tidak tertanggung lagi akan ujian ini. Hanya istighfar panjang bisa aku ucapkan agar keluhan tidak terus menjadi mainan di bibir.
InsyaALLAH, aku akan terus kuat dengan segala semangat yang ada demi melihat generasiku bisa melihat dunia.
Ameen