Friday, June 27, 2008

~~Ini Akhrinya Segala Gundah Itu~~

Matahari mula memancarkan sinarnya buat insan kerdil sepertiku. Asyik dalam sinaran itu membuatkan aku sering gugup menghadapi sinar lebih terik di hari depan. Kali ini, warkah ini aku tujukan khas buat kamu kekasih! Ya kamu, bukan siapa siapa tapi kamu yang banyak membawa erti kesyukuran dan keredhaan dalam hati ini. Kamu yang sentiasa berikan sebutir sinar setiap hari, kamu yang sentiasa menjadi benteng tatkala ingin rebah dan kamulah yang seringnya mencampakkan rasa kasih selain dari keluargaku.

Aku tewas kali ini, dengan panahan cinta yang kau suntikkan ke dalam tubuh. Kau harus tahu betapa besarnya hatiku ini menerima segala kehadiran baru dalam kelopak jiwaku. Haruskah aku titipkan namamu di sini? Usahlah, biar ia menjadi pertanyaan buat mereka tentang siapa kamu dan mengapa kamu menjadi pengakhir pencarian cinta abadiku.

Bangkitnya aku hari ini lebih kuat dari kejutan cas elektrik yang bisa membunuh sel darah merah. Setiap kali memandang seri wajahmu, aku pastinya rebah dalam tenungan itu. Kau kata mataku lebih tajam menusuk kalbu mu walhal hakikinya aku yang gelana setiap kali mata itu merenung susuk tubuhku. Kau ikhlas dalam lenggok bicara lirikkanmu, kau jujur dalam menyemai benih cinta ke dalam jiwaku dan kau teguh membina benteng kebahagiaan bersamaku.

Dalam derusan angin pantai mengembus rakus, aku benar benar lemas kini di setiap bait bait bicaramu yang menenangkanku. Aku mahu seisi alam bangun dan sedar bahawa aku tidak mati lagi. Kalau dulu, menghitung bintang di langir buat ku lelah, kini usah kata merenung bintang malah aku lebih setia menanti bintang malu hadir menemaniku.

Kugubal warkah ini buatmu, kerna dari kata kata, aku hanya bisa mencambah benih cinta padamu. Marilah kasih, bersama meredah dan berdoa pada DIA agar impianmu menyunting kegadisanku mendapat restu Izin DariNYA. Kau usah gentar dengan kata kata mereka, rusuhan hati mereka bukan untuk menyulitkan antara kamu dan aku. Tangisan piluku sering kau sapu dengan salju jemarimu.

Sayang, bicara ini mungkin kosong bagimu tapi impian itu besar padaku. Terima kasih kerana membasuh segala noda hitam dalam gering tubuh ini. Kita bakal melangkah ke alam baru tidak lama lagi dan kau akan menjadi pembimbing sejati. Aku pula akan sentiasa menjadi Isteri yang Solehah buatmu. InsyaALLAH...

Sebentar lagi akan kau miliki seluruh jiwaku, tidak lama lagi kau akan menatap wajahku siang dan malam. Bimbang juga hati ini kerna bulan pasti merajuk dan tersembunyi di balik pekat awan malam. Aku tahu bulan tak rela melepaskan kekasih hatinya disunting tapi BULAN, kau tetap dalam bunga bunga cinta yang ku ada.

Di sini aku berhenti, ingin kukhabarkan segalanya bahawa aku tak sabar menanti kehadiranmu dalam hidupkan atas tiket perkahwinan. Kita sama berdoa dan selebihnya pulangkan pada yang ESA untuk menentukan perjalanan ini.

Terima kasih sayang, terima kasih kerana sudi menerima insan naif sepertiku.


Sunday, June 15, 2008

~~Mari Kita Renung Sekejap~~

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah

Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia
Rintangan dilalui tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan Ilahi

Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka
Indah fatamorgana melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari

Begitu indah dunia siapa pun kan tergoda
Harta, pangkat dan wanita melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi
Pulanglah kepada Tuhan cahaya kehidupan
Keimanan ketakwaan kepadanya senjata utama

Sabar menempuh jalan tetapkan iman di hati
Yakinkan janji Tuhan syurga yang sedia menanti
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah
Allah


~~Renung mataku, simpan kataku, bingkai senyumanku~~

Jam berdetik tak pernah henti, lewat malam ini aku lihat seluruh penghuni alam asyik dilamun pari pari, menganyam mimpi mimpi yang sungguh indah. Aku masih buntu dan tak mampu lelapkan mata degil. Bertubi tubi pertanyaan itu menghambat waktu yang ku lalui beberapa waktu ini.

Untuk siapa sebenarnya warkah ini? Aku masih cuba menari di pentas maya, mencari lagu gembira yang bakal didendangkan oleh seluruh tetamu laman. Berat mengatur langkah, aku masih terus menggelek manja mengharap mereka tersenyum gembira.

Teman, kau harus tahu bahawa senyuman ini adalah untuk kalian. Simpan setiap manis kuntumnya, seandai terluka ambil satu dibuat penawar. Aku tahu kalian di luar sana tak bisa menepis rona duka, dikecam dugaan melanda sedangkan aku hanya mahu memberikan sebutir sinar ceria di sebalik kekalutan jiwa.

Mari aku kongsi sedikit watak jiwa yang bisa kau ambil jika kau mahu menerima. Bukan untuk menjadi bidadari, bukan bererti menjadi pari pari cuma aku mahu menjadi teman sejati yang bisa membawa bunga mawar segar di hati kalian.

Jika kau tanya apa kekuatanku, lantas ku lafaskan kekuatanku kalimah syahadat yang menjadi benteng teguh buat kita. Jika kau tanya apa kecekalanku, pastinya keredhaan dan doa yang tak putus menganjakku dari lubuk derita. Jika kau tegar bertanya apa rahsia semangatku, dengan tenang aku hanya bisa meminta dan terus meminta pada yang Esa agar diselaputi keimananku dengan cahaya.

Kehidupan ini sangat berharga, sesaat yang dilalui pasti tidak lepas dengan tujahan emosi yang berbuah dalam diri. Aku di sini berdiri dan jatuh, lantas bangun dan jatuh lagi dan terus tersungkur pada setiap detik yang disuratkan namun tidak lagi amarah putus harapan menghantui diriku. Kita harus jernihkan lubuk jiwa, membuka ruang bahagia untuk merasa setiap kenikmatan yang Allah swt campakkan setitis demi setitis di dalam hati ini.

Sahabat perjuangan duniawi, kita sering terlupa bahawa kekecewaan itu sebenarnya mengajar kita menjadi lebih kuat dari hari semalam. Kita teralpa bahawa doa yang kita pohon itu sering dimakbulkan yang Esa, namun langkah apa yang harus kita susuri mengangkat tangan pada Illahi?

Seringnya sahabat, kita ini mencari kelemahan diri dan tunduk, lari dari berselingkuh dalam gusar yang dihantar untuk babak dugaan dalam perjalanan ini. Mengapa itu yang sering kita tempuhi? Jatuh dan jatuh dan terus jatuh hingga patah kaki untuk berlari? Kata kata bukan lagi membakar obor semangat sebaliknya menjadi benteng untuk kita takut meredah lopak kecewa.

Aku menulis bukan untuk sesiapa, aku memberikan sedikit waktu buat kalian kongsi denganku. Mengapa harus dilumpuri nikmat menjadi insani dengan ketandusan semangat yang pudar? Di mana hilangnya angan angan yang membawa kamu terbang? Di mana segalanya?

Sahabat, sambutlah gusar jemariku untuk kita bina harapan baru. Jangan lagi melihat diri kamu dalam diriku dan diriku dalam diri kamu. Semakin hampir kita mendekati Illahi, seharusnya semakin kuat kekuatan diri yang harus kita tanamkan dalam jiwa kecil.

Mari dekati dan renung ke dalam mataku, kau pasti tembus lorong lorong liku. Sedarkah bahawa lorong itu bisa membawa kita mengenali siapa kita di bumi ini?

~~Bila hati Memberontak...apa hadir tamu?~~

Semalam aku lihat ia hadir
Dalam gusar hati ia lahir
Penuh rasa yang menggigit
Menjadi tompokan ngeri

Sudah lama aku biarkan tangis
Membawa lara bingkisan pedih
Melihat dalam mata hati
Melihat duri tertusuk gering

Sampai kapan ia harus nyeri
Di kecam kemelut nyaring
Membingit dalam terik
Menghambat berbalam genting

Aku mahu lari
Ke mana harus ku pergi
Arah tiada membenteng
Terus dan terus berjeriji

Aku mahu menjerit
Dalam koma lemah membisu
Melepas amukan hati
Meriuh dikesempitan buntu

Pena terus menari
Mencoret gurisan hati
Membongkah runtuhan sepi
Hadir hanya mimpi

Aku bicara pada aku
Aku tak mahu menggarap angan itu
Biarkan membuah rasa cemburu
Melihat mereka terduduk kelu


Thursday, June 05, 2008

~~Aku tak mahu BERHENTI mengasihimu~~

Kalau bisa ku pecahkan kepompong ketakutan itu, lama sudah aku hempaskannya. Aku tak ingin lagi dalam segala kebimbangan yang melampaui batas fikiran waras. Ingin kuberlari ke lautan luas dan menikmati ketenangan pantai yang setia menghempas sisirannya. Aku mahu bebas dan tidak diselimuti kegersangan murung itu.

Walau semalam berlumpur wajah gelap, ditiup angin harapan, dibelai keraguan, hari ini aku mahu bangkit dan terus menentang rasa terkilan. Apa aku tak bisa mengecapi ruang bahagia? Aku mahu dan teringin benar mahu menyelinap ke rona kecil kegembiraan itu.

Malam sering bawa aku terbang, melihat pancaindera luar biasa dan menarilah bidadari menghiburkan. Aku asyik dan terus dibuai girang sedang hakikatnya aku tahu ia tak selama mana. Aku mahu realiti indah, aku mahu bidadari menemani, aku mahu sinar gembira dan aku mahu dibelai bahagia.

Salahkah aku mahu menumpang senyum di wajahmu, biar tak abadi tapi cukup menguntum bunga di hati. Salahkah aku menagih dan menghulurkan harapan padamu? Salahkah aku untuk mencuri sedikit kebahagiaanmu? Salahkah untuk semua itu?

Lama benar dikurung derita, hingga pungguk benci melihat wajahku. Bulan yang menjadi bintang hati pungguk, beralih arah menemani sepi sepiku. Maaf pungguk, aku tak bisa lari dari mengharap kasih bulan itu. Salahkah kita pungguk? Mengharap pada yang tak pasti, yang yakin hanya doa dan redha pada Illahi.

Aku tidak mahu lagi berselindung, aku tidak mahu lagi diburu, aku tak mahu lagi terperuk dalam noda noda lesu yang melemahkan jiwa. Aku mahu bangun dan kuat bersama semangatmu, jika kau mahu pinjamkan ia padaku. Aku mahu bernafas dalam setiap doa yang kau utus, aku mahu berbantalkan kasihmu, jika kau mahu berkongsi ketenanganmu.

Kasih ini hanya satu, aku tak minta dua atau tiga. Meniti hari untuk melihat dan membahagiakanmu, mercu impian hariku. Maaf jika kau resah, aku tak rela melihat kepahitan itu. Mari genggami tanganku, bawa aku tersenyum dan nyahkan penderitaan kisah lalu. Aku hanya mahu mendampingimu.

Jika bisa kau lihat ke sudut sulit kamar hatiku, kau tak bisa percaya kejujuran dan keikhlasan hatiku. Moga Allah swt merawati luka luka kita dan mencampakkan cahaya gemilang dalam perjalanan menuju hari kematian.