Tuesday, October 31, 2006

Jangan Kau Menggangu

Dari mana ia datang
Menari di cuping telinga
Merentak degup jantung
Kadang kencang
Kadang gagap denyutnya

Siapa menyeru
Siapa memburu
Terpanggil atau memanggil

Mengapa hadir
Meliuk dalam melodi
Menyapa minda yang tuli

Pergilah jangan menggangu
Kita berbeza zahir azali
Mata tak bisa bertentang
Sentuh hanya sedingin salju

Baliklah jangan hampir
Mendebar kudus hati
Akan ku iring nyanyian abadi
Moga dikau tenang
Dalam alam abadi

Melodi ini melodiku
Patah puitis bukan untukmu
Andai ia nalurimu
Akan ku bisik akan ku lagu
Saban waktu
Janjinya kau tidak lagi mengganggu

Kita berbeza waktu
Pulanglah jangan kau terus menggangu

Wednesday, October 25, 2006

~~KeLiRu...~~


Menari dalam gelap
Menyuluh kala terang
Memikir seputar alam

Hari bagai saat
Saat bagai mimpi
Berlalu seolah berlari

Mengejar sekelumit mimpi
Dikejar igauan ilusi
Gobok minda pintal membelit

Sketsa realiti jalan cerita mual
Menggubal prasangka jelek
Bergumpal menjadi himpunan kesal

Muntah tak bisa
Telan terasa perit
Meratap berkaca sayu mata

Realiti hidup
Kadang kejam namun itulah mainan
Esok yang fantasi
Menjadi senja erti hidup

Jalanan harian
Mencongak cerita
Bukan derita
Tapi ceria
Sukar di lakar
Mudah diratap

Alah bisa tegal biasa
Semalam memori
Menjadi jambatan titian hari ini

~~TENGGELAM DI SUNGAI CETEK~~


Saturday, October 21, 2006

~~SaLaM IkHLaS Dr rAnTau~~

..>


You are my everythings! Forever and ever....

~~ToNToNiLAh iKLaN pEtRoNaS RaYa InI>>sUnGgUh MenYenTuH sAnuBarI~~

Assalammualaikum & salam sayang....


Raya semakin hampir mengetuk pintu hati umat islam seluruh dunia. Terasa akan kehangatannya kini walau sesibuk mana pun kita dikejar tugasan yang melingkari ruang minda. Setelah bersabar menahan segala dugaan dalam bulan Ramadhan, kini terbayar semuanya dengan ketibaan Aidil Fitri yang pasti riuh dengan suasana gemilang yang dinantikan.

Alhamdulillah, menjalani ibadat rukun islam ketiga ini diperantauan biarpun perit dengan pelbagai ujian jiwa namun tidak sekali pun mematahkan semangat Nini untuk meratapi kesedihan itu dengan linangan airmata, walau ada ketikanya tak dapat dibendung namun cabaran tetap ditempuhi. Persiapan tidaklah sehebat di Malaysia, suram suasana mengelilingi sekitar alam, kegirangan tak tergambar dek mata kasar cuma hati dan semangat kental rakan rakan seperjuangan di sini sering membalut kerinduan yang mencengkam. Hidup di rantau orang bukan sekadar menjerut rasa malah remuk jiwa tatkala terbayang kenangan indah di negara sendiri.

Baru sebentar tadi Nini melihat sebuah iklan Hari Raya terbitan Petronas yang ditayangkan di kaca tv Malaysia tahun ini, ianya sungguh menyentuh hati kecil ini. Mesej yang ingin disampaikan padat, jelas dan tepat bagi mereka yang tidak sedar betapa berharganya nilai kasih sayang seorang ayah terhadap anak. Iklan tersebut mengisahkan pilu hati seorang ayah yang uzur menumpang kasih dan hidup di rumah anak tunggalnya. Suami pada anaknya bersikap tidak peduli lantas menyisihkan kekurangan diri beliau terutama di meja makan. Perilaku kurang sopan dan kata kata yang menyinggung hati oleh si menantu terhadap ayah mertuanya menjadi ikutan buat anak anak yang masih kecil. Walaupun anak anak ini masih tidak boleh berfikir mengenai peradaban dan layanan yang baik buat warga tua, namun mereka menyematkan setiap semuanya di dalam hati setiap perilaku yang terpampan dek mata kasar.

Buat mereka yang telah menonton iklan tersebut, ianya adalah satu contoh yang sungguh baik untuk mendidik anak-anak agar menghormati dan bersopan ketika berhadapan dengan warga emas yang kurang upaya. Hati kecil Nini benar benar tersentuh dengan iklan tersebut, namun buat mereka yang tidak berkesempatan menontonnya, Nini sertakan 'url' klip tersebut untuk tatapan anda. Semoga kita sama sama menjadikan ia sebagai satu panduan dan ingatan sampai bila bila.

Janganlah kita sisihkan mereka yang membelai dan mengadun segala kasih sayang dalam rencah kehidupan kita satu ketika dahulu. Mereka terlalu berharga dunia dan akhirat, tanpa mereka kita mungkin tidak menjadi sesempurna umat hari ini. Kasih dan sayang orang tua terhadap kita terlalu tinggi nilainya biarpun mungkin cara didikan mereka punya kekurangan. Setiap yang bergelar ayah dan ibu walau bagaimana dicincang kasih mereka tetap tidak terlerai sampai bila bila. Andai mereka tidak menjadi ibu dan ayah yang baik sewaktu kita kecil dahulu, maafkanlah mereka kerana mereka juga umat Adam yang naif dalam erti kehidupan.

Dalam mengejar erti kehidupan yang penuh arus persaingan ini, mungkin kita terlupa untuk memohon ampun dari mereka atau mengampunkan kekurangan mereka. Nah, inilah masanya yang diberikan oleh Allah s.w.t terhadap kita untuk bertawaduk dan memikirkan sejenak betapa besar nikmatnya di pagi Aidil Fitri kita mengucup tangan dan kaki mereka agar mendoakan kebahagian hidup kita. Buang rasa malu, ego dan keras hati demi insan yang melahirkan dan membesarkan kita di dunia ini. Insyaallah hidup ini pasti disirami keberkatan oleh-Nya.

Syabas buat Petronas kerana berjaya menerbitkan iklan berkualiti saban tahun. Dengan usahasama ini, mungkin dapat mengeratkan lagi kasih yang renggang, retak dan terlerai. Iklan tersebut merupakan di antara iklan Aidil Fitri yang benar benar menampar naluri kecil hati saya ini.

Bagi mereka yang menonton iklan tersebut sekadar hiburan, tontonlah sekali lagi dan lagi sehingga dapat merasakan apakah sebenarnya erti kasih sayang dan hormat menghormati. SALAM AIDIL FITRI DARI NINI BUAT SEMUA. MOGA LEBARAN INI MEMBERIKAN CAHAYA HIDAYAT BUAT KITA SEMUA. POHON AMPUN SEPULUH JARI ANDAI PERNAH MENGGURIS DAN MENCALARI SUDUT HATI KECIL KALIAN. JERNIHKANLAH HATI MENYAMBUT LEBARAN YANG SUCI, MUNGKIN LEBARAN INI LEBARAN TERAKHIR BUAT KITA. SEKADAR RENUNGAN....

URL IKLAN - http://www.youtube.com/watch?v=i8_aS5RJ5LA

LOVE FROM LONDON,
NINI KAMAL

Sunday, October 15, 2006

JENGUKLAH BAZAAR RAMADHAN DI 'DOWN TOWN CHERAS'
Apa khabar orang Malaysia?
Keluarga dan sanak saudara serta teman dan sahabat?
Pasti kemeriahan menyambut ketibaan Syawal menjadi agenda utama harian bukan?
Yang mana belum mendapatkan tiket bas, kapal terbang mahupun keretapi untuk pulang ke kampung halaman pastinya terburu buru untuk mendapatkannya. Buat mereka yang berada di kawasan perkampungan pula, aktiviti mengemas, menghias rumah dan membeli beberapa perabot baru adalah agenda utama.

Para pekerja swasta mahupun kerajaan pula, sibuk mengumpul segala cuti yang ada untuk digunakan sebaik mungkin malahan buat mereka yang mengambil kesempatan berniaga di bazaar Ramadhan pastinya sedang sibuk di saat saat akhir untuk membuat jualan runtuh bagi menghabiskan stok yang tersimpan.

Seperti yang Nini katakan tadi, pastinya bulan Ramadhan ini menjadi di antara bulan yang paling sibuk dalam setahun. Cuma yang dikhuatiri, sedang sibuk mengatur percaturan dunia, segala yang wajib di tinggalkan. Harapnya tidaklah begitu ya.....Seimbangkanlah yang mana harus dan wajib serta sunat.

Oh ya, buat pengetahuan teman teman, kakak Nini juga terlibat dalam perniagaan di Bazaar Ramadhan. Tersentak di minda, bagaimanalah agaknya situasi 'along' ketika melayani kerenah pelanggan? Almaklumlah dia ni umpama punya berlian dalam mjlut, berat benar nak berbicara dan lebih selesa jika berdiam diri sahaja. Bagi sesiapa yang tidak mengenalinya, pasti tuduhan 'sombong' akan terlempar kepadanya.

Teringin benar rasanya nak menonton aksi 'peniaga si berat mulut' ini di bazaarnya, tapi apakan daya....Nini kini berada beratus ribu batu dari lokasi tersebut.... :(

BUAT SEMUA TEMAN, JENGUK JENGUKKANLAH KAK LONG NINI DI BAZAAR TERSEBUT (LOT 175, DOWN TOWN BANDAR TUN RAZAK, CHERAS)

KAK LONG KATA NAK BAGI DISKAUN KALAU SESIAPA YANG KENAL NINI...HEHEHE CUBALAH TAU!!!!. MENGIKUT KATA KAK LONG, BAZAARNYA BEROPERASI DARI JAM 8 MALAM HINGGA 1 PAGI.

KAK LONG kata, bazaarnya menjual pelbagai jenis kuih raya yang sungguh istimewa dan sedap. Sejujurnya, Nini berani memberi jaminan bahawa kuih raya yang dijualnya memang SEDAP SANGAT. Nini dah rasa kesemuanya, dihantar melalui 'courier' ke LONDON.

Selain juadah kuih raya, terdapat juga barangan seperti tudung, beg tangan dan beberapa perhiasan diri di jual di warungnya. KAK LONG kata, kemeriahan bazaar tersebut seperti di pesta malam 'UPTOWN'.

Terbayang di minda, WOW!!!!! mesti meriahkan??? Namun demikian, Nini tak dapat mengesahkannya kerana Nini tidak berada di lokasi tersebut. Oleh kerana itulah, NINI MENYERU RAKAN RAKAN MENJENGUK GERAI KAK LONG....MUNGKIN KALIAN JUGA BOLEH BERCERITA AKAN KEBENARAN KATA KATANYA. Wah, dah macam promosi percuma pula rasanya....

Apa apa pun Nini sentiasa mendoakan agar rezeki yang datang pada bulan Ramadhan ini akan memberikan keberkatan pada KAK LONG dan rakan kongsi beliau KAK FIZA. Nini sentiasa doakan agar segala apa yang diusahakan, berbuah menjadi hasil yang halal.

Saturday, October 14, 2006



AKU DALAM MEREKA

AKU tak punya apa di sini

Tak jua punya sesiapa

Segala yang menjadi milikku

Nun jauh di tanah tumpah darah sendiri

Arcanya…

AKU mewah dan senang di sini

Mampu kecapi segala yang dimiliki


Ceritanya…

AKU di sini tidak bisa memadam hati meruntun

Menjerit meronta minta diterbangkan

Walau punya wang untuk terbang ke sana

Kudrat tidak mematahkan impian

Mata wang bukan penghalang kaki mengorak

Nah…

Apa yang mematahkan segala anganan?

Tatkala angin rindu menampar hati

Suara saudara menggamit hujung cuping

Keluh keluarga menghampar rindu…..

Di sini kita hanya mengabdi impian

Kononnya jaminan hari depan….

Kita di sini mengabdi kudrat

Kononnya matawang bisa merawat

Walhal ia hanya tanggungjawab duniawi semata

AKU masih keras di sini

Menelan sengsara yang merobek hati

Diri kita kebalkan

Semangat asah dan gilapkan

Agar tuhan bekalkan kesabaran rohani

Merahmati usaha jua impian

AKU di sini hanya ada mereka

Mereka yang menatap seraut wajah

Setiap saat…

Setiap waktu …

Setiap jam…

Setiap detik…

Mereka kendong beban sama beratnya

Yang baru sehari mengenali

Ibarat setahun bersama

Biar orang kata kita hidup dalam kepompong

Tak keluar dari kelompok puak sendiri

Pusing ibarat gasing

Putar ibarat gelung

Kerana apa?

Kerana hanya mereka yang memahami

Bertutur bahasa yang sama

Isyarat yang jelas

Airmuka yang bisa di baca

Malah bersopan dalam budaya


Siapa mereka?

Entah dari mana asalnya…

Siapa mereka?

Entah dari ceruk mana datangnya

Persoalan dalam persoalan terus menghujani

Namun ….

Aku bisa petah bersama

Walau….

Masih mentah mengenali antara aku dan mereka….

Kita erat umpama keluarga

Walau….

Berbeza ibu berbeza bapa

Yang sama hanyalah

Bangsa, budaya dan AGAMA….

Benarkah mereka layak di gelar sahabat?

Teman?

Rakan?

Saudara?

Kita tak bisa menilai jika hari ini kita baru bersua

Hari ini kita baru bermesra…

Hari ini baru mendalami ilmu persaudaraan….

Bak pepatah berpantun

“Selembar benang lama menjadi kain”


Yang pastinya….

AKU perlukan mereka

Mereka mengharap demikiannya

Kita dambakan cerita yang sama

Berkongsi calar balar hidup

Agar kerinduan, kesunyian dan kegersangan hati

Terubat dalam seketika….



I dont know how true it is? I personally couldnt find which part are look alike.... It's for fun! I do believe we've got 7 people yang sama macam muka kita dalam dunia ni, but....these 8 people around me doesn't convincing at all!

Friday, October 13, 2006

RAMADHAN INI


Hati mula menyusun getir

Minda memutar kotak sejarah

Memunggah kenangan sepanjang hayat

Membeban jiwa penuh kerinduan


Zahir di sini batin di sana

Merindu sesingkat usia

Merana diputar masa

Namun tak pudar sekelumit cinta


Tanpa mereka aku sendiri

Benar benar sepi

Biar ku atur seketat waktu

Ku sesak sekalian masa

Sepi itu masih terundang

Entah bila perginya

Si bayu sepi….


Irama kata menjurus emosi

Otak tersepit minda terhimpit

Tolonglah angin…

Bawakan bayu rindu itu pergi

Menghembus disudut hati mereka


Ramadhan menghimpit hati merintih

Lebih tersisih tatkala Syawal tersengih

Tautan kasih moga terjalin

Sampai tikanya pasti terusai…

SALAM SAYANG - MARINI KAMAL


RAMADHAN MENJELANG RINDU MEMBUNGKAM

Salam Ramadhan buat muslimin dan muslimat sekalian. Sekali lagi kita bisa merasai kenikmatan dan keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini. Pastinya Ramadhan Al-Mubarak ini terisi dengan azam yang bertautan. Insyaallah, segala yang dicita pasti mendapat keredhaan dariNya.

‘Aku’ sekali lagi menjadi insan sepi di bulan Ramadhan seperti tahun yang lalu. Keriuhan disisi keluarga serta kemesraan bersama rakan akrab masih menjadi mimpi buatku. Di perantauan ini, rasa sayu menjerut hati memanggil agar segalanya bisa berada disisi. Lumrah hidup, kita ini hanyalah pinjaman belum ada yang kekal melainkan amalan belaka. Lantas, ‘aku’ menggenggam cabaran ini tanpa gentar biarpun disusuli deraian airmata nakal.


Walhal, sering kubisikkan pada hati, penghidupanku di kota asing bukanlah selamnya, hanya sementara meniti cita. Hati yang nakal tak bisa mengerti, minda mula memutarkan kenangan silam zaman kecilku. Kegirangan menyambut kedatangan Ramadhan disusuli ketibaan Syawal menjadi agenda besar tahunan dalam hidupku. Siapalah aku tanpa kasih papa,mama,along,amirul dan ayu….Gelap,suram,sepi dan malap kurasakan.

Kenangan demi kenangan mula mengusik hati, usikan yang seringnya dimertai derai tawa kini berganti airmata, ‘kerinduanku pada keluarga masih setebal salji kutub utara, biarpun hanya sebulan yang lalu aku berada bersama mereka. Hari ini dalam sekelip mata, aku dipisahkan oleh jarak dan ketentuanNya. Kutelan perit usikan rakan-rakan yang mengatakan ‘aku’ ini anak manja……Ku buang jauh derai tawa mereka, biarlah, mungkin mereka tidak merasakan seerat mana kasih sayang kami sekeluarga.


Di sini, aku punya teman….kuanggap seakrab saudara kandung malah tidak kunafikan kasih sayang sesama taulan bisa mengurangkan beban yang kupikul. Namun, kesunyian dan kepiluan hati ini masih tidak dapat mengatasi segala yang ‘aku’ lalui disini. ‘Aku’ rindu rendang masak hati mama, bubur lambuk kegemaran papa, ayam percik bazaar ramadhan seksyen 17 Petaling Jaya dan yang utamanya rindu keriuhan di meja bersidang keluarga. Aduh…..makin kuingat makin kusut fikiran.

Ramadhan baru sahaja menjelma, hati dah mula menyusun langkah memberontak….Harapanku agar ketibaan Syawal tahun ini tidak disusuli airmata rindu pada Malaysia.

SALAM RAMADHAN DARI KOTA ASING ‘LONDON