Thursday, September 20, 2012

20 September ........14 Tahun Sudah.....

Ketika itu aku masih jahil
Tentang apa erti perjuangan
Tegakkan hak kecundangkan batil
 
Ketika itu aku sibuk
Tentang aktiviti sekolah yang tak terhitung
Tentang meniti waktu menduduki peperiksaan PMR
 
Ketika itu aku tertanya-tanya
Satu Malaya habis kalut
Apakah dengan pemecatan seorang bergelar PAK MENTERI
Bisa hancur keamanan dunia, keamanan sejagat?
 
Ketika itu aku canggung
Lihat pemimpin yang diangkat darjatnya
Di korbankan seperti melakukan jenayah besar
Hingga rumah peribadi diterjah disanggah
 
Ketika itu
Kurasakan bulu roma leherku meremang
Tatkala lautan manusia terdampar di Dataran Merdeka
Tatkalak lontaran kata-katanya penuh cetusan semangat
 
Benar.....
Aku rasa serba tak kena
Seperti ada yang merasuk
Ketika.....
Laungan REFORMASI di jerit berulang-ulang kali
REFORMASI
REFORMASI
REFORMASI

Aku dihujani air gatal bewarna hijau
Aku dihembus gas pemedih mata
Di sana sini kelihatan polis menganjingkan rakyat
 
Ketika itu juga aku pulang dan tanyakan pada Papa
REFORMASI itu sebenarnya APA?
REFORMASI hakikinya untuk SIAPA?
REFORMASI?

Aku kelu
 
Papa sibuk kehulu kehilir
Seperti Malaysia diserang todak
Para hulubalang mengatur agenda
Mungkin
Kerna DIA rakan Papa
 
Ketika itu jualah semangatku disuntik
Dengan racun keadilan dan pemberontakan
Aku semakin benci pada kekejaman dan kezaliman
Aku seperti mahu mengangkat senjata
Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan

Wah.....
Semangatku ketika itu berbeda sekali...... 
Aku akur...
Mungkin tercatur ada kesilapan yang DIA cetuskan
Tapi layakkah DIA diperlakukan seperti haiwan
Sedang tatkala itu
Dia insan terpenting kedua dalam negara tercinta
 
Aku bangkit
Tatkala melihat anak-anaknya tertindas
Aku bangkit
Tatkala melihat keaibannya difitnah bertalu-talu
Aku bangkit
 Menuntut bersama erti REFORMASI
 
Sedikit demi sedikit aku mula mengerti
Apa yang aku mahukan dalam REFORMASI
Bersama semangat itulah
Sehingga hari ini
 Aku terus utuh
Bangun dan teguh
Melaungkan slogan REFORMASI
Tanpa ada secalit sangsi!
 
Semoga Allah swt bersama kamu
Wahai pejuang REFORMASI!!!

Tuesday, September 18, 2012

Siapa bisa katakan tidak pada duka itu...

Sepi
Dan kesepian itu terus menghimpit
 
Kosong
Dan belenggu itu giat bermain
 
Lesu
Dan berlalu debu-debu buntu
 
Rindu
Dan berkeping-keping ia jatuh menghempas bumi
 
Akhirnya aku kaku
Umpama nyawa dan jasad tidak lagi sehala tuju

Pesanan Untuk Aku (1)

Kita tak bisa membilang
Berapa waktu lagi milik kita
Sedang kita rencana rancak dunia
Bersama kita susuli impian di jannah
 
Kita mungkin masih terus menghitung
Apa yang mungkin bisa kita kecapi
Harta, keinginan, kejayaan dan darjat
Disulami dengan angan-angan di akhirat kita akan selesa
 
Pernah kita bicarakan tentang kejayaan kita
i) membina anak-anak yang berjaya di alam kekal tuhan - akhirat
ii) membina jambatan kukuh merentasi siratul maut
iii) membina benteng agar tidak di telan lautan gelora api neraka
iv) membina rumah seindah terbayangnya di ingatan ketika di syurga
 
Teman....
Tuhan tidak sekali-kali menzalimi umatnya
melainkan umatnya menganyam detik-detik dosa

Tuhan tidak pernah berpaling dari umatnya
melainkan umatnya sentiasa alpa dan lalai mendampinginya

Kita pernah mencorakkan dosa
Tapi jangan lupa mohon keampunan dariNYA
Bukan sesalan yang Allah pinta
Tapi taubat dan sentiasa sujud memohon keampunan

Kalau esok harinya
Kita masih punya peluang untuk menghidu bau syurga.....
 
Usai sudah semalam yang gelap
Bangun dan bina sejarah cinta
Hari ini untuk yang Esa...
 
Wallahualam.....

Friday, September 14, 2012

Izinkan aku menyampaikan pesanan

Kalau kalian sudi membaca
Aku titipkan rasa gugup
Tentang manusia yang sedang mati hatinya
 
Walau berat untuk aku kongsikan
Aku yakin ini hanyalah untuk pedoman
Agar kau dan aku sama-sama jadikan sempadan
Menyusuri liku liku kehidupan
 
Dengarkan.....
 
Di saat kita menitipkan kasih
Apakah kita sudah berjanji
Tidak akan ada hati yang terluka
Tidak akan ada hati yang kecewa
Kerana nafsu dan kecundangnya kita untuk setia
 
Di saat kita melihat dialah insannya
Yang akan memacu ke jalan bahagia
Redah duri dan liku bersama
Harungi manis dan nikmat kekal ke akhirnya
Tidakkah kita sedar
Kata-kata itu tidak bertulang dan mungkin tersasar di pertengahan jalan
 
Walau badai menghempas lautan
Walau ombak memukul pantai
Jauhilah dari khilaf yang membuka pintu neraka
Jangan sekali mendekati maksiat zahir mahu pun batin
Kelak duka Allah membawa malapetaka buat kita
 
Sekiranya kita tersedar dari pukau si syaitan
Sujudlah, mohon keampunan pada hati-hati yang terluka
Tangislah agar mata yang berdosa itu terhapus sengsara
Sebelum Izrail menjemput
Usai derita dunia agar tidak dibawa bersama
 
Sesungguhnya kecurangan dan maksiat itu berat hukumannya di akhirat kelak....
 
Wallahu alam..... 
 

Wednesday, September 12, 2012

Separuhnya telah pergi~~Kembalikan....

Di mana mahu aku mulakan
Setiap sudut aku lihat
Segalanya kelam dan tidak bermaya
Perjalanan makin longlai
Sinar makin lusuh
 
Di mana perlu didahulukan
Aku perlu ruang tapi mana mungkin
Perjalanan ini bukan aku yang aturkan
Hanya merancang dan berharap
Berdoa agar Allah swt titipkan rahmatNya
 
Beberapa waktu ini
Bumi kupijak tidak bertapak
Kanan dan kiri umpama sama
Langit gelap ku lihat hitam
Awan terang juga berwajah malap
 
Seperti apakah perjalanan ini
Semakin berat melangkah
Seperti di panah hati
Terpasung dan akhirnya tergantung
 
Aku mahu kembali pada musim bunga
Setiap kuntum yang mekar wangi dan berseri
Sedang aku ini dalam musim luruh
Tiada kuntum yang berputik
Tiada daun sudi bertandang
Akhirnya kaku sejuk hingga mati
 
Susuli aku dengan semangat baru
Aku rindukan waktu itu
Iringi aku dengan doa
Agar Tuhan mendengar dan perkenan
 
Hati oh hati
Pulihlah dari luka itu
Aku tak mahu didatangi tangisan tiada peneman

MAAF TIADA BERITA....

Assalammualaikum dan salam semua,
 
Sebelum bicara, maafkan saya kerana diam tanpa berita. Lama jari terhenti dari lenggok tarian papan kekunci. Kekok rasanya menaip dengan perubahan baharu di pentas blogspot, tersedar bahawa cepat sungguh masa berlalu....kita semakin dihambat kepantasan era teknologi. Baru beberapa bulan tidak menjengah rumah blog ini, sudah bermacam perubahan disusun atur.
 
Teman,
Aku rindu dengan kalian, bertubi pesanan di inbox bertanyakan khabar...ada yang berseloroh bertanyakan taringku sudah tumpulkah hingga tiada lagi warkah dipapar? Aku tersenyum walau ada yang mengomen aku kenali ada yang tidak, namun aku tetap hargainya.
 
Teman,
Aku rindu menghamparkan cerita-cerita tiada pengkhususan genre. Aku rindu nak menulis untuk si kecilku yang sudah semakin besar dan bijak. Hai....kerana dia jugalah aku tidak akur menari di pentas ini. Apa tidaknya, kalau dia sahaja yang mahu memegang laptop/ipad di rumah. Si kecil bukan lagi si kecil tapi boss besar dalam rumah. Hai....mengeluh seperti mana dia mengajukku (nakal anakku itu)
 
Teman,
Beri aku sedikit waktu, akan aku rawat rindu kalian. Aku punya seribu cerita yang berkisah peribadi, berkisah pandangan mata kecilku dan asam garam dunia. Ingin sekali aku kongsikan namun aku pasrah.
 
Teman,
Percayalah aku rindu untuk menulis dan aku tahu kamu rindu juga membacanya. Maafkan aku kerana membuat kamu rindu. 
 
Sedikit waktu lagi aku kembali dan waktu itu kita sama-sama tidak lagi mememdam rasa. 
 
Tunggu ya.... 
 
Salam dari pena marini_kamal