Tuesday, October 18, 2011

Warkah buat Ziqry

Warkah untuk Ziqry...

Mummy bangga lihat perkembangan ziqry,
Setiap hari mummy lihat wajah ziqry di mana-mana
Di telefon, di atas meja, di dada skrin komputer, di dalam facebook
Kotak fikiran mummy hanya kenangkan ziqry
Tak pernah sesaat pun ziqry lenyap dari ingatan mummy

Mummy teruja melihat Zirry bertatih-tatih dan tersungkur
Kaki yang terkangkang dan menggeletar mengatur langkah melihatkan Ziqry seperti juara
Mummy dan Daddy menjerit jerit memanggil nama Ziqry
"Cepat cepat ziqry pandai...tatih lagi tatih lagi"
Sampai Ziqry menyeringai tertawa hingga terlihat 6 butir gigi menghiasi senyuman

Mummy rasa bersalah bila tak dapat lihat Ziqry 24 jam sehari
Cemburu bila mengenangkan orang lain yang melihat perkembangan Ziqry
Wan, Along, Papa, Mama, Abang Aysh dan Adik Iyash
Semuanya bercerita tentang Ziqry yang dah pandai itu dan ini
Mummy hanya menjadi orang terakhir bersama Daddy

Mummy paling gembira bila menatap wajah Ziqry tidur
Mummy genggam tangan Ziqry
Mummy kucup perlahan lahan pipi dan dahi Ziqry
Mummy tak berani nak ganggu Ziqry tidur
Takut takut Ziqry tersedar dari lena yang begitu dalam

Mummy tak henti melihat wajah Ziqry dalam lena
Setiap kali itu Mummy panggil Daddy
"Daddy, mari sini..lihatlah wajah ziqry yang tenang...
Dari wajah tenang itu segala lelah kita luntur dan padam
Dia dah makin panjang dan kacaknya seperti daddy manisnya seperti Mummy"
Itulah bual Mummy dan Daddy ketika melihat Ziqry tidur
Mummy dan Daddy tiupkan di ubun-ubunmu
"Jadilah anak yang soleh, taat kepada orang tua dan tidak engkar pada Agama"

Ziqry perlu tahu langkah Ziqry sangat panjang
Semakin pantas seperti halilintar
Banyak cerita cerita ngeri yang wan omelkan kepada Mummy
Hingga takut dan Mummy lebih berhati-hati

Hanya hujung minggu kita bisa melayari hidup 24 jam bersama
Hanya hujung minggu Daddy mandikan Ziqry
Hanya hujung minggu Mummy suapkan makanan ke mulut Ziqry
Ziqry tahu tak betapa Mummy rasa sedih
Tak dapat menyusukan Ziqry
Tak dapat nak menyuap makanan setiap hari ke mulut Ziqry?

Setiap hari Mummy dan Daddy balik
Ziqry dah tiba masa untuk tidur
Ziqry dah melasak minta di dodoikan
Ziqry pelik...
Tak macam anak-anak kecil lain
Kalau dulu Ziqry minta didodoikan dengan zikrullah
Sekarang Ziqry hanya lena dengan lagu 'Ayah dan Ibu'
Mummy nanyikan sambil bercucuran airmata
Mengenang bahawa Mummy sekarang ini adalah ibu
Betapa besar nikmat tuhan kepada Mummy

Ziqry perlu tahu
Sebelum Mummy makan pasti Mummy teringatkan Ziqry
Terutama bila makanan itu sedap dan sangat lazat
Mummy terfikir untuk bungkuskan buat Ziqry
Mummy mahu Ziqry rasa kesedapan yang Mummy rasa
Setiap kali Mummy dan Daddy makan berdua
Terutamanya bila Ziqry di rumah wan
Mummy pasti bicarakan dengan Daddy
"Kalau Ziqry ada mesti seronokkan, sebab dia suka makan"
Daddy hanya senyum sindir
Seolah Mummy tak bisa renggang sesaat darimu

Mummy bersyukur sebab Wan menjagamu
Mummy tahu Ziqry pastinya dalam jagaan penuh kasih sayang
Mummy tak terjangkau memikirkan kalau Ziqry di bawah jagaan pengasuh
Mungkin Mummy tak setenang ini di pejabat
Mungkin Mummy mencari jalan bagaimana untuk bekerja dari rumah
Atau mungkin menjadi ibu sepenuh masa

Ziqry sayang
Walau apa pun terjadi dan bakal terjadi
Mummy dan Daddy tidak pernah memalingkan kasih kami
Kurniaan tuhan terhadap kami dengan memilikimu penuh erti
Kasihlah Mummy seperti Mummy kasihkan Ziqry
Cintailah Mummy seperti Mummy cintakan Ziqry
Walau susu yang mengalir dari dadaku ini tidak sepenuhnya dapat kau rasai
Mummy mahu Ziqry tahu hidup ini tak bererti tanpa sinaran kasihmu

~~18 Oktober 2011~~





Friday, October 14, 2011

Kisah Namewee!

Aku terpanggil untuk menulis kisah seorang anak muda yang berjiwa patriotik tapi di kecam kerana menghina negara dan POLIS (so what kalau hina polis?).

Satu ketika dulu, kita di bangunkan oleh makhluk makluk yang kononnya berjiwa KEMELAYUAN/KEMALAYSIAN tentang kemunculan anak muda ini yang terlalu lantang,lancang dan kurang ajar. Anak muda berbangsa CINA ini seringkali ditujah dan dihenyak-henyak kerana dia anak cina. Kalaulah dia anak Melayu mungkin tak sehebat ini dia dilanyak.

Nama Namewee yang tidak pernah dikenali, entah dari mana, siapa dia, mak bapa kerja apa (kerajaan ke swasta ke sendiri), sekolah mana, dan macam-macam persoalan lagi mula di asak oleh umum untuk mengetahui.

Sayangnya masyarakat kita hanya melihat Namewee dari kacamata media yang mengecam! bukan dari kaji selidik kenapa dia menjadi kecaman semua.

Jujurnya, aku tidak mempunyai masalah bila dia memaparkan kisah di TNB walau aku rasa bahasa dia mungkin keterlaluan (carut mencarut) namun aku tak mahu hipokrit yang anak Melayu kita pun mencarut bagai nak rak bila dengan kawan-kawan mereka sendiri, contohnya seperti ini:

" Hei Leman (bukan nama sebenar), babi la kau ni! Aku dah kata jangan cakap nama aku! Ni yang aku panas. Puki*** kau! Kalau kau nak tido lokap, kau tido la sorang, jangan la petik nama aku!", berang Leman sebab Kayrol (bukan nama sebenar) pecah rahsia yang Leman terlibat dalam aktiviti MEREMPIT!

"Man, sial la ko ni! Yang ko lari tinggalkan aku apesal? Sakit dowh kena terajang ngan polis kat dalam tu (merujuk kepada lokap). Mana tahan seh, aku petik la nama ko sekali", balas Kayrol bila Leman tunjal kepalanya.

Itu antara kisah secubit dari segunung kata-kata anak MELAYU kita. Kalau aku rajin, aku post lain kali tentang bahasa yang melambangkan BANGSA ni.

Berbalik kepada kisah Namewee, tentang video rakaman berangnya terhadap TNB. Timbang tara balik, mungkin betul tindakannya benar cuma kekesatan kata-kata dia tidak dapat kita kawal.

Seterusnya isu Namewee dengan lagu NEGARAKU, POLIS dan AGAMA ISLAM. Pertama sekali, adakah Islam mengajar kita untuk membalas dengan kebiadapan apabila seseorang itu mempersendakan Islam? Bukankah sikap yang harus kita tonjolkan adalah bersopan dan menjaga peradaban? Walaupun isu azan dipetik dan dipersendakan, kita harus tampil dan mendengar apa yang terbuka di hatinya. Susahkah memberi cadangan seperti ini (sebagai contoh) Negara ini negara ISLAM Namewee, cara Islam harus diterapkan dan azan adalah cara yang tak akan boleh diubah selagi Islam memerintah. Bukannya azan itu memakan masa 4 jam atau 40 minit lamanya, hanya 4 minit dan adakalanya kurang daripada itu. Susahkah nak memberi penjelasan? Kenapa kena gunakan kekerasan?

Kalau nak didik ketam berjalan, adakah kita harus berjalan senget?

Kalau lagu Negaraku dan membidas polis itu satu kesalahan besar sebagai rakyat Malaysia, aku rasa kita ini masih hidup di zaman kemunduran dan tidak berkembang secara siviknya. Hak bersuara sudah lama mati di Malaysia dan hanya suara pemerintah yang bisa didengari hingga adakalanya mual dan senak.

Aku suka cara Namewee menceritakan kisah hidupnya!
http://www.youtube.com/watch?v=LP9DL1lmWSM

Aku rasakan dia tidak hipokrit! Cuma caranya yang lantang perlu ada yang menegur. Manusia tidak akan berubah kalau pihak ketiga mengubahnya. Perubahan akan datang dari dalam diri sendiri.

Setiap kali aku dengar lagu ini, aku rasa dia patut di beri ruang dalam industri. Dia punya satu bakat yang tak diragui.


Namewee cuba memberi tahu dunia, bukan untuk menarik simpati sebaliknya mewarwarkan suaranya sebagai anak Cina di Tanah Melaya harus ada ruangnya. Kalau bercakap mungkin dia keterlaluan, kalau membidas mungkin banyak yang tersasul, lantas dengan lagu yang dirangkap baik atas lirik sudah cukup membuatkan dia berhati-hati dalam bicara.

Aku tak merasakan dia CURANG pada Malaysia, berpura-pura menyintai MALAYSIA atau sekadar mencari publisiti di tanah MALAYSIA.

Lihat pada filem yang di hasilkan dalam keadaan penuh tertekan. Dia punya wawasan tinggi dan sangat komited terhadap visinya.

Usahlah yang buruk kita umpat hina dan keji sedang yang baiknya kita tutup mata sahaja. Ambillah sedikit kekuatan semangat dan keazamannya untuk berjaya dijadikan sebagai antara punca semangat kita.

Filem tersebut dikelaskan dalam kategori HEBAT, MENARIK dan penuh MESEJ. Mana mungkin kita terfikir untuk merakamkan filem dengan ber-budget-kan ongkos minimal? Kamera yang digunakan juga hanya kamera biasa kalau nak dibandingkan mereka yang membawa gadget tercanggih dan terbesar yang berbaris di pasaran semasa.

Aku rasa Namewee berbakat dan seni muziknya juga hebat! Anak Malaysia yang berpotensi tinggi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Percayalah, satu hari nanti bila dia pulang bawa 'award' barulah mata kita terbuka dan menerima dengan seadanya.

Have you ever seen this clip?
Namewee Nak Jumpa PM


Adakah anda rasa dia cuma mahukan publisiti? Atau memohon maaf secara sinikal? Atau memang dia jujur dalam kata-katanya?

Wake up guys, success is going from failure to failure without losing enthusiasm. "So go ahead! Fall down and the world looks different from the ground" quote by Oprah Winfrey.

Janganlah asyik terpedaya dengan kisah media yang sering memburukkan keadaan. Sedar atau tidak, media hari ini berperanan menjadi mulut tempayan bukan penyebar berita. Terlalu sibuk kisah kontroversi dari kisah yang patut menjadi pengetahuan dan pembelajaran.

Aku rasa kita patut bagi ruang untuk dia berjuang! Bakat yang ada tak sepatutnya kita tanam dan asyik bangkit dengan muzik Melayu yang layu. Berapa banyak artis Cina kita tumbuh melata di tanah air ini? Atau sebenarnya artis ISLAM yang meniti seperti cendawan baru lepas hujan di tanah tinggi?

Bersama kita fikirkan siapakah dan apakah Namewee ini benar-benar 'cibai' yang dilaung-laungkan oleh orang Melayu atau sebenarnya dia adalah seorang insan yang lahir dengan bakat yang luar biasa tanpa kita sedari.

Cuba lihat klip ini pula?
Namewee Mengamuk dengan UTUSAN

Aku tak salahkan dia sekali lagi, tapi apa yang diperkatakan dalam nada marahnya itu sesungguhnya benar! Fikir sebelum tulis, sebagai seorang wartawan, etika harus dijaga. Mana boleh ikut suka nak tulis apa yang kita rasa. Macam tu tulis sahajalah dalam blog!

Peringatan pada diri sendiri : Sebelum tundin jari, cermin diri. Berhenti mencaci tingkatkan sahsiah diri, beri peluang untuk mereka bersuara dan berjiwa!


InsyaALLAH!

Here I've posted some of his pictures....For those who have no idea about this guy, please google-ing...










Monday, October 10, 2011

Warkah buat cinta~

Terima kasih cinta,
Pada setiap genggaman yang mengenggam erat
Pada setiap jemari yang menyapu deraian airmata
Pada setiap pelukan yang hangat dan kuat

Terima kasih cinta,
Kerana menemani hari suka
Tidak memilih hari hari duka
Sejuk tanganmu ku rasa hangat
Hangat tubuhmu kurasa damai

Terima kasih cinta,
Menerima aku seadanya
Seluas langit terbentang
Selebar laut menghampar
Cacat di mata calar di hati
Kau tetap teguh membimbing

Terima kasih cinta
Kau padamkan api kenangan yang lalu
Kau zahirkan kuntum bunga yang baru
Kau sirami hati berselikan rindu
Kau semai benih mawar menguntum

Terima kasih cinta
Memberikan cahaya mata
Comel, sempurna dan bercahaya
Izin Illahi hidayahNYA dikurnia
Moga menjadi lambang kebanggaan kita

Oh terima kasih cinta
Setiap langkah ku atur kau memerhati
Setiap gerak geri menjadi tersusun
Dengan lenggok dan rentakmu
Membentuk melalui lorong sunnah
Agar terpelihara dan tidak terkandas di hentian

Kalau esok tiada mentari
Diterjah sabung hujan petir
Alam gelap gelita
Suram tanpa kicau pungguk
Aku ada disisi menemani
Hingga nyawa terhenti
Hingga saat terakhir

Jangan berhenti mencintaiku
Meskipun esok berakhirnya rindu




Rindu Tanah Inggeris

Potret lama ku selak,
Imbauan tergambar di minda
Lama sudah segalanya terlipat
Dalam lembaran sejarah
Hingga ukirannya kian lusuh

Wajah-wajah girang tergambar
Momen indah terkupas
Bila melihat angin sepoi menghambat daun kering
Apabila warna bunga segar menyinari

Ah....
Aku rindukan kota itu
Kota menyimpan suka dan duka
Mengumpul segunung kenangan
Mengajar erti kehidupan
Di usia muda terlepas dari kepungan ayahnda dan bonda

Di kota itu aku belajar susahnya hidup
Manis yang kutelan ku simpan
Hingga hari ini rinduku tak terbalas
Mengutip segala kenikmatan

Terima kasih tuhan
Menghantarkan aku mengenali erti kehidupan
Tanpa keluarga di sisi
Hanya pedoman di hati
Aku mampu tersenyum
Aku bisa menangis
Segalanya ku harungi sendiri

Tiba-tiba aku rindukan kota itu
Hampir 5 tahun ku tinggalkan
Aku semakin sakit memerap rindu
Apa mungkinkah akan ada siren memanggilku
Kembali merasa nikmat itu
Bersama suami dan anakku?
Apa mungkinkah aku telah tersirat untuk terus di sana
Mengharungi hidup di bumi tuhan yang Esa

Aku pernah berjanji
Akan kembali menjejakkan kaki
Ke tanah yang menyimpan segala pahit dan duka
Ke padang yang mencoret suka dan gembira
Pastinya tanah itu jua rindukan aku

Aku tanam azam
Biar sampai ke akar tanah
Aku pasti kembali
Mungkin untuk selamanya atau seketika
Aku pasti kembali
Biar darahku tidak tertitis di sana
Aku pasti kembali
Membawa segala rasa cinta
Dan
Akan aku pasti kembali
Esok atau lusa
Atau untuk selamanya

Saturday, October 08, 2011

KAU BINATANG!

Jangan samakan kau dengan binatang
Kerna
Binatang tahu erti kasih sayang

Jangan samakan kau dengan syaitan
Kerna
Kau persis raja syaitan

Kau tak layak hidup
Biar apa pun alasanmu
Kau kejam hingga hatimu hitam
Sepekat air kumbahan yang tidak disuling

Seharusnya kau dibunuh
Agar tidak lagi ada nyawa terseksa
Tidak lagi ada hati terpanah
Dengan kekejaman yang kau cipta

..............................................................................
Aku tersentak dengan kisah ini!

GOMBAK: Berang isteri dalam pantang enggan melayan kehendak seksualnya, seorang lelaki berusia 28 tahun bagaikan dirasuk syaitan apabila sanggup meliwat bayi lelakinya berusia 23 hari di dalam bilik di rumahnya di Taman Sunway, Batu Caves, di sini, kelmarin.

Lebih kejam apabila tangisan bayi malang yang menahan kesakitan itu langsung tidak diendahkan si bapa durjana, sebaliknya dia menjadi lebih rakus dengan bertindak menutup mulut anaknya itu menggunakan tangan dengan kuat, sekali gus menambah derita si kecil.

Bapa yang kejam itu berbuat demikian untuk mengelakkan tangisan bayi malang itu didengari isterinya yang ketika kejadian dilaporkan sedang berehat di ruang tamu rumah.

Sumber polis berkata, tindakan keji dan kejam itu hanya disedari ibu mangsa berusia 39 tahun kira-kira jam 4 petang apabila melihat mangsa tidak bermaya ketika mahu memandikannya.“Si ibu terkejut apabila melihat bahagian mulut mangsa lebam. Pemeriksaan wanita itu kemudian mendapati bahagian dubur mangsa turut cedera.



Wednesday, October 05, 2011

Surat Mummy buat Ziqry - 11 bulan



Sekali lagi mummy tulis untuk ziqry

Setiap ibu pasti sayang anaknya
Setiap bapa pasti bangga akan anaknya
Tapi ziqry kena tahu
Mummy tak boleh senyum tanpa ziqry
Mummy tak boleh lena tanpa memeluk ziqry
Mummy tak boleh tenang tanpa mendakap ziqry

Mummy tak boleh ramal 10 tahun lagi
Mungkin ketika itu ziqry tak mahu dicium-cium lagi
Mummy tak mahu ramal 20 tahun lagi
Mungkin ketika itu ziqry dah tak mahu jalan-jalan dengan mummy
Ada teman baru yang bakal ziqry kongsikan kasih bersama mummy
Mummy tak terdaya meramal 30 tahun lagi
Mungkin ziqry sibuk dengan kerjaya
Mungkin ziqry sibuk dengan cinta dan keluarga yang bakal ziqry bina
Mummy hanya mahu tahu tentang hari ini
Kerana mummy mampu angkat ziqry dan kendong kemana sahaja
Kerana mummy mampu cium dan peluk ziqry sepuas yang kumahu

Ziqry mengenjak ke 11 bulan
Sebulan lagi ziqry akan genap setahun
Ziqry mengerti setiap senyum tawa
Ziqry mengenali tentang pahit manis hidup
Walau dalam dunia ziqry hanya tahu tentang main dan seronok
Walau dalam perjalanan ziqry hanya tahu susu dan tidur

Setiap kali mummy pandang ziqry
Mummy lihat erti kebahagian
Allah campakkan nikmat di hati mummy
Allah berikan sinar dalam hidup mummy
Allah cantumkan rasa cinta mummy dan daddy
Menjadi cinta agung yang dibawa hingga ke akhir hayat

Kalaulah mummy tak sempat lihat ziqry mengharung hidup
Mummy mahu ziqry tahu
Hidup ini jangan sekali dipersiakan
Maruah diri dan bangsa harus terus di julang
Hormat menghormati jangan terabai
Agama mesti menjadi keutamaan
Dan pastinya cinta jangan dipersendakan

Ziqry anakku
Dalam setiap sentuhan yang terjalin
Mummy titipkan doa agar kau menjadi insan yang lembut peribadinya
Dalam setiap kucup ciumku
Mummy salurkan cinta dalam hatimu
Dalam setiap senyum yang mummy ukirkan
Simpanlah sedikit untuk ziqry sentiasa menjadi insan pemurah dengan senyuman
Dalam setiap bicara kasih
Jadikanlah ia sebagai azimat untuk esok dan hari yang mendatang

Ziqry
Lihat sahaja dunia ini
Segalanya menjadi semakin sempit
Arus kemodenan memundurkan akhlak kita
Entah esok lusa apa lagi yang tergadai di bumi ini
Sehingga mummy takut untuk melihat ziqry membesar
Dalam kekucar kaciran yang terhampar
Namun
Mummy redha dalam setiap yang telah tersirat untukmu
Hanya doa mummy dan daddy akan menjadi tangkal buatmu
Agar terus menjadi anak yang soleh
Agar tak putus menjadi insan yang mulia peribadi

Di setiap duka dan sendumu
Mummy hidup dalam kesedihan itu
Membawamu keluar
Bersedialah mengharungi pancaroba dunia
Dan sesungguhnya Allah sentiasa di sisi
Membawa kita bersama meredah hingga ke hari penghabisan

Salam kasih sayang dari mummy......




Tuesday, October 04, 2011

Moga Tuhan Adilimu Seadilnya

Bukan sekali ini hati terusik, dah banyak waktunya sampai ada ketika aku pula teremosi mengenangkan kejahilan banyak hati-hati yang lumpuh.

Benar mereka tidak punya perasaan
Tidak bisa melontar bicara,
Kelak di hari pengadilan mereka tetap di soal atas kezaliman,
Ketika itu mulutmu pasti terkunci
Menangis airmata darah pun belum bisa memadam segala kekejaman
Sia-sia sahaja hidupmu
Jika hilang rasa belas sesama manusia
Waima siapa pun dia
Kau tak bisa mengadilinya dengan akal sentengmu

Setiap hari dada akhbar melaung kisah mereka
Setiap hari media merakam detik pahit mereka
Aku?
Sentiasa terkesima
Tersentak dengan perbuatan hinamu
Biar apapun alasanmu
Biar maha tinggi rasukan syaitan menguasaimu
Namun aku rasakan kau tak layak digelar manusia

Keterlanjuranmu biarlah menjadi noda hitam
Usah kau palit lagi sejarah ngeri
Terobek hati adam dan hawa yang butuh mengharapkan zuriat
Ribuan ringgit tergadai
Maruah tercalar dengan sindiran
"ah mungkin kau itu yang mandul"
Cis pantang manusia diinjak injak kesabaran hati
Kau????
Sekali pun kau rasa anak itu satu kesilapan
Kirimkan sahaja kepada mereka yang ternanti akan kehadiran
Bayi mungil menyeri kehidupan

Ketika enakmu memadu asmara
Melayari bahtera hingga terkandas
Jutaan manusia terlepas ke dalam lubang nikmatmu
Satu nyawa bergelar juara dihembus nafas cinta ke dalam rahimmu
Melakar memori indah di atas kemenangan pelayaran nafsumu

Setelah jerih 9 bulan kau bawa
Sanggup kau tergamak menghantar ke syurga
Sedang kau menempah neraka
Mohonlah keampunan
Mohonlah keredhaan
Mohonlah agar kau tidak terus diseksa dunia dan akhirat

Satu nyawa sudah tergadai
Ambillah ini menjadi pedoman
Agar tidak terjadi kisah pengorbanan
Ke atas nyawa semulia insan

Anak
Usah tangis di kamar syurga
Ibu ayahmu mangsa mainan syaitan
Kejahilan mereka menghantarmu ke sana
Tanpa kau merasa keindahan dunia

Anak
Ampunkan ibu maafkan ayahmu
Biar tuhan mengadili mereka
Seantero dunia menyaksikan keaibanmu
Ada yang dihumban ke dalam longkang
Ada yang diselit di tepi semak
Ada yang tersorok di celah sampah
Hingga ada antara kamu dimamah semut binasa

Semoga Allah mengangkatmu
Menjadi warga syurga dan girang di sana
Airmata berserta Al-Fatihah aku kirimkan
Buat kalian yang dizalimi insan hina