Friday, April 30, 2010

Cerita Ulang Tahun Perkahwinan

Salam teman,

Kali ini, Nini nak kongsi pengalaman bercuti ke Langkawi yang merangkap keraian ulangtahun pertama pelayaran rumah tangga kami. Sesungguhnya, membina benteng rumah tangga, menyeberangi lautan luas penuh gelora memerlukan banyak pengorbanan dan pengertiaan yang tiada terhingga.

Setahun yang pertamalah menguji siapa kita dan siapa dia. Jika selama ini hanya manis bercinta dan baiknya sahaja tergambar, kini kekurangannya turut kita lihat dan rasai bersama. Namun, sebuah ikatan yang telah direstu Illahi, di tetapkan oleh qada' qadar, mana mungkin ada silapnya. Seringnya tersilap adalah kita yang mencatur perjalanan yang diredhai Allah swt itu.

Alhamdulillah, kupanjatkan segala syukur pada ALLAH maha besar kerana menganugerahkan seorang lelaki yang lengkap sahsiah dirinya padaku. Sudah beberapa ragam manusia aku kenali dan menjadi teman mesra sebelum ini tapi tidak seindah yang direstui ini. Seorang lelaki yang terlalu banyak membimbingku tentang apa itu erti hidup. Benarlah kata ayahnda, jika buah yang masak itu datangnya dari pohon yang segar dan ranum makan manislah ia.

Hidup ini tidak ada apa yang lebih indah dari mendapat petujuk ke jalan ALLAH swt. Rumah tangga yang dibina biarpun atas dasar cinta dan sayang namun tidak disemai dengan bunga bunga keislaman pastinya akan layu kuntuman bunga yang mekar dan wangi. Lebih banyak kita melakukan aktiviti ketuhanan bersama, jiwa dan rumah tangga pasti akan tenang dan damai.

Kajian menyifatkan bahawa 3 tahun pertama usia perkahwinan adalah gerbang yang sangat hampir ke arah perceraian jika ianya tidak dibendung dan diambil iktibar. Maka untuk tidak menempah ke arah kecundangan, sedarlah dari hari ini bahawa tidak ada apa yang mampu untuk menyelamatkan kasih yang terbentuk, sayang yang terbina jika bukan dengan pohonan doa yang tiada putusnya ke hadrat Illahi. Hanya itu sahaja kunci untuk mencara damai dan bahagia dalam rumah tangga.

Eh, cerita dah jauh pula menyimpangnya. Jom saksikan sedikit sebanyak rakaman gambar yang sempat kami rakam ketika meraikan usia pertama perkahwinan kami di bumi Langkawi.













Semoga Allah swt memanjangkan usia perkahwinan kami dan memberikan kami rezeki yang belipat kali ganda serta merahmati segala urusan yang kami lakukan. Aku turut berharap agar Allah swt kurniakan kami insan insan soleh & solehah yang dapat memperjuangkan AGAMAnya kelak.

"Sayang, permata itu ada dalam dirimu dan kerna ia terlalu indah, sinaran itu turut menyelubungi diriku. Pohon ampun dan maaf biar sebutir kata yang mengguris jiwamu. Cinta ini tidak pernah puas untukmu"

Tuesday, April 27, 2010

~~aku karang puisi ini untukmu~~

Ramai sibuk tanya
Nak lelaki ke perempuan?
Kalau perempuan ikut wajah siapa
Lelaki pula mesti macam daddy kan?

Aku jawab aku tak kisah
Aku tak mahu meminta terlalu lebih
Aku bersyukur tuhan anugerahkan amanah ini
Hingga airmata mengiringi bersama
Dengan hidayah yang dibekalkan

Aku hanya bermohon agar ia lahir dengan sesempurna sifat
Aku bermohon agar kesihatannya baik
Agar dia menjadi anak yang soleh/solehah
Agar dia menjadi pejuang agama
Agar dia diselubungi dengan ilmu akhirat
Hanya itu pintaku

Ayah dan ibu sudah tidak sabar lagi
Menantikan kehadiranmu sayang
Ayah dan ibu tak tahan menanggung rindu
Mahu membelai dan mencium ubun ubunmu
Mahu azankan ditelingamu
Mahu ajarkan kamu tentang kesempitan dunia dan keluasan akhirat

Ayah dan ibu sudah ada nama buatmu
Indah dan penuh cinta
Pengertiaan menjangkau segala yang terbaik
Agar kamu sering didoakan setiap kali mereka-mereka memanggilmu
Ibu dan ayah tak putus panjangkan doa
Sejak hari pertama kami mengetahu kehadiranmu

Padamu Allah ku panjat segala pinta
Doa nan kudus hingga tak tercapai
Waris ini penyambung kasih
Biar nyawaku ditukar ganti
Aku hanya mahu dia mengenali dunia
Membawa seribu satu harapan melangit
Membela nasib agama dan bangsa
Lahirnya mengutus rentetan bahagia
Lahirnya mengerat cinta dan sayang
Lahirnya terus membawa ke syurga
InsyaALLAH...





3 bulan dan cabarannya~~

Salam sahabat,

Sebenarnya terlalu banyak yang Nini nak kongsikan sejak kebelakangan ni. Saban hari ada seribu satu cerita yang menarik untuk dijadikan bahan pengajaran dan teladan untuk kita semua. Dari kisah sesak sengkak di pejabat, persekitaran, politik :) dan juga pasal diri ini.

Apa terdaya, sejak berbadan dua memang tidak punya nafsu menulis. Harapnya anak ini tidaklah kekok untuk bermain kata kata satu hari nanti, malah kalau boleh jadilah penulis terkenal yang dapat mengubati jiwa jiwa yang lara, hati yang mati dan akal yang tersasar. Namun kenyataannya benar, bermula dua bulan yang lalu isu penulisan banyak tergendala dek kerana badan lemah dan tidak punya semangat untuk meneruskan bait bait bicara.

Hari ini, Nini gagahkan juga untuk menghantar satu cerita. Ada ramai yang bertanyakan tentang puisi Nini yang gering ketika ini. Bukan tidak mahu lagi berpuisi wahai sang teman, namun masa sering tidak mengizinkan dan ditambah emosi yang seringnya terganggu. Itulah antara alasan mengapa saban waktu tidak kelihatan puisi puitis dari laman ini.

Izinkan Nini berbicara tentang isu diri yang membawa seribu satu perubahan dalam perjalanan hidup. Sahabat, Nini kini telahpun menjengah angka 3 bulan. Alhamdulillah, khabar doktor anak ini sihat dan fizikalnya dia kelihatan panjang. Tersenyum bila mendengar butiran kata tersebut. Rasa mahu menangis bila alat pengimbas melayari perut yang semakin membulat, kelihatan janin yang sudah terbentuk terbaring di dalam rahim kecil ini. Hanya kata kata memuji dan mengucap Syukur pada ALLAH swt sahaja yang dapat diucapkan.

Tatkala itu, airmata seperti mahu menitis apatah lagi bila doktor memperdengarkan denyut jantungnya. Laju dan normal, itulah yang dibilang lagi oleh doktor. Namun senyum airmata gembira itu tersekat tiba tiba apabila doktor memberitahu bahawa uri Nini jatuh ke bawah dan kedudukannya tidak sepatutnya di situ. Risau, takut dan panik mula menghambat diri.

Nini tanyakan pada doktor, apakah ia membahayakan bayi? Adakah sebarang komplikasi akan berlaku? Menurut doktor, bayi selamat dan sihat jika Nini terus menjaga kesihatan dengan baik, namun akan berlakunya komplikasi jika Nini banyak bergerak dan mengangkat barang barang berat. Ini bermakna mungkin uri akan terus jatuh dan keguguran boleh berlaku. Kering darah wajah Nini ketika itu, namun doktor menasihati agar tidak terlalu risau sebaliknya jangan banyak bergerak, InsyaALLAH uri akan naik kembali.

Ada teman teman yang menasihati agar berbicara dengan anak, minta dia bantu untuk menaikkan semula memandangkan uri itu diibaratkan seperti temannya ketika di dalam rahim. Maka setiap malam, akanku berdialog bersama anak sambil tangan kuusap lembut ke perut meminta agar jika dia mendengar suaraku, bantulah ibumu ini untuk membawamu dengan sihat 6 bulan lagi. Ibumu ini tidak sabar menantikan kehadiranmu di sisi dan ingin sekali membelaimu setiap hari.

Kerisauan tetap bersarang namun Nini sentiasa bermohon pada Allah swt, dialah segalanya bagi Nini ketika ini. Anak yang sedang Nini bawa ini juga di atas restunya, maka Nini bermohon bantuan agar segalanya selamat. Malah jika harus ditukar gantikan, Nini mahu nyawa Nini ditukar ganti untuk melihat kelahiran anak ini.

Sahabat, perubahan mental dan fizikal untuk menjadi ibu sangat mengujakan dan wanita ini sebenarnya bukan sekadar menjadi penyeri rumah tangga, malah tanggungjawabnya lebih besar dari lelaki. Kerana itulah ibu harus didahulukan, biarpun dalam keadaan terpaksa.

Berhenti seketika dan harap kita bertemu lagi, mungkin dengan sajak dan juga puisi untuk mengubat rindu teman teman yang mengasak dan bertanya.

Salam sayang~~

Thursday, April 22, 2010

Cebisan hati ibu pada sekelilingnya~~

Assalammualaikum teman,

Terlalu lama bercuti dari pentas maya, aku bukan terlalu sibuk apatah lagi menyusuri liku liku bebanan tugas yang berat. Semuanya dalam keadaan tenang dan sepoi sepoi sahaja di pejabat. Namun aku kekusutan idea, tersimpul kreativiti, terbelit butiran kata hanya kerana keadaan kesihatan yang seperti di langgar ribut taufan dan disambut oleh ombak gersang.

Setiap hari aku berdoa pada Illahi agar tidak di duga terlalu kuat hinggakan entah ke mana arah tuju. Aku bermohon agar tiada airmata menjadi peneman di kala aku membawa sebutir nyawa kecil yang bergerak di dalam rahimku. Tapi aku tewas, saban malam airmata juga yang menjadi teman. Merintih kesakitan yang entah dari mana hujung pangkalnya, mengurut tubuh yang tidak keruan.

Tatkala ini suamilah tempat menumpang segala kasih yang ada, melihat akan sedikit demi sedikit ujian Tuhan, kami berdua turut insaf. Bukan mudah membenih lantas melahirkan seoang insan apatah lagi yang mahu disemai jiwanya dengan segala ilmu Islam. Kadang aku kuat, kadang aku tertewas. Istighfar semakin deras di bibir.

Teman,
Inilah dugaanku yang baru 3 bulan membawa sebutir nyawa. Dia mahu bergerak membesar di dalam rahim kerdilku, dia mahu terus mencari keselesaan sedang aku merengkok kepedihan. Makan tidak lagi terasa di lidah, hanya untuk si dia. Tidur tidak lagi lena, mimpikan yang tidak indah belaka, pergerakan semakin lemah gara gara sakit pinggang dan tumit. Apakah ini permulaan segalanya?

Aku tidak sekali kali KESAL atas dugaan maha hebat ini. Malah aku bersyukur kerana bakal melahirkan seorang lagi khalifah di muka bumi. Ketelusan dan pengorbanan suami amat aku hargai dan ada ketikanya tertitis airmata bila melihatkan kesungguhannya membantuku yang dalam kesakitan.

Saban malam sang suami mengusap perutku yang tidak pernah henti henti kepedihan seperti manjamah cili mentah 50 biji. Sambil berlapikkan minyak dan sedikit doa penawar, suami berbual tentang kisah siang harinya. Aku hanya renung matanya, melihat akan cerita yang direka untuk mengalihkan perhatianku yang dirundung pedih.

Ada malam malamnya pula, pinggang mula menyusuk nyucuk rasa seperti kebas dan lenguh walau tidak mengangkat sebarang bebanan berat. Suami sekali lagi korbankan malamnya untuk mengusap usap pinggangku yang entah di mana punca kesakitan itu datang.

Aku lelah melihat suami menyiapkan juadah makan, mencuci pakaian, mengemas rumah dan tiap kali itu aku rasakan aku tidak menjalankan kewajipanku. Namun suami terus senyum dan berkata, 'inilah pengorbananku pula'. Gugur sebutir lagi airmata bahagia, melihat keikhlasannya menyapu segala bebanan di bahu.

Teman, entah berapa kali ku dengari ramai suami di luar sana mula rimas pabila isteri asyik terlantar, rumah tidak di kemas, makan minum terabai, nafkah batin terlerai dek kerana alahan dan kepenatan membawa nyawa kecil di dalam rahim. Ada kisah yang lebih buruk bilamana suami mencari kebahagian di luar sana dan mengaku bujang sementara kembali. Aku dirundung takut jika jika ianya menimpa dan menyinggah di bahuku.

Namun alhamdulillah, suami lebih memahami apa itu kesakitan dan penderitaan jauh dari semua insan insan yang aku kenali. Aku lebih gemar menatap wajahnya ketika tidur yang dalam, dengkur manja mula kedengaran dan ketika itu aku bangun untuk menatap dan menyentuh wajahnya sepuas hati. Aku tidak mahu dia bicara denganku, aku tidak mahu di memanahku dengan ancaman matanya yang membuatkan aku tergoda.

Tenang wajahnya dalam jasad yang ditinggalkan roh membuatkan aku mampu untuk berkata pada hatinya. Setiap hari aku tenung wajah itu, aku bermohon pada Illahi agar panjangkan jodoh ini dan rahmatilah kehidupan kami. Hanya doa itu sahaja yang mampu melahirkan sebuah keluarga yang kami impikan bersama.

Teman,
Ingin sekali lagi aku kongsikan, tatkala ini biar dalam apa pun keadaan kalian. Balik dan renunglah wajah ibu yang masih terus berhembus nafasnya. Genggamilah jemari mereka, sesungguhnya untuk melahirkan kita semua, ibu bertarung dengan nyawanya bukan hanya pada hari pertarungan itu sahaja, sebaliknya dari awal kandungan bernyawa. Kita tidak bisa mengerti apa yang mereka lalui ketika mengendong kita selama 9 bulan. Mungkin ada yang terlantar kelesuan, mungkin ada yang terdampar di katil hospital, mungkin juga ada yang tidak bisa melihat warna warni dunia kerana dirundung malap dan kelam ketika membawa kalian bersama.

Percayalah, selagi belum tiba saatnya kita menjadi ibu, kita tidak akan mengerti apa itu naluri sang ibu. Sesungguhnya tuhan itu maha kaya hingga mencipta segala rasa bagi sang ibu menahan dugaan ketika saat hamilnya. Bermulanya dari dalam kandungan sang ibu sudahpun diberi tanggungjawab maha hebat. Maka marilah kita bantu ibu kita untuk rasa gembira sepanjang hayatnya dunia dan akhirat.

Ketika cebisan ini aku titipkan, aku masih lagi merasakan keajaiban dugaan tuhan ini pastinya ada hadiah istimewa yang dijanjikan kelak, di alam yang kekal dan abadi. Moga aku lebih tabah, lebih kuat, lebih gagah untuk mempertaruhkan anakku yang akan melihat dunia 6 bulan lagi. INSYAALLAH.

Friday, April 09, 2010

UCAPAN BUAT KEKANDA

Setiap kali ku renung
Wajah itu semakin lama semakin kuat getarannya
Jantung terus berdetak
Hati terus menguntum
Seperti manik halus membasahi pipi

Alis mata itu berikan aku sinar
Senyum itu pembuluh semangatku
Genggam erat jemarinya salur pernafasanku
Semakin digenggam semakin aku rasakan
Hidup ini seperti disirami bunga bunga mekar

Kadangkala dia buat aku tertawa
Besar berdekah dekah
Hingga dikatakan lupa diri

Ada ketikanya dia buatkan aku tersenyum kecil
Malu dan tunduk menahan jenakanya
Namun dakapan erat tidak pernah lekang

Seketika pula dia mencarik amarahku
Walau tidak mara seperti api menjulang
Namun terkesima hingga ada basah pipi ini

Inilah resam kita bercinta
Mengharungi bahtera rumah tangga
Menjunjung segala amanah dari ALLAH
Menunaikan segala tuntutan yang memberikan keharmonian

Sayang,
Sempena Ulang Tahun Perkahwinan pertama
Cinta ini tak pernah kusam walau hujan panas melanda
Kasih yang dikau semai semakin membuahkan hasil

Sesaat tidak melihat wajahmu
Seribu aku dihambat kegelapan
Seminit tidak dengar suaramu
Sejuta tahun aku di kecam ketakukan
Aku tak mahu sendiri
Kerna kau ibarat nadi yang berdetik

Semoga ALLAH swt memanjangkan usia kita
Melanjutkan lagi usia perkahiwnan
Hingga ke akhir nafas kita bersama

SALAM SAYANG PENUH RASA CINTA
DI HARI ULANG TAHUN KITA YANG PERTAMA

Thursday, April 08, 2010

Amalan tenangkan jiwa

Tuhan itu ada di setiap kealpaanmu

Sejarah itu cerita semalam
Berlalu dalam arus yang pantas
Hingga tak ter lintas lagi di depan mata
Namun berkulat juga di benak minda
Menguit nguit kenangan
Atas landasan sejarah
Biar hitam biar putih
Kita tak pasti terleka dan dapat melupakannya

Perjalanan itu satu sejarah
Kata kau ia sukar untuk dimengertikan
Kata kau ia sukar difahami
Sebenarnya kau tidak bersedia
Menerjah pada alam yang kau harus tahu
Apa arah tujumu

Tuhan itu tidak zalim
Biar tika kau susah atau senang
Tapi kau sebenarnya terlupa ucap terima kasih ALLAH
Atau kau terkandas dari mengucap ALHAMDULILLAH

Namun kau tuduh dunia kejam
Alam membenci kau
Lantas tindakan masa lalu adalah sulit
Perit untuk direnangi biarpun kenangan
Airmata katamu peneman
Tapi di mana jiwa kudusmu?

Aku lihat kau seperti tiada arah
Zahirnya kau bahagia
Batinnya kau rintih kecewa
Atas pentas dunia sudah kau keluh
Apa kelengkapan untuk esok hari kau dah sedia?

Nyawamu dan aku bisa terhenti saat ini
Jika itu suratan azali Illahi
Berhentilah dari kau terus keluh
Tuhan itu tegar ada di sisimu
Walau kau terlupa akan ucap ALHAMDULILLAHmu
Walau kau terlupa tanggungjawabmu
Walau kau terleka akan masyhur dunia
Tuhan itu mahu lihat keasyikkanmu
Sambil menonton para syaitan berdansa di sisimu

Aku bersyukur kerana kau sedarkan aku
Dari lena yang panjang
Dari mimpi yang tak sudah
Biar kita kosong di dunia
Namun bersedia penuh ke alam kekal di sana
Jauh sudah kau pergi
Pulanglah...