Setiap kali diterjah oleh teman - teman tentang filem kita, saya mula mencari sebarang alasan membidas dan meneguhkan ideologi bahawa FILEM KITA WAJAH KITA. Apakah ayat itu sekadar slogan laung - laungan tanpa membawa pengertian? Setiap kali filem kita muncul di pawagam, kutipan yang diwar - warkan pihak media sungguh memberangsangkan seolah memberi keuntungan besar bagi pihak penerbitan. Baguslah jika benar kenyataan tersebut, tidak lagi penerbit dan pembikin filem mengeluh mencari ruang untuk terus berkarya.
Tinggalkan tentang penerbit dan duitnya, mari kita singkap istilah FILEM KITA WAJAH KITA yang mendalam pengertiannya. Setiap kali menyebutnya, terasa pipi bulat ini bertukar kemerah - merahan, marah atau malu? Jika benarlah filem kita mencerminkan wajah kita, nampaknya saya masih jalan menunduk bumi tidak memandang ke hadapan, masih terselit rasa malu melihat hasil dan kualiti wajah sendiri. Tidaklah buruk tetapi ada tompok hitam yang entah dari mana datangnya, puas di sental tak hilang hilang jua.
Pernahkah kita bertanya, mengapa sukar benar filem kita menembusi pasaran antarabangsa?. Dari berpuluh filem yang diterbitkan setiap tahun, hanya beberapa buah filem sahaja yang diangkat ke peringkat antarabangsa, itupun setelah mendapat kutukan dan cemuhan dari pelbagai pihak. Filem-filem lain yang katanya BOX OFFICE tidak pula menjadi buah mulut di CANNES FESTIVAL FILM ataupun ASIA PASIFIC FESTIVAL FILM. Di mana silapnya untuk dibawa wajah kita kepada mata dunia? Dengan menampilkan barisan pelakon hebat serta kemantapan jalan cerita yang digarap, turut tak lupa pada kutipan BOX OFFICE (di Malaysia) sudah cukup mencerminkan gambaran positif bagi WAJAH KITA itu berada sama taraf dengan filem antarabangsa.
Baru baru ini, saya terbaca di akhbar tempatan yang melaporkan seharusnya slogan FILEM KITA WAJAH KITA digantikan segera dengan slogan yang lebih bersifat global? Global??? Apa malukah kita mencari identiti dengan wajah sendiri dan mengapa perlu mencari identiti untuk seisi dunia tertarik dengan cogankata? Tidak cukupkah slogan MALAYSIA BOLEH? MALAYSIA TRULY ASIA, CEMERLANG GEMILANG TERBILANG, , BERSIH CEKAP DAN AMANAH yang tidak melambangkan identitinya langsung. Berpijaklah di bumi yang nyata wahai teman.
Kembali pada isu, kononnya filem kita banyak menggunakan bahasa ROJAK dan tajuk filem juga tidak membawa bahasa rasmi negara sebagai BAHASA PENGANTAR. Antaranya seperti tajuk filem 'CICAK-MAN, I KNOW WHAT YOU DID LAST RAYA, THE RED KEBAYA, MR CINDERELLA, SUMOLAH, ZOMBIE KAMPUNG PISANG, ANAK MAMI THE MOVIE, ' dan beberapa buah filem lagi yang memberi gambaran rojak pada bahasa rasmi kita. Besarkah isu ini? Mungkin juga, tapi bagi saya yang mencintai bahasa MALAYSIA, saya tidak memandang isu penggunaan bahasa rojak ini sebagai satu masalah besar untuk kita bawa filem kita di mata dunia. Saya juga tidak ada masalah dengan masalah remeh seperti isu BAHASA ini kerana banyak perkara lain yang harus di titik beratkan berbanding dengan isu tersebut.
Sedar atau tidak, filem BOLLYWOOD yang kononnya meleret dan meremang bulu romo (kononnya terlalu romantik) itu telahpun menembusi pasaran HOLLYWOOD. Habatkan? Biar tidak tercalon dalam festival terbilang, namun tahap prestasi filem mereka melepasi 'standard' barat. Biarpun jalan ceritanya sama sahaja (cinta, cinta, cinta) namun mereka berjaya melahirkan identiti tersendiri tanpa terikut ikut budaya orang lain. Jujur saya nyatakan, biarpun membuang tiga jam lamanya menonton filem Hindustan, saya masih memberikan 5 bintang buat mereka terutamnya dari aspek 'penelitian kajian (research)' dan kualiti teknikal.
Kelemahan filem kita bukan pada SLOGAN mahupun TAJUK FILEMNYA tetapi kelemahan filem kita terletak pada kualiti teknikal dan kurangnya kajian terutamanya karektor dan realiti jalan cerita. "Tidak mahu menonton filem sediri bukanlah kerana tidak bersikap PATRIOTIK dan tidak sayangkan filem kita tetapi kalau jalan cerita dan kekuatan karekter serta kurangnya perhatian dari aspek teknikal sudah cukup membuatkan mual dan mengantuk untuk melekat dua jam lamanya di panggung wayang", itulah jawapan yang sering diterima setiap kali bila diajukan kepada warga kita mengapa mereka tidak menyokong filem kita. Renungkan sejenak....
Jika dibandingkan dengan sepuluh tahun yang lalu, benar kita telah lalui beberapa perubahan dan kemajuan berbanding hari ini. Dihadiri dengan barisan pengarah berkaliber dan kreatif, kita masih disajikan hiburan berserta informasi walaupun pada awalnya penerimaan dalam pembaharuan agak sukar bagi rakyat menerimanya, ahamdulillah sedikit demi sedikit mereka turut berganding bahu menyokong ideologi pemikiran. Saya harus bersetuju dan memberi sokongan padu buat Saudari Yasmin Ahmad kerana benar benar merealisasikan istilah FILEM KITA WAJAH KITA. Perasan atau tidak, filem-filemnya banyak menekankan permasalahan sebenar yang kita hadapi.
Baru baru ini saya menonton MUKHSIN (karya Yasmin Ahmad), setiap kali melihat watak anak kecil jiran pada ORKID dengan dialognya 'mak kita kata....', saya tersenyum sendiri kerana inilah masalah besar yang kita hadapi. Anak anak terikut dengan apa yang ibu bapa mereka lakukan, jika asyik dalam kelompok mengumpat, maka anak akan teruskan budaya mengumpat di mana yang mereka sempat. Lucu saya menonton watak anak kecil tersebut. 5 bintang utuk adik!!!!.
Oh kembali pada isu filem kita, baru baru ini saya berdebat dengan seorang sahabat di sini mengenai kualiti filem kita. Dia sering menyanyakan pada saya, "apa kenanya dengan kualiti warna filem kita? nampak 'dull' dan pudar seperti filem lama, hey kita ini dah beralih ke alam yang lebih maju", katanya.
Sahabat saya terus menghentam, katanya lagi filem Indonesia lebih berkualiti terutamanya dari aspek teknikal seperti kualiti warna, audio, penyesuaian lagu tema dan muzik latar serta karekter pelakon yang memberi impak maksima. Terpukul sebentar dengan hentaman'nya' tetapi nak dibidas tak tahu bagaimana. Yang pasti, kata kata beliau ada kebenarannya sehingga termangu seketika memikirkan slogan FILEM KITA WAJAH KITA. Di mana silapnya tak pasti pula!!!
Minta tolong pada penerbit atau sesiapa yang terlibat dalam pembikinan filem jelaskan kepada saya mana silapnya???? Bak kata pepatah, saya budak baru belajar kalau salah tolong betulkan! Opps no more 'kalau salah tolong jolokkan'. Selain dari masalah warna yang agak suram biarpun kos penerbitan mencecah jutaan ringgit, saya tertarik juga dengan satu lagi masalah teknikal dalam pembikinan filem.
Penggunaan muzik latar belakang yang seringnya tidak bersesuaian dan seringkali salah dengan 'mood' yang ingin disampaikan. Penelitian audio adalah salah satu faktor besar dalam pemibikinan sesebuah video mahupun filem, tidakkah pihak penerbitan serta pengarah menyedari kelemahan tersebut? Sayang sungguh kerana adakalanya filem tersebut dah cukup baik tetapi hilang kekuatannya bila muzik latar belakang seringkali diberi penekanan yang salah.
Mari kita beralih pula pada kekuatan jalan cerita, seringkali saya punya masalah dari aspek 'research'. Setiap watak berat seperti doktor, peguam, ahli perniagaan dan beberapa lagi kerjaya profesional tidak diberi penekanan. Saya tidak berniat mentertawakan kelemahan ini tetapi ia benar benar lucu pabila seorang peguam tidak bercakap bahasa peguamnya malah dari riak wajah juga seolah tidak yakin bila berbicara. Lebih menggelikan hati bila waktak doktor tidak bercakap bahasa doktor tetapi berbicara seperti seorang ahli perniagaan.
Baru baru ini saya ada menonton dua buah drama cerekarama di You Tube, 'Rebah di Pintu Neraka' dan 'Dominan'. Kedua dua buah drama ini memberikan satu informasi yang amat mendalam dari penekanan skripnya. Saya amat tertarik dengan bahasa seorang peguam dan juga ahli perniagaan. Inilah yang dikatakan kualiti. Sayangnya, drama hebat seperti 'Rebah di Pintu Neraka' terserlah kekurangannyadari aspek muzik latar. 'Mood suspen' di hidangkan dengan lagu dari filem Star Wars, terganggu konsentrasi saya setiap kali muzik tersebut dimainkan.
Saya masih ingat kata sahabat saya, filem seharusnya membawa kita sebegitu dekat dengan realiti. Wang dan masa yang dilaburkan untuk menonton filem tersebut selama dua jam mestilah berjaya memberi kepuasan pada penonntonnya. Kalau beginilah caranya, saya mati akal untuk berdebat lagi atas kebenaran yang kian terselah dan terbuka kelopaknya satu demi satu.
Setiap kali ada filem terbaru ditayangkan, saya pasti memaksa mama untuk membelikan VCD@DVD (original sahaja ya) apabila ia keluar di pasaran. Tidaklah begitu teruk bagi saya menontonnya, bukan sekali malah berulang ulang kali saya menonton kesemuanya tetapi saya masih lagi sakit dengan asakkan ideologi sahabat saya itu dan kerana itulah saya menarik jari untuk berkongsi dengan kalian.
Sudah tiba masanya kita melangkah mencari identiti sebenar filem kita, teringin juga nak lihat filem kita menembusi pasaran antarabangsa. Jika orang boleh lakukan, mengapa tidak kita? Malaysia kan BOLEH? Marilah kita saksikan kebolehan yang diagung agungkan, dah lama sangat asyik jadi jaguh kampung bila lagi nak jadi jaguh dunia?
Saya masih menjadi pencinta filem filem kita, FILEM KITA WAJAH KITA. Kerana terlalu cintakannya, saya melangkah setapak menyuarakan rasa hati yang terbuku ini. Tidak salahnya menonton filem HOLLYWOOD yang jauh ke hadapan meninggalkan kita, sebaiknya kita jadikan filem mereka sebagai landasan untuk kita mengatasi dan berdiri sama tinggi dengan mereka. Walaupun filem mereka berunsurkan fantasi dan tidak mengikut arca rentak budaya kita, orang kita masih tetap meletakkan filem mereka dalam carta atas pilihan.
Pada mereka yang berpendapat slogan FILEM KITA WAJAH KITA ada kurangnya, usahlah ditukar motto tersebut sebaliknya perbaiki mutu filem itu sendiri dari asyik berkhayal dengan cogankata sahaja. Ingat, wajah kita maruah kita!!!! Mari kita patahkan bidasan mereka mereka yang terlalu taksub dengan filem luar dan asyik mencari cela filem kita, teguran membina kita ambil yang menghina tanamkan sahaja agar tak terus berbau busuk.
Nota kecil : Tak sabar menanti keluaran baru karya karya YASMIN AHMAD, sungguh memberikan impak mendalam setiap kali menontonnya!!! SYABAS....
Ninie Kamal