Tuesday, June 19, 2007

~~Rumah tanpa Pembantu...Pembantu tanpa Rumah????~~

Pembantu rumah di dera? Pembantu rumah dibuli? Pembantu rumah bertaraf Kelas E di Malaysia? Bermacam spekulasi terbit seolah menzahirkan kekejaman dan ketidak berhati perutnya rakyat Malaysia hari ini. Purata besar pembantu rumah yang bermastautin di Malaysia terdiri dari warga Indonesia yakni 94.8 peratus dari 320,000 orang, Filipina 6,100 orang dan bakinya 10,000 orang dari negara-negara lain seperti Sri Lanka dan Kemboja. Besar juga populasi mereka ya? (Apa tidaknya, rumah menteri sahaja sekurang kurangnya ada 2 atau lebih pembantu rumah)

Beberapa kes penderaan dan buli pembantu rumah yang dilaporkan sejak 2003 yang lalu, rata ratanya dari majikan berbangsa Cina, purata kecilnya majikan berbangsa India dan ada jugalah satu dua kes orang Melayu. Ini bukan cerita perkauman tetapi ia berdasarkan fakta yang terkumpul. Tapi yang menjadi pertanyaan, mengapakah mereka ini di dera mental dan fizikalnya sehingga ada yang menyebabkan kecacatan? Hina benarkah tugas mereka menjaga dan membersihkan seisi rumah? Tugas mereka biarpun tidak tersenarai dalam kursus jangka panjang atau pendek di universiti dan kolej swasta, namun kecekalan minda dan fizikal mereka adakalanya melebihi anak anak yang keluar masuk pintu institusi pengajian tinggi.

Tertarik hati untuk menulis kisah kali ini ketika terbaca laporan akhbar tempatan yang menyatakan isu pembantu rumah Malaysia dikategorikan dalam Kelas E yakni dalam pengetahuan saya, Kelas E adalah kelas tercorot dan jika tersasar ke huruf F maka gagallah ia menepati tahap pelepasan. Akhbar tersebut turut membuat perbezaan di antara pembantu rumah di Singapura, China dan beberapa negara membangun yang lain terhadap Malaysia. Jelas dalam laporan akhbar tersebut menyatakan pembantu rumah yang didatangkan ke Malaysia tidak mencapai tahap pengusaan yang ditetapkan. Tahap bagaimana yang kita mahukan? Adakah kita mahukan pembantu rumah yang mengambil 100% tugas sebagai seorang isteri mahupun suami dalam rumah tersebut? Ini termasuklah mengemas, menggosok, mencuci, mengilat perhiasan rumah, memastikan tidak ada sehama habuk melekat di celah celah bingkai gambar dan memasak juadah harian sekurang kurangnya 4 kali sehari???? Oh ya terlupa pula, mengasuh, mendidik dan menyuapkan anak anak anda makan ketika anda seharian di luar mencari wang dan pangkat?

Wajarkah kita menyalahkan mereka (pembantu rumah) atau sebaliknya mencermin sikap kita sendiri yang mungkin adakalanya seperti kaduk naik junjung. Tugas pembantu rumah bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan, selain dari memastikan segala perkakas rumah tampak berkilau dan licin berkilat, mereka juga memegang amanah besar memelihara anak dan bayi yang anda tinggalkan lebih dari 5 jam. Membawa kekuatan mental dan fizikal, mencari sesuap nasi yang ingin disuapkan ke mulut insan tersayang di negara mereka jelas menunjukkan kecekalan berhadapan dengan segala cabaran.

Apa lupakah kita pada beberapa kes penderaan fizikal terhadap pembantu rumah beberapa tahun yang lalu? Maafkan saya kerana tidak berapa ingat akan nama nama mereka yang pernah menjadi mangsa hentaman majikan tanpa belas. Walau dari mana mereka datang, apa pun warna kulit mereka, bertutur berlainan bicara, mereka tetap punya hati dan perasaan. Tugas memelihara rumah yang seharusnya menjadi tanggungjawab isteri kini beralih tangan ke pembantu rumah, sekali lagi...wajarkah kita mencela insan yang menggosok setiap inci rumah kita itu?

Walau demikian, ada juga dilaporkan beberapa kes pecah amanah dan penyelewangan pembantu rumah tetapi rata rata yang berlaku jika tidak daripada agensi 'kabur mata' mereka mesti dari golongan pembantu rumah remaja yang tidak mengenali erti kehidupan sebenar. Kedatangan mereka biarpun secara berdokumen sah mahupun dokumen tidak sah tidak membawa erti mencari sesuap nasi tetapi mencari kemewahan dan kesenangan yang pastinya agak sukar untuk direalisasikan jika mereka masih di negara sendiri. Bezakanlah dengan mata hati jangan dihentam kromo tanpa menilai erti kemanusiaan.

Usahlah memandang melalui mata kasta terhadap mereka sehinggakan ada yang memanggil 'INDON' pada rakyat mereka yang tidak menjadi pembantu rumah. Panggilan itu seolah merendahkan posisi mereka untuk berdiri sama tinggi dan makan semeja dengan kita. Apakah kita ini negara anti perkauman @ 'racist'? Kita tak habis habis menuduh orang lain melayan kita dengan beda kasta, adakah kita tidak melakukannya terhadap pekerja asing yang bekerja sebagai pembantu rumah dan buruh kasar di tanahair kita??? Beberapa teman kuliah di IPT dahulu ada antaranya berwarga Indonesia, mereka turut melahirkan kekesalan terhadap panggilan INDON yang membawa erti kasar dan kelas bawahan bagi mereka. Teman teman saya itu tersinggung setiap kali bila ada yang memanggil mereka dengan sindirian 'eh awek Indon ni marah pulak'. Bukan bersikap sensitif tetapi mereka seolah merasakan tersisih bila diasak dengan panggilan sedemikian. Kita bukan RACIST kan???? Mana mungkin rakyat Malaysia membezakan kaum kaumnya...Betul kan??? Tepuk dada tanya selera.

Cakap siang pandang pandang, cakap malam dengar-dengar, biarlah adab sopan santun yang diwarisi zaman ke zaman terus kekal hingga ke akhir zaman. Penat sudah mendengar permasalahan yang kononnya datang dari pembantu rumah yang angkanya kini mencecah 320,000 orang di Malaysia. Masalah ini bukan tidak bisa ditangani, tetapi makin lama ia merebak menjadi nanah dalam daging. Usahlah sampai ke tahap barah pula.

Jika tidak mahu menghadapi dan berhadapan dengan segala andaian dan tekanan, carilah pembantu rumah dari kalangan rakyat kita. Siapa bilang tugas itu hina dan menjijikkan? Orang kita sendiri pernah menjadi pembantu rumah di tanah sendiri pada zaman pemerintahan Inggeris dahulu. Ia lebih dipandang sinis menjadi 'amah' di tanah sendiri dari menjadi 'amah' di tanah orang lain.

Besar atau tidak jumlah wang yang diberikan tiap tiap hujung bulan buat mereka (pembantu rumah) bukan tiket untuk kita mencampakkan erti keperimanusiaan dan bertimbang rasa ketepi. Bukankah lebih aman sesebuah keluarga jika pembantu rumah dianggap seperti saudara sendiri.

Tontonlah filem Sepet, Gubra, Mukhsin! Pembantu rumah tidak dilayan seperti pembantu rumah malah kehadirannya menyerikan lagi seisi keluarga. Tangkaslah pemikiran memandang dengan mata kasta terhadap mereka, sesungguhnya mereka punya hati dan ada perut perut yang perlu di isi di negara mereka.

Tidak wajar buat kita melabelkan mereka dalam kategori E sebaliknya lihat kembali apakah kita ini benar benar Kelas A melayan dan memberikan perhatian buat mereka??? "Muafakat membawa BERKAT"...Mari kita renung bersama......

Ninie Kamal

3 comments:

Hafiz MZ said...

Nicely written,
Betul, pembantu rumah bukanlah hamba, yang peliknya perkara ni sering berlaku dalam keluarga kaum tertentu, dan sedihnya kadangkala mereka ni melampau, mengekang keperluan agama pembantu indonesia ini, bila nak masukkan pembantu rumah dr China, banyak melenting, kononnya mereka ini akan menggoda suami mereka, apakah pembantu Indonesia bukan wanita dan tak menggoda. Padahal mungkin pembantu dari China jika dibenar bekerja disini lebih sesuai dengan budaya dan rencak hidup golongan yang banyak mendera ini (Im not racist, ths is fact)

reformasi_girl said...

Hi hafiz
Thanks for written back to me.
Im not claiming u as a racist. We always look for a better life esp in our beloved. By the way, Im looking at this point, Pembantu rumah tak menjadi pembantu rumah lagi hari ini...tapi lebih tepat digelar 'slave'.Tugasan yang bukan sekadar berat malah memikul segalanya sendirian tanpa bantuan membuat kita menjadi bangsa yang dipandang sedikit 'racist'. Bila kita bersuara, kita tidak dikatakan racist lafi tetapi dengan perbuatan dan tingkah laku kita itu yang mencerminkan kita racist. Correct me if im wrong...
Kita takut pada bayang2 sendiri, bukan tak boleh bawa warga China bekerja tetapi bila memikirkan beberapa faktor seperti agama dan kemudahan berkomunikasi....mungkin kerana itulah kita memberi ruang yang lebih besar untuk warga Indonesia. Orang kita kenalah bertoleransi sikit dan jika tidak mahu digelar racist, janganlah melakukan perkara yang boleh dipanggil racist, esp Cina yang sering menimbulkan masalah dengan pembantu rumah...Pening juga ye!!!

roziey said...

Tak semua pembantu rumah di buli seperti hamba. ada kalanya majikan yang di buat seoerti hamba. alasan-"ah majikan marah-marah boleh tukar majikan yang lain". padahal mereka menonton tv sepanjang hari, bila majikan blik kerja mula lah sibuk pegang penyapu, pegang mop. Sibuk. Majikan kesian. Tak apalah. Dah dibuatkan permit beri lah cuti hujung bulan, sampai 3-4 hari x pulang. Bunting, berhenti kerja. Terpaksa majikan mencari pembantu lain. Terpaksa keluar ribuan ringgit lagi.

Kisah benar seorang majikan, yang sama bangsa sama agama.