Assalammualaikum teman,
Terlalu lama bercuti dari pentas maya, aku bukan terlalu sibuk apatah lagi menyusuri liku liku bebanan tugas yang berat. Semuanya dalam keadaan tenang dan sepoi sepoi sahaja di pejabat. Namun aku kekusutan idea, tersimpul kreativiti, terbelit butiran kata hanya kerana keadaan kesihatan yang seperti di langgar ribut taufan dan disambut oleh ombak gersang.
Setiap hari aku berdoa pada Illahi agar tidak di duga terlalu kuat hinggakan entah ke mana arah tuju. Aku bermohon agar tiada airmata menjadi peneman di kala aku membawa sebutir nyawa kecil yang bergerak di dalam rahimku. Tapi aku tewas, saban malam airmata juga yang menjadi teman. Merintih kesakitan yang entah dari mana hujung pangkalnya, mengurut tubuh yang tidak keruan.
Tatkala ini suamilah tempat menumpang segala kasih yang ada, melihat akan sedikit demi sedikit ujian Tuhan, kami berdua turut insaf. Bukan mudah membenih lantas melahirkan seoang insan apatah lagi yang mahu disemai jiwanya dengan segala ilmu Islam. Kadang aku kuat, kadang aku tertewas. Istighfar semakin deras di bibir.
Teman,
Inilah dugaanku yang baru 3 bulan membawa sebutir nyawa. Dia mahu bergerak membesar di dalam rahim kerdilku, dia mahu terus mencari keselesaan sedang aku merengkok kepedihan. Makan tidak lagi terasa di lidah, hanya untuk si dia. Tidur tidak lagi lena, mimpikan yang tidak indah belaka, pergerakan semakin lemah gara gara sakit pinggang dan tumit. Apakah ini permulaan segalanya?
Aku tidak sekali kali KESAL atas dugaan maha hebat ini. Malah aku bersyukur kerana bakal melahirkan seorang lagi khalifah di muka bumi. Ketelusan dan pengorbanan suami amat aku hargai dan ada ketikanya tertitis airmata bila melihatkan kesungguhannya membantuku yang dalam kesakitan.
Saban malam sang suami mengusap perutku yang tidak pernah henti henti kepedihan seperti manjamah cili mentah 50 biji. Sambil berlapikkan minyak dan sedikit doa penawar, suami berbual tentang kisah siang harinya. Aku hanya renung matanya, melihat akan cerita yang direka untuk mengalihkan perhatianku yang dirundung pedih.
Ada malam malamnya pula, pinggang mula menyusuk nyucuk rasa seperti kebas dan lenguh walau tidak mengangkat sebarang bebanan berat. Suami sekali lagi korbankan malamnya untuk mengusap usap pinggangku yang entah di mana punca kesakitan itu datang.
Aku lelah melihat suami menyiapkan juadah makan, mencuci pakaian, mengemas rumah dan tiap kali itu aku rasakan aku tidak menjalankan kewajipanku. Namun suami terus senyum dan berkata, 'inilah pengorbananku pula'. Gugur sebutir lagi airmata bahagia, melihat keikhlasannya menyapu segala bebanan di bahu.
Teman, entah berapa kali ku dengari ramai suami di luar sana mula rimas pabila isteri asyik terlantar, rumah tidak di kemas, makan minum terabai, nafkah batin terlerai dek kerana alahan dan kepenatan membawa nyawa kecil di dalam rahim. Ada kisah yang lebih buruk bilamana suami mencari kebahagian di luar sana dan mengaku bujang sementara kembali. Aku dirundung takut jika jika ianya menimpa dan menyinggah di bahuku.
Namun alhamdulillah, suami lebih memahami apa itu kesakitan dan penderitaan jauh dari semua insan insan yang aku kenali. Aku lebih gemar menatap wajahnya ketika tidur yang dalam, dengkur manja mula kedengaran dan ketika itu aku bangun untuk menatap dan menyentuh wajahnya sepuas hati. Aku tidak mahu dia bicara denganku, aku tidak mahu di memanahku dengan ancaman matanya yang membuatkan aku tergoda.
Tenang wajahnya dalam jasad yang ditinggalkan roh membuatkan aku mampu untuk berkata pada hatinya. Setiap hari aku tenung wajah itu, aku bermohon pada Illahi agar panjangkan jodoh ini dan rahmatilah kehidupan kami. Hanya doa itu sahaja yang mampu melahirkan sebuah keluarga yang kami impikan bersama.
Teman,
Ingin sekali lagi aku kongsikan, tatkala ini biar dalam apa pun keadaan kalian. Balik dan renunglah wajah ibu yang masih terus berhembus nafasnya. Genggamilah jemari mereka, sesungguhnya untuk melahirkan kita semua, ibu bertarung dengan nyawanya bukan hanya pada hari pertarungan itu sahaja, sebaliknya dari awal kandungan bernyawa. Kita tidak bisa mengerti apa yang mereka lalui ketika mengendong kita selama 9 bulan. Mungkin ada yang terlantar kelesuan, mungkin ada yang terdampar di katil hospital, mungkin juga ada yang tidak bisa melihat warna warni dunia kerana dirundung malap dan kelam ketika membawa kalian bersama.
Percayalah, selagi belum tiba saatnya kita menjadi ibu, kita tidak akan mengerti apa itu naluri sang ibu. Sesungguhnya tuhan itu maha kaya hingga mencipta segala rasa bagi sang ibu menahan dugaan ketika saat hamilnya. Bermulanya dari dalam kandungan sang ibu sudahpun diberi tanggungjawab maha hebat. Maka marilah kita bantu ibu kita untuk rasa gembira sepanjang hayatnya dunia dan akhirat.
Ketika cebisan ini aku titipkan, aku masih lagi merasakan keajaiban dugaan tuhan ini pastinya ada hadiah istimewa yang dijanjikan kelak, di alam yang kekal dan abadi. Moga aku lebih tabah, lebih kuat, lebih gagah untuk mempertaruhkan anakku yang akan melihat dunia 6 bulan lagi. INSYAALLAH.
1 comment:
aku ada mak
Post a Comment