Wednesday, September 30, 2009

~Lewat Malam bersama Puteri Rembulan~

Lewati malam bersama deru angin
Pantas dan kuat
Kelibat bayang tak terlihat
Bulan dan bintang bertempiaran
Meliuk di balik awan tebal

Malam itu titis deras perahan awan mula gugur
Basah bumi yang penuh dosa
Basah bumi yang penuh noda
Basah bumi yang tandus ceria
Basah bumi yang gering tak bermaya

Dari titis terus menderu
Umpama pili ditebuk gergasi
Ampangan dilanggar naga
Mencurah lelah disahut kilat
Kata nenek kilat itu menyumpit syaitan
Terkaku isi alam

Namun kerna ia malam
Penghuninya menyeret selimut
Dari hujung jemari kaki hingga litup ubun kepala
Sejuk dan indah
Damai dan tenang bila mimpi diulit hujan
Iramanya menggagah dengkur yang luar biasa

Aku renung malam
Tersiat palit duka
Terlihat wajah puteri di balik bulan
Terlindung dalam samar
Lantas ku tanya
Mengapa wajahmu selayu bunga
Tak bermaya tiada tenaga tiada girang gembira
Sedang kau sering usap ubunku
Dengan senyum paling indah
Lantas kau dakapku penuh erat
Aku sejuk dalam dakapan itu kerna kau seperti angin kota Inggeris

Ku hembus panji semangat
Ku dakap erat jemarimu
Kau hanya panah anak mataku
Hatimu mula bicara pada mataku
Airmata kau titiskan
Gegar geletar tubuhku
Kerna katamu alam kian tenat
Sakit dan pucat
Gering tiada penawar

Lantas bicaramu terus tak henti
Pinta aku terus bersedia
Lupakan kisah dunia yang diserang carca marba
Penuh kotor jijik dan hina
Bergelumang nista

Aku tunduk membisu
Mengenangkan benar bait katanya
Namun aku bingung
Mencari beraneka jawapan di balik awan sana
Ku layangkan warkah rindu buatnya
'Sampai kita ketemu lagi dan aku mahu lihat senyum delimamu"

Tuesday, September 29, 2009

~~Kanda mahu tahu?~~

Kalau kanda mahu tahu
Dinda gembira menjadi suri kanda
Dinda tak mampu lahirkan senyum girang
Dinda gugup bilamana senyum ini mungkin salah tafsirnya
Antara ikhlas atau paksa

Kalau kanda mahu jengah
Dinda hanya ada kanda
Di sana, di sini, di atas, di bawah, di belakang, di hadapan
Semua wajah kanda

Tahun ini indah buat dinda
Tahun ini dinda bergelar isteri
Tahun ini dinda berpuasa dan bersahur bersama kanda
Tahun ini kanda belikan baju raya dinda
Tahun ini kanda bayarkan zakat dinda
Tahun ini dinda pulang ke kampung kanda
Jauh dan jenuh
Perjalanan terhenjut henjut
Berasak dengan lautan kereta terbentang
Panasnya usah cerita

Kanda tak bicara sepatah
Kanda pinta dinda rehat dan tidur
Kanda kata sikit lagi nak tiba
Kanda usap kepala dinda
Kanda tak rungut tak keluh
Kanda terus senyum dan kucup dinda
Walau dinda tahu kanda baran dengan sesak kereta di jalanan

Kalau kanda mahu tahu
Lautan api pun akan dinda temani kanda
Langit ke tujuh dinda turuti
Ombak bergulung jua dinda rentasi
Agar kanda di hadapan dinda
Terus utuh berikan senyuman

Kalau kanda mahu tahu
Dinda rasa rindu di pagi raya
Beberapa tahun lalu dinda jauh di rantau
Tak sempat beraya bersama keluarga
Sekarang dinda akan terus jadi perantau
Untuk pulang beraya bersama kanda
Tak apalah walau berselang seli
Tak apalah walau meredah sesak dinihari
Tak apalah walau suara mama tiada di cuping telinga
Kerna dinda tahu
Papa mama pasti gembira dengar kanda penuhi setiap impian dinda
Papa mama pasti lapang dada bila melihat senyuman terukir di bibir dinda

Kalau kanda mahu tahu
Dinda sering alpa melihat senyuman kanda
Dinda kalut menatap wajah kanda

Kalau dinda tiada
Kalau tuhan ambil dinda atau kanda
Kalau tuhan mahu kita terus kekal di alam abadi
Dinda mahu kanda tahu
Dinda mahu kanda benar benar tahu
Dinda tak mampu bayar kasih sayang kanda
Dinda tak mampu bayar kesabaran kanda
Dinda tak mampu taruhkan apa pun terhadap kesetiaan kanda


Belum terlambat dinda ucapkan Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin buat kanda. Sesungguhnya lidah yang tidak bertulang ini sering menghiris hati kanda dengan ketelanjuran tiada sengaja.

Ampun dinda minta, maaf dinda harapkan agar keberkatan akan terus menyirami cinta kita.

Monday, September 28, 2009

JIN NOTTI TAK LAYAK KE PANGGUNG

Kesempatan bercuti panjang musim perayaan Aidil Fitri lalu pastinya diisi dengan beberapa aktiviti riadah, terutama bersama suami. Al-maklumlah dengan singkatnya masa yang ada kadang kita teralpa bahawa dialah teratas dalam setiap diari penuh kita.

Tanpa ada niat dan rancangan, aku dan Mr Kekasih putuskan untuk nonton filem. Filem 'UP' katanya menarik, Mr Kekasih pasti gembira dengan wajah filem animasi kerna itu genre yang sering berada dalam mindanya. Aku ikutkan sahaja asal tiada unsur kejam dan ganas sudah cukup memadai. Hajat kammi terbantut, tertindas oleh waktu dan juga ruang tempat, semuanya penuh kecuali di barisan hadapan.

Kami batalkan rancangan menonton filem itu di kaunter pembelian tiket, GSC One Utama dan gantikan dengan semangat menonton filem wajah kita, filem Melayu. Terlintas untuk melihat aksi Mawi dan Fafau maka kami sepakat menonton JIN NOTTI.

Sepanjang perjalanan mengharungi layaran filem tersebut, aku kian mual seperti nak muntah ada, pening lalat ada, panas, sakit telinga dan yang paling tinggi sekali tahapnya ialah mengantuk. Bayangkan, aku dan Mr Kekasih ketawa dalam paksaan. Kami cuba hayati apa sebenarnya isi kandung filem ini, nak kata komedi jauh sekali, thirller? aduhhh tak tergolong, animasi 3D? B-O-R-I-N-G! Itu yang aku dan Mr Kekasih lampiaskan sebaik tamat menonton filem terbitan KRU itu jam 1am.

Aku sungguh tak mengerti, apa sebenarnya intipati yang cuba ingin disemat dalam hati kami? Unsur syirik, khurafat ada terselit sana sini namun itu bukan alasan untuk aku katakan filem ini 'HANCUR' sebaliknya penceritaan filem ini tak ubah seperti drama TV yang tak mungkin ada siapa ingin menontonnya.

Maaf, aku tak bisa lagi kawal emosi pabila terkenangkan waktu dan wang yang terbuang gara gara duduk di panggung menonton filem JIN NOTTI ini. Teman dan sahabat, jika kalian benar mengenali aku pastinya tahu benar bahawa aku tidak pernah mengasingkan diri untuk menjadi penonton pertama wajah filem melayu. Aku bangga melihat anak bangsa mahu terus menjadi seniman,, berkarya, bersutradara. Tidak bohong, aku benar ingin melihat anak bangsa bangkit menontonkan wajah filem kita. Tapi kekesalan ini terus menghambat hingga aku bingung dan tak mahu lagi menjengah panggung jika ada lagi karya sebegini tampil.

Mungkin jiwaku tidak serasi dengan animasi seperti yang ditampilkan, tapi ini kali kesekiannya KRU Production cuba hadiahkan filem HAMPEH buat aku dan peminat filem Melayu. Maaf sekali lagi jika entri ini berbaur emosi, sesungguhnya aku memang tak mampu lagi mengawal amarah dengan hadiah hari raya sebegini di panggung!

Aku malas nak hujahkan apa isi filem ini, kalauada yang ingin sembang panjang isi kandung cerita ini, aku buka gelanggang untuk kita diskusi bersama. Pada aku, cukup sekadar tag line FILEM INI TAK LAYAK KE PANGGUNG yang dapat aku gambarkan.

Usahlah buat filem kalau hanya fikir mahu duit sahaja, hati berjiwa seni, berjiwa filem akan hancur dan kalau boleh nak minta ganti balik rm 22 yang telah aku bayar.

GERAMMMMM!!!!!

p/s: Mr Kekasih tolong sambung kemarahan ini!!!! Grrrrrrrr

Aku mahu amuk!

Seringnya penat berjanji untuk terus aktif seperti dahulu kala, menulis dan terus menulis walau apa pun melintas akan terus berkongsi nukilan. Tapi keputusannya selalu hampa, waktu sering menggigit kuat, tak mahu lepas akan menghambat kisah kisah lain untuk di dahulukan.

Sikit lagi waktu, aku pasti akan terus jadikan ia sebagai teman paling akrab, tak mahu lepas tak bisa terlerai. Aku dan nukilan biar berterabur sampai lebur, biar tersepit sampai perit, akan terus menghayun jemari menghambat lembaran buat kalian.

Ada banyak kisah untuk dikongsi, sama rasa masinnya sama rasa pahitnya lantas sama nikmati manisnya. Kalau belum sampai waktu untuk pergi, aku terus utuh di pentas ini biar berguling guling inipati sampai pening.

Aku mahu memberontak! Mahu terus hambat diri bangkit berdisiplin! Aku mahu sebaris bersama idolaku, hasil nukilan sering menebari pesta pesta buku, sedang aku? Bila lagi??? Bukankah ini yang aku cari???

Benar aku mahu amuk pada aku. Aku janji aku tidak tunduk dengan telunjuk masa yang memintas lapang dadaku!

Tuesday, September 15, 2009

~~SALAM AIDIL FITRI~~


Ramadhan semakin hampir melabuhkan tirai, rasa semalam baru sibuk berkocoh kocohan berbuka puasa bersama mama,papa,adik adik, kaklong dan teristimewa Farysh. Baru semalam juga menjalinkan ukhwah lebih erat bersama keluarga mertua. Semuanya umpama semalam hadir dan hari ini pergi.

Ramadhan kali ini sungguh bererti bagi diriku, jauh lebih indah menjadi anak rantau. Status isteri sesungguhnya membibitkan tenang dan penuh hikmah, berpuasa dan berbuka, bertarawikh, bersahur bersama merupakan saat indah yang tiada nilainya untuk digantikan dengan wang ringgit.

Aktiviti serta tugasan juga tidak putus putus hadir, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Ramadhan ini benar menyatu padukan ukhwah renggang, merapatkan jalinan kasih yang sayup malah ia turut menyucikan hati dari terus dihimpit rasa dendam, rasa amarah yang memuncak.

Entah Ramadhan depan kita bisa menikmati saat sebegini atau mungkin ini yang terakhir. Bersamalah kita memohon agar Yang Esa berikan ruang untuk kita umat yang hina, yang alpa untuk terus mengaut setiap pahala di muka bumi.

Teman dan saudara, mungkin lidah tak bertulang memacul kata, hati bertuli memburuk sangka, sikap dan perbuatan tak terbatas menjaga tertibnya hingga membuatkan kalian terluka, lantas terbit pucuk dendam. Lumrah kehidupan untuk merasa seribu suka dan derita, kerna ini jemari yang lantang dan ligat menari ini ingin menzahirkan rasa hati yang besar untuk memohon maaf yang tidak terkira luasnya. Ampunkan salah silap, terlebih terkurang, sesungguhnya yang buruk itu datang dariku dan yang baik semestinya milik Illahi.

Hubungan ukhwah sesama Islam akan terus utuh dengan menghapuskan dendam dan luputkan dengki.

Sehubungan ini, Nini ingin mengambil kesempatan untuk merakamnkan ucapan SALAM AIDIL FITRI BUAT :
~~SUAMI TERCHENTA "KANDA SYAUKI"~~MAMA~~PAPA~~ALONG~~ADIKKU AMIRUL ~~ADIKKU SITI~~ADIKKU AYU~~ANAKKU AL-FARYSH~~IBU MERTUA~~BAPA MERTUA~~KAKAK & ABANG IPAR~~ADIK ADIK IPARKU~~NGAH BIBAH~~NGAH WALAT~~SEPUPU-SEPUPU TERSAYANG~~MARINA~~ILA~~ENNIE~~FIDA~~EKIN~~HUDA~~FARAHDILLA~~AZLIEN~~EZZATIN~~TEMAN SEKOLAH RENDAH & MENENGAH~~TEMAN SEANGKATAN KETIKA BERUSIA 13-17 TAHUN~~ SAHABAT SAHABAT MIIM~~ANGKATAN PERGJUANGAN AIC~~RAKAN POLITIKUS~~SEMUA YANG MENGENALI NINI~~

Jika nak di isikan satu persatu mungkin tak cukup di sini, namun hait yang kecil ini benar benar zahirkan keinsafan dan kesedaran di atas segala kesilapan yang tidak pernah disengajakan sepanjang mengenali kalian.

Moga kehadiran Syawal kali ini akan lebih memberikan seribu satu ceria dalam hidup kalian.

SELAMAT HARI RAYA AIRIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN..