Monday, July 21, 2008

~~Jangan Lafaskan Kata Itu, AKU DI KEPONG RASA BAHAGIA~~

"Apa kau sudah bersedia?", lamunan panjang dalam hidup mula disambar halilintar oleh pertanyaan itu.

"Sudah", ah ringkas benar jawapanku seolah tidak dapat meyakinkan sesiapa.

"Benar kau dah sanggup memikul beban itu, menjadi teman hidupnya?"

"Apa wajahku menggambarkan aku hanya mahu keseronokkan? Di wajah ini riakknya nampak main main sahaja ke?", itu jawapan panjang lebar yang aku ajukan kembali.

Papa riakkan wajah gusar, di hatinya tersarang rasa gundah. Benarkah si Mr Hunny dapat mencurahkan kasihnya seperti mana papa membelai manjaku sepanjang 25 tahun? Dari air muka yang tenang itu dapat ku baca segala resah papa, namun itu tidak bermakna ada bantahan keras dari nuraninya.

"Kalau macam tu, papa iringi dengan restu dan doa buat kalian"

"Cinta dan kasihmu papa, tak dapat ditandingi oleh mana mana insan bergelar manusia. Kamu papa terbaik dan aku mahu terus menjadi anak tercinta buatmu", aku menelan gusar papa dengan janji manis yang kusuburi sepanjang hayat denganmu papa.

.........................................................................................................................................................................

"Berapa lama kau kenal?", berbumbungkan langit pekat malam, teman mula berbicara.

"Semua pasti tak percaya, paling tidak ada yang akan katakan aku gila", aku hanya mampu menjawab dengan setenangnya

"Tak lah begitu, cuma ceritakanlah kisahnya agar kami tahu bagaimana bibit itu bermula", teman itu terus mendesak.

Nah, aku mahu muntahkan di sini segalanya. Kata orang, perkenalan itu harus memakan masa agak lama untuk lahirkan rasa cinta. Ada yang mengambil masa tiga bulan, ada pula enam bulan dan ada yang mencecah angka tahunan. Padaku, cinta itu tak perlu berbunga terlalu lama jika hati sudah terpaut, mata bertentang jiwa tenang, senyum berbalas penuh ikhlas.

Akhir May lalu, aku mengenali Mr Hunny dalam jarak sangat hampir. Walau saban hari kamu bertemu, tidak sekalipun aku endahkan teguran itu. Aku sudah lama matikan segala rasa ingin disayangi. Aku mahu terus sendiri agar tidak di tikam perasaan pedih. Aku takut bermain api, kelak esok memakan segala sisa sisa diri.

Akhir May lalu, aku berjabat salam dengannya dan segala sendi mula bergetar. Itu hanya kali pertama, sudah segala getaran cinta menular dalam nadi. Ah, siapa kamu ini, itulah bisik hati kecilku. Aku tegas membingkis agar tidak hiraukan senyuman manis yang di ukir jam 3 pagi lewat May itu.

Hanya berlandas senyuman, aku lihat bentuk cinta hadir dalam bayu yang halus. Terbang dan bersandar di bahuku. Dari tidak mengenali, aku mula mendekati. Mahu ku lari jauh agar tidak tersiksa lagi, makin dekat debunga rindu melilit. Ketakutan musim luruh lalu buatkan aku buntu untuk mendakap selembar kasih itu, tapi apa benarkah lain padang lain lalang? Kejam jika aku harus menghukum semuanya sama.

Hari bersilih waktu berganti, aku makin resah dalam lirikkan senyumannya. Malam tidak lagi tenang, yang ku mahu adalah miliki sepenuhnya senyuman itu. Bisakah aku? Apa dia juga begitu? Atau aku sahaja yang kepingin merasainya.

Kini, biar bulan itu hanya berlalu kurang dari 100 hari, Mr Hunny dan aku bakal mengkahiri babak pertama fasa kehidupan abadi.

"Sudikah kamu menjadi isteri dan ibu pada anak anakku?", walau biru wajahku menahan malu namun aku hanya mampu menggengam jemarinya tanda setuju.

"Apa sudikah kamu untuk menerima insan sedaif aku ini?", tuturku tersangkut sangkut.

"InsyaALLAH, aku yakin kita telah ditemukan untuk mencari kebahagiaan bersama", jemarinya menyapa lembut pipiku. Ahhhh, segala rasa pedih dalam kelopak hidup ini seolah berlalu pergi ketika jemari itu menyentuh rongga rongga kulit.

"Aku tak mahu berjanji..."

"Jangan...jangan kita berjanji, kelak takut tak terpatri", kataku separuh jalan dipintasnya laju seolah menahan trauma yang menghantui diri.

"Kasih, tuturku usah kau ragui", mataku sudah kutambat dalam dalam terus ke dasar hatinya.

Benar, beberapa minggu dan bulan lagi, aku melangkah ke babak baru. Kadangkala, hati kecil berbisik bimbang, tertanya tanya tentang keikhlasan namun apakah harus ku bawa segala ini sepanjang menjalani kehidupan dengannya?

Cinta ini, tiada siapa memaksa tiada siapa menduga. Cinta ini kalau bisa di tanyakan tentang kejujuran, pasti tiada jawapan yang hadir namun cinta ini dilahirkan tatkala Mr Hunny dan aku bukan dalam alam misteri. Mana mungkin cinta terjalin beberapa waktu bertentang mata, mana mungkin keputusan mengkahiri alam remaja bisa diputuskan kurang dari tempoh mengenali diri masing masing.

Apa pun warna cinta itu, aku dan Mr Hunny sudah benar benar sedia. Hapuskan segala keperitan dan campakkan belai cinta dalam hatiku, maka akan aku tanamkan benih kasih sesuci Zulaikha yang tak bisa kau berpaling.

Jika kau takut pada janji, aku tak mahu ada janji dalam cinta. Sebaliknya akanku jahitkan lembaran kata kataku dan kusarungkan pada dingin kasihmu yang lalu, moga moga ia tidak lagi menggigil mencari belaian insan yang bergelar isteri dan ibu pada anakmu. InsyaALLAH.


1 comment:

azarazara said...
This comment has been removed by the author.