Friday, November 16, 2007

~~Ngomelan Aku Dalam Irama Tangomu [3]~~

Jika semalam kita bicara tentang kesepian yang mengikat ulu hati, biarkan hari ini kita ngomong tentang kasih suci. Apa aku ini terbuai dengan angan sendiri atau sememangnya angin cinta mula mengikat denyut nadi?

Entahkan esok aku tak bisa mendakap erti kasih apa bisa hari ini mampu menjadi tugu kebesaran erti rindu? Aku dahagakan segalanya tika ini. Tekak kering melontar aku ke padang pasir, belajar mencari seteguk air membasahi kontang hati. Apa bicara mampu menjadi realiti atau imaginasi yang entah bukan untukku.

Biarkan aku terus dengan lamunan, bukan tentu aku bisa mencuit realiti. Namun aku mampu tersenyum atas kotak hati yang berdetik melagukan keabadian cinta. Siapa mampu menjadi tukang tilik untuk bahagia? Mari kepadaku jika kau bisa menjanjikan segalanya. Usah kau mimpi untuk mentafsir kudrat takdir, maka aku akan terus di sini membuai fantasi.

Jika senyumku penyembuh lara, kau harus biar aku terus tersenyum untuk mereka, mereka yang impikan ukiran senyum semanis madu. Apa kau tak tahu khasiat madu? Andai kau mengerti tentunya kau izinkan aku terus melempar senyum.

Jangan sekali kau menamparku dari lamunan, aku tak bisa. Kau cuba menggagalkan kuntum hati yang berduri menagih kasih. Apa kau sekejam itu? Sukar benar mencari kepastian dalam perjuangan hati, kau tentu pernah tewas menggadai lelahmu kerna cinta.

Bukan itu yang aku dan kau mahu, berat benar mengatur langkah. Aku mahu terus begini, meneguk sesuci kasih yang kau beri biar sesaat ku dakap jua. Aku benci semalam, kerna tinggalkan aku sendirian sehingga terkapai mencari landasan esok. Nyah erti kecewa datanglah bahagia.

Doaku sentiasa menjadi harapan kita, kau teruskan menjadi pari pari dan aku bintang di langit. Biar kau mengejarku sedang aku menanti penuh sinar. Cukup, usah kita terlalu banyak bicara. Kita harus lantas mengalun buih laut agar kukuh merentasi samudera. Kau tentu tak mahu karam dalam pelayaranmu begitu juga aku.

Ilusimu aku halusinasi, aku jua turut begitu dalam mengejar sejuta impian. Esok kita menari tango lagi ya? Agar langkah tidak sumbang dan kita rancak dibuai rentak padat hingga rebah dipentas tari.

Semakin cuba aku melontar jauh, semakin dekat auranya menghampiriku. Hukum karma!


No comments: