~~MALAYSIA BOLEH?~~
Industri muzik Malaysia semakin tenat hari ini, isu yang merapu dan membosankan sering meniti dada dada majalah. Perkembangan perjalanan karier artis Malaysia suram sesuram langit petang yang membingungkan. Populariti dan bakat semakin tidak seimbang akhir akhir ini malah lebih menyedihkan apabila isu peribadi menjadi tajuk utama bagi mempromosikan diri. Demam rancangan Akademi Fantasia tak surut surut setiap kali ianya ditayangkan walhal setiap tahun penurunan dari faktor bakat semakin ketara. Sesungguhnya saya sendiri dah mula bosan mengikuti perkembangan industri muzik tanah air hari ini.
Membuak buak rasa meluat di hati ini apabila membaca isu Mawi yang tak henti menceritakan tentang keretakan hubungan pertunangannya dengan gadis dari Johor, di tambah pula dengan cerita yang membibitkan rasa meluat di hati saya terhadap kisah rahsia kelas atasan Siti Nurhaliza berhubung ura ura perkahwinannya dengan Dato 'K'. Tahap kritikal yang saya rasakan pula bila terbaca isu Salem yang tak berpuas hati dengan Adlin Aman Ramli berkaitan isu 'mulut lancang' yang tercetus ketika berlangsungnya Konsert Akademi Fantasia di munggu yang ke 4. Ketiga tiga isu ini sesungguhnya mengaibkan diri saya sendiri sebagai warganegara Malaysia yang menonton perilaku rakyat Malaysia yang suka mengambil tahu dan ingin tahu peribadi orang lain. Bukankah lebih molek jika kita mengambil tahu perkara yang tidak berhubung dengan kisah peribadi mereka, bukan apa, kuranglah dosa kering setiap kali kita mula berdiskusi dengan rakan rakan kita mengenai industri muzik, bukan industri glamour.
Sudah sudahlah mencari keaiban orang, kita seharusnya cermin diri sendiri sebelum mengukur baju di badan orang lain. Perkara putus tunang, berkahwin dengan kerabat dan kutuk mengutuk ini bukan perkara baru dalam masyarakat kita, untuk apa kita rasa teruja bila ia melibatkan rakan-rakan artis? Mereka juga insan biasa yang tak lari dari melakukan kesilapan, bukankah itu asam garam kehidupan? Sampai bila kita mahu membeli majalah dan membaca suratkhabar semata mata untuk menambahkan pengetahuan mengenai pengaiban orang lain? Ubahlah sikap kita untuk menjadi orang yang lebih berilmu dan mampu menilai sesuatu subjek dengan rasional bukan berpandukan gosip liar yang entah di mana kebenaran dan kesilapannya.
Industri muzik sendiri sesungguhnya melemaskan saya, bertungkus lumus dan berkempen kononnya mengurangkan lanun cetak rompak dan menaikkan taraf artis ke peringkat antarabangsa semuanya sekadar tin kosong sahaja. Setiap hari, masih lagi bersepah mereka yang menghasil dan menjual produk kotor ini. Sakit mata ini bila melihat industri kita sekadar usaha tanpa tindakan.
Di luar sana, banyak mulut yang mencemuh industri muzik kita, bukan itu sahaja ada yang memperkotak katikkan bakat artis kita yang pada mata saya hebat. Mengapa ini semua terjadi? Mengapa kita sanggup menjadi rakyat yang sanggup di cemuh? Saya hilang kata kata untuk mempertahankan industri kita bila mulut dan mata yang melihat serta mendengar terus memandang yang negatif dahulu, positif yang kurang dari 50 peratus terus membungkam kata kata saya. Untuk apa menegakkan benang yang basah, diam tak bererti takut dan bertarung tak bererti berani. Sebaiknya saya kaji dahulu mengapa kita sanggup menjadi pak tunggul yang membutakan mata menulikan telinga menelan cemuhan mereka itu.
Entahlah, hati saya sempit dan sesak bila melihat ke manakah arahnya nasib artis dan industri muzik tempatan kita. Bakat yang seharusnya dijual ditutupi dengan cerita cerita peribadi yang memualkan. Cukuplah, cukup mengambil tahu peribadi orang lain dan berilah ruang pada artis kita mencari rezeki dalam bidang ini dengan mempertontonkan bakat yang mereka ada. Mereka tidak akan kenyang perut dengan produk dari lanun yang anda perolehi. Buktikanlah kita ini warganegara yang bukan 'ASAL BOLEH' di mata rakyat luar, slogan 'MALYSIA BOLEH' seharusnya menjadi kata kata perangsang semangat kita bukan kata kata yang membuatkan ruang untuk warga asing mencemuh kita.
Saya tetap saya, teguh mencintai bangsa, budaya dan negara sendiri tetapi jika saya hanya berdiri sendirian melontarkan azam dan semangat untuk menaikkan martabat negara di mata dunia, lumpuhnya bakal mengundang di separuh jalan. Janganalah terlalu terikat dengan budaya yang mana kononnya kita ini negara sopan dan susila, namun di sebaliknya mereka di luar sana telah menyimpulkan rakyat kita di antara yang kurang adab dan sopannya.
Bukalah mata hati, renung sedalamnya apa yang kita mahu lakukan untuk generasi akan datang? Industri muzik kita semakin tenat, yang kaya bukan bangsa kita. Orang kita nasi dah disuapkan ke dalam mulut pun masih malas untuk mengunyahnya. Hentikanlah menjaga keaiban dan perihal orang lantas kita menyelami bagaimana untuk memajukan bangsa dan industri sendiri bukan untuk zaman yang akan datang tapi mulai dari saat ini. Buktikan kita bukan ASAL BOLEH tetapi kita ini rakyat yang BOLEH memikul dan memartabatkan negara ke antarabangsa. Jauh perjalanan ini bukan jarak pengukur yang membantutkan usaha ke destinasi kita...Berdiri kita biar sama teguh, beban yang kita tanggung biar sama dipikul, peluh yang menitis biar seiring irama lenguhnya.
Maruah kita paku, martabat kita patri, harga diri kita junjung, budi pekerti biar di sanjung!
No comments:
Post a Comment