Tuesday, September 05, 2006




GUBRA~~ORKED~~CEMAR BUDAYA???~~

Hati ini menarik narik untuk meluahkan apa yang terbuku di hati...Benar kata pepatah, berfikir jangan diturutkan rasa hati yang seringnya memandu ke arah membuta tuli. Hampr seminggu lamanya memendam rasa di atas ketidak puasan cara masyarakat dan golongan artis menghukum 'orked' ketika memberikan ucapan ringkas sempena kemengannya meraih pelakon wanita terbaik menerusi festival filem 19 baru baru ini.

Mencari kesilapan orang serta menghukumnya membuta tuli memang lumrah manusia di muka bumi ini, tidk hairanlah mengapa isu kecil di bawa sehingga mengganggu gugat sensitiviti kabinet menteri kerajaan. Walhal isu negara yang lebih penting sanggup di ketepikan dan digantikan dengan hukuman pada anak muda yang baru diiktraf sebagai pelakon wanita terbaik. Pengertian bahasa Inggeris yang digunakan ketika menyampaikan ucapan ringkas tidak dilihat dari mata halus sebaliknya hukuman terus dijatuhkan dengan mengatakan beliau tidak menghormati bangsa dan bahasa. Ini yang sering menjadi masalah bagi rakyat kita hari ini, bahasa dan bangsa diagungkan lebih dari menilai keperibadian seseorang itu. Bagaimana masyarakat mahu bergerak lebih maju dalam mengusai bahasa Inggeris jika pengertiannya sendiri tidak dinilai dengan cara rasional?

"I look stupid when I speak Malay" bukan bererti beliau tidak menghormati mahupun menghina Bahasa ibunda kita, cuma mungkin beliau merasakan tidak begitu selesa jika bertutur dalam bahasa melayu pasar di majlis sedemikian. Cubalah kita mengerti dan memahami apa yang beliau rasai. Gemuruh yang melanda hati mungkin akan mengucar kacirkan bahasa ibunda jika tidak dituturkan dalam susunan yang betul di saat itu dan itu lebih memalukan. Keselesaan untuk bertutur biarlah beliau sendiri yang pilih, takkan itu pun kita harus tentukan......Sebaliknya kita harus mencontohi beliau kerana berani dan jujur pada diri sendiri. Seharusnya kita menasihati bukan menghukum sehingga ada pihak yang ingin menarik balik kemenangan beliau dalam usaha mengangkat kualiti lakonan Malaysia.

Sedikit sebanyak mengenai filem yang beliau bintangi, GUBRA, bukan mendapat pujian dan sokongan ramai malah hentaman demi hentaman diberikan. Tayangan di pawagam yang tidak mencecah beberapa minggu malah jualan vcd yang juga tidak dipasarkan sudah cukup memberi gambaran bahawa ramai pihak yang menghukum filem tersebut boleh meruntuhkan akhlak dan imej bangsa. Bagaimana kita ingin berkembang dan maju jika hama yang berterbangan di anggap gajah? Kononnya aksi berkemban tidak wajar bagi masyarakat kita yang mencintai kesopanan tetapi tidak pula ada sesiapa yang pertikaikan jika rata rata artis yang hadir di setiap majlis memakai pakaian ala kemban? Ini mungkin boleh menaikkan dan meningkatkan martabat melayu dan budaya agaknya di pemikiran mereka.....Belum lagi isu realiti masyarakat yang semakin hanyut dengan budaya barat....dari mana sumber ini diperolehi? Dari filem dan media jugakan? Walaupun berbeza bangsa dan budaya, tetapi tidakkah mesej yang diterima sama hebatnya dengan filem dalam negara?

Sudahlah, janganlah asyik mencari kesilapan orang lain. Berdiri di hadapan cermin dan bercakaplah apa yang anda tidak puas hati, pantulannya akan melibas diri sendiri bukan? Begitulah senario hari ini, tak perlu kita mendabik dada menghukum sesuka hati walhal segala kesopanan dan keperibadian diri datangnya dari pupukan keluarga dan masyarakat. Jika kita mahu lahirkan masyarakat yang punya nilai diri, paksilah pada kebenaran yang bukan berat di bahu kiri mahupun kanan.

Buat 'orked', syabas kerana berjaya membuka mata orang ramai betapa kita ini sebenarnya hanya hidup dalam lakonan kita sendiri dan mengutuk lakonan orang lain. Jadikan cemuhan dan rintangan yang dilalui sebagai ubat antibiotik yang hanya sekadar mempetahankan sistem imunisasi diri. Abaikan pemikiran cetek mereka dan teruslah berjuang sebagai anak seni yang kuat menghadapi rintangan dunia pura pura itu.

Hanya mereka yang tinggi bahasa Inggeris dan Melayunya sahaja dapat memahami erti kata sebenar maksud yang tersurat di sebalik kata-kata anda. Bak kata pepatah, kita tidak mati dek kata orang lain......

No comments: