Saat waktu itu terlalu membutuhkan ruang sempit untuk aku menulis, tika itu jualah idea datang melimpah seperti air terjun dari tingkat tujuh.
Salam buat semua yang tertanya-tanya dan sering menghantar pertanyaan di kotak email Nini, ke manakah menghilang tanpa cerita dan berita. Salam ini khas buat kalian, dan seringnya Nini khabarkan bahawa kesempitan waktu itulah antara punca ruang maya ini sepi seperti dilanggar garuda.
Ingin benar aku kongsikan kisah 5 bulan si kecil dalam perut boyot ini. Alhamdulillah segalanya nampak penuh dengan keredhaan dan baik-baik belaka. Doktor Fatima, yang alis mukanya tampak campuran Melayu Mamak dan fasih berbahasa Inggeris tersenyum bila memberitahu padaku, anak kecil ini seperti tidak mahu sembunyi-sembunyi tentang jantinanya. Setiap kali mesin 'ultrasound' dimajukan ke perutku, setiap kali itulah anak ini tak segan silu mempamirkan jantinanya. Lucu sekali.
Hati ibu mana yang tidak pernah girang bila doktor mengesahkan segalanya nampak sempurna dan baik. Jantung yang berdegup 140bps itu terus kencang mengacah diriku, aku jadi tidak sabar untuk melihat raut wajahnya. Aku gementar bila harus menghitung hari, bulan dan saat.
Sekarang ini, setiap pergerakkanya aku rasai. Kadangkala sakit atas kelasakkannya, ada masanya seperti tidak terasa akan tunjalannya ke liang-liang perutku. Indahnya ciptaan Tuhan, seorang insan yang bernyawa kini bergerak dalam perutku dan berkongsi segala makanan dan perasaanku. Aku usung ke mana sahaja, tidak tinggal walau sesaat. Aku mahu terus bersamanya dan tidak tertahan akan rindu untuk lihat wajahnya.
Kini selera sudah kembali normal, walau tidak seghairah seperti selalu namun bolehlah merasai pahit, manis, masin makanan itu. Ada juga saki baki elergi ketika mengandung, pelik sungguh citarasa ketika ini. Aku mula tidak menyentuh air sejuk sekerap biasa, minuman harianku hanyalah air panas, tidak suam dan sejuk. Rasa ingin muntah bila melihatkan air berais, sedang sebelum berbadan dua, itulah kegemaranku.
Aku jadi buntu bila air MILO dan ROTI kering kegemaranku tidak lagi boleh disentuh apatah lagi untuk dimamah. Bosan, setiap kali cuba menelan ia seperti mengunyah hempedu yang muda. Pahit dan meloyakan.
Aku bicara pada anak, apa mungkin dia tidak menggemarinya? Hey si comel, ini perut ibu, ini tekak ibu, makanlah bersama apa yang ibu inginkan. Nanti dah keluar, pilihlah makananmu sendiri. Aku ngomel bersamanya sambil disusuli tawa-tawa kecil.
Kini perutku tidak boleh lagi disorok seperti dulu. Baju t-shirt sudah kulipat rapi dan asingkannya. Ia terlalu kecil untuk menutupi keboyotanku. Aku mula menggeledah baju-baju suamiku. Sesuai pada citarasaku, muat untuk si mungil ini ditutupi maka itulah pakaian harianku. Kewangan juga bertambah bilamana harus membeli baju dan seluar baru.
Aku nikmati setiap saat, minit dan hari yang berlalu dengan zikir dan doa kepada Illahi. Aku hanya bermohon agar anak ini dilindungi Illahi serta dilahirkan dengan penuh rasa keagungan. Setiap solatku pastinya diakhiri dengan pohonan agar Allah swt menjadikan dia anak yang soleh dan taat kepada ibu,bapa, agama dan keluarganya. Kalau tidak terlibat dalam perjuangan seperti aku pun tak mengapa, asalkan dia bisa tahu apa itu Kebenaran, Kesaksamaan, Penindasan dan Keadilan di atas bumi yang sementara ini.
Anakku, hanya 3 bulan lebih lagi kau menghuni perutku ini. Selepas ini, segala perjalananmu adalah hala tujumu sendiri. Pastinya ibu rindu untuk membawamu tanpa meninggalkan walau sesaat. Kehadiranmu sayang, telah membentuk kelengkapan sempurna bagi ibu dan ayah. Hadirmu bukan untuk dibanggga semata, sebaliknya membawa keagungan Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.
Kau nikmatilah saat ini di dalam kantung kecilku. Membesarlah dengan penuh kecerdasan, bantulah ibu untuk mempermudahkan perjalanan 3 bulan ini yang bakal ditempuh dengan dugaan. Hanya bersamamu, ibu tenang dan lena walau ada ketikanya tendanganmu dalam kantung air itu buatkan ibu terjaga dan terkejut. Namun ibu gembira, kerna ibu sedar kamu itu sedang bermain dan bergembira.
Ibu nantikan kehadiranmu beberapa waktu sahaja lagi dari saat ini. Marilah bersama kita terus berdoa pada Penciptamu agar melindungi dan memberikan zat-zat kesihatan dalam tubuhmu. Mummy & Daddy tidak sabar menanti tikanya.
No comments:
Post a Comment