Wednesday, January 13, 2010

Impian Si kecil

Senja itu buatkan aku menerawang, mengimbas setiap detik yang pernah aku lalui. Terkadang aku semakin takut bila memikirkan apakah esok pasti ada untuk aku terus bernafas...

Aku mahu terus rasakan degup jantung ini rancak mengepam, walau sesekali doktor mengatakan ia punya tekanan yang agak rendah, ahhh aku sudah biasa di bilang begitu "tekanan darah awak ni selalu rendah, 80/60 dan terkadang 80/50. kena makan banyak benda menambahkan darah".

Mahu sahaja aku bidas kata doktor "Saya makan darah orang boleh tak? tak pun cekik darah orang, kan mudah doktor", nasib jugalah doktor itu kini menjadi sahabatku dan kalau tidak mungkin sudah lama dia fikirkan aku gila.

Semakin lewat senja melabuhkan sauhnya, aku semakin rasa dunia ini tidak punya nyawa yang panjang. Aku kepingin melihat anak anak kecil yang berlarian di padang usang ini menikmati hari dewasanya.

Tersentak bila terkenang Al-Farysh yang satu ketika dahulu tidak pandai menitip kata namun kini kami seisi keluarga harus menggunakan bahasa isyarat jika mahu berkata kata sesuatu. Akalnya panjang sepanjang mata pancing yang bisa menyelam lautan dalam.

Aku mahu hitung saat bahagia dia menjangkau dewasa dan terusan mendengar ucapkata 'mummy' darinya. Benar, luluh satu persatu keringat penat dan amarah di luar sana tatkala dia mula baitkan senyuman dan memanggilku berkali kali. Dakapannya antara penawar lelahan harianku.

Namun bila dinihari menjelma, aku ketakutan apa akan adakah ruang waktu sempurna buatnya. Anak kecil yang ditatang umpama minyak yang penuh harus meredah belukar duri, merempuh ombak pantai yang tinggi hanya untuk menjadi pejuang bangsa di hari depan.

Kekalutan mula menyempit ruang otakku. Apakah esok untuk dia bertarung sudah aku persiapkan perisainya? Melihat kecelakaan yang dibina pemimpin hari ini buatkan aku semakin gusar.

Sebelum malam mematikan ingatanku, aku hanya mampu berdoa agar ruang kecapi bahagia tidak direngut dalam hanya sekelip mata. Anak anak kecil ini perlukan padang yang luas untuk bermain layang layang, menendang bola bersama rakan rakan dan berlarian di atas rumput hijau hanya untuk mengenali tanah bangsanya. Usahlah diragut kesejahteraan itu.





No comments: