Tuesday, September 29, 2009

~~Kanda mahu tahu?~~

Kalau kanda mahu tahu
Dinda gembira menjadi suri kanda
Dinda tak mampu lahirkan senyum girang
Dinda gugup bilamana senyum ini mungkin salah tafsirnya
Antara ikhlas atau paksa

Kalau kanda mahu jengah
Dinda hanya ada kanda
Di sana, di sini, di atas, di bawah, di belakang, di hadapan
Semua wajah kanda

Tahun ini indah buat dinda
Tahun ini dinda bergelar isteri
Tahun ini dinda berpuasa dan bersahur bersama kanda
Tahun ini kanda belikan baju raya dinda
Tahun ini kanda bayarkan zakat dinda
Tahun ini dinda pulang ke kampung kanda
Jauh dan jenuh
Perjalanan terhenjut henjut
Berasak dengan lautan kereta terbentang
Panasnya usah cerita

Kanda tak bicara sepatah
Kanda pinta dinda rehat dan tidur
Kanda kata sikit lagi nak tiba
Kanda usap kepala dinda
Kanda tak rungut tak keluh
Kanda terus senyum dan kucup dinda
Walau dinda tahu kanda baran dengan sesak kereta di jalanan

Kalau kanda mahu tahu
Lautan api pun akan dinda temani kanda
Langit ke tujuh dinda turuti
Ombak bergulung jua dinda rentasi
Agar kanda di hadapan dinda
Terus utuh berikan senyuman

Kalau kanda mahu tahu
Dinda rasa rindu di pagi raya
Beberapa tahun lalu dinda jauh di rantau
Tak sempat beraya bersama keluarga
Sekarang dinda akan terus jadi perantau
Untuk pulang beraya bersama kanda
Tak apalah walau berselang seli
Tak apalah walau meredah sesak dinihari
Tak apalah walau suara mama tiada di cuping telinga
Kerna dinda tahu
Papa mama pasti gembira dengar kanda penuhi setiap impian dinda
Papa mama pasti lapang dada bila melihat senyuman terukir di bibir dinda

Kalau kanda mahu tahu
Dinda sering alpa melihat senyuman kanda
Dinda kalut menatap wajah kanda

Kalau dinda tiada
Kalau tuhan ambil dinda atau kanda
Kalau tuhan mahu kita terus kekal di alam abadi
Dinda mahu kanda tahu
Dinda mahu kanda benar benar tahu
Dinda tak mampu bayar kasih sayang kanda
Dinda tak mampu bayar kesabaran kanda
Dinda tak mampu taruhkan apa pun terhadap kesetiaan kanda


Belum terlambat dinda ucapkan Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin buat kanda. Sesungguhnya lidah yang tidak bertulang ini sering menghiris hati kanda dengan ketelanjuran tiada sengaja.

Ampun dinda minta, maaf dinda harapkan agar keberkatan akan terus menyirami cinta kita.

2 comments:

Unknown said...

Indahnya...hampir menangis dibuatmu..

Unknown said...

Indahnya bait putis...
Hampir mengalir air mata...