Sunday, January 04, 2009

||corat coret tahun baru||

Banyak yang ingin dikongsikan bersama, terlalu banyak sehingga tak tercoret setiap bait kata. Aku ingin menjadi seorang penulis yang baik lagi berdisiplin namun kesuntukkan waktu dan kesibukkan kerja sering menyeret aku ke lurah malas untuk melatih diri mengemas kini kisah hidupku di alam maya.

1. Ucapan Selamat Tahun Baru 2009

Untuk setahun lagi, selagi nafas terus berhembus, walau angin bayu mahupun angin lintang, aku ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2009 buat semua ahli keluarga tercinta, teman teman tersayang, kekasih hati, umat Adam dan seluruh penghuni muka bumi, sama ada nyata atau tidak.

Kehadiran 2009 ini diiringi dengan doa agar terus dipanjangkan usia, memperoleh kesihatan yang baik baik belaka, dimurahkan rezeki dan dililit kejayaan yang diidamkan. 365 hari bukan jangka masa yang singkat, ia bakal disusuli dengan kenangan pahit dan manis. Kita mencoraknya namun ALLAH swt menentukan. Aku pimpin kalian dengan doa dan semangat untuk mencernakan nafas baru mengharungi getir 2009.

2. Salam Hari Lahir buat Papa

Pesanan ini muncul seketika saat detik 2 Januari 2009 mengimbas. Untukmu papa, aku hanya mampu lafaskan butiran ini.

"Papa, aku kenal erti kasih dan rindu. Denganmu, aku turut diajar erti cinta dan kecewa. Lahirnya aku ke muka bumi atas cinta yang disebatikan dengan kuntuman sayang dari mama. Kau lelaki istimewa, teramat istimewa hingga tak terhurai dek kata kata. Di hari lahirmu yang ke 53 ini, sesungguhnya aku hanya mahu mendoakan kesejahteraanmu. Moga Allah swt memanjangkan usia papa untuk terus limpahkan kasih sayang buat kami semua. Di hari lahirmu juga, aku tadahkan tangan memohon pada Illahi agar segala cita citamu kian tercapai.

Selamat hari lahir, aku pingin sekali terus menerus menyambut hari kelahiranmu dengan penuh gemilang. Hanya pada DIA tempatku memohon agar kasih sayang ini terus kekal hingga ke syurga. Semoga panjang umurmu, murah rezeki yang bakal dilimpahkan, perolehilah kesihatan dan kesejahteraan selagi nyawa di kandung badan. Selagi nafas ini terus menjalankan tugasnya, aku tak akan pernah berhenti mendoakanmu. SALAM HARI LAHIR PAPA! I LOVE YOU MORE THAN YOU DO"

3. AZAM TAHUN BARU.

Bila bicara tentang azam, banyak benar impian untuk aku kecapi. Setiap tahun aku pasti bawa bersama pada azam azam yang tidak bisa kudakapi selama ini. Pentas 2009 mula untuk menari,melakonkan babak babaknya dan menyanyi dengan suara sendu dan tawa yang bakal dilalui.

Azam itu impian, impian itu cita cita, cita cita itu kesungguhan, nah maka itu aku harus berusaha untuk kecapi segalanya agar tidak ada rasa terkilan akan semangat yang tidak dipacu.

Kulampirkan apa azam yang telah aku tanamkan sebelum detik 2009, Januari 1 bermula :

a) Membina sebuah keluarga yang paling bahagia di samping menabur bibit cinta bersama Mr Kekasih. Aku mahu pastikan dia bahagia di sampingku, menerajui istana kasih dengan tenang dan penuh belai mesra.

b) Menyambung kembali impian melanjutkan pelajaran yang terkandas dek isu persiapan gerbang perkahwinan. Sudah aku aturkan masa untuk kembali bergelar pelajar, namun Mr Kekasih merombak impianku dan aku tewas dalam manis senyumnya hingga menyeretku berbicara alam rumah tangga. 2009 pasti kembalikan semula impian untukku menyambung lagi segulung Ijazah.

c) Menurunkan berat badan dan meragut kembali impian untuk memiliki sesusuk tubuh ala ala Jeniffer Lopez. Walau ia sekadar impian semata, namun tak mustahil untuk aku merangkulnya. Ia adalah tekad dan nekad. Aku pastikan ia tidak hanya menjadi angan angan belaka.

d) Mengumpul wang bersama Mr Kekasih untuk mengerjakan umrah. Memandangkan tambang ke tanah suci mencecah ribuan ringgit, ia bakal menjadi pencetus keazaman diiringi doa untuk menggapainya. Aku benar benar ditiup seru untuk menjejakkan kaki ke sana. InsyaALLAH.

e) Kembali ke Kota London biarpun seketika, itulah impianku. Aku rindu dengan unggas yang menyanyi setiap kali melewati padang Hyde Park mahupun Kensington Garden. Aku rindu akan siulan angin dingin yang menyeret aku ke alam damai. Aku pingin sekali menyarung jaket jaket baldu dan gebu ke badanku dan utamanya, aku rindu benar dengan empat musim yang melewati hari hari sang perantau. Aku rindu gugusan air kepul bernama 'snow'.

f) Memastikan perjuangan Anwar Ibrahim Club bukan sekadar anak emas Datuk Seri Anwar Ibrahim. AIC pelapis pejuang tegar, bukan sekadar menumpaskan UMNO tapi membuka minda anak muda untuk tangkas dan pantas menggunakan minda ketiga melihat kebobrokkan penidas yang semakin bermaharajalela. 2009 bakal membuktikan AIC mampu berdiri untuk mengangkat suara suara tertindas yang selama ini tersepit dan terselit di balik tempurung.

g) Belajar memasak makanan kegemaran Mr Kekasih. Kami mahu lebih kerap makan di rumah berbanding air tangan mamak atau makcik dari Thailand.

h) Melancong ke negeri negeri berpulau, kerna aku mahu menjadi orang pulau. Dalam agenda selepas berkahwin, kami akan menghabiskan masa untuk berbulan madu selama lebih kurang 2 tahun sebelum merancang punyai cahaya mata.

i) Membawa satu imej baru pada diri. Mungkin memotong rambut lebih kerap dari asyik dihimpit dengan fesyen 'long hair' atau menutup keseluruhan rambut? ermmmm.

j) Membuka perniagaan sendiri. Walaupun dalam perancangan, namun aku akan pastikan sekurang kurangnya kertas kerja untuk perniagaan aku siap dalam tahun 2009.

Itulah di antara impian yang aku tanamkan untuk mengecapinya bersama bayu bahagia 2009. InsyaALLAH semangat ini yakin bahawa impian itu bisa tercapai. Doakan aku juga ya teman.


3 comments:

CITRAMAYA said...

Aku doakan segala apa yang di rancang akan tercapai. Moga bahagia bersama mu teman.
Moga kau menjadi isteri yang terbaik untuk bakal suami mu kelak dan menempuh alam yang baru itu dengan penuh kesabaran.

asma said...

Selamat padamu pada tahun baru 2009. Semoga ilham jadi kejayaan dan impian jadi kenyataan..

Marini_Kamal said...

terima kasih buat doa tulus dari saudari citra maya. kasihmu teman, tidak mampu saya bayar dengan wang ringgit.

asma kekasih... semoga saat saat bahagia bisa dikecapi bersama