Friday, October 10, 2008

~~Kisah Kasih Kekasih~~

Atas desakan dan permintaan ramai teman teman yang aku akui mereka adalah seistimewa keluargaku sendiri, aku tunaikan hajat mereka untuk melihat sedikit cebisan potret yang dirakamkan ketika majlis pertunangan aku berlangsung beberapa hari lepas.

Ciuman kasih di hari pertama menjadi tunanganmu

Jika mampu, mahu sahaja aku sentiasa rebahkan beban kepala ini di dadamu.

Alhamdulillah, atas doa dan restu dari kedua ibu bapa ku dan Mr Kekasih, kami kini melangkaui setapak ke hadapan lagi. Status 'tunang orang' bukan menyekat dan menghalang apa jua aktiviti kami, malah ia lebih bermakna kerana kami dapat berkongsi banyak saat saat indah berdua.

Teman teman ada mengusik, sudahkah ku bersedia meninggalkan alam remaja dan bujang? Apa sudahkah aku benar benar mengenali hati budinya untuk dijadikan pasangan hidup ke akhir hayat? Ada juga soalan sinis ditepiskan kepadaku tentang kejujuran hati yang baru saja kami kenali apa mungkin ia sekadar bunga bunga sementara?

Aku tidak membidas sebarang pertanyaan, aku tidak mahu menjawab apa jua persoalan yang berlegar di benak mereka. Seringnya aku bertanya pada diri, ku angkat tangan menadah ke hadrat Illahi, restu papa dan mama menjadi benteng perhubungan ini. Aku lebih tenang menganggap segalanya ini telah ditakdirkan dan tertulis dalam kitab hidup Mr Kekasih dan juga aku.

Mengenali Mr Kekasih lewat 4 bulan setengah yang lalu membuatkan ramai yang ternganga tika aku menceritakan bahawa tempoh perkenalan kami hanya dua hari sebelum Mr Kekasih melamar aku untuk menjadi teman hidupnya. Sepantas itu?

Sepantas itu pernah aku tanyakan pada Mr Kekasih, berapa lama untuk dia mengambil masa mencintaiku? hanya senyum manis yang terukir pada bibinya. Di serang dengan pertanyaan yang sama padaku, Mr Kekasih bertanyakan berapa lama untuk aku jatuh cinta padanya, aku sempat katakan bahawa ia mungkin sesaat jika gerak hati pintas menggetarkan alunannya.

Rentetan dari 2 hari bercinta terus menjadi kekasih lantas keluarganya datang merisik 2 bulan selepas tempoh itu dan mengambil masa 2 bulan mengaturkan pertunangan. Tempoh masa itulah aku terus membina segala rasa kasih, rasa cinta dan bersedia menerima hakikat bahawa Allah swt ciptakan dia untuk menjadi suamiku.

Pernah kami suarakan bingkis hati nakal, tidak terlalu pantaskah keputusan yang kita noktahkan ini?

"Jika tempoh waktu yang sayang ukur kejujuran hati ini, ia tidak membina apa apa sebetulnya. Percintaan yang bertahun lamanya bisa runtuh dan roboh, hati ini tidak lagi mahu menganjak masa mengukur kasih sayang kita. Cukup hati ini katakan kau sudah utuh bertapak di dasar hatiku", Mr Kekasih menghembus lembut bait katanya ke cuping telingaku.

"Katamu itu membuatkan aku tidak mahu lagi melihat apa itu kesan hitam dalam hidup. Semuanya sudah kukumpul dan ku pasak jauh dari bumi. Aku hanya mahu menjadi seorang isteri yang bisa mengasihimu dan menjadikan hari esokmu lebih baik dari hari ini", bila mata bertentang bibirku mula tuturkan semuanya yang tertulis di hati,

Cerita tentang kami...

Aku dan Mr Kekasih tidak ada minat yang sama. Percaya atau tidak, aku mula akur bahawa tidak perlu mencari sealiran nada namun yang penting adalah menghormati pendirian dan berkongsinya dengan penuh kejujuran.

Mr Kekasih berhobikan kereta, pendek kata dalam mindanya tak akan tinggal sesaat pun mengenai aktiviti keretanya. Aku seronok mendengar cerita tentang automobil setiap kali dia cuba berkongsi minatnya. Sumpah aku tak faham sebenarnya (hehehe) tapi bibir yang beralun bercerita itu membuatkan aku asyik untuk menatap dan mendengarnya. Itu sudah lebih baik dari aku mengerti tentang apa yang mahu dikongsikan.

Aku pula berhobikan pena dan kertas, mengemaskini berita politik negara. Nun jauh di hati kecilnya, aku tahu dia tidak berminat mengambil tahu apa yang aku bingkiskan. Seperti mana aku tak mahu lepas dari memandang bibirnya, begitu juga dengannya, seolah tidak mahu aku terlepas dari pandangan biarpun sesaat, ke mana jua aku pergi semuanya harus dipastikan bahawa aku ini selamat dan dilindungi.

Mr Kekasih tidak makan ikan dan udang sebaliknya aku ini diketegorikan hantu makanan laut. Sedangkan aku tidak gemar berlaukkan ayam dan daging, sebaliknya pula buat Mr Kekasih. Dia amat meminati daging. Namun begitu, isu makan tidak langsung menjadikan kami tidak sependapat. Mr Kekasih sering mengajak aku mencuba makanan laut yang enak enak sambil menghirup tom yam dan meratah ikan walaupun dia hanya akan menikmati nasi dan daging masak kunyit.

Begitulah resam kami, minat dan kegemaran bukan menjadi faktor utama mengapa dia harus menjadi calon teman hidupku, lantas apa yang menjadikan ia lebih bermakna adalah bagaimana untuk melihat pasangan kita bahagia dan sebagai kekasih, kita seharusnya menghormati setiap pendirian dan pandangannya.

Kami sering gunakan pendekatan "agree to disagree", belajar untuk menerima tapi tidak mengambil apa apa dari bait pandangannya jika ia bercanggah dari pendirian kita.

Akhirnya, segala ketakutan dan persoalan mereka mereka yang buntu melihat kelajuan cinta kami ini terkunci bicara bila aku mula menzahirkan apa yang tersirat yang tidak bisa kalian lihat. Usah duga usia percintaan kami, kerna kami mahu terus dilamun cinta biar 1000 tahun lagi menjelma.

Percayalah bahawa Allah swt akan hadirkan pelangi selepas mentari dan titis titis gerimis menampar bumi. Di kala itu, indahnya hari harimu tak bisa lagi ditandingi kisah kenangan yang lalu.

Semalam bersama memori itu usah di bawa walau setapak hadir dalam cinta hari ini. Ia sepatutnya sudah jauh ditinggalkan ketika kalian menerima lamaran ikhlas cinta dari si dia. Percayalah......

Bersama kasih dan kekasih hati

Adik adik dan kakakku bersama Mr Kekasih

Majlis selesai dan sesi bergambar bermula

Kami hanya memohon agar kasih ini terus direstui

Membetulkan kecacatan pada rambutku

Bersama bakal ibu mertuaku :)

Bersamamu, aku kenali apa itu keserasian hidup

Tanda sudah dimetrai...

Saat ini kurasakan segala debar bisa menyelinap masuk ke liang liang hati

Mohon darimu jua bondaku agar kami direstui

Mohon restu darimu oh bonda!


Bersama kedua bapa kami

6 comments:

azarazara said...

Macam majlis nikah lah... hehehhe.
Apa pun tahniah lah... Sariapppp

Marini Kamal said...

hehehehe!

nanti nikah kita kasi up lagi!
ermmmm bila nak hantar kad en azarazara

Anonymous said...

en azarazara pun tak lama lg tu... goyangggg he3

Marini Kamal said...

tau takpe....azrazara pasti gigil bila tiba waktunya nanti! hehehe

Ninie said...

u look so lovely on ur wedding day....:-)

Marini Kamal said...

hi ninie...

thanks for dropping by, but i tak kawin lagi :) it was my engagement day....hehehe