Thursday, August 28, 2008

~~Utusan Ini Utusan Peribadi Buat Citramaya & Gadis Tabah~~

Tatkala malam mula menyusur pergi meninggalkan hari yang panjang, di kesempitan waktu itulah aku mencuri kesempatan yang ada untuk menari lagi di pentas maya. Jemari ini tak henti henti mengasak aku untuk terus membicarakan minda yang umpama roda, sekejap kalut sekejap damai.

Menjengah alam maya temanku citramaya membuatkan aku sayu dengan doa kudus yang dipanjatkan untukku. Terima kasih citramaya, kamu umpama haruman mawar yang sering melilitku dengan merbak baumu. Persahabatan kita ini tidak lagi seperti rakan, sebaliknya umpama saudara sendiri hingga tak berjumpa bisa membibitkan rindu.

Temanku,
Perjalanan itu bukan lagi satu suratan malah ia merupakan perjuangan. Kau harus berjuang untuk memiliki kebahagiaan yang kau mahu, semak samun yang terlukis di jalananan harus kau cantas dengan kekuatan semangatmu. Nun jauh di hadapan sana, kau pasti lihat luasnya alam, damainya mata meratap dan tenangnya angin mengiringimu. Segalanya bisa kau miliki jika kau terus mengumpul semangatmu agar tidak kalut dan keluh meredah belukar itu.

Temanku,
Semalam yang ngeri itu sebenarnya telah membina jambatan kekuatanmu esok hari. Kita mungkin mengeluh namun usah matikan semangatmu itu kerna perjuangan tidak berhenti tiba tiba sebaliknya harus terus dijulang hingga akhir nafasmu. Kau tak seharusnya melihat kebahagiaan orang lain dan menyesali takdir buatmu, lantas bangkit dari lumpuh itu akan membuatkan kau berhati hati meredah bukit bukau yang menggerunkan. Aku tak akan pernah berhenti mendoakan kebahagiaan dan ketenanganmu. Miskinnya aku untuk berkongsi wang ringgit denganmu, tapi aku yang kaya dengan cerita cerita semangat ini pastinya tidak akan lokek untuk terus berkongsi segala kata kata hikmah buatmu. Kau harus tahu, aku sangat mengasihi persahabatan ini.

Aku utuskan jua perutusan ini buat temanku 'gadis tabah aka Fied' agar kau tak akan menghumban dirimu ke lembah sepi. Beberapa waktu yang lalu, kesepian dan kepiluan mungkin kau rasai hingga ketakutan menyelubungi jasad dan ragamu. Sedarkah kamu bahawa bahagia itu milik kita semua, milik setiap insan yang bernyawa. Jambatan cinta yang telah kau cuba bina mungkin tidak ditakdirkan membawamu kehujungnya, namun kau harus cekal dan sanggah segala kekejaman yang pernah kau lalui. Kau teristimewa temanku.

Gadis tabah, kau usah hanyut dengan kehancuran semalam. Sesungguhnya, tuhan amat menyayangi kamu, justeru itu kau diduga ke tahap derita. Kukirimkan sejambak bunga buatmu, agar setiap kelopaknya memiliki kasih yang aku semai. Senyuman manismu usah kau hentikan kerna aku lebih tega melihat bibirmu menguntum senyum dari melihat airmatamu bergenang di lautan kelopaknya.

Ambillah kataku anfai kau mahu, sebaliknya jika tidak memberikan kamu tenang, aku sanggup menjadi pari pari menghibutkan sendu keroncongmu. Mari aku ubati sedikit kegagalan itu.

1 comment:

CITRAMAYA said...

Terima kasih atas utusan semangat yang kau kirimkan buatku. Aku ingin sentiasa bersamamu teman dan juga teman2 yang lain yang bisa membuatku senyum.