Tuesday, October 23, 2007

~~Yang baru tidak semestinya Indah~~

Salam bersua kembali....

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi kerana masih di beri peluang menjadi hambanya yang daif di muka bumi ini. Kemalangan meragut ingatan saya 3 bulan lalu benar benar memberikan satu hidayah dan kekuatan baru dalam hidup saya. Hanya tangis airmata sahaja yang dapat menggambarkan betapa kesyukuran penuh erti ini dipanjatkan segera kerana masih diberi ruang untuk mengabdikan diri kepadaNya di muka bumi ini.

Maaf saya pohon dari ketulusan hati yang kerdil berserta ampun dari hati kecil kerna saya tidak sendiri tampil menerangkan keadaan saya pada teman teman, sahabat serta sanak saudara semua tentang kemalangan 21 July lalu. Sesungguhnya saya sendiri tidak tahu dan tidak pasti apa yang harus saya lakukan kerana ingatan ini tidak langsung memberi gambaran siapa saya dan keluarga apatah lagi teman teman di sekeliling yang selama ini banyak membantu dan mendorong semangat bersama saya.

Setelah sedar dari kejadian tersebut, saya tidak mampu untuk mengenali diri sendiri malah perasaan marah mula menguasai diri, tertekan dan sedih bersilih ganti. Apa sebenarnya yang telah terjadi pada saya? Saya tak henti henti menujah jutaan pertanyaan sehingga saya memerlukan rawatan mental buat seketika di Kota London. Syukur sekali lagi ke hadrat Illahi kerana saya tidaklah ditabalkan menjadi gila, hanya kotak ingatan yang mengandungi segala kenangan dari hari pertama saya dilahirkan sehingga tarikh 21 Julai itu telah diragut seketika olehNYA. Dengan bantuan pihak hospital dalam setiap rawatannya ketika saya di Kota London, saya mula mengumpul sedikit demi sedikit kekuatan untuk meneruskan hidup ini dengan segalanya yang baru. Terlalu hebat dugaan dan ujian tuhan buat saya dan keluarga namun saya tidak sedikitpun menyalahkan takdir.

Ini merupakan tulisan dan garapan pertama saya setelah saya benar benar yakin terhadap diri saya sendiri untuk tampil berhadapan dengan dunia yang selama ini sungguh bermakna buat saya dan mereka di sekeliling. Saya kini telah pun berada di tanah air tercinta Malaysia, walaupun tidak satu kenangan di negara ini dapat lagi saya ingati, berat dan pilu sering mengiringi perasaan hati ini namun saya masih menghargai tanah kelahiran saya ini.

Oleh kerana itulah saya mengambil keputusan untuk berdiam diri dan menyepi dari semua teman teman malah saudara mara terdekat, saya hanya mahu mengumpul segala kekuatan untuk berhadapan dengan setiap insan yang mengenali saya tetapi tidak buat saya. Mereka yang hadir di hadapan saya setiap hari umpama orang baru dan asing.

Berikanlah saya sedikit masa lagi untuk bertemu kalian, saya mahu benar benar bersedia emosi dan fizikal. Maaf jika saya tidak menegur kalian seandainya kita berselisihan, tegurlah saya biarpun saya tidak lagi mengenali kalian. Terima kasih atas setiap doa dan kekuatan semangat yang kalian iringi selama ini. Hanya Allah swt dapat membalasnya dan saya hanya mampu mendoakan kalian dilindungi olehNYA.

Kini, saya masih lagi tidak mampu untuk mengingati apa pun malah sesiapapun dan setiap insan yang hadir adalah teman baru buat saya. Perasaan hati ini benar benar mengharapkan agar kalian teman teman dapat menerima saya sebagai teman baru dan bantulah saya jika ada melakukan kesilapan.

Sejujurnya saya mohon maaf seandainya saya pernah menyakiti dan melakukan kesilapan terhadap kalian dahulu. Insan kerdil ini hanya hamba yang tidak sempurna, bersamalah kita mendoakan agar kita mendapat hidayah darinya. Biarpun kata doktor ingatan saya tidak pasti akan kembali bila, saya tetap bersyukur sehingga semuanya diizinkan Illahi.

Sempena berada di bulan Syawal nan mulia ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan SALAM AIDIL FITIRI AL MUBARAK.

Kembali lagi,
MARINI KAMAL

No comments: