Tuesday, December 12, 2006

~~CeRitA aKhIr 2006~~

Selamat pagi warga kota, semoga keadaan cuaca yang sentiasa gerimis tidak menjadikan senario hidup anda juga seperti musim tengkujuh. Tiada bezanya dengan Kota Inggeris di sini, hujan renyai dan bayu sejuk yang menyucuk sendi sendi seringnya membuatkan langkah kaki sentiasa menggeletar. Selamat datang musim sejuk!

Hey, tinggal beberapa hari lagi kita akan menjengah ke tahun baru! 2007 menanti dengan seribu tanda tanya, seribu teka teki, seribu pengharapan malah seribu impian. Ada yang mula susun atur strategi untuk membina masa depan yang lebih sempurna, ada pula yang menanam semangat untuk meninggalkan tabiat buruk dalam diri malah tak lupa juga ada yang sememangnya menanti kehadiran 2007 untuk meraikan sesuatu perkara.

Me? Hmmmm aku juga menantikan kehadiran 2007 dengan penuh debaran, dua tahun mengabdi diri di Kota Inggeris semata untuk mengejar segulung kertas bernama Ijazah bakal menjadi kenyataan bila 2007 menjelang. InsyaAllah, dengan izin dan berkat dariNya, tamatlah pengajianku pada penghujung April depan. Pantas benar kurasakan masa berlalu, tak sedar pula ketakutan yang menyelubungi diri kini akan keluar dari kepompongnya.

Semalam bukan sekadar mimpi indah dan ngeri buatku, namun ia mencipta bibit bibit kenangan yang mana mungkin dapat digantikan dengan material. Biarpun kesedihan sesekali menerjah pintu hati, aku tetap gagah mengharungi saat saat getir hidup tanpa keluarga. Hidup perlukan pengorbanan, dan ini adalah antaranya yang ingin diduga oleh yang Esa padaku.

Tatkala 2006 bakal melabuhkan tirainya, seorang lagi insan baru muncul dalam keluargaku. Selamat datang aku ucapkan dan harungilah kehidupan esok dengan tabah dan redha. Semangat biar menjadi benteng utama dalam memandu kehidupan. Bukan mudah mengemudi pelayaran berumah tangga, saat ombak datang memukul jangan terus mengalah dan tenggelam sebaliknya berenanglah perlahan lahan ke tepian dan mulakan kembali pelayaran yang ditampar ombak ganas tadi. Hidup ibarat arus pantai, sesekali hanya terdengar bayunya, sesekali tenang tak bergelora. Namun tatkala musim tengkujuh menjengah, pasti ombak setinggi tsunami bakal menanti. Jangan gentar, teruskan pelayaranmu dengan penuh semangat dan ketabahan.

2007 bukan sekadar menjanjikan titik noktah buatku dalam menggenggam segulung kertas bernama Ijazah, malah kehadiran 2007 juga memberikan tamparan yang hebat buatku untuk memilih arah manakah laluan hidup ini yang harus kutempuh.

Hati meronta untuk pulang ke tanah air, rindu dendam yang kupendam hampir dua tahun ini menjadikan hati sedingin cuaca sejuk Kota Inggeris, namun semangat yang berkobar untuk menggengam sekeping kertas bernama 'master' turut mencabar kata hati. Tiada isitlah penat menimba ilmu, apatah lagi bosan menghadap tugasan yang diberikan. Alhamdulillah, semangat untuk terus berjaya dan memperoleh kejayaan buat keluarga dan diriku sendiri sentiasa berkobar dalam hati.

Yang menjadikan hati makin resah, apakah sebenarnya penentuan jalan hidup ini? Seolah mahu tinggal sementara di Kota Inggeris pula, di dalam hati mula berbisik mungkin juga ada rezekiku di tanah ini namun yang sering mematahkan kata kata tersebut hanyalah ingatanku terhadap keluarga.

Andai tertulis aku harus menjadi penghuni kota ini buat beberapa tahun lagi, aku redha....andai tertulis aku harus menjadi penghuni tetap kota ini.....bagaimana ya? Segalanya kuserahkan pada yang Esa, sesungguhnya tiada apa yang terbaik dari menurut qada dan qadarnya. Aku redha, semangatku sentiasa membakar diri. Semoga setiap yang ditentukan olehNya membuahkan keberkatan dalam hidupku.

Hey,
Beberapa hari lagi aku akan kembali ke tanah air, biarpun seketika cuma...aku pasti kehadiranku kali ini bukan sekadar cuti kosong. Tidak ada yang lebih bahagia bila melihat adik sendiri berada di pentas raja sehari, memakai pakaian yang sungguh janggal sekali. Di lengan kirinya berpaut rapat lengan si gadis pilihan hati. Berjalan ibarat raja dan permaisuri. Oh adik, sungguh hati ini bahagia melihat saat dikau berjaya membuktikan bahawa tanggungjawab bisa kau pikul dalam usiamu yang mentah.

Aku entah bila lagi mahu merasa berdiri seperti puteri sambil lengan memaut jejaka raja sehari. Jika dulu angan angan itu sentiasa melalaikanku, rasa hati sudah bersedia namun hari ini ketakutan pula menyelubungi hati. Mungkin belum bersedia lagi atau mungkin hati ini terlalu banyak agenda yang harus dipenuhi. Aku sentiasa memanjatkan doa agar ketemukanku dengan ketenangan sebelum melangkah menjadi 'si isteri' yang mana tanggunjawab bukan sekadar menjaga suami namun membentuk keluarga yang harmoni.

Wow, semakin lama, cerita blog kali ini seperti luahan isi hati pula. Cukup sampai di sini. Pada rakan rakan yang meraikan Hari Natal, Selamat Hari Natal dan Tahun Baru! Bagi teman yang bakal menamatkan zaman bujang mereka, Selamat Pengantin Baru, semoga bahagia ke anak cucu. Amin

Salam sejuk yang membekukan dari Kota Inggeris ke Tanah Melayu yang genting mengharungi musim tengkujuh! Cheers!

LOTS OF LOVE
~~NiNi KaMaL~~

1 comment:

zafi said...

selamat thn baru jua! :P
u take care!