Sunday, November 05, 2006

MERINDU KEPASTIAN LAGU MISTERI

'Merindu Kepastian' bukanlah sebuah lagu baru yang berkumandang menggegar sanubari dan jiwa pendengarnya tetapi merupakan garapan yang baik menyentuh naluri saban waktu. Lagu yang dikarang dan dinyanyikan oleh penyanyi antarabangsa, Art Fazil dari Singapura ini sentiasa memberikan impak mendalam dan segar biarpun usianya mencecah belasan tahun berkumandang menjadi mainan halwa telinga pendengar.

Pertama kali saya mendengar lagu ini beberapa minggu yang lalu, ia seolah menjadi bahan igauan yang mentransformasikan bait lirik dalam alam yang fantasi. Biarpun patah ayatnya ringkas dan mudah untuk ditafsiri namun ia seoalah punya nadi yang berdenyut tiap kali dimainkan. Bukan mudah untuk saya menghargai dan menjadikan sesebuah lagu itu sebagai lagu pilihan untuk diputarkan setiap saat, tetapi 'Merindu Kepastian' sungguh melalaikan anganan saya tatkala mentafsiri apakah sebenarnya yang terkandung secara tersirat di sebalik patah kata yang di puitiskan.

Kata penyanyi dan penggubah lagu tersebut, Art Fazil, lagu ini digarap ketika beliau berusia belasan tahun dan hanya mengambil masa yang singkat untuk menghasilkannya secara lengkap. Bayangkan, anak muda yang masih mentah untuk mentafsiri cinta bisa menggubah lagu selama 30 minit di kala angin subuh Ramadhan membaluti diri. Kini biarpun beliau meniti usia yang meningkat, lagu ini masih lagi segar dan menghantui naluri pendengar dan peminatnya. Sungguh menakjubkan!

"Andai ku menjadi rembulan sudikah engkau menjadi kejora hingga pagi nanti
Andai esok aku menjadi tanah sudikah engkau menjadi bunga menghiasi dadaku
Andai esok aku menjadi tanah sudikah engkau menjadi bunga menghiasi dadaku......"

Tatkala patah kata tersebut berkumandang, saya sendiri menjadi suram mengenangkan mungkinkah ada insan yang sanggup menjadi seikhlas lagu ini? Walhal mendefinasikan cinta itu bukanlah sukar namun merealitikannya seolah satu kepayahan yang benar payah hari ini. Setiap kali sesudah mendengar lagu ini, hati sering meronta untuk mendengarnya kembali dan lagi dan lagi sehingga tidak ada lagu lain yang berkumandang di setiap ceruk sudut bilik. Tak pula rasa bosan, jauh sekali mual dengan kesempurnaan lagu ini. Di mana sebenarnya 'chemistry' yang terselindung di sebalik lagu ini saya sendiri tidak pasti.

Terkelu seketika mengenangkan kehebatan anak muda ini dalam menggegarkan seni hiburan tanah air biarpun saya sendiri tidak pernah mendengar akan kemunculan kumpulan beliau (Rausyan Fikir) satu ketika dulu, almaklumlah kumpulan ini berasal dari negara jiran (Singapura). Kini beliau (Art Fazil) mengorak langkah sendiri mencari kepuasan dalam bidang seni dan memperjuangkannya berlandaskan menifesto yang berbeza dari insan seni yang lain. Penghijrahan beliau ke Kota London sebenarnya mengangkat martabat kenegaraan beliau kerana belum ada lagi warga Singapura berbangsa Melayu yang berjaya meraih tempat di hati warga tempatan di sini. Kekuatan azam beliau dalam bidang seni sungguh menakjubkan dan melalui perbualan ringkas dengannya sudah cukup memberikan nafas baru dalam mewarnai seni hiburan tanah air.

Pastinya ramai rakan rakan yang terkejut membaca catatan saya kali ini kerana bukanlah mudah bagi saya menghargai bakat penyanyi dan pencipta lagu asing, namun setelah ditampar oleh lagu 'Merindu Kepastian' dan beberapa lagu lain yang terkandung dalam album "Nur" beliau, saya harus akui bahawa beliau mempunyai nadi seni yang kuat berdegup dalam sanubarinya.

Biarpun album Nur tidak lagi berada di pasaran Singapura mahupun Malaysia, namun ia boleh didapati di dalam laman www.mylagu.com yang dikelolakan oleh anak seni ini. Kata beliau, laman ini masih lagi dalam pembinaan dan akan menjadi sebuah laman web yang pertama menyediakan lagu lagu melayu dalam pelbagai genre. Ia bukanlah laman web percuma untuk didengari, namun secara jujurnya setiap bayaran yang dikenakan untuk membeli lagu yang terkandung sesungguhnya berbaloi terutama sekali lagu beliau sendiri dari album "Nur". Sama samalah kita doakan kejayaannya dan nantikan kemunculan laman web ini.....

Ini bukanlah promosi dan publisiti murah yang cuba saya selitkan, tetapi sekadar penghargaan buat beliau kerana berjaya mengubah persepsi saya terhadap kemantapan bakat kurnia Illahi terhadapnya. MANTAP & MENAKJUBKAN, itulah gambaran yang dapat saya lakarkan setiap kali mendengar lagu lagu ciptaan beliau.

Namun demikian, mengenali secara peribadi personaliti insan seni ini, beliau bukanlah seperti apa yang digambarkan dalam lagu lagu beliau malah karisma yang tinggi dan karektor yang tegas adakalanya menjadi misteri buat saya tertanya tanya apakah sebenarnya yang menjadikan imaginasi beliau sebegitu hebat menggarap lagu seindah demikian?. Walaupun jawapannya ringkas, "ia sekadar mainan ilusi yang diterjemahkan dari keindahan alam", bagi saya pastinya ada keistimewaan kurniaan Illahi terselit di celah naluri beliau.

Tidak mustahillah, anak muda ini biarpun menyepi di negara bekas penjajah Tanah Melayu ini masih lagi mampu menghimpun peminatnya yang ternanti-nanti akan kemunculan lagu lagu puisinya. Insyaallah, saya sendiri yakin bahawa kemunculan kesinambungan lagu-lagu berhantu beliau pasti bakal menggegar industri seni antarabangsa.

Syabas buat Anak Melayu di Kota Inggeris ini.






No comments: