Wednesday, January 13, 2010

Impian Si kecil

Senja itu buatkan aku menerawang, mengimbas setiap detik yang pernah aku lalui. Terkadang aku semakin takut bila memikirkan apakah esok pasti ada untuk aku terus bernafas...

Aku mahu terus rasakan degup jantung ini rancak mengepam, walau sesekali doktor mengatakan ia punya tekanan yang agak rendah, ahhh aku sudah biasa di bilang begitu "tekanan darah awak ni selalu rendah, 80/60 dan terkadang 80/50. kena makan banyak benda menambahkan darah".

Mahu sahaja aku bidas kata doktor "Saya makan darah orang boleh tak? tak pun cekik darah orang, kan mudah doktor", nasib jugalah doktor itu kini menjadi sahabatku dan kalau tidak mungkin sudah lama dia fikirkan aku gila.

Semakin lewat senja melabuhkan sauhnya, aku semakin rasa dunia ini tidak punya nyawa yang panjang. Aku kepingin melihat anak anak kecil yang berlarian di padang usang ini menikmati hari dewasanya.

Tersentak bila terkenang Al-Farysh yang satu ketika dahulu tidak pandai menitip kata namun kini kami seisi keluarga harus menggunakan bahasa isyarat jika mahu berkata kata sesuatu. Akalnya panjang sepanjang mata pancing yang bisa menyelam lautan dalam.

Aku mahu hitung saat bahagia dia menjangkau dewasa dan terusan mendengar ucapkata 'mummy' darinya. Benar, luluh satu persatu keringat penat dan amarah di luar sana tatkala dia mula baitkan senyuman dan memanggilku berkali kali. Dakapannya antara penawar lelahan harianku.

Namun bila dinihari menjelma, aku ketakutan apa akan adakah ruang waktu sempurna buatnya. Anak kecil yang ditatang umpama minyak yang penuh harus meredah belukar duri, merempuh ombak pantai yang tinggi hanya untuk menjadi pejuang bangsa di hari depan.

Kekalutan mula menyempit ruang otakku. Apakah esok untuk dia bertarung sudah aku persiapkan perisainya? Melihat kecelakaan yang dibina pemimpin hari ini buatkan aku semakin gusar.

Sebelum malam mematikan ingatanku, aku hanya mampu berdoa agar ruang kecapi bahagia tidak direngut dalam hanya sekelip mata. Anak anak kecil ini perlukan padang yang luas untuk bermain layang layang, menendang bola bersama rakan rakan dan berlarian di atas rumput hijau hanya untuk mengenali tanah bangsanya. Usahlah diragut kesejahteraan itu.





Tuesday, January 12, 2010

Suara di balik dinding

Di sebalik dinding itu ada suara
Suara suara memekik
Mengganggu lena malamku
Menghambat riang pagi hariku
Merantai tawa di bibirku

Di sebalik dinding itu ada suara
Menjerit tidak kufahami
Merintih cuba aku mengerti
Mengalun lagu lagu semangat
Membakar bidalan kata

Di sebalik dinding itu ada suara
Aku mula kaku
Di hentak hentak dinding itu
Memberontak tanda amarah
Menjerit mohon simpati
Aku hanya bisa jerit kembali
Tidak terdaya merobohkan tembok usang ini

Aku terkepung oleh suara di balik dinding
Mengapa mereka tak bisa kecapi bahagia
Di siat siat isi hatinya
Dilapah saudara mara mereka?
Malam ku igau
Siang aku meraba mencari kacamata
Mungkin satu hari nanti aku bisa jerit
Menghentikan segala sengketa dunia
Dan kau saudaraku di balik sana
Tidur dengan lena dan mimpimu ke alam syurga

Anak anak Sampah

Rintik airmata mula bergayutan
Di bibir kelopak menghayun seakan mahu tumpah
Aku tidak mahu kerlip
Jika kerlipan ini menitiskan sengsara
Aku tidak daya pejamkannya
Nescaya teriakkan pasti menyusul tiba

Lihat anak anak sampah itu
Pada siapa mereka mahu mengadu
Terdampar menghimpun dosa
Menguit cacing cacing putih
Menghurung pada setiap titis darah mengalir
Mereka tahu apa?

Sahabat senyawaku
Tidak betah tepis godaan
Terlalu tipis iman bergoyah
Melayari kenikmatan
Menghayun saat saat keindahan
Mendayung hingga karam
Lantas anak anak sampah itu jadi mangsanya

Terdaya sahabatku menidurkannya sebelum waktunya
Meragut nyawanya yang dikurnia ESA
Membaluti tubuhnya tanpa ada sedikit hiba
menjadikan kurap kurap jalanan teman buat mereka
Yang akhirnya ajal adalah ketetapannya

Aku mahu tertawa pada setiap saat kau bermesra
Kau lupa pada siapa kau harus sembah
Kau lupa pada siapa kau datang
Kau lupa bahawa esok akhirnya ajalmu
Entah mungkin kau terlupa bahawa kiblat mu jua
Solat tidak lagi menjadi tiang seri dalam hidupmu

Sahabatku yang alpa
Melihat anak anak di pinggiran sampah itu
Kau buat darah aku setinggi puncak everest
Airmata berbisa aku alirkan
Kau tak harus rengut jiwaku
Jika nyawa itu bisa bangkit
Sudah keterlaluan kau itu dihambat mereka

Terlewat bukan bicaranya
Kau harus segera pulang
Amarah aku mungkin ada pasang surutnya
Amarah tuhan tidak ada tolok bandingan azabnya
Nauzubillah....

DESA BUKAN UNTUK AKU?

Ku lihat kaki yang rapuh
Menggagahi belukar kota
Di lautan itu penuh duri duri dosa
yang berderai tabur di pinggir desa
Bukan hikayat ku hitung
Hanya bicara hati santun menyantun

Bahasa aku baku,
Menyapa pada segenap sudut buntu
Nahu aku satu tidak berdua bertiga berempat
Namun sesiapa pun tidak bisa berlagu denganku
Hanya mungkin bicaraku tuli asasnya

Desa bukannya tempat aku berlarian
Mencari serpih hidup yang pura pura
Menadah pada langit bahawa aku mahu pulang
Ke mana bukan kepada siapa
Suara tidak lagi kedengaran
Hanya mungkin bibit bait bibirku bisu

Aku lontar padu suara pada desa
Mahu tidur di tebing paya
Berombak berenang melawan arus pantai
Mengutip siput siput
Bina segala istana igauan
Namun suaraku bukan milik desa
Hanya mungkin penghuni kota bisa kedengaran
Lantang bicaraku bukan pada desa

Monday, January 11, 2010

Kota Kayangan

Semalam di Kota ini
Aku melihat ada kuntuman
Mekar di balik bibir bibir manis
Penawar bagi hati yang suram

Sebaliknya di Kota ini
Aku tidak pernah sangsi
Setiap bait bicara tiada dusta
Terukir tanda setia
Terlakar kala suka

Tapi Kota ini kian usang
Seperti tanah tinggal
Seperti rumah tiada bertuan
Kemana kamu kalian
Kemana kamu teman
Yang sering bawakan aku buah tangan
Menari dan menyanyi
Terbang ke awan
Dan mampir dalam igauan

Kota ini kian sunyi
Aku rindu pada mu
Aku mahu kan kamu menemaniku
Malam umpama tiada cerita
Gelap pekat seperti mati
Kembalilah Kota Kayangan
Bawa aku bersama
Menari dan terus menyanyi
Esok masih punya hari buat aku

Sendiri Itu Indah



Ada waktu bila kita sendirian
Ia lebih membawa pengertian
Dari berdua tapi isi hatinya kosong
Tidak bisa dikongsi

Lebih baik sendiri dari terus menelan
Dari terus mencari ruang memamahi
Memamah hati hati yang kental
Membubar rasa sayang
Jatuh seperti kuping kuping kering

Pernahkah terfikir
Bahawa hati ini bukan hanya mahu dimiliki?
Namun mahu terus terusan di sayangi?
Bagaimana arti sayang padamu?
Sekadar ungkapan siang dan malam?
Sekadar janji yang bisa dipatri?

Kau mungkin salah
Atau kau mungkin tidak pernah mengerti
Hati ini bukan untuk dimiliki
Sebaliknya seperti bunga
Mahu terus di siram
Di cium di belai
Barulah sinar mentari yang dijanjikan
Memekarkan kelopak kelopak gering

"Ku hidup dengan siapa,
ku tak tahu kau siapa,
kau kekasih ku tapi orang lain bagiku,
Kau dengan dirimu saja,
kau dengan duniamu saja,
Teruskanlah teruskanlah KAU BEGITU"

AZAM HIJRAH & MASIHI

Mereka mengasak aku untuk tontonkan pada semua apa AZAM aku. Pada mulanya mual untuk bercerita, takut takut tak terjadi, takut takut tak kecapi. Tapi kata mereka, itukan AZAM semata.

Aku khabarkan, AZAM bukan untuk suka suka, kita harus yakin untuk miliki dan selebihnya serah pada yang ESA. AZAM tidak boleh dicipta namun tidak ada tindakan segera untuk kecapinya.

2010 punya aura gelora, aku sendiri panik bila memikirkan apa kata hati. Bidasan terus terusan bermain di cuping telinga. Malah AZAM sudah lama aku patrikan, bukan dari tahun MASIHI, namun tahun baru HIJRAH lagi.

Aku bisa khabarkan, namun aku tidak pasti sejauh mana kurniaanmu Illahi pada hambamu ini. Sesungguhnya aku pasti akan mencuba tanpa kenal erti putus asa.

Antaranya :

a) Aku mahu menjadi MUSLIMAH yang lebih dekat dan hampir pada Illahi. Aku mahu rahmat TUHAN membukakan hatiku untuk sering kelihatan sopan dan tenang di mata insani.

b) Aku mahu menghitung hari bahagia buat Mr Kekasih dan Aku bergelar DADDY & MUMMY. Aku mohon agar Allah swt kabulkan permintaan buat kami yang butuhkan cahaya mata penyeri keluarga.

c) Aku mahu terus menyiapkan NOVEL yang terkandas lamanya. Jika tidakpun, aku mahu terbitkan puisi BULAN BERBICARA. Cukup sudah membawa aku lebih hampir melontar segenap rasa.

d) Aku mahu menurunkan sedikit berat badan yang mungkin tidak ada khasiatnya jika disimpan terlalu lama. Penyakit pasti akan menyinggah. AZAM ini sangat mencabar dan aku berusaha untuk jadikannya realiti jika tidak berbadan DUA.

e) Menutup semua kad kad kredit yang ada kerana takut akan riba. Aku mahu lebih tawakal pada wang yang aku terima setiap bulan dihabiskan tanpa ada riba. Moga ALLAH swt kabulkan permintaanku. Semakin dekat dengan akhir dunia, semakin takut akan dosa dosa kecil yang tak terlintas di minda.

f) Mencari peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang MASTER in MEDIA. Mungkin Universiti Malaya tempat paling layak untuk aku mencuba. Dalam masa yang sama aku mahu ambil peluang untuk pelajari ilmu PERUNDANGAN. People can't talk nonsense to me.

g) Aku berAZAM untuk mengecapi segalanya dengan doa yang aku pohonn pada Illahi. Seiring bersama, aku sentiasa memohon agar kesejahteraan dan kesihatan aku dan Mr Kekasih akan selalunya baik baik belaka. InsyaALLAH.

Moga pada mereka yang masih bertanya, dapat sedikit gambaran apa azam aku melagkau tahun Hijrah yang baharu. Kalian macam mana pula??? Mahu kongsi bersama???







Transformasi Diri

Setelah sekian lama
Aku temui sinar ini
Aku cuba mencari
Aku pohon pada Illahi
Namun aku masih kabur
Memunggah segenap sudut
Kini aku temui

Setiap masa aku berdoa
Memohon sinar dari Esa
Aku mahu lebih tenang
Ketamakkan aku kena pada tempatnya
Aku tak mahu berhenti mencari
Sebutir permata dari Illahi

Aku berazam
Aku nekad
Hari ini aku berubah
Mahu menjadi jauh lebih baik dari semalam
Kenangan sisa kotor
Hitam dan pekat
Buat aku loya dan mual


Aku memohon padamu Illahi
Akan lahirnya muslimah sejati
Atas keredhaanMU Illahi
Agar tempatku dikat di sisimu
Agar jiwaku tenang bila mengingatimu

Munajat zikir kalimah dibibirku
Akan lebih bererti kali ini
Hanya setelah kau pancarkan sinar dalam diri
Yang sering kontang dan seakan mati

Alhamdulillah
Aku lahir dengan wajah baru
Tanpa ada sangsi
Tanpa ada paksaan di hati
Ikhlasku padamu ILAHI
Seikhlas tenangmu buatku
Amen....

Berbicara biarlah tidak bertulang



Pada bulan kita bicara
Pada bintang kita bercerita
Pada awan kita mengadu domba
Pada matahari kita berteriakkan gembira
Sesetia itu alam pada kau dan aku

Kita tak bisa percaya pada mereka yang punya lidah
Mungkin dusta yang kita temui
Hanya alam tidak pernah dustai kita

Biarlah kadangkala kita hilang
Dalam pekat dan gelap malam
Biar kita bicara pada bintang
Akan gusar hati yang lara
Akan bisu bicara yang gelora

Kita tak bisa lihat bintang senyum
Kira dengan jemari sudah bawa kita lari
Dari hiruk pikuk alam gundah
Kita mahu pari pari bawa terbang

Biarlah terus kita bicara
Pada awan yang malap
Pada bulan yang pudar
Pada bintang nan satu
Kerna bicara itu pastinya tulus
Hati lebih memahami
Apa itu kudus
Apa itu rindu
Apa itu debu pada jiwa yang kalut

"Aku kan menghilang
dalam pekat malam
Lepas ku melayang..
Biarlah ku bertanya pada bintang bintang
tentang arti kita....dalam MIMPI YANG SEMPURNA"

MUNGKINKAH SEGALANYA TERINDAH




Jika perlu ada ruang mengingati
Untuk apa membenci
Jika perlu ada ruang menyayangi
Untuk apa mengungkiti
Kalau mungkin ruang itu diisi dengan sedikit rindu
Biarkan ia berlalu

CInta tak semestinya bersatu
Cinta lahir atas restu
Bukan ayahanda bonda menentukannya
Allah yang satu pencatur segala urusan kita

Jika ada sedikit sayang
Mengapa perlu diungkap benci
Biarpun jauh hati kita
Tinggalkan sedikit kenangan
Untuk kau senyum dan aku tertawa
Penawar duka duka hitam
Pemberi semangat pada kisah silam

"Kau telah jauh...
jauh dariku...
tiada ruang di hati buatmu
Namun harusku akui
ADA KETIKA DI MINDA KAU MENJELMA KEMBALI"

PERGI bukan MEMBENCI




Bila terlintas
Aku kaku mendengar bicara ini
Pergi bukan sekadar mencari henti
Pergi bukan membenci
Pergi bukan mengumpul dendam
Pergi adakalanya mencari sinar
Pergi ada ketikanya membawa harapan gemilang

Bila terlintas
Aku buntu mencarinya
Sesuatu yang PERGI adakalanya tak kembali
Terbaik adalah pengorbanan
Terindah adalah keikhlasan
Jika PERGI bisa buat kau senyum
Lebih pengertiannya
Kerna bukan segalanya yang kita mahu bisa kita ketemu

Kau PERGI....
Kau PERGI....
PERGI...........

Kemaskini ceritera aku

Salam teman,

Mengambil masa sedikit lama untuk mengemaskini episod-episod harian, biar ada tawa dan airmata namun tak bisa menggoyahkan segala kekuatan.

Terpukul dengan bebanan tugas yang menggila menjelang awal tahun, kini membuatkan aku sedikit menarik hela nafas lega. Apa kesudahannya jika seiring mengejar masa namun tidak jumpa jalan ke akhirnya. Aku pasrah pada ruang waktu yang padat.

Sedikit kemaskini sekadar mencoretkan irama hati :

24 Disember 2009
SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN BUAT MAMA & PAPA SERTA AMIRUL & SITI. Semoga usia perkahwinan kalian akan kekal ke akhir hayat sambil diiringi bunga mawar wangi yang tidak henti mekar di hati. Buat mama & papa, hanya sepotong doa sering diiringi agar bahtera cinta yang mekar 3 dekad lamanya itu akan terus terusan kekal menjadikan contoh buat kami. Buat Amirul & Siti pula, jagalah bahteramu ini seperti merentasi pulau yang sering dipanah ombak besar. Kekentalan kalian mengharungi bersama pastinya tidak akan menemui jalan karam sayangku! Kak ngah sentiasa mendoakan yang sangat terbaik buat kalian, moga ALLAH swt sering merahmati kehidupanmu. InsyaALLAH.

1 Januari 2010
SELAMAT TAHUN BARU dunia! Makin tua usia bumi, makin hampir dengan hakiki. Aku membawa lembaran baruku sendiri. Tika ini, aku rasa sangat dekat erti ketuhanan dalam diriku. Sebenarnya sudah lama untuk mencari satu titik perubahan, dan sudah ku tekad dan nekad bila MAAL HIJRAH menjelma, namun hasrat itu masih kedinginan. Kini aku tidak mahu toleh lagi, biar sesaat syaitan membisikkan kata 'TIDAK' padaku, aku tempik sejuta kali hebat darinya. Aku mahu menjadi MUSLIMAH sejati, agar kehidupanku ini lebih diberkati. Azam MAAL Hijrah telahpun aku penuhi dan kini ada beberapa azam lain yang harus ku kecapi. Akan aku coretkan pada entri yang lain.

2 Januari 2010
SELAMAT HARI ULANG TAHUN YANG KE-54 buat papa!! Anakandamu ini hanya mahu memohon pada Illahi agar dirimu itu sering diberkati, dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan sihat sentiasa. Anakandamu ini akan sering mengingati hari lahirmu kerna tatkala itu anakandamu ini berasa bertuah pada Ilahi. Anakandamu ini mahu terus lihat senyumanmu, mahu terus dengar ceriteramu, mahu lihat kamu terus gagah seperti hari hari mudamu dan anakandamu ini mahu terus dengar hilai tawa serta perhatian kasih sayangmu. Semoga ALLAH swt memberikan kita sedikit waktu lagi untuk terus bersama mengharungi segala suka duka di alam ini. InsyaALLAH.

4 - 8 Januari 2010
Aku sangat buntu tika ini, waktu yang aku tunggu telahpun tiba. Aku harunginya dengan segala keperitan dan kepayahan. Hanya mereka yang mengerti bisa memahami. Tugasan kerja yang maha berat ini sedikit sebanyak memberikan kematangan dan pengalaman tiada bandingannya. Aku susuli dengan sedikit potret tika berlangsungnya persidangan dunia ini. Namun, aku mahu tujukan sekalung tahniah buat semua yang terlibat secara langsung dan tidak pada persidangan ini. Terima kasih ini tak terlupa buat Kak Zue yang sering menghamburkan kata kata semangat yang aku perlukan saat jiwa ini rapuh.

8 Januari 2010
SELAMAT ULANG TAHUN adikku - KAMAL AMIRUL! Kau itu umpama sebutir cahaya yang memberikan sinaran padu buat kami semua. Kau itu satu satunya wira buat kami berpaut. Hanya doa pada Illahi mampu kakandamu ini iringi saat indah hari lahirmu, semoga ALLAH swt sering memberikan kesihatan yang baik, memudahkan segala urusanmu, melimpahkan rezekinya padamu dan memelihara akhlakmu agar tidak terpesong ke arah noda. Salam cinta penuh kasih dari kakandamu ini.

Aku berhenti tika ini, bercerita lagi jika punya sedikit waktu.

Sunday, December 20, 2009

MAAL HIJRAH 1431~~SELAMAT TAHUN BARU!

Selangkah kita ke hadapan
Selangkah lagi menapak
Selangkah jua menerap telapak
Apakah kau tahu mengapa kau harus melangkah?

Semalam usah kau toleh
Biar menjeling alur matamu
Melihatlah jangan mengenang
Catatan baru harus kau ambil
Sejarah biarkan bertebaran

Pandanglah burung yang berkibas
Pada dia kau taruh harap
Agar bawa doa doamu ke langit teratas
Moga ada titisan rahmat

Senyumlah pada pohonan rendang
Usah rakus menghayun penebas
Melapah keluarga hutan belukar
Mati kita andai generasinya pupus
Panas kita andai segala rendang tidak lagi beratap

Berenanglah bersama duyung
Dia bawa pada besarnya hikmah
Dasar yang lemas adanya hidupan
Tanpa mereka lenyaplah keindahan

Kita sudah mara setapak
Tanam impian tanam azam
Esok mungkin hari akhirnya
Nafas tidak lagi seiring nadi
Usah terlewat sesaat
Usah terpacul sesal
Kita harus sentiasa sedia

Salam MAAL HIJRAH
Antara kau dan aku tiada beza
Aku mohon untuk kita
Aku mohon untuk semua
Agar kehadiran 1430 bawa ceria
Cerita biar ada girangnya
Cerita usah ada tangisan
Usaha biar tercapai
Aku katakan tadi
Doa aku bukan untuk sendirian
Kerana panji ini bawa aku ke hadapan
Seru ini seru keramat
ALLAHU AKHBAR!!

Wednesday, December 16, 2009

SELAMAT HARI ULANG TAHUN SAYANG~~

Kau lahir kerna cinta
Dari sepasang jiwa yang menyatu

Kau lahir atas buih buih kasih
Bertaburan menjadi pelangi
Mengiringi kuatnya obor perjuangan

Kau di didik penuh sempurna
Walau tiada yang sesempurnaNYA
Namun harapan mereka tetap menggunung
Melihat kau semulus permata

..................................................................................

SALAM HARI LAHIR SAYANG~~Ini kali kedua kita bersama meraikan hari kelahiranmu. Tahun lalu kita hanya bergelar tunangan, tahun ini akulah suri akulah intan dan akulah permata pada teratak cinta yang kita bina.

SALAM HARI LAHIR SAYANG~~ Bukan usia menjadi jarak mengukur kematanganmu, menyukat hebatnya keperibadiaanmu malah bukan juga timbangan mengadili jiwamu. Usia sekadar angka, yang bakal di mamah rapuh jika tidak mencari pengertian hakikinya.

SALAM HARI LAHIR SAYANG~~ Segeraku panjatkan ke puncak langit ke tujuh memohon agar ALLAH swt tidak terlepas dari memandangmu. Kaulah segala cahaya bagiku. Akidahku di bawah bimbinganmu, maruahku di bawah perjuanganmu, imanku di bawah pimpinan yang kau atur. Segalanya bagiku adalah kamu, terakhir yang pasti dan terbaik yang kukenali.

SALAM HARI LAHIR SAYANG~~ Aku mahu kau tahu, tanpa cintamu aku lumpuh, maka aku mohon agar Allah swt berikan kekuatan bagimu. Aku juga mahu kau tahu, tanpa belaimu aku kaku, maka aku mohon agar Allah swt berikan hidayah dalam jiwamu untuk membelaiku. Senyummu adalah segala penawar mujarab bagiku. Tawamu adalah penyembuh racun berbisa dalam diriku, dan aku mahu kau tahu, biar seribu tahun lagi pastinya kau tetap dalam pujaanku.

SALAM HARI LAHIR SAYANG~~ Aku panjatkan jua agar ALLAH swt tidak terlepas dari melimpahkan harta dunia pada kita, agar dapatlah kiranya membantu pada yang tidak berdaya. Lebih dalam pohonku agar dicampakkan kita rezeki yang murah dan berkat dalam mengali pengertiaan ISLAM sebagai agama agung. Kita biar tandus wang asal tidak tandus didikan agama.

SALAM HARI LAHIR SAYANG~~ Kalau ciuman ini bisa menjadi penawar tika kau duka, ambillah dan simpan kelopaknya. Andaikan aku ini sekuntum bunga yang tak pernah akan mati dan sering terus berbakti.

Semoga ALLAH swt berikan kau dan aku hari hari yang penuh senyuman agar setiap duka mahupun suka kita lalui dengan ukiran manis dari bibir. Ketahuilah bahawa kerana senyumanmu aku menjadi isterimu hari ini. Kerana senyumanmu jua aku terus bangkit dari tidur yang panjang.

SALAM HARI LAHIR!!

Monday, December 14, 2009

Kutitip Cerita buat NATRAH aka Maria Huberdina Hertogh

13 Disember, Ahad, Istana Budaya

Aku tonton Natrah bersama Mr Kekasih, niatku tak pernah mati walaupun pada awalnya aku tidak mampu memiliki tiket yang bernilai ini. Aku kecewa, aku tak daya, aku seperti mahu putarkan waktu agar tiada siapa berani ceritakan padaku 'Natrah itu seronok penceritaannya'.

Namun jika rezeki memang memihak padaku, akhirnya jua bisa tergapai! Aku lakarkan rasa hati sepanjang melalui kisah ini. Aku hanya bisa bicara jika kalian mengeri apa itu ertinya pengorbanan, cinta dan maruah!


Aku puas,

Bila Natrah kutonton
Bila Natrah kukupas
Bila Natrah kugali intinya

Aku tak kenal dia,
Dia tak siapa pun bagi aku
Hanya anak kecil bertumpah darah di Jawa
Berlinang darah Belanda di selirat tubuhnya
Keturunan penjajah mengekang rumpun Islam
Di tanah keramat tanah Indonesia

Aku puas,
Walau sekadar lakon semula
Walau cantik Natrah bukanlah secantik si duyung bernama Maya
Walau tutur kata tidak selancar si perempuan, isteri & dot dot dot
Walau Mansor Adabi tidak segagah Remy Ishak

Aku balik dengan senyuman
Aku mula himpun sejarah hitam
Aku kaji seloknya
Aku teliti kekurangannya
Namun aku puas!

Natrah bawa aku imbau erti IMAN
Natrah pimpin nadi AGAMAKU!
Natrah bakar obor panji SERUAN
Atas nama MARUAH
Atas nama ISLAH
Aku kagum pada NATRAH

Aku tak tipu
Aku menangis
Bila sejarah agamaku diperdagangkan
Aku menangis
Bila cinta dipisahkan
Aku menangis
Bila jiwa dipincangkan
Aku menangis menatap sengsara NATRAH

Pasti aku tak kenal erti perit
Seperti mana kau rasainya
Pasti aku tak bisa menjerit
Seperti mana kau teriak rintih
Jiwamu ke jalan benar
Batinmu dipasung cinta pada Illahi
Namun jasadmu???
Akidahmu???
Hangus dicabuli, dirogol, dirakusi...

Natrah,
Walau kau tidak pernah aku kenali
Namun aku pohon restu Illahi
Agar jasadmu yang bersemadi
Biarlah kotor di mamah bumi
Asalkan jiwamu diangkat Allah Hu Rabbi
Di letakkan bersama para ahli syuhadah
Yang martabatnya mulia tiada terperi.


Monday, December 07, 2009

Alam mula bicara Episod 1

Langit semakin merah
Ada tanda hujan akan mencurah
Menghambat noda
Membilas dosa - dosa

Sering kita terleka pada alam yang pantas berbicara
Lupa pada setiap lenggok rumpun yang beralun
Gering tanah yang merekah
Bah melimpah dari pantai

Semalam aku bicara
Dengan dia yang kunamakan teman
Membuka pekung dada berkuping
Secebis demi secebis irama tangis membibit
Aku hanya mampu kesat airmatanya

Kata teman,
Aku sudah buntu atas perjalanan
Aku sering butuhkan ketenangan
Sedang di balik sana aku lihat dia masih terus selingkuh
Dalam mencari apa itu tegarnya dunia

Kata teman,
Aku mahu pulang
Teringin memimpin jalan kebahagiaan
Biar sesaat biar seminit
Aku rindukan belaian
Sedang di balik sana dia sedang asyik
Dikepung dunia bersama penglipura duniawi

Bibitku pada teman,
Kau mahu pulang bagaimana?
Sedang kakimu masih dirantai
Jiwamu dipasung
Kau tak rela kepuasan ini dilepasi
Kau mahu perjalanan ini seperti yang kau lakari

Kalau rindu pada bahagia yang kau cari
Bukalah rantai dikakimu
Yang terikat atas nama syurga dunia

Kalau bahagia yang kau damba
Lepaskanlah pasungan di mindamu
Yang tertambat atas nama nafsu semata

Kita bukan dicipta untuk menghitung suka duka
Kita di sini ada amanatnya...

Langit merah terus muntah
Deras airnya sehingga karam
Di lautan terhayun gelora
Di daratan tertimbus harta
Kalau kau masih buta
Kau akan terus terkurung melihat rintik rintik hujan
Menghitung bersama derai airmata
Yang tidak ada kesudahannya

Atas nama La Illa Ha Illallah, Muhammad Rasullulah!!
Bawalah laramu mengadap keampunan Yang ESA!

Sunday, December 06, 2009

Sikit sahaja!

Rombak!!!
Bukan rompak mamu..
Cheq habaq rombak!!!

Rombak!!!
Ape hey le pulok nak romboknye ni?
Ape tidaknye yoep?
Haru biru dah ni~

Rombak!!
Gapo dio pulok ni?
Nok ghombok hok mano?
Mu ikot sajo, jange tanyo..

Rombak!!!
Ape hal kak long?
Nak rombak pe nye?
Dah gerek dah ni!
Ek eleh brader...lu tau ke apenya?
Tak bleh blah la~~

Rombak seisi alam
Rombak jiwa kelam
Rombak dalam diam
Biar rombak sampai karam

Lemas sampai tertelan
Tekak sendat sampai ke otak
Lepas ini apa lagi?
Isu agama, isi parti politik, isu POLEMIK!

Rombak ajelah
Bagi tengok yang nak sangat naik
Bagi relax pada yang sepatutnya rehat
Kita banding kita ganding
Bila berhasil baru tahu baik atau tak baik

Kau dan aku satu suara
Kita panji yang sama
Rumpun yang tiada beza.
Tuhanmu tuhanku!
Ajaranmu ajaranku
Kita gegar satu seru
KITA PAKAT ROMBAK BUKAN ROMPAK!!!!!!!!


Banyak Banyak Story (kata Al-Farysh)

Update 1:

27 November 2009
- Aku ucapkan SALAM AIDIL ADHA (walau terlewat dan ada jemaah haji yang dah selamat sampai tiba). Aku mahu doakan agar segala pengorbanan dan pengertiaan korban itu sampai di segenap hati umat umat yang masih bernafas di muka bumi!!! Aku seperti biasa menyambut Raya Aidil Adha tahun ini bersama insan baru yang bakal menemani saat saat sukar dan senang, En Kekasih. Aku meraikannya dia teratak Sek 9 Kota Damansara bersama seisi keluarga yang lengkap (termasuk anak kecil comel mungil - Farysh).

27 November 2009
- Aku ucapkan SALAM HARI TUA & SEMOGA PANJANG UMUR MURAH REZEKI SERTA DIBERKATI untuk aku :)!!! Aku dah tua wei. 26 tahun menghuni bumi milik tuhan, aku semakin terdetik untuk mencari apa itu permata yang harus dibawa balik bertemuNYA. Aku redha dan gembira dengan setiap saat yang telah aku lalui tanpa ada nafas keluh ku hela. Aku mahu terus menjadi penghuni di bumi keramat ini serta mohon dikurniakan generasi pintar serta berakhlak mulia. Doakan aku!

28 November 2009
- Aku ucapkan SALAM HARI LAHIR buat anak saudaraku yang ku sayang benar. KAMAL AMIRUL AL-FARYSH! Mummy selalu doakan kebahagiaan, kecedarsan, kesihatan yang baik dan akhlak yang terpelihara buatmu. Kau itu ibarat anakku sendiri, kau lahir tika aku baru sehari bergelar hari tua. Kau diciptakan untuk beri aku senyuman. Kau bernafas dalam setiap doa doa dan didikan kasih dariku serta mamamu,papamu dan semua. Mummy akan terus teguh menjadi tiang membimbingmu.

30 November 2009
- Aku ucapkan salam duka buat mama yang tertimpa musibah. Aku masih dalam kebingungan untuk ceritakan lebih lanjut. Aku mahu kongsi tapi aku buntu bicara. Aku kasihan buat mama, kerna terpaksa lalui saat cemas itu. Aku mohon agar Allah swt sentiasa lindungi mama dan jauhkan dari segala perkara tidak diingini. Aku mohon agar Allah swt berikan ceria itu. Mama seorang insan tabah!!

1 Disember 2009
- Salam HARI TUA buat mamaku tersayang! Mama dah cecah angka 5 dihadapannya. Ahaaaaa itu bermakna mama berjaya harungi pancaroba dunia dengan cekal dan tekad. Alhamdulillah mama turut berjaya membentuk kami dengan penuh rasa cinta dan kasih. Di wajah mama biar tergambar duka, hanya tenang yang terlakar. Kau insan tabah mama. Sempena hari lahirmu ini, aku doakan agar Allah swt sentiasa berikan kesihatan yang baik padamu, panjangkan usiamu, jauhkan dari segala mala petaka dan lindungimu. Aku tidak pernah leka mendoakanmu mama!

2 Disember 2009
- Aku dan keluarga meraikan majlis Hari Lahir mama di REBUNG, Bangsar! Sangat meriah dan kerenah Al-Farysh mengembirakan kami sekeluarga!!! Gambar akan menyusul mengukuhkan lagi cerita ini. Seperti biasa, walau mama masih dirundung pilu atas malapetaka yang melanda pada 30 November lalu, namun mama terus tersenyum dan tidak langsung berikan wajah gusar! Seperti ku katakan, mama itu wanita tabah!! I love you..

Menyusul lagi.....wrapped


Tuesday, November 24, 2009

Bermula Lembaran Aku

Salam buat sahabat & keluarga,

Pastinya kita sedang menghitung segala waktu dan saat yang ada untuk memulakan tahun dan azam yang baru. Bayang 2010 sudah kian jelas, sorakkan SELAMAT TAHUN BARU sudah dilatih berkali kali hingga tak sabar menanti saatnya. Namun, kali ini dapatku rasakan apa itu artinya pejam celik. Tika kelopak mata terbuka dan beberapa saat nanti akan terkatup dan terus lagi terbuka dan terkatup hingga tak tahu betapa penatnya mata terus bekerja walhal minda tak mahu berhenti memberikan ruang rehat. Setahun yang sedang berlalu dan bakal meniggalkan aku, kau dan semua tidak kita rasai betapa pantasnya ingin meninggalkan kita.

Aku sering berkata pada suami,

"sayang, i don't feel that i'm enjoying my life, as time flew and nothing gained apart from counting the days what should or shouldn't do",

Mr Kekasih dengan wajah sedikit murka

"what are your trying to say bee? adakah u tak rasa bersyukur dan tidak suka dengan kehidupan u hari ini?",

"eh tidak, don't get me wrong sayang. I suka sangat hidup hari ini apatah lagi ada you di sini, What I'm trying to say was hidup ini terlalu pantas. Now is November and as I can remember, last year at this point of time kita masih cerita tentang apa yang patut ada dalam perancangan perkahwinan kita, tapi hari ini rasanya perkara itu seperti semalam yang baru berlaku".

Itu hujahan aku yang serasanya Mr Kekasih masih lagi tidak mengerti.

Benar, aku tidak merasakan 24 jam sehari telah kumanfaatkan sebaik mungkin, aku tidak terasa nikmatnya sebulan itu selain dari mengejar hingar pingar waktu pejabat yang sibuk dengan:

"eh dah siap ke yang tu, ermmmm marini yang ni dah ada ke? settle semua?"

atau dialog ini sering dan acapkali digunakan:

"when is the deadline? ermmm meeting nanti kita cerita. Owh ya bila meeting ya?"

Kerana kesibukan mengejar DEAD-line aku seperti mahu mati hari ini di atas garisan yang tidak berpaksi. Tuntutan masa yang terlalu pantas bak air terjun mencurah ke alur sungai, itulah nasib yang aku lalui.

Walau Mr Kekasih cuba bawa aku kembali pada paksi yang nyata, dataran yang luas, awan yang menggebu namun aku masih terus rasakan esok seperti sekarang dan lusa seperti 2 jam lagi.

Kataku, "Sayang, I mahu menulislah. Menjadi seorang pujangga yang memuja alam, memuja bintang dan bulan, pokok dan bunga, binatang dan ulat serta ragam ranjau penghuni desa kota"

"Boleh bee, as long as you confident dan you mahu, I sentiasa ada di setiap ruang saat yang you terdetik", Mr Kekasih lantas mengucupi ubun ubunku.

Itulah Mr Kekasih yang aku kenali, walaupun katanya kadangkala membunuh setiap jiwa yang membara, hakikinya dia sangat mengerti dan penuh dengan gumpalan kasih sayang hingga tidak terlerai ke akhir hayat.

Hari demi hari aku merasa terpanggil untuk terus merantai jemari dan pasak minda berfikir tentang keseriusan menulis, namun di kala itulah aku berhenti berfikir. Aku takut mencatur bahasa untuk melihat yang indah belaka, aku gusar jika kataku bisa melumpuhkan semangat mereka yang membaca.

Ada yang bicara, "Untung kau ada kerja yang baik, yang tidak perlu banting tulang. Apa yang kau rungsingkan? Ada orang kerja pun takda, kewangan pun melara. Lagi susah tau"

Maaf sahabat, aku tidak bicara tentang HARTA DUNIA yang kau maksudkan, aku masih tahu ucapkan ALHAMDULILLAH pada rezeki yang ALLAH kurniakan. Tidak terpaling rasa tidak beruntung. Aku bicara tentang AKU dan MASA.

Pernahkah kalian terlintas, apa yang kalian buat sepanjang hari? atau sepanjang minggu? atau sepanjang bulan? lantas menjadi sepanjang tahun? Saban waktu hanya fikirkan KERJA balik dan tidur, sambung lagi KERJA dan tidur dan begitulah lumrahnya.

Ada yang kata, "Kan Kerja tu ibadat wahai cik pujangga?"

Ya benar!! Kerja itu ibadat, kerja itu dituntut Allah swt tapi aku bicarakan di sini tentang masa yang kita hamparkan buat kerja apakah cukup untuk bersedia menerima mati hari esok? Aku tidak bicarakan tentang keperluan bekerja dan kesungguhannya menjadi yang terbaik. Aku walhakan kisah untuk mencari apa itu kepuasan dalam melayari dunia milik abadi Illahi ini.

Kerna itu, aku dapat rasakan sebutir permata jatuh dan meresap kemas dalam sanubari menghayun memohon agar aku kembali menjadi penulis tegar yang mana sudah pun aku berkira kira untuk luputkan sahaja.

Dengan menyanyi bersama unggas, membingit bersama cengkerik, bergurau senda bersama burung dan terbang ke puncak awan mungkin dapat membawa aku menikmati alam ciptaan TUHAN yang agung ini.

Aku nekad, aku tekad atas segala dorongan dan usaha, aku sahut cabaran ini! Masa tidak pasti akan rasa rugi kerna aku akan menghembus setiap bayu baldu menarik roda perjalanan hidup dengan bicaraku.

Terima kasih teman~

Bermunajat Pada Yang ESA

Assalammualaikum w.b.t

Tatkala aku sujud padamu Allah, kurasakan dunia runtuh padaku, rebah dan tersungkur jatuh hingga menghempap isi alam yang rakus. Bertempiaran segala cucu cicit dosa yang melingkari tubuh kufur. Aku mahu sering ada dalam tenangmu, setenang di lautan syurga, aku mahu nikmati nafas penuh aroma cinta dariMU ya ALLAH. Entah di mana silap yang sering aku lakukan, aku kini sangat membutuhkan nikmat darimu agar tidak terpaling walau sedetik wajahmu terhadapku.

Alam ini kurasa sangat sempit, biarpun luas tika aku berada di lautan, segala fatamorgana tidak terlepas dari pandangan namun aku masih terhimpit dan sakit menahan sempit. Atasku langit yang putih membiru, cantik dan gebu, ingin rasanya ku gigit seperti gula kapas. Bawahku lantai bumi yang penuh debu, kotor dan hitam sedang nun tujuh kaki dalamnya terhuni segala binatang serangga berbisa dan tidaj bertulang.

Benar aku tidak sekuat Mariam yang ditoreh hatinya melihat anak tercinta diseksa dihadapan mata, tapi aku tak mahu jadi selemah lemah ibunya Yusuf a.s yang kufur pada nafsu syaitan bertakhta di hati. Dugaan mereka dugaan semulia umat yang akan diangkat menjadi khalifah agung di muka bumi sedang hanya aku bumi mu yang sementara ini ALLAH, aku mahu panjatkan segala doa agar tidak terkudung perjalananku di akhirat sana.

Aku keliru pada setiap kali nafas yang aku hela, bukan untuk dinikmati tanpa sebab musabab. Aku turut terkeliru bilamana kenikmatan zahir batin yang kau tiupkan ke dalam ulu hatiku kadangkala bibitkan ketakutan yang menggigil disanubariku. Aku takut jika terlupa akan kamu Ya ALLAH, terlupa untuk sering bermunajat padamu. Terlupa dalam menunaikan perintahmu.

Aku nantikan sebutir sinar yang dapat kurasakan kian hampir. Sedikit waktu lagi, aku bisa bebas dari ujianmu yang menduga kedambaan hatiku. Padamu Allah aku menyembah, tiada yang lain hanya kau yang ku sembah ku sujud, berikahnlah aku hidayah itu, bimbingilah aku seiring jalan jalan ke pintu syurga, selimutilah aku dengan payung kekuatan semangat agar tidak tumbang dan lemah dan peliharalah maruahku yang berbangsakan ISLAM.

Aku yang kabur, sering tersesat dalam menyusuri libang libu perjalananmu~~

Sunday, November 22, 2009

~Kutujukan KATA KATA ini buat NOOR LAILATUR MARDIANA aka AYU~~

Salam Hari Lahir
Salam seribu sayang
Salam kasih dan cinta
Salam berisi ingatan dan keikhlasan

Salam Hari Lahir
Adikku yang comel
Adikku yang mongel
Adikku yang kukasih
Adikku yang menjadi pujaan keluarga

Salam Hari Lahir
Sudah beranjak setahun lagi
Semalam usah kau toleh
Hari ini dan esok lembaran harus kau titip
Mencari apa itu permata
Memunggah apa itu ertinya dunia

Salam Hari Lahir
Oh tuhan MAHA PENYAYANG MAHA PENGASIH
Bawalah doaku ini kepada perhatianmu
Ambillah bait kataku ini demi untuk adikku
Kepada kau sahajalah aku meminta minta
Kepada kau sajalah aku merayu rayu

Oh tuhanku
Kau murahkanlah rezeki adindaku
Kau jauhkanlah dari segala azab mala petaka
Kau peliharalah maruah dan dirinya
Kau limpahkanlah kurniaMU ke atasnya
Kau berikanlah usia yang panjang serta kesihatan
Kau tutupkanlah mata hatinya dari melakukan mungkar
Kerana kaulah dia masih terus bernafas
Kerana kau jualah dia masih terus menjadi umat menegak ISLAH di muka bumi

Oh tuhanku
Kupohon restumu terhadap doa doa kecilku
Moga adindaku sering dalam gembira
Moga juga dia sering menjadi sinar bagi keluarga

Adindaku AYU
Salam hari lahir dan hanya sepotong doa bisa kekanda dahului
Andai mata tertutup andai tubuhku kaku
Doaku sering bersamamu
Meniti hari hari yang penuh warna pelangi, warna hitam dan putih
SALAM HARI LAHIR
SALAM KASIH
SALAM CINTA
Itulah antara utusan kekandamu buat dirimu

Setahun kau kehadapan
Bertambahlah ilmu di dada
Pada yang ESA jangan kau lupa
Pada yang ESA harus kau sujud sentiasa
Agar kau sering dalam lindunganNYA

SALAM HARI LAHIR
SALAM 19 TAHUN
MOGA KITA AKAN TERUS BERSAMA DENGAN PENUH RASA CINTA


SALAM HARI LAHIR AYU

F.A.M.I.L.Y

~Siapalah aku Tanpa cintamu~

Salam buat teman-teman.

Cerita Nini makin lama makin susut carta bilangannya. Janji telah terpatri sedang tidak dikotai, bagaimana ya? Bukan maaf lagi harus dipinta tapi lebih dari itu, Nini benar benar butuhkan waktu yang panjang untuk terus berkarya.

Ada teman bilang, teruskanlah menulis kerana aku ketagihan tulisanmu. Ada sahabat bilang, kalau tidak membaca coretanmu aku ketagihan dan marah bila setiap kali tekan punat melayari blog aku, tidak ada cerita baru. Ada juga rakan bilang, tidak jenguk sehari rasa gelisah seperti ada tarikan pada tulisan aku tapi SAUDARAKU, aku kebutuhan waktu yang tenang untuk lakarkan coretan ini. Lewat waktu ini, segalanya padat dan sendat. Bernafas pun tersemput semput, tercungap cungap menyelesaikan tugasan pejabat yang semakin mendesak tapi aku cuba untuk memberikan sedikit semangat buat kalian yang tak putus menghantui ruang emailku bertanyakan cerita baru.

Aku bertanya pada Mr Kekasih, apa haruskah aku terus berkarya dan jadikan sebagai pekerjaan sambilan? Aku turut bertanya pada hati apakah aku sudah sedia menjadi sang penulis tegar? Mr Kekasih tidak membalas namun tersenyum dengan menganggukkan sedikit kepalanya menyertakan rasa setuju kerana dia juga punya naluri aku harus terus menulis. Dia tahu aku menulis bukan suka suka tapi aku menulis kerna jiwa aku berbenih penulis. Aku tak sertai kursus hebat, aku tidak bersijil penulis terkenal tapi darah penulis papa sentiasa mengalir deras dalam tubuhku.

Aku benar mahu menulis, kerna jiwaku terlukis dengan jemari yang mahu menari. Bagi sahaja kertas, akan aku lukiskan cerita cerita dunia. Jika dicampakkan di lautan tidak bertepian, aku bisa hidup dengan pena dan lembaran. Akal ku panjang dengan imaginasi lara dunia. Aku senang dengan tidak berkata tapi tak bisa diam tanpa lenggokan bahasa.

Aku mahu rakamkan rasa cinta yang tinggi, rasa kasih yang tak tercapai pada kamu teman dan saudara. Tanpa asakan dan kritikan kamu aku pastinya berhenti dan campak sahaja alunan taipan di maya ini begitu sahaja, tapi tidak bisa sedemikian kerna lebih kuat mahu ku campakkan lebih kuat kalian datang dan menghentam aku dengan persoalan 'mana janji kamu?'.

Ia aku berjanji untuk seaktif dahulu, tapi aku gagal. Aku bukan gagal kerana mahu digagalkan tapi masa itu sangat jahat mencemburui aku dan mencumbukan aku dengan tugasan yang tiada kata akhiran.

Ada banyak yang ingin aku ceritakan, aku pasti singgah lagi di sini buat sedikit masa lagi. Saat ini, aku harus langsaikan hutang di pejabat yang aku bawa balik ke rumah. Selesai hutang itu, aku ke sini lagi bersama kalian.

Terima kasih teman dan saudara. Aku cinta kamu sepenuh jiwa penulisanku!

Friday, November 13, 2009

~Demi Masa~

Bila bulan mula berpaling
Apa ada noda terpalit?
Dalam perjalanan hari semalam
Dalam pengembaraan esok dan depan
Dalam kesempitan di titian

Bila awan tidak menggebu
Putihnya berolak mencalit kelabu
Beratnya memikul beban sebu
Sering diacuh pedang kilat
Pancar dan terus terbelah tepat
Perut membolos rebah ketandusan

Apa aku harus lebih tunduk
Sujud dan terus tafakur
Malam ditemani para syuhadah
Bibir menggumit bait zikir
Subuh dihimpit sunat taubat

Aku lihat alam aku gugup
Aku lihat alam aku takut
Aku lihat alam pimpin gemuruh
Aku lihat isi perut alam
Membawa khabar duka
Esok akan ada babak nyeri
Atau mungkin sebentar lagi?

Semalam aku rasa seminit
Hari ini sesaat
Esok tak terlihat
Kerana aku sibuk mengejar fana
Berlari hingga lupa diri
Lucut satu persatu
Pakaian dan pangkat
Akal dan keringat
Tak aku sedari

Namun
Itulah aku
Pemburu masa yang rakus
Menelan kemanisan bumi
Terbongkang kepenatan
Tebungkam di dinihari
Melihat jam angka 12
Esok mahu terus berantakan
Mengisi kantung dunia
Untuk aku, anak dan generasi gergasi

Lantas hari ini
Aku duduk terduduk
Injak masa jika kumampu
Kerna usia dan masa tak tunggu
Berlalu dalam resah
Sedang bekal alam kekal tiada

Monday, October 19, 2009

Lidah tak boleh bohong?

Kalau kata itu senjata
Sudah ramai mati saat terlontarnya
Lidah jahat pada minda
Hati terledak amarah gusar
Ego tampil menghunus pedang satria

Kalau kata itu senjata
Aku dah lama luput di alam nyata
Semua tak wujud di sini
Tinggal hitungan di sana
Menjawab apa dosa apa pahala

Kalau kata itu senjata
Aku mahu potong lidah
Biar jemari mencetus irama
Agar tersirat bukan tersurat
Tersurat bukan hakikat

Aku hanya kata
Kalau kata itu senjata...

Thursday, October 15, 2009

M-A-L-A-Y-U @ M-E-L-A-Y-U

Aku Melayu malu
Melihat bangsaku berlarian merempuh pintu
Mencari redha di kekalutan buntu
Meredah belukar mencari sesuap nasi
Yang di kangkangkan untuk merasai nikmat ke akhir hayat

Aku Melayu malu
Mencarik - carik di belakang teman dan kawan
Muntah kerna terlebih suapan
Perut meledak angin lintang utara selatan
Berpusar menggigil menadah tangan
Hanya tagihkan candu kesenangan

Hey!! Aku benar malu
Aku Melayu! Aku Melayu
Aku tak tahu apa itu Melayu
Mungkin pada zahirnya Melayu
Batinnya juga dibedung Melayu
Minda kosong pengertian Melayu

Ada kata Melayu mudah lupa
Ada kata Melayu mudah layu
Ada kata Melayu macam kayu
Ada kata Melayu itu layu

Hey!! Aku Anak Melayu
Bapa keturunan Melayu
Ibu Keturunan Melayu
Bahasaku bukan Malaysia tetapi Melayu
Tutur pasarku juga Melayu

Aku bangga jadi Melayu
Tapi kenapa hari ini aku malu lihat Melayu??
Aku bangga pandai berbahasa Melayu
Tapi kenapa esok aku lihat Melayu akan layu??

Aku Melayu malu
Malu dengan tingkah laku
Sopan santun budaya Melayu
Tunduk akur gaya Melayu
Hakikinya Melayu itu lumpuh
Strok pada minda
Di pasung puaka

Aku Melayu
Tak tahu masih mahu terus mengaku Melayu
Aku Melayu
Meratapi luka terpalit perbuatan Melayu
Dadaku dirobek Melayu
Tanganku dirantai Melayu

Oh Melayu...L-A-Y-U

Wednesday, September 30, 2009

~Lewat Malam bersama Puteri Rembulan~

Lewati malam bersama deru angin
Pantas dan kuat
Kelibat bayang tak terlihat
Bulan dan bintang bertempiaran
Meliuk di balik awan tebal

Malam itu titis deras perahan awan mula gugur
Basah bumi yang penuh dosa
Basah bumi yang penuh noda
Basah bumi yang tandus ceria
Basah bumi yang gering tak bermaya

Dari titis terus menderu
Umpama pili ditebuk gergasi
Ampangan dilanggar naga
Mencurah lelah disahut kilat
Kata nenek kilat itu menyumpit syaitan
Terkaku isi alam

Namun kerna ia malam
Penghuninya menyeret selimut
Dari hujung jemari kaki hingga litup ubun kepala
Sejuk dan indah
Damai dan tenang bila mimpi diulit hujan
Iramanya menggagah dengkur yang luar biasa

Aku renung malam
Tersiat palit duka
Terlihat wajah puteri di balik bulan
Terlindung dalam samar
Lantas ku tanya
Mengapa wajahmu selayu bunga
Tak bermaya tiada tenaga tiada girang gembira
Sedang kau sering usap ubunku
Dengan senyum paling indah
Lantas kau dakapku penuh erat
Aku sejuk dalam dakapan itu kerna kau seperti angin kota Inggeris

Ku hembus panji semangat
Ku dakap erat jemarimu
Kau hanya panah anak mataku
Hatimu mula bicara pada mataku
Airmata kau titiskan
Gegar geletar tubuhku
Kerna katamu alam kian tenat
Sakit dan pucat
Gering tiada penawar

Lantas bicaramu terus tak henti
Pinta aku terus bersedia
Lupakan kisah dunia yang diserang carca marba
Penuh kotor jijik dan hina
Bergelumang nista

Aku tunduk membisu
Mengenangkan benar bait katanya
Namun aku bingung
Mencari beraneka jawapan di balik awan sana
Ku layangkan warkah rindu buatnya
'Sampai kita ketemu lagi dan aku mahu lihat senyum delimamu"

Tuesday, September 29, 2009

~~Kanda mahu tahu?~~

Kalau kanda mahu tahu
Dinda gembira menjadi suri kanda
Dinda tak mampu lahirkan senyum girang
Dinda gugup bilamana senyum ini mungkin salah tafsirnya
Antara ikhlas atau paksa

Kalau kanda mahu jengah
Dinda hanya ada kanda
Di sana, di sini, di atas, di bawah, di belakang, di hadapan
Semua wajah kanda

Tahun ini indah buat dinda
Tahun ini dinda bergelar isteri
Tahun ini dinda berpuasa dan bersahur bersama kanda
Tahun ini kanda belikan baju raya dinda
Tahun ini kanda bayarkan zakat dinda
Tahun ini dinda pulang ke kampung kanda
Jauh dan jenuh
Perjalanan terhenjut henjut
Berasak dengan lautan kereta terbentang
Panasnya usah cerita

Kanda tak bicara sepatah
Kanda pinta dinda rehat dan tidur
Kanda kata sikit lagi nak tiba
Kanda usap kepala dinda
Kanda tak rungut tak keluh
Kanda terus senyum dan kucup dinda
Walau dinda tahu kanda baran dengan sesak kereta di jalanan

Kalau kanda mahu tahu
Lautan api pun akan dinda temani kanda
Langit ke tujuh dinda turuti
Ombak bergulung jua dinda rentasi
Agar kanda di hadapan dinda
Terus utuh berikan senyuman

Kalau kanda mahu tahu
Dinda rasa rindu di pagi raya
Beberapa tahun lalu dinda jauh di rantau
Tak sempat beraya bersama keluarga
Sekarang dinda akan terus jadi perantau
Untuk pulang beraya bersama kanda
Tak apalah walau berselang seli
Tak apalah walau meredah sesak dinihari
Tak apalah walau suara mama tiada di cuping telinga
Kerna dinda tahu
Papa mama pasti gembira dengar kanda penuhi setiap impian dinda
Papa mama pasti lapang dada bila melihat senyuman terukir di bibir dinda

Kalau kanda mahu tahu
Dinda sering alpa melihat senyuman kanda
Dinda kalut menatap wajah kanda

Kalau dinda tiada
Kalau tuhan ambil dinda atau kanda
Kalau tuhan mahu kita terus kekal di alam abadi
Dinda mahu kanda tahu
Dinda mahu kanda benar benar tahu
Dinda tak mampu bayar kasih sayang kanda
Dinda tak mampu bayar kesabaran kanda
Dinda tak mampu taruhkan apa pun terhadap kesetiaan kanda


Belum terlambat dinda ucapkan Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin buat kanda. Sesungguhnya lidah yang tidak bertulang ini sering menghiris hati kanda dengan ketelanjuran tiada sengaja.

Ampun dinda minta, maaf dinda harapkan agar keberkatan akan terus menyirami cinta kita.

Monday, September 28, 2009

JIN NOTTI TAK LAYAK KE PANGGUNG

Kesempatan bercuti panjang musim perayaan Aidil Fitri lalu pastinya diisi dengan beberapa aktiviti riadah, terutama bersama suami. Al-maklumlah dengan singkatnya masa yang ada kadang kita teralpa bahawa dialah teratas dalam setiap diari penuh kita.

Tanpa ada niat dan rancangan, aku dan Mr Kekasih putuskan untuk nonton filem. Filem 'UP' katanya menarik, Mr Kekasih pasti gembira dengan wajah filem animasi kerna itu genre yang sering berada dalam mindanya. Aku ikutkan sahaja asal tiada unsur kejam dan ganas sudah cukup memadai. Hajat kammi terbantut, tertindas oleh waktu dan juga ruang tempat, semuanya penuh kecuali di barisan hadapan.

Kami batalkan rancangan menonton filem itu di kaunter pembelian tiket, GSC One Utama dan gantikan dengan semangat menonton filem wajah kita, filem Melayu. Terlintas untuk melihat aksi Mawi dan Fafau maka kami sepakat menonton JIN NOTTI.

Sepanjang perjalanan mengharungi layaran filem tersebut, aku kian mual seperti nak muntah ada, pening lalat ada, panas, sakit telinga dan yang paling tinggi sekali tahapnya ialah mengantuk. Bayangkan, aku dan Mr Kekasih ketawa dalam paksaan. Kami cuba hayati apa sebenarnya isi kandung filem ini, nak kata komedi jauh sekali, thirller? aduhhh tak tergolong, animasi 3D? B-O-R-I-N-G! Itu yang aku dan Mr Kekasih lampiaskan sebaik tamat menonton filem terbitan KRU itu jam 1am.

Aku sungguh tak mengerti, apa sebenarnya intipati yang cuba ingin disemat dalam hati kami? Unsur syirik, khurafat ada terselit sana sini namun itu bukan alasan untuk aku katakan filem ini 'HANCUR' sebaliknya penceritaan filem ini tak ubah seperti drama TV yang tak mungkin ada siapa ingin menontonnya.

Maaf, aku tak bisa lagi kawal emosi pabila terkenangkan waktu dan wang yang terbuang gara gara duduk di panggung menonton filem JIN NOTTI ini. Teman dan sahabat, jika kalian benar mengenali aku pastinya tahu benar bahawa aku tidak pernah mengasingkan diri untuk menjadi penonton pertama wajah filem melayu. Aku bangga melihat anak bangsa mahu terus menjadi seniman,, berkarya, bersutradara. Tidak bohong, aku benar ingin melihat anak bangsa bangkit menontonkan wajah filem kita. Tapi kekesalan ini terus menghambat hingga aku bingung dan tak mahu lagi menjengah panggung jika ada lagi karya sebegini tampil.

Mungkin jiwaku tidak serasi dengan animasi seperti yang ditampilkan, tapi ini kali kesekiannya KRU Production cuba hadiahkan filem HAMPEH buat aku dan peminat filem Melayu. Maaf sekali lagi jika entri ini berbaur emosi, sesungguhnya aku memang tak mampu lagi mengawal amarah dengan hadiah hari raya sebegini di panggung!

Aku malas nak hujahkan apa isi filem ini, kalauada yang ingin sembang panjang isi kandung cerita ini, aku buka gelanggang untuk kita diskusi bersama. Pada aku, cukup sekadar tag line FILEM INI TAK LAYAK KE PANGGUNG yang dapat aku gambarkan.

Usahlah buat filem kalau hanya fikir mahu duit sahaja, hati berjiwa seni, berjiwa filem akan hancur dan kalau boleh nak minta ganti balik rm 22 yang telah aku bayar.

GERAMMMMM!!!!!

p/s: Mr Kekasih tolong sambung kemarahan ini!!!! Grrrrrrrr

Aku mahu amuk!

Seringnya penat berjanji untuk terus aktif seperti dahulu kala, menulis dan terus menulis walau apa pun melintas akan terus berkongsi nukilan. Tapi keputusannya selalu hampa, waktu sering menggigit kuat, tak mahu lepas akan menghambat kisah kisah lain untuk di dahulukan.

Sikit lagi waktu, aku pasti akan terus jadikan ia sebagai teman paling akrab, tak mahu lepas tak bisa terlerai. Aku dan nukilan biar berterabur sampai lebur, biar tersepit sampai perit, akan terus menghayun jemari menghambat lembaran buat kalian.

Ada banyak kisah untuk dikongsi, sama rasa masinnya sama rasa pahitnya lantas sama nikmati manisnya. Kalau belum sampai waktu untuk pergi, aku terus utuh di pentas ini biar berguling guling inipati sampai pening.

Aku mahu memberontak! Mahu terus hambat diri bangkit berdisiplin! Aku mahu sebaris bersama idolaku, hasil nukilan sering menebari pesta pesta buku, sedang aku? Bila lagi??? Bukankah ini yang aku cari???

Benar aku mahu amuk pada aku. Aku janji aku tidak tunduk dengan telunjuk masa yang memintas lapang dadaku!

Tuesday, September 15, 2009

~~SALAM AIDIL FITRI~~


Ramadhan semakin hampir melabuhkan tirai, rasa semalam baru sibuk berkocoh kocohan berbuka puasa bersama mama,papa,adik adik, kaklong dan teristimewa Farysh. Baru semalam juga menjalinkan ukhwah lebih erat bersama keluarga mertua. Semuanya umpama semalam hadir dan hari ini pergi.

Ramadhan kali ini sungguh bererti bagi diriku, jauh lebih indah menjadi anak rantau. Status isteri sesungguhnya membibitkan tenang dan penuh hikmah, berpuasa dan berbuka, bertarawikh, bersahur bersama merupakan saat indah yang tiada nilainya untuk digantikan dengan wang ringgit.

Aktiviti serta tugasan juga tidak putus putus hadir, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Ramadhan ini benar menyatu padukan ukhwah renggang, merapatkan jalinan kasih yang sayup malah ia turut menyucikan hati dari terus dihimpit rasa dendam, rasa amarah yang memuncak.

Entah Ramadhan depan kita bisa menikmati saat sebegini atau mungkin ini yang terakhir. Bersamalah kita memohon agar Yang Esa berikan ruang untuk kita umat yang hina, yang alpa untuk terus mengaut setiap pahala di muka bumi.

Teman dan saudara, mungkin lidah tak bertulang memacul kata, hati bertuli memburuk sangka, sikap dan perbuatan tak terbatas menjaga tertibnya hingga membuatkan kalian terluka, lantas terbit pucuk dendam. Lumrah kehidupan untuk merasa seribu suka dan derita, kerna ini jemari yang lantang dan ligat menari ini ingin menzahirkan rasa hati yang besar untuk memohon maaf yang tidak terkira luasnya. Ampunkan salah silap, terlebih terkurang, sesungguhnya yang buruk itu datang dariku dan yang baik semestinya milik Illahi.

Hubungan ukhwah sesama Islam akan terus utuh dengan menghapuskan dendam dan luputkan dengki.

Sehubungan ini, Nini ingin mengambil kesempatan untuk merakamnkan ucapan SALAM AIDIL FITRI BUAT :
~~SUAMI TERCHENTA "KANDA SYAUKI"~~MAMA~~PAPA~~ALONG~~ADIKKU AMIRUL ~~ADIKKU SITI~~ADIKKU AYU~~ANAKKU AL-FARYSH~~IBU MERTUA~~BAPA MERTUA~~KAKAK & ABANG IPAR~~ADIK ADIK IPARKU~~NGAH BIBAH~~NGAH WALAT~~SEPUPU-SEPUPU TERSAYANG~~MARINA~~ILA~~ENNIE~~FIDA~~EKIN~~HUDA~~FARAHDILLA~~AZLIEN~~EZZATIN~~TEMAN SEKOLAH RENDAH & MENENGAH~~TEMAN SEANGKATAN KETIKA BERUSIA 13-17 TAHUN~~ SAHABAT SAHABAT MIIM~~ANGKATAN PERGJUANGAN AIC~~RAKAN POLITIKUS~~SEMUA YANG MENGENALI NINI~~

Jika nak di isikan satu persatu mungkin tak cukup di sini, namun hait yang kecil ini benar benar zahirkan keinsafan dan kesedaran di atas segala kesilapan yang tidak pernah disengajakan sepanjang mengenali kalian.

Moga kehadiran Syawal kali ini akan lebih memberikan seribu satu ceria dalam hidup kalian.

SELAMAT HARI RAYA AIRIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN..

Thursday, August 27, 2009

JEMPUTAN MAJLIS BERBUKA AIC & SOLAT TARAWIKH BERSAMA DSAI

Salam buat teman & saudara.

Ramadhan menjelma lagi dan di bulan mulia ini, Anwar Ibrahim Club Malaysia sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk menjemput teman & saudara ke Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh bersama Dato Sri Anwar Ibrahim.

Majlis sebegini hanya bertujuan menjalin ukhwah justeru sama-sama berkongsi pahala berjemaah di bulan Ramadhan yang sangat istimewa ini.

Majlis akan diadakan pada 11 September 2009 (Jumaat).

Bertempat di KEDIAMAN DATO' SRI ANWAR IBRAHIM, Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Atucara adalah seperti berikut :

5.30 pm - Sembang santai bersama anak muda
6.30 pm - Gotong Royong persiapan berbuka
7.00 pm - Kedatangan tetamu dan VIP
7.30 pm - Berbuka Puasa/ Solat Maghrib
8.30 pm - Solat Isyak/ Tarawih
10.00 pm - Tazkirah oleh DSAI
10.30 pm - Suai kenal ahli baru & sesi ramah tamah
11.30 pm - Majlis Bersurai

Seandainya kelapangan waktu yang terluang dalam diari teman & saudara, sudilah kiranya bersama menjayakan Majlis ini. Sila daftarkan diri teman& saudara di
www.anwaribrahimclub.com/forum atau email saya di
marini@anwaribrahimclub.com untuk mengesahkan kehadiran.


Semoga Majlis ini akan mendapat keberkatan Allah swt dan kita sama sama membina ukhwah atas benteng Islam.

Wakil Anak Muda AIC,
MARINI KAMAL
marini@anwaribrahimclub.com

Wednesday, August 12, 2009

~~Purnama ini aku bangkit mengatur kata menyulam bahasa~~

Salam buka bicara, dengan penuh rasa kasih dan tanda ingatan.

Purnama berganti purnama, waktu membilang hari, saat bergantian hingga kini tak terhitung lamanya alam maya ini sepi tanpa berita. Sehari ibarat sesaat, kian suntuk mengejar waktu mencari ruang melandaikan diri dalam suasana seperti dahulu kala.

Semoga lembaran ini bisa mengubat ruang ruang rindu yang tandus untuk meratap bicara ini. Ingin sekali Nini lampiaskan rindu yang tak putus tiba, setiap kali menjengah laman maya teman teman yang terus aktif menulis, rasa cemburu mula menular dan timbul bibit bibit sayu bila melihat laman sendiri yang seolah tidak berpenghuni.

Maaf teman andainya tercari cari, mengharap utusan dan akhirnya terus hampa 2 purnama lamanya. Alhamdulillah, Nini sihat menjalani hidup penuh liku yang tidak berakhiran. Memegang status Puan Marini semakin serasi hari ini berbanding dua purnama lalu, rasa kekok rasa janggal. Kini semuanya seperti biasa biasa sahaja.

Beberapa minggu setelah bergelar Puan, Nini di masukkan ke hospital atas kesihatan yang tidak begitu baik, mungkin kerna terlalu sibuk beberapa bulan yang lalunya diikuti kisah berpindah rumah dan yang paling ketara sibuk dalam menguruskan waktu bekerja, inilah agenda paling teruk menyumbangkan kepada kesihatan yang mundur.

2009 banyak mencoretkan segala kisah manis diselangi selok belok pahit namun tidak satu pun mematahkan semangat untuk terus berdiri dan kukuh di pentas maya ini. Bila tertoleh episod semalam, rasa lebih nyeri lebih kusut. Alhamdulillah Allah swt tidak memanjangkan dugaan berat ke atas hambanya jika hambanya tidak terdaya merangkulinya.

Buka lembaran hati, lihat pada apa yang hadir, mungkin ada bahasanya gusar, gembira, sedih dan murung melanda. Perlahan lahan kita kupas intipatinya agar merasai nikmat segala rasa, nilai dengan akal dan pasti di situ lahir kekuatan yang tiada tolok bandingnya.

Akan pasti, laman maya ini tidak akan sepi lagi dan terus membawa lembaran demi lembaran buat teman yang sudi menjadi peneman setia. Usah gusar lagi, di sini kita pasti akan terus menjalin ukhwah sillaturahim, mengenali setiap detik agar maya tidak memisahkan cerita cerita kita.
Teman, anjakan pada laman mayaku ini akan menyusul dengan seperti sedia kala. Aku dan puisi,aku dan gurindam, aku dan cerita, aku dan potret malah aku dan bicara hatiku tak akan pernah terpisah biarpun dihambat waktu yang paling dahsyat.

Kita ketemu lagi teman, salam penuh rasa kasih tulus dari batin.

Thursday, June 11, 2009

~~Mengeluh pada keluh hati~~

Pada angin biarkan segalanya berlalu
Terus gelap dan malapkan kelabu
Awan biru tiada lagi bercorak rindu
Hanya deru debu debu buntu

Benar hidup harus ada keyakinan
Bukan yakin dalam bicara
Jujur membina kata
Bukan yakin bersaksikan mata
Tulus pada hati yang buta

Pada malam utuskan keluh
Mendengus ruang ruang pilu
Jauh mata hati terlalu jauh
Andai bisa terhenti biarkan terus pergi

Bukan pohon warkah derita
Merenung jauh di fantasi cuma
Kekal hari ini kekal selamanya
Entahkan esok menerjah bahagia

Pada cengkerik kubisik bayu
Subuh sendu menangguk rindu
Kerlipan mata tak bisa layu
Semalaman buntang terang keras kelu

Biarkan aku terus dirasuk
Dalam angin impian tiada berpenghujung
Kau tak bisa mengerti
Kau terus membisik
Meragut senyum hati menjerit
Benar aku tak mahu henti
Aku tak mahu