Tuesday, June 08, 2010

BUNTU~~

Kosong dan gelap
Setiap kali aku buntangkan mata
Tak kelihatan apa apa
Seringnya warna hitam dan bintik bintik bintang
Aku pudar dalam alamku

Apakah aku mimpi
Sebalik airmata yang tertangis
Aku tak mahu sedih
Aku benci pilu
Hujan hujan petang tetap mewajahkan malam
Gelap itu sepi
Sepi itu buntu

Aku sendiri melayan kegelapan
Menguak pintu pintu yang ada
Dalam meraba aku tak jumpa
Semuanya hilang
Terhuyung hayang mencari jalan
Akhirnya aku jumpa sepi
Dan ia buntu
Gelap dan gerutu

Aku lelah dan tercungap
Aku mengucap aku ternadah
Mengapa susah mencari jalan keluar
Biar ada tombol
Pintu tersergam
Walau gelap aku dapat merasakannya
Namun ia tak terbuka
Aku terkunci
Apakah hingga mati

Tika gelap aku buntu
Aku mahu bulan temani aku
Cahaya yang indah
Ketulusan sinar itu bawa aku tenang
Biar aku tahu aku akan mati
Mati dalam kegelapan dan kesepian

Hentikan semua permainan dunia
Aku tak sabar menanti hari pembebesan
Bila gelap aku buntu
Aku sepi dan kalut
Benarkan aku lihat cahaya lebih indah
Biarkan aku mendakap setiap warna selain hitam
Aku mahu bahagia
Bukan derita yang terus menyiksa

SEPI~~

Sepi
Bilamana sepi datang menghimpit
Ruang luas menjadi sempit
Seisi alam menjerit rasakan kesesakkan
Dihuni ilusi ilusi sepi
Yang terus menjerit
Yang terus menggigil

Sepi
Kalau bisa aku bunuh
Ruang sepi yang menghantui
Aku mahu kapankan tanpa bernesan
Aku nyilu akan kesepian
Aku benci akan kekosongan
Aku bisa mati dalam hitamnya sepi

Sepi
Luasnya dunia kurasakan sebesar liang lahad
Tidak punya ruang ke kiri dan ke kanan
Nafas tersekat sekat
Tenggelam dan terus lemas
Kerana sepi itu memenuhi ruang duniawi yang luas

Sepi
Kau harus pergi
Tinggalkan aku sendiri
Usah kau sapu segala maraan api
Cinta dan sayang
Kasih dan gurindam
Aku tak mahu bertemankan
Malam yang gelita biarpun cerah
Siang yang malap biarpun terik sinarnya


Thursday, June 03, 2010

4 bulan kini!!

Sudah melebihi angka 4 bulan, kini anak itu sering menjadi igua malam ibunya ini. Setiap geraknya, tumbesarannya menjadi agenda utama untuk ibu ini lebih teliti mengharungi hidup. Detik melihat ia berada di hadapan mata adakalanya tidak tersabar, namun apakan daya kerna jauh lagi perjalanan itu.

Aku kini berada dalam lingkungan 18 minggu dan sudah separuh perjalanan itu ku lalui. Seribu rasa berkeromok dalam diri. Saban hari ada sahaja perkara yang membataskan pergerakkanku, pakaianku dan lebih sukar untuk ku tempuh apabila kesihatan tidak stabil seperti biasa.

Saban waktu aku berbual dengan anak, mohon agar dia juga dapat membantuku menaikkan semula uri yang jangkaan doktor sudah berada di bawah dan agak sukar naik kerana ruang akan semakin sempit. Ya ALLAH, aku mahu lahirkan anak ini normal tanpa komplikasi. Jika boleh, aku tidak mahu ianya dibedah apatah lagi melahirkannya lebih awal dari jangkaan 40 minggu.

Naluri ibu itu sudah semakin kuat dalam diri, aku mahu rasai apa itu keperitan menjadi ibu. Aku mahu rasai bagaimana ibuku melahirkan aku seperti bersabung nyawa. Aku mahu simpan cerita itu, aku mahu kongsikan bersama anakku bila dia besar nanti. Aku mahu tahu, setiap perjalanan membawanya bersamaku hinggalah saat melahirkan, ia adalah pengalaman indah biarpun perit dan menyingkap segala kekalutan.

Jambatan doa itu aku bina agar suara kecilku diangkat ke penghadapan Allah swt. Sesungguhnya, kuasamu ALLAH swt tidak ada yang bisa menepis dan kerna kaulah pencipta segala kejadian, aku hanya bermohon padaMU. Aku mahu rasai anak ini dilahirkan dengan cara normal bukan kemodenan.

Owh ya, ramai lagi yang bertanyakan tentang jantina anakku ini. Sewaktu bertemu doktor atas temujanji yang ditetapkan baru baru ini, anakku tidak segan silu menampakkan jantinanya seolah mahu ditontonkan pada dunia. Sebaik sahaja mesin ultra bunyi itu menciumi kulit perutku, ia sudah kelihatan. Aku sedikit tertawa bersama suami yang tidak putus senyuman di bibir.

Alhamdulillah biarlah ia menjadi rahsia dahulu sehingga benar benar dapat kami lihat dan rasainya baru dikongsi bersama. Masih terlalu awal untuk mempercayai kata kata doktor kerana dia masih di sebalik perutku dan tuhan boleh mengubahnya bila bila masa sahaja.

Untukmu anakku, ibumu ini sedang berjuang atas nama ALLAH swt agar kau selamat dilahirkan dan merencana kehidupan di bumi yang penuh fana. Ibumu adakalanya tidak terdaya atas ujian yang sedang di uji ini. Badan ibu semakin lemah, fokus ibu tidak tentu arah dan masa masa terluang banyak ibu habiskan dengan tidur yang panjang hingga terabai banyak perkara.

Perlu kau tahu anakku, ayahmu sering menjadi tulang belakang ibu saat ini. Dialah ketua keluarga yang bijak dan sangat bertimbang rasa. Setiap langkah ibu, semuanya diperhatikan dan tidak mengizinkan ibu melakukan apa pun yang bisa memudaratkan kesihatan ibu dan dikau. Setiap pagi dan sebelum tidur, ayahmu sering berbicara denganmu walau kau tidak bisa memahami mahupun mendengarnya.

Anakku, langkah ibu masih jauh namun ibu turut bermohon agar kau dengar rintihan ibu ini. Jadilah anak yang sentiasa membanggakan keluarganya, taat pada agama dan dapat berbakti pada negara.

Kita berbicara lagi bila kau berusia 5 bulan :)

Salam sayang..