Friday, February 16, 2007

~~Negaraku Negara Gemilang~~

Jika dihitung dengan angka, kurang dari 60 hari aku akan mengakhiri pengajian di England ini. Walaupun belum boleh menarik nafas lega, aku dapat merasakan beban yang dipikul selama ini semakin ringan.

Alhamdulillah, atas usaha dan berkat doa keluarga aku melunaskan tanggungjawab seorang pelajar tanpa berhadapan dengan masalah rumit. Lumrah menjadi manusia, tidak ada yang sempurna jika kita masih bergelar umatNya. Bertelagah dan menarik muncung panjang terhadap rakan kuliah sudah menjadi perkara lazim buatku, memang mudah untuk kita mengikut resam burung kakak tua tapi sukar untuk merealisasikan keinginan dari buah fikiran sendiri jika dituntut melakukan aktiviti berkumpulan. Almaklumlah, kerja kuliahku memerlukan semangat berkumpulan yang rata-ratanya empat ke enam orang dalam sebuah pasukan.

Dalam tak sedar, aku sudah mula serasi dan sedikit selesa dengan negara orang putih ini. Kalau dulunya, rungutan tak putus menyembur terhadap segala sistem dan peraturan yang disediakan tapi kini segalanya ibarat alah bisa tegal biasa.

Aku melihat mengapa kemajuan itu dimiliki oleh mereka, ketegasan dan kesungguhan melakukan tugasan harian menjadi satu perkara wajib bagi memperolehi pulangan lumayan. Dunia di sini dunia metarial, apa yang mereka ingini pasti dikecapi dengan bermatlamat harus bekerja kuat. Hidup yang berlainan cara agama dan budayanya mula membukakan mataku, apa yang boleh dijadikan teladan aku ambil dan sempadannya aku tinggalkan kembali bersama mereka.

Ramai yang bertanya, apa bezanya berkuliah di negara sendiri daripada berkuliah di negara serba mahal ini? Bukankah kita miliki segala kemajuan dan pusat pengajian kita juga setaraf dengan pencapaian peringkat antarabngsa? Malah ada yang terlintas mengaitkan keburukan budaya barat ini bakal menggoyahkan iman dan adat kita. Inilah pemikiran negatif masyarakat yang berbaur sedikit dengki dan sempit, sesungguhnya aku kian lemas dengan persepsi masyarakat yang kononnya maju tapi mundur akalnya.

Bukan mengajar tetapi memperingatkan bahawa di mana pun kita berpijak, bukan penampilan yang mencermikan peribadi kita. Apatah lagi pukulan arus kemodenan hari ini tidak layak untuk mengukur setinggi mana hati menjunjung agama dan adat budaya.

Sepanjang jalan kehidupanku di kota London, berbagai asam garam manusia aku temui. Anak bangsa kita yang berpakaian sopan dan kononnya memperlambangkan budaya dari penampilan kebanyakannya hanya berselindung di sebalik topeng yang disarung. Bagi mereka yang bergaya barat celup dengan pakaiannya menatang adat budaya kita dengan penuh keikhlasan. Pelik tapi itulah kebenarannya. Rata rata yang ada di sini menjadi berbudaya kerana terpaksa membawa lencana negara, pada hakikatnya yang sempitnya minda bukan kian longgar malah semakin sempit menilai peribadi seseorang.


Aku tidak menghukum mereka dengan cara dan gaya, itu pilihan mutlak individu dan tidak ada hak untuk dipertikaikan, akan tetapi janganlah lupa bahawa kita di sini memerlukan antara satu dengan yang lain untuk berkongsi rasa rindu pada negara sendiri. Bukankah resam kita menuntut yang berat itu sama kita bebani dan yang ringan sama kita jinjing.

Seperti kukatakan, aku di sini bukan sekadar menjadi pelajar di pusat pengajian malah aku menjadi pelajar di universiti kehidupan. Nikmatnya menjadi pelajar universiti kehidupan ini, aku tidak perlu menduduki peperiksaan namun tugasan harian terlalu banyak untuk aku mengulangkajinya. Antara subjek kehidupan yang menjadi subjek kegemaranku, aku belajar erti persahabatan yang sebenar, erti sebuah keluarga, erti berdikari, erti mengurusi kewangan dan banyak lagi. Guru - gurunya berada di mana mana, cuma tinggal rajin dengan malas bertanya.

Jika dulu mama dan along tempat aku berpaut, tanpa mereka perjalanan hidupku tidak sempurna. Dari celik mata bundar ini sehingga pejam di malam hari, merekalah yang menjadi segala tulang empat keratku. Aku ibarat berpaut pada dahan yang kuat dan tak mungking patah. Kini segalanya dalam agendaku sendiri, tiada lagi dahan untuk berpaut, hanya angin semangat yang sering mengentalkan semangat aku untuk terus menggagahi erti sebenar kehidupan.

InsyaAllah, jika ada rezekiku untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan aku genggaminya selagi terdaya. Biarpun terpaksa menjadi penghuni sementara di tanah bermusim empat ini, aku redha. Bukan bererti rasa cintaku pada tanahair kian terhakis, tidak sama sekali dan mungkin sekali tidak akan terjadi. Aku anak bangsa yang sentiasa menjulang nama tanah airku malah adat budayaku seiring dengan agama suciku. Mana mungkin anak jati Wilayah Persekutuan ini akan curang pada tanahnya.

Niat murniku hanya satu, mengecapi segala apa yang termampu dari zahir dan batinnya. Selagi aku bisa menjadi penghuni kota Inggeris ini, kenapa tidak aku terus belajar dan belajar bagaimana untuk menjadi seberjaya mereka dan dalam masa yang sama memikirkan sesuatu yang baru untuk kejayaan tanahairku. Perjuangan itu menjadi lama jika kita hanya memikirkan bila mahu menang, tetapi ia akan menjadi singkat jika kita menyusun strategi untuk memiliki kemenangan.

Segala impian mama dan papa akan segera aku tunaikan, bumi tercinta Malaysia pastinya akan tetap menjadi bumi yang teragung dalam diri ini. Biar nyawa terpisah dari jasad, namamu Malaysia nama terindah.

Sampai bertemu di coretan baru, salam sayang dari kota Inggeris untuk semua warganegara Malaysia. Assalammualaikum..






5 comments:

zafi said...

hmmmm
study mana?

Ninie Kamal said...

stUdy kAt HiGh WyComBe sChOoL oF 'BucKinghaMsHiRe ChilTerNs UniVersIty CollEge'

LeaVe in MaiDa VaLe, LonDon

Anonymous said...

hey

sukela every single words yang u tulis :)

zafi said...

oic...
nice to meet you...
your writing is good...
ade emosi ade suke ade duke...
Bumi penjajah ni jugak pilihan kita rakyat Malaysia...
macam kembali dijajah? oh tidak...
kita datang mengaut ilmu untuk diri bangsa dan agama...
Menuntut ilmu tiada batasnya... sejauh mana kita melangkah, andai iman kukuh di dada,
anda jiwa berpaksi pada yang SATU,
InsyaAllah...
langkah yang diatur akan sampai ke destinasinya...

Selamat Maju Jaya..
Mungkin suatu hari nanti kita akan bertemu.. di Kota London nih.. :)

Just me Zafi...

Anonymous said...

Tahniah...
Selamat kembali ke tanah air...