Friday, February 16, 2007

~~Negaraku Negara Gemilang~~

Jika dihitung dengan angka, kurang dari 60 hari aku akan mengakhiri pengajian di England ini. Walaupun belum boleh menarik nafas lega, aku dapat merasakan beban yang dipikul selama ini semakin ringan.

Alhamdulillah, atas usaha dan berkat doa keluarga aku melunaskan tanggungjawab seorang pelajar tanpa berhadapan dengan masalah rumit. Lumrah menjadi manusia, tidak ada yang sempurna jika kita masih bergelar umatNya. Bertelagah dan menarik muncung panjang terhadap rakan kuliah sudah menjadi perkara lazim buatku, memang mudah untuk kita mengikut resam burung kakak tua tapi sukar untuk merealisasikan keinginan dari buah fikiran sendiri jika dituntut melakukan aktiviti berkumpulan. Almaklumlah, kerja kuliahku memerlukan semangat berkumpulan yang rata-ratanya empat ke enam orang dalam sebuah pasukan.

Dalam tak sedar, aku sudah mula serasi dan sedikit selesa dengan negara orang putih ini. Kalau dulunya, rungutan tak putus menyembur terhadap segala sistem dan peraturan yang disediakan tapi kini segalanya ibarat alah bisa tegal biasa.

Aku melihat mengapa kemajuan itu dimiliki oleh mereka, ketegasan dan kesungguhan melakukan tugasan harian menjadi satu perkara wajib bagi memperolehi pulangan lumayan. Dunia di sini dunia metarial, apa yang mereka ingini pasti dikecapi dengan bermatlamat harus bekerja kuat. Hidup yang berlainan cara agama dan budayanya mula membukakan mataku, apa yang boleh dijadikan teladan aku ambil dan sempadannya aku tinggalkan kembali bersama mereka.

Ramai yang bertanya, apa bezanya berkuliah di negara sendiri daripada berkuliah di negara serba mahal ini? Bukankah kita miliki segala kemajuan dan pusat pengajian kita juga setaraf dengan pencapaian peringkat antarabngsa? Malah ada yang terlintas mengaitkan keburukan budaya barat ini bakal menggoyahkan iman dan adat kita. Inilah pemikiran negatif masyarakat yang berbaur sedikit dengki dan sempit, sesungguhnya aku kian lemas dengan persepsi masyarakat yang kononnya maju tapi mundur akalnya.

Bukan mengajar tetapi memperingatkan bahawa di mana pun kita berpijak, bukan penampilan yang mencermikan peribadi kita. Apatah lagi pukulan arus kemodenan hari ini tidak layak untuk mengukur setinggi mana hati menjunjung agama dan adat budaya.

Sepanjang jalan kehidupanku di kota London, berbagai asam garam manusia aku temui. Anak bangsa kita yang berpakaian sopan dan kononnya memperlambangkan budaya dari penampilan kebanyakannya hanya berselindung di sebalik topeng yang disarung. Bagi mereka yang bergaya barat celup dengan pakaiannya menatang adat budaya kita dengan penuh keikhlasan. Pelik tapi itulah kebenarannya. Rata rata yang ada di sini menjadi berbudaya kerana terpaksa membawa lencana negara, pada hakikatnya yang sempitnya minda bukan kian longgar malah semakin sempit menilai peribadi seseorang.


Aku tidak menghukum mereka dengan cara dan gaya, itu pilihan mutlak individu dan tidak ada hak untuk dipertikaikan, akan tetapi janganlah lupa bahawa kita di sini memerlukan antara satu dengan yang lain untuk berkongsi rasa rindu pada negara sendiri. Bukankah resam kita menuntut yang berat itu sama kita bebani dan yang ringan sama kita jinjing.

Seperti kukatakan, aku di sini bukan sekadar menjadi pelajar di pusat pengajian malah aku menjadi pelajar di universiti kehidupan. Nikmatnya menjadi pelajar universiti kehidupan ini, aku tidak perlu menduduki peperiksaan namun tugasan harian terlalu banyak untuk aku mengulangkajinya. Antara subjek kehidupan yang menjadi subjek kegemaranku, aku belajar erti persahabatan yang sebenar, erti sebuah keluarga, erti berdikari, erti mengurusi kewangan dan banyak lagi. Guru - gurunya berada di mana mana, cuma tinggal rajin dengan malas bertanya.

Jika dulu mama dan along tempat aku berpaut, tanpa mereka perjalanan hidupku tidak sempurna. Dari celik mata bundar ini sehingga pejam di malam hari, merekalah yang menjadi segala tulang empat keratku. Aku ibarat berpaut pada dahan yang kuat dan tak mungking patah. Kini segalanya dalam agendaku sendiri, tiada lagi dahan untuk berpaut, hanya angin semangat yang sering mengentalkan semangat aku untuk terus menggagahi erti sebenar kehidupan.

InsyaAllah, jika ada rezekiku untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan aku genggaminya selagi terdaya. Biarpun terpaksa menjadi penghuni sementara di tanah bermusim empat ini, aku redha. Bukan bererti rasa cintaku pada tanahair kian terhakis, tidak sama sekali dan mungkin sekali tidak akan terjadi. Aku anak bangsa yang sentiasa menjulang nama tanah airku malah adat budayaku seiring dengan agama suciku. Mana mungkin anak jati Wilayah Persekutuan ini akan curang pada tanahnya.

Niat murniku hanya satu, mengecapi segala apa yang termampu dari zahir dan batinnya. Selagi aku bisa menjadi penghuni kota Inggeris ini, kenapa tidak aku terus belajar dan belajar bagaimana untuk menjadi seberjaya mereka dan dalam masa yang sama memikirkan sesuatu yang baru untuk kejayaan tanahairku. Perjuangan itu menjadi lama jika kita hanya memikirkan bila mahu menang, tetapi ia akan menjadi singkat jika kita menyusun strategi untuk memiliki kemenangan.

Segala impian mama dan papa akan segera aku tunaikan, bumi tercinta Malaysia pastinya akan tetap menjadi bumi yang teragung dalam diri ini. Biar nyawa terpisah dari jasad, namamu Malaysia nama terindah.

Sampai bertemu di coretan baru, salam sayang dari kota Inggeris untuk semua warganegara Malaysia. Assalammualaikum..






Tuesday, February 13, 2007

Rencana Ringkas ALAM

Bumi semakin tenat, antara kita sedar ataupun tidak senarionya mencapai ke tahap membimbangkan. Semalam, saya sempat berbual dengan mama, katanya bahang panas di Malaysia menggigit kulit biarpun hujan melimpah ruah namun masih tak dapat menampung takungan air di tangki-tangki dan empangan.

Adakah ini hadirnya satu bencana ataupun dugaan yang harus kita terima sebagai penduduk bumi? Di mana silap dan salahnya sehingga panas sehingga melecur, hujan menenggelamkan kampun tapi masih lagi masalah tumbuh bagai cendawan.

Teringat pula akan lagu 'Ebiet G.Ade' yang berjudul BERITA KEPADA KITA.

Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
Sayangnya kau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan

Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
Hati tergetar menambah kering redup hutan
Perjalanan ini seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih

Kawan cuba dengar apa jawabnya
Ketika ia ku tanya mengapa
Bapa ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut
Ku khabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak kepada matahari

Tetapi semua diam
Tetapi semua bisu
Tinggalah ku sendiri
Terpaku menatap langit

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
Dengan dosa dosa

Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang


Mungkin juga tanpa kita sedar, alam ini dah mulai bosan dengan tingkah kita. Mendabik dada membangunkan negara dalam kita leka bahawa tanah ini kian sakit atas perbuatan kita. Bila kita mahu sedar?

Bersama kita doakan agar alam kita ini kembali sihat, seluruh isinya dapat dinikmati hingga ke akhir zaman.


Saturday, February 03, 2007

POLITIK untuk kita

Assalammualaikum

Semoga sejahtera semua dalam lindunganNya. Lama rasanya tak berkongsi kisah pergolakan bumi Malaysia yang rata ratanya berkait dengan erti kata 'politik'. Apa sebenarnya istilah politik di benak masyarakat, Nini tak pasti.

"Politics is the process by which groups make decisions. Although the term is generally applied to behavior within government, politics is observed in all human (and many non-human) group interactions, including corporate academic and religious institutions"

"Politik adalah satu proses di mana keputusannya dibuat oleh sebuah kumpulan. Terma ini bukan setakat digunakan untuk orang ramai, institusi keagamaan, akademik dan pertubuhan perniagaan malah kerajaan turut mengaplikasikannya
dalam pentadbiran sesebuah negara"

Erti kata ini dipetik daripada lama web 'Wikipedia' yang menerangkan maksud sebenar apa itu politik. Namun masyarakat hari ini menggunakan kekuasaan politik ini untuk mengecam kebebasan hak ahli kumpulan dari menyuarakan dan bertukar pandangan. Seharusnya, keputusan yang dilakukan bukan untuk mencari keselesaan pada individu tetapi fenomena ini yang terjadi dalam menghuraikan erti 'politik' hari ini.

Cukuplah, tak berminat lagi untuk saya menyuarakan keluhan mengenai keganasan kuasa politik terhadap negara tercinta. Tak ada jalan penyelasaiannya biarpun parti pembangkan terus mengibarkan sayap menentang benteng kerajaan. Setiap yang wujud ada objektif dan tujuannya. Kalau ia tidak memihak pada individu, ia pasti bertumpu pada kepentingan hieraki tertinggi kumpulan tersebut. Keadilan itu tak mungkin tercapai dalam mengharungi dunia material hari ini.

Walau perjalanan hidup ini masih jauh apatah lagi individu remaja seperti saya yang mungkin boleh mencuba untuk mengubah percaturan minda anak bangsa, semuanya kian pudar apabila mengenangkan rakusnya minda material masyarakat hari ini yang tak boleh dipimpin lagi. Kita bukan lagi tinggal di zaman Tun Hussien Onn, di mana hanya berapa peratus sahaja masyarakat yang berpendidikan tinggi dan faham benar apa erti perjuangan dan keadilan malah kita bukan lagi tinggal di kurun yang menagih kebebasan dari jajahan tapak tangan asing. Hari ini, masyarakat begitu selesa di mana mereka berpijak, malas untuk memikirkan keadilan generasi akan datang dan lembik daya fikiran untuk mempertahankan hak asasi sendiri. Majoritinya selesa dengan apa yang mereka ada hari ini, mungkin juga serik dengan kebuasan peperangan yang pernah mereka tempuh satu ketika dulu.

Ramai anak muda diluar sana yang menggengam segulung mahupun lebih kertas yang menobatkan mereka adalah graduan lulusan institusi pendidikan. Apa yang ada dalam minda mereka mengenai masa depan hanyalah bagaimana mahu mencari sebanyak wang ringgit dan harta dunia sebanyak mungkin. Mungkin mereka lupa bagaimana nak mengekalkan kesejahteraan negara atau mungkin mereka leka dengan keseronakkan pelbagai budaya yang datang dan pergi dari pelbagai negara. Yang jahat itu tidak hanya datang dari negara barat seperti yang sering dituturkan oleh golongan dewasa sebelum ini, malah negara timur juga mencerminkan banyak unsur negatif yang seharusnya kita jadikan iktibar. Hentikanlah dari terus menggunakan ayat, 'Jangan Contohi Budaya Barat' walhal tanpa disedari ramai graduan pintar yang mengisi kekosongan jawatan di institusi pekerjaan lahirnya dari universiti barat. Lebih molek kalau kita cuma peringatkan mereka agar jangan contohi budaya yang tidak baik dan jadikan sempadan untuk mencubanya.

Politik itu bukanlah kotor, majoriti masyarakat hari ini bila diajak bersembang mengenai politik, rata ratanya memandang jelek seolah tercalit najis pada nahu kata tersebut. Terbayang di minda hanyalah pergolakan, penindasan, rampasan kuasa, pengaupan material masyarakat dan macam macam lagi. Tanpa kita sedar, kita telah memuatkan satu pengertian baru mengenai POLITIK. Implikasinya pada anak bangsa depan tidak lagi positif terhadap POLITIK, mereka akan terus menconteng perkataan tersebut dengan lebih rakus lagi.

Perubahan bukanlah perkara yang mudah untuk kita menukar kembali kebersihan nama POLITIK biarpun jika disental dengan peluntur jenama hebat, ia tetap meninggalkan kesan jua. Siapa yang harus mengubah dan apakah perubahannya bukan persoalan yang saya minta teman fikirkan. Usah bebani minda dengan masalah ini, apa yang kita seharusnya lakukan adalah dengan menghentikan dari terus berfikiran negatif dan tampil bersuara dengan diplomasi terhadap hak yang kita miliki. Bukan keganasan yang kita cari, rata rata masyarakat hari ini semuanya punya mentaliti yang tinggi pendidikannya, jadi usahlah jadi pejuang yang melumpuhkan perjuangan sendiri. Bersorak hingga kampung tergadai, bertempur hingga tanah menjadi padang jarak padang terkukur.

Hari ini politik bukan sekadar digunakan untuk menggambarkan sesbuah kerajaan, namun perkataan itu lebih kerap digunakan untuk melambangkan sesuatu yang negatif. Jika tidak pada industri perniagaan, ia akan digunakan untuk industri seni hiburan tanah air.

Pada saya, penyakit POLITIK songsang ini setaraf dengan wabak AIDS. Ia tidak berpenawar dan boleh membawa kepada kematian dan lumpuh perkembangan generasi. Saya tidak memandang jijik pada pesakit AIDS, malah hati ini meronta untuk membantu mereka agar dapat dipulihkan seperti keadaan normal, malah jika mampu, material dan mental sanggup saya pertaruhkan untuk membersihkan penyakit tersebut terhadap penghidapnya. Namun apakan daya, hingga hari ini AIDS belum ada penawarnya, si penderita hanya mampu berdoa agar segala dosa diampunkan dan mengharapkan agar anak cucunya tidak terjebak dengan wabak hina ini.

Begitulah runcingnya POLITIK songsang pada dunia hari ini. Kita mampu mengubah jika kita tahu keupayaan kita. Siapa tidak sayangkan negara, tempat jatuh lagi dikenang apatah pula tempat bermain. Tak kiralah kumpulan mana yang membimbing kita, waimahnya haruslah lurus dan tidak memesong kepada kepentingan peribadi. Pemimpin mana yang diberikan kepercayaan, menangilah hati mengundinya dengan adil bukan dengan sogokan dan penipuan.

Kita mampu menjadi lebih aman dan tenteram dengan bumi misteri yang kita miliki. Negara yang kaya hasil buminya, berbilang warna kulit masyarakatnya, indah panoramanya dan tenang dari ledakan ganas bencana alam ini seharusnya dipelihara dengan tangan yang bersih dari percaturan minda yang kotor. Sayangi bumi kita!

Politik itu matlamatnya bersih, jangan dilempar tompok hitam menjadi hingga pudar sinar cahayanya.

May ALLAH s.w.t bless us!

Salam sayang penuh ingatan dari Kota London




Thursday, February 01, 2007

Kata 'Mama', Kata 'Papa'


Kata mama
Hidup penuh duri
Kita mengatur langkah
Onar masih pantas mengejar

Kata mama lagi
Kita ini manusia biasa
Biar terungkai keburukan
Jangan biar ia memakan jiwa

Mama terus berkata
Ingat tuhan di mana kita berpijak
Sering tawaduk padaNya
InsyaAllah kita dalam lindunganNya

Papa pantas bicara
Hidup rakus rintangan
Tanpa akal kita ditindas
Dikecam arus kemodenan

Papa lantang berkata
Maruah jangan dicemari
Mahkota diri jangan dinodai
Lelaki ibarat kumbang
Menghisap madu dan terbang

Papa memujuk dengan katanya
Tanpa pelajaran kita pasti tewas
Merentas alam duniawi yang kian pantas
Kutiplah selagi nyawa terdaya
Agar diri berada dipuncak jaya

Papa berbisik padaku
Semalam itu sudah menjadi kenangan
Bangun dan jangan leka
Rentasi hari ini dengan seribu keazaman
Agar esok yang hadir penuh sirna kehidupan

Sambil mengusap kepalaku
Papa merenung tajam ke dasar mata bundarku
Mulutnya terus berkata
Anak-anakku adalah cita citaku
Akan kuredah lautan bara kudaki gunung berapi
Dengan satu tujuan membara
Melihat anak anakku berjaya dalam pelajaran
Lantas mengharungi kehidupan

Mata mama ku renung
Pipi papa ku kucup
Tangan mereka kugenggam
Dengan ucapan yang terhambur
Mereka mengucup keningku
Takkan ku siakan kasihmu papa’
‘Takkan ku hancur hatimu mama’
‘Tanpamu aku pasti lemas mengharungi duniawi’
‘Tanpamu aku pasti hanyut di buai mimpi’
‘Hanya doamu pembakar jiwaku’
‘Kejayaanku hadiah istimewa buatmu’
‘Kehidupan dunia akhiratku selamanya buatmu’

Kata mereka bukan lagi azimat
Malah ibarat vitamin yang ku telan saban hari
Mencegah dari dijangkiti kuman
Melindungi sistem badan yang adakalanya lemah

Kusimpul rapi biar tak terlerai
Biar seinci kasih ini buatmu
Doaku hanya satu
Moga kalian dilindungi dunia akhirat
Dan digolong dalam insan insan beriman

Mencari Erti Hidup

Kadangkala
Luasnya alam
Kita rasa sempit menghimpit

Kadangkala
Terangnya siang
Kita rasa seperti malam

Kadangkala
Pekatnya gelap dinihari
Kita rasa bintang cukup untuk menyinari

Kadangkala
Lautan itu bahaya
Punya seribu satu cerita pada isinya
Kita rasa ia indah di mata kasar

Kadangkala
Puncak gunung itu tenang
Membaluti ketenangan jiwa
Kita rasa bahaya tinggal dalam perutnya

Bukan sempit yang kita cari
Bukan gelap yang kita nanti
Bukan gelora yang kita mahu
Bukan bahaya yang kita ingini

Hidup
Kitaran pancaroba yang menjadi golakan
Di atas kita gayat
Di bawah kita lemas
Namun kita dayungi jua

Ibarat pokok yang tumbuh
Adanya cinta
Adanya rindu
Adanya pengorbanan
Berdiri dicengkam bumi
Meliuk ditiup angin
Rebah layu ke tanah akhirnya

Ceritanya sama seperti kita
Digari segala rasa yang wujud dalam hati
Berbalam rasa gusar
Berbuku rasa girang
Tak menentu kadangkalanya
Namun
Jalanan hidup seperti itu jua