Friday, August 19, 2011

Ramadhan~~

Salam teman,

Dalam diam tak diam kita sudahpun menjengah ke puasa yang ke 19 (untuk setakat hari ini) dan tarawikh yang ke 20. Alhamdulillah, tuhan masih memberikan kesempatan buat kita untuk merasa nikmatnya dan mengaut segala kelebihan pahala yang berganda di bulan yang mulia ini.

Kehidupan Nini sedikit berubah, dari tahun pertama Nini bergelar isteri dan ini merupakan Ramadhan & Syawal ketiga buat Nini, segalanya seperti tidak sama seperti dahulu. Ingat lagi ketika baru mendirikan rumah tangga, dan beberapa bulan selepas itu Syawal menjemput. Nini beraya di kampung suami dengan perasaan yang sangat asing. Segalanya seperti baru dan cepat-cepat Nini membiasakan diri agar tidak kelihatan janggal.

Untuk pengetahuan teman, sudah lama rasanya Nini tak dapat beraya bersama keluarga. Sejak 2005 lagi Nini dah mula menjadi perantau, berhari raya di England dengan perasaan sangat asing dan sayu kerana tidak pernah berjauhan terutama di hari yang sangat bermakna ini.

Seterusnya tahun 2006 dan 2007, Nini masih lagi di sana membawa impian sebagai seorang pelajar. Kepulangan Nini selepas itu telah membuahkan segala perasaan gembira dan melahirkan rasa syukur kerana kembali semula ke pangkuan keluarga. Banyak kisah pengalaman yang tidak dapat Nini ceritakan, semuanya sangat mematangkan diri.

2008, itulah Syawal yang diraikan bersama keluarga. Alangkah rindunya untuk merasai segala kemeriahan yang diragut ketika bergelar pelajar dahulu. Namun ketika itu, Nini telah pun dirisik suami dan bakal bertunang selepas Syawal.

Segalanya mula berubah apabila Nini berkahwin pada 2009 dan peluang beraya bersama keluarga sekali lagi tidak dapat diraikan. Kini Nini bergelar isteri, harus patuh dengan tuntutan suami. Nini bahagia kerana keluarga mertua juga sentiasa memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Nini.

Tahun lepas 2010, Nini sarat mengandung, wah ketika itu Nini rasakan kemeriahan berpuasa dan Syawal seperti tidak benar benar dinikmati. Perut memboyot dan sering cepat penat membuatkan Nini rasa kurang selesa. Membawa anak kecil itu kemana sahaja telah membuatkan Nini lebih banyak baring dan melakukan solat tarawikh di rumah sahaja bersama suami. Tapi tahun tersebut, Nini kembali berhari Raya di pangkuan papa, mama dan keluarga.

Tahu ini, 2011 perubahannya lebih ketara apabila segala persiapan lebih sibuk didahulukan kepada si kecil yang sangat aktif itu. Nini belum berkesempatan bersolat tarawikh di masjid memandangkan anak kecil itu sering tidur awal dan ini menyukarkan Nini untuk bergerak. Tempahan baju raya anak lebih siap awal dan Nini punya seperti tidak lagi menjadi agenda utama.

Tahun ini juga Kelantan merupakan destinasi berhari Raya dan pastinya Ziqry akan merasai girang yang lebih maksima memandangkan suasana riuh bakal memberi inspirasi baru padanya.

Satu perkara sahaja yang membuatkan Nini kadang-kadang berat nak pulang ke Kelantan. Rasanya semua pun rasa perkara yang sama! YA......trafik ke pantai timur di musim perayaan ini sangat menguji kesabaran apatah lagi ketika dalam keadaan penat berpuasa seharian. Nini sangat mengharapkan agar kesibukan pulang ke desa ini mendapat perhatian khusus oleh pihak kerajaan. Lunaskanlah idea untuk membina lebuhraya ke pantai timur. Janganlah terlalu mementingkan isu politik dan mengenepikan hak rakyat. Opppssss lari topik.

Apa pun, buat mereka yang bakal berhari Raya di luar daripada kota metropolitan Kuala Lumpur ini, rancanglah perjalanan kalian dan sentiasa berhati-hati serta bersabar dalam pemanduan.

Salam Ramadhan dan ketibaan Syawal buat semua!