Salam sayang buat teman,
Dua bulan sepi tanpa berita, ramai yang mengeluh dan tertanya-tanya ke mana menghilang seakan tdiur lena dalam mimpi yang panjang. Nini tak pernah berniat untuk sepi, apatah lagi tidur dalam lena yang panjang, mana mungkin minat menulis akan mati ditelan kesibukkan waktu semata.
Teman,
Terima kasih atas setiap kata perangsang, sokongan dan sering bertanyakan khabar. Rindu mengetuk jemari dan berkongsi cerita terbuku di hati hinggakan resah gelisah, tapi masih tak berdaya melawan kekangan waktu.
Nini mencari di mana ada kesempatan waktu, di situlah akan pastinya mencoret rindu. Alhamdulillah, status bonda sudah 4 bulan dirangkul. Semakin melihat anak itu membesar,semakin hati berbunga-bunga menguntum senyuman.
Masih terngiang-ngiang setiap langkah mengasuhnya ketika Nini masih dalam pantang dan pada waktu itu jugalah airmata tak putus berjuraian. Hampir setiap waktu hati ini dirundung pilu. Kenapalah anakku tak henti-henti menangis, apalah yang tak kena padanya. Sakitkah dia, resahkah dia, kembungkah dia atau laparkah anakku ini.
Setiap saat yang berlalu pastinya akan ditemani dengan derai airmata, hinggalah dia berusia 3 bulan. Sedikit demi sedikit kurang tangisan itu dan dari situ datanglah rasa rindu dan sayu bila senyuman yang dilontarkannya seolah mengubati segala sepi dan resah dalam hati.
Alhamdulillah, dia anak yang comel dan Nini sentiasa memanjatkan doa agar terus diberikan kesihatan yang baik. Hilang segala rasa sakit, tenggelam segala rasa perit dan kini Nini disinari bintang-bintang ceria menjalani hari sebagai ibu.
Bila terbit waktu senggang, Nini masih teringat akan kemanisan mengendong anak kecil itu. 9 bulan lamanya, manakan mungkin begitu mudah dilupakan setiap kenangan yang mengusik. Inilah nikmat dunia yang tuhan janjikan pada setiap umatnya.
Teringat lagi betapa susahnya hati bila selera makan tertutup, ada juadah yang boleh di telan ada yang tak boleh, malah lebih memberikan gelisah bila langkah saja kaki ke kedai makan sahaja rasa tak selesa. Waktu itu, Nini terfikir pasti anak ini sukakan 'home cook', aduh peninglah nanti bila tak mahu makan di luar.
Lebih gembira, anak ini hanya mahukan masakan 'daddy' sahaja. Biarlah hanya nasi goreng cincai,rasa macam tak ada lagi yang lebih sedap daripada itu. Percaya atau tidak, sehari tak dapat makan makanan suami rasa macam nak merajuk 10 hari.
Banyak lagi kisah menarik Nini nak kongsikan bila kenang kembali tapi masa sangat cemburu, lain kali Nini coret lagi.
Salam kasih....