Friday, July 23, 2010

Kita ini HAMBANYA

Setiap kali kita tersedar dari kesilapan , yang ada hanya erti penyesalan, yang tinggal sisa keampunan dan yang sadis adalah kesan dari kekurangan kesilapan itu. Cuba kita mencari ruang memperbetulkan diri, namun ada ketikanya kita hampa.

Sentiasa kita menadah rahmat dari Illahi namun adakalanya kita terkecewa terutama bila setiap permintaan tersasar dan tidak direalisasikan. Andaikan kita terus tersimpang jauh, apakah kita hanya ada airmata untuk mencari jalan pulang?

Kita lihat semalam dan kenangan lalu, yang lampau dan terlalu jauh. Warnyanya tak pernah kusam dari kotak fikiran. Terus terusan kita ditujah penyesalan, diterjah ambang kekecewaan, namun kita tak punya pilihan selain dari memohon kemaafaan dan mengubah cara hidup menjadi lebih sempurna.

Siapa kita mahu bicara tentang kesempurnaan? Walau sembahyang cukup 5 waktu, sunat ditambah lagi, puasa juga begitu, tak cukup sebulan di purnama Ramadhan ditambah dengan sunatnya, bersedekah hingga diri sendiri terlepas dari sasaran. Cukupkah itu semua untuk melengkapkan diri ini ke arah kesempurnaan?

Kita hanya manusia ciptaan yang ESA. Hanya DIAlah yang bisa menentukan kita sempurna atau sekadar menerima pahala di atas kebaikan dan ketaatan. Usah kita enjak enjak hidup orang lain dan hukum dari setiap kesilapan lampaunya. Dia tidak pernah terpinta menjadi apa yang dia ada.

Pernahkah kita terfikir bahawa kita ini HAMBA yang abadi? Tidak layak seinci pun kata-kata kita boleh mengubah nasib dan ketentuaan sesiapa di masa hadapan. Malah ruang syurga juga bukan sekali-kali tempat untuk kita tentukan siapa yang mendapat kelulusan untuk menjadi penghuninya.

Teman seangkatan, usahlah melihat kejahilan dan terus mentertawakan. Muhasabah dan seringnya kita lihat diri kita dan jangan terfikir untuk membandingkan dengan sesiapa pun. Kelayakan kita jauh tersasar untuk menghukum baik buruk seseorang.

Aku menulis sekadar untuk mengingatkan diriku sendiri, adakalanya kita tidak terfikir bahawa kita ini sedang diuji. Ujian Tuhan datang dengan berbagai cara, tidak tercapai akal kita.

Aku menulis kerana ada yang suka melihat masa lalu dan membawanya menjadi lembaran untuk esok hari. Kesilapan itu biarlah menjadi iktibar bukan medan menjatuhkan sesiapa.
Selagi kita bernama HAMBA ALLAH di muka bumi, kubur masih di tanah merah, sama rata sama luasnya.

No comments: