Thursday, November 13, 2008

~Kota Inggeris....aku rindu kamu~~

Perjalanan mencari bulan dan bintang sering ada di tengah tengah gugusan cinta. Bila si angin menghembus bayunya, ditempelek aku dengan persoalan demi persoalan.

"sudahkah kamu rasakan erti bahagia?"

"apa tulikah matamu wahai angin? aku ini bukankah dalam kelopak warna cinta? mana mungkin aku tidak rasakan bahagia?"

sambil mengulit lorong selingkuh cinta, aku mengacu tajamnya kata pada angin lena.

"sudah setahun kau pulang ke tapak nusantara. kau tinggalkan bius selesa Kota London, katamu di sana itu adanya damai sedang disini fikiranmu kusut"

"aku mencari damai? dalam diri bersama semangat aku sudah ketemui, yang tinggal hanya pengertian", aku sambut lagi bicara si angin kudus.

Di sana aku gambarkan cinta penuh dengan warna. Empat musim buatkan aku dalam blues, empat musim buatkan aku benci pada jalanan hidup, empat musim sering menukar rona suka dan duka.

Kota empat musim yang aku diami selama hampir 3 tahun itu buatkan jiwa ini kacau dan resah. Aku sering rindukan metropolitan Kuala Lumpur. Nyamannya ada, panas dan sejuk bersilih ganti namun setianya cuaca pada alam mengajarkan aku apa itu gugusan cinta.

Yang lalu telah rebah, cinta disulam punah sudah, di telah rakusnya keegoan. Aku mencari cari apa itu cinta hingga utusan pilu kulayangkan buat si cinta.

"angin petang, aku benar kecapi bahagia kini. Aku tak mahu lagi berpisah ribuan batu, aku mahu cinta yang ada sentiasa mekar tanpa ada celanya", aku bebel.

"angin petang, semalam sudah aku kuburkan. Masihkah kau ingat betapa buntunya aku? Mencari dan mengenali rasa cinta yang terikat hampir 3 tahun akhirnya karam dan tenggelam?"

Bulan tertawa dengan keluhan hati. Bintang mengekek sambil terkerdip kerdip.

"Mari doakan aku terus bahagia. Aku tak peduli siapa pun cemburu, aku nyahkan terus angin buntu yang hadir dalam jiwa mereka nan kalut. Permata yang dihadiahkan Illahi padaku jawapan akhir dalam pencarian teman hidup. Usah kau kekekkan semalamku, usah kau tawakan aku".

Aku menerawang kisah lalu, di rimbun usang Kota Inggeris. Kelihatan hanya ada samar samar, menari dan mencari fokus yang hilang. Gelak tawa hanya sendiri, mencari menumpang kasih tatkala jauh dari semuanya buatkan aku tewas bersama hukum karma.

Kota Inggeris pengalaman mendewasakan, aku hanya mahu kenali diri yang kini walau hati meronta mahu pulang kembali menjejak kota empat musim.

Kata Mr Kekasih, "Hari ini I izinkan U untuk kembali ke tapak jajahan. Kalau suratannya I harus turut ke sana, sepanjang hayat I pasti menemani U baby".

Aku sudah persiapkan diri, aku mahu kembali ke sana membawa cinta yang abadi. Aku tak sunyi lagi, dimamah gelisah. Aku rindukan kamu kota Inggeris, aku rebah dalam rangkulan cintamu.

Bulan dan bintang sering nantikan aku dengan jarak lebih hampir. Bila ku tatap wajah sang bulan, terbayang sinaran yang menerangi alam gelitaku.

Dengan izinmu Illahi, aku mahu kembali ke sana. Pondok usang Croxley Road, London sering membawa mimpi indah untuk aku kembali.

Maka bulan, bintang dan angin tersenyum melihat tanaman cita citaku. Kau usah gelak, sebaliknya aku merangka benteng utuhnya kesempurnaan hidupku.

No comments: