Friday, December 10, 2010

Inilah REALITI bergelar IBU

Berakhir segalanya
Kenikmatan bergelar bakal ibu
Mengendongmu tanpa ada batasnya
Berkongsi segala rasa segala selera
Jantungku adalah iramamu
Suaraku adalah teman setia menemanimu

Berakhir segalanya
Kepayahan membawamu 9 bulan lamanya
Ada ketika aktifmu membanggakan
Ada masanya aku menangis keesakkan
Menahan sakit bila kau menegangkan lagi perutku

Berakhir sudah segalanya
Saat yang aku selalu impikan
Yang dulunya hanya sekadar angan angan
Setiap saat aku menghitung waktu
Berdoa agar tuhan munculkan wajahmu dalam mimpi
Penantian yang menyiksakan untuk ku genggam jemarimu
Kukucup dahi dan ubun ubunmu

Kini kau dihadapanku
Dengan rasa bangga
Aku memeluk, mendakapmu seeratnya
Sesetenang kau dalam kantung rahimku
Yang membawaku di awangan
Yang memberiku segala harapan
Yang mengeratkanku dengan segala kenikmatan tuhan

Inilah realitinya
Aku bergelar ibu
Seorang wanita yang cuba melengkapi kehidupan
Memikul segala impian
Aku kini IBU
Kau dengar kalian
Ibu yang membawa segala keperitan
Kini bertukar menjadi kenikmatan

Realitinya
Aku kini mendakapmu
Aku kini mengucupimu
Setiap saat aku menyapu airmata
Bersyukur tanpa henti atas kurniaanNYA

Realiti itu aku dakapi
Indahnya aku rasai
Selamat datang puteraku
Kau penghapus segala resahku
Kau pengikat cintaku
Kau segala impianku

Sempurnalah dikau dalam setiap doaku
Panjatkanlah pada TUHAN agar kau sejahtera
Menjadi insan mulia demi agama dan keluarga

Realiti itu aku genggam
Seperti mana aku menggemai jemarimu sayangku!

Tuesday, December 07, 2010

Episod 3 : Perjuangan Melahirkan KAMAL IZZ ZIQRY

8 November, 1 pagi

Tak tertanggung rasanya bila air yang mengalir melalui tiub dan meresapi ke dalam pergelangan tanganku mula menjalankan tugasnya menular ke seluruh badan ini. Rasa seperti mahu menjerit namun aku hanya mampu mengucap dua kalimah syahadat dan melafaz zikir semata.

Suami memberikan sokongan sangat padu untuk aku terus berjuang. Bibirnya juga tak henti membibitkan zikir serta merantai doa kepada Illahi. Tatkala ini, aku seperti hilang arah dan tak pasti apakah aku sanggup untuk meneruskan atau pasrah di bedah sahaja.

Sambil aku dan suami bergabung tenaga mengucapkan zikir dan tak putus berdoa, kami terdengar jeritan yang menakutkan di bilik sebelah. Seorang bakal ibu yang sedang bertarung nyawa sepertiku menjerit jerit kesakitan dan ini membuatkan aku dan suami panik. Suaranya seperti terkena histeria dan aku terpana mendengar kekuatan jeritannya. Jantungku makin berdegup kencang. Aku pandang wajah suami dan suami tersenyum memandangku. Kami cuba abaikan bunyi tersebut yang sedikit sebanyak mengganggu semangat juang kami.

Akhirnya suara itu terhenti dan bersilih ganti dengan laungan anak kecil. Aku turut mengucapkan syukur ALHAMDULILLAH. Segala perjuangannya telahpun selesai, kini aku pula.
Suami meminta izin untuk turun ke bawah merehatkan minda, kebetulan adik iparku pula menawarkan diri untuk menjagaku. Dia turut mengusap-usap perutku dan memberikan semangatnya padaku. Ketika itu aku hanya mampu mengerut muka menahan sakit, tidak ada sepatah kata keluar dari bibirku.

Aku beruntung kerana bukan hanya suami yang menemaniku, adik lelaki dan adik iparku menjadi peneman setia sehingga aku selamat melahirkan IZZ ZIQRY. Aku masih ingat perjuangan adik iparku 3 tahun yang lalu, ketika itu aku tak putus memberikan kata perangsang dan penguat semangat padanya. Malah aku berada bersamanya sehingga saat bayi dilahirkan. Kini giliran aku pula merasakan kesakitan itu. MAHA AGUNG TUHAN yang satu, sakit melahirkan anak tidak terbanding dengan sakit yang lain.

Doktor Zul kembali ke kamar di mana aku ditempatkan, dan jam ketika itu sudah melewati angka 2.30 pagi.

Dr Zul : Macam mana? boleh tahan sakitnya? atau awak mahu Epidural?

Aku : Sakit sangat doktor tapi saya masih gagah untuk tidak ambil Epidural

Dr Zul : Mari saya lihat berapa bukaannya. Tapi lihat pada perut awak, saya rasa tak banyak beza.

Dr Zul menggodek lagi alat sulitku, dan kesakitan bertambah bila jemarinya menekan lebih dalam kali ini. Aku sedikit menjerit kerana tak tertahan sakitnya.

Dr Zul : Tak banyak beza, dah 3 jam berlalu dari saya masukkan air tadi, bukaan pintu rahim hanya 5cm. Saya rasa awak perlu dibedah.

Aku : Doktor, saya mahu tunggu lagi. Jantung anak saya ok lagikan? Masih boleh menunggu kan? Sikit lagi tu Doktor, mungkin 2,3 jam lagi dah buka 8cm.

Dr Zul : Memang betul jantung bayi nampak kuat. Anak awak memang kuat sebab selalunya dah lebih 24 jam jantung semakin lemah. Tapi kepala anak awak dah bengkak, ini disebabkan dia melanggar pintu rahim dengan kerap. Ia terjadi kerana kontraksi yang kuat namun tulang pinggul tak membuka. Saya tak mahu tanggung apa apa risiko jika sebarang kejadian terjadi pada kepala bayi awak.

Aku : 3 jam lagi boleh doktor?

Dr Zul : Memang boleh, tapi saya kena hantar awak ke Hosp Sg Buloh. Di sana awak boleh tunggu paling tidak pun 5 jam lagi. Seperti yang saya katakan, saya tak mahu ambil risiko sebab di sini peralatan kecemasan tidak lengkap.

Aku : Hantar Hosp Sg Buloh? Tak mahulah doktor, saya nak bersalin di sini.

Dr Zul : Saya risaukan kesihatan awak dan bayi. Saya cadangkan agar awak dibedah. Boleh saya bercakap dengan suami awak.

Aku yang buntu terdiam seketika, suamiku yang turun mengambil angin sekejap masih tidak muncul-muncul. Entah mengapa, aku mengalirkan airmata yang sangat deras, aku tak pasti apa yang menghantui aku. Membayangkan bahawa akan di bedah, aku menggigil. Aku rasakan seperti aku tidak kuat untuk melalui semua ini.

Aku dan suami berbincang dan dia redha untuk aku dibedah. Katanya, dia hanya mahu aku dan bayi selamat. Selebihnya jangan difikirkan. Akhirnya aku menandatangani juga borang untuk dibedah. Ketakutan mula menular, apa tidaknya, bilamana mental hanya bersedia untuk melahirkan secara normal kini perlu melalui pembedahan. Benar aku tidak bersedia langsung untuk menjalani kelahiran melalui pembedahan.

Dalam kesakitan yang tidak putus tiba, aku telah disegerakan ke bilik pembedahan dan segala persiapan telah pun dibentang untuk menyambut anak ini. Melihat doktor bius yang sedang sibuk menyiapkan bahan-bahan suntikannya, aku semakin gemuruh. Tulang belakangku bakal disuntik untuk melalikan separuh badan.

Proses melahirkan melalui pembedahan berlalu tanpa aku sedari, walaupun aku separuh sedar dan boleh berbual bersama suami, namun aku tetap gemuruh. Apalah yang sedang doktor lakukan pada perutku dan bagaimanalah keadaan perutku ketika ini. Suami yang sibuk merakamkan gambar ketika proses pembedahan seperti teruja dengan segala yang dilihatnya.

Aku sempat berbual bual dengan suami, bertanyakan apa yang sedang dilakukan. Suami kata, bayi akan keluar beberapa minit lagi dan aku seperti berdebar dan ketika itulah doktor yang menyuntik ubat bius terhadapku menekan perutku dari aras dada. Sepantas itu aku terdengar suara pekikan bayi.


8 November, 3.36 pagi

MASYAALLAH, seluruh tubuhku menggeletar dan airmataku deras mengalir dengan tiba tiba. Entah mengapa ia berlaku aku tak pasti. Aku seperti mahu menjerit dan meraung. Bila doktor mengangkat bayi dan menunjukkan padaku, aku jadi lebih menggigil. Suami pula terus mengucupi dahiku. Lantas dengan itu dia keluar seketika untuk melihat bayi kami.


Aku terus menangis dan teresak esak seperti menanggung kesedihan. Aku seperti tidak percaya segalanya telah berakhir. Seperti 'flash back' aku terkenangkan pengalamanku membawanya 9 bulan, bersilih ganti dengan kesakitan 33 jam yang aku lalui demi untuk melahirkan bayi ini. Aku terus melafaz syukur tanpa henti sambil airmata mengiringi. Inilah hadiah paling istimewa yang tuhan hadiahkan buatku. TERIMA KASIH TUHAN.

Percaya atau tidak, penantian 33 jam untuk aku lahirkan KAMAL IZZ ZIQRY berakhir dengan hanya 10 minit di kamar bedah. Dalam keadaan separuh sedar, aku dapat rasakan badanku seperti digoncang-goncang ketika pembedahan di lakukan.

Percaya atau tidak, aku melalui segala kesakitan yang berganda memandangkan 33 jam aku cuba untuk lahirkan secara normal namun akhirnya di kamar bedah itu perutku disiat untuk lahirkan seorang lagi umat Nabi Muhammad saw di muka bumi ini.

Percaya atau tidak, 33 jam yang kuharungi itu adalah saat paling indah dan nyeri pernah aku lalui.

Kini, aku adalah seorang ibu. Tugas dan tanggungjawabku besar. Aku mahu didik anak ini menjadi insan yang taat pada agama, ibu bapa dan orang tua.

Inilah janji tuhan pada umatnya, rezeki pasti bersilih ganti jika dalam redhaNya.

KAMAL IZZ ZIQRY b AHMAD SYAUKI selamat dilahirkan melalui pembedahan pada jam 3.36am setelah hampir 33 jam aku bertarung segala kudrat dan semangat yang ada. Selamat datang ke dunia ini anakku!!!


Wednesday, November 24, 2010

Episod 2 : Perjuangan melahirkan KAMAL IZZ ZIQRY


7 Oktober 2010

Aku hubungi doktor yang bakal menyambut kelahiran anakku ini, Dr Zul. Aku puji sikap Dr Zul yang sangat mesra dan prihatin terhadap bakal-bakal ibu di bawah jagaannya. Dr Zul memberikan nombor telefon bimbitnya untuk dihubungi 24jam jika dalam kecemasan dan bantuan.

Jam 7.30 pagi aku hubungi beliau, kukhabarkan keadaan diriku sejak dari jam 6 petang semalam. Beliau dengan tenang minta aku ke hospital untuk memeriksa bukaan pintu rahim. Aku rasa lega bila dapat menjelaskan keadaanku sejak dari semalam. Aku masih ingat lagi kata-kata Dr Zul beberapa minggu lalu, katanya, jangan bimbang jika ada cecair putih keluar dan kita tidak merasa sakit. Itu tanda belum hampir sangat untuk melahirkan, sekurang-kurangnya ada beberapa jam dari pecahnya air ketuban tersebut.

Dalam keadaan sakit yang sudah mula datang sejam sekali, suami tidak lagi tenang melihat keadaanku. Suami keluar mencari sarapan sebelum menghantarku ke hospital. Aku yang menanti, mempersiapkan diri. Sambil mengemas barang-barang tambahan untuk dibawa ke hospital, aku sedikit keletihan dan mengambil jalan untuk berbaring seketika di sementara menanti suami pulang membawa sarapan.

MASYAALLAH, aku tertidur rupanya sementara menanti. Mungkin juga kerana tidak tidur semalaman. Suami pula yang kasihan melihat keadaanku semalaman, turut membiarkan aku berehat seketika. Sedar-sedar, jam sudahpun menunjukkan angka 11 pagi.

Aku dan suami makan dan bersiap-siap untuk ke hospital. Dada aku disumbat rasa debaran, terutama bila suamiku membaca doa sebelum keluar rumah. Aku dapat rasakan masanya hampir tiba. Sakit juga sudah mula kerap. Lebih menyakitkan bila batuk yang menyerang sudah hampir seminggu semakin menjadi-jadi. Keadaan aku seperti tidak terurus rasanya. Berjalan pun sudah rasa sakit. Nasib jugalah hospital hanya 1km sahaja dari rumah.

12.30 tengahari
Pertama kali aku diperiksa untuk mengetahui jalan pembukaan pintu rahim. Ouch...Itu yang bisa aku gambarkan. Sakit sedikit, namun aku redha. Dari rumah lagi aku sudah pasrah untuk diperlakukan apa sahaja demi perjuangan melahirkan anak ini.

Keputusan sangat menghampakan bilamana jururawat yang memeriksa laluan pintu rahimku itu mengatakan tiada bukaan lagi, jika ada pun hanya 1cm sahaja. Aku panik dan tertanya-tanya, sudah beberapa jam berlalu sejak dari air ketubanku pecah, takkan tiada langsung pembukaan pintu rahim. Jantung mula kencang namun aku tak putus berdoa pada illahi agar dipermudahkan segalanya. Jururawat meminta aku 'admitted ward' sementara menantikan kehadiran Dr Zul.

Nauzubillah, sakit rupanya nak memeriksa pintu laluan rahim. Aku yang baru pertama kali diperiksa seperti terkena kejutan elektrik. Nasib jugalah kali yang pertama, jururawat yang memeriksa, namun bila Dr Zul tiba, jemarinyalah yang menggodek untuk memeriksa. Sakit sungguh nyeri.

1.30 petang
Dr Zul hadir ke wad dan berbincang denganku. Antara dialognya :

Dr Zul : Nampaknya laluan belum terbuka lagi dan awak dah pun pecah air
ketuban lebih dari 12 jam. Saya takut kalau bayi lemas sebab air ketuban
dah semakin kurang.


Aku : Tapi sekarang ni bayi ok kan doktor? Saya kalau boleh nak la bersalin
normal.


Dr Zul : Ok, kalau begitu kita induce. Bagi cepat sikit, bukan apa takut kalau
lambat kontraksinya, kesihatan bayi mungkin terjejas. Apa pun, kita akan
monitor jantung baby ye.


Aku : Saya ikut mana yang terbaik doktor. Tapi induce ni sakit tak?

Dr Zul : Sakit sikit la, tapi ia mempercepatkan proses bersalin. Awak takkan sakit
lama sangat. Kita tengok macam mana ya.


Aku : Selalunya berapa jam selepas 'induce' akan beranak doktor?

Dr Zul : Maksimum kita tunggu 8 jam. Kalau tak ada perubahan, kita selalunya
decide untuk operate.


Aku : OPERATE? tak maulah doktor. Saya nak bersalin normal, lagipun saya tak
ada sebarang komplikasi.


Dr Zul : Tak apa jangan risau, kita tengok macam mana lepas 8 jam. Tapi saya
boleh tunggu sampai 12 malam ni sahaja. Saya tak mahu ambil risiko
kalau apa-apa terjadi pada bayi, sebab air ketuban awak makin kering.


Aku : InsyaALLAH doktor, saya yakin mesti keluar punya.

Dr Zul : Ok saya datang balik dalam pukul 8 nanti. Apa-apa panggil 'nurse' ya.

Dr Zul memberikan 'signal' pada jururawat untuk memberikan ubat 'induce' tersebut. Aku nampak memang jururawat dah bersiap sedia dengan ubat sebesar pil panadol sebelum aku kata 'ok' lagi. Maknanya memang Dr Zul dah bercadang untuk induce aku lebih awal sebelum mendapat kata putus dariku. Aku memang serahkan segalanya di atas tangan beliau, aku kena percaya dia akan membantu aku untuk mempercepatkan proses kelahiran ini.

Sakit memasukkan ubat 'induce' melalui alat sulitku tidaklah sesakit apabila jemari doktor dan jururawat menggodek untuk mengetahui pembukaan pintu rahim. Sesungguhnya aku sedikit gementar bila mengenangkan mereka ini akan datang lagi untuk memeriksa bukaan ini.

9 malam
Hampir 8 jam berlalu, aku masih lagi tidak merasakan aku akan bersalin dalam beberapa waktu lagi. Ubat 'induce' yang diberikan hanya memberikan kesakitan selang 30 minit buatku. Namun aku masih tidak merasakan kesakitan yang serius.

Debaran kian kencang, jururawat hadir untuk memeriksa laluan. Aku panik seketika, membayangkan kesakitan yang dirasai beberapa jam lalu kesan dari pemeriksaan ini. Namun aku pasrah. Dengan muka yang sangat kelat, aku menarik nafas panjang dan lepas mengikuti mulut. Sesungguhnya ia memang menyakitkan.

Jururawat meemberitahu bahawa bukaan aku hanya 3cm sahaja. Muka aku makin pucat, takut takut tak dapat bersalin normal. Jururawat meminta aku ke 'labour room'. Aku dan suami dengan langkah yang sangat longlai menuju ke sana dan Dr Zul sudah pun menanti.

Dr Zul : Nampaknya macam tak ada progres. Saya rasa awak patut 'decide' untuk
'operate', kalau tak awak akan lebih lama sakit.


Aku : Doktor, baby saya ok lagi tak?

Dr Zul : Nampak pada gerakkan jantungnya oklah.

Aku : Kita tunggu lagi boleh doktor?

Dr Zul : Boleh memang boleh tapi nak tunggu berapa lama? Jangan ambil risiko
sangat.


Aku : Selagi dia boleh bertahan, saya nak cuba juga.

Dr Zul : Ok, kita masuk air nak? Cepat sikit kontraksi. Tapi saya kena beritahu
awal-awal, masuk air ni sakitnya berganda sebab awak dah induce. Kalau
tak tahan, beritahu dan kita akan bagi epidural.


Aku : Ok saya setuju masuk air tapi takpe kalau sakit yang tak tertahan saya tak
mahu epidural, saya cuma mahukan pain killer. Bolehkan?


Dr Zul : Ok 'proceed'.

Sesungguhnya aku memang berkeras hati dan tidak mahu membenarkan doktor membelah perutku. Aku nak cuba juga melalui proses normal. Ini pengalaman pertama, aku mahu ia menjadi pengalaman berharga, kalau melalui pembedahan tidaklah istimewa mana.

Aku terus ditempatkan di dalam 'labour room', takut-takut kalau tiba masanya tak sempat pula nak berkejar dari bilik wad ke sini nanti. Kata Dr Zul sesungguhnya benar, 30 minit selepas air dimasukkan, aku seperti orang yang hilang kawalan diri.

Inilah kesakitan yang tak pernah aku rasakan sepanjang hayat. Sakit yang tidak ada tolok bandingnya. Sakit yang bukan main-main peritnya. Bahagian ari-ariku seperti di siat-siat. Suami tak putus menggosok pinggangku, mengusap dahiku dan kelihatan dia sedikit panik dan buntu bila melihatkan aku seperti hilang kawalan.

Aku bersyukur kerana sepanjang malam suami menemaniku tanpa meninggalkan walau sesaat. Tangannya ku genggam erat, raut wajahnya kutatap dan airmata tak putus mengalir. Dari jam 10 malam hinggalah 1 pagi. Kesakitan ini adalah kesakitan maha hebat yang pernah aku rasakan. Mulut tak lekang dengan 'laillahailla anta subhanaka ini kuntuminal zolimin'. Suami juga tak berhenti zikir dan doa. Aku hanya nampak ambang maut dan perjuangan. Benarkah kesakitan membuatkan kita terfikir akan kematian.

Terbaring kesakitan dan lesu membuatkan aku semakin lemah fizikal namun mental bertambah kuat. Aku nekad untuk terus berperang dengan kesakitan demi melahirkan seorang lagi umat di muka bumi ini.

~~disambung ke entri berikut~~

Thursday, November 18, 2010

Episod 1 : Perjuangan melahirkan KAMAL IZZ ZIQRY

Salam teman,

Alhamdulillah...akhirnya penantian selama 9 bulan telah menemui titik noktah. Atas segala kuasa dan ketentuan dariNYA, aku selamat melahirkan seorang putera yang comel dan sihat. Kelahiran pada jam 3.45pagi dengan seberat 3.3kg, aku melalui berbagai kisah suka dan duka. Segalanya kini sudah berakhir dan bermulah kehidupan baru menjalani hidup bergelar ibu!

Ingin sekali aku kongsikan saat pahit maung bertarung nyawa, saat menggeletarnya jiwa, saat membuak buak rasa gembira dan segalanya bercampur baur selama 33 jam aku bertarung nyawa untuk menzahirkan anak ini berpijak di alam yang nyata.

Segalanya kini hanyalah menarik nafas lega. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Itulah perkataan yang tak henti aku lontarkan sejak dari saat pertama bertentang mata dengan anugerah tuhan ini.

Inilah pengalaman paling berharga, tiada ternilai, apatah lagi digalang gantikannya. Aku sujud syukur padamu Illahi atas rahmat dan hadiah ini. Aku sembah padaMU atas kenikmatan di atas zuriat ini. Inilah penyambung kasih dan bukti cinta kami pada keesaanMU tuhan.

Buat teman-teman, aku coretkan pengalaman ini.

**************************************************

6 November 2010
11 pagi, aku dan suami seperti biasa menjalankan rutin mingguan berjumpa dengan doktor yang bakal melahirkan anakku ini. Aku berbincang dengan doktor, sekiranya bayi yang ku kandung tidak juga keluar pada tarikh yang telah di berikan (9 November), aku dan suami bersepakat untuk melakukan 'induce' pada 11 November 2010. Namun doktor meminta untuk aku bersabar sehingga 10 hari selepas tarikh ditetapkan (19 November 2010).

Aku gusar, tak tentu arah, memandangkan kesihatan tidak begitu baik, aku jadi makin buntu dan sangat kusut. Sakit pinggang dah mula nyeri sekali, batuk teruk yang menyinggah seminggu yang lalu masih tak nampak kebahnya. Tidur makin tidak lena, perut semakin membesar dan macam-macam perasaan bertandang di hati. Entah mengapa aku jadi tidak sabar, aku jadi kalut dan ketenangan sedikit terganggu.

Sepanjang perjalanan pulang dari hospital, sehinggalah berhenti makan lewat tengahari, membaca surat khabar dan menonton tv sehingga tertidur di sofa, aku masih lagi terus diacu rasa gusar. Benar, aku tak banyak bicara. Senyap dan sesekali berbual dengan suami. Mungkin juga batuk yang melampau membuatkan aku lelah. Sumpah aku buntu sebab berbakul ubat ku telan masih tidak kurang berkokok batukku ini.

Jam 6.00 petang, aku berjalan dari ruang tamu rumah ke bilik tidur. Tiba tiba ada air melekit keluar dengan banyaknya dari alat sulitku. Aku mula terdetik, mungkinkah ini air ketuban? Hingga jam 12 malam, air ini keluar dengan tidak berhenti, disusuli darah berwarna pink, namun sakit belum kurasakan.

Aku yang baru sahaja mendapatkan konsultasi daripada doktor siang tadi masih menunggu rasa sakit yang dinyatakan. Kata doktor, jika ada sakit terus datang ke hospital. Kalau tidak tunggu dahulu. Owh ya, dari hospital ke rumahku cuma mengambil masa kurang dari 5 minit, maka aku tidak tergesa-gesa ke sana.

Semalaman aku nantikan rasa sakit, namun ia hanya muncul jam 1pagi dan itupun tidaklah begitu menyucuk seperti digambarkan ramai para ibu. Sakit ini hanya menyerang bahagian ari-ariku dengan rasa berbisa, 1 jam sekali. Sehingga jam 6 pagi, aku masih rasakan kontraksi ini hanyalah 1 jam sekali. Tidurku terganggu bila sakit menjelma, dan oleh kerana debaran yang mula memuncak, aku tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam.

Aku jengah suami yang sedang asyik dalam lena, kalau boleh aku tak mahu ganggu dia. Mungkin esok hari yang sibuk buatnya. Aku tak lekang dari beristighfar sepanjang malam. Bermacam-macam rasa singgah di hati. Aku dapat rasakan pergerakkan bayi makin kurang dan air ketuban tak henti lagi keluar.

Jam 7.30 pagi aku kejutkan suami, dan menelefon doktor untuk memaklumkan keadaanku ini.

~~disambung ke entri berikut~~

Monday, November 01, 2010

Aku berkongsi cerita 'BELUM ADA REZEKI'

Sesiapa pun yang melangkahkan kaki ke alam perkahwinan pasti impikan kehadiran cahaya mata. Tidak siapa pun terlintas untuk tidak mempunyai zuriat yang bakal menjadi penyambung warisan keluarga dan pengutuh kasih sayang di atas cinta yang terjalin.

Pengalamanku yang diijabkabulkan dan disahkan mengandung setelah usia perkahwinan mencecah 10 bulan mungkin tak sama seperti mereka yang menantikan kehadiran cahaya mata bertahun-tahun lamanya. Pelbagai perasaan mula menghukum dan menghimpit diri.

Aku tak nafikan, 10 bulan itu jugalah macam-macam perasaan mendugaku. Tertanya-tanya apakah aku dan Mr Kekasih normal? Tercari cari jawapan apakah kami tidak sehebat yang lain dan kami akhiri setiap persoalan di minda dengan redha atas ketetapan dan rezeki yang ditentukan oleh Illahi. Benar, rezeki anak itu bukan di tangan kita dan tuhan telah menentukannya, kita hanya berusaha dan sabar menanti. Tapi sudah namanya manusia, kesabaran itu adakalanya tipis dan persoalan demi persoalan pula yang menujah minda.

Tak mungkin dilupakan, ketika itu kami sering berdoa tanpa henti, pagi dan malam malah setiap habis solat pasti doa memohon dikurniakan rezeki anak tak pernah lekang dari bibir. Kami memohon agar Allah swt mendengar kesunyian dan impian hati kami untuk dihadiahkan cahaya mata penyambung cinta.

Ada juga terselit di hati kecil apabila di tujah soalan demi soalan oleh keluarga, yang jauh mahupun dekat. Malah ada mulut yang tidak berbedung juga mencalari hati dengan mengatakan kami 'tak power', tak pandai atur langkah, salah pilih hari untuk berasmara, dan kata-kata kurang sopan yang tak sanggup untuk aku paparkan. Apa mereka ingat, merencana anak ini di tangan kita? Percayalah, makan pil viagra setengah kati pun, kalau bukan rezeki itu milik kita belum tentu ia terhasil dek 'skills' dan penangan 'power' yang digembar gemburkan.

Aku cukup terkilan dengan tujahan dan sindiran yang dasarnya untuk bergurau tapi tidak kena pada bicaranya. Ini soal bilik tidur dan harapan sepasang suami isteri, bukan soal siapa lebih hebat di ranjang atau lemah dikamar. 'Kun faya kun', itulah yang tuhan janjikan. Dari jutaan telur yang bertempiaran, belum ada yang layak menjadi juara untuk dijadikan rezeki pasangan tersebut. Maka berhati-hatilah bila berbicara, jangan sampai ada yang terkecil hati dan mendoakan tidak baik pula pada mereka yang bersikap celupar.

Tanpa aku sedar, atas kekuasaan Allah swt inilah aku bangkit, dari sibuk mempelajari 'skills' yang kononnya hebat, dari sibuk menghitung hari untuk 'bersama', aku tukarkan minda dengan persediaan rohani. Aku mula mencari doa-doa yang lebih afdal diamalkan, malah aku sering mendengar kuliah-kuliah agama yang bersangkutan dengan isu cahaya mata. Kali ini, bicara aku adalah untuk didedikasikan buat teman-teman yang tak putus menadah harapan agar impian menjunjung cahaya mata termakbul. Sekadar berkongsi dan mungkin dapat menenangkan jiwa yang sering dalam kekusutan.

(1)
Setiap kali kita bermunajat pada Illahi, kita lihat diri sendiri apakah kita sudah bersedia untuk menggalas setiap tanggungjawab yang bakal hadir dengan kelahiran zuriat? Hidup berdua lebih mudah diuruskan dari hidup bertiga. Hidup berdua lebih banyak membawa kita mengenali apa erti kasih sayang sebelum hadirnya si kecil yang bakal merampas sedikit kemesraan hidup berdua. Mungkin mental fizikal kita telah bersedia namun kewangan masih tidak mengizinkan, atau mungkin kewangan kita telah bersedia namun tanpa kita sedari banyak persediaan mental dan fizikal masih belum stabil. Maka mungkin Allah swt tidak memakbulkan lagi rezeki itu buat kita kerana mahu menguji sejauh mana ketakwaan dan keredhaan kita padaNYA. Biarpun ramai yang mengatakan, anak itu rezeki, ia memang benar!!! namun kita terlupa bahawa kesempitan hidup juga menjadi punca mengapa ramai anak hari ini terabai dan mungkin dengan kehadiran cahaya mata ini hanyalah menjadi seronok buat seketika selebihnya amanah tidak terkendung untuk di bawa ke hari muka. Renungkan teman...

(2)
Setiap kali kita bermohon pada Illahi, kurniakanlah zuriat penyambung warisan, kita terlupa bahawa ia haruslah datang dengan doa bersungguh-sungguh seolah tiada tempat untuk kita mengadu selain dariNYA. Bersihkan diri dengan solat taubat dan redha dengan ketentuan Illahi. Harus kita muhasabah diri, jika rezeki ini belum diizinkan buat kita mungkin Allah swt telah merencanakan sesuatu yang lebih baik dan hebat buat kita di hari depan. Kita tak mampu sangkal kekuasaan Allah swt. Semujarab permintaan adalah berlandaskan doa bersungguh padaNYA. Allah swt suka dan tidak jemu mendengar permintaan kita sebaliknya dia mahu kita terus menminta-minta tanpa ada hadnya. Maka mungkin kita terlupa, seks bukan penentu segalanya untuk mendapatkan apa yang dihajati sebaliknya persiapkan diri untuk memperolehi rezeki besar dari Illahi dengan doa yang tak putus. Ramai yang berlandaskan 'skills' dan kehebatan di ranjang untuk mengukur ketentuan kehadiran cahaya mata, namun itu sekadar zahirnya sahaja, yang batin dan roh itu datang dari Illahi. Maka teruskanlah berdoa tanpa ada rasa jemu dan mengeluh. Ingatlah, kita ini juga hanya pinjaman sementara.

(3)
Setiap kali kita termenung dan merungut, kenapa tak lekat lekat lagi ni? Sedangkan ramai yang di luar sana tak kahwin punyalah senang membuahkan hasil? Itulah dugaan buat mereka, dan kekesalan pasti akan hadir dan menghimpit mereka sepanjang hayat. Allah swt mahu mereka sedar bahawa apa yang dilalui dan mereka perolehi adalah hukuman dan mereka harus kembali segera ke pangkal jalan. Kita yang sentiasa dalam lindungan rahmat Illahi, akan terus diuji dengan erti KESABARAN. Usahlah bandingkan kita dengan mereka, kerana ujian mereka lebih getir dan deras alirnya daripada kita. Hidup dihantui segala musibah sedang kita hanya menantikan keindahan esok hari. BERSABAR adalah kunci segalanya. Keimanan itu harus dibasuh setiap hari dengan titis titis kesabaran bukan kegelojohan, barulah kenikmatan dan keredhaan rahmatNYA sering kita perolehi. Jangan bandingkan dengan mereka yang terlanjur dan akhirnya kesal serta merintih malu dikeesokkan hari.

(4)
Sepanjang kita meyusuri hari-hari bahagia bersama insan yang kita sayangi, pernahkah kita terfikir bahawa mungkin Allah swt mahu kita menghabiskan masa berdua dan menikmatinya sehingga kehadiran cahaya mata. Saat terdetiknya cahaya mata, tanggungjawab kita juga berganda, tugasan kita juga tak terkira banyaknya dan berkemungkinan kita tidak lagi semesra dulu bersama pasangan kita. Berpimpinan tangan mungkin tidak lagi, sebab asyik sibuk menolak 'stroller' anak dan menjinjing bagasi penuh berisi barangan bayi. Makan bersuapan juga mungkin jarang jarang sekali, mana tidaknya kalau sorang makan sorang lagi kena jaga anak yang tak mahu duduk diam di dalam 'stroller'. Mungkin kerana Allah swt mahu kita mengeratkan lagi kasih sayang biar tersimpul rapi maka belum lagi rezeki anak dikurniakan. Aduhai, kita ini tak nampak rupanya apa yang Allah swt rencanakan, yang sering terzahir adalah keluhan bila lagi? bila lagi nak lekat ni? kenapa tak ada ni? sampai bila nak berdua macam ni? HENTIKAN segala pertanyaan rencana ALLAH swt, kerana esok pasti ada khabar gembira buat kalian yang tak sabar menanti hikmah dan kurniaanNYA. Percayalah...

Itu antara siri kuliah yang aku sering dengarkan, setelah bertalu-talu aku menelannya maka aku redha dan berusaha serta melepaskan segala kekeluhan padaNYA. Aku meminta-minta tanpa henti hingga esok tiada hari lagi. Alhamdulillah, bulan ke11 perkahwinan kami, tanpa aku sedari segalanya hadir tanpa diduga. Aku yang selama ini terlalu berharap, dan akhirnya melepaskan segalanya pada takdir semata kini dianugerahkan rezeki tidak terhingga.

Segala perasaan bercampur baur, seronok usah terkira lagi namun aku diuji 9 bulan 10 hari kini hingga ada saatnya aku terbayangkan saat saat aku tidak berbadan dua. Akan aku susulkan kepayahan dan juga pengorbanan menjadi bakal ibu. Benar ia menimbulkan bibit gembira namun tak aku sangkal jua bahawa ia turut menerbitkan seribu satu dugaan yang tak terkira. Ini baru persiapan menjadi BAKAL IBU dan belum menjadi IBU lagi.

Maka, pada mereka yang terus menanti, jangan putus hamparkan doa pada Illahi dan bersedialah melalui proses menjadi bakal ibu yang adakalanya bisa menitiskan airmata penuh rasa. Percayalah...Wallahualam.

Kita bicara lagi di lain masa.

Salam penuh rindu dan kasih sayang.

9 bulan 1 hari...menghitung detik

1 November

Menghitung detik dan semakin hampir buat aku semakin tak lena di dodoi malam-malam yang dingin. Beberapa waktu lagi anak ini akan keluar melihat dunianya. Hampir 9 bulan sudah aku membawanya tanpa ada rungutan dan kekesalan. Air mata yang tertitis seringnya mengangkat aku menjadi lebih tabah dan bersemangat untuk teruskan kehidupan. Dialah nadi dan semangatku untuk mencerna hari hari depan.

Di saat-saat akhir ini, seperti yang sering aku khabarkan, bukanlah saat-saat yang mudah untuk ditempuhi. Aku sudahpun mula mengambil cuti dari bekerja sejak dari 28 Oktober lagi. Semuanya gara-gara kekangan untuk aku bergerak aktif, berjalan dan juga adakalanya kesakitan yang tak menentu menyerang ketika aku di kantor. Fokus aku hilang dan badan semakin lemah. Daripada asyik mempamerkan wajah murung dan tertekan, lebih baik aku ikuti saranan doktor untuk terus rehat di katil rumah sahaja.

Doktor menyarankan untuk aku sentiasa tinggikan kaki dari badan, kesan daripada bengkak yang nyeri pada kaki dan sekitar tumit. Selain itu juga, doktor menasihatkan aku agar kurang bergerak untuk lebih mengurangkan rasa sakit pada ari-ari dan juga tilang pinggul. Bayi akan lebih selesa mencari ruang untuk memboloskan dirinya jika aku lebih tenang dan tidak tertekan.

Semangat kian kuat biarpun adakalanya aku dipukul perasaan yang pelbagai. Di saat ini, aku harus meminjam semangat suamiku. Tanpa dia, aku tak mungkin sekuat ini. Dialah pencerna semangatku. Seperti yang aku khabarkan, dia menggalas segala tugasan harianku, bermula dari memasak, mengemas, mencuci pakaian, melipatnya dan mengemas katil kami beradu. Pendek kata, semuanya dia lakukan tanpa membenarkan aku mencuit sedikit pun. Alhamdulillah, pengorbanan dan kesefahaman ini amat aku hargai dan aku bersyukur ke hadrat illahi kerana dipertemukan kasih ini.

Dua hari yang lalu, aku membuat lawatan rutin ke Hospital dan doktor masih mengkhabarkan bahawa anak kecil ini masih tidak masuk sepenuhnya ke dalam kantung untuk keluar. Mungkin dia terlalu selesa tinggal bersamaku di dalam rahim yang sempit ini. Aku hanya tersenyum namun sedikit kegusaran tersandar di hati. Aku melihat berat bayi melalui mesin itu sudah mencecah 3.5kg dan jantungku mula berdebar. Aku sebenarnya khuatir kalau-kalau bayi ini semakin membesar dan aku semakin tidak termampu membawa badan yang kian berat.

Aku bertanyakan pada doktor, berapakan berat bayiku sebenarnya, "owh jangan bimbang, beratnya mungkin dalam 3.3kg - 3.4kg sahaja. Mesin ini tak dapat nak mengira berat bayi dengan tetap kerana kepalanya masih tak masuk ke dalam kantung", aku hanya mengangguk kononnya mengerti.

Hakikatnya, aku tidak boleh lari dari perasaan takut. 2 minggu yang lalu, ketika bertemu dengan doktor, berat bayi mencecah 3.1kg dan dalam masa 2 minggu sahaja dia sudah mula mengembang sebanyak 300 gram. Sedangkan aku yang membulat ini pula mengalami penurunan berat badan sebanyak 3kg. Benarlah kata beberapa pihak, semakin hampir pada hari melahirkan, berat badan akan sedikit menurun. Hooorey, 2 minggu turun 3kg tapi bayi naik 300grams.

Tak mengapalah, seandainya dia mencecah 4kg sekalipun aku redha. Doa ku hanyalah mengharapkan dia sempurna sifatnya dan sihat sejahtera kesihatannya. Setiap kali aku bermohon pada illahi, aku seolah dapat membayangkan wajahnya. Aku mahukan senyumannya yang manis seperti senyuman daddynya :)

Alangkah indahnya hidup dikurniakan rezeki yang tidak ternilai ini. Aku tak putus mengucap syukur pada Illahi atas setiap kurniaanNYA padaku dan keluarga. Moga kehidupan ini akan lebih bermakna dan terus menjadi lebih bahagia dengan kehadiran zuriat yang diciptakan ini.

Buat anakku, mummy dan daddy sangat tidak sabar menanti kehadiranmu. Lahirlah ke dunia ini dengan penuh harapan dan kebanggaan seperti mana kami bangga menerima kehadiranmu. Doa mummy dan daddy hanyalah mahukan sayang menjadi anak yang taat pada agama dan ibu bapa. Kasih sayang mummy dan daddy sudahpun tercerna sejak dari hari pertama kami mengetahui kehadiran sayang di dalam rahim mummy.

Wednesday, October 20, 2010

Surat untuk Baby dalam kantung!

Menjelang saat akhir ....
Selama 9 bulan mummy bawa baby ke mana-mana. Mummy redah setiap kesakitan dan kegembiraan bersama, mummy tidur dan bangun, kerja dan istirehat, lapar dan dahaga, segalanya baby lalui bersama. Tak lama lagi baby nak keluar lihat dunia yang penuh dengan dugaan. Itu bukan kata mummy, tapi itu janji Allah swt.

Kalau diberi pilihan, mummy nak baby terus dibawah lindungan mummy. Tinggal selamanya dalam perut mummy tapi mana mungkin mummy boleh membidas ketentuan tuhan. Mummy hanya mampu berdoa agar baby terus sihat dan membesar dalam rahmat Illahi. Mummy dan Daddy menyimpan harapan tinggi pada baby, nak lihat baby berjaya dan yang penting menjadi anak yang taat pada agama dan ibu bapa.

Ketika mummy mewarna warkah ini, sesungguhnya mummy sangat rasa tertekan. Keadaan Mummy yang semakin terbatas melakukan rutin harian sesunguhnya membuatkan Mummy sedar bahawa kudrat itu bukan sepenuhnya milik kita. Mummy dapat rasakan bilamana suatu hari nanti, segala sendi semakin uzur, badan tidak terdaya, siapakah yang akan menjaga Mummy. Terus terang Mummy katakan, keadaan Mummy diuji seperti warga tua memberikan Mummy keinsafan. Banyak yang tidak mampu Mummy lakukan, banyak sangat baby. Ini semua kerana kehadiran baby yang semakin membesar lewat waktu ini.

Mummy tak mampu berjalan lebih dari 100m, kaki akan membengkak dan nyerinya hanya dapat dirasai pada mereka yang tahu dan berpengalaman.

Mummy tak dapat tidur dengan selesa, sakit pada tulang pinggul dan belakang buatkan Mummy sering terjaga di malam hari. Malah jika terlebih stretch, kaki Mummy akan disentap oleh 'cramp'. Ini maknanya sendi, urat, kalsium dalam badan tidak seimbang. Sebelum Mummy membawa baby, tak pernah Mummy tahu apa itu 'cramp'.

Mummy susah nak tunduk menyembah Allah swt. Setiap hari hanya bersolat atas kerusi semata. Itupun rasa sakit bila mana nak mensyaratkan diri untuk rukuk dan sujud. Selesai solat, Mummy tak putus doa agar Allah swt dengar rintihan Mummy untuk mempermudahkan segala kerja harian Mummy.

Kerja rumah semuanya Daddy buat, dari kemas katil di bilik tidur, cuci bilik air, cuci baju, masak, kemas dapur dan bersihkan rumah semuanya Daddy buat. Mummy hanya tolong lihat dan bila nak bantu, Daddy kata 'rehatlah'. Sedih Mummy tengok Daddy buat semua itu sendirian. Bukan Mummy malas, tapi Mummy susah nak tunduk, susah nak berdiri lama-lama apatah lagi nak mengaktifkan diri.

Mummy kalau duduk susah nak bangun, ingat lagi bila dulu Mummy nampak orang mengandung jalan perlahan dan lemah je, Mummy terfikir kenapa susah sangat dia nak bangun? Susah sangat dia berjalan. Nah....hari ini Mummy tahu jawapannya. Setiap kali Mummy duduk, amatlah siksa untuk bangun terutama kalau duduk di sofa. Berat dari tulang belakang sampai ke pinggul. Sakitnya nak gerak Mummy hanya istighfar sahaja.

Mummy suka bila baby bergerak dengan kuat dan aktif. Mummy tahu baby sihat, mummy tahu baby sedang bermain tetapi sejak kebelakangan ini Mummy menangis bila baby bergerak. Sakitnya tak dapat Mummy gambarkan. Tulang baby semakin kuat, bila melanggar kulit perut Mummy, rasa seperti nak terkoyak, bila terlanggar tulang rusuk Mummy, rasa seperti nak pitam. Mummy hanya berdoa pada Allah swt agar dapatlah Mummy mengharungi segalanya.

Banyak yang Mummy nak kongsi dengan baby, walau baby tak baca warkah Mummy cukup sekadar Mummy luahkannya. Mummy tak sabar nak baby keluar, bukan sebab Mummy tak tahan dengan dugaan, tapi Mummy mahu ringankan beban Daddy dan Mummy tak suka menghitung hari.

Jiwa Mummy mudah terganggu, entah kenapa tiba tiba sahaja Mummy menangis tanpa sebabnya. Mummy terasa asing dan lain dalam dunia yang indah ini. Mungkin banyak yang membataskan Mummy, dari aktiviti harian hinggalah aktiviti wajib, semuanya gagal Mummy lakukan. Mummy mahu kembali seperti biasa dan kali ini Mummy mahu jadi yang insan yang memanfaatkan setiap saat yang hadir.

Mummy sering terkenang, bagaimanalah mama Mummy membawa dan membesarkan Mummy selama ini. Pastinya, tak kurang banyak perbezaan ini. Setiap yang telah dirasai pasti kita mampu bicarakan. Sebelum ini mungkin hanya gambaran sahaja dapat dipaparkan. Pengorbanan ibu tidak ada galang gantinya.

Ketika menanti debaran kelahiranmu sayang,
Mummy bersyukur atas setiap limpahan rezeki yang Allah swt cucuri pada Mummy dan Daddy. Alhamdulillah kata yang paling tinggi untuk Mummy panjatkan pada Illahi. Kehadiran baby pastinya dinantikan oleh semua ahli dalam keluarga Mummy dan Daddy.

Abang Farysh sering bertanyakan pada Mummy, "Bila baby nak keluar ni Mummy? Aiysh tunggu dah lama dah. Baby asyik tendang tendang mummy sahaja". Itulah antara ayat yang sering Abang Farysh tanyakan pada Mummy. Tak sabar rasanya dia nak berteman, setelah 3 tahun bersendirian.

Mummy doakan agar baby keluar dengan selamat, sempurna sifat dan sihat tubuh badan. Saat ini, hanya Allah swt menjadi tempat Mummy memohon segalanya, merayu dan mengadu nasib. Semoga kita dipertemukan segera ya sayang :)

Salam sayang dari Mummy dan Daddy

Sunday, October 03, 2010

Hari akhir di IPK dan bermula episod baru di ICR

Bermula perjalanan baru, setelah setahun lebih menjadi warga kerja Institut Pengajian Kepengetuaan (IPK) Universiti Malaya yang berlokasi di Kampus Kota, Jalan Tun Ismail, hari ini (1 Oktober 2010) aku telah pun ditukarkan ke Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat di Kampus Induk Universiti Malaya. Tugasan aku kali ini lebih bersesuaian dan mengikut spek kelulusan aku sebagai warga Media.

Bidang tugas yang memerlukan protokal dan kecekapan dalam menangani isu -isu semasa serta promosi adalah antara agenda utama yang dipertanggungjawabkan ke atas bahuku.

Alhamdulillah, rezeki anak kata mereka semua dan aku bersyukur ke hadrat Illahi atas kurniaanNYA yang melimpah ruah untukku serta keluarga. Walau di hati terselit rasa sayu meninggalkan teman-teman di Kampus Kota, aku tetap merasakan ia adalah satu langkah terbaik untuk peningkatan diri dan keluarga. Kenangan manis dan pahit bersama akan tetap menjadi jambatan untuk aku lalui hari hari depan.

Mana mungkin setiap yang istimewa ada penggantinya. Kata teman-temanku di Kampus Kota, pastinya aku akan mendapat rakan baru dan kesedihan ini akan hilang. Namun, aku sangkal semua itu, setiap insan itu ada keistimewaannya dan tak mungkin ada galang ganti. Aku menghargai setiap yang ada dengan rasa yang tersendiri. Lain padang lain lalang, lain orang lain kisahnya, dan kerana itulah kita harus menghargai setiap saat bersama insan-insan tersayang dalam hidup kita.

Semalam, 30 September 2010 merupakan hari terakhir aku bersama rakan-rakan dan semua warga kerja Kampus Kota. Kami ibarat sebuah keluarga kecil tetapi bahagia. Tercuit di hati, tergigit lidah dan tersadung kecil merupakan asam garam yang tak bisa dielakkan. Kenangan, tetap menjadi kenangan dalam buku kecil perjalanan hidup ini.

Jamuan kecil diadakan sempena menghargai perkhidmatanku dan tanda ucapan tahniah kerana dipindahkan ke Jabatan baru adalah motif acara makan-makan diadakan. Aku terhibur dengan juadah yang sedap dan menyelerakan. Alhamdulillah, ia berjalan dalam keadaan girang dan gembira.

Waktu seakan singkat, hingga 8 jam di pejabat seperti sejam kurasakan. Apa tidaknya, banyak perkara harus dilangsaikan sebelum jam 5.30 petang. Segala barang-barang harus dikemas, tugasan-tugasan harus diserahkan kepada yang telah di beri tanggungjawab. Hari diakhiri dengan sesi bergambar bersama tenaga kerja bukan akademik dan Pengarah IPK. Aku mula dihimpit segala rasa, apakah ada kegirangan ini di sana kelak. Segalanya menjadi teka teki.

Hari ini, Oktober 1, 2010.
Lapor diri di Bahagian Sumber Manusia dan lantas ke Badan Hubungan Korporat & Antarabangsa membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku disambut baik oleh teman-teman baru dan lebih memeranjatkan Pemangku Pengarah, menyambutku seperti menyambut ahli keluarga baru yang dinanti-nantikan. Dengan senyumannya aku rasa sedikit lega. Alhamdulillah, sedikit debaran berakhir sudah.

Sepanjang hari di sini, aku mula rasakan suasana kekeluargaan sangat dititik beratkan. Saling bantu membantu dan tiada sistem kasta diterapkan. Aku cuma mengharapkan kehadiran aku disini dapat diterima dan boleh meringankan beban yang terpikul. Entah berapa lama lagi aku akan di sini, dan jika tidak di tukarkan ke bahagian lain aku mahu setiap tugasku dapat memenuhi tuntutan yang dispesifikasikan.

InsyaALLAH, akan ada episod-episod lain yang bakal aku kongsikan. Semoga setiap yang baik itu dapat aku lakukan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Buat teman-teman di IPK, ketahuilah kalian bahawa setiap yang pernah kita lalui bersama merupakan saat indah yang telah aku patrikan dalam sejarah hidupku. Nama kalian tetap menjadi sebutan di bibir walau kita tidak sebumbung lagi. Budi dan jasa kalian menjadi ikatan kukuh ukhwah ini. Salam sayang dariku.

~ with all non academic staff of IPK with Pengarah~


~ with all non academic staff of IPK with Pengarah~

~team of non academic staff. Miss u mate~


~~Thanks for the luvly choclolate cake~~


~Memories~

~sedihnya bila kenangkan segala kenangan~


~ potong jangan tak potong~


~Dr Suria with Kak Eran~

~happy eating, both pun bawa baby so makan banyak2~

~IPK with Kampus Kota Management team~

~sempat nomie posing kat belakang tu~

~me with Datin Rahimah & Dr Sathia~


Lagi kisah Adil Fitri 1431

Masih dalam mode raya. Tahun ini sambutan walau sederhana, namun aku rasa ia masih lagi Aidil Fitri yang terbaik seperti tahun-tahun yang lalu. Terimbau zaman menjadi perantau dan berhari raya bersama rakan-rakan sahaja. Meriah juga tapi tidaklah memberikan apa apa makna kerana insan-insan tersayang tidak berada di sisi.

Aidil Fitri tahun ini merupakan antara cuti panjang yang jarang jarang berlaku, bayangkan 9 hari bercuti dan tidak sehari pun ada waktu untuk berehat. Jemputan saudara mara untuk hadir ke rumah mereka, rasa tidak wajar pula untuk tidak ditunaikan. Badan yang semakin memboyot dan bulat ini seperti tidak kenal erti lelah. Namun akhirnya kecundang juga bila 'cramp' dan bengkak sana sini mula menyengat. Kasihan si suami, menjadi pengurut setia saban malam sebab tak sanggup tengok si isteri merana kesakitan.

Alhamdulillah tekak juga boleh menerima macam - macam juadah yang dihidangkan. Kalau sebelum ini air sejuk seperti ubat pahit untuk ditelan, tapi musim perayaan ini menjadi jadi pula nak meneguk air sejuk dan berperisa gas. Sungguh menakutkan, terutamanya bila mengenangkan berat badan yang semakin di pam - pam seperti bola tayar kereta.

Banyak cerita tapi tak ada gambar tak jadi juga. Maka, aku tontonkan sedikit sebanyak kemeriahan di musim syawal ini untuk tatapan teman-teman.

>>upload soon<<

Thursday, September 30, 2010

Welcome Adam Syameel~~anak buahku!!!

Tahniah!!!! Syukur ALHAMDULILLAH...

Setelah sekian lama menantikan kelahiran anak kedua, kakak iparku selamat melahirkan bayi Adam Syameel pada hari Malaysia 16 September 2010 yang lalu. Setelah bertarung hampir 10 jam, bergelut dengan kesakitan, berperang dengan kesengsaraan, segalanya terukir dengan senyuman bilamana bayi selamat dan sihat dilahirkan.

Aku bisa katakan dia wanita berjiwa kental kerana memilih untuk tidak melakukan pembedahan biarpun kondisi kesihatannya tidaklah begitu memuaskan. Syabas kak long, semangat yang ada pada kak long sesungguhnya harus diberi penghormatan yang tinggi. Aku sangat kagu memlihat kekuatan semangat yang dipantulkan.

Insan paling gembira pastinya kakak kepada Adam Syameel, yang kini berusia 6 tahun. Dia rindukan adik dan mahukan seorang teman untuk dijadikan tempat bicara. Bayangkan, setiap kali dia lihat perut ibunya yang semakin membulat, dia tak putus menyanyakan bilakah baby nak keluar. Aku hanya tersenyum.

Segala penantian telah pun berakhir, dan kini ia membuatkan debaran yang lebih kuat buat aku. Kurang dari beberapa minggu akan lahirlah penyambung warisan aku dan suami bagi keluarga Afandi Hj Awang & Kamal Amir Hj Kamal Hijjaz. Debaran itu aku dapat rasakan semakin menggila. Aku hanya pohon agar Allah swt memberikan kekuatan buatku untuk terus tabah dan tenang tempuhi tugasan ini.

Sedikit potret aku kongsikan buat kalian, wajah Adam Syameel yang kurang dari 48 jam melihat dunia yang penuh pancaroba. Ramai teman-teman di laman facebook tak putus mengucapkan tahniah. Mereka ingatkan bahawa Adam adalah anakku, sedang mereka terlepas pandang bahawa aku telah nyatakan di situ bahawa dia adalah ahli keluarga baru bagi kakak iparku.

Apa pun, tahniah sekali lagi buat Kak Long dan Abg Joe. Semoga dikurniakan rezeki yang lebih melimpah ruah dan diberkati sepanjang hayat dunia dan akhirat!



Adam Syameel~~dilahirkan pada 16 September 2010


Bersama mengambil berkat, moga-moga anak kami semanis Adam


Tenang sahaja wajah bayi ini~~sayu


Kakak Shasha bersama adiknya. Lovely!!!

Tuesday, September 28, 2010

~~Khas buat kalian "teman-teman di IPK,UM'~~

Dan akhirnya aku melangkah keluar dari sini, biarpun penuh dengan rasa pilu kerna keindahan ada terterbit di hati, namun aku tahu yang baik itu pastinya telah terencana buatku.

Hanya ingatan tulus ikhlas aku pamerkan untuk kalian tahu bahawa aku menghargai setiap detik mengenalimu....

Kalau semalam itu memori
Bisa saja kau jadikan ia potret
Walau ada kotoran tercela
Ada semut menghurung kerna manisnya
Aku tahu ia semua untuk esok
Yang bakal kita sebut sebut dan ingati

Semalam itu sesungguhnya berlalu
Dengan sia sia atau penuh makna
Kita terleka kerana sesaat itu bisa habis
Kita terlupa bahawa mungkin esok tiada lagi buat kita

Jika ada sisa kenangan
Simpanlah agar ia menjadi jambatan persahabatan
Tidak bisa terputus walau seinci
Tidak terenggang walau sejengkal
Selagi ingatan pada semalam masih kuat
Kita teruskan berdoa
Agar esok terus diwarnai dengan indahnya semalam

Walau semalam itu hanya sementara
Kau dan aku ada terluka
Itulah resam manusia
Bukan kita ini malaikat untuk pamerkan yang baik sahaja
Usaha untuk menjalinkan yang baik
Menruntuhkan yang keruh
Itulah nilai yang paling mulia

Teman,
Kita pasti bertemu lagi esok
Hingga akhir hayat
Kita tak akan terputus ukhwah
Bedanya kita tidak lagi bertemu saban hari
Kita tak lagi bertentang mata 8 jam sehari
Yakinlah bahawa aku tetap berdiri
Atas nama sahabat

Teman,
Mungkin ada rasa gundah terselit
Usahlah gusar dirundung sepi
Aku ada disetiap ruang pilu yang kau lalui

Teman,
Esok belum pasti untuk kita
Hari ini biarpun saat terakhir
Kita pasti akan tersenyum
Bila gambaran lampau menyinari
Kita pasti terusik
Namun semua itu kenangan
Yang harus kau dan aku sematkan

Di mana ada kesunyiaan,
Pastinya ada aku yang bisa menjadi penawar
Dalam setiap duka mahupun suka
Kita tak akan terlepas untuk bicarakannya
Hargailah semalam walaupun ada celanya
Kerna semalam itulah segala yang indah
Ada untuk kita ingati bersama....


~~me~~kak zue~~kak ida~~nor~~

~~nomie~~leeana~~me~~nizam~~

~~saiful~~kak su~~me~~

~~shikin~~me~~


Nini dedikasikan khas lagu ini buat kalian sekadar mengharapkan agar setiap ukhwah tidak terpisah dengan adanya ikatan persahabatan. Di mana pun kita berada, pastinya pertemuan dan perpisahan akan terbit namun, seandainya benteng persahabatan itu kukuh, kita tak akan pernah lupa untuk menjadi semangat buat insan bernama sahabat.



Life is full of lots of up and downs,
But the distance feels further,
When it's headed for the ground,
And there's nothing more painful,
Than to let your feeling take,
You down.

It's so hard to know,
The way you feel inside,
When there's many thoughts,
And feeling that you hide,
But you might feel better,
If you let me walk with you,
By your side,

And when you need,
A shoulder to cry on,
When you need,
A friend to rely on,
And when the whole world is gone,
You won't be alone,
Cause i'll be there,
I'll be your shoulder to cry on,
I'll be there,
I'll be yur friend to rely on,
When the whole world is gone,
You won't be alone cause i'll be there,

All of the times,
When everything is wrong,
And you're feeling like,
There's no use going on,
You can't give it up,
I'll help you work it out,
And carry on,

Side by side,
With you till the end,
I'll always be the one to firmly hold your hand,
No matter what there said or done,
Our love will always continue on,

Everyone needs a shoulder to cry on,
Everyone needs a friend to rely on,
When the whole world is gone,
You won't be alone,
Cause i'll be there,
I'll be your shoulder to cry on,
I'll be there,
I'll be your friend to rely on,
When the whole world is gone
You won't be alone,
Cause i'll be there,
You have my shoulder to cry on,
I'll be there
I'll be the one to rely on,
When the whole world is gone,
You won't be alone,
Cause i'll be there,

And when the whole world is gone,
You always have my shoulder to cry on.


Tujuh dan Lapan dan menanti SEMBILAN

Ketika entri ini dicatatkan, aku telahpun mencecah 8 bulan 3 minggu (35 minggu) dan selama itulah anak dalam kandungan ini aku bawa ke sana ke sini. Dia setia berada bersamaku walau adakalanya aku tak nafikan bahawa airmata tak henti mengalir menahan segala keperitan dan kesengsaraan membawanya.

Aku tahu, aku sedang bekerja untuk TUHAN. Aku sedang membawa amanah yang berat, bakal melahirkan seorang lagi hamba TUHAN di muka bumi ini dan lebih berat lagi, bakal membentuk akhlaknya dengan segala ilmu AGAMA yang lengkap. MasyaALLAH besar rasanya tanggungjawab ini, hingga takut untuk meninjau esok.

Semakin hampir dengan hari kelahirannya, anak kecil ini membesar dengan pantasnya. Perutku memboyot dan garis garis merah yang dikenali sebagai 'stretch mark' telahpun muncul walau ratusan wang telah aku habiskan dengan membeli minyak yang kononnya tidak akan memecahkan perutku. Aku tak percaya lagi!!!! namun aku terpaksa teruskan menggunanya. Bayangkan jika aku tidak menggunakan bahan bahan tersebut, perutku terasa seperti mahu meletup teriknya. Lemak-lemak yang terkumpul selama ini tidak kelihatan lagi sebaliknya menjadi seperti belon dan semakin tegang dari hari ke hari.

Aku mula rasakan setiap saat seperti mahu tumbang, kaki tidak sekuat dulu, pinggang seperti mahu tertanggal, berdiri tidak segagah 8 bulan yang lalu, malah aku melihat diriku di hadapan cermin seperti wanita berusia 60 tahun yang mana segalanya seperti akan berakhir dan tertanam ke bumi.

Kata doktor, anak ini lasak dan mungkin panjang. Aku bersyukur setiap kali doktor khabarkan bahawa dia sihat dan aku bisa melahirkannya normal memandangkan kedudukannya sudah pun berada di kedudukan sepatutnya. Sebelum ini dia kelihatan songsang dan ia merungsingkan aku. Namun benarlah setiap doa yang dipohon oleh ibu mengandung adalah doa yang terus diangkat, maka aku tidak putus berdoa pada yang ESA agar mempermudahkan segala urusan kelahiran anak ini.

Aku ingin kongsikan seribu satu cerita yang menghimpit sepanjang aku membawa anak ini 24 jam sehari kepada kalian. Mungkin ada rakan-rakan yang turut merasai apa yang pernah aku lalui dan ketahuilah bahawa kalian tidak bersendiri. Sukar untuk aku gambarkan perasaan gembira, girang, sedih, sakit, lemah dan pelbagai lagi rasa yang membawa aku terawang awang. Lebih genting saatnya, lebih tak terduga dugaan yang diberikan.

Teman,
Membawa sebutir nyawa yang tidak kita tahu bagaimana dia hidup di sebalik rahim ini bukanlah perkara enteng. Amanah ini tuhan telah campakkan dalam diri kita, inilah kerja yang paling sukar untuk kita tempuhi dan tuhan memilih kita kerana tuhan tahu sejauh mana kekuatan yang ada dalam semangat kita. Setiap perjalanan kita ini dilindungi para malaikat, maka janganlah berhenti dari melafaz zikir seandai ada rasa sayu dan sakit mula menjalar dalam diri.

Pengorbanan ibu buat kita sebenarnya adalah pengorbanan agung. Bertarung nyawa, bertarung kudrat, membutuhkan segala kepayahan dan melayani segala perasaan yang adakalanya tidak mengikut musim.

Di sinilah suami menjadi segala perangsang buat kita. Dengan semangat yang dipinjamkan suami pada kita, insyaALLAH kita akan menjadi sedikit kuat dari sebelumnya.

Bagaimana kalau setiap keperitan itu tuhan janjikan seribu pahala buat kita, maka jangan sekali kita mengeluh dan sebaliknya kita teruskan dengan keazaman untuk lahirkannya.

Panjang untuk dikongsi, insyaALLAH akan aku sambungkan lagi kisah ini. Masa sangat mencemburui aku dan ketahuilah bahawa aku sangat rasa bahagia dengan kehadiran bakal anak ini dan tak sabar rasanya aku dan suami untuk melihat wajahnya dan memeluk susuk tubuhnya.

Salam penuh kasih dan doakan agar aku terus diberikan kesihatan baik sehingga lahirnya anak ini.

Salam Aidil Fitri 1431

Berakhirlah cerita Ramadhan, dan serngnya kita menanti akan kehadiran Syawal. Banyak persiapan yang dilakukan sepanjang Ramadhan adalah mencari kemuncak kegembiraan di pagi Syawal. Inilah janji tuhan pada kita, kenikmatan Ramadhan adalah pada waktu iftar dan kegembiraan mencari sunat di malamnya dengan amal serta kemuncaknya terletak pada 1 Syawal.

Alhamdulillah sepanjang 15 terakhir Ramadhan, Nini dapat menjalani ibadat puasa dengan tenang walaupun adakalanya sakit menyucuk perut ini tak dapat terbendung namun anak dalam kandungan ini bisa mengerti bahawa ibunya mahu merasai kenikmatan Ramadhan kali ini. Terima kasih anakku kerana dapat membiasakan diri walaupun ada ketikanya ibumu ini tidak begitu kuat melawan kesakitan, akhirnya alhamdulillah dapatlah menghabiskan sisa sisa Ramadhan dengan jayanya.

Kehadiran Syawal tahun ini hambar dengan sambutan, selalunya Nini akan menyiapkan diri seperti mana insan insan lain. Namun demikian, tahun ini di atas menyambut kehadiran bakal cahaya mata, nafsu untuk memperhiaskan diri dengan pakaian baru, kelengkapan rumah, kuih raya serta perasaan tak sabar-sabar menanti Syawal tidak sama seperti tahun-tahun lalu.

Kali ini, giliran Nini menyambut Syawal bersama keluarga memandangkan tahun lalu Nini bersama suami di Kelantan. Walau demikian, mertua Nini turut kembali ke Subang Jaya dan menyambut Syawal di sana, atas sebab kakak ipar Nini juga sedang sarat menunggu hari. Maka tahun ini, 1 Syawal dapatlah Nini mencium tangan kedua ibu ayah kandung dan mertua. Bukan mudah untuk dapatkan detik ini. Tahun lalu, raya ke3 baru bertemu papa dan mama.

Tak banyak yang ingin Nini kongsikan memandangkan momentum untuk corat coret kisah Syawal tidak segalak dulu. Mungkin juga atas alasan sarat dan idea kurang, maka Nini akhiri di sini dan paparkan sedikit gambar kemeriahan Syawal 1431.

Mohon maaf seandainya Nini tidak sempat untuk menghantar kad atau pesanan dari telefon bimbit buat semua. Nini menyusun sepuluh jari, menghulur salam keampunan seandainya ada kata yang terhiris di hati, ada perilaku yang mencela di mata, namun hakikinya Nini tidak terniat untuk mengguris hati sesiapa. Ketibaan Syawal ini, Nini mohon agar segala salah dan silap dapat kalian ampunkan dan kita kukuhkan kembali ukhwah yang renggang dan terlerai.

SALAM AIDIL FITRI 1431H!


Alhamdulillah, makin bertambah ahli keluarga kita...


Bersama ayahnda, bonda, suami tersayang


Keluarga indah adikku


Bersama puteri-puteri yang belum dipinang orang :)


Golden of my heart!


Precious gift from GOD~~greatest husband!!


Melawat tapak persemadiaan adindaku Marina


Hanya ingatan dan potongan ayat dapat dianugarahkan, tanda cinta dan kasih


Menziarahi pusara nenda

Keluarga mertua ~adik iparku, kakak iparku dan bonda mertua~~


~adik iparku, abang iparku, ayanhda mertua dan suami tersayang~