Tuesday, November 24, 2009
Bermula Lembaran Aku
Bermunajat Pada Yang ESA
Sunday, November 22, 2009
~Kutujukan KATA KATA ini buat NOOR LAILATUR MARDIANA aka AYU~~
Salam seribu sayang
Salam kasih dan cinta
Salam berisi ingatan dan keikhlasan
Salam Hari Lahir
Adikku yang comel
Adikku yang mongel
Adikku yang kukasih
Adikku yang menjadi pujaan keluarga
Salam Hari Lahir
Sudah beranjak setahun lagi
Semalam usah kau toleh
Hari ini dan esok lembaran harus kau titip
Mencari apa itu permata
Memunggah apa itu ertinya dunia
Salam Hari Lahir
Oh tuhan MAHA PENYAYANG MAHA PENGASIH
Bawalah doaku ini kepada perhatianmu
Ambillah bait kataku ini demi untuk adikku
Kepada kau sahajalah aku meminta minta
Kepada kau sajalah aku merayu rayu
Oh tuhanku
Kau murahkanlah rezeki adindaku
Kau jauhkanlah dari segala azab mala petaka
Kau peliharalah maruah dan dirinya
Kau limpahkanlah kurniaMU ke atasnya
Kau berikanlah usia yang panjang serta kesihatan
Kau tutupkanlah mata hatinya dari melakukan mungkar
Kerana kaulah dia masih terus bernafas
Kerana kau jualah dia masih terus menjadi umat menegak ISLAH di muka bumi
Oh tuhanku
Kupohon restumu terhadap doa doa kecilku
Moga adindaku sering dalam gembira
Moga juga dia sering menjadi sinar bagi keluarga
Adindaku AYU
Salam hari lahir dan hanya sepotong doa bisa kekanda dahului
Andai mata tertutup andai tubuhku kaku
Doaku sering bersamamu
Meniti hari hari yang penuh warna pelangi, warna hitam dan putih
SALAM HARI LAHIR
SALAM KASIH
SALAM CINTA
Itulah antara utusan kekandamu buat dirimu
Setahun kau kehadapan
Bertambahlah ilmu di dada
Pada yang ESA jangan kau lupa
Pada yang ESA harus kau sujud sentiasa
Agar kau sering dalam lindunganNYA
SALAM HARI LAHIR
SALAM 19 TAHUN
MOGA KITA AKAN TERUS BERSAMA DENGAN PENUH RASA CINTA
SALAM HARI LAHIR AYU
F.A.M.I.L.Y~Siapalah aku Tanpa cintamu~
Cerita Nini makin lama makin susut carta bilangannya. Janji telah terpatri sedang tidak dikotai, bagaimana ya? Bukan maaf lagi harus dipinta tapi lebih dari itu, Nini benar benar butuhkan waktu yang panjang untuk terus berkarya.
Ada teman bilang, teruskanlah menulis kerana aku ketagihan tulisanmu. Ada sahabat bilang, kalau tidak membaca coretanmu aku ketagihan dan marah bila setiap kali tekan punat melayari blog aku, tidak ada cerita baru. Ada juga rakan bilang, tidak jenguk sehari rasa gelisah seperti ada tarikan pada tulisan aku tapi SAUDARAKU, aku kebutuhan waktu yang tenang untuk lakarkan coretan ini. Lewat waktu ini, segalanya padat dan sendat. Bernafas pun tersemput semput, tercungap cungap menyelesaikan tugasan pejabat yang semakin mendesak tapi aku cuba untuk memberikan sedikit semangat buat kalian yang tak putus menghantui ruang emailku bertanyakan cerita baru.
Aku bertanya pada Mr Kekasih, apa haruskah aku terus berkarya dan jadikan sebagai pekerjaan sambilan? Aku turut bertanya pada hati apakah aku sudah sedia menjadi sang penulis tegar? Mr Kekasih tidak membalas namun tersenyum dengan menganggukkan sedikit kepalanya menyertakan rasa setuju kerana dia juga punya naluri aku harus terus menulis. Dia tahu aku menulis bukan suka suka tapi aku menulis kerna jiwa aku berbenih penulis. Aku tak sertai kursus hebat, aku tidak bersijil penulis terkenal tapi darah penulis papa sentiasa mengalir deras dalam tubuhku.
Aku benar mahu menulis, kerna jiwaku terlukis dengan jemari yang mahu menari. Bagi sahaja kertas, akan aku lukiskan cerita cerita dunia. Jika dicampakkan di lautan tidak bertepian, aku bisa hidup dengan pena dan lembaran. Akal ku panjang dengan imaginasi lara dunia. Aku senang dengan tidak berkata tapi tak bisa diam tanpa lenggokan bahasa.
Aku mahu rakamkan rasa cinta yang tinggi, rasa kasih yang tak tercapai pada kamu teman dan saudara. Tanpa asakan dan kritikan kamu aku pastinya berhenti dan campak sahaja alunan taipan di maya ini begitu sahaja, tapi tidak bisa sedemikian kerna lebih kuat mahu ku campakkan lebih kuat kalian datang dan menghentam aku dengan persoalan 'mana janji kamu?'.
Ia aku berjanji untuk seaktif dahulu, tapi aku gagal. Aku bukan gagal kerana mahu digagalkan tapi masa itu sangat jahat mencemburui aku dan mencumbukan aku dengan tugasan yang tiada kata akhiran.
Ada banyak yang ingin aku ceritakan, aku pasti singgah lagi di sini buat sedikit masa lagi. Saat ini, aku harus langsaikan hutang di pejabat yang aku bawa balik ke rumah. Selesai hutang itu, aku ke sini lagi bersama kalian.
Terima kasih teman dan saudara. Aku cinta kamu sepenuh jiwa penulisanku!
Friday, November 13, 2009
~Demi Masa~
Monday, October 19, 2009
Lidah tak boleh bohong?
Sudah ramai mati saat terlontarnya
Lidah jahat pada minda
Hati terledak amarah gusar
Ego tampil menghunus pedang satria
Kalau kata itu senjata
Aku dah lama luput di alam nyata
Semua tak wujud di sini
Tinggal hitungan di sana
Menjawab apa dosa apa pahala
Kalau kata itu senjata
Aku mahu potong lidah
Biar jemari mencetus irama
Agar tersirat bukan tersurat
Tersurat bukan hakikat
Aku hanya kata
Kalau kata itu senjata...
Thursday, October 15, 2009
M-A-L-A-Y-U @ M-E-L-A-Y-U
Melihat bangsaku berlarian merempuh pintu
Mencari redha di kekalutan buntu
Meredah belukar mencari sesuap nasi
Yang di kangkangkan untuk merasai nikmat ke akhir hayat
Aku Melayu malu
Mencarik - carik di belakang teman dan kawan
Muntah kerna terlebih suapan
Perut meledak angin lintang utara selatan
Berpusar menggigil menadah tangan
Hanya tagihkan candu kesenangan
Hey!! Aku benar malu
Aku Melayu! Aku Melayu
Aku tak tahu apa itu Melayu
Mungkin pada zahirnya Melayu
Batinnya juga dibedung Melayu
Minda kosong pengertian Melayu
Ada kata Melayu mudah lupa
Ada kata Melayu mudah layu
Ada kata Melayu macam kayu
Ada kata Melayu itu layu
Hey!! Aku Anak Melayu
Bapa keturunan Melayu
Ibu Keturunan Melayu
Bahasaku bukan Malaysia tetapi Melayu
Tutur pasarku juga Melayu
Aku bangga jadi Melayu
Tapi kenapa hari ini aku malu lihat Melayu??
Aku bangga pandai berbahasa Melayu
Tapi kenapa esok aku lihat Melayu akan layu??
Aku Melayu malu
Malu dengan tingkah laku
Sopan santun budaya Melayu
Tunduk akur gaya Melayu
Hakikinya Melayu itu lumpuh
Strok pada minda
Di pasung puaka
Aku Melayu
Tak tahu masih mahu terus mengaku Melayu
Aku Melayu
Meratapi luka terpalit perbuatan Melayu
Dadaku dirobek Melayu
Tanganku dirantai Melayu
Oh Melayu...L-A-Y-U
Wednesday, September 30, 2009
~Lewat Malam bersama Puteri Rembulan~
Pantas dan kuat
Kelibat bayang tak terlihat
Bulan dan bintang bertempiaran
Meliuk di balik awan tebal
Malam itu titis deras perahan awan mula gugur
Basah bumi yang penuh dosa
Basah bumi yang penuh noda
Basah bumi yang tandus ceria
Basah bumi yang gering tak bermaya
Dari titis terus menderu
Umpama pili ditebuk gergasi
Ampangan dilanggar naga
Mencurah lelah disahut kilat
Kata nenek kilat itu menyumpit syaitan
Terkaku isi alam
Namun kerna ia malam
Penghuninya menyeret selimut
Dari hujung jemari kaki hingga litup ubun kepala
Sejuk dan indah
Damai dan tenang bila mimpi diulit hujan
Iramanya menggagah dengkur yang luar biasa
Aku renung malam
Tersiat palit duka
Terlihat wajah puteri di balik bulan
Terlindung dalam samar
Lantas ku tanya
Mengapa wajahmu selayu bunga
Tak bermaya tiada tenaga tiada girang gembira
Sedang kau sering usap ubunku
Dengan senyum paling indah
Lantas kau dakapku penuh erat
Aku sejuk dalam dakapan itu kerna kau seperti angin kota Inggeris
Ku hembus panji semangat
Ku dakap erat jemarimu
Kau hanya panah anak mataku
Hatimu mula bicara pada mataku
Airmata kau titiskan
Gegar geletar tubuhku
Kerna katamu alam kian tenat
Sakit dan pucat
Gering tiada penawar
Lantas bicaramu terus tak henti
Pinta aku terus bersedia
Lupakan kisah dunia yang diserang carca marba
Penuh kotor jijik dan hina
Bergelumang nista
Aku tunduk membisu
Mengenangkan benar bait katanya
Namun aku bingung
Mencari beraneka jawapan di balik awan sana
Ku layangkan warkah rindu buatnya
'Sampai kita ketemu lagi dan aku mahu lihat senyum delimamu"
Tuesday, September 29, 2009
~~Kanda mahu tahu?~~

Monday, September 28, 2009
JIN NOTTI TAK LAYAK KE PANGGUNG
Tanpa ada niat dan rancangan, aku dan Mr Kekasih putuskan untuk nonton filem. Filem 'UP' katanya menarik, Mr Kekasih pasti gembira dengan wajah filem animasi kerna itu genre yang sering berada dalam mindanya. Aku ikutkan sahaja asal tiada unsur kejam dan ganas sudah cukup memadai. Hajat kammi terbantut, tertindas oleh waktu dan juga ruang tempat, semuanya penuh kecuali di barisan hadapan.
Kami batalkan rancangan menonton filem itu di kaunter pembelian tiket, GSC One Utama dan gantikan dengan semangat menonton filem wajah kita, filem Melayu. Terlintas untuk melihat aksi Mawi dan Fafau maka kami sepakat menonton JIN NOTTI.
Sepanjang perjalanan mengharungi layaran filem tersebut, aku kian mual seperti nak muntah ada, pening lalat ada, panas, sakit telinga dan yang paling tinggi sekali tahapnya ialah mengantuk. Bayangkan, aku dan Mr Kekasih ketawa dalam paksaan. Kami cuba hayati apa sebenarnya isi kandung filem ini, nak kata komedi jauh sekali, thirller? aduhhh tak tergolong, animasi 3D? B-O-R-I-N-G! Itu yang aku dan Mr Kekasih lampiaskan sebaik tamat menonton filem terbitan KRU itu jam 1am.
Aku sungguh tak mengerti, apa sebenarnya intipati yang cuba ingin disemat dalam hati kami? Unsur syirik, khurafat ada terselit sana sini namun itu bukan alasan untuk aku katakan filem ini 'HANCUR' sebaliknya penceritaan filem ini tak ubah seperti drama TV yang tak mungkin ada siapa ingin menontonnya.
Maaf, aku tak bisa lagi kawal emosi pabila terkenangkan waktu dan wang yang terbuang gara gara duduk di panggung menonton filem JIN NOTTI ini. Teman dan sahabat, jika kalian benar mengenali aku pastinya tahu benar bahawa aku tidak pernah mengasingkan diri untuk menjadi penonton pertama wajah filem melayu. Aku bangga melihat anak bangsa mahu terus menjadi seniman,, berkarya, bersutradara. Tidak bohong, aku benar ingin melihat anak bangsa bangkit menontonkan wajah filem kita. Tapi kekesalan ini terus menghambat hingga aku bingung dan tak mahu lagi menjengah panggung jika ada lagi karya sebegini tampil.
Mungkin jiwaku tidak serasi dengan animasi seperti yang ditampilkan, tapi ini kali kesekiannya KRU Production cuba hadiahkan filem HAMPEH buat aku dan peminat filem Melayu. Maaf sekali lagi jika entri ini berbaur emosi, sesungguhnya aku memang tak mampu lagi mengawal amarah dengan hadiah hari raya sebegini di panggung!
Aku malas nak hujahkan apa isi filem ini, kalauada yang ingin sembang panjang isi kandung cerita ini, aku buka gelanggang untuk kita diskusi bersama. Pada aku, cukup sekadar tag line FILEM INI TAK LAYAK KE PANGGUNG yang dapat aku gambarkan.

Usahlah buat filem kalau hanya fikir mahu duit sahaja, hati berjiwa seni, berjiwa filem akan hancur dan kalau boleh nak minta ganti balik rm 22 yang telah aku bayar.
GERAMMMMM!!!!!
p/s: Mr Kekasih tolong sambung kemarahan ini!!!! Grrrrrrrr
Aku mahu amuk!
Sikit lagi waktu, aku pasti akan terus jadikan ia sebagai teman paling akrab, tak mahu lepas tak bisa terlerai. Aku dan nukilan biar berterabur sampai lebur, biar tersepit sampai perit, akan terus menghayun jemari menghambat lembaran buat kalian.
Ada banyak kisah untuk dikongsi, sama rasa masinnya sama rasa pahitnya lantas sama nikmati manisnya. Kalau belum sampai waktu untuk pergi, aku terus utuh di pentas ini biar berguling guling inipati sampai pening.
Aku mahu memberontak! Mahu terus hambat diri bangkit berdisiplin! Aku mahu sebaris bersama idolaku, hasil nukilan sering menebari pesta pesta buku, sedang aku? Bila lagi??? Bukankah ini yang aku cari???
Benar aku mahu amuk pada aku. Aku janji aku tidak tunduk dengan telunjuk masa yang memintas lapang dadaku!
Tuesday, September 15, 2009
~~SALAM AIDIL FITRI~~

Ramadhan kali ini sungguh bererti bagi diriku, jauh lebih indah menjadi anak rantau. Status isteri sesungguhnya membibitkan tenang dan penuh hikmah, berpuasa dan berbuka, bertarawikh, bersahur bersama merupakan saat indah yang tiada nilainya untuk digantikan dengan wang ringgit.
Aktiviti serta tugasan juga tidak putus putus hadir, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Ramadhan ini benar menyatu padukan ukhwah renggang, merapatkan jalinan kasih yang sayup malah ia turut menyucikan hati dari terus dihimpit rasa dendam, rasa amarah yang memuncak.
Entah Ramadhan depan kita bisa menikmati saat sebegini atau mungkin ini yang terakhir. Bersamalah kita memohon agar Yang Esa berikan ruang untuk kita umat yang hina, yang alpa untuk terus mengaut setiap pahala di muka bumi.
Teman dan saudara, mungkin lidah tak bertulang memacul kata, hati bertuli memburuk sangka, sikap dan perbuatan tak terbatas menjaga tertibnya hingga membuatkan kalian terluka, lantas terbit pucuk dendam. Lumrah kehidupan untuk merasa seribu suka dan derita, kerna ini jemari yang lantang dan ligat menari ini ingin menzahirkan rasa hati yang besar untuk memohon maaf yang tidak terkira luasnya. Ampunkan salah silap, terlebih terkurang, sesungguhnya yang buruk itu datang dariku dan yang baik semestinya milik Illahi.
Hubungan ukhwah sesama Islam akan terus utuh dengan menghapuskan dendam dan luputkan dengki.
Sehubungan ini, Nini ingin mengambil kesempatan untuk merakamnkan ucapan SALAM AIDIL FITRI BUAT :
Jika nak di isikan satu persatu mungkin tak cukup di sini, namun hait yang kecil ini benar benar zahirkan keinsafan dan kesedaran di atas segala kesilapan yang tidak pernah disengajakan sepanjang mengenali kalian.
Moga kehadiran Syawal kali ini akan lebih memberikan seribu satu ceria dalam hidup kalian.
SELAMAT HARI RAYA AIRIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN..
Thursday, August 27, 2009
JEMPUTAN MAJLIS BERBUKA AIC & SOLAT TARAWIKH BERSAMA DSAI
Ramadhan menjelma lagi dan di bulan mulia ini, Anwar Ibrahim Club Malaysia sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk menjemput teman & saudara ke Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh bersama Dato Sri Anwar Ibrahim.
Majlis sebegini hanya bertujuan menjalin ukhwah justeru sama-sama berkongsi pahala berjemaah di bulan Ramadhan yang sangat istimewa ini.
Majlis akan diadakan pada 11 September 2009 (Jumaat).
Bertempat di KEDIAMAN DATO' SRI ANWAR IBRAHIM, Bukit Segambut, Kuala Lumpur.
Atucara adalah seperti berikut :
5.30 pm - Sembang santai bersama anak muda
6.30 pm - Gotong Royong persiapan berbuka
7.00 pm - Kedatangan tetamu dan VIP
7.30 pm - Berbuka Puasa/ Solat Maghrib
8.30 pm - Solat Isyak/ Tarawih
10.00 pm - Tazkirah oleh DSAI
10.30 pm - Suai kenal ahli baru & sesi ramah tamah
11.30 pm - Majlis Bersurai
Seandainya kelapangan waktu yang terluang dalam diari teman & saudara, sudilah kiranya bersama menjayakan Majlis ini. Sila daftarkan diri teman& saudara di www.anwaribrahimclub.com/forum atau email saya di
marini@anwaribrahimclub.com untuk mengesahkan kehadiran.
Semoga Majlis ini akan mendapat keberkatan Allah swt dan kita sama sama membina ukhwah atas benteng Islam.
Wakil Anak Muda AIC,
MARINI KAMAL
marini@anwaribrahimclub.com
Wednesday, August 12, 2009
~~Purnama ini aku bangkit mengatur kata menyulam bahasa~~
Salam buka bicara, dengan penuh rasa kasih dan tanda ingatan.
Purnama berganti purnama, waktu membilang hari, saat bergantian hingga kini tak terhitung lamanya alam maya ini sepi tanpa berita. Sehari ibarat sesaat, kian suntuk mengejar waktu mencari ruang melandaikan diri dalam suasana seperti dahulu kala.
Semoga lembaran ini bisa mengubat ruang ruang rindu yang tandus untuk meratap bicara ini. Ingin sekali Nini lampiaskan rindu yang tak putus tiba, setiap kali menjengah laman maya teman teman yang terus aktif menulis, rasa cemburu mula menular dan timbul bibit bibit sayu bila melihat laman sendiri yang seolah tidak berpenghuni.
Maaf teman andainya tercari cari, mengharap utusan dan akhirnya terus hampa 2 purnama lamanya. Alhamdulillah, Nini sihat menjalani hidup penuh liku yang tidak berakhiran. Memegang status Puan Marini semakin serasi hari ini berbanding dua purnama lalu, rasa kekok rasa janggal. Kini semuanya seperti biasa biasa sahaja.
Beberapa minggu setelah bergelar Puan, Nini di masukkan ke hospital atas kesihatan yang tidak begitu baik, mungkin kerna terlalu sibuk beberapa bulan yang lalunya diikuti kisah berpindah rumah dan yang paling ketara sibuk dalam menguruskan waktu bekerja, inilah agenda paling teruk menyumbangkan kepada kesihatan yang mundur.
2009 banyak mencoretkan segala kisah manis diselangi selok belok pahit namun tidak satu pun mematahkan semangat untuk terus berdiri dan kukuh di pentas maya ini. Bila tertoleh episod semalam, rasa lebih nyeri lebih kusut. Alhamdulillah Allah swt tidak memanjangkan dugaan berat ke atas hambanya jika hambanya tidak terdaya merangkulinya.
Buka lembaran hati, lihat pada apa yang hadir, mungkin ada bahasanya gusar, gembira, sedih dan murung melanda. Perlahan lahan kita kupas intipatinya agar merasai nikmat segala rasa, nilai dengan akal dan pasti di situ lahir kekuatan yang tiada tolok bandingnya.
Akan pasti, laman maya ini tidak akan sepi lagi dan terus membawa lembaran demi lembaran buat teman yang sudi menjadi peneman setia. Usah gusar lagi, di sini kita pasti akan terus menjalin ukhwah sillaturahim, mengenali setiap detik agar maya tidak memisahkan cerita cerita kita.
Teman, anjakan pada laman mayaku ini akan menyusul dengan seperti sedia kala. Aku dan puisi,aku dan gurindam, aku dan cerita, aku dan potret malah aku dan bicara hatiku tak akan pernah terpisah biarpun dihambat waktu yang paling dahsyat.
Kita ketemu lagi teman, salam penuh rasa kasih tulus dari batin.
Thursday, June 11, 2009
~~Mengeluh pada keluh hati~~
Terus gelap dan malapkan kelabu
Awan biru tiada lagi bercorak rindu
Hanya deru debu debu buntu
Benar hidup harus ada keyakinan
Bukan yakin dalam bicara
Jujur membina kata
Bukan yakin bersaksikan mata
Tulus pada hati yang buta
Pada malam utuskan keluh
Mendengus ruang ruang pilu
Jauh mata hati terlalu jauh
Andai bisa terhenti biarkan terus pergi
Bukan pohon warkah derita
Merenung jauh di fantasi cuma
Kekal hari ini kekal selamanya
Entahkan esok menerjah bahagia
Pada cengkerik kubisik bayu
Subuh sendu menangguk rindu
Kerlipan mata tak bisa layu
Semalaman buntang terang keras kelu
Biarkan aku terus dirasuk
Dalam angin impian tiada berpenghujung
Kau tak bisa mengerti
Kau terus membisik
Meragut senyum hati menjerit
Benar aku tak mahu henti
Tuesday, May 19, 2009
~~ Pembuka Bicara ~~
Lebih dari sebulan Nini tak berkhabaran di alam maya ini. Maaf sekali lagi dipohon memandangkan waktu yang tidak mengizinkan serta ruang maya yang tidak lagi dipasang di teratak baru Nini, maka tak terlayarlah cereka maya.
Perkhabaran apakah teman semua, pastinya banyak yang ingin dikongsi banyak yang ingin dititip. Nini punya seribu satu cerita mahu dilayari bersama, namun apakan daya tatkala ini, Nini sendiri longlai dihambat angin 'flu' dan sakit badan yang sudah sekian lama tidak menyerang antibodi dalaman diri.
Ada suara suara nakal bertanyakan, "sudah berisi kot", malah dengan terlalu banyaknya kes penyakit merbahya hari ini, ada juga yang prihatin menghantar khabaran "Check doktor, mana tau H1N1 ke ape ke". Apa pun, semua itu tidak tertempias pada Nini. Perut masih kosong tidak berisi, selain berat badan sudah mula mencanak canak naik. Hati senang mungkin??? Malah, doktor sudah pun diaknosis tentang antibodi, ia cuma 'flu' dan lemah badan biasa sahaja. Alhamdulillah.
Teragungnya, ingin Nini ucapkan terima kasih buat semua teman, sahabat dan saudara mara yang sudi hadir ke majlis pernikahan dan persandingan Nini pada 10, 11 dan 12 April lalu. Segalanya berjalan dengan baik walaupun diterjah hujan kilat sabung menyabung namun ia tidak mencacatkan agenda majlis yang berlangsung selama 3 hari berturut turut.
Ingin sekali Nini kongsi setiap saat detik bahagia itu bersama kalian, namun seperti yang Nini katakan waktu itu sangat suntuk buat Nini hingga tak terlayar setiap sudut pelayaran bahtera yang kami redah bersama.
InsyaALLAH, akan Nini titipkan bicara bait bicara selepas ini, moga moga saat indah bisa dikongsi buat teman dan kalian.
Nini permisi seketika untuk merehatkan kepala yang semakin berat dengan dos ubat dibekalkan oleh doktor tadi. Jika kesihatan beransur sihat, Nini pasti coretkan lagi warkah buat tatapan teman.
Salam penuh ingatan bertautan
Sunday, April 05, 2009
~~Bila Terdetik...aku???~~
Petanda hujan akan membasahi bumi
Andaian sungai akan melimpah
Alamat bah bakal meledak seisi alam
Sang mentari terlindung dibalik sana
Bila langit berdentum
Alam pasti bersedia
Tumbuhan beralun angin menerajang
Jemuran sang ibu direntap
Takut membasahi pakaian
Bila langit berdentum
Anak kecil berlari balik
Jejaka riang di padang bola
Pantas memecut takut dihambur
Hujan menggila tak nampak tanah
Segalanya andaian
Segalanya kemungkinan
Segalanya tiada kepastian
Hanya kerana langit berdentum
Persiapan lantas terus disisipkan
Apa benarkah akan melimpah hujan ke bumi
Atau sekadar memecah sunyi?
Begitu juga hati
Bila terdetik pasti hadir bicara sangsi
Percaya atau tidak bukan bicara yakin
Hakiki dalam fantasi
Mencerna simfoni nakal
Bermain di hati
Bila hati terdetik....
Saturday, April 04, 2009
~~Apa Ada Bidalan~~
Bisakah berbukit rasa cinta
Sedang angan angan memuncak tinggi
Melangkau imbauan petala langit
Mencari tiang abadi
Jika dihampar selautan kasih
Apa tercerna kasih abadi
Jika isinya kalut berpusing
Bak beliung di dasar air
Menggigil bila dihempas ke tepi
Jika ditabur seluas angkasa
Cinta berbunga kasih bercambah
Apakah tumbuh kelopaknya
Andai benih jujur di simpan ke tepi
Yang berkembang hanya gusar dihati
Apa bisakah lautan menjadi biru
Apa bisakah bintang berkumpul menjadi satu
Menyinar lebih gemilang dari rembulan
Menyilau lebih terik dari mentari
Jika kejujuran dilempar ke tepi?
Mahukah kamu bidaskan
Erti bicara alam ini?
~~Apa Adanya~~
Semakin dekat semakin banyak dugaan yang harus ditempuh. Membina sebuah jambatan kasih menuju ke puncak bahagia membuatkan hati berbalam balam. Ada ketikanya goyah, ada masanya gemuruh namun yang pasti harus tenang menghadapinya.
Apa erti sebuah percintaan? Subjektif untuk dirungkaikan bukan? Telaah segala kitab, bertapalah hingga ke gunung ledang, pasti tiada jawapan yang tepat mentafsir pemahaman cinta. Biar janji setia dipadu, angan angan dan doa dikumpulkan menjadi istana namun yang tiang serinya haruslah berpaksi pada kejujuran.
Saat ini, hati tak bisa bicara. Seandainya melahirkan kata kata, pasti ia menjadi tanda tanya pada setiap mata yang meratah bait bahasa. Ke mana harus dituju bila hati dihumban rasa pilu? Sejadah terbentang tempat bersujud, tangan menadah doa ke langit, lidah kelu mengatur kata, hati pedih menyusun restuNYA.
Aku buntu, bukan takut, aku sebu, bukan jemu mencaturkan perjalanan yang sudah tersirat di balik sana. Aku akur, bukan semput tapi aku pilu pada cabaran yang dihamparkan. Kekuatan batin dan hati harus menjadi akar tunjang supaya tidak rapuh dan runtuh benteng ceritera.
Kejujuran harus lahir seiring dengan rasa kasih. Itu satu kunci mencapai kemuncak bahagia. Jika runtuh, berderailah segala kota tahanan cinta. Aku hanya mampu bersujud memohon ketenangan dariNYA. Doa biar sampai melepasi langit ketujuh.
Ameen
Tuesday, March 31, 2009
Masanya Telah Tiba
Beberapa hari lagi Nini bakal mengakhiri sebuah zaman yang penuh dengan erti bebas, sendiri dan tanggungjawab yang sekadar ala ala sahaja. Ia tidak sedikit pun memberikan kata lelah buat Nini mengharunginya.
26 tahun mengharungi perjalanan bersama dengan keluarga, banyak yang Nini pelajari hanya untuk diri sendiri dan keluarga, ia mengajar erti berdikari.
Hari ini degupan jantung semakin kuat untuk melangkah ke sebuah alam yang memerlukan pengorbanan yang tinggi, bukan sahaja buat diri sendiri dan keluarga namun pada keluarga yang bakal Nini bina bersama si dia.
Segalanya bermula dengan status Pn, bukan lagi Cik. Apakah sudah ada kesediaan yang kental dalam diri? Kata hati ini mungkin memberikan impak positif namun hakikinya fatamorgana. Terlalu jauh untuk dikenali dan terlalu dekat untuk dadalangi rasa gugup.
Kehadiran Mr Kekasih 10 bulan yang lalu sangat berbeza, tatkala itu kami hanya bertukar rasa kasih dan cinta. Mengenali siapa dia dan siapa Nini, mencari persefahaman dan keserasian. Biarpun dia makan ayam dan Nini makan ikan, dia tonton wayang animasi dan Nini hanya komedi, dia gemar topik kenderaan bermotor sebaliknya Nini penuh dengan semangat juang politik. Adakah dia yang Nini cari? Adakah dia miliki erti kesefahaman dalam setiap subjek bicara esok hari?
Segalanya sudah ditimbang, sudah di kaji dan masih lagi kami meniti erti muafakat yang berkat. Benarlah kata bidalan, asam di laut ikan di darat dalam kuali bertemu jua. Hanya itu kata yang bisa Nini pamerkan buat azimat untuk mengharungi kapal yang kami kemudi.
10 April 2009 bakal menamatkan segala sangsi, gusar dan debar. Tarikh keramat itu akan berakhirnya status Bujang dan Dara buat kami, yang akan dibawa adalah amanah berat menanti.
Teman,
Cinta itu subjektif, tiada istilah sains yang mampu mengupas jiwa yang lara jiwa yang suka. Pengertian cinta akan hadir dalam pelbagai sebab namun kuncinya adalah TAKDIR. Ini bukan takdir berserah, ini takdir yang disuratkan pada satu alam yang bukan milik kita.
Melangkau alam ini, Nini hanya pohon doa restu ayah bonda, saudara mara serta teman teman agar pelayaran sepanjang hayat ini bisa menempuh segala ombak badai dengan tenang agar tidak karam.
Biarlah bulan terus menjadi saksi akan keikhlasan cinta yang kami cipta, biar tak sesempurna mana namun kami memohon keberkatan pada yang ESA dan IBU AYAH.
Salam kasih Nini dahului moga tenang menghadapi hari esok.
