Tuesday, January 17, 2012

Kisah AWAN NANO dan Ziq

Setiap kali aku nyanyikan lagu ini, Ziq pasti tak kerlip tengok wajahku. Sambil menahan mengantuk yang tak tertahan, dia cuba tenyeh-tenyeh matanya.

Mungkin sedap kot aku nyanyi atau mungkin juga dia faham apa maksud lagi ini.

Sebenarnya aku sendiri tak pernah tahu apa maksud Awan Nano sampailah aku dan Mr Kekasih membincangkannya secara ilmiah, memang sangat kelakar.

Kata Mr Kekasih, Nano tu maknanya kecil, sekecil zarah. Jadi apa kena mengena Nano dan Awan.

Aku pun menyanyi dan terus nyanyi hingga dapat aku selami mungkin juga itu yang ingin disampaikan oleh penulis lirik lagi ini.

Di minda, aku cuma membayangkan video klip Awan Nano, wajah Hafiz dan perkataan NANO. Itu sahaja yang aku tahu sebelum aku nyanyi dengan penuh pengertian buat Ziq setiap kali dia minta untuk ditidurkan.

Aku sedar ada sesuatu pada lagu ini dan aku terus nyanyi pada Ziq dan setiap kali itulah dia seperti mengerti bahawa aku benar-benar mencintai dan tulus ikhlas menyampaikan mesej lagu tersebut kepadanya.

Percaya atau tidak, setiap kali aku nyanyi (dengan gaya tersendiri), sinar mata Ziq membalas bahawa dia benar mengerti kasih yang aku taburkan.

Terima kasih pada Awan Nano kerana Ziq mungkin mengerti lebih dari apa yang aku tahu tatkala keikhlasan yang aku sampaikan terus pada corong telinganya itu.

Ah....anak kecil sahaja mana mungkin mengerti! Tapi aku tak tipu!!!

Ziq meminta aku nyanyikan lagu tersebut hingga adakalanya dia tidak pernah kerdipkan mata sehingga aku menangis sambil menyanyi.

Ya aku emo! Aku tak kisah kalau orang katakan aku emo, sebab aku emo dalam menyatakan kasihku! Aku ikhlas.

Terima kasih Awan Nano kerana Ziq pernah senyum seikhlasnya dan khusyuk mendengar aku mendendangkannya.

Aku masih ingat bila dia terus memelukku bila lagu tersebut habis kudengdangkan dan tertidur dia dalam dakapanku.

Anak kecil itu mungkin sukakan muzik, tapi aku tahu Awan Nano punya kehebatan di sebalik kata-kata sehingga jiwa anak itu tenang!

Dengarkan ya!



Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan
Awan
Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri

Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu

Begitulah awan nano
Setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihnya
Kasih tiada banding
Setia tiada tara
Bagaimanapun jua

Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu

Sehingga tak mungkin termampu saksi
Setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu

Akulah awanmu yang sedia
Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Begitulah awan nano
Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu



Alunan lagu buat tidurmu - Ziq

Aku cuba elakkan dari menulis tentang si kenit itu.

Nyata aku gagal kerana dia berada dalam setiap nafas yang ku hembus dan kerlip mata yang membuntang.
Aku terlalu asik membelek wajahnya yang mulus itu, giginya yang mula memenuhi senyuman buatkan aku tak lekang mahu membuat dia tertawa.

Aku tak pernah endah walau dia tak bisa menyelami hatiku.

Setiap hari, bertalu-talu soalan yang aku lontarkan,

"Eki sayang mommy tak?"
"Eki rindu mommy tak?"
"Malam ini Eki tidur peluk mommy tak?"
"Eki tak rindu ke bila mommy kerja dan tinggalkan Eki?"

Semua jawapan itu dianggukan dengan laju tanda benar-benar rindu padaku. Padahal tahukah dia erti rindu???

Aku berkelakuan seperti anak kecil bila berbicara dengannya.

Namun, ada soalan yang seringkali aku tanyakan dia tak pernah menggeleng, malah dia sering mampi padaku, minta di didakap dihembus rapat ke telinga dan memanah terus ke matanya. Aku seolah bisa memahami apa yang dimahukan,

"Eki nak mommy nyanyi ye?", seringkali terjadi bila dia sudah tidak keruan melawan mata.

Si kenit hanya mengangguk dan menghulur tangan mohon di dakap.
Seeratnya aku dakap dengan senyum mengukir tiada bantahan.

Lagu ku alun bersilih ganti hingga dia benar-benar memejam rapat matanya sambil jemari menggosok-gosok dadaku. Inilah tabiat si kenit itu bila mahu tidur, tak bisa diam walau jemari sahaja yang mampu digerakkan.

Moga satu hari nanti jiika bisa dia membaca warkahku, mungkinkah aku dapat mendengar dia mengalunkan pula padaku lagu-lagu tersebut?

Awan Nano
Ayah & Ibu
Kisah Hati
Ombak Rindu

Katakan padaku wahai anak, apakah kau rasakan cinta yang bergetar dalam diriku setiap kali pipi mulus mu ke kucup?

Semoga tuhan memberkati amanah nya ini untukku didik dan pelihara sebaik manusia yang bisa menjadi pejuang Islam dan bangsanya!

InsyaALLAH.....

Sunday, January 15, 2012

Sesekali aku TERlantang..Opppps

Atas nama perjuangan itu
Aku tak kisah apa orang nak endah
Aku menyusur walau mata kau kabur
Aku menyelinap dalam saraf tanpa kau sedar

Atas nama perjuangan yang aku bersumpah
Kau tak perlu tinjau kesetiaanku
Kau tak perlu terjengket-jengket melihat ketaatanku
Kau hanya perlu lihat kegagahanmu

Aku punya prinsip walau kau keh keh keh kan aku
Aku punya tanggungjawab walau kau menggeletek gelakkan aku
Aku punya matlamat untuk aku dan perjuangan aku
Sedang kau aku pun tak tahu
Apa yang kau mahu?

Perjuangan itu usah kau bilang
Perjuangan itu usah kau bentangkan dadamu
Perjuangan itu atas laksanaan bukan modus operandi gahmu

Mari sini aku bisikkan
Rapat di suping telinga
Sayup resap di dada
"KAU MASIH BERDIRI BILA KENCING DAN AKU SUDAH TAU CANGKUNG AGAR TIDAK MELELEH"

Sibukkan tentang perjuanganmu sebelum selak tirai perjuanganku!


Monday, December 05, 2011

BICARA PETANG

Ramai juga tertanya-tanya apa susahkah mencari waktu untuk terus melontar rasa di laman blog?
Jawapan aku TIDAK sebenarnya namun yang payah itu idea yang tidak sering muncul.

Aku cuba menjadi mereka yang menyandarkan ruang blog seperti diari, berkongsi rasa tanpa sempadan. Namun, aku tewas kerana setiap kali aku menulis gaya mereka, aku terkandas. Separuh jalan pasti ceritaku sudah ter'delete' oleh jemari.

Aku tak gemar juga berbunga-bunga namun aku tak bisa membohongi jemari yang liuk lentok mengalunkan iramanya.

Akhirnya, sebulan dan adakalanya lebih dari tempoh waktu itu blog aku ini kosong tiada berita. Bila agaknya aku akan berubah menjadikan blog ini lebih santai? Atau mungkin ia tak akan berubah walau dengan segala usaha?

Setiap kali aku mula memegang papan kekunci, bahasa mindaku juga berubah dan lontaran kata-kata menjadi seperti curahan air hujan melimpah ke bumi. Aku tidak merancang untuk menulis, sebaliknya membiarkan sahaja gerak bahasa menari.

Aku akan cuba ya teman-teman yang tak putus mengetuk ruang emel ku bertanyakan cerita baru. Senangnya, aku lebih tertarik dan mudah menulis sajak dari cerita. Jadi kalau nak cepat memanglah sajak menjadi pilihan utama.

Sabar dengan kisah-kisahku untuk kalian dan ketekunan kalian menjamah blog aku sangat dihargai tanpa ada kata-kata dapat kuluahkan.

Sampai kita berjumpa sedikit waktu lagi, terima kasih sekali lagi kerana terus menjadi penghuni tetamu di laman blog ku ini. Love u all

Salam- Marini Kamal

365 MENGENAL K.I.Z.A.S

Setahun sudah berlalu
Semakin kau menginjak usia
Semakin kau kelihatan berbeza

Semalam nyilunya masih terasa
Jahitan di perutku menguit nguit
Pergerakanku terbatas
Dan kau hanya tahu menangis dan susu

Semalam kau sering menjadi bualan
Aku buntu dengan kerenahmu
Aku kaku dengan kewujudanmu
Sudah kucuba memelukmu
Namun tangisanmu memecah hening malam
Sering menjadikan aku gundah

Semalam lenaku tidak bermimpi
Aku dambakan lena yang ketat
Aku impikan mimpi yang indah
Tanpa gangguanmu mengejutku
Namun aku kaget dengan jeritan meminta susu

Semalam itu sudah menjadi kenangan
Kau sudah pintar
Tanpa tangisan lagi mengiringi
Kau hanya tersenyum dan bisa mengerti bait bicaraku
Melihat gigimu tersusun sedikit jarang
Aku dan daddy-mu tidak sabar melihat kau terus sihat membesar

SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERTAMA ANAKANDAKU
Sesungguhnya tuhan mengirimkan aku sebutir permata
Untuk ku gilap dan kuusap agar terus bercahaya

Tuhan sudah memberikan aku amanat besar
Agar kau hidup dalam acuan Islam penuh hidayah
Aku takut untuk lalui saat cemas bila kau mula mengenal rasa
Emosimu usahlah kau turuti
Kepintaranmu usah disalah praktik
Aku hanya memimpin dengan doa dan petunjuk
Selebihnya kau harus lalui dengan akal

Selamat ulang tahun sayangku
Serikanlah hari-hari singkatku dengan senyummu
Dakaplah aku seperti mana aku mendakapmu bila kau ketakutan
Kucuplah dahiku seperti mana aku cium ubun-ubun saban malam
Pengorbananku jangalah dikenang sebaliknya jadikanlah azimat
Untuk kau tahu aku tak bisa hidup tanpa mengasihimu

Cinta padamu adalah cinta amanah
Kasih terhadapmu adalah kasih pengorbanan
Teruskanlah menjadi insan yang mulia di sisi Allah swt
Hanya melihat kau membesar dan berjaya
Sudah cukup memberikan penawar pada setiap lelah sepanjang hayat

SALAM HARI LAHIR KAMAL IZZ ZIQRY aka KIZAS

Tuesday, October 18, 2011

Warkah buat Ziqry

Warkah untuk Ziqry...

Mummy bangga lihat perkembangan ziqry,
Setiap hari mummy lihat wajah ziqry di mana-mana
Di telefon, di atas meja, di dada skrin komputer, di dalam facebook
Kotak fikiran mummy hanya kenangkan ziqry
Tak pernah sesaat pun ziqry lenyap dari ingatan mummy

Mummy teruja melihat Zirry bertatih-tatih dan tersungkur
Kaki yang terkangkang dan menggeletar mengatur langkah melihatkan Ziqry seperti juara
Mummy dan Daddy menjerit jerit memanggil nama Ziqry
"Cepat cepat ziqry pandai...tatih lagi tatih lagi"
Sampai Ziqry menyeringai tertawa hingga terlihat 6 butir gigi menghiasi senyuman

Mummy rasa bersalah bila tak dapat lihat Ziqry 24 jam sehari
Cemburu bila mengenangkan orang lain yang melihat perkembangan Ziqry
Wan, Along, Papa, Mama, Abang Aysh dan Adik Iyash
Semuanya bercerita tentang Ziqry yang dah pandai itu dan ini
Mummy hanya menjadi orang terakhir bersama Daddy

Mummy paling gembira bila menatap wajah Ziqry tidur
Mummy genggam tangan Ziqry
Mummy kucup perlahan lahan pipi dan dahi Ziqry
Mummy tak berani nak ganggu Ziqry tidur
Takut takut Ziqry tersedar dari lena yang begitu dalam

Mummy tak henti melihat wajah Ziqry dalam lena
Setiap kali itu Mummy panggil Daddy
"Daddy, mari sini..lihatlah wajah ziqry yang tenang...
Dari wajah tenang itu segala lelah kita luntur dan padam
Dia dah makin panjang dan kacaknya seperti daddy manisnya seperti Mummy"
Itulah bual Mummy dan Daddy ketika melihat Ziqry tidur
Mummy dan Daddy tiupkan di ubun-ubunmu
"Jadilah anak yang soleh, taat kepada orang tua dan tidak engkar pada Agama"

Ziqry perlu tahu langkah Ziqry sangat panjang
Semakin pantas seperti halilintar
Banyak cerita cerita ngeri yang wan omelkan kepada Mummy
Hingga takut dan Mummy lebih berhati-hati

Hanya hujung minggu kita bisa melayari hidup 24 jam bersama
Hanya hujung minggu Daddy mandikan Ziqry
Hanya hujung minggu Mummy suapkan makanan ke mulut Ziqry
Ziqry tahu tak betapa Mummy rasa sedih
Tak dapat menyusukan Ziqry
Tak dapat nak menyuap makanan setiap hari ke mulut Ziqry?

Setiap hari Mummy dan Daddy balik
Ziqry dah tiba masa untuk tidur
Ziqry dah melasak minta di dodoikan
Ziqry pelik...
Tak macam anak-anak kecil lain
Kalau dulu Ziqry minta didodoikan dengan zikrullah
Sekarang Ziqry hanya lena dengan lagu 'Ayah dan Ibu'
Mummy nanyikan sambil bercucuran airmata
Mengenang bahawa Mummy sekarang ini adalah ibu
Betapa besar nikmat tuhan kepada Mummy

Ziqry perlu tahu
Sebelum Mummy makan pasti Mummy teringatkan Ziqry
Terutama bila makanan itu sedap dan sangat lazat
Mummy terfikir untuk bungkuskan buat Ziqry
Mummy mahu Ziqry rasa kesedapan yang Mummy rasa
Setiap kali Mummy dan Daddy makan berdua
Terutamanya bila Ziqry di rumah wan
Mummy pasti bicarakan dengan Daddy
"Kalau Ziqry ada mesti seronokkan, sebab dia suka makan"
Daddy hanya senyum sindir
Seolah Mummy tak bisa renggang sesaat darimu

Mummy bersyukur sebab Wan menjagamu
Mummy tahu Ziqry pastinya dalam jagaan penuh kasih sayang
Mummy tak terjangkau memikirkan kalau Ziqry di bawah jagaan pengasuh
Mungkin Mummy tak setenang ini di pejabat
Mungkin Mummy mencari jalan bagaimana untuk bekerja dari rumah
Atau mungkin menjadi ibu sepenuh masa

Ziqry sayang
Walau apa pun terjadi dan bakal terjadi
Mummy dan Daddy tidak pernah memalingkan kasih kami
Kurniaan tuhan terhadap kami dengan memilikimu penuh erti
Kasihlah Mummy seperti Mummy kasihkan Ziqry
Cintailah Mummy seperti Mummy cintakan Ziqry
Walau susu yang mengalir dari dadaku ini tidak sepenuhnya dapat kau rasai
Mummy mahu Ziqry tahu hidup ini tak bererti tanpa sinaran kasihmu

~~18 Oktober 2011~~





Friday, October 14, 2011

Kisah Namewee!

Aku terpanggil untuk menulis kisah seorang anak muda yang berjiwa patriotik tapi di kecam kerana menghina negara dan POLIS (so what kalau hina polis?).

Satu ketika dulu, kita di bangunkan oleh makhluk makluk yang kononnya berjiwa KEMELAYUAN/KEMALAYSIAN tentang kemunculan anak muda ini yang terlalu lantang,lancang dan kurang ajar. Anak muda berbangsa CINA ini seringkali ditujah dan dihenyak-henyak kerana dia anak cina. Kalaulah dia anak Melayu mungkin tak sehebat ini dia dilanyak.

Nama Namewee yang tidak pernah dikenali, entah dari mana, siapa dia, mak bapa kerja apa (kerajaan ke swasta ke sendiri), sekolah mana, dan macam-macam persoalan lagi mula di asak oleh umum untuk mengetahui.

Sayangnya masyarakat kita hanya melihat Namewee dari kacamata media yang mengecam! bukan dari kaji selidik kenapa dia menjadi kecaman semua.

Jujurnya, aku tidak mempunyai masalah bila dia memaparkan kisah di TNB walau aku rasa bahasa dia mungkin keterlaluan (carut mencarut) namun aku tak mahu hipokrit yang anak Melayu kita pun mencarut bagai nak rak bila dengan kawan-kawan mereka sendiri, contohnya seperti ini:

" Hei Leman (bukan nama sebenar), babi la kau ni! Aku dah kata jangan cakap nama aku! Ni yang aku panas. Puki*** kau! Kalau kau nak tido lokap, kau tido la sorang, jangan la petik nama aku!", berang Leman sebab Kayrol (bukan nama sebenar) pecah rahsia yang Leman terlibat dalam aktiviti MEREMPIT!

"Man, sial la ko ni! Yang ko lari tinggalkan aku apesal? Sakit dowh kena terajang ngan polis kat dalam tu (merujuk kepada lokap). Mana tahan seh, aku petik la nama ko sekali", balas Kayrol bila Leman tunjal kepalanya.

Itu antara kisah secubit dari segunung kata-kata anak MELAYU kita. Kalau aku rajin, aku post lain kali tentang bahasa yang melambangkan BANGSA ni.

Berbalik kepada kisah Namewee, tentang video rakaman berangnya terhadap TNB. Timbang tara balik, mungkin betul tindakannya benar cuma kekesatan kata-kata dia tidak dapat kita kawal.

Seterusnya isu Namewee dengan lagu NEGARAKU, POLIS dan AGAMA ISLAM. Pertama sekali, adakah Islam mengajar kita untuk membalas dengan kebiadapan apabila seseorang itu mempersendakan Islam? Bukankah sikap yang harus kita tonjolkan adalah bersopan dan menjaga peradaban? Walaupun isu azan dipetik dan dipersendakan, kita harus tampil dan mendengar apa yang terbuka di hatinya. Susahkah memberi cadangan seperti ini (sebagai contoh) Negara ini negara ISLAM Namewee, cara Islam harus diterapkan dan azan adalah cara yang tak akan boleh diubah selagi Islam memerintah. Bukannya azan itu memakan masa 4 jam atau 40 minit lamanya, hanya 4 minit dan adakalanya kurang daripada itu. Susahkah nak memberi penjelasan? Kenapa kena gunakan kekerasan?

Kalau nak didik ketam berjalan, adakah kita harus berjalan senget?

Kalau lagu Negaraku dan membidas polis itu satu kesalahan besar sebagai rakyat Malaysia, aku rasa kita ini masih hidup di zaman kemunduran dan tidak berkembang secara siviknya. Hak bersuara sudah lama mati di Malaysia dan hanya suara pemerintah yang bisa didengari hingga adakalanya mual dan senak.

Aku suka cara Namewee menceritakan kisah hidupnya!
http://www.youtube.com/watch?v=LP9DL1lmWSM

Aku rasakan dia tidak hipokrit! Cuma caranya yang lantang perlu ada yang menegur. Manusia tidak akan berubah kalau pihak ketiga mengubahnya. Perubahan akan datang dari dalam diri sendiri.

Setiap kali aku dengar lagu ini, aku rasa dia patut di beri ruang dalam industri. Dia punya satu bakat yang tak diragui.


Namewee cuba memberi tahu dunia, bukan untuk menarik simpati sebaliknya mewarwarkan suaranya sebagai anak Cina di Tanah Melaya harus ada ruangnya. Kalau bercakap mungkin dia keterlaluan, kalau membidas mungkin banyak yang tersasul, lantas dengan lagu yang dirangkap baik atas lirik sudah cukup membuatkan dia berhati-hati dalam bicara.

Aku tak merasakan dia CURANG pada Malaysia, berpura-pura menyintai MALAYSIA atau sekadar mencari publisiti di tanah MALAYSIA.

Lihat pada filem yang di hasilkan dalam keadaan penuh tertekan. Dia punya wawasan tinggi dan sangat komited terhadap visinya.

Usahlah yang buruk kita umpat hina dan keji sedang yang baiknya kita tutup mata sahaja. Ambillah sedikit kekuatan semangat dan keazamannya untuk berjaya dijadikan sebagai antara punca semangat kita.

Filem tersebut dikelaskan dalam kategori HEBAT, MENARIK dan penuh MESEJ. Mana mungkin kita terfikir untuk merakamkan filem dengan ber-budget-kan ongkos minimal? Kamera yang digunakan juga hanya kamera biasa kalau nak dibandingkan mereka yang membawa gadget tercanggih dan terbesar yang berbaris di pasaran semasa.

Aku rasa Namewee berbakat dan seni muziknya juga hebat! Anak Malaysia yang berpotensi tinggi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Percayalah, satu hari nanti bila dia pulang bawa 'award' barulah mata kita terbuka dan menerima dengan seadanya.

Have you ever seen this clip?
Namewee Nak Jumpa PM


Adakah anda rasa dia cuma mahukan publisiti? Atau memohon maaf secara sinikal? Atau memang dia jujur dalam kata-katanya?

Wake up guys, success is going from failure to failure without losing enthusiasm. "So go ahead! Fall down and the world looks different from the ground" quote by Oprah Winfrey.

Janganlah asyik terpedaya dengan kisah media yang sering memburukkan keadaan. Sedar atau tidak, media hari ini berperanan menjadi mulut tempayan bukan penyebar berita. Terlalu sibuk kisah kontroversi dari kisah yang patut menjadi pengetahuan dan pembelajaran.

Aku rasa kita patut bagi ruang untuk dia berjuang! Bakat yang ada tak sepatutnya kita tanam dan asyik bangkit dengan muzik Melayu yang layu. Berapa banyak artis Cina kita tumbuh melata di tanah air ini? Atau sebenarnya artis ISLAM yang meniti seperti cendawan baru lepas hujan di tanah tinggi?

Bersama kita fikirkan siapakah dan apakah Namewee ini benar-benar 'cibai' yang dilaung-laungkan oleh orang Melayu atau sebenarnya dia adalah seorang insan yang lahir dengan bakat yang luar biasa tanpa kita sedari.

Cuba lihat klip ini pula?
Namewee Mengamuk dengan UTUSAN

Aku tak salahkan dia sekali lagi, tapi apa yang diperkatakan dalam nada marahnya itu sesungguhnya benar! Fikir sebelum tulis, sebagai seorang wartawan, etika harus dijaga. Mana boleh ikut suka nak tulis apa yang kita rasa. Macam tu tulis sahajalah dalam blog!

Peringatan pada diri sendiri : Sebelum tundin jari, cermin diri. Berhenti mencaci tingkatkan sahsiah diri, beri peluang untuk mereka bersuara dan berjiwa!


InsyaALLAH!

Here I've posted some of his pictures....For those who have no idea about this guy, please google-ing...










Monday, October 10, 2011

Warkah buat cinta~

Terima kasih cinta,
Pada setiap genggaman yang mengenggam erat
Pada setiap jemari yang menyapu deraian airmata
Pada setiap pelukan yang hangat dan kuat

Terima kasih cinta,
Kerana menemani hari suka
Tidak memilih hari hari duka
Sejuk tanganmu ku rasa hangat
Hangat tubuhmu kurasa damai

Terima kasih cinta,
Menerima aku seadanya
Seluas langit terbentang
Selebar laut menghampar
Cacat di mata calar di hati
Kau tetap teguh membimbing

Terima kasih cinta
Kau padamkan api kenangan yang lalu
Kau zahirkan kuntum bunga yang baru
Kau sirami hati berselikan rindu
Kau semai benih mawar menguntum

Terima kasih cinta
Memberikan cahaya mata
Comel, sempurna dan bercahaya
Izin Illahi hidayahNYA dikurnia
Moga menjadi lambang kebanggaan kita

Oh terima kasih cinta
Setiap langkah ku atur kau memerhati
Setiap gerak geri menjadi tersusun
Dengan lenggok dan rentakmu
Membentuk melalui lorong sunnah
Agar terpelihara dan tidak terkandas di hentian

Kalau esok tiada mentari
Diterjah sabung hujan petir
Alam gelap gelita
Suram tanpa kicau pungguk
Aku ada disisi menemani
Hingga nyawa terhenti
Hingga saat terakhir

Jangan berhenti mencintaiku
Meskipun esok berakhirnya rindu




Rindu Tanah Inggeris

Potret lama ku selak,
Imbauan tergambar di minda
Lama sudah segalanya terlipat
Dalam lembaran sejarah
Hingga ukirannya kian lusuh

Wajah-wajah girang tergambar
Momen indah terkupas
Bila melihat angin sepoi menghambat daun kering
Apabila warna bunga segar menyinari

Ah....
Aku rindukan kota itu
Kota menyimpan suka dan duka
Mengumpul segunung kenangan
Mengajar erti kehidupan
Di usia muda terlepas dari kepungan ayahnda dan bonda

Di kota itu aku belajar susahnya hidup
Manis yang kutelan ku simpan
Hingga hari ini rinduku tak terbalas
Mengutip segala kenikmatan

Terima kasih tuhan
Menghantarkan aku mengenali erti kehidupan
Tanpa keluarga di sisi
Hanya pedoman di hati
Aku mampu tersenyum
Aku bisa menangis
Segalanya ku harungi sendiri

Tiba-tiba aku rindukan kota itu
Hampir 5 tahun ku tinggalkan
Aku semakin sakit memerap rindu
Apa mungkinkah akan ada siren memanggilku
Kembali merasa nikmat itu
Bersama suami dan anakku?
Apa mungkinkah aku telah tersirat untuk terus di sana
Mengharungi hidup di bumi tuhan yang Esa

Aku pernah berjanji
Akan kembali menjejakkan kaki
Ke tanah yang menyimpan segala pahit dan duka
Ke padang yang mencoret suka dan gembira
Pastinya tanah itu jua rindukan aku

Aku tanam azam
Biar sampai ke akar tanah
Aku pasti kembali
Mungkin untuk selamanya atau seketika
Aku pasti kembali
Biar darahku tidak tertitis di sana
Aku pasti kembali
Membawa segala rasa cinta
Dan
Akan aku pasti kembali
Esok atau lusa
Atau untuk selamanya

Saturday, October 08, 2011

KAU BINATANG!

Jangan samakan kau dengan binatang
Kerna
Binatang tahu erti kasih sayang

Jangan samakan kau dengan syaitan
Kerna
Kau persis raja syaitan

Kau tak layak hidup
Biar apa pun alasanmu
Kau kejam hingga hatimu hitam
Sepekat air kumbahan yang tidak disuling

Seharusnya kau dibunuh
Agar tidak lagi ada nyawa terseksa
Tidak lagi ada hati terpanah
Dengan kekejaman yang kau cipta

..............................................................................
Aku tersentak dengan kisah ini!

GOMBAK: Berang isteri dalam pantang enggan melayan kehendak seksualnya, seorang lelaki berusia 28 tahun bagaikan dirasuk syaitan apabila sanggup meliwat bayi lelakinya berusia 23 hari di dalam bilik di rumahnya di Taman Sunway, Batu Caves, di sini, kelmarin.

Lebih kejam apabila tangisan bayi malang yang menahan kesakitan itu langsung tidak diendahkan si bapa durjana, sebaliknya dia menjadi lebih rakus dengan bertindak menutup mulut anaknya itu menggunakan tangan dengan kuat, sekali gus menambah derita si kecil.

Bapa yang kejam itu berbuat demikian untuk mengelakkan tangisan bayi malang itu didengari isterinya yang ketika kejadian dilaporkan sedang berehat di ruang tamu rumah.

Sumber polis berkata, tindakan keji dan kejam itu hanya disedari ibu mangsa berusia 39 tahun kira-kira jam 4 petang apabila melihat mangsa tidak bermaya ketika mahu memandikannya.“Si ibu terkejut apabila melihat bahagian mulut mangsa lebam. Pemeriksaan wanita itu kemudian mendapati bahagian dubur mangsa turut cedera.



Wednesday, October 05, 2011

Surat Mummy buat Ziqry - 11 bulan



Sekali lagi mummy tulis untuk ziqry

Setiap ibu pasti sayang anaknya
Setiap bapa pasti bangga akan anaknya
Tapi ziqry kena tahu
Mummy tak boleh senyum tanpa ziqry
Mummy tak boleh lena tanpa memeluk ziqry
Mummy tak boleh tenang tanpa mendakap ziqry

Mummy tak boleh ramal 10 tahun lagi
Mungkin ketika itu ziqry tak mahu dicium-cium lagi
Mummy tak mahu ramal 20 tahun lagi
Mungkin ketika itu ziqry dah tak mahu jalan-jalan dengan mummy
Ada teman baru yang bakal ziqry kongsikan kasih bersama mummy
Mummy tak terdaya meramal 30 tahun lagi
Mungkin ziqry sibuk dengan kerjaya
Mungkin ziqry sibuk dengan cinta dan keluarga yang bakal ziqry bina
Mummy hanya mahu tahu tentang hari ini
Kerana mummy mampu angkat ziqry dan kendong kemana sahaja
Kerana mummy mampu cium dan peluk ziqry sepuas yang kumahu

Ziqry mengenjak ke 11 bulan
Sebulan lagi ziqry akan genap setahun
Ziqry mengerti setiap senyum tawa
Ziqry mengenali tentang pahit manis hidup
Walau dalam dunia ziqry hanya tahu tentang main dan seronok
Walau dalam perjalanan ziqry hanya tahu susu dan tidur

Setiap kali mummy pandang ziqry
Mummy lihat erti kebahagian
Allah campakkan nikmat di hati mummy
Allah berikan sinar dalam hidup mummy
Allah cantumkan rasa cinta mummy dan daddy
Menjadi cinta agung yang dibawa hingga ke akhir hayat

Kalaulah mummy tak sempat lihat ziqry mengharung hidup
Mummy mahu ziqry tahu
Hidup ini jangan sekali dipersiakan
Maruah diri dan bangsa harus terus di julang
Hormat menghormati jangan terabai
Agama mesti menjadi keutamaan
Dan pastinya cinta jangan dipersendakan

Ziqry anakku
Dalam setiap sentuhan yang terjalin
Mummy titipkan doa agar kau menjadi insan yang lembut peribadinya
Dalam setiap kucup ciumku
Mummy salurkan cinta dalam hatimu
Dalam setiap senyum yang mummy ukirkan
Simpanlah sedikit untuk ziqry sentiasa menjadi insan pemurah dengan senyuman
Dalam setiap bicara kasih
Jadikanlah ia sebagai azimat untuk esok dan hari yang mendatang

Ziqry
Lihat sahaja dunia ini
Segalanya menjadi semakin sempit
Arus kemodenan memundurkan akhlak kita
Entah esok lusa apa lagi yang tergadai di bumi ini
Sehingga mummy takut untuk melihat ziqry membesar
Dalam kekucar kaciran yang terhampar
Namun
Mummy redha dalam setiap yang telah tersirat untukmu
Hanya doa mummy dan daddy akan menjadi tangkal buatmu
Agar terus menjadi anak yang soleh
Agar tak putus menjadi insan yang mulia peribadi

Di setiap duka dan sendumu
Mummy hidup dalam kesedihan itu
Membawamu keluar
Bersedialah mengharungi pancaroba dunia
Dan sesungguhnya Allah sentiasa di sisi
Membawa kita bersama meredah hingga ke hari penghabisan

Salam kasih sayang dari mummy......




Tuesday, October 04, 2011

Moga Tuhan Adilimu Seadilnya

Bukan sekali ini hati terusik, dah banyak waktunya sampai ada ketika aku pula teremosi mengenangkan kejahilan banyak hati-hati yang lumpuh.

Benar mereka tidak punya perasaan
Tidak bisa melontar bicara,
Kelak di hari pengadilan mereka tetap di soal atas kezaliman,
Ketika itu mulutmu pasti terkunci
Menangis airmata darah pun belum bisa memadam segala kekejaman
Sia-sia sahaja hidupmu
Jika hilang rasa belas sesama manusia
Waima siapa pun dia
Kau tak bisa mengadilinya dengan akal sentengmu

Setiap hari dada akhbar melaung kisah mereka
Setiap hari media merakam detik pahit mereka
Aku?
Sentiasa terkesima
Tersentak dengan perbuatan hinamu
Biar apapun alasanmu
Biar maha tinggi rasukan syaitan menguasaimu
Namun aku rasakan kau tak layak digelar manusia

Keterlanjuranmu biarlah menjadi noda hitam
Usah kau palit lagi sejarah ngeri
Terobek hati adam dan hawa yang butuh mengharapkan zuriat
Ribuan ringgit tergadai
Maruah tercalar dengan sindiran
"ah mungkin kau itu yang mandul"
Cis pantang manusia diinjak injak kesabaran hati
Kau????
Sekali pun kau rasa anak itu satu kesilapan
Kirimkan sahaja kepada mereka yang ternanti akan kehadiran
Bayi mungil menyeri kehidupan

Ketika enakmu memadu asmara
Melayari bahtera hingga terkandas
Jutaan manusia terlepas ke dalam lubang nikmatmu
Satu nyawa bergelar juara dihembus nafas cinta ke dalam rahimmu
Melakar memori indah di atas kemenangan pelayaran nafsumu

Setelah jerih 9 bulan kau bawa
Sanggup kau tergamak menghantar ke syurga
Sedang kau menempah neraka
Mohonlah keampunan
Mohonlah keredhaan
Mohonlah agar kau tidak terus diseksa dunia dan akhirat

Satu nyawa sudah tergadai
Ambillah ini menjadi pedoman
Agar tidak terjadi kisah pengorbanan
Ke atas nyawa semulia insan

Anak
Usah tangis di kamar syurga
Ibu ayahmu mangsa mainan syaitan
Kejahilan mereka menghantarmu ke sana
Tanpa kau merasa keindahan dunia

Anak
Ampunkan ibu maafkan ayahmu
Biar tuhan mengadili mereka
Seantero dunia menyaksikan keaibanmu
Ada yang dihumban ke dalam longkang
Ada yang diselit di tepi semak
Ada yang tersorok di celah sampah
Hingga ada antara kamu dimamah semut binasa

Semoga Allah mengangkatmu
Menjadi warga syurga dan girang di sana
Airmata berserta Al-Fatihah aku kirimkan
Buat kalian yang dizalimi insan hina



Wednesday, September 28, 2011

~~10 bulan & Mummy rindu~~

Setiap detik kau bicara
Walau aku tak mengerti
Namun aku tahu kau istimewa di hati
Entahkan esok atau lusa segala bicaramu itu bisa ku dengari

Sehari demi sehari kau menginjak dewasa
Susuk tubuhmu sudah kelihatan utuh jika dibandingkan 10 bulan nan lalu
Aku tak pernah puas membelek dan mengucupi seluruh tubuhmu
Kau buat aku rasa seperti segalanya sudah lengkap di dunia ini

10 bulan kau menikmati hidup menjadi insan di muka bumi
Kau lebih lama di sini dari meniti hari di dalam perut boyotku
Kau semakin keletah, semakin girang
Langkahmu pantas bak halilintar
Mindamu bijak persis cendiakawan

Namun
Aku tersedu bila melihat kau diuji
Tatkala langkahmu lesu
Matamu layu dan kemerah merahan
Kaki dan tanganmu sejuk
Seluruh tubuhmu panas membahang
Aku buntu

Aku harus tabah menjadi ibumu
Lebih panjang dugaan dan ranjau yang bakal kau tempuh
Jika aku bisa menggantikan diriku mengharungi kepayahanmu
Aku mahu lakukan hari ini juga

Air mataku menitis bila malammu tidak lena
Kau resah bergulingan
Merengek dan mengerang
Tiada apa yang bisa ku faham dari bibit bahasamu
Namun kau tak pernah berhenti berikan aku senyuman
Bila aku pinta kau senyum buatku

Aku dakap tubuh hangatmu
Aku cium ubun-ubunmu
Sambil badanku dihayun kekanan kekiri
Mendodoikanmu sambil berdiri

Kau tenang bila dalam dakapan itu
Kesakitan mungkin kurang bisanya
Aku hanya mahu kau rasa selesa
Dan tubuhku ini biarlah merana asalkan kau terlindung dari segala bencana

Adapun kau hanya demam biasa
Mungkin nak membeli gigi katanya
Atau kakimu sudah mahu utuh melangkah
Aku tak kisah apapun
Asalkan kau sihat sejahtera

Sayang,
Mummy tak bisa melihat walau sesaat sayu di wajahmu
Mummy tak bisa tertanggung bila mendengar kau mengerang
Sungguh mummy tak bisa membiarkan kau lara dalam kesakitanmu
Namun mummy hanya mampu berdoa dan berusaha
Agar kau sembuh seperti sedia kala

Kau hampir menjejaki 11 bulan tak lama lagi
Hadirnya dirimu memberikan seribu rahmat tak terungkap
Hanya airmata mengiringi setiap gundahmu
Untuk melihat kau terus bahagia
Mummy sanggup tanggung derita

Cepat sembuh sayang
Mummy rindu akan kepantasan gerak gerimu
Mummy rindu bermain di atas katil kita dan kau memeluk tubuhku
Terkekek kekek bila digeletek
Menggeliat bila dicubit manja
Mummy rindu segalanya.

~catatan jam 10 malam, 28 September 2011. Ziq demam hampir setiap minggu dan mummy tak sanggup melihat keadaanmu yang lemah dan longlai~


Friday, August 19, 2011

Ramadhan~~

Salam teman,

Dalam diam tak diam kita sudahpun menjengah ke puasa yang ke 19 (untuk setakat hari ini) dan tarawikh yang ke 20. Alhamdulillah, tuhan masih memberikan kesempatan buat kita untuk merasa nikmatnya dan mengaut segala kelebihan pahala yang berganda di bulan yang mulia ini.

Kehidupan Nini sedikit berubah, dari tahun pertama Nini bergelar isteri dan ini merupakan Ramadhan & Syawal ketiga buat Nini, segalanya seperti tidak sama seperti dahulu. Ingat lagi ketika baru mendirikan rumah tangga, dan beberapa bulan selepas itu Syawal menjemput. Nini beraya di kampung suami dengan perasaan yang sangat asing. Segalanya seperti baru dan cepat-cepat Nini membiasakan diri agar tidak kelihatan janggal.

Untuk pengetahuan teman, sudah lama rasanya Nini tak dapat beraya bersama keluarga. Sejak 2005 lagi Nini dah mula menjadi perantau, berhari raya di England dengan perasaan sangat asing dan sayu kerana tidak pernah berjauhan terutama di hari yang sangat bermakna ini.

Seterusnya tahun 2006 dan 2007, Nini masih lagi di sana membawa impian sebagai seorang pelajar. Kepulangan Nini selepas itu telah membuahkan segala perasaan gembira dan melahirkan rasa syukur kerana kembali semula ke pangkuan keluarga. Banyak kisah pengalaman yang tidak dapat Nini ceritakan, semuanya sangat mematangkan diri.

2008, itulah Syawal yang diraikan bersama keluarga. Alangkah rindunya untuk merasai segala kemeriahan yang diragut ketika bergelar pelajar dahulu. Namun ketika itu, Nini telah pun dirisik suami dan bakal bertunang selepas Syawal.

Segalanya mula berubah apabila Nini berkahwin pada 2009 dan peluang beraya bersama keluarga sekali lagi tidak dapat diraikan. Kini Nini bergelar isteri, harus patuh dengan tuntutan suami. Nini bahagia kerana keluarga mertua juga sentiasa memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Nini.

Tahun lepas 2010, Nini sarat mengandung, wah ketika itu Nini rasakan kemeriahan berpuasa dan Syawal seperti tidak benar benar dinikmati. Perut memboyot dan sering cepat penat membuatkan Nini rasa kurang selesa. Membawa anak kecil itu kemana sahaja telah membuatkan Nini lebih banyak baring dan melakukan solat tarawikh di rumah sahaja bersama suami. Tapi tahun tersebut, Nini kembali berhari Raya di pangkuan papa, mama dan keluarga.

Tahu ini, 2011 perubahannya lebih ketara apabila segala persiapan lebih sibuk didahulukan kepada si kecil yang sangat aktif itu. Nini belum berkesempatan bersolat tarawikh di masjid memandangkan anak kecil itu sering tidur awal dan ini menyukarkan Nini untuk bergerak. Tempahan baju raya anak lebih siap awal dan Nini punya seperti tidak lagi menjadi agenda utama.

Tahun ini juga Kelantan merupakan destinasi berhari Raya dan pastinya Ziqry akan merasai girang yang lebih maksima memandangkan suasana riuh bakal memberi inspirasi baru padanya.

Satu perkara sahaja yang membuatkan Nini kadang-kadang berat nak pulang ke Kelantan. Rasanya semua pun rasa perkara yang sama! YA......trafik ke pantai timur di musim perayaan ini sangat menguji kesabaran apatah lagi ketika dalam keadaan penat berpuasa seharian. Nini sangat mengharapkan agar kesibukan pulang ke desa ini mendapat perhatian khusus oleh pihak kerajaan. Lunaskanlah idea untuk membina lebuhraya ke pantai timur. Janganlah terlalu mementingkan isu politik dan mengenepikan hak rakyat. Opppssss lari topik.

Apa pun, buat mereka yang bakal berhari Raya di luar daripada kota metropolitan Kuala Lumpur ini, rancanglah perjalanan kalian dan sentiasa berhati-hati serta bersabar dalam pemanduan.

Salam Ramadhan dan ketibaan Syawal buat semua!



Friday, July 01, 2011

Surat untuk Bulan

Oh bulan,
Lama sungguh bicaraku mati
Denganmu seperti kelam dan suram
Aku tak punya waktu lagi
Saat bersamamu seperti direntap

Oh bulan,
Aku punya kekasih baru
Menjadi teman dikala sunyi
Walau tak bisa menggantikan syahdumu
Namun dia bisa memahami debar jiwaku

Setiap waktu bersamanya
Gelap jadi terang
Malap jadi indah
Kusam jadi terang
Dan segala yang murung bertukar wajah

Oh bulan,
Walau kau tinggi dan tak bisa tercapai
Walau aku tak bisa berbicara denganmu seperti sediakala
Namun ketahuilah bahawa
Aku tetap rindu akan sinarmu

Teruslah terangi aku
Walau aku tak bisa mengerdip mata sekerap dulu
Pastinya kekasih baruku turut mencintaimu
Bila mana setiap kali aku tunjukkan dia padamu
Dia pasti tersenyum
Dan aku mengucup lembut mulus pipinya
Dengan khabaran
"Bulan itu sentiasa menerangi malam-malam gelita kita"


AKU DAN WAKTU SENGGANGKU

Assalammualaikum,

Kalau bisa punya waktu yang senggang, pasti aku tak terlepas dari menitipkan khabar berita buat perkongsian bersama. Hari demi hari berlalu bagaikan angin yang menghembus pantasnya, tak bisa mencari titik noktah untuk memberi ruang pada diri melakukan segala minat dan hobi.

Sejujurnya, aku rindu waktu senggang, mungkin bukan lagi waktunya seperti dahulu di mana hanya ada aku dan aku untuk diselitkan dalam setiap waktu. Lhatlah, setengah tahun sudah berlalu, 2012 memanggil manggil dan aku masih belum mengecapi segala yang menjadi azam seperti tertanam di awal 2011 lalu.

Kehadiran cahaya mata membuatkan aku lebih sibuk dari biasa. Dia anak pintar dan luar biasa. Setiap hari aku dan keluarga tak bisa menarik nafas menghembus lelah atas setiap pergerakkannya. Dia hanya diam ketika lenanya, dia hanya kaku tika mata tertutup mulut menyonyot puting yang menjadi 'candunya'.

Kesempatan itu aku nyatakan pada dunia, akulah insan paling bahagia kerana dikurniakan sosok tubuh permata hati yang rupawan serta cerdik akal. Alhamdulillah atas setiap perkembangannya dan aku redha jika itu yang harus aku bayar dengan segala masa luangku. Kini aku tidak lagi seperti dulu, hanya tahu mengetik cerita di alam maya, mengarang kisah buat para teman-teman yang butuhkan bahan bacaan ringan.
Aku kini umpama mereka yang termengah-mengah mencari ruang untuk bernafas hanya kerana anak kecil itu menyelit di ruang waktuku.

Tidurku, jagaku, senyumku segalanya penuh indah sejak adanya dia. Walaupun seketika nanti dia terlantar sakit dan aku gundah di hambat gundah namun segalanya aku serahkan pada Illahi.

Cerita tentang dia pasti akan aku bukukan, kerana dia istimewa dalam meniti hari-hari indahku....Moga Allah panjangkan usiaku untuk menemani hari-hari depannya.

Thursday, May 05, 2011

~~Tatkala Lenamu, Airmataku Mengiringi Dalam Kudus Doa~~

Setiap kali wajahmu ku tatap, seribu rasa bergelora dalam jiwa. Matamu itu membuatkanku tersentuh. Bibirmu membuat aku tersenyum, hidungmu buat aku terleka, dan mulus wajahmu membahagiakan seluruh tubuhku.

Tuhan, inikah rasanya yang kau campakkan ke dalam hati setiap insan bernama ibu? Sungguh aku hangat dalam seribu rasa itu. Kalau inilah yang dikatakan bahagia, aku rela kau putarkan waktu dan aku mahu menjadi ibu seusia muda.

Dalam lenanya aku menyimpan seribu pengharapan, hanya dengan kata- kata yang tak bisa dimengerti aku membebel dan bertutur sendirian. Sambil meratah seluruh tubuh nya dengan mata ini, aku tak sedar ada titis titis airmata membasahi pipi. Aku takut untuk menjalankan tanggungjawab, mana tahu aku tersasar dan gagal memikul amanahNYA.

Ada juga ketikanya aku terdiam dan jauh merenung berpuluh tahun yang akan datang. Apakah dia bisa membahagiakan aku seperti mana aku mahu dia bahagia selamanya? Inilah yang mama pernah rasakan. Aku lebih gusar bila memikirkan mungkin ada dosa dengan mama yang tak pernah disengajakan hingga mengguris lubuk hatinya. Oh tuhan, benar aku gentar akan karmamu. Ampunkanlah aku mama, sesungguhnya kau teristimewa dalam kewujudan hidupku.

Masih aku ingat ketika sarat membawanya hingga melihat dia keluar dari celahan potongan perutku. Menggigil tubuh dan terseak-esak aku menangis, inilah sekujur tubuh yang mendiami rahimku. Masih jelas dalam kantung ingatanku, ketika tubuh longlai itu menangis sekuatnya saban hari. Aku tak bisa tidur dan airmata sering menemaniku, hingga ada ketikanya aku hilang pendirian. Meratap kehadirannya yang penuh dengan pancaroba. Ketika dalam lenanya, itulah nafas lega untukku tersandar dari kepenatan.

Setiap hari dia berubah, senyum yang hadir adalah senyum penuh makna. Tangisannya pergi bersilih manis gelak tawa. Aku terhibur dan aku tetap menangis. Tangisan ini tangisan kesyukuran. Ya Allah, kau ampunkanlah dosaku kerana terlanjur kata dan tidak redha untuk bersabar atas segala ujianmu.

Dia anak pintar, 2 bulan sudah meniarap, 3 bulan berkuak ke lantai mengesot esot kan badannya, 4 bulan sudah mula lancar dalam 'walker', 5 bulan sudah merangkak dan kini 6 bulan dia mahu terus berdiri. Dia pintar bila bicara kita difahami, bila matanya berpaling bila dimarahi, lidah dijelirkan bila bebelan disusuli. Aku tertawa lantas airmata turut mencumbui pipi. Aku bersyukur dan tertanya-tanya mungkinkah akan terus rasa ini menghimpitku.

Tubuh kecil itu terlena dalam dakapanku, dadaku dipeluknya dengan erat, adakalanya wajahku diuspa-usap hingga terlena sambil pinta ku berzanji melenakannya. Anak ini banyak ragamnya, dan aku berzikir hinggalah roh terpisah dari jasadnya seketika. Setelah aku baringkannya, tangan meraba-raba mencari sesuatu untuk di dakap dan aku rapatkan wajah hingga jemarinya mengoles-oleh pipiku dan bibirku. Airmata masih terus mengiringi. Aku bahagia!!! Sangat bahagia dan tuhan tempatku lampiaskan rasa bahagia ini. Terima kasih tuhan!

Bila terkujur di dada tilam, aku melihat raut wajahnya, saling tak tumpah seperti wajah yang sering aku lihat setiap hari sejak aku tidur berteman tanggal 9 April 2009. Inilah wajah yang aku sering berdoa ketika sarat mengendonginya.

Aku masih teringat, satu waktu itu aku berdoa "Oh Tuhan, jika benar Nabi Yusuf a.s itu cantik dan sangat mulus, berikanlah sedikit serinya walau hanya tapak kaki Yusuf". Mulut ini sangat lancang, dan malam itu aku bermimpi bahawa sebutir cahaya menemani malam lenaku. Tersedar dari tidur, aku terfikir sejenak mengapa lancang benar mulutku meminta sesuatu yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Maafkan aku tuhan.

Tapi hari ini, bila melihat mulus dan halus kulitnya yang putih itu, aku tiba-tiba teringat akan doaku pada tuhan. Apakah kau makbulkan doa kudusku ini? Ameen.

Ziqry,
Setiap kali kau lena dan dadamu terbuka dangan tangan yang terlentang, mummy pasti tidak akan pernah terlupa untuk menatap setiap inci wajahmu. Bukan mudah melihatmu terkaku dan aku bisa merenungmu hingga puas. Aku sering panjangkan doa, pada tuhan aku berserah dan padaNYA juga aku sujud memohon agar kau akan menjadi anak yang baik,soleh dan patuh pada kedua ibu bapa serta orang tua. Aku sering meminta agar kau taat pada Agama dan Allah swt tempat kau mengadu dan meminta-minta.

Ziqry,
Wajahmu itu sering menggugurkan airmataku, kerana cinta kepadamu aku menitiskan airmata yang penuh dengan pengharapan. Entahkan kau mengerti atau tuhan bisa meangkat doa-doaku ini.

Ziqry,
Dalam lenamu, mummy sering mengucupi tiap inci wajahmu hingga kau tersedar-sedar. Mummy tak pasti 10 tahun lagi atau 20 tahun lagi mummy bisa mengucupimu sebegini? Inilah waktunya, inilah saatnya dan mummy tak akan sekali-kali berhenti dari mengucupi dan memelukmu.

Ziqry,
Andai satu hari nanti, mummy tak bisa berbicara, semuanya telah mummy utuskan pada Illahi untuk kau tahu bahawa cintanya Mummy pada Ziqry tidak ada galang gantinya. Kehadiran bakal adik-adikmu akan menambahkan lagi cinta di hati mummy untuk melihat semua anak-anak berjaya dan bahagia. Sedarilah bahawa Ziqry tak akan sendirian dan mummy sentiasa ada walau bukan jasad, roh pasti di sisi.

Tidurlah anakku, walau hatimu kadang-kadang penuh meronta mengenali dunia namun kau tak akan pernah tahu betapa setiap titis airmata yang bercucuran keranamu, itu adalah airmata penuh penginsafan dan pengharapan untuk melihatmu menjadi muslim yang soleh dan taat pada Islam.








Monday, March 28, 2011

Kerana kau~~

Melihat mata itu
Rebah pun aku bangun jua

Dalam kekalutan
Senyumnya meruntuhkan segala amarah

Lemah tubuhku
Dalam dakapan bersamanya
Semangat meresap seperti kuasa ghaib

Bersamanya aku bahagia
Utusan berharga bagiku
Lembaran ceria dalam diariku
Mana mungkin tidurku lena
Tanpa dakapan dan belaiannya

Sejauh manapun kau akan tinggalkanku bila tiba masanya
Aku tak pernah putus bersyukur
Kerana sesaat nikmat bersamamu
Umpama seumur hidup kenikmatannya



Tuesday, March 08, 2011

Rindu bertaut~Salam buka bicara

Salam sayang buat teman,

Dua bulan sepi tanpa berita, ramai yang mengeluh dan tertanya-tanya ke mana menghilang seakan tdiur lena dalam mimpi yang panjang. Nini tak pernah berniat untuk sepi, apatah lagi tidur dalam lena yang panjang, mana mungkin minat menulis akan mati ditelan kesibukkan waktu semata.

Teman,
Terima kasih atas setiap kata perangsang, sokongan dan sering bertanyakan khabar. Rindu mengetuk jemari dan berkongsi cerita terbuku di hati hinggakan resah gelisah, tapi masih tak berdaya melawan kekangan waktu.

Nini mencari di mana ada kesempatan waktu, di situlah akan pastinya mencoret rindu. Alhamdulillah, status bonda sudah 4 bulan dirangkul. Semakin melihat anak itu membesar,semakin hati berbunga-bunga menguntum senyuman.

Masih terngiang-ngiang setiap langkah mengasuhnya ketika Nini masih dalam pantang dan pada waktu itu jugalah airmata tak putus berjuraian. Hampir setiap waktu hati ini dirundung pilu. Kenapalah anakku tak henti-henti menangis, apalah yang tak kena padanya. Sakitkah dia, resahkah dia, kembungkah dia atau laparkah anakku ini.

Setiap saat yang berlalu pastinya akan ditemani dengan derai airmata, hinggalah dia berusia 3 bulan. Sedikit demi sedikit kurang tangisan itu dan dari situ datanglah rasa rindu dan sayu bila senyuman yang dilontarkannya seolah mengubati segala sepi dan resah dalam hati.

Alhamdulillah, dia anak yang comel dan Nini sentiasa memanjatkan doa agar terus diberikan kesihatan yang baik. Hilang segala rasa sakit, tenggelam segala rasa perit dan kini Nini disinari bintang-bintang ceria menjalani hari sebagai ibu.

Bila terbit waktu senggang, Nini masih teringat akan kemanisan mengendong anak kecil itu. 9 bulan lamanya, manakan mungkin begitu mudah dilupakan setiap kenangan yang mengusik. Inilah nikmat dunia yang tuhan janjikan pada setiap umatnya.

Teringat lagi betapa susahnya hati bila selera makan tertutup, ada juadah yang boleh di telan ada yang tak boleh, malah lebih memberikan gelisah bila langkah saja kaki ke kedai makan sahaja rasa tak selesa. Waktu itu, Nini terfikir pasti anak ini sukakan 'home cook', aduh peninglah nanti bila tak mahu makan di luar.

Lebih gembira, anak ini hanya mahukan masakan 'daddy' sahaja. Biarlah hanya nasi goreng cincai,rasa macam tak ada lagi yang lebih sedap daripada itu. Percaya atau tidak, sehari tak dapat makan makanan suami rasa macam nak merajuk 10 hari.

Banyak lagi kisah menarik Nini nak kongsikan bila kenang kembali tapi masa sangat cemburu, lain kali Nini coret lagi.

Salam kasih....

Thursday, January 20, 2011

~~aku rindukan waktu~~

Sungguh, aku butuhkan waktu senggang untuk melakar memori indah di laman ini seperti dahulunya. Saat itu aku tidak sesibuk hari ini, malah aku masih punya detik untuk melayari maya, membaca dan mengomel sesukaku.

Hampir 3 purnama aku di rumah mama, menjadi penghuni setia Seksyen 9 Kota Damansara. Istana cintaku dan hubby di Seksyen 8 Kota Damn ini pula seperti ditinggalkan tak berpenghuni. Aku rindu untuk kembali ke sana, menikmati hidup berdua seperti sebelumnya. Malah kerinduan ini amat mencengkam bila aku sudah tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri untuk memasak, mengemas dan menghidangkan makanan buat suamiku.

8 November 2010 merubah segalanya buat seketika. Permata hati lahir dan aku seperti tidak keruan. Kesibukkan melayan kerenahnya saban hari membuatkan aku sedikir kucar kacir. Al-maklumlah ini merupakan pengalaman berharga yang pertama.

Aku kaget sebenarnya bila mengenangkan pelbagai dugaan yang mengasakku sejak dari aku mengendong Ziqry! Hingga kini, aku terus di duga tanpa henti. Nasib jugalah 90 hari lamanya aku mendapat cuti rehat.

Lihatkan anak kecil itu, hatiku menjadi sayu. Adakalanya aku tewas dengan amukan dan amarahnya. Malah ada ketikanya aku menjadi kalut dan buntu akan tangisannya yang tidak ada henti-henti. Mengapalah dia diduga sedemikian, sedang dia hanya anak kecil yang hanya tahu membuka mulut dan lontarkan suaranya.

Setiap hari aku berhadapan dengan tangisannya yang luar biasa, ada yang kata sawan tangis, ada yang kata semangatnya jauh, ada yang kata 'ada pendamping', malah ada juga yang kata perutnya kembung 24jam. Aku buntu, benar-benar buntu. Bermacam usaha telah aku lakukan untuk melihat dia seperti sediakala, namun seringnya kami sekeluarga menemui jalan buntu. Gayanya seperti Ahmad Albab, senyap bila tidur dan bersuara lantang bila matanya terbuka.

Ada juga ketikanya dia berbual-bual, gelak ketawa tapi sebentar cuma, selebihnya amarah mula menguasai diri. Mungkin ini ujian buatku dan hubby untuk menangani masalah anak ini. Aku terus terus berdoa agar segala yang baik hanya buat dia dan dijauhkan penderitaan yang tidak tertanggung olehnya.

Adakalanya, cemburu juga melihat akan kegirangan anak-anak kecil yang lain tapi aku tak pernah rasa ia harus dikesali. Cukup dengan sebutir senyuman untukku sehari sudah memadai. Anak ini penuh dengan rasa cinta yang dilimpahkan ke dalam dirinya. Mungkin terlebih manja agaknya.

Banyak kisah yang ingin aku kongsikan, tapi waktu itu terlalu butuh melumpuhi aktivitiku ini. Di kesempatan yang lain, akan aku kongsikan bagaimana caranya menangani anak kecil yang tak henti-henti memalu suaranya, gaya penyanyi rock.