Thursday, January 03, 2008

~~Aku mula berkongsi dengan kamu~~

Mencari diri yang hilang, menerjah pekat dugaan hidup. Aku merangka kisah perjalanan hidupku untuk kubongkarkan pada dunia. Ramai bertanya, apa yang ingin aku geledah sehingga tekadku untuk menerbitakan sebuah novel semakin tebal.

"Usah kau tanya apa itu kecewa dan pilu, aku lebih merasainya", ujarku pada seorang teman

"Nah, kau mahu ceritakan keaiban orang lain? Kau mahu cerita supaya mereka simpati terus melihat kepiluanmu?", dia lantang bersuara menikam dengan kata katanya.

"Kau mahu tahukan apa erti sepi buat manusia hilang ingatannya seperti aku? Kau selalu ajukan seoalan apa bingung aku setiap detik. Kenapa aku ini sensitif tak bertempat, malah kau juga yang ajar aku bagaimana hidup ini penuh dengan warna suka duka. Kau mahu aku rasainya tapi kau lupa aku ini buntu dan terus buntu dengan diri aku", aku meninggikan suaraku bukan untuk menang tapi menagih pengertian.

"Ah, suka hati kamulah. Seluruh alam ini sudahpun mendoakan kamu, jika kamu mahu tekad menceritakan segala sulit yang berlaku...nah lantas aja kau teruskan", wajah dia sedikit hambar tika aku cuba memperjelaskan padanya.

.........................................................................................................................................................................

Aku duduk termangu mangu melontarkan pandangan luas di lautan itu. Airnya tenang namun hangat di dasarnya sering bergelora. Sudah letih untuk aku bertekak dengan diri aku sendiri. Malah, Fazil sering memberikan aku kekuatan untuk menerbitkan novel kisah hidupku namun mengapa sang ratu dari kayangan itu menyekang impianku. Bukan untuk mengaibkan sesiapa, aku hanya mahu khabarkan pada dunia tentang kejadian istimewaku ini.

Bayangkan seorang gadis yang gembira dengan hidupnya, dilahirkan sempurna sifat dan memiliki sebuah keluarga harmoni dan bahagia. Menjangkau remaja, segala bertukar corak warna. Jika putih itu suci, tidak lagi padaku kerna warna putih itu sepi. Jika hitam itu kotor, tidak lagi padaku kerna pekat hitam itu warna yang membuat aku terhimpit dalam duniaku.

.................................................................................................................

Sudah ku khabarkan, novel ini bukan sekadar perjalanan kisah hidupku namun perjuanganku dalam membela hak rakyat bersama teman istimewa yang ku temui lama dahulu tapi sekadar di alam maya. Aku dibuai rasa indah sambil menjalani hari yang suram. Apa ini ceritanya cinta? Segalanya akan aku khabarkan dalam novel istimewa itu nanti.

Aku bukan sendirian menerbitkan novel itu, sambil didampingi pemuda istimewa yang sudi berkongsi kisah hidupnya maka aku semakin tercabar dan berani mendedahkan perjalanan singkat hidupku. Setiap kali aku membaca tintanya, aku semakin tercabar dan bahang cabaran itu menjilatku hingga hangus. Aku hanya mahu melihat kehebatannya dalam pembikinan novel ini.

Nantikan novel garapan kami berdua dalam masa singkat ini, biarpun ceritanya penuh tragis dan realiti namun kami juga mengharapkan 'happy ending'. Siapa yang mahu terus dihujani pilu?

Kesibukan aku dan dia dalam menghasilkan novel ini lebih memberikan cabaran buat kami. Nah, ini bukan promosi murahan untuk menarik kalian membelinya. Mengapa harus dibaca novel ini? Ia cerita dua insan yang mahukan sebuah kasih yang abadi dalam pertempuran di medan hidup.

Aku mahu berterima kasih buat keluarga dan rakan rakan terutamanya Marina, Ila, Ennie, Fida, Ekin dan Huda serta pasangan pasangan mereka kerna tidak jemu membantuku membentuk erti hidup yang aku jalani sebelum ini. Terima kasih juga buat Fazil yang menjadi pencetus semangat dan kekuatanku dalam menjalani kebuntuan saban hari. Aku tahu kau lakukan segalanya untuk melihat aku sembuh.

Apa ertinya jika terima kasih ini tidak ku layangkan buat teman teman AIC, kamu semua tahukan bahawa aku melihat diriku menjadi seyakin ini dengan asakan kamu semua? Naluri keprihatinan dan keinsafan aku sering terusik tatkala kita memenuhi undangan melihat kesengsaraan suara - suara rakyat.

Dengan asakan ceramah hebat Datuk Sri Anwar Ibrahim, aku mula rasakan kamu yang sekadar memandang kami ini melakukan kerja bodoh dan membuang masa sesungguhnya tidak berasas semata. Nilai harga kami hanya boleh terjawab dengan tidak mengaut wang ringgit dan material malahan kami mampu pelajari erti keikhlasan dan perjuangan yang tidak kamu fahami. Mungkin kamu yang sinis terhadap kami tidak dilahirkan dengan semangat perjuangan, bukan salah kamu.


Aku kalau sudah mula bicara tentang politik, pasti tidak berakhir segala kerja. Sudah, hentikan seketika. Aku mahu bersama naluriku dan si istimewa itu untuk menyudahkan novel ini. Pastikan teman - teman dan separa teman di luar sana dapatkan novel tidak bernama di suatu hari dalam tahun ini.

"Jangan di asak aku dengan sentimen tidak bermoral, kamu itu lebih mentah bicarakan tentang kejujuran kerna himpunan longgokan wang di mata kamu mengaburi keperitan mereka yang terpinggir di bumi sendiri"


Wednesday, January 02, 2008

~~Tirai 2008 terbuka kini...Ini catatan pertamaku buat FARYSH@ADRIE~~

2008 mula membuka tirainya, dengan azam dan semangat baru pastinya aku di kejar mimpi semalam untuk sedar walau waktunya tidak tiba lagi. Keindahan alam maya milik tuhan ini tidak ada tolok bandingnya, aku bersyukur kerna diberi nafas baru mengharungi segalanya penuh indah belaka.

Hari ini, kami sekeluarga menyambut ulang tahun hari kelahiran papa yang mencecah usia 52 tahun. Papa masih segak walaupun dihambat usia 50an, lantas aku terus memanjatkan doa agar Allah swt memanjangkan usianya serta memberi ruang agar kami masih terus utuh di bawah rimbun keluarga. Berikan aku kesempatan untuk bersama papa dan keluarga biarpun aku masih tidak mampu menjadi Marini yang mereka kenali selama 24 tahun. Aku mula rasai kehadiranku di dalam sebuah keluarga yang indah ini. Terima kasih tuhan atas kurniaanmu yang penuh dugaan ini, aku menadah syukur tanpa batasan.

Entah apa lagi yang bakal kulalui esok dan lusa, aku tak bisa menghitung dan mencongak segalanya. Biarlah aku lalui dengan nafas baru tanpa kenangan hitam semalam. Jika tuhan mahu aku terus menghirup udara alam ini dengan hanya berbekalkan kenangan beberapa bulan yang lalu, aku tempuhi segalanya bersandarkan keredhaanmu Tuhan. Hanya padamu ku berlindung, hanya padamu ku memohon.

Aku tak mahu lagi menoleh 2007 penuh hitam, pekat benar dugaan yang aku tempuhi. Cukup sekadar ia membantuku menguatkan semangat ini, aku tak mahu lagi meratap penuh sendu. Hari ini aku bina sebuah cerita baru yang tiada kesan hitam semalam hari.

Alhamdulillah, kehadiran anak kecil Al-Farysh mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga. Setiap gerak gerinya kami lalui penuh gembira. Banyak yang mahu aku bisikkan padanya, betapa kelahirannya memberikan ganti menutup kehilangan aku yang dulu. Pewaris Kamal Amir ini sungguh istimewa, apakah jika ingatanku pulih nanti aku bisa mengingati saat indah bersamanya? Oh tuhan kau restulah anak kecil itu dapat menerima aku sekiranya aku kembali.

Penghujung 2007 banyak memberikan cahaya baru buatku. Aku mengenali apa itu sahabat, teman dan duri dalam daging. Biarkanlah mereka yang meragui dan sering menyalah ertikan aku hidup dalam dunia ciptaannya. Aku berterima kasih buat dia kerana membuka mataku yang kelam selama ini atas tuntutan hati yang pilu.

Teman - teman AIC, kamu buat aku sering tersenyum. Biarpun tujahan mereka terhadap kalian tidak berasas semata, ia tidak sedikit pun menggoyahkan semangat aku untuk menghargai kalian. Bersama kalian, aku kenal erti semangat diri, aku kenal erti perjuangan yang tidak memandang ke arah material, aku kenal erti keikhlasan dan tanggungjawab. Seandainya kalian tidak aku kenali satu hari nanti, bisikkan ke dalam hatiku bahawa kamulah pembakar semangat hidupku yang pudar.

Pada teman - teman yang belum aku tunaikan janji untuk bertemu, maafkan aku kerna aku masih bingung untuk berhadapan dengan kalian. Kenangan yang pernah kita cipta, gelak tawa serta sendu tangis dahulu tidak lagi aku ingati. Atas kerna itu, aku tidak yakin dengan diriku sendiri untuk memeluk erat kalian, insyaALLAH akan aku tunaikan janjiku untuk bertemu kalian. Maaf atas kebingunganku ini, aku benar berharap agar teman-teman mengerti situasiku ini.

Ramai bertanya apa azamku? Perlukah aku nyatakan kerna ia langsung tidak terjah dek akal. Cukup sekadar aku katakan bahawa aku mahu mencipta hidup ini lebih bersinar dari aku yang dulu. Semoga 2008 dapat menyinarkan pelangi pelangi indah dalam perjalanan hidupku.

Banyak yang ingin aku sampaikan pada kalian, tak terluah rasanya jika semua yang ada terbuku di hati ini ku lakar di laman maya. Owh ya, aku dalam pembikinan menerbitkan novel perjalanan hidupku. Pembaca, teman-teman dan keluarga...doakan aku sempat menghabiskan 'chapter' hidupku dalam buku itu nanti. Beberapa bulan dari sekarang, jangan lupa dapatkan novelku di pasaran. InsyaALLAH.

Coretan pertama musim 2008 berkahir disini. Buat keluarga yang sentiasa teguh di sampingku, terima kasih atas kesudian kalian menerima kehadiranku ini. Semoga kita mampu mencipta jutaan kenangan dalam kehidupan ini bersama. Anak buah pertamaku, jika kau mampu membaca catatan peribadiku ini...aku hanya mahu kau tahu bahawa kehadiranmu membawa sinar ceria dalam hidupku. Semoga kau bisa menempuh alam dengan penuh keredhaan dan tawakal pada Illahi.

Aku tak bisa mencipta lagu lagu indah seperti 'ART FAZIL', maka terpaksalah aku meminjam lagu dari kumpulan UNGU berjudul TERCIPTA UNTUKKU untuk dihadiahkan buatmu. Lagu ini membuktikan betapa kau tercipta untuk menerbitkan sinar di hati kami.

Salam sayang dan SELAMAT TAHUN BARU...

Sunday, December 02, 2007

~~BerTedUh RimBunAn PoKoK TeGaR~~[18]

Kau tak akan tewas
Biar langit menyembah bumi
Bumi runtuh ke tujuh keraknya
Matahari menjadi bulan sekalipun
Kau tak akan tewas

Nafasmu sekencang taufan
Ke atas ke bawah seakan lemas
Peluh membasahi liang keringat
Sedang malam dingin membawa bayu

Matamu tak keruan
Bibirmu terkelu seribu ungkapan
Gerak jemari hanya imbuhan
Menari merangkul lekuk kebaya idaman

Kau tak akan tewas
Biar pantai berubah volcano
Hutan menjadi gering
Telaga mengontang kering
Kau tak akan tewas

Dalam dakapan penuh keresahan
Dendam di dada berungkai
Lidah hanya bisa bertaut
Senyum hanya bergesel hidung

Apa benar kau tak mungkin tewas?
Cabar aku jangan berhenti
Kau akan lebih terkulai
Jika aku tidak akan membenarkan
Kau akan tertewas!

Saturday, December 01, 2007

~~KaU kAtA FULL STOP!!~~

Jangan biar aku terus menangis di sini, apa kau mahu aku tersiksa sedang melihat mereka semua gembira?

Jangan biar aku terus menoleh jauh di sana, apa kau mahu aku terluka mencari debu derita sedang mereka bahagia?

Jangan biar aku terus menagih di dadamu, apa kau mahu lihat sekeping hati yang pilu ini berlumuran kuman gelana sedang mereka merasa nikmat cinta?

Jangan lagi dan lagi kau bawa aku ke bahtera kecewa, aku tidak mahu ke sana!

Langkahku kini terhenti di petengahan jalan, reput tulang meneruskannya dan biar terkubur di lebuhraya ini.

Langkah kita biar di sini sahaja kerna kau mahu aku terus bahagia, tautan tangan terlerai kini dan aku biar terbang merawat sepi

Friday, November 30, 2007

~~Pengakhiran itu PEDIH...AkU TaHu~~

Aku letih bermonolog dalam sepi
Berbuntu benak kerna robek hati
Menyiul sumbang lagu gering
Lena di dodoi momok hitam

Bicara sering terkandas
Lenggok mata tersasar haluan
Tiada lagi manis madah
Terhimpit gelombang kelopak hati

Aku lelah kini
Mengenali dan mencari
Menggali dan menggauli
Aku mahu sendiri

Aku serius bicara ini
Tuhan pasti menjanjikan yang terhebat dari aku
Tuhan tidak salah pilihan buatmu
Aku bisa pergi atas kelemahanku

Namaku kian pudar
Kau tak bisa gilap bak permata
Aku harus terus pergi
Tiada kata bisa mencantum kasih

~~Aku Suka Nombor 7 dan Bersamamu Ia Menjadi 17~~

Kau kata kau bogelkan seni
Kau angkuh debat denganku
Kau lantang memekik tentang keindahannya
Kau mahu kau terus benar

Aku halusinasi seni
Aku belai seni
Aku mahu selingkuh bersamanya
Aku tidak tegar meratah dengan mata

Kau mengerti apa mahuku?
Dengan bayu sudah mampu menundukkan seni
Tak perlu ditatap penuh rakus
Lantas meratah hingga henti denyut jantung

Mari aku bisikkan padamu
Erti indah melayari seni
Kau pasti tunduk
Aku yakin kau pasti tunduk
Dengan hanya senyuman seni
Yang tak bisa kau bogelkan ini


p/s : Brother Syafiq Sunny, kau pencetus isu ini!!!

Sunday, November 25, 2007

~~Berdansa Bersama Agas~~ [14]

Petang ini langitnya gelap
Mendung meliputi awan kelabu
Bintang malu menyelit
Kehadirannya tidak di hiraukan

Cengkerik di hutan mula berpesta
Di pentas roma tubuh insan
Agas berdansa hebat
Kelip kelip beralun indah

Kotak benak jauh di sana
Merenung esok penuh suram
Segelap awan petang tadi
Sayu menggigit sanubari

Namun hati berdansa riang
Rentak tango seperti agas
Mengatur hebat langkah hidup
Biar tersungkur tak akur

Sampai kapan mahu terus tango class 1
Aku ingin merangkul bahumu
Bergerak ke aras 2 class kita
Dan kau merangkul kemas liuk pinggulku

Friday, November 23, 2007

~~Selimuti Sejuk Rindu Ini~~[11]

Apakah kita bisa mengejar pelangi itu bersama sedang kaki ini tak bisa melingkari ruang bahagia. Untuk kita terus merentas hutan belukar, duri tercalar di setiap liang kulit. Benarkah ia pasti tiba di penghujungnya.

Aku mencari arah yang kabur biar kakiku melangkah pantas mengejarmu. Tersadung bukan rintangan mematahkan semangat namun aku bimbang sekujur tubuh ini pasti longlai.

Kau pastikah kita bisa melayar impian alam realiti, aku semakin gentar dengan bait rindu yang dibisikkan. Aku mahu terus tidur dan lena dalam mimpi.

Gementar tubuh ini melonglaikan harapan. Adakah kau mahu aku terus menggigil melihat berbalam jalan cerita ini? Rebahkan aku dalam setiap katamu dan kapankan aku dengan hembusan sucimu.

Relaku menunggumu
Seribu tahun lama lagi
Tapi benarkah hidup
Aku kan selama ini
Biar berputar utara selatan
Ku tak putus harapan
Sedia setia

Relaku mengejarmu
Seribu batu jauh lagi
Tapi benarkah kaki ku-kan tahan sepanjang jalan ini
Biar membisu burung bersiulan
Terlelah gelombang lautan
Ku masih setia

Adakah engkau tahu… ini cinta
Adakah engkau pasti… ini untuk selama-lamanya

Relaku menunggumu
Seribu tahun lama lagi
Tapi benarkah hidup aku kan selama ini… yeah…
Biar berputar utara selatan
Ku tak putus harapan
Sedia setia

Jangan putus harapan… sedia setia……

~~Angka 10 bukan Penyudah~~

Menentang matamu luluh kekuatanku
Gugur di padang bisu
Bila pautan senyum merangkul panahan
Lidah membisu jantung lelah

Banyak bicara terkapar
Tertinggal di lautan fantasi
Bertaruh merentas tebal desa
Kotak minda masih di planet cinta

Hentikan saat berlagu
Aku hanya memanah matamu
Menewaskan sinar di bibirmu
Akhirnya rebah dan kaku

Usah kejutkan aku pagi ini
Biar terus lena diulit mimpi
Mengait awan biru menjadi bantal
Dihampar tilam putih kekabu

Monday, November 19, 2007

~~Duyung Di Laut Bercerita~~[8]

Memanah bintang petang
Tak bisa ketemu sinarnya
Mencari di sebalik tebal gelap
Tak terjawab keroncong cengkerik

Kau mahu aku menemani
Semalam yang muram
Hari ini bersinar
Atau esok yang suram

Ombak putih sentiasa mengalun rinduku
Sesetia burung terbang ke sangkar
Berbalam dengus membakar
Aku lemas lemah rebah

Jemarimu marilah menari
Di atas lembaran tubuh geringku
Bibir terus menyatu
Mengisi segala ruang kosong
Yang memisahkan antara kau dan aku

~~Katamu Arnab Bisa Berhenti Berseligkuh Melihat Kita~~ [7]

Ambil segala resah jiwa dan terbangkan aku bersama sayap baru. Lusuh berdebu setiap kelopak yang berbulu. Aku bukan tamak mahukan yang baru cuma aku perlu semangat kamu, ia mampu merawat lumpuh kepakku.

Kau mahu bicara denganku tentang tawakal? Mari terus kau bisikkan apa yang tercoret di jernih jiwamu. Aku mahu dengar suara penawar itu terus menusuk tajam ke hatiku. Biar kau terus mengomel dan aku hanya mahu hembusanmu dekat padaku.

Angin cinta terus menurap semakin tebal ke setiap liang liang dadaku, kau rakus memperkatakan kau hebat dan tak mahu tewas. Apa benar kau cukup hebat menongkah arus berbekal sampan usang? Kau gugurkan aku dalam semangat keramatmu, senyuman dan sayu matamu.

Tidur dalam rangkulan kemasmu, mendengar dengkur lelah dan mendengus di ganggu nyamuk tetap membuatkan aku lena dan asyik hingga malas mahu meninggalkan katil. Spaghetti yang kau masak semalam keringatnya membuatkan aku kenyang hingga nafas terkahir.

Sedang aku asyik dirawat dan berselingkuh di balik romantismu, aku tersentak dengan bunyi siren telefon yang menyanyikan lagu 'ganggu'. Aku sedar dan kau tidak di sisiku!

Hanya mimpi rupanya yang menjengah aku dalam kerinduan tetapi siapa kau? Doktor dan Kekasih yang merawat lukaku? Menjelmalah.....


Saturday, November 17, 2007

~~Aku tewas? Benar Aku Ini Tewas???[4]~~

Seperti hari lalu, aku dan kau asyik memetik strawberi yang ranum di kebun cinta. Di selimuti kabus tebal, bayunya menggigit ke tulang hitam namun kau dan aku terus menyanyi girang. Apa rahsia kekebalan menongkah dingin kota sejuk, hanya kau dan aku bisa bicara.

Nyanyian dalam bisikan santunku sering melamar malam pekatmu dengan lena panjang. Kau mahu aku terus memintal kasih dalam hembus bicara yang mengasak namamu. Kau masih mahu ke Marikh dan hanya menjengah ku di Pluto? Hanya bersatu tatkala mata memanah bintang harapan dan berlapikkan rindu yang kental.

Lidah ini sering kelu jika mata menusuk kalbu, apa kau bisa memacu dewa kayangan untuk membiarkan aku terpaku? Aku hilang bisa, bibirku mampu lempari senyuman dan mataku layu disambar buas kuyu pancainderamu. Kau mahu aku tewas? Kau pasti aku akan tewas? Usah mimpi pintal kabus awan jika jarimu tiada pacuan listriknya.

Degup jantung irama rindu, usah tanyakan padaku adakah kau merindu? Aku minggir mencari nilam di dasar air buat penawar ingatanku yang kontang. Kau pasti teresak menanti bila aku harus membawamu bersama, apakan daya kita tak bisa mencorak esok dan lusa. Hari ini, yang pastinya kita bahagia.


Friday, November 16, 2007

~~Ngomelan Aku Dalam Irama Tangomu [3]~~

Jika semalam kita bicara tentang kesepian yang mengikat ulu hati, biarkan hari ini kita ngomong tentang kasih suci. Apa aku ini terbuai dengan angan sendiri atau sememangnya angin cinta mula mengikat denyut nadi?

Entahkan esok aku tak bisa mendakap erti kasih apa bisa hari ini mampu menjadi tugu kebesaran erti rindu? Aku dahagakan segalanya tika ini. Tekak kering melontar aku ke padang pasir, belajar mencari seteguk air membasahi kontang hati. Apa bicara mampu menjadi realiti atau imaginasi yang entah bukan untukku.

Biarkan aku terus dengan lamunan, bukan tentu aku bisa mencuit realiti. Namun aku mampu tersenyum atas kotak hati yang berdetik melagukan keabadian cinta. Siapa mampu menjadi tukang tilik untuk bahagia? Mari kepadaku jika kau bisa menjanjikan segalanya. Usah kau mimpi untuk mentafsir kudrat takdir, maka aku akan terus di sini membuai fantasi.

Jika senyumku penyembuh lara, kau harus biar aku terus tersenyum untuk mereka, mereka yang impikan ukiran senyum semanis madu. Apa kau tak tahu khasiat madu? Andai kau mengerti tentunya kau izinkan aku terus melempar senyum.

Jangan sekali kau menamparku dari lamunan, aku tak bisa. Kau cuba menggagalkan kuntum hati yang berduri menagih kasih. Apa kau sekejam itu? Sukar benar mencari kepastian dalam perjuangan hati, kau tentu pernah tewas menggadai lelahmu kerna cinta.

Bukan itu yang aku dan kau mahu, berat benar mengatur langkah. Aku mahu terus begini, meneguk sesuci kasih yang kau beri biar sesaat ku dakap jua. Aku benci semalam, kerna tinggalkan aku sendirian sehingga terkapai mencari landasan esok. Nyah erti kecewa datanglah bahagia.

Doaku sentiasa menjadi harapan kita, kau teruskan menjadi pari pari dan aku bintang di langit. Biar kau mengejarku sedang aku menanti penuh sinar. Cukup, usah kita terlalu banyak bicara. Kita harus lantas mengalun buih laut agar kukuh merentasi samudera. Kau tentu tak mahu karam dalam pelayaranmu begitu juga aku.

Ilusimu aku halusinasi, aku jua turut begitu dalam mengejar sejuta impian. Esok kita menari tango lagi ya? Agar langkah tidak sumbang dan kita rancak dibuai rentak padat hingga rebah dipentas tari.

Semakin cuba aku melontar jauh, semakin dekat auranya menghampiriku. Hukum karma!


Wednesday, November 14, 2007

~~Bawalah Aku Teman (khas buat Marina, Ennie, Ila, Fida, Ekin dan Huda)~~

Aku tersentap dengan klip video yang dibikin oleh teman akrabku yang bukan lagi bergelar teman sebaliknya saudara. Pengertian kasih sayang menyingkap ruang kecil jiwa sempitku. Entah dari mana angin rindu membuak menusuk dasar cintaku.

Aku mungkin terlupa setiap bait indah bersamanya, aku juga mungkin lupa akan pengorbanan yang mereka lakukan untukku, namun aku tak akan pernah melupakan pengisian penuh erti persahabatan yang terikat sejak kami berjabat tangan memeluk erat.

Terima kasih teman, sahabatm kekasih dan cinta hatiku. Kalian semua tidak akan pernah terkandas dalam kamus hidupku. Aku akan sentiasa tegak berdiri mencari kasih bersamamu yang tergantung di tengah jalan.

Marilah pimpin tanganku, bawalah aku bersama segala kenangan lalu. Ubatilah lukaku seandainya aku tersungkur dan jangan kau tinggalkan aku sendirian merawatnya. Dakaplah aku teman seperti mana kau mendakap aku yang dulu, semoga sejarah lampau bisa menghimpit benakku.

Pertemuan pasti ada perpisahan namun ia bukan alasan untuk kau dan aku berhenti di mana mana kerna janji kita tetap menjadi abadi biar terpisah duniawi. Lekas, pimpinlah tanganku ini agar aku tak meraba mencari arah.


~~Aku bingung dengan AKU~~

Di malam sepi yang dingin, aku meraba dalam kebingungan. Entah apa menujah minda kecil ini, aku terlamunan dalam fantasi. Sesaat kurasakan indahnya dunia sekelip lagi hilang sinar gemilangnya. Ketakutan sedikit sedikit menyahkan senyuman manisku, terasa semakin siksa mengenang segala cerita.

Siapa mahu menjadi aku?Disedut nikmat lampau, kenangan tiada lagi bersarat di benak yang tinggal hanya sisa semalam yang baru. Seringnya ku bermohon agar ditambah kekuatan mental yang mengasak ganas inginkan cerita semalam tapi masih suram dan pudar. Apa lagi mampu kulakukan selain berserah dan berharap?Kebingungan menyeret sepi pekat malam. Berlari bersama denyut nadi yang mati, bukan itu yang ku mahu.

Angin bayu mengusap lembut wajahku, membawa segala jernih airmata mengalir. Aku mulaa rindukan semalam yang hilang. Mahu sahaja aku menjerit di kepekatan malam begini hingga bisa gegar seisi alam, biar terjaga mereka yang lena, biar terganggu canda gurau kenikmatan dua insan. Aku mahu khabarkan bahawa hari ini tanpa semalam adalah mimpi ngeri.

Kekuatan sentiasa menggomoli tubuhku, semangat kental milik tok nek moyang melingkari sendat jiwaku. Aku menarik nafas penuh dalam sedalam kerak bumi dan melepaskan penuh emosi. Kembalikan segala rindu yang pernah kurasai, kembalikan segala cinta yang pernah kulalui kerna aku kian lemah dalam bingung yang panjang.

Seperti hari semalam, aku menelan dugaan dengan redha dan sabar walaup digegar gunung berapi, digoyang tsunami. Cerita itu milikku, kembalikan segera agar tidak terus membisu pabila disoal mereka yang ingin tahu. Kepenatan mula kurasakan, mencari erti hidup bukan mudah buatku.

Apakah aku biar terus begini? Mungkin lebih baik dari semalam yang hitam? Aku mahu menjerit bersama cengkerik berlagu nada riang. Marilah bersamaku temani malam, usah biar aku terus dihambat rasa pilu mencari sesuatu yang tidak pasti. Bekalkan aku seteguk air nikmat untuk rentasi esok yang penuh berduri.

Hanya padaNya aku meminta minta, sehingga malu merayu lagi. Berikanlah aku peluang kali kedua untuk mencipta bahagia yang terhapus dek semalam yang derita. Kini bayu malam mengorak laju, bergumpal awan kelabu, mencurahkan hujan batu yang mengiringi derita nuraniku.

Aku rindukan kamu 'SEMALAM". Kembalilah padaku dan kita bina hidup baru.

~~Benteng Semangat yang Pudar~~

Mengejar citra cinta
Umpama menyulam lautan sutera
Aku terus menyusun jentera
Perkasa impian di syurga

Lembaran hidup jambatan kecewa
Bukan mengeluh takdirNYA
Aku sekadar mencari sebutir permata
Hilang dimamah rakus dunia

Ku garap cereka gembira
Biar senyum ke telinga
Menghayun nadi berbisa
Semata untuk mencari bahagia

Berikan sebutir sinar
Bekal untuk esok berwajah kelam
Aku tak bisa merangkak lembab
Sedang ombak rakus menghambat

Tuesday, November 13, 2007

~~Tinggalkan Bumi [2]~~

Kononnya berlari ke langit
Berkejaran di atas pelangi indah
Kelabu awan tidak memudarkan hati
Dengan girang menyanyi sepi

Apa warna ceria
Bukan tujuh keramat melintang
Senyum penuh mistik
Bersiul bersama burung menari

Lelah di bumi semput di tanah sendiri
Bila terbang ke atas pelangi
Bersama semangat membara
Baru teruja segala nikmat

Saturday, November 10, 2007

~~Remang 10 November 2007~~

Rakyat mula bersuara
Dengan lantang penuh sorak
Gentar bukan lagi kamusnya
Menggegar segala kemelut hati

Dipanah mentari dilencun hujan
Semangat terus meledak
Umpama curahan minyak tanah
Meruap ke sudut liang

Aku juga pantang dicabar
Tak gentar tujuh keturunan
Biar mati berpacu arah
Asal maruah bangsa tegak melintang

Buta bukan pancaindera
Mata hati dikaburi selaput
Kotor melihat janji pengecut
Menebar kata tak seindah rupa

Suara rakyat suara keramat
Sumpahan pendekar perjuangan
Jangan terlerai biar sedekad
Lawan tetap lawan sampai lumat

Friday, November 02, 2007

Warna warna hidupku

Apa lagi warna derita
Usah di tujah menjadi pendita
Berpasung kudrat tak bermaya
Di asak pintas aku membalas

Di langit biru bukan istana
Kuimpi bersama puncak bahagia
Biar dilumpur berkusam kotor
Asal bersamamu warna gembira

Tinggalkan duniamu
Aku berjanji bersatu
Mengali sebutir permata
Perkhabaran babak bahagia

Semalam buku sejarah
Esok ramalam tiada pasti
Harus kita bina hari ini
Warna girang tawa ceria

Aku sambung bicara semalam
Untuk esok lusa dan tulat
Khabarnya warna derita
Penanya menari gembira