Thursday, October 15, 2009

M-A-L-A-Y-U @ M-E-L-A-Y-U

Aku Melayu malu
Melihat bangsaku berlarian merempuh pintu
Mencari redha di kekalutan buntu
Meredah belukar mencari sesuap nasi
Yang di kangkangkan untuk merasai nikmat ke akhir hayat

Aku Melayu malu
Mencarik - carik di belakang teman dan kawan
Muntah kerna terlebih suapan
Perut meledak angin lintang utara selatan
Berpusar menggigil menadah tangan
Hanya tagihkan candu kesenangan

Hey!! Aku benar malu
Aku Melayu! Aku Melayu
Aku tak tahu apa itu Melayu
Mungkin pada zahirnya Melayu
Batinnya juga dibedung Melayu
Minda kosong pengertian Melayu

Ada kata Melayu mudah lupa
Ada kata Melayu mudah layu
Ada kata Melayu macam kayu
Ada kata Melayu itu layu

Hey!! Aku Anak Melayu
Bapa keturunan Melayu
Ibu Keturunan Melayu
Bahasaku bukan Malaysia tetapi Melayu
Tutur pasarku juga Melayu

Aku bangga jadi Melayu
Tapi kenapa hari ini aku malu lihat Melayu??
Aku bangga pandai berbahasa Melayu
Tapi kenapa esok aku lihat Melayu akan layu??

Aku Melayu malu
Malu dengan tingkah laku
Sopan santun budaya Melayu
Tunduk akur gaya Melayu
Hakikinya Melayu itu lumpuh
Strok pada minda
Di pasung puaka

Aku Melayu
Tak tahu masih mahu terus mengaku Melayu
Aku Melayu
Meratapi luka terpalit perbuatan Melayu
Dadaku dirobek Melayu
Tanganku dirantai Melayu

Oh Melayu...L-A-Y-U

Wednesday, September 30, 2009

~Lewat Malam bersama Puteri Rembulan~

Lewati malam bersama deru angin
Pantas dan kuat
Kelibat bayang tak terlihat
Bulan dan bintang bertempiaran
Meliuk di balik awan tebal

Malam itu titis deras perahan awan mula gugur
Basah bumi yang penuh dosa
Basah bumi yang penuh noda
Basah bumi yang tandus ceria
Basah bumi yang gering tak bermaya

Dari titis terus menderu
Umpama pili ditebuk gergasi
Ampangan dilanggar naga
Mencurah lelah disahut kilat
Kata nenek kilat itu menyumpit syaitan
Terkaku isi alam

Namun kerna ia malam
Penghuninya menyeret selimut
Dari hujung jemari kaki hingga litup ubun kepala
Sejuk dan indah
Damai dan tenang bila mimpi diulit hujan
Iramanya menggagah dengkur yang luar biasa

Aku renung malam
Tersiat palit duka
Terlihat wajah puteri di balik bulan
Terlindung dalam samar
Lantas ku tanya
Mengapa wajahmu selayu bunga
Tak bermaya tiada tenaga tiada girang gembira
Sedang kau sering usap ubunku
Dengan senyum paling indah
Lantas kau dakapku penuh erat
Aku sejuk dalam dakapan itu kerna kau seperti angin kota Inggeris

Ku hembus panji semangat
Ku dakap erat jemarimu
Kau hanya panah anak mataku
Hatimu mula bicara pada mataku
Airmata kau titiskan
Gegar geletar tubuhku
Kerna katamu alam kian tenat
Sakit dan pucat
Gering tiada penawar

Lantas bicaramu terus tak henti
Pinta aku terus bersedia
Lupakan kisah dunia yang diserang carca marba
Penuh kotor jijik dan hina
Bergelumang nista

Aku tunduk membisu
Mengenangkan benar bait katanya
Namun aku bingung
Mencari beraneka jawapan di balik awan sana
Ku layangkan warkah rindu buatnya
'Sampai kita ketemu lagi dan aku mahu lihat senyum delimamu"

Tuesday, September 29, 2009

~~Kanda mahu tahu?~~

Kalau kanda mahu tahu
Dinda gembira menjadi suri kanda
Dinda tak mampu lahirkan senyum girang
Dinda gugup bilamana senyum ini mungkin salah tafsirnya
Antara ikhlas atau paksa

Kalau kanda mahu jengah
Dinda hanya ada kanda
Di sana, di sini, di atas, di bawah, di belakang, di hadapan
Semua wajah kanda

Tahun ini indah buat dinda
Tahun ini dinda bergelar isteri
Tahun ini dinda berpuasa dan bersahur bersama kanda
Tahun ini kanda belikan baju raya dinda
Tahun ini kanda bayarkan zakat dinda
Tahun ini dinda pulang ke kampung kanda
Jauh dan jenuh
Perjalanan terhenjut henjut
Berasak dengan lautan kereta terbentang
Panasnya usah cerita

Kanda tak bicara sepatah
Kanda pinta dinda rehat dan tidur
Kanda kata sikit lagi nak tiba
Kanda usap kepala dinda
Kanda tak rungut tak keluh
Kanda terus senyum dan kucup dinda
Walau dinda tahu kanda baran dengan sesak kereta di jalanan

Kalau kanda mahu tahu
Lautan api pun akan dinda temani kanda
Langit ke tujuh dinda turuti
Ombak bergulung jua dinda rentasi
Agar kanda di hadapan dinda
Terus utuh berikan senyuman

Kalau kanda mahu tahu
Dinda rasa rindu di pagi raya
Beberapa tahun lalu dinda jauh di rantau
Tak sempat beraya bersama keluarga
Sekarang dinda akan terus jadi perantau
Untuk pulang beraya bersama kanda
Tak apalah walau berselang seli
Tak apalah walau meredah sesak dinihari
Tak apalah walau suara mama tiada di cuping telinga
Kerna dinda tahu
Papa mama pasti gembira dengar kanda penuhi setiap impian dinda
Papa mama pasti lapang dada bila melihat senyuman terukir di bibir dinda

Kalau kanda mahu tahu
Dinda sering alpa melihat senyuman kanda
Dinda kalut menatap wajah kanda

Kalau dinda tiada
Kalau tuhan ambil dinda atau kanda
Kalau tuhan mahu kita terus kekal di alam abadi
Dinda mahu kanda tahu
Dinda mahu kanda benar benar tahu
Dinda tak mampu bayar kasih sayang kanda
Dinda tak mampu bayar kesabaran kanda
Dinda tak mampu taruhkan apa pun terhadap kesetiaan kanda


Belum terlambat dinda ucapkan Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin buat kanda. Sesungguhnya lidah yang tidak bertulang ini sering menghiris hati kanda dengan ketelanjuran tiada sengaja.

Ampun dinda minta, maaf dinda harapkan agar keberkatan akan terus menyirami cinta kita.

Monday, September 28, 2009

JIN NOTTI TAK LAYAK KE PANGGUNG

Kesempatan bercuti panjang musim perayaan Aidil Fitri lalu pastinya diisi dengan beberapa aktiviti riadah, terutama bersama suami. Al-maklumlah dengan singkatnya masa yang ada kadang kita teralpa bahawa dialah teratas dalam setiap diari penuh kita.

Tanpa ada niat dan rancangan, aku dan Mr Kekasih putuskan untuk nonton filem. Filem 'UP' katanya menarik, Mr Kekasih pasti gembira dengan wajah filem animasi kerna itu genre yang sering berada dalam mindanya. Aku ikutkan sahaja asal tiada unsur kejam dan ganas sudah cukup memadai. Hajat kammi terbantut, tertindas oleh waktu dan juga ruang tempat, semuanya penuh kecuali di barisan hadapan.

Kami batalkan rancangan menonton filem itu di kaunter pembelian tiket, GSC One Utama dan gantikan dengan semangat menonton filem wajah kita, filem Melayu. Terlintas untuk melihat aksi Mawi dan Fafau maka kami sepakat menonton JIN NOTTI.

Sepanjang perjalanan mengharungi layaran filem tersebut, aku kian mual seperti nak muntah ada, pening lalat ada, panas, sakit telinga dan yang paling tinggi sekali tahapnya ialah mengantuk. Bayangkan, aku dan Mr Kekasih ketawa dalam paksaan. Kami cuba hayati apa sebenarnya isi kandung filem ini, nak kata komedi jauh sekali, thirller? aduhhh tak tergolong, animasi 3D? B-O-R-I-N-G! Itu yang aku dan Mr Kekasih lampiaskan sebaik tamat menonton filem terbitan KRU itu jam 1am.

Aku sungguh tak mengerti, apa sebenarnya intipati yang cuba ingin disemat dalam hati kami? Unsur syirik, khurafat ada terselit sana sini namun itu bukan alasan untuk aku katakan filem ini 'HANCUR' sebaliknya penceritaan filem ini tak ubah seperti drama TV yang tak mungkin ada siapa ingin menontonnya.

Maaf, aku tak bisa lagi kawal emosi pabila terkenangkan waktu dan wang yang terbuang gara gara duduk di panggung menonton filem JIN NOTTI ini. Teman dan sahabat, jika kalian benar mengenali aku pastinya tahu benar bahawa aku tidak pernah mengasingkan diri untuk menjadi penonton pertama wajah filem melayu. Aku bangga melihat anak bangsa mahu terus menjadi seniman,, berkarya, bersutradara. Tidak bohong, aku benar ingin melihat anak bangsa bangkit menontonkan wajah filem kita. Tapi kekesalan ini terus menghambat hingga aku bingung dan tak mahu lagi menjengah panggung jika ada lagi karya sebegini tampil.

Mungkin jiwaku tidak serasi dengan animasi seperti yang ditampilkan, tapi ini kali kesekiannya KRU Production cuba hadiahkan filem HAMPEH buat aku dan peminat filem Melayu. Maaf sekali lagi jika entri ini berbaur emosi, sesungguhnya aku memang tak mampu lagi mengawal amarah dengan hadiah hari raya sebegini di panggung!

Aku malas nak hujahkan apa isi filem ini, kalauada yang ingin sembang panjang isi kandung cerita ini, aku buka gelanggang untuk kita diskusi bersama. Pada aku, cukup sekadar tag line FILEM INI TAK LAYAK KE PANGGUNG yang dapat aku gambarkan.

Usahlah buat filem kalau hanya fikir mahu duit sahaja, hati berjiwa seni, berjiwa filem akan hancur dan kalau boleh nak minta ganti balik rm 22 yang telah aku bayar.

GERAMMMMM!!!!!

p/s: Mr Kekasih tolong sambung kemarahan ini!!!! Grrrrrrrr

Aku mahu amuk!

Seringnya penat berjanji untuk terus aktif seperti dahulu kala, menulis dan terus menulis walau apa pun melintas akan terus berkongsi nukilan. Tapi keputusannya selalu hampa, waktu sering menggigit kuat, tak mahu lepas akan menghambat kisah kisah lain untuk di dahulukan.

Sikit lagi waktu, aku pasti akan terus jadikan ia sebagai teman paling akrab, tak mahu lepas tak bisa terlerai. Aku dan nukilan biar berterabur sampai lebur, biar tersepit sampai perit, akan terus menghayun jemari menghambat lembaran buat kalian.

Ada banyak kisah untuk dikongsi, sama rasa masinnya sama rasa pahitnya lantas sama nikmati manisnya. Kalau belum sampai waktu untuk pergi, aku terus utuh di pentas ini biar berguling guling inipati sampai pening.

Aku mahu memberontak! Mahu terus hambat diri bangkit berdisiplin! Aku mahu sebaris bersama idolaku, hasil nukilan sering menebari pesta pesta buku, sedang aku? Bila lagi??? Bukankah ini yang aku cari???

Benar aku mahu amuk pada aku. Aku janji aku tidak tunduk dengan telunjuk masa yang memintas lapang dadaku!

Tuesday, September 15, 2009

~~SALAM AIDIL FITRI~~


Ramadhan semakin hampir melabuhkan tirai, rasa semalam baru sibuk berkocoh kocohan berbuka puasa bersama mama,papa,adik adik, kaklong dan teristimewa Farysh. Baru semalam juga menjalinkan ukhwah lebih erat bersama keluarga mertua. Semuanya umpama semalam hadir dan hari ini pergi.

Ramadhan kali ini sungguh bererti bagi diriku, jauh lebih indah menjadi anak rantau. Status isteri sesungguhnya membibitkan tenang dan penuh hikmah, berpuasa dan berbuka, bertarawikh, bersahur bersama merupakan saat indah yang tiada nilainya untuk digantikan dengan wang ringgit.

Aktiviti serta tugasan juga tidak putus putus hadir, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Ramadhan ini benar menyatu padukan ukhwah renggang, merapatkan jalinan kasih yang sayup malah ia turut menyucikan hati dari terus dihimpit rasa dendam, rasa amarah yang memuncak.

Entah Ramadhan depan kita bisa menikmati saat sebegini atau mungkin ini yang terakhir. Bersamalah kita memohon agar Yang Esa berikan ruang untuk kita umat yang hina, yang alpa untuk terus mengaut setiap pahala di muka bumi.

Teman dan saudara, mungkin lidah tak bertulang memacul kata, hati bertuli memburuk sangka, sikap dan perbuatan tak terbatas menjaga tertibnya hingga membuatkan kalian terluka, lantas terbit pucuk dendam. Lumrah kehidupan untuk merasa seribu suka dan derita, kerna ini jemari yang lantang dan ligat menari ini ingin menzahirkan rasa hati yang besar untuk memohon maaf yang tidak terkira luasnya. Ampunkan salah silap, terlebih terkurang, sesungguhnya yang buruk itu datang dariku dan yang baik semestinya milik Illahi.

Hubungan ukhwah sesama Islam akan terus utuh dengan menghapuskan dendam dan luputkan dengki.

Sehubungan ini, Nini ingin mengambil kesempatan untuk merakamnkan ucapan SALAM AIDIL FITRI BUAT :
~~SUAMI TERCHENTA "KANDA SYAUKI"~~MAMA~~PAPA~~ALONG~~ADIKKU AMIRUL ~~ADIKKU SITI~~ADIKKU AYU~~ANAKKU AL-FARYSH~~IBU MERTUA~~BAPA MERTUA~~KAKAK & ABANG IPAR~~ADIK ADIK IPARKU~~NGAH BIBAH~~NGAH WALAT~~SEPUPU-SEPUPU TERSAYANG~~MARINA~~ILA~~ENNIE~~FIDA~~EKIN~~HUDA~~FARAHDILLA~~AZLIEN~~EZZATIN~~TEMAN SEKOLAH RENDAH & MENENGAH~~TEMAN SEANGKATAN KETIKA BERUSIA 13-17 TAHUN~~ SAHABAT SAHABAT MIIM~~ANGKATAN PERGJUANGAN AIC~~RAKAN POLITIKUS~~SEMUA YANG MENGENALI NINI~~

Jika nak di isikan satu persatu mungkin tak cukup di sini, namun hait yang kecil ini benar benar zahirkan keinsafan dan kesedaran di atas segala kesilapan yang tidak pernah disengajakan sepanjang mengenali kalian.

Moga kehadiran Syawal kali ini akan lebih memberikan seribu satu ceria dalam hidup kalian.

SELAMAT HARI RAYA AIRIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN..

Thursday, August 27, 2009

JEMPUTAN MAJLIS BERBUKA AIC & SOLAT TARAWIKH BERSAMA DSAI

Salam buat teman & saudara.

Ramadhan menjelma lagi dan di bulan mulia ini, Anwar Ibrahim Club Malaysia sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk menjemput teman & saudara ke Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh bersama Dato Sri Anwar Ibrahim.

Majlis sebegini hanya bertujuan menjalin ukhwah justeru sama-sama berkongsi pahala berjemaah di bulan Ramadhan yang sangat istimewa ini.

Majlis akan diadakan pada 11 September 2009 (Jumaat).

Bertempat di KEDIAMAN DATO' SRI ANWAR IBRAHIM, Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Atucara adalah seperti berikut :

5.30 pm - Sembang santai bersama anak muda
6.30 pm - Gotong Royong persiapan berbuka
7.00 pm - Kedatangan tetamu dan VIP
7.30 pm - Berbuka Puasa/ Solat Maghrib
8.30 pm - Solat Isyak/ Tarawih
10.00 pm - Tazkirah oleh DSAI
10.30 pm - Suai kenal ahli baru & sesi ramah tamah
11.30 pm - Majlis Bersurai

Seandainya kelapangan waktu yang terluang dalam diari teman & saudara, sudilah kiranya bersama menjayakan Majlis ini. Sila daftarkan diri teman& saudara di
www.anwaribrahimclub.com/forum atau email saya di
marini@anwaribrahimclub.com untuk mengesahkan kehadiran.


Semoga Majlis ini akan mendapat keberkatan Allah swt dan kita sama sama membina ukhwah atas benteng Islam.

Wakil Anak Muda AIC,
MARINI KAMAL
marini@anwaribrahimclub.com

Wednesday, August 12, 2009

~~Purnama ini aku bangkit mengatur kata menyulam bahasa~~

Salam buka bicara, dengan penuh rasa kasih dan tanda ingatan.

Purnama berganti purnama, waktu membilang hari, saat bergantian hingga kini tak terhitung lamanya alam maya ini sepi tanpa berita. Sehari ibarat sesaat, kian suntuk mengejar waktu mencari ruang melandaikan diri dalam suasana seperti dahulu kala.

Semoga lembaran ini bisa mengubat ruang ruang rindu yang tandus untuk meratap bicara ini. Ingin sekali Nini lampiaskan rindu yang tak putus tiba, setiap kali menjengah laman maya teman teman yang terus aktif menulis, rasa cemburu mula menular dan timbul bibit bibit sayu bila melihat laman sendiri yang seolah tidak berpenghuni.

Maaf teman andainya tercari cari, mengharap utusan dan akhirnya terus hampa 2 purnama lamanya. Alhamdulillah, Nini sihat menjalani hidup penuh liku yang tidak berakhiran. Memegang status Puan Marini semakin serasi hari ini berbanding dua purnama lalu, rasa kekok rasa janggal. Kini semuanya seperti biasa biasa sahaja.

Beberapa minggu setelah bergelar Puan, Nini di masukkan ke hospital atas kesihatan yang tidak begitu baik, mungkin kerna terlalu sibuk beberapa bulan yang lalunya diikuti kisah berpindah rumah dan yang paling ketara sibuk dalam menguruskan waktu bekerja, inilah agenda paling teruk menyumbangkan kepada kesihatan yang mundur.

2009 banyak mencoretkan segala kisah manis diselangi selok belok pahit namun tidak satu pun mematahkan semangat untuk terus berdiri dan kukuh di pentas maya ini. Bila tertoleh episod semalam, rasa lebih nyeri lebih kusut. Alhamdulillah Allah swt tidak memanjangkan dugaan berat ke atas hambanya jika hambanya tidak terdaya merangkulinya.

Buka lembaran hati, lihat pada apa yang hadir, mungkin ada bahasanya gusar, gembira, sedih dan murung melanda. Perlahan lahan kita kupas intipatinya agar merasai nikmat segala rasa, nilai dengan akal dan pasti di situ lahir kekuatan yang tiada tolok bandingnya.

Akan pasti, laman maya ini tidak akan sepi lagi dan terus membawa lembaran demi lembaran buat teman yang sudi menjadi peneman setia. Usah gusar lagi, di sini kita pasti akan terus menjalin ukhwah sillaturahim, mengenali setiap detik agar maya tidak memisahkan cerita cerita kita.
Teman, anjakan pada laman mayaku ini akan menyusul dengan seperti sedia kala. Aku dan puisi,aku dan gurindam, aku dan cerita, aku dan potret malah aku dan bicara hatiku tak akan pernah terpisah biarpun dihambat waktu yang paling dahsyat.

Kita ketemu lagi teman, salam penuh rasa kasih tulus dari batin.

Thursday, June 11, 2009

~~Mengeluh pada keluh hati~~

Pada angin biarkan segalanya berlalu
Terus gelap dan malapkan kelabu
Awan biru tiada lagi bercorak rindu
Hanya deru debu debu buntu

Benar hidup harus ada keyakinan
Bukan yakin dalam bicara
Jujur membina kata
Bukan yakin bersaksikan mata
Tulus pada hati yang buta

Pada malam utuskan keluh
Mendengus ruang ruang pilu
Jauh mata hati terlalu jauh
Andai bisa terhenti biarkan terus pergi

Bukan pohon warkah derita
Merenung jauh di fantasi cuma
Kekal hari ini kekal selamanya
Entahkan esok menerjah bahagia

Pada cengkerik kubisik bayu
Subuh sendu menangguk rindu
Kerlipan mata tak bisa layu
Semalaman buntang terang keras kelu

Biarkan aku terus dirasuk
Dalam angin impian tiada berpenghujung
Kau tak bisa mengerti
Kau terus membisik
Meragut senyum hati menjerit
Benar aku tak mahu henti
Aku tak mahu

Tuesday, May 19, 2009

~~ Pembuka Bicara ~~

Salam rindu buat teman

Lebih dari sebulan Nini tak berkhabaran di alam maya ini. Maaf sekali lagi dipohon memandangkan waktu yang tidak mengizinkan serta ruang maya yang tidak lagi dipasang di teratak baru Nini, maka tak terlayarlah cereka maya.

Perkhabaran apakah teman semua, pastinya banyak yang ingin dikongsi banyak yang ingin dititip. Nini punya seribu satu cerita mahu dilayari bersama, namun apakan daya tatkala ini, Nini sendiri longlai dihambat angin 'flu' dan sakit badan yang sudah sekian lama tidak menyerang antibodi dalaman diri.

Ada suara suara nakal bertanyakan, "sudah berisi kot", malah dengan terlalu banyaknya kes penyakit merbahya hari ini, ada juga yang prihatin menghantar khabaran "Check doktor, mana tau H1N1 ke ape ke". Apa pun, semua itu tidak tertempias pada Nini. Perut masih kosong tidak berisi, selain berat badan sudah mula mencanak canak naik. Hati senang mungkin??? Malah, doktor sudah pun diaknosis tentang antibodi, ia cuma 'flu' dan lemah badan biasa sahaja. Alhamdulillah.

Teragungnya, ingin Nini ucapkan terima kasih buat semua teman, sahabat dan saudara mara yang sudi hadir ke majlis pernikahan dan persandingan Nini pada 10, 11 dan 12 April lalu. Segalanya berjalan dengan baik walaupun diterjah hujan kilat sabung menyabung namun ia tidak mencacatkan agenda majlis yang berlangsung selama 3 hari berturut turut.

Ingin sekali Nini kongsi setiap saat detik bahagia itu bersama kalian, namun seperti yang Nini katakan waktu itu sangat suntuk buat Nini hingga tak terlayar setiap sudut pelayaran bahtera yang kami redah bersama.

InsyaALLAH, akan Nini titipkan bicara bait bicara selepas ini, moga moga saat indah bisa dikongsi buat teman dan kalian.

Nini permisi seketika untuk merehatkan kepala yang semakin berat dengan dos ubat dibekalkan oleh doktor tadi. Jika kesihatan beransur sihat, Nini pasti coretkan lagi warkah buat tatapan teman.

Salam penuh ingatan bertautan


Sunday, April 05, 2009

~~Bila Terdetik...aku???~~

Bila langit berdentum
Petanda hujan akan membasahi bumi
Andaian sungai akan melimpah
Alamat bah bakal meledak seisi alam
Sang mentari terlindung dibalik sana

Bila langit berdentum
Alam pasti bersedia
Tumbuhan beralun angin menerajang
Jemuran sang ibu direntap
Takut membasahi pakaian

Bila langit berdentum
Anak kecil berlari balik
Jejaka riang di padang bola
Pantas memecut takut dihambur
Hujan menggila tak nampak tanah

Segalanya andaian
Segalanya kemungkinan
Segalanya tiada kepastian

Hanya kerana langit berdentum
Persiapan lantas terus disisipkan
Apa benarkah akan melimpah hujan ke bumi
Atau sekadar memecah sunyi?

Begitu juga hati
Bila terdetik pasti hadir bicara sangsi
Percaya atau tidak bukan bicara yakin
Hakiki dalam fantasi
Mencerna simfoni nakal
Bermain di hati
Bila hati terdetik....

Saturday, April 04, 2009

~~Apa Ada Bidalan~~

Jika dilempar segunung harapan
Bisakah berbukit rasa cinta
Sedang angan angan memuncak tinggi
Melangkau imbauan petala langit
Mencari tiang abadi

Jika dihampar selautan kasih
Apa tercerna kasih abadi
Jika isinya kalut berpusing
Bak beliung di dasar air
Menggigil bila dihempas ke tepi

Jika ditabur seluas angkasa
Cinta berbunga kasih bercambah
Apakah tumbuh kelopaknya
Andai benih jujur di simpan ke tepi
Yang berkembang hanya gusar dihati

Apa bisakah lautan menjadi biru
Apa bisakah bintang berkumpul menjadi satu
Menyinar lebih gemilang dari rembulan
Menyilau lebih terik dari mentari
Jika kejujuran dilempar ke tepi?

Mahukah kamu bidaskan
Erti bicara alam ini?

~~Apa Adanya~~

Finally,

Semakin dekat semakin banyak dugaan yang harus ditempuh. Membina sebuah jambatan kasih menuju ke puncak bahagia membuatkan hati berbalam balam. Ada ketikanya goyah, ada masanya gemuruh namun yang pasti harus tenang menghadapinya.

Apa erti sebuah percintaan? Subjektif untuk dirungkaikan bukan? Telaah segala kitab, bertapalah hingga ke gunung ledang, pasti tiada jawapan yang tepat mentafsir pemahaman cinta. Biar janji setia dipadu, angan angan dan doa dikumpulkan menjadi istana namun yang tiang serinya haruslah berpaksi pada kejujuran.

Saat ini, hati tak bisa bicara. Seandainya melahirkan kata kata, pasti ia menjadi tanda tanya pada setiap mata yang meratah bait bahasa. Ke mana harus dituju bila hati dihumban rasa pilu? Sejadah terbentang tempat bersujud, tangan menadah doa ke langit, lidah kelu mengatur kata, hati pedih menyusun restuNYA.

Aku buntu, bukan takut, aku sebu, bukan jemu mencaturkan perjalanan yang sudah tersirat di balik sana. Aku akur, bukan semput tapi aku pilu pada cabaran yang dihamparkan. Kekuatan batin dan hati harus menjadi akar tunjang supaya tidak rapuh dan runtuh benteng ceritera.

Kejujuran harus lahir seiring dengan rasa kasih. Itu satu kunci mencapai kemuncak bahagia. Jika runtuh, berderailah segala kota tahanan cinta. Aku hanya mampu bersujud memohon ketenangan dariNYA. Doa biar sampai melepasi langit ketujuh.

Ameen

Tuesday, March 31, 2009

Masanya Telah Tiba

Salam teman,

Beberapa hari lagi Nini bakal mengakhiri sebuah zaman yang penuh dengan erti bebas, sendiri dan tanggungjawab yang sekadar ala ala sahaja. Ia tidak sedikit pun memberikan kata lelah buat Nini mengharunginya.

26 tahun mengharungi perjalanan bersama dengan keluarga, banyak yang Nini pelajari hanya untuk diri sendiri dan keluarga, ia mengajar erti berdikari.

Hari ini degupan jantung semakin kuat untuk melangkah ke sebuah alam yang memerlukan pengorbanan yang tinggi, bukan sahaja buat diri sendiri dan keluarga namun pada keluarga yang bakal Nini bina bersama si dia.

Segalanya bermula dengan status Pn, bukan lagi Cik. Apakah sudah ada kesediaan yang kental dalam diri? Kata hati ini mungkin memberikan impak positif namun hakikinya fatamorgana. Terlalu jauh untuk dikenali dan terlalu dekat untuk dadalangi rasa gugup.

Kehadiran Mr Kekasih 10 bulan yang lalu sangat berbeza, tatkala itu kami hanya bertukar rasa kasih dan cinta. Mengenali siapa dia dan siapa Nini, mencari persefahaman dan keserasian. Biarpun dia makan ayam dan Nini makan ikan, dia tonton wayang animasi dan Nini hanya komedi, dia gemar topik kenderaan bermotor sebaliknya Nini penuh dengan semangat juang politik. Adakah dia yang Nini cari? Adakah dia miliki erti kesefahaman dalam setiap subjek bicara esok hari?

Segalanya sudah ditimbang, sudah di kaji dan masih lagi kami meniti erti muafakat yang berkat. Benarlah kata bidalan, asam di laut ikan di darat dalam kuali bertemu jua. Hanya itu kata yang bisa Nini pamerkan buat azimat untuk mengharungi kapal yang kami kemudi.

10 April 2009 bakal menamatkan segala sangsi, gusar dan debar. Tarikh keramat itu akan berakhirnya status Bujang dan Dara buat kami, yang akan dibawa adalah amanah berat menanti.

Teman,

Cinta itu subjektif, tiada istilah sains yang mampu mengupas jiwa yang lara jiwa yang suka. Pengertian cinta akan hadir dalam pelbagai sebab namun kuncinya adalah TAKDIR. Ini bukan takdir berserah, ini takdir yang disuratkan pada satu alam yang bukan milik kita.

Melangkau alam ini, Nini hanya pohon doa restu ayah bonda, saudara mara serta teman teman agar pelayaran sepanjang hayat ini bisa menempuh segala ombak badai dengan tenang agar tidak karam.

Biarlah bulan terus menjadi saksi akan keikhlasan cinta yang kami cipta, biar tak sesempurna mana namun kami memohon keberkatan pada yang ESA dan IBU AYAH.

Salam kasih Nini dahului moga tenang menghadapi hari esok.



Thursday, March 26, 2009

~~Gering Sang Puteri~~

Salam...

Lama sungguh Nini tak sentuh papan kekunci dan menari nari dalam lenggok normal. Lewat waktu ini tak seperti dulu, masa sungguh kalut. Semakin dikejar, semakin pantas ia lari. Nini buntu! Maaf kerna tiada ceritera baru, bukan buntu idea sebaliknya buntu akan masa.

Teman...
Beberapa hari lagi Nini bakal mengkahiri zaman bujang yang hampir 26 tahun dibawa bersama. Gelaran itu tidak lagi bakal Nini sandang buat selama lamanya. Sedih bercampur gembira, malah yang paling menakutkan Nini adalah tanggungjawab yang bakal dipikul dalam pelayaran hari mendatang.

Gelap semalam mungkin akan berlabuh, mungkin sekadar bertangguk. Apa yang membimbangkan Nini semakin hari semakin hampir. Ruang maya ini pada satu ketikanya bukan untuk menceritakan isi dada buat pembaca, ia sekadar melampiaskan rasa hati yang gelana. Tapi hari ini, jika satu persatu yang Nini kupas, ia seolah menayang kuping luka penuh di dada.

Jika dihitung, Nini punya kurang dari 14 hari untuk mengakhiri zaman bujang. Semakin hampir semakin gusar. Apakan ini lumrah biasa? Nini mula didatangi rasa samar, benarkah keputusan ini keputusan terakhir? Nini tak bisa lelapkan mata.

Sesungguhnya Nini tak pandai bicara dalam bahasa cerita, izinkan Nini zahirinya dalam bait puisi.

Lihat pada sinar itu,
Ia semakin hampir terlalu dekat dan rapat
Bergulung seperti ombak
Bergelut seperti beliung
Tujunya satu
Pada aku

Lihat pada sinar itu,
Apa ia api membara?
Apa ia cahaya bahagia?
Aku keliru dalam kelopak buntu
Lantas ku tenung
Kacamataku lebur

Bulan kamu di mana?
Berselindung di balik awan
Berarak tiada sempadan
Seolah lari jauh dari aku
Kayaknya seperti meninggalkan aku
Kenapa?

Hati dihimpit sedih
Mati dalam rasa gelana
Gugup hingga hilang bisa bicara
Bingung dalam dengungan kalimah suci
Aku apa adanya?

Bulan apa kamu sepi lewat waktu ini?
Aku rasakan apa itu maknyanya
Jangan kau paling wajahmu padaku
Aku tak mahu lihatkan awan merah berlalu

Mimpiku hadir bermacam cerita
Ada yang indah ada yang duka
Mana kamu puteri kayangan
Rawatlah hati geringku
Tertusuk sembilu kaca

Aku bakal bersuami
Sungguh mulia hatinya
Senyum indahnya meruntun jiwa
Baik bicara tiada bertepi
Menanam kasih seikhlas hati
Apa pun tegar bergalang ganti

Aku bakal bersuami
Lengkap tuhan ciptakan aku dan dia
Umpama Adam dan Hawa
Tiada celanya tiada cacatnya
Bakal mewarisi keturunan papa dan mama, umi dan abi

Pelayaranku kini tidak sendiri
Kemudi berdua berdayung bersama
Karam bisa lemas mati
Ombak bakal ditempuhi

Namun kenapa hati pantas bingung
Makan tak lagi lalu
Tidur tak lagi lena
Suria pagi seolah bawa warna luka
Pelangi murung tiada berwarna
Hanya hitam dan putih mampir menjelma

Aku gelisah
Apa segalanya bisa berakhir?
Angan anganku bisa tergapai?
Padamu Allah swt aku bermohon
Sembah ini tiada duanya
Hanya padamu aku meminta minta
Teguhkanlah hati ini
Rawatlah gering agar bercambah bunga mekar selamananya

Tuesday, February 17, 2009

Serabut

Kalau semalam aku tak bisa kenali siapa aku
Mungkin esok masanya aku kenali apa itu aku
Kalau semalam aku terus kecapi apa itu kecewa
Mungkin esok masanya aku kenali apa itu bahagia
Kalau semalam aku bisa terus teriak memanggil erti cinta
Mungkin esok tiba waktunya aku mahu ceria

Kapan waktunya masa itu bilang detiknya
Harusnya biar ada sisa derita agar kerlip bintang gemilang
Kapan waktunya detik itu debarkan gugup jiwa
Nyata aku bingung apa adanya kerenah

Malam terus khabarkan ceritanya
Sambil bait lagu kabut sesakkan tonasi bisa
Ini khabarnya hati gelana
Mengusir momok semalam yang buntu
Terus kalut bersama tanda tanya


Saturday, January 31, 2009

~~Nota ringkas~~

Hey, It was quite sometimes for me been silent and away from blogging. No such word to describe it except BUSY!!! It's true tho... I have no time for myself! Not even a single second with my precious family & Mr Kekasih. I'm a loser who live a life without having a space for my own life. Asyik kerjaaaaaa aje. BORING LA...

Banyak eposid sejak kebelakangan ini untuk dikongsi bersama, teman yang rindukan tarian jemari berbicara dinasihatkan renunglah bulan malam terutamanya ketika penuh jika tagihkan lontaran bait indah bicaraku. D sana aku akan terus mendampingi malam malammu bersama embun dingin menggigit rongga kulit.

Owh ya, trip aku dan keluarga Mr Kekasih ke Jakarta dua minggu lalu berlangsung dengan baik sekali. Alhamdulillah segalanya bergerak mengikut perancangan yang diatur dan kepastian penuh yakin adalah, aku pasti kembali ke kota Indonesia untuk bersantai. Heaven!!!

Persiapan menuju ke gerbang perkahwinan juga penuh dengan dugaan. Bukan mudah dan tidak sebegitu enteng yang di jangka. Pening kepala bila banyak perkara yang perlu dilunaskan mengikut jangka masa ditetapkan sering dihadapkan dengan jadual waktu yang sangat ketat.

Bila ada kelapangan sedikit waktu lagi, akan aku 'update' semuanya. Teman jangan terlalu rindukan aku ya, tak tertanggung rasanya untuk membalas rindu kalian. Berikan aku sedikit lagi ruang waktu untuk kembali mencoret rasa rasa indah di laman maya.


Wednesday, January 07, 2009

~~Jam 0125 aku teringatkan kamu~~

Bintang sinarkan cahaya indah
Langit cerah bak di suluh mega
Bulan menghilang sembunyi malu
Angin meniup bayu syahdu
Bahasa alam menari girang

Ku lihat wajamu penuh ayu
Ku rangkul senyummu tanpa malu
Ku tatap mata redupmu
Di bawah bintang kudus

Malam warnakan sinar pelangi
Aku dan kamu
Tanpa henti merenung
Bintang yang penuh gemilang


p/s : entri ini buat kamu Mr Kekasih

Tuesday, January 06, 2009

~~Cinta, Perjuangan, Derita 2008~~

2008 dalam kenangan penuh teruja. Mari aku kisahkan sedikit segala pahit manis yang pernah aku lalui sepanjang meranjau erti kehidupan di arena 2008.

Januari
Aku masih sibuk dengan Pak Anwar, hingga masa untuk diri sendiri seperti sudah tidak ada. Almaklumlah pilihanraya semakin hampir. Kelab Anwar Ibrahim menjadi peneraju untuk membantu memperhebatkan lagi kempen kempen yang aku sendiri turut turun padang.

Hati mula celaru, keliru dan buntu. Aku terperangkap dalam layar cinta penuh gelora. Tiada arah yang aku temu, lantas pada Illahi aku memohon petunjuk. Masih gelap dan buntu.


Februari
Percaturan dunia politik sudah seperti dalam kocekku. Tidaklah menjadi pakar kerna aku bukan pekerja sepenuh masa untuk kancah politik namun cukup sekadar aku katakan, aku mulai faham selok belok politik. Benar kata mereka, ia penuh warna warni. Aku sudah mula takut dengan bahang politik. Gentar dengan sikap manusia yang lupa diri, punya agenda asing. Aku hanyut dalam dunia propaganda politik dan manusia manusia hipokrit.

Cinta masih lagi samar, aku tak jumpa erti 'bimbingan'. Aku layu dan lemah, aku semakin jauh hanyut menghumban diri mencari erti cinta. Aku buntu, benar benar buntu. Bila mungkin erti bahagia akan tiba?


Mac
Atas tekad dan nekad untuk berhenti dari kancah politik yang membiuskan semangat srikandi, aku mencari pekerjaan lain. Dapatlah kiranya menjauhkan sedikit dari gelombang panas politik. Semakin aku jauh, aku sebenarnya tak bisa lari dari Pak Anwar. Aku pingin benar melihat kejayaan dan janji janjinya. Pak Anwar juga seringkali menasihatiku agar terus kental dan usah layu dek kata hati. Adakalanya, kata kata Pak Anwar mematahkan semangatku untuk mencari kerja dan terus berkhidmat untuknya.

Pilihanraya bermula. Aku pula sudah diterima bekerja, dilema menghimpit hati menjerit. Aku buntu namun aku tak bisa melarikan diri dari perjuangan ini. Sebuah kisah perjuangan yang hampir mencecah 10 tahun lamanya. Aku rela digelar aktivis tegar walau ada ketikanya aku sekadar renung dari jauh.

Kegembiraan sudah penuh di dada. Perjuangan mula menampakkan meganya. Kelab Anwar Ibrahim makin sesak dan sendat hingga tak terkawal jumlah ahli. Namun di mana aku ketika segalanya hampir di mercu? Ya, aku membina kerjaya baru. Sesuatu yang jauh dari bidang pengajianku dan jauh lari dari segala minat dan usahaku. Aku tekad kali ini untuk membataskan diri. Aku nekad dan tekad! Aku sudah muak dengan kisah Saiful Bukhari dan kuncunya Rahimi Osman. Jijik melihat permainan kotor dan tuduhan mengaibkan. Sungguh aku patah semangat!

Teman perjuanganku pergi meninggalkan dunia ini di kala perjuangan berada di hujung tanduk, arwah Salman sering menjadi teman untuk aku berselisih pendapat. Lewat waktu ini ada sahaja yang tidak kena baginya tentang aku. Bosan dan adakalanya aku buntu namun dia tetap sahabat dan hingga saat ini, dia masih terus menjadi sahabat.

Aku akur dengan keaiban kotor 'sang musang' dan kuncu kuncunya. Azam ketika itu untuk berhenti dari dunia ini sudah kutanamkan. Namun hati ini masih terus berkibar panji perjuangan setiap kali Mak Cik Wan Azizah menghantar pesanan ringkas menerusi telefon bimbit, seringkali bertanyakan kemanakah aku hilang tak kunjung tiba.

Nekad untuk berhenti aku tarik semula. Kini aku mahu AIC terus diperjuangkan seperti mana aku tegar memperjuangkannya di Kota London.

Kisah cinta masih terus terkubur. Aku gagal mencari cinta, walau sudah kucuba berkali kali. Aku terlalu mencari kesempurnaan jiwa. Aku memohon doa agar Allah swt temukan aku dengan 'dia' yang bisa membimbingi ku ke jalan akhirat. Namun, 'dia' tak kunjung tiba.


April
Perlahan lahan nadi Pak Anwar meresap kembali, aku bangun tentang apa saja keaiban. Kalau bisa ku hunus pedang ke dada kuncu kuncu si Musang aka Saiful Bukhari, akan ku juangkan hingga ke titisan terakhir keramat darah ini. Aku bangun dan terus tegap kali ini. Siapa berani rapat, aku tak gentar tenung matanya.

Tugasan di pejabat cuba ku atasi dengan baik seimbang alkisahnya arca perjuangan anak muda. Aku sering mengantuk di pejabat, balik masih lagi jam 3 pagi dan esoknya terkebil kebil mengadap tugasan di kantor.

Cinta masih buntu dan kabur. Namun aku mula cintakan diriku sendiri dari sibuk memikirkan kisah siapa terluka dan melukakan.


May
Hidupku masih bergelumang si baja perjuangan. Ah, usah kau tanya bagaimana obsesnya aku dengan tugasan yang diberikan oleh Pak Anwar untuk mengekalkan sokongan anak muda pada beliau? Segalanya dalam agenda kami.

Tiba tiba aku kenal cinta, hey benar ini lah cinta!!! Aku ketemu bakal suamiku tatkala semarak perjuangan terus berkobar. Hanya sekali bertemu, 8 jam bertentangan mata berkongsi cerita dunia....nah panahan cinta melastik ke dalam jiwa.

Hey aku jatuh cinta!!!! 3 hari setelah berkenalan, aku dilamarnya. Hey gilakan? Aku tergamam, terkulat kulat untuk memulakannya namun pejuang tegar seperti tak gentar dengan segala cubaan.

Wow... ini benar cinta kataku! 3 hari? Ia...Benar...Mungkinkah Tuhan sudah mengabulkan doaku? Kenapa sepanjang 3 bulan aku di kantor, dia tak pernah menegurku? Namun dengan sekali senyuman aku jatuh bak nangka busuk. Pssst....aku mula terpaut padanya! Ah...MALU!!!


June
Banyak kisah suka duka sudah mula dikongsi bersama. Saat ini, aku lebih asyik menghitung hari untuk ketemunya dari memikirkan perjuanganku. Kata Shuk (Presiden AIC), "Nini dah terkena panahan...habislah perjuangan kita".

Aku tak mungkin akan mengakhiri perjuangan semata kerana cinta. Tak 'macho' la kawan. Sebaliknya aku tak mampu membahagikan masa lagi buat seketika. Kali ini aku dapat rasakan bahawa dia adalah insannya, jejaka yang ALLAH swt pasangkan untukku menempuh hari esok dan di sana.

Namun begitu, percintaan pasti ada halangannya. Tatkala inilah hati mula berbolak balik. Dia dengan kisah lamanya dan aku disapa kembali oleh kisah kekasih lama. Percintaan 4 tahun yang di bina rasa sayang pula untuk di akhiri begitu saja, namun apakan daya segalanya tidak mampu di arcakan kembali. Bakal suamiku itu juga berperang dengan seribu satu rasa. Siang malam kami berdoa agar jika kasih ini benar untuk kami, permudahkanlah segala urusan meniti hari bahagia.


Julai
Doaku seolah diangkat terus oleh Illahi. Segalanya kami lalui seperti menggelungsur di atas papan luncur air, doa yang kami pohon diizinNYA. Keluarga bakal suamiku datang berkenalan dengan papa dan mama. Sambil membincangkan tentang kisah kami yang tak sabar untuk ditunangkan dan seterusnya dilangsungkan.

Ada yang buntu melihat kepantasan hubungan ini berlangsung. Aku seolah tidak percaya, mata masih terkelip kelip, disangkakan mimpi namun realiti.

Perjuangan Kelab Anwar Ibrahim masih tetap utuh dan kali ini bakal suamiku turut memberikan sokongan sepenuhnya dalam perjuanganku. Ku bisikkan pada Mak Cik Wan Azizah, aku kini sudah punya pacar. Tersipu sipu dia gelakkan aku! Cis...


Ogos
Aku dirisik. Bakal menjadi tunangan orang!

AIC masih terus dalam agenda semasa. Namun aku harus katakan bahawa semangatku sedikit layu deka beberapa perkara. Kisahku saban hari adalah untuk mengenali dan mengubah sedikit demi sedikit perwatakkan ku yang tak lama lagi bakal bergelar milik orang.

Alhamdulillah, bakal suamiku sering membimbingku yang tersasar dari landasan. Keimanan dan kesungguhannya sering terlihat dalam bait kelembutannya melayani aku. Aku tewas antara perjuangan dan cinta


September
Banyak masa dihabiskan bersama bakal suamiku ke masjid untuk tarawih. Berbanding tahun yang lalu, kali ini Aidil Fitri memberikan kisah yang manis dan baru buatku. Dari raut wajah bakal suamiku, jelas kelihatan sifat membimbingi seperti yang aku pohon dan impikan. Ya ALLAH, kau benar benar mendengar rintihan hatiku.


Oktober
Rombongan meminang berlapikkan dulang merah jambu sebanyak 6 jenis hantaran mula memasuki perkarangan kawasan rumahku pada 5 Aidil Fitri. Alhamdulillah kini segalanya berjalan dengan baik, aku tenang menjadi tunangannya.

Yang tinggal hanya detik menghitung hari untuk hari diijabkabulkan.

Perjumpaan kecil teman teman dan AJK AIC mula membanjiri majlisku pada hari bahagia tersebut. Klimaks ceria mula menyerikan lagi hariku! Perjuangan dan Kekasih. Aku mahu kedua duanya.


November
Aku dan Mr Kekasih mula mengharungi kisah cinta yang septatunya berlaku sebelum pertunangan lagi. Kami kini sedang mengenali dan mengerti tentang diri masing masing. November banyak membawa kami merapatkan diri bersama keluarga.

AIC? Senyap seketika. Pak Anwar pun turut senyap, belum ada berita tukar kerajaan yang kami terima. Yang lebih sadis, NAJIB sibuk nak jadi PM macam pak dia. Meletup letup la perempuan cantik dan pintar seisi alam ini dek kerna di bom oleh ROSMAH BOTOX.

AIC??? Benar benar senyap kali ini. Kenapa? Maaf kerna aku tak punya banyak masa, sibuk dengan tugasan kerja dan kisah cinta (p/s : shuk, adi & AJK aku mengaku kali ini)


Disember
Ulangtahun Mr Kekasih yang pertama. Aku cuba berikan segala sinar untuk buatkan dia tersenyum. Hey, kalian patut tahu bahawa Mr Kekasih punya senyuman paling manis pernah aku lihat.

AIC bakal kembali pada paksinya tak lama lagi! Aku harus tegas kali ini, perjuangan tak harusnya berkubur. Mr Kekasih pula terusan memberikan semangat tak putus tiba padaku. Terima kasih Mr Kekasih!

............................................................................................................................................................

Itu antara kisah cerita aku, cinta dan perjuangan dalam mengharungi getir 2008!

Semoga 2009 membawakan sepenuhnya cerita gembira. Puas sudah sepanjang tahun 2008 aku murung dan derita tatkala dikerumuni manusia manusia kejam dan keji.

Aku yakin, untuk melihat pelangi...ALLAH akan turunkan panas dan hujan agar kita tabah menerima cahaya dan gelapnya duniawi ini.

Monday, January 05, 2009

~~aDa BeRiTa TeNtAnG Si PiSaU CuKuR bErMaTa 5~~

Beberapa kali aku dikejarkan dengan berita tentang seorang gadis layaknya di panggil 'pisau cukur'. Isu ini sangat subjektif untuk dikupas apatah lagi melibatkan maruah dan air wajah seseorang. Apabila direnung luar dari kotak minda, aku teringin benar kongsikan di sini.

Wajarkah seseorang itu mengejar kebendaan semata dan mengalihkan pandangan bersih hatinya hanya kerna liurkan panggilan duniawi? Di mana keimanan dalam diri sehingga sanggup melukakan hati orang orang yang tidak berdosa menanggung azab pedih jiwa?

Sekali bila dilemparkan senyum namun aku tahu ia palsu. Tergamak melihat hati insan mulia tersiksa? Aku pula tagih rasa bosan, apa mungkin jika hati ini bisa menampar jahil jiwanya yang rakus? Jika mampu, sudah lama aku ayunkan jemari tujuh petala bumi menempelak busuk hatinya.

Teman, bicara aku ini menunding pada dia yang tak kenal erti syukur. Aku tak mampu luahkan kerna siapalah aku? Tapi hati aku tak bisa berhenti menyumpah seranah bila mengenangkan hati tidak berdosa terguris semata mata untuk memberikan kasih 'padanya' namun dibalas tuba. Apa mungkin bala bisa menghempap jasad dan roh dunia akhirat?

Ringkas tulisan ini, namun jijik hatiku tak bisa dihakiskan lagi. Hentikanlah membunuh jiwa tidak berdosa dengan permainan licik yang sekadar mengaut harta dunia semata. Apalah ada pada LV, GUCCI, PRADA, kereta mewah dan kepulan wang berkoyan koyan jika maruah diri tergadai begitu sahaja.

Wajah jelita tak bermakna padaku jika hati busuk lebih dari kumbahan najis. Tubuh badan mengiurkan tak menyelerakan bagiku jika hati bulat dan gumpal warna hitam meliputi. Sebaliknya, jernihkanlah yang keruh itu kerna esok mungkin ajal kita. Moga sempat pintu taubat terbuka untuk kita atau paling tidak seksaan di sana tidak seberat yang kita tempah dek masa lalu.


Sunday, January 04, 2009

||corat coret tahun baru||

Banyak yang ingin dikongsikan bersama, terlalu banyak sehingga tak tercoret setiap bait kata. Aku ingin menjadi seorang penulis yang baik lagi berdisiplin namun kesuntukkan waktu dan kesibukkan kerja sering menyeret aku ke lurah malas untuk melatih diri mengemas kini kisah hidupku di alam maya.

1. Ucapan Selamat Tahun Baru 2009

Untuk setahun lagi, selagi nafas terus berhembus, walau angin bayu mahupun angin lintang, aku ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2009 buat semua ahli keluarga tercinta, teman teman tersayang, kekasih hati, umat Adam dan seluruh penghuni muka bumi, sama ada nyata atau tidak.

Kehadiran 2009 ini diiringi dengan doa agar terus dipanjangkan usia, memperoleh kesihatan yang baik baik belaka, dimurahkan rezeki dan dililit kejayaan yang diidamkan. 365 hari bukan jangka masa yang singkat, ia bakal disusuli dengan kenangan pahit dan manis. Kita mencoraknya namun ALLAH swt menentukan. Aku pimpin kalian dengan doa dan semangat untuk mencernakan nafas baru mengharungi getir 2009.

2. Salam Hari Lahir buat Papa

Pesanan ini muncul seketika saat detik 2 Januari 2009 mengimbas. Untukmu papa, aku hanya mampu lafaskan butiran ini.

"Papa, aku kenal erti kasih dan rindu. Denganmu, aku turut diajar erti cinta dan kecewa. Lahirnya aku ke muka bumi atas cinta yang disebatikan dengan kuntuman sayang dari mama. Kau lelaki istimewa, teramat istimewa hingga tak terhurai dek kata kata. Di hari lahirmu yang ke 53 ini, sesungguhnya aku hanya mahu mendoakan kesejahteraanmu. Moga Allah swt memanjangkan usia papa untuk terus limpahkan kasih sayang buat kami semua. Di hari lahirmu juga, aku tadahkan tangan memohon pada Illahi agar segala cita citamu kian tercapai.

Selamat hari lahir, aku pingin sekali terus menerus menyambut hari kelahiranmu dengan penuh gemilang. Hanya pada DIA tempatku memohon agar kasih sayang ini terus kekal hingga ke syurga. Semoga panjang umurmu, murah rezeki yang bakal dilimpahkan, perolehilah kesihatan dan kesejahteraan selagi nyawa di kandung badan. Selagi nafas ini terus menjalankan tugasnya, aku tak akan pernah berhenti mendoakanmu. SALAM HARI LAHIR PAPA! I LOVE YOU MORE THAN YOU DO"

3. AZAM TAHUN BARU.

Bila bicara tentang azam, banyak benar impian untuk aku kecapi. Setiap tahun aku pasti bawa bersama pada azam azam yang tidak bisa kudakapi selama ini. Pentas 2009 mula untuk menari,melakonkan babak babaknya dan menyanyi dengan suara sendu dan tawa yang bakal dilalui.

Azam itu impian, impian itu cita cita, cita cita itu kesungguhan, nah maka itu aku harus berusaha untuk kecapi segalanya agar tidak ada rasa terkilan akan semangat yang tidak dipacu.

Kulampirkan apa azam yang telah aku tanamkan sebelum detik 2009, Januari 1 bermula :

a) Membina sebuah keluarga yang paling bahagia di samping menabur bibit cinta bersama Mr Kekasih. Aku mahu pastikan dia bahagia di sampingku, menerajui istana kasih dengan tenang dan penuh belai mesra.

b) Menyambung kembali impian melanjutkan pelajaran yang terkandas dek isu persiapan gerbang perkahwinan. Sudah aku aturkan masa untuk kembali bergelar pelajar, namun Mr Kekasih merombak impianku dan aku tewas dalam manis senyumnya hingga menyeretku berbicara alam rumah tangga. 2009 pasti kembalikan semula impian untukku menyambung lagi segulung Ijazah.

c) Menurunkan berat badan dan meragut kembali impian untuk memiliki sesusuk tubuh ala ala Jeniffer Lopez. Walau ia sekadar impian semata, namun tak mustahil untuk aku merangkulnya. Ia adalah tekad dan nekad. Aku pastikan ia tidak hanya menjadi angan angan belaka.

d) Mengumpul wang bersama Mr Kekasih untuk mengerjakan umrah. Memandangkan tambang ke tanah suci mencecah ribuan ringgit, ia bakal menjadi pencetus keazaman diiringi doa untuk menggapainya. Aku benar benar ditiup seru untuk menjejakkan kaki ke sana. InsyaALLAH.

e) Kembali ke Kota London biarpun seketika, itulah impianku. Aku rindu dengan unggas yang menyanyi setiap kali melewati padang Hyde Park mahupun Kensington Garden. Aku rindu akan siulan angin dingin yang menyeret aku ke alam damai. Aku pingin sekali menyarung jaket jaket baldu dan gebu ke badanku dan utamanya, aku rindu benar dengan empat musim yang melewati hari hari sang perantau. Aku rindu gugusan air kepul bernama 'snow'.

f) Memastikan perjuangan Anwar Ibrahim Club bukan sekadar anak emas Datuk Seri Anwar Ibrahim. AIC pelapis pejuang tegar, bukan sekadar menumpaskan UMNO tapi membuka minda anak muda untuk tangkas dan pantas menggunakan minda ketiga melihat kebobrokkan penidas yang semakin bermaharajalela. 2009 bakal membuktikan AIC mampu berdiri untuk mengangkat suara suara tertindas yang selama ini tersepit dan terselit di balik tempurung.

g) Belajar memasak makanan kegemaran Mr Kekasih. Kami mahu lebih kerap makan di rumah berbanding air tangan mamak atau makcik dari Thailand.

h) Melancong ke negeri negeri berpulau, kerna aku mahu menjadi orang pulau. Dalam agenda selepas berkahwin, kami akan menghabiskan masa untuk berbulan madu selama lebih kurang 2 tahun sebelum merancang punyai cahaya mata.

i) Membawa satu imej baru pada diri. Mungkin memotong rambut lebih kerap dari asyik dihimpit dengan fesyen 'long hair' atau menutup keseluruhan rambut? ermmmm.

j) Membuka perniagaan sendiri. Walaupun dalam perancangan, namun aku akan pastikan sekurang kurangnya kertas kerja untuk perniagaan aku siap dalam tahun 2009.

Itulah di antara impian yang aku tanamkan untuk mengecapinya bersama bayu bahagia 2009. InsyaALLAH semangat ini yakin bahawa impian itu bisa tercapai. Doakan aku juga ya teman.


Monday, December 29, 2008

~~Maal Hijrah~~

Salam Tahun Baru buat semua umat muslimin & muslimat. Semoga lembaran baru yang kalian bawa bisa direstui oleh Yang Esa.

Aku juga bawa azam baru, tak mahu lagi toleh semalam yang gelap. Aku tak ingin lihat bayang bayang itu lagi. Aku kini bernafas dalam tenang, di bawah lindungan Nya.

InsyaALLAH, kalian juga pasti dalam dakapan yang Esa. Maka teruskan berdoa agar ditiupkan obor kental mengharungi esok yang penuh liku.

HIJRAH 1430! Takbir!!!

~~Para Sang Kecewa. Aku Utus Warkah Buat Kamu~~

Tanyakan aku tentang duka
Jari kudung menunding padamu
Yang sentiasa lukiskan aku momok kelabu
Samar tapi jelas
Keras terus deras

Tanyakan aku tentang derita
Aku kerling memandangmu
Yang sentiasa tujah luka
Merobek parut silam

Kau patut senyum bukan pijak memori itu
Mengapa perlu luka?
Kau kelu hakikinya
Benar?

Kau harus menyeringai
Tawakan segala kenangan silam
Pahit manis kau yang cipta
Di atas lembaran putih
Bersama berus berus tuli
Kau arcakan ia

Aku mahu kau terus senyum
Lantas aku kirim pada bintang
Berikan kekuatan padamu
Agar tidak buntu menghitung
Geseran pintu luka lalu.

p/s : Kalau tak tahu senyum, sebut C selalu!

~~WeekEnd yang Menggemukan~~


Aktiviti hujung minggu yang mengujakan.... Makan, makan, makan!!!


Hujung minggu sesungguhnya untuk riadah. Aku dan Mr Kekasih habiskan masa untuk menikmati setiap saat indah meraikan perut yang sering berkeroncong. This pic while we're waiting for food. Starving....


Delicious chicken cornish from Secret Recipe! Yummy...



Morocon foods. Aduh, i memang dah lama mengidam nak makan makanan arab. Since get back from UK, tak pernah tgk ada kedai Arab but now, i know where to find it. Yahooooooo.



Burpp.... Guys, jom makan kat sekali.

Dear truly friends,

Marina, Fied, Ennie & Hubby, Iela & Hubby, nanti kita date kat sini ye. Serius ni, waktu makan tu memang teriangat kalian. Tapi jauh sangat, tak sempat nak ring you all. Lagipun dah jam 12am. Next time, we must go ok!!! Love you all.

Dear Mr Kekasih,

Thanks for the lovely supper! It's nice having such a lovable person like you. Hey, next time let me treat you with your fav food ok! Just name it.


Friday, December 26, 2008

~~Ehem ehem...aku tahu siapa kamu~~

Pernah tak kalian berhadapan dengan mereka yang berlatarkan sifat sang haiwan?
Antara contohnya :

a) depan tunjuk baik, tunjuk friendly, tunjuk sopan, tunjuk lembut PADAHAL
tanpa kita sedar mereka belit kita di belakang.

b) bila kita bicara, mereka turut serta seolah kawan baik PADAHAL tanpa kita sedar hati mereka menyumpah seranah

c) puji dengan sindiran

d) cemburu dan cuba untuk lakukan lebih baik dari kita PADAHAL sakit hati mereka mengatasi sifat positif dalam diri.

e) mencari jalan untuk mengenali latar belakang kita yang buruk SETERUSNYA mengaitkan dengan apa yang di lihat hari ini LANTAS melebarkan antena untuk terus mengaibkan.

Ada juga kawan sebegini yang kononnya cuba untuk lempar senyuman, dalam hati mungkin berkata "lebih baik aku senyum dari lempar muka mencuka". Hakikatnya, mereka inilah manusia yang sangat tidak jujur pada diri sendiri. Kalau sudah pada diri tidak jujur, apa lagi dengan orang lain? Mungkinkah akan ada kejujuran untuk mencipta jambatan persahabatan.

Sebenarnya, aku tidaklah begitu kisah dengan apa yang mereka terbitkan dari hati atau bibir, bukannya boleh temui ajal dengan bicara sinis sedemikian. Apa kan daya, aku cuma tidak mampu untuk menoleh walau sekilas pandang wajah luaran dan dalaman mereka.

Aku tidak begitu yakin apa sebenarnya yang mereka mahukan? Mungkin sekadar ingin menjadikan hidup mereka sempurna dengan berperilakuan sedemikian atau mungkin juga mengisi masa terluang yang mereka ada.

Apa pun, aku maafkan mereka dengan seikhlas hati walau mata tak lalu menjeling pun terhadap mereka. Cuma biar kukhabarkan di sini, aku bukanlah anak kecil yang enteng dengan sikap manusia. Aku ini melihat dari kanta tersurat dan tersirat, kamu tak mengerti tentang ini. Aku juga tidak berminat untuk mengetahui siapa dan mengapa kamu perlu ada. Aku yakin, aku lebih baik dari kamu, luaran dan dalaman.

Kalau kamu bermain dengan senyuman, pasti patah senyuman itu dengan lirik mataku. Kalau kamu bersenda dengan lirikan, aku pasti panah jiwamu. Aku tidak bisa duduk sendiri melihat kamu tersenyum dan mengekek.

Buat kamu yang berpura pura, berlantaikan sombong minda ketiga, cemburu atas kebahagiaan orang lain. Aku seru agar hentikan sikap keji mu itu. Aku bisa bicara pada hati yang buta, aku bisa mengetuk hati hati yang terluka. Maaf, kamu silap menghitung siapa aku.

p/s: ini entri untuk mereka hatinya kelabu. sedarlah agar kamu tidak sesat dalam pelayaranmu sendiri

Tuesday, December 23, 2008

~~Ini Untuk Kamu, Jejaka Bertakhta Di Jiwa~~

Semalam aku rencanakan, tentang bingungnya pada dia. Kalau seisi alam bisa mengerti, layangkan sahaja murung di hati.

Kayuhkan laju kaki ini, agar tidak terpasung pada cinta. Aku bingung mengenali gahnya 'cinta'. Apa benar ia untuk bahagia? Itu bait yang sering melintas pada tiang tiang hati.

Aku pandang dia tunduk, aku senyum dia tersipu. Makin keliru pada lirik hati kecil, muncung bibirku ditarik sepanjang Sungai Nil.

Lama tidaklah memakan tahun, kurun tidaklah memakan abad. Aku & Dia cuma buntu, bingung seketika. Benar....cuma seketika. Aduh, bagaimana harus ku katakan jika kau tidak percaya? Sungguh, sekejap saja.

Mari, dekat padaku kerna rahsia ini Akta Sulit Jiwa. Jika aku khabarkan, kau jangan lantas bicara pada mereka. Antara aku & kau bukan mereka. Takut takut mereka sindirkan aku, gelakkan bibit romantisku, mungkin ada yang makan hati tak mahu menerima hakiki bahawa Aku & Dia pantas membina Taj Mahal Cinta.

Kata orang, cinta boleh meresap sepantas halilintar. Tak perlu mengatur masa, biarkan naluri bicara, kelu lidah buktikan jiwa gelora, getar tubuh tatkala mata memanah degup jantungnya.

Kata orang, cinta boleh meracuni jiwa, membunuh gagah mematah sendi bicara. Aku biarkan kata orang itu membuktikan kebenarannya.

Mari mampir setapak lagi, aku bisikkan di telingamu. Aku & Dia bertaut cinta sepantas 48 kiraan jam. Kira kira 2 hari lamanya. Lama benar bila malam memisahkan kami berdua. Seksa menunggu panggilan darinya. Lama benar waktu bergerak, lama benar 48 jam itu.

Pantas, hati bicara suka, jiwa meronta ronta. Aku & Dia diikatkan oleh pautan cinta yang kami utuskan melalui alam maya. Mungkin ini benar cintaku atau cuma satu lagi babak kecewa yang bakal menempah tiketnya di keesokkan hari.

Kenal pun tidak, bicara hanya beberapa ketika namun utusan dari Illahi telah tertulis nama Aku & Dia bakal mengharungi alam dunia dan akhirat bersama. Tanpa renungan tirus, aku selami melalui kanta makrifat, kami diikatkan dengan perjanjian direstui keluarga. Berapa lama sejak dari 2 hari itu? Berapa lama ya?

50 hari dari tarikh bertentang mata, aku dirisik. Pantasnya antara halilintar 35 hari, aku dan dia menjadi sepasang kekasih atas tiket pertunangan. Asam garam mula dirasai. Manis, manis, manis tanpa pahit mula kami dayungi. Usah berdolak dalih, ada ketikanya hambar menampar jiwa kering. Maaf, itu bukan pasport untuk merentasi sempadan 'bosan & benci'.

Beberapa purnama lagi, gugurlah dedaunan kering di langit ketujuh menyatukan gersang hati Aku & Dia. Dup dub dup dub bunyi hati gelisah. Apa sudahkah aku bersedia? Dia sering menegur manis, "kalau sedia yang adinda nantikan tidak mungkin kita di sini, kalau sedia yang dinda soalkan mungkin esok samar lagi".

Kupaskan untuk Dia agar tahu benar isi hati yang gelora. Mungkin bisa menjadi tangkal buat jalan cereka, antara kasih abadi dan mulus nya hati.

Sayang,
Andai esok dinda tidak bersama
Dinda patrikan diri di pintu syurga
Menanti hari selamanya bersama kanda
Membawa segala harapan untuk memadu asmara

Sayang,
Maafkan kasarnya bicara dinda
Terlebihnya tingkah laku tak diundang
Kekesalan pada bibir mengguris hati
Kealpaan dalam diri mengucup jemari
Tiada dua untuk di pinta
Cukup sekadar membelai oboran kasih

Sayang,
Detik semakin hampir
Melihat kanda menjadi raja di hati
Dinda pula permaisuri menghiasi
Menganyam buih cinta melahirkan cahaya
Bukti mekarnya kuntum kasih antara kita

Mari rapatkan mata ke dalam mataku, lihat pantai biru di sebalik minda. Pelangi kembar menghambakan diri, bawa rentasi awan biru. Berlari kita seluasnya, selama mana yang kita impikan.

Bulan itu tersenyum melihat, saban kali bibir melakar senyum cinta lantas Aku & Dia panjatkan syukur. Pantasnya cinta kita bukan paksaan sesiapa, tidak membunuh hati insan lain. Berlalu itu sejarah bukan kekesalan. Berlalu itu mendewasakan kita, jangan di hukumnya. Jangan disumpah ke tujuh keturunan pari pari desa.

Hanya Aku & Dia untuk jalanan indahnya dunia, seindah impikan syurga Jannah.

***aku sambung babak seterusnya bila mata tidak minta untuk di katup**

~aZiMaT D' dAdA~

Aku bukakan segala pintu
Menggeledah sulitnya sebutir kasih
Atas nama cinta
Penuh balam aur desa
Terungkai zarah asmara
Dakap indah cereka

Benarkah di balik awan itu
Benarkah di sudut bucu itu
Benarkah di dalam salju itu
Benarkah di gigi pantai itu
Benarkah ada dia
Benarkah ada gembira
Benarkah ada cinta?

Aku masih terus berenang
Meredah lautan gelora
Menyelam panas sejuk dasarnya
Mensyukuri nikmat Esa
Mengangkat kurniaan Maha Besar
Cinta itu ku yakini benar
Ada
Ada
Ada di dalam dia

Saturday, December 13, 2008

~~Bukit Tinggi dalam Kenangan Kota Inggeris~~

Cuti hujung minggu dihabiskan dengan riadah ke Bukit Tinggi. Ingatan melayang ke Kota Inggeris, sungguh membibitkan rindu, ia sungguh mencengkam. Benar, aku tidak bohong bahawa Kota Inggeris telah menghantar rindunya pada bait bait romantis di Bukit Tinggi.

Aku menghabiskan segala saat yang ada dengan merakamkan potret potret manis di sana. Rakaman kamera Canon 400D membuatkan segala detik merangkulkan memori indah.

Biar potret ini bercerita. Terima kasih buat Mr Kekasih yang tak putus putus menajamkan kemahiran 'photography'nya. Syabas!!! Aku gemar akan sentuhan tangannya!


















































Thursday, December 11, 2008

SELAMAT HARI LAHIR MR KEKASIH!!!

Buat pertama kali
Ia sungguh bermakna
Melihat senyum bibirmu
Menatap manis redup matamu
Segalanya melantaikan rasa

Yang pertama dan terus terusnya
Moga Allah swt panjangkan usia
Buat kita menikmati mukjizat
Buat kita merenung amal
Untuk semua merasakan nikmat

Kanda
Tarikh 11 Disember tarikh keramat
Tanpa ia adinda tak bisa menatap wajahmu
Raut tenang insan bernama lelaki
Yang bakal mewarnai coretan pelangi
Meliputi susur jalar kebahagiaan

SELAMAT HARI LAHIR
Setahun lagi bertambah usia
Setahun lagi meniti bahagia
Setahun lagi menghitung dosa pahala
Dan tahun ini
Memberikan segala sinaran
Buat adinda memeluk pengertian cinta

SELAMAT HARI LAHIR
Semoga Allah swt panjangkan usia kita
Mohon segala rahmat darinya
Berikanlah rezeki yang melimpah ruah
Lontarkanlah ketenangan
Agar setahun yang akan datang mengorak bibit gemilang

SELAMAT HARI LAHIR KEKANDA
Kasih ini sudah terpatri untukmu selamanya!
Moga ALLAH swt merahmati kita.

Meraikan hari lahir bersama kesemua adik beradikku



Suapan pertama buat hari lahirmu


Segala yang terindah adalah bersama denganmu


Sunday, December 07, 2008

##Kisah Hati Yang Mulus##

Sepasang hati yang mulus
Mencari ertinya sekeping bahagia
Membawa kepulan rasa
Ditawan komunis komunis cinta
Dan
Tandus di simpang sengketa
Jerlus lereng duka

Sepasang hati yang mulus
Menguis rona jingga
Yang asalnya berwarna oren
Ditumpahi kuning
Diconteng merah menyala
Semua rasa bergaul rojak
Namun itulah asam garamnya

Sepasang hati yang mulus
Takut takut dikotori debu
Ditawan sebalik rindu
Ada tikanya menggebu buntu
Bibir bicara kelu
Biarkan mata menusuk kalbu

Sepasang hati yang mulus
Apa mahunya?
Bila sendiri bilang sepi
Bila berteman bingkis rimas
Bila rajuk pinginkan rayu
Bila terguris dambakan pujukan

Sepasang hati yang mulus
Siapa mahu bicara?
Kisah kebenaran jujur setia?
Episod menganyam bait bicara?
Lelah mahu karang ayat cinta
Namun rintihan hati dituntun jua

Ini cereka hati yang mulus
Mahu dibelai mahu di kucup
Mahu disayang mahu dicinta
Peduli apa kata mereka
Asal jiwa tenang ibarat menetap di syurga

Friday, December 05, 2008

||Penat...sungguh AKU Penat||

Bertanya aku pada hati, susah benarkah memujuk sepi? Puas sudah mengesat rintik air yang sering melapah pipi. Penat... sungguh aku penat.

Bertanya aku pada cinta, sukar benarkah menganyam sayang? Puas sudah kutanam bunga namun tumbuh seringnya lalang. Penat... sungguh aku penat.

Lantas bicara apa lagi harusku atur? Pada hati yang kian sepi, pada cinta yang kian murung. Keduanya gering seiring hingga gelap putaran ceria. Rona warna pudar lesu, apa semuanya ini? Penat...sungguh aku penat.

Semalam kau kata hati ini tak bisa dilukai, semalam kau kata hati itu sebutir rahmat, dulu kau bilang hati untuk dibelai salju maka mengapa hari ini hati terhiris lagi? Di mana silapnya lidah mengatur bicara, pantas akal dari jiwa, beralun pedih memanah kalbu. Penat....sungguh aku penat.

Berikan ruang untuk apa? Untuk kita merojak amarah? Lantas mengguling rasa derita yang akhirnya darah bisa menjadi lautan, luka tak bisa ketemu penawar? Sungguh aku buntu.

Bisakah lagi aku berdoa, panjatkan segala kecewa yang melarat, bersarang kerawang? Aku butuh jawapanmu bintang di langit, berikan aku sesaat sinaranmu agar hati tak dirundung pilu.

Pari pari kayangan, rawati aku sebelum aku jauh, sebelum aku putus talinya, sebelum aku kandas kemudi. Kepingin benar rasakan apa itu pujuk rayu, biar sekali dua namun aku rasa ertinya cinta. Kemarilah kamu pari pari syurga, sesaat cuma..... Aku lelah!

Lokasi : Awan Gelap Selaput Kelabu
Waktu : Antara pencantuman dua alam
Tema : Aku keliru


Thursday, December 04, 2008

~~Aku mahu terus sendiri~~

i
Jam lewat menggigit jarum angka 2.
Subuh semakin hampir
Malam terus dingin melilit
Unggas melagu sayup
Mata terkelip kelip

Terbang merewang akal buntu
Sekejap ke hulu
Sekejap ke laut
Sekejap lagi ke hilir
Dan terus ke darat
Cengkerik menekan nada tinggi
Mata terkelip kelip

Hati mengetuk bimbang
Kutepis takut gugup
Bicara mati lidah kebas
Ayat ayat lintang pukang
Mata terkelip kelip

ii
Ini kisah cinta
Kisah sejuk panas sejuk panas
Asam garam pahit maung

Kisah sepasang kasih berpacaran
Berjanji menganyam ropol ropol awan
Bertakhtakan Istana Taj Mahal
Agungnya kasih tak ternilai pound sterling atau dolar amerika

Manusia penat mengatur kata
Bukan lagi ayat ayat cinta
Apa lagi ayat penglipurlara
Semuanya bisa musnah dengan satu kata menikam jiwa

Kisah cinta itu asyik?
Mana mungkin
Kisah cinta itu apa?
Bersayang sayang berpeluk peluk
Atau tenung merenung

iii
Jendela usang jendela hikmah
Daguku paut di telapak kerdil
Mataku melontar paksi galaksi
Akalku terjah luka di hati
Hati menangis menjerit jerit

Doaku pohon pada sang ombak
Sapukan luka tercalar
Marilah bayu selimuti ketakutan
Aku bingung tentang khilafku
Benar aku buntu

Apa mimpi bisa jadi nyata???
Kalau benar aku mahu tidur dan mimpi
Angankan segala cereka indah
Dan
Aku tak mahu bangun lagi
Aku mahu sendiri
Melayani mimpi
Melayari mimpi
Mengakhiri segalanya dengan mimpi

~~Sesaat cuma~~

Kalau bulan bisa tersenym beberapa malam lalu, apa masih kelatkah senyum diwajahku? Langkah bukan diatur sumbang namun tega merangkul hiba. Soalku hanya satu, di mana bintang menemani sepiku?

Sebenarnya malam itu buat siapa, hadirnya sering menghitung debu sendu. Kukuis kutepis menyimpuh gerutu bicara hati yang malas beremosi, tak mahu lagi dilayan negatif biru yang memanah hangus.

Aku mahu tanya pada awan, sudikah menjadi pengganti bulan? Menemani setiap rawak perjalanan hingga menepis titis titis air mata gugur. Ketakutan menyempitkan ruang waras, dejavu dejavu pekat mampir lantas ku tekan butang penenang jiwa.

Aku keliru pada waktu, pada rindu, pada buntu, pada gerutu hati yang gering. Puas menari dilautan duka, gantikan aku pantai cinta. Aku mahu dia senyum, tertawa dengan jengkel keletahku, bicara serta liuk lentukku. Aku mahu dia pimpin, gengam jemari usang, dakap tandus jiwa kehausan. Aku mahu tanam bahagia lantas yang kelihatan cuma angan angan yang mungkin kabur lagi di pandangan.

Sebentar lagi aku bisa pulang, anggukkan sahaja amarah yang datang, itu cebisan dugaan buatmu. Sesaat lagi mungkin aku terbang, tinggalkan semalam dan sesaat yang lalu yang kau lalui dengan hilai tawa, duka derita. Sekelip mata nanti aku bukan aku, aku bukan siapa siapa, cuma gadis buntu mencari taman tenang taman untuk gembira.

Ketabahan yang kau pacu tiada galang gantinya, aku kagum menatap kesungguhanmu. Aku bangga memilikimu biar sesaat waktunya. Telah aku khabarkan pada seisi alam, mahupun nyata atau maya, kau itu yang terunggul buat aku, buat cerita jalanan hidupku.

Aku penat mengitung deraian pilu, berikan penawarnya, usah disimbahi dengan warna gelita. Biar sesaat, biar sesaat kasihku, semaikan cinta agung yang bisa kau tuai.


Monday, December 01, 2008

~~Aku 25?~~

Salam hari lahir
Usia mengenjak lagi
Terus bernafas tanpa henti
Turun naik turun naik dan berputar lagi

Renung pada kisah hidupmu
Sudah mungkinkah terlerai buntu
Menggeledah corong berliku
Lagi dan terus mencari pengertian kasih

Di hadapan sana segala sinar menanti
Disusuli dugaan sang cemburu
Koyakkan semua dinding itu
Pecahkan segala ruyung dedebu

25 tahun di muka bumi
Alhamdulillah ku hadrat illahi
Amin di atas segala kudrat dan langkah hakiki
Syukur nikmat yang kukecapi

Pintu semalam terkunci sudah
Buangkan sahaja anak kuncinya
Agar tak bisa buka dan menggobek kenangan
Di hadapan sana lebih girang lebih sinar

Selamat ulang tahun buat aku
Aku???
Benarkah aku???
Semoga Allah swt yang satu memanjatkan usiaku
Memberikan waktu untuk menemui kenikmatanMU
Menciptakan ruang buat aku mencumbui amalanMU
Agar pulangnya aku
Pulang dengan dada penuh ilmu

Selamat ulang tahun buat aku
Doaku pohon agar sihat sejahtera
Dimurahkan rezeki yang kuterima
Dipupuk segala rasa cinta
Dipanjangkan jodoh dengannya
Menikmati keluarga bahagia

Salam Hari Lahir buat AKU