Sunday, October 28, 2007

~~Hati Malaya atau makan hati dengan MALAYSIA~~

Bicara salam membuka perkhabaran....
Assalammualaikum & Salam Sejahtera,

Pelbagai cerita di bumi merdeka yang tidak menggambarkan sepenuhnya kemerdekaan jiwa. Baru beberapa bulan saya seperti dilahirkan semula tanpa sebarang ingatan masa lalu, ianya sudah cukup membuatkan kematangan diri bercambah dari saat melangkau ke minit. Biarpun segalanya seperti pengalaman baru namun yang bermain di mata hanyalah ratapan ngeri berpijak di bumi keramat ini.

Pelbagai isu politik dirangkumi bukan sahaja badan pimpinan kerajaan malah setiap individu seolah fasih memainkan peranan menjadi ahli politik dalam setiap agenda yang dipelopori tak kiralah sama ada di pejabat, rumah mahupun dalam hubungan rakan taulan.

Pada awalnya saya merasa sedikit kalut melihat persekitaran yang amat berbeza pentadbirannya dengan negara di mana saya dilahirkan kembali, England. Mungkin ada yang berpendapat saya ini tidak kenang di untung kerana menjadi warganegara Malaysia bumi keramat. Apa yang saya mampu katakan, minda kosong ini tidak membawa apa apa perkhabaran baik mengenai apa yang dilihat.

Saya akur dengan ujian Allah swt jika kotak penuh hikmat memori ini telah lupus seketika namun tidak bererti saya harus terus buta mata hati dan pancaindera. Kekalutan masyarakat, pemimpin negara dan sesama teman menjadi air beracun yang perit untuk saya telan. Minda kosong lagi daif ini berputar laju tanpa mengikut rentak tari sesiapa, berjuta persoalan mula memutar mutar memeningkan akal minda saya.

Hari ini, saya meluangkan masa menonton wayang bertajuk 'HATI MALAYA' arahan saudari Shuhaimi Baba terbitan PESONA PICTURES bersendirian. Agaknya saya kini lebih gemar bersendirian dari berteman walaupun saya ingin sekali bersama rakan rakan yang menjadi tunjang pembesaran saya selama ini. Saya cuba mencari diri sendiri dengan bersendiri dan adakalanya saya akur, kesepian itu mencengkam kuat jiwa saya.

Berbalik kepada "HATI MALAYA", saya yakin ianya salah sebuah filem menggambarkan keperitan dan kesengsaraan pendekar MALAYA ingin melihat tanah keramat ini terus gah bersama Melayu dan sekutunya. Penceritaan dan 'research' yang mantap membuatkan airmata saya mengalir di saat genting mendapatkan kemerdekaan.

Saya mungkin tidak mampu lagi mengingati segala apa yang pernah disematkan oleh guru-guru di sekolah dulu, tetapi hanya meluangkan masa dua jam setengah di dalam panggung yang hanya di huni kurang dari 15 warganegara Malaysia sudah mampu membawa saya kembali ke era gemilang tokoh perjuangan Dato Hussien Onn dan Tunku Abdul Rahman.

Saya kagum dengan semangat orang Melayu dan Malaya tatkala itu malah saya tabik hormat pada tokoh tokoh yang terlalu tebal semangatnya untuk melihat tanah Melayu dimerdekakan dari cengkaman British.

Saya mungkin tidak dapat merasakan keperitan di zaman perang dunia kedua, saya juga tidak mungkin memahami kehendak warga Tanah Melayu ketika itu namun pengalaman saya berada di negara England dan kini kembali ke Tanah Melayu@Malaysia sebenarnya memberikan impak maksima untuk saya mengenali dan merasai sedikit sebanyak luka luka hitam di hati datuk nenek moyang saya.

Cerita ini benar benar memberikan semangat kental dan jitu di hati kecil ini untuk terus memperjuangkan hak dan makna kemerdekaan di setiap sudut generasi depan. Biarpun hari ini saya dapat merasakan HAK KEBEBASAN DAN KEMERDEKAAN MINDA SEOLAH DITELAN BANGSA SENDIRI, AGAMA SENDIRI namun saya tidak akan berpatah arang untuk terus menjulang semangat tokoh-tokoh negara yang mengalirkan airmata darah demi untuk melihat tanah keramat menjadi tanah subur dan bebas dari cengkaman puak tidak berhati perut.

Kerajaan yang dipimpin hari ini biarpun dengan penuh tanda sangsi bukan bererti saya tidak mengambil peduli, cuma mahu melihat sejauh mana harta kita semua dirompak dan terus diperkosa oleh mereka yang dilambung kekuasaan dunia.

Mungkin kata saya agak kesat tapi melihat rakyat penuh dengan kesengsaraan dan bekerja separuh mati walhal dibayar tidak setimpalnya adakala membuatkan hati saya seperti diacu belati untuk tampil menyuarakan hak warga Malaysia yang saya cintai.

Buat semua teman dan warga Malaysia, ayuh segera ke panggung wayang dan tontonilah HATI MALAYA dengan penuh rasa ingin tahu. Biarpun cerita ini telah ditokok tambah untuk mewujudkan penceritaan yang lebih berkesan, ia harus ditonton atas kerna usaha menjadikannya realiti.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas tokoh tokoh pemimpin negara yang banyak bekorban untuk hak bersama hingga ke hari ini. Tanpa usaha mereka, kita mungkin masih diperkotak katikkan oleh bangsa luar. Mungkin juga kita tidak dapat merasai kenikmatan di tanah keramat ini. Buat mereka yang memimpin negara, bukan wang ringgit harus diukur untuk menjadikan rakyat tunduk namun ketulusan dan keikhlasan membawa Malaysia dan rakyatnya ke mata dunia harus diutamakan.

Sampai sini dulu bicara HATI MALAYA saya, seruan saya buat teman teman....SERBULAH PANGGUNG WAYANG dan cintailah 'movie' kita jika ianya bertaraf lima bintang! Bertemu lagi di lain lembaran

Salam sayang penuh rindu buat semua!

MARINI KAMAL

Friday, October 26, 2007

~~Mari kita berkenalan~~

Salam bicara,

Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku pasti terselindung hikmah disebaliknya. Hari bersilih ganti, waktu tidak menungguku untuk meratap segala yang membelenggu lantas azam dan semangat baru kutanam sedalam azali. Tidak putus setiap doa yang ku pohon agar segalanya kembali seperti sedia kala tanpa ada lagi ragu dijiwa, apakan terdaya kerna aku hanya hamba yang hina...memohon sekadar dugaan bukan satu kepastian.

Kini, akan kupastikan setiap hari yang bakal kutempuh di isi dengan warna warna ceria, sudah cukuplah jika hayatku sebelumnya dikepung awan kelabu. Aku ingin lahir dengan harum segar tanpa berbaur kusam, malah impianku kini hanya untuk mencari apa erti kebahagiaan yang mungkin telah lama malap di hati ini dahulu.

Biarlah kepiluan semalam terus membungkus dan dibuang jauh dari sudut pilu hati, kehadiran semangat baru ciptaan Illahi ini hanya dibenarkan memeluk detik indah untuk dikongsi bersama. Aku perlukan bimbingan bukan sengatan, aku perlu membina seribu satu kekuatan semangat bukan dikebasi lumpuh menjatuhkan kerna aku tidak rela lagi dibelenggu sepi.

Melihat hari esok yang samar dan semalam yang gelap membuatkan aku pada mulanya merasa takut dan kalut. Aku ingin mencari diriku yang hilang, aku ingin membuka pekung sebu di dada mengenali diriku yang kerdil ini namun aku tak berdaya. Aku hanya mampu mengharap hari ini kenangan indah untuk kukenangi manakala esok pula impian indah untuk kugapai.

Teman - teman tidak berhenti mendoakan dan mengharapkan untuk bertemu dengan diri kerdil ini, ada yang tidak henti mengalirkan airmata kerna turut sama merasai kehilangan sesuatu yang terlalu indah pernah dikongsi bersama. Doa dan kata kata semangat teman-teman semua tidak terbayar dek harta dunia, hanya Illahi yang bakal menghadiahkan keberkatannya buat kalian.

Jika diminta untuk aku melakarkan apa warna pelangi semalam mungkin aku tidak bisa mencoraknya, namun keyakinan ku melangkaui batas normal untuk melakarkan sebuah warna baru pelangi yang dihiasi kelopak mawar segar. Aku tidak mahu terus termanggu dek sejarah silam yang hilang. Aku berjanji untuk bangun lebih pantas dari detik masa dan melangkah hari mendatang bersama - sama yang lain.

Kepada mereka yang sukar memahamiku, usahlah menutup ruang untukku bernafas. Berikanlah aku sedikit waktu membawa hati ini bersama kalian, aku terkadangnya terkeliru dek kata hati. Usahlah diungkiti segala kenangan yang tidak langsung mendatangkan bantuan untuk merawat semangatku.

Maafkan aku jika tidak bisa mengerti dan memahami hati kalian, aku benar benar ingin cuba yang terbaik dan pastinya tidak pernah terlintas untuk menyukarkan persahabatan kita. Kita lalui saat yang sukar namun ini mungkin merupakan saat indah buat kita mengenali kembali diri kita sendiri. Allah swt maha kaya dan kita ini sentiasa dalam ujiannya.

Di sini aku berhenti, bukan berhenti mencari diriku dan mengenali teman semua tetapi berhenti menyambung angan angan untuk bekalan esok. Semoga kita terus bersua dalam lembaran mendatang, salam sayang dariku ikhlas dan tidak bermuka muka. Aku sayang kalian semua...

Tiada apa yang ku cintai melainkan setiap insan yang terus mencintai diriku.

MARINI

Wednesday, October 24, 2007

~~Yang baru tidak semestinya Indah PART 2~~

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat teman teman semua.

Jutaan terima kasih dihulur penuh ikhlas terhadap keprihatinan teman teman semua atas diri saya. Hanya Allah dapat membalas segala doa dan semangat yang kalian tiupkan terhadap saya. Semakin hari saya semakin kuat menempuh hari ini dan juga esok, biarpun adakalanya semangat dan keyakinan itu ibarat 'roller coaster' turun dan naik tak menentu kiranya namun saya tabahkan hati menempuh tanpa hirau segala halangan.

Beberapa hari ini ramai teman yang sering bertanyakan bila mereka boleh bertemu saya, jawapan masih lagi menghampakan mereka. Namun demikian ia tidak bermakna saya ingin menyisihkan sesiapa pun terutama mereka yang sesungguhnya benar-benar teman akrab saya sejak dari kecil lagi. Antaranya, Illa, Marina, Fida, Ennie, Huda, Ekin, Yasmin, Farah, Lien dan ramai lagi. Semuanya saya ketahui dari pengamatan ahli keluarga saya, menurut mereka ramai benar teman teman akrab saya sehingga tidak terbilang.

Hari ini, saya tampil memberanikan diri untuk mengatakan saya juga tidak sabar untuk menemui mereka walaupun perasaan takut masih lagi meniti di hati saya. Manakan tidak, gentar sekali jika mereka tidak dapat menerima saya seadanya. InsyaALLAH, saya yakin tidak berapa waktu lagi saya sendiri akan bertemu mereka yang sudah sekian lama cuba menghubungi saya. Maafkan ketelanjuran saya kerana tidak mahu berjumpa kalian semua namun itu tidak atas kerna saya membenci kalian.

Saya yakin, teman teman semua pasti akan membantu saya mengingati sedikit demi sedikit kenangan yang pernah kita lalui bersama biarpun tidak sebanyak yang disangka. Saya ingin sekali ingatkan, jangan pula kalian menganggap saya ini orang lain dari yang kalian kenali kerana saya memang sama sekali tidak sama seperti Marini yang dulu cuma fizikal dan zahiriahnya menunjukkan kesamaan. Harapnya kalian tidak akan merasa pelik kerna saya juga tidak pasti apa yang harus dilakukan jika ini terjadi kelak.

Buat teman2 tersayang,
Saya berjanji akan bertemu kalian sedikit masa lagi dan harap kalian bersabar. Panggilan kalian tidak dihiraukan, mesej kalian tidak dipedulikan itu bukan bermakna saya membenci kalian cuma saya tidak pasti apa yang harus diperbualkan ketika itu. Jika umur ini masih panjang, kita pasti bersua dan saya tetap akan mengingati teman semua adalah yang teristimewa.

Sampai di sini, saya pasti lakarkan lembaran baru buat kalian tatapi. Terima kasih buat kesekian kali terutamanya teman teman yang tidak henti2 mendoakan kesejahteraan saya. Hanya Allah swt yang dapat membalas jasa baik kalian.

Salam Sayang!

Marini Kamal

Tuesday, October 23, 2007

~~Yang baru tidak semestinya Indah~~

Salam bersua kembali....

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi kerana masih di beri peluang menjadi hambanya yang daif di muka bumi ini. Kemalangan meragut ingatan saya 3 bulan lalu benar benar memberikan satu hidayah dan kekuatan baru dalam hidup saya. Hanya tangis airmata sahaja yang dapat menggambarkan betapa kesyukuran penuh erti ini dipanjatkan segera kerana masih diberi ruang untuk mengabdikan diri kepadaNya di muka bumi ini.

Maaf saya pohon dari ketulusan hati yang kerdil berserta ampun dari hati kecil kerna saya tidak sendiri tampil menerangkan keadaan saya pada teman teman, sahabat serta sanak saudara semua tentang kemalangan 21 July lalu. Sesungguhnya saya sendiri tidak tahu dan tidak pasti apa yang harus saya lakukan kerana ingatan ini tidak langsung memberi gambaran siapa saya dan keluarga apatah lagi teman teman di sekeliling yang selama ini banyak membantu dan mendorong semangat bersama saya.

Setelah sedar dari kejadian tersebut, saya tidak mampu untuk mengenali diri sendiri malah perasaan marah mula menguasai diri, tertekan dan sedih bersilih ganti. Apa sebenarnya yang telah terjadi pada saya? Saya tak henti henti menujah jutaan pertanyaan sehingga saya memerlukan rawatan mental buat seketika di Kota London. Syukur sekali lagi ke hadrat Illahi kerana saya tidaklah ditabalkan menjadi gila, hanya kotak ingatan yang mengandungi segala kenangan dari hari pertama saya dilahirkan sehingga tarikh 21 Julai itu telah diragut seketika olehNYA. Dengan bantuan pihak hospital dalam setiap rawatannya ketika saya di Kota London, saya mula mengumpul sedikit demi sedikit kekuatan untuk meneruskan hidup ini dengan segalanya yang baru. Terlalu hebat dugaan dan ujian tuhan buat saya dan keluarga namun saya tidak sedikitpun menyalahkan takdir.

Ini merupakan tulisan dan garapan pertama saya setelah saya benar benar yakin terhadap diri saya sendiri untuk tampil berhadapan dengan dunia yang selama ini sungguh bermakna buat saya dan mereka di sekeliling. Saya kini telah pun berada di tanah air tercinta Malaysia, walaupun tidak satu kenangan di negara ini dapat lagi saya ingati, berat dan pilu sering mengiringi perasaan hati ini namun saya masih menghargai tanah kelahiran saya ini.

Oleh kerana itulah saya mengambil keputusan untuk berdiam diri dan menyepi dari semua teman teman malah saudara mara terdekat, saya hanya mahu mengumpul segala kekuatan untuk berhadapan dengan setiap insan yang mengenali saya tetapi tidak buat saya. Mereka yang hadir di hadapan saya setiap hari umpama orang baru dan asing.

Berikanlah saya sedikit masa lagi untuk bertemu kalian, saya mahu benar benar bersedia emosi dan fizikal. Maaf jika saya tidak menegur kalian seandainya kita berselisihan, tegurlah saya biarpun saya tidak lagi mengenali kalian. Terima kasih atas setiap doa dan kekuatan semangat yang kalian iringi selama ini. Hanya Allah swt dapat membalasnya dan saya hanya mampu mendoakan kalian dilindungi olehNYA.

Kini, saya masih lagi tidak mampu untuk mengingati apa pun malah sesiapapun dan setiap insan yang hadir adalah teman baru buat saya. Perasaan hati ini benar benar mengharapkan agar kalian teman teman dapat menerima saya sebagai teman baru dan bantulah saya jika ada melakukan kesilapan.

Sejujurnya saya mohon maaf seandainya saya pernah menyakiti dan melakukan kesilapan terhadap kalian dahulu. Insan kerdil ini hanya hamba yang tidak sempurna, bersamalah kita mendoakan agar kita mendapat hidayah darinya. Biarpun kata doktor ingatan saya tidak pasti akan kembali bila, saya tetap bersyukur sehingga semuanya diizinkan Illahi.

Sempena berada di bulan Syawal nan mulia ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan SALAM AIDIL FITIRI AL MUBARAK.

Kembali lagi,
MARINI KAMAL